Rabu, 22 April 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 9)



BAGAI ENAU DI DALAM BELUKAR, MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING

Peribahasa ini bermaksud kelompok masyarakat yang tinggal berdekatan tetapi mementingkan diri sendiri tanpa mempeduli atau menghiraukan jiran-jiran sebelah, masing-masing dengan hal sendiri.

Enau adalah sejenis pokok yang biasanya tumbuh di dalam belukar dan kampung-kampung yang semak. Pokok enau tidak subur jika hidup di tengah padang. Enau atau kabung mengeluarkan mayang seperti mayang kelapa. Dari mayang ini, orang-orang kampung dapat menghasilkan gula yang dipanggil gula enau atau gula kabung seperti juga gula Melaka yang disadap airnya dari mayang-mayang kelapa.

Oleh sebab pokok ini tumbuh dalam belukar yang penuh dengan semak-samun, biasanya pucuk enau ini akan melepaskan dirinya daripada dahan-dahan dan daun-daun kayu yang mengelilinginya. Jika dipandang dari jauh, akan kelihatanlah beberapa batang enau ini yang berpucuk dan melepaskan dirinya dari semak-samun yang mengelilinginya.

Sikap mementingkan diri sendiri yang digambarkan melalui maksud peribahasa ini merupakan satu sifat yang buruk dan wajar dihindari. Amalan hidup bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing amat bertentangan dengan rukun hidup berjiran yang menitikberatkan saling mengenal sesama jiran, hubungan silaturahim, dan muhibah. Masyarakat yang mengamalkan sikap ini sukar untuk bekerjasama antara satu sama lain. Sekiranya hal ini berlanjutan, sudah pasti apa-apa juga program kemasyarakatan yang dirancang tidak akan dapat dijayakan dengan berkesan .

Selasa, 21 April 2009

MEMBETULKAN YANG BIASA (SIRI 2)

Penggunaan Kata Marcapada
Sumber: http://agy7500.blogspot.com/
-->
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, `marcapada’ bermaksud dunia sekarang ini. Ayat contoh yang diberikan ialah:
  1. Kita janganlah terpengaruh dengan marcapada yang penuh dengan tipu daya.
Jika perkataan `marcapada’ diungkapkan seperti yang terdapat dalam ayat di bawah ini, ayat tersebut tidak gramatis kerana berlakunya kelewahan bahasa.
  1. Dalam marcapada ini, gejala sosial semakin leluasa berlaku dalam kalangan remaja bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Kelewahan bahasa jelas dapat dilihat apabila perkataan `marcapada’ digantikan dengan maksud `dunia sekarang ini’ seperti yang berikut:
2(a) Dalam [dunia sekarang ini ] ini, gejala sosial semakin leluasa berlaku dalam kalangan remaja bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Menurut AsiaMaya.com, maksud marcapada adalah seperti yang berikut:
marcapada the earth, this world as opposed to heaven (in wayang stories) (kata tidak umum - not a common word)
Maksud yang dikemukakan ini hampir sama dengan maksud yang dikemukakan oleh Kamus Besar Indonesia, iaitu :
mar·ca·pa·da n dunia nyata (tempat makhluk hidup); bumi
Dengan maksud yang dikemukakan ini, ayat contoh yang sesuai ialah:
  1. Dalam era globalisasi ini, kita terpaksa hidup di marcapada yang panas.
  2. Dalam marcapada yang penuh dengan pancaroba, kita mestilah sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan kerana jika kita tidak sanggup dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
  3. Tindakan ini yang dianggap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing akhirnya nanti akan memakan atau menikam diri sendiri apabila marcapada pada suatu hari nanti akan tenggelam sebagai akibat atau balasan kesan daripada ais yang semakin mencair apabila berlakunya banjir besar.
Dengan penjelasan yang agak lengkap ini, diharapkan semua guru dan pelajar dapat memahami penggunaan perkataan `marcapada’ dengan tepat dalam ayat.

Panduan Menjawab Soalan Alih Bentuk Teks STPM

Sumber :http://khirkassim.blogspot.com/

Bagi calon-calon STPM, soalan Alih Teks ini menawarkan pilihan iaitu sama ada Soalan 6 atau Soalan 7. Anda perlu memilih satu soalan sahaja iaitu setelah membuat keputusan tentang teks yang anda rasakan dapat dijawab dengan baik. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15 markah, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana soalan ini berupaya untuk meningkatkan markah anda untuk Kertas 2. Jadi, janganlah anda membuat tanggapan bahawa soalan ini tidak penting, sebaliknya anda perlulah membuat latihan yang sistematik dan berterusan berdasarkan jenis teks yang telah dipilih dan pernah digunakan dalam peperiksaan STPM. Selain itu, anda juga perlu mencuba jenis-jenis teks yang lain sekiranya ada dan belum pernah ditanya dan digunakan dalam peperiksaan STPM sebelum ini. Oleh itu, berbincanglah dengan rakan-rakan dan guru anda tentang jenis-jenis teks tersebut. Jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam soalan STPM sebelum ini ialah teks iklan, undang-undang, prosa klasik, sajak, dialog drama dan cerpen.

Selepas meneliti jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam STPM itu, saya mendapati teks puisi tradisional tidak pernah digunakan lagi. Oleh itu, calon-calon STPM tahun ini perlulah memberikan perhatian yang lebih terhadap jenis teks puisi tradisional ini. Puisi tradisional ini pula terbahagi kepada beberapa jenis, seperti pantun, syair, gurindam, dan seloka.

Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks adalah seperti yang berikut:

1. Baca teks asal itu sepintas lalu dan fahami maksudnya. Cuba fahami maksudnya dengan membaca teks tersebut dengan teliti agar anda mendapat gambaran awal untuk mengalih bahasa teks seperti syair kepada bentuk prosa bahasa Melayu Moden.

2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul (baku) dalam bentuk prosa bahasa Melayu moden. Jangan terpengaruh oleh struktur bahasa Melayu klasik dan elakkan penggunaan struktur ayat pasif.

3. Tulis semua isi atau fakta yang terdapat dalam teks asal tersebut. Jika ada isi atau fakta yang tertinggal atau terpesong, sudah pasti anda akan memperoleh markah yang kurang. Pastikan isi atau fakta tersebut menepati isi teks yang asal.

4. Kekalkan penggunaan nama khas dan juga perkataan yang tidak perlu diubah seperti perkataan daripada bahasa istana.

5. Jangan buat ulasan atau memberikan pendapat semasa mengalih teks asal tersebut. Ingatlah bahawa bahawa anda cuma memindahkan bahasa teks tersebut sahaja, bukannya memberikan pendapat atau ulasan. Elakkan ayat yang berbentuk ulasan seperti ini, Petikan tersebut menerangkan...., kerana ayat tersebut dianggap sebagai ulasan.

6. Jangan salin keseluruhan teks asal kerana perkara itu tidak menunjukkan anda telah mengalih teks asal tersebut. Sekiranya anda melakukan perkara itu sudah pasti anda akan memperoleh markah yang minimum.

7. Tulislah ayat-ayat yang telah anda alihkan bahasanya itu dalam beberapa perenggan, mengikut kesesuaian kandungannya (biasanya tidak melebihi 3 perenggan).

8. Elakkan kesalahan bahasa yang lazimnya dilakukan oleh calon-calon STPM. Sekiranya calon melakukan kesalahan bahasa yang banyak, sudah tentu markah persembahan akan terjejas.

9. Selain markah bahasa, calon-calon juga perlu menitikberatkan aspek jalinan ayat yang telah dibina itu agar persembahannya menjadi lebih kemas, jelas dan mudah difahami oleh pemeriksa.

BUDAYA MEMBACA TREND NEGARA MAJU

Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK

LAUTAN pengunjung dan ulat buku yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang dijangka mencecah sasaran 2.5 juta pelawat tahun ini. Dengan jumlah hampir 10 peratus daripada penduduk Malaysia, ia membuktikan rakyat negara ini sememangnya masyarakat yang cintakan buku.

Perkembangan ini mampu memberi impak positif kepada industri dan pasaran buku dalam memupuk minat membaca yang tinggi di samping menjadi momentum penting kepada tahap literasi negara pada masa hadapan.

Ini dikuatkan lagi dengan perangkaan terkini Jabatan Statistik Negara 2008 bahawa kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain.

Bagaimanapun usaha berterusan perlu ditingkatkan bagi meningkatkan kadar literasi rakyat agar setanding dengan negara maju lain di dunia.

Berdasarkan kepada statistik tersebut, ia menunjukkan kadar literasi rakyat negara ini yang berumur 15 tahun ke atas ialah 93.2 peratus. Ia merupakan satu kejayaan kepada negara.

Statistik ini berkemungkinan besar berkait rapat dengan transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dilaksanakan. Di samping itu, kewujudan Dasar Buku Negara (DBN) turut meningkatkan amalan dan tabiat membaca rakyat Malaysia.

Ia merupakan perkembangan memberangsangkan berbanding laporan dan kajian akademik sebelum ini. Pada 2005, profil pembaca mendapati rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun kurang membaca. Iaitu sekadar dua buah buku sahaja setahun.

Sementara itu, bagi kumpulan berumur 10 tahun dan ke atas pula, daripada 85 peratus rakyat yang membaca, 77 peratus hanya membaca akhbar. Tiga peratus membaca majalah dan buku manakala 1.6 peratus yang lain membaca komik.

Perkara ini jelas menunjukkan rakyat negara ini masih lagi cenderung membaca bahan bacaan ringan. Berbanding rakyat negara maju, mereka lebih gemar membaca bahan bacaan lebih berat dalam bentuk buku. Ia termasuk generasi muda yang seawal sekolah rendah lagi.

Oleh itu, tabiat ini perlu diperbaiki dari semasa ke semasa melalui dasar sedia ada yang lebih menyeluruh dan dipertingkatkan seiring dengan tahap literasi rakyat negara ini.

Ini kerana menurut Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, objektif pengembangan budaya membaca di kalangan rakyat wajar dilihat dari aspek memperkasa agenda nasional. Ia dilaksanakan secara bersepadu dengan proses pembinaan tamadun negara, bangsa dan pembangunan modal insan tanpa kompromi.

Kadar literasi yang tinggi di kalangan penduduk di negara ini juga menunjukkan lebih banyak bahan bacaan tradisional seperti buku dan lain-lain. Ia termasuk kerancakan aktiviti penterjemahan serta penerbitan diperlukan bagi menampung peningkatan indeks celik huruf di negara ini.

Usaha ini perlu digiatkan walaupun lambakan bahan bacaan digital secara percuma begitu meluas serta mudah diakses di internet.

Kehadiran aplikasi e-book, blog dan sebagainya tidak menggugat industri penerbitan bahan bacaan bercetak bahkan merancakkan lagi budaya membaca serta tradisi ilmu di negara kita.

Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia berada di belakang negara maju seperti Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman yang mempunyai kadar literasi tinggi sehingga 99 peratus.

Lazimnya semakin negara menempah kemajuan, rakyatnya lebih banyak dan kuat membaca. Ini kerana budaya membaca menjadi trend dan tradisi masyarakat negara maju sejak dahulu lagi.

Tambahan pula kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua meningkat ke tangga 45 daripada 129 negara yang terlibat dalam kaji selidik Laporan Pemantauan Global 2009 berbanding kedudukan 56 yang dicapai pada tahun 2008.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan komited menuju negara maju tidak lama lagi dan pencapaian itu bermakna Malaysia sebagai antara penyokong kuat Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA) menjelang 2015 bagi merealisasikan misi buta huruf sifar.

Dipetik daripada Rencana Utusan Malaysia 21 April 2009.

Isnin, 20 April 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 8)

-->

SEPULUH JONG MASUK KE PELABUHAN, ANJING BERCAWAT EKOR JUGA

Peribahasa ini bermaksud seseorang yang tidak mahu mengubah pendiriannya dan tidak mahu mengikut arus perubahan yang berlaku di sekelilingnya meskipun perubahan itu mendatangkan kebaikan dan kemajuan. Jong ialah alat pengangkutan air yang besar sedikit daripada perahu tetapi kecil daripada kapal. Apabila jong memasuki pelabuhan, anjing yang berada dalam ketakutan akan mencawatkan ekornya atau membengkokkannya ke bawah paha.

Dalam hal ini, manusia di mana-manapun di dunia, baik apa juga bangsa dan keturunan atau anutan agama mereka, tidak terlepas daripada sifat degil, keras kepala, atau tidak mahu mendengar nasihat orang lain. Sifat sedemikian adalah tidak elok dan tidak sewajarnya menjadi ikutan, lebih-lebih lagi bagi anak-anak muda yang sudah berpendidikan.

-->
Sikap enggan berubah atau menerima pendapat orang lain ini merupakan sikap negatif yang merugikan diri sendiri. Sikap ini dalam bahasa Arab disebut jumud . Perkataan jumud berasal daripada perkataan” jamad” yang bermaksud benda keras yang tidak bernyawa. Dari segi istilahnya, jumud boleh diertikan dengan berotak beku, sempit, pemikiran masih dijajah atau sebagainya. Dalam Islam, jumud dapat dikaitkan dengan satu bentuk pemikiran yang tidak terbuka menerima sesuatu perubahan yang diizinkan syarak.

Sikap ini jelas bertentangan dengan perkara ke-12 dalam Tonggak 12 Perkhidmatan Awam, iaitu Nikmat Mencipta yang menggalakkan kakitangan perkhidmatan awam agar mengamalkan sifat-sifat positif seperti berikut:

i. Berasa puas sekiranya sesuatu idea atau cadangan dapat dilaksanakan /dimanfaatkan.
ii. Sentiasa berada dalam cabaran intelektual.
iii. Sentiasa mencari idea dan kaedah baru dalam menyelesaikan masalah.
iv. Over-zealous ( penuh bersemangat) dengan pekerjaan.
v. Gembira dengan wujudnya idea dan kaedah baru dalam pentadbiran.
vi. Senang “ bermain” dengan idea dan berani mencuba.

Di samping itu, kakitangan awam turut diingatkan agar menjauhi sikap-sikap negatif seperti:

i. Berpuas hati dengan kedudukan yang sedia ada.
ii. Takut menemui kegagalan.
iii. Memandang remeh usaha orang lain.
iv. Berpemikiran tidak dinamik.
v. Mempertahankan status quo secara membuta tuli.
vi. Tidak suka pembaharuan.
vii. Tidak sabar dalam penciptaan baru ( tidak berinovasi).

Dalam konteks negara kita, sesetengah inovasi baru yang diperkenalkan oleh agensi-agensi kerajaan telah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak. Sebagai contoh, idea mewujudkan pungutan hasil setempat di pejabat pos pada mulanya diragui dan ditentang kerana kaedah tersebut berbeza dengan amalan biasa tetapi apabila dilaksanakan, cara ini bukan sahaja memudahkan urusan orang ramai, justeru kutipan hasil dapat dibuat dengan berkesan. Oleh yang demikian, kita sewajarnya bersikap terbuka dengan setiap pembaharuan yang diperkenalkan oleh pelbagai pihak. Dalam era perkembangan ICT dan dunia tanpa sempadan, sikap menolak teknologi yang ada hanya akan merugikan kita. Seharusnya, teknologi yang terhasil dimanfaatkan sebaik-baik mungkin demi meningkatkan martabat agama, bangsa, dan negara agar terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sabtu, 18 April 2009

Peperiksaan Yang Bakal Menjelang. Setakat Manakah Persiapan Anda?

Sejak awal tahun lagi, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan jadual peperiksaan bagi tahun 2009 iaitu untuk UPSR, PMR, SPM dan STAM, manakala Majlis Peperiksaan Malaysia pula telah mengeluarkan jadual peperiksaan untuk STPM dan MUET. Jadual ini penting sebagai panduan kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan ini terutama untuk membuat persiapan lebih awal. Walaupun tarikh peperiksaan tersebut semakin hampir, namun saya kira masih belum terlambat bagi pelajar-pelajar untuk membuat persiapan. Oleh itu, saya memuatkan jadual ini semula untuk memperbaharui ingatan pelajar-pelajar terhadap tarikh peperiksaan yang akan anda hadapi. Berikut adalah tarikh-tarikh peperiksaan yang berkenaan;

UPSR – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
Ujian Bertulis 8 – 10 September 2009

PMR – Penilaian Menengah Rendah
Ujian Bertulis
7 – 9 Oktober 2009
12 – 13 Oktober 2009

SPM – Sijil Pelajaran Malaysia
Amali
20 – 22 Oktober 2009
26 – 27 Oktober 2009
Ulangan 23 – 24 Jun 2009
Ujian Bertulis 19 November – 16 Disember 2009

STAM – Sijil Tinggi Agama Malaysia
Ujian Lisan 13 – 24 Julai 2009
Ujian Bertulis 19 – 21 Oktober 2009

STPM – Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia
Ujian Lisan
15 – 17 September 2009
28 – 30 September 2009
Ujian Bertulis 18 November – 10 Disember 2009

MUET – Malaysian University English Test
Pertengahan Tahun
Ujian Speaking 5 – 7 Mei 2009
Akhir Tahun
Ujian Speaking 6 – 8 Oktober 2009

Jumaat, 17 April 2009

Pendekatan Menjawab Soalan KBKK (Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis) BM SPM:

Soalan KBKK terkandung dalam soalan pemahaman Bahasa Melayu Kertas 2 SPM. Selain itu, aspek isi tersirat dalam rumusan juga merupakan aspek KBKK. Bagi soalan seumpama ini, pelajar tidak boleh mengambil isi daripada petikan, sebaliknya perlu mengemukakan pendapat atau pandangan sendiri tentang isu yang dibincangkan.

Dalam hal ini, garis panduan atau formula berikut boleh diikuti bagi memastikan soalan KBKK ini dapat dijawab dengan tepat dan mendapat markah yang baik. Untuk tujuan tersebut, pelajar perlu menitikberatkan 5 ciri yang berikut iaitu:

i. Relevan : Respons atau menjawab soalan yang ditanya
ii. Logik : dapat diterima akal
iii. Matang : menggambarkan aras pemikiran pelajar menengah atas
iv. Pelbagai : memberikan isi daripada pelbagai sudut
v. Positif : mengandungi nilai-nilai murni

Contoh Soalan & Jawapan:
Pada pendapat anda, bagaimanakah slogan Sebuah Rumah Sebuah Komputer dapat dijayakan.
(4 markah)

I. kerajaan mengadakan kempen kesedaran teknologi maklumat (secara besar-besaran) supaya rakyat menyedari kepentingan komputer
ii.syarikat komputer menjual komputer dengan harga lebih murah supaya lebih ramai orang mampu membelinya
iii.institusi kewangan mengadakan skim pinjaman pembelian komputer supaya rakyat berpeluang membelinya secara ansuran
iv.KWSP membenarkan pencarum mengeluarkan wang bagi pembelian komputer supaya mereka dapat membeli computer menggunakan wang simpanan mereka
v.pengedar komputer mengadakan promosi dengan meluas supaya rakyat peka akan kepentingan komputer