Selasa, 14 April 2009

MEMBETULKAN YANG BIASA (SIRI 1)

Benarkah perkataan "justeru" tidak boleh digunakan sebagai penanda wacana dalam penulisan karangan?

Apabila kita merujuk Kamus Dewan, perkataan justeru dijelaskan maksudnya sebagaimana berikut :
i. kebetulan, tepat, kena benar.
ii. malahan, bahkan

Justeru yang bermaksud malahan atau bahkan digunakan sebagai penanda wacana penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya.

Contoh:

i. Kuasa melalui proses undang-undang diiktiraf oleh mahkamah. Undang-undang bukan sahaja menentukan bahawa kuasa itu sah, justeru(malahan) menentukan bahawa kuasa itu digunakan dengan munasabah, adil, jujur dan saksama.

ii. Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala, justeru(malahan) membimbangkan semua pihak.

iii. Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru (malahan) saya puji dia.

Kalau kita melihat kepada contoh ini, maka perkataan “justeru” tidak sesuai digunakan sebagai penanda wacana di permulaan ayat. Fungsinya adalah sebagai penanda wacana penghubung yang sama maksudnya dengan perkataan malahan atau bahkan.

Isnin, 13 April 2009

MASALAH BUTA HURUF DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH . DI MANAKAH SILAPNYA?


Beberapa tahun yang lalu, kita pernah dikejutkan dengan laporan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berdasarkan kajian ke atas 70 buah sekolah menengah mendapati bahawa daripada 73,858 pelajar yang telah dianalisis, 3,690 (2.66 peratus) daripadanya tidak boleh membaca. Kajian ke atas 143 buah sekolah rendah pula, mendapati daripada seramai 75,699 murid yang telah dianalisis, 3,690 (4.87 peratus) tidak boleh membaca.

Dalam isu yang sama, apabila dapatan soal selidik tentang buta huruf dalam kalangan pelajar sekolah menengah di daerah Kuantan ditunjukkan kepada saya oleh Ketua Unit Bahasa di pejabat pelajaran daerah, saya sedikit terkejut melihatkan angka yang agak besar ( lebih daripada 700 pelajar) tercatat dalam data tersebut. Persoalannya mengapakah masalah ini masih berlaku? Bukankah pelajar-pelajar ini telahpun melalui alam persekolahan selama tidak kurang enam tahun ketika di sekolah rendah dahulu?Apakah ini menunjukkan terdapat kelemahan dalam proses P&P yang diikuti oleh pelajar ini pada peringkat tersebut? Mengapakah golongan pelajar seumpama ini tidak mengikuti proses pemulihan lebih awal? Adakah ini bermakna terdapat kelemahan dalam pelaksanaan program –program pemulihan yang dirangka oleh pihak Kementerian Pelajaran di sekolah rendah seperti Program KIA2M , PROBIM dan sebagainya?

Hakikat yang seharusnya kita akui ialah sememangnya tidak ada satu pendekatan yang khusus dan efektif yang boleh digunakan sebagai rujukan oleh guru dalam menangani masalah ini. Dilema yang sering dihadapi oleh guru dalam kelas pemulihan membaca yang diadakan untuk murid-murid tahun dua hingga enam ialah bilangan murid yang berjaya dipulihkan terlalu kecil, justeru sebilangan besar daripada mereka masih perlu meneruskan program membaca dan seterusnya akan menyambung program ini pada tahun berikutnya.Lebih malang lagi, terdapat sebilangan pelajar gagal dipulihkan setelah bertahun-tahun menjalani program pemulihan dan akhirnya mereka akan memasuki sekolah menengah dalam keadaan masih tidak boleh membaca.

Perlu diingatkan juga, sebilangan kecil murid yang berjaya dipulihkan ini telah ketinggalan banyak pelajaran yang lain. Cuba bayangkan sekiranya mereka berjaya dipulihkan pada tahun tiga. Apa yang lebih menyedihkan lagi, terdapat guru yang mengendalikan kelas pemulihan di sekolah seakan-akan sudah putus asa dengan murid-murid ini. Hal ini kerana kebanyakan murid yang menghadapi masalah ini tidak menunjukkan sebarang peningkatan dalam usaha untuk menguasai kemahiran asas membaca walaupun telah diajar sekian lama.Tambahan pula, guru terlalu kesuntukan masa dalam mengendalikan pelbagai urusan sekolah dan pengajaran yang lain, lantas kebanyakan murid yang bermasalah ini terus tidak mendapat tumpuan yang sewajarnya.Semakin lama murid dibelenggu masalah ini, semakin jauh mereka tercicir dalam arus pembangunan ilmu.

Kementerian Pelajaran seharusnya mencari satu kaedah baru bagi merungkai masalah ini secepat mungkin. Usaha kementerian untuk mengesan murid-murid yang tidak tahu membaca pada tahun satu melalui program KIA2M memang dipuji. Namun masih terdapat murid-murid yang tidak tahu membaca ketika melangkah ke tahun dua. Memandangkan murid-murid pada tahun satu perlu juga mengikuti mata pelajaran lain, satu program dan kaedah khusus untuk membolehkan mereka boleh membaca dalam tempoh masa yang awal, dirasakan sangat perlu. Sebaik-baiknya, murid-murid pada tahun satu sudah boleh menguasai kemahiran membaca dalam tempoh empat hingga beberapa bulan pembelajaran.Dengan itu, tumpuan murid-murid ini ke atas mata pelajaran lain akan dapat diberikan dengan lebih baik dan berkesan. Kesannya, sudah tentu mereka akan dapat mengikuti pelajaran ke tahun dua dan seterusnya dengan lebih efektif.

Satu kajian juga perlu dilakukan ke atas program yang sedia ada untuk memperkukuhkan lagi program membaca di kelas pemulihan untuk tahun dua hingga enam. Sudah pasti terdapat kelemahan pada program semasa yang menjurus kepada masalah ini. Cuba bayangkan murid-murid pada tahun enam yang tidak tahu membaca. Bolehkan mereka menjalani peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)?

Oleh itu, seharusnya kita berasa rungsing akan apa yang akan terjadi kepada mereka setelah memasuki sekolah menengah? Jika langkah yang drastik tidak dilakukan, maka mereka ini akan terus menjadi pelajar yang tercicir yang akhirnya akan mendatangkan kerugian kepada negara kerana aset yang bernilai ini gagal untuk digilap.

Ahad, 12 April 2009

TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA

DEFINISI
Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya.
Menurut Edward M. Anthony mendefinisikan teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru yang mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu.
Mengikut Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III : Komunikasi Bahasa, teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.
Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti.

TEKNIK-TEKNIK PENGAJARAN BAHASA
Teknik main peranan
Teknik permainan bahasa
Teknik latih tubi
Teknik bercerita
Teknik inkuiri
Teknik perbahasan
Teknik kuiz
Teknik sumbangsaran
Teknik soal jawab
Teknik simulasi
Teknik drama
Teknik perbincangan
Teknik forum
Teknik dialog

TUJUAN TEKNIK
Menarik minat murid
Mengekalkan perhatian
Membangkitkan rasa ingin tahu

TEKNIK LATIH TUBI
Teknik latih tubi adalah aktiviti pengulangan fakta-fakta atau kecekapan yang dipelajari.
Tujuannya untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran disampimg menjamin kekekalannya.
Ia sesuai digunakan untuk pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu.
Boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting.
Melalui teknik ini pelajar akan mengalami proses mendengar, melihat, memikirkan maksud perkataan-perkataan serta tugasnya dalam situasi yang penggunaan perkataan-perkataan itu.
Berasakan pengajaran bahasa dengar dan sebut (audiolingual) yang biasanya digunakan dalam pengajaran bahasa kedua.

Mengikut teknik ini, perhatian akan diberikan kepada 5 aspek kebolehan menggunakan bahasa iaitu :
Sebutan (accent)
-menyebut patah-patah perkataan atau sukukata dengan betul termasuk intonasi yang membawa makna dalam sesuatu situasi.
Tatabahasa (grammar)
-penggunaan bahasa yang tepat mengikut hukum-hukum bahasa daripada semua aspek.
Perbendaharaan kata (vocabulary)
-meluaskannya dengan penggunaan imbuhan yang sesuai mengikut konteksnya dalam situasi tertentu.
Kefasihan (fluency)
-menggunakan perkataan dan lain-lain dengan cara spontan tanpa memikirkan apakah maksudnya.
Kefahaman (comprehension)
-latihan memahami soalan dan memberikan jawapan yang wajar.
Teknik ini dikenali juga dengan teknik menghafaz.
Antara kelemahan tekni ini ialah ia menghadkan kebebasan berfikir dan menumpukan daya kreativiti murid.
Namun begitu, teknik ini amat berguna dan sesuai untuk isi kandungan pengajaran yang memerlukan ikutan dan ulangan.

TEKNIK SIMULASI
Simulasi ditakrifkan sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau tugasan semula.
Melalui teknik ini para pelajar dapat menggunakan kemahiran belajar seperti mengumpulkan maklumat, menjalankan temuramah dengan individu tertentu dan mencatat isi-isi penting.
Dalam proses ini pelajar digalakan untuk memberi pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan. Memberi peluang kepada pelajar mengalami sendiri situasi dan masalah.
Melalui teknik ini pelbagai kemahiran dapat digabungjalinkan dan dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran lisan membaca dan menulis.
Dapat mewujudkan pelbagai aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada pelajar untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran.

TEKNIK MAIN PERANAN
Main peranan bermaksud melakonkan sesuatu situasi atau masalah atau peristiwa yang dianggap penting.
Pelajar diberi peranan dan bertindak sebagai watak-watak yang ditentukan dalam satu situasi yang disediakan.
Main peranan ialah dramatisasi yang tiada kaitan atau penghafalan skrip, apabila pelakon-pelakon cuba menyelesaikan atau menjelaskan situasi kepada kepada pelajar-pelajar lain supaya mempraktikan kepada diri mereka berdasarkan peranan yang dimainkan secara spontan.
Proses ini biasanya dimulakan dengan pemikiran masalah yang sesuai. Masalah ini dikemukakan kepada pelajar dengan cara membacakannya atau memperlihatkannya melalui filem, televisyen, mendengar rakaman dan sebagainya.

TEKNIK SUMBANG SARAN
Teknik ini dikenali juga sebagai percambahan fikiran (brainstorming) yang merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap ahli kumpulan menyumbangkan pendapat dan idea.
Boleh didekati sebagai aktiviti permainan bahasa pada peringkat sekolah rendah dan berkembang menjadi aktiviti perbincangan yang lebh serius dan kompleks pada peringkat sekolah menengah, universiti dan latihan profesional.
Menekankan pengeluaran idea daripada pembelajaran yang kretif dan bukan pembelajaran secara analitis.

TUJUAN SUMBANG SARAN
Topik perbincangan sesuai dengan kebolehan dan minat murid
Garis panduan guru haruslah ringkas dan jelas
Semua cadangan dan idea yang dikemukakan haruslah dicatat untuk dibincangkan dalam sesi umum.
Setiap kumpulan mestilah memilih pengerusi yang betul-betul layak
Setiap ahli diberi peluang untuk mengemukakan cadangan
Pelajar digalakkan menyumbang seberapa banyak idea
Suasana perbincangan yang tidak formal hemdaklah diwujudkan.
Pastikan peruntukan masa untuk sesi sumbangsaran adalah patut dan mencukupi
Digalakkan menggunakan prinsip 5W 1H ( What? Why? Who? Where? When? How? )
Cadangan dan idea yang dikemukakan tidak boleh dikritik
Setiap kumpulan dimestikan mempunyai ahli-ahli yang pelbagai kebolehan


TEKNIK PERMAINAN BAHASA
Permainan bahasa adalah salah satu cara dalam mempelajari bahasa melalui teknik permainan.
Penglibatan dalam permainan telah memberi peluang kepada pelajar memperolehi latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat dianogstik.
Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa pelajar antaranya kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Permainan bahasa mempunyai hala tuju yang bertepatan dengan kemahuan dalam sistem pendidikan negara amnya dan Falsafah Pendidikan Negara khususnya. Hala tuju ini diinterapetasikan melalui objektif tersirat dalam permainan bahasa tersebut iaitu :
merangsang interaksi verbal pelajar
menambah kefasihan dan keyakinan
menyediakan konteks pembelajaran
bertindak sebagai alat yang dapat mengikis rasa bosan
bertindak sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan

TEKNIK SOAL JAWAB
Merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan
Pemilihan teknik ini bukan kerana ia mudah dilaksanakan, tetapi ia adalah bentuk yang berupaya mewujudkan interaksi guru dengan murid secara berkesan.
Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya.
Soalan-soalan yang dikemukan memerlukan pelajar berfikir disamping dapat menguji dan menilai apa yang diajar.

Tujuan utama teknik soal jawab ialah :
Untuk mengesan pengetahuan berbahasa murid
Untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis.
Untuk mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar.
Soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.

TEKNIK BERCERITA
Merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang dapat menarik minat dan perhatian pelajar.
Latihan pemahaman, perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan.
Dapat meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam kalangan pelajar.
Perkembangan cerita hendaklah diberi perhatian agar ada peringkat permulaan, kemuncak dan kesudahan cerita. Perhatian perlu diberi kepada teknik persembahan, suara, gerak laku dan kawalan mata.
Suara memainkan peranan yang penting dimana ia harus dikawal supaya jangan mendatar dan tidak menimbulkan kebosanan.

Langkah-langkah dalam persediaan teknik bercerita ialah :
Pilih cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan dan minat murid-murid. Kemudian, sesuaikan pula dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan.
Kaji cerita itu dan cuba masukkan aspek-aspek bahasa.
Hafazkan frasa atau ayat-ayat penting.
Latih bercerita seolah-olah guru berada dihadapan murid-murid sekurang-kurangnya sekali sebelum menggunakan teknik ini.
Guru bercerita dalam keadaan yang selesa.
Guru boleh menggunakan gambar, objek-objek sebenar atau lain-lain BBM.
Sediakan kad-kad perkataan, frasa-frasa atau ayat-ayat yang berkaitan dengan aspek-aspek bahasa yang hendak disampaikan.

TEKNIK DRAMA
Sering digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektif dan audiolingual.
Tujuan utama adalah untuk melatih pelajar menggunakan unsur bahasa, unsur paralinguistik (jeda, nada dan intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala dan dll) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan.
Penggunaannya dapat mendorong dan merangsang pelajar untuk menghubungkan perasaannya dengan matapelajaran yang dipelajarinya.
Pelajar bebas meluahkan sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu.
Drama berperanan sebagai ragam pembelajaran iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran.
Dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada pelajar, di samping dapat menyuburkan sahsiah pelajar.

TEKNIK INKUIRI
Teknik ini dikenali sebagai teknik tinjau siasat.
Merangkumi aspek-aspek soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan yang berorientasikan masalah.
Dapat menimbulkan daya refleksi dikalangan pelajar.
Merupakan satu kaedah pengajaran bahasa yang dinamik untuk menimbulkan minat dan daya kreativiti di kalangan pelajar kerana pelajar sering mengemukakan soalan ‘bagaimana’. Oleh itu, ia dapat melatih pelajar mengemukakan pelbagai soalan.
Ciri lain yang terdapat dalam teknik ini termasuklah memberi latihan yang sebenar dalam proses kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.

Pengendalian teknik inkuiri ialah :
Proses mengenali masalah
Mengkaji ramalan
Mengumpul maklumat
Menganalisis
Membuat rumusan

TEKNIK PERBINCANGAN
Teknik perbincangan didefinisikan sebagai satu aktiviti mengeluar dan mengulas pendapat tentang sesuatu tajuk. Tujuannya untuk melatih pelajar mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas (Kementerian Pendidikan 1990:85).
Teknik perbincangan adalah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbualan dan ia dilakukan dikalangan pelajar dibawah penyeliaan dan kawalan seorang guru.
Melibatkan aktiviti perbincangan antara pelajar secara bekerjasama dalam mengeluarkan pandangan masing-masing mengenai sesuatu perkara atau topik yang diberi. Misalnya bermesyuarat, forum, seminar, bengkel, bahas dan debat.
Dalam perbincangan ini akan memberi peluang dan ruang bagi mereka untuk bercakap terutama dalam aktiviti separa formal. Latihan sebegini bukan sahaja sekadar mempertajamkan minda malah dapat melatih kepetahan pelajar untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat.
Peranan guru akan berubah-ubah kerana aktiviti ini dikendalikan oleh pelajar sendiri.

Teknik perbincangan boleh dijalankan mengikut langkah-langkah berikut :
Guru menarik perhatian murid kepada tajuk perbincangan yang akan dijalankan.
Guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan dan kemudian memilih seorang ketua yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua aspek perbincangan dapat dijalankan dan dicapai.
Guru kemudian menugaskan setiap kumpulan mendapatkan maklumat dengan cara berbincang dengan ahli-ahli kumpulan.
Ketika perbincangan guru harus bergerak dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain, menegaskan perkara-perkara yang perlu dibincangkan dan mengarahkan perbincangan menghala kearah perkara yang betul.
Setelah tamat perbincangan guru boleh meminta laporan daripada setiap kumpulan. Hasil perbincangan boleh dicatatkan dipapan tulis mengikut mana-mana yang penting. Setelah dibincang guru bolehlah menjalankan aktiviti penulisan dan sebagainya.

TEKNIK FORUM
Forum merupakan satu sesi perbincangan yang melibatkan beberapa ahli panel untuk mencanai fikiran dan mengemukan pendapat tentang sesuatu tajuk, dimana ia dijalankan secara formal.
Teknik berforum merupakan salah satu aktiviti lisan yang sesuai, di mana pelajar akan berkongsi pengetahuan dan pengalaman secara langsung untuk meningkatkan kemahiran menyampaikan idea dan fikiran dengan jelas, objektif, kreatif dan rasional.
Untuk menjayakan aktiviti ini, tajuk forum yang dipilih haruslah mudah, menarik dan mencabar selaras dengan kemahiran, pencapaian serta peringkat umur pelajar.
Persediaan yang rapi perlu dibuat sama ada sebelum, semasa dan selepas aktiviti.

TEKNIK PERBAHASAN
Bahas ialah pengucapan sama ada menyokong atau membangkang sesuatu pendirian dengan alasan yang logik dan idea yang tersusun.
Teknik perbahasan ini sesuai diajar untuk semua peringkat pelajar di sekolah menengah.

Antara manfaat teknik ini ialah :
Memperkembangkan kecekapan berkomunikasi dengan berkesan
Melatih berfikir dengan pantas dan melahirkan buah fikiran dengan tepat dan teratur
Menguasai kemahiran berbahasa dengan menggunakan struktur ayat yang betul dan laras bahasa yang sesuai.
Mengemukakan hujah secara rasional, kritis dan kreatif.
Melatih kemahiran mendengar, menaakul, berhujah dan membidas.
Guru perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memupuk kebolehan berbahas di kalangan pelajar.
Perkembangan kebolehan berbahas dengan sendirinya akan membawa kepada perkembangan kemahiran berbahasa, perkembangan mental yang positif, peningkatan ilmu dan pemupukan sifat-sifat kepimpinan.

TEKNIK KUIZ
Diperkenalkan pada tahun 1940 di England melalui Perbadanan Penyiaran British (B.B.C).
Aktiviti kuiz bermula di negara ini setelah dimasukkan dalam masa pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Inggeris dan diikuti di sekolah-sekolah Melayu.

Tujuannya ialah :
Guru dapat mengukuhkan pengajaran dan memantapkan pemahaman pelajar mengenai topik-topik tertentu.
Pelajar dapat mengulang kaji sambil bergembira.
Pelajar dapat melupakan permasalahan mereka dengan mengemukakan soalan-soalan secara teka-teki.
Pelajar dapat belajar kaedah cara berfikir yang baru.
Membantu pelajar memahami sistem bahasa Melayu terutama dari segi bentuk, makna dan penggunaan bahasa yang tepat.

Terdapat 2 bentuk pengajaran dan pembelajaran bahasa melalui teknik ini iaitu :
Ia dijalankan secara spontan pada peringkat permulaan, perkembangan dan penutup. Ini bermakna kuiz dapat dijadikan sebagai aktiviti rangsangan, pengayaan, pemulihan dan pengukuhan.
Kuiz sebagai aktiviti pertandingan meliputi pertandingan antara pelajar.

(diambil daripada blog Cikgu Ramli Yahya GC BM)

Sabtu, 11 April 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 6)



JIKALAU ULAR MENYUSUR AKAR TIADA HILANG BISANYA


Apabila kita merujuk Kamus Istimewa Peribahasa, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, maka kita akan dapati terdapat tiga peribahasa yang terhasil daripada entri kata ular menyusur akar iaitu "jikalau ular menyusur akar, tiada hilang bisanya","tiada hilang bisa ular dek menyusur akar" dan "ular menyusur akar".Ketiga-tiga peribahasa ini membawa maksud tiada hilang martabat seorang yang mulia atau berpangkat sekiranya merendahkan diri dalam hubungannya dengan orang ramai.

Ular biasanya tidak suka menyusur atau menjalar di akar kerana agak sukar baginya untuk bergerak. Sekiranya terdapat ular yang menyusur akar, bererti ular tersebut melakukan sesuatu keganjilan bagi tabiat ular. Walau bagaimanapun, andai hal tersebut dilakukannya, tindakan tersebut tidak sedikitpun menghilangkan bisanya.

Peribahasa ini membayangkan keluhuran budi seseorang jika ia mengamalkan apa yang tersirat di sebalik maksud peribahasa ini. Sebagai contoh, apabila seorang yang sudah berpangkat atau berdarjat atau menjadi orang besar merendahkan diri dengan bercampur dengan orang ramai, baik dalam makan minum, duduk bersembang atau memakai pakaian berjenama biasa sebagaimana dipakai oleh orang kebanyakan, darjat atau pangkatnya tidak akan terjejas, malah ia akan lebih dihormati kerana sikapnya yang merendah diri, tidak besar diri dan tidak sombong itu.

Perintah agar manusia tidak berlagak sombong amat jelas dinyatakan dalam al-Qur'an menerusi firman-Nya yang bermaksud:


"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara kaldai".
Al-Quran ( Surah Luqman : 18 & 19)
Oleh yang demikian, pemimpin di semua peringkat terutama pemimpin politik sewajarnya mengamalkan falsafah peribahasa ini sewaktu menjalankan tanggungjawab mereka terhadap orang ramai. Hal ini kerana, sikap meninggi diri, sombong, dan takbur adalah sikap-sikap tercela baik dari segi adat mahupun agama. Sifat-sifat mulia dan berbudi, sewajarnya dijadikan amalan bagi setiap mereka yang menjadi pemimpin masyarakat dalam semua bidang. Mereka yang bersikap sedemikian dianggap orang-orang yang berhemah tinggi, berpekerti mulia dan berbudi luhur.

Tenas Effendy dalam bukunya "Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu" mengkategorikan pemimpin yang mengamalkan sikap "ular menyusur akar" ini sebagai pemimpin agung, yang besarnya tidak membawa sombong, mulianya tidak meminta sanjung. Beliau seterusnya mengungkapkan ciri pemimpin agung ini sebagaimana ungkapan berikut:

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung
Negeri dijaga rakyat dilindung
Kasihnya panjang sayang bersambung

Kepada yang miskin tiada sombong
Kepada yang kaya tiada menyanjung

Dijadikan pemimpin sejahtera kampung
Bersama rakyatnya sekain tudung

Dijadikan tua membawa tuah
Hidup rukun rezeki melempah

Dijadikan induk membawa berkah
Wibawanya besar tuah bertambah
Umatnya tidak mengenal susah.

Jumaat, 10 April 2009

PENULISAN RUMUSAN STPM

Selain soalan karangan, calon-calon STPM perlu bersiap sedia untuk menjawab soalan rumusan. Sebenarnya, soalan rumusan lebih mudah untuk dijawab berbanding dengan soalan karangan kerana semua isi yang dikehendaki dalam soalan ini telah tersedia dalam petikan. Hal ini demikian kerana, isi utama terdapat dalam perenggan pertama, isi-isi sokongan terdapat dalam perenggan-perenggan yang berikutnya dan kesimpulan pula sudah tentu terdapat dalam perenggan yang terakhir. Namun demikian, saya mendapati bahawa masih terdapat kelemahan jawapan pelajar semasa menjawab soalan ini kerana kurang mementingkan teknik menjawab soalan rumusan yang betul semasa menjawab soalan tersebut. Oleh itu, saya akan menyenaraikan kelemahan-kelemahan tersebut untuk dibaiki dan pelajar-pelajar akan memahami teknik yang betul untuk menjawab soalan rumusan.

Kelemahan Umum jawapan Rumusan STPM

• Perenggan rumusan – ada calon yang menulis satu perenggan atau dua perenggan sahaja, ada juga yang melebihi 3 perenggan.
• Menulis atau menyalin ayat daripada petikan 100 peratus.
• Membina ayat sendiri sehingga maksud ayat tersebut berbeza langsung daripada maksud asalnya.
• Ayat-ayat yang dibina tergantung iaitu ayat tiada subjek atau predikat.
• Menulis Isi Utama (IU) yang terlalu ringkas dan tidak lengkap.
• Menulis Isi Sokongan (IS) melebihi 6 isi, menyebabkan rumusan menjadi terlalu panjang dan melebihi had perkataan yang ditetapkan.
• Mencampuradukkan Isi sokongan (IS) dalam satu ayat sehingga isi tersebut tidak teratur.
• Kesalahan aspek mekanis yang kurang diberikan perhatian seperti tanda bacaan dalam ayat.
• Tidak menulis jumlah perkataan pada akhir rumusan.

Tip Menjawab Soalan Pemahaman Prosa Moden

 Pelajar mesti jelas tentang maksud rangkai kata berdasarkan teks
 Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK).
 Pelajar mesti memberi contoh yang tepat berdasarkan petikan/ teks (Komsas).
 Semua cerpen dan drama Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 perlu dibaca dan diulang kaji.
 Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan.
 Jawapan bagi soalan KBKK perlu dihuraikan ( …supaya…) bagi soalan bagaimana/ cara dan mengapa
 Jawapan bagi soalan Komsas:
-tema > perlu ada huraian/ contoh
-persoalan > perlu ada huraian/ contoh
-perwatakan > perlu ada contoh
-latar > perlu ada contoh
-nilai > perlu ada contoh
-pengajaran > perlu ada huraian/ contoh

Contoh petikan:

Kris telah bermurah hati mempelawa aku tinggal di rumah ibunya di pinggir bandar Cardiff. Kebetulan bapanya masih berada di Malaysia. Memang canggung apabila tinggal di rumah orang asing yang tiada pertalian darah. Tambahan pula, mereka merupakan sebahagian dari ribuan orang Inggeris yang mempunyai nilai disiplin yang tinggi. Namun, aku tetap bersyukur kerana memperoleh tempat tinggal sebelum aku berjaya mendapat apartment.

Aku, Kris dan Kristal jadi tiga serangkai dan sahabat yang baik. Aku pernah mendengar daripada Teh, sepupuku yang pernah melancong ke sini. Orang Inggeris sombong-sombong belaka. Salah kau, Teh! Aku pernah menulis kepada mak dan abah di kampung tentang kebaikan dan kemurahan hati mereka memberi bantuan. Tidak lupa kuselitkan nama Kris dan Kristal. Namun seminggu kemudian aku menerima imbalan daripada mak. Antaranya aku diingatkan agar tidak terlalu mempercayai orang asing yang tidak kenal asal-usulnya.

1.Jelaskan perbezaan pandangan antara Teh dengan aku. [2 markah]

Contoh jawapan lengkap:

Teh menganggap orang Inggeris sangat sombong. ‘Aku’ pula berpendapat orang Inggeris baik dan murah hati.

2. Pada pendapat anda, apakah yang dibimbangi oleh ibu aku? [4 markah]

Contoh jawapan lengkap:

Pada pendapat saya, ibu `aku’ bimbang kalau-kalau `aku’ terpengaruh oleh cara hidup Barat. Selain itu, dia bimbang `aku’ akan melupakan keluarga di kampung. Ibu `aku’ juga mungkin bimbang `aku’ akan terdedah kepada gejala maksiat. `Aku’ juga dikhuatiri akan mengabaikan pelajaran.

3. Jelaskan satu perwatakan Kris berdasarkan petikan cerpen di atas. Jelaskan juga dua perwatakan Kris yang terdapat dalam cerpen ini secara keseluruhan. [3 markah]

Contoh jawapan lengkap:

Dalam petikan di atas, Kris digambarkan sebagai seorang pemuda yang suka membantu. Buktinya, dia mempelawa Hana tinggal di rumah ibunya.Dalam cerpen ini secara keseluruhan pula, Kris mudah mesra dengan kenalan baru. Buktinya, Kris menegur Hana sewaktu mula-mula bertemu. Selain itu, Kris mudah kecewa. Buktinya, dia membawa diri ke Jerman setelah Hana kurang mengendahkannya.

Khamis, 9 April 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 5)


SEKALI AIR BAH, SEKALI PASIR BERUBAH

Kali ini kita cuba menyelami maksud tersirat di sebalik peribahasa “sekali air bah, sekali pasir berubah”.Peribahasa ini mendokong maksud perubahan yang berlaku dalam dasar atau cara pentadbiran ekoran pertukaran pucuk pimpinan sesebuah oganisasi atau negara.

Encik Ghalib Yunus (munsyi dewan) mengkategorikan perkataan “bah” ini sebagai kata akronim . Menurut beliau, perkataan `bah’ yang bermaksud `banjir’ ini sebenarnya berasal daripada ungkapan `Bencana Air Hujan’. Sebagai mana kita maklum apabila ada air biasanya pasti ada pasir; sama ada di sungai mahupun di laut. Begitulah betapa hebatnya kejadian alam ciptaan Allah S.W.T. Air pada waktu- waktu tertentu ada pasang atau bah (banjir) dan ada surutnya. Apabila air bah, pasir-pasir akan dihanyutkan ke hilir dan apabila paras air kembali surut, kedudukan pasir itu pasti akan berubah dan tidak seperti sebelumnya.

Apabila kita mengaitkannya dengan kepimpinan negara Malaysia, setiap Perdana Menteri membawa pendekatan atau dasar pentadbiran yang berbeza. Pada zaman Tun Mahathir dahulu berbagai-bagai pendekatan diperkenalkan di sepanjang beliau memerintah selama 23 tahun. Antara dasar yang diperkenalkan ialah: Bersih Cekap dan Amanah; Dasar Pandang Ke Timur, Penerapan Nilai-nilai Islam, Wawasan 2020 serta lain-lain lagi. Di bawah pentadbiran Tun Abdullah Badawi sebagai PM, beliau memperkenalkan Dasar Islam Hadari . Kini, di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib sebagai PM, beliau telah mengemukakan pula dasar One Malaysia.