Jumaat, 15 Mei 2009

PERUTUSAN SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2009 “GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.

1. Marilah kita semua merafakkan syukur ke hadrat Allah SWT
kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru bagi tahun 2009.
Pada tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh negara menyambut Hari
Guru sebagai penghormatan jasa kaum guru dan tanda ucapan
terima kasih kepada mereka. Penghormatan ini amat layak diberikan
kerana usaha gigih guru dalam mendidik insan merupakan peranan
yang mulia. Pembangunan diri insan yang cemerlang akan
menentukan matlamat pembinaan sebuah negara yang maju dan
aman akan dapat kita capai.


2. Menyedari pentingnya pembinaan negara bangsa bagi
sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, Kementerian
Pelajaran telah memilih “Guru Pembina Negara Bangsa” sebagai
tema Hari Guru pada tahun ini. Keupayaan membina Negara Bangsa
amat bergantung kepada keutuhan perkongsian nilai serta semangat
patriotisme yang dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan
semua lapisan rakyat, terutama dalam kalangan generasi muda.
Menerusi semangat patriotisme, bangsa akan menjadi kuat, berani,
mempunyai kekuatan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk
ketahanan negara. Nilai sosial seperti semangat kekitaan, perasaan
saling hormat-menghormati, mengamalkan sifat toleransi, taat setia
dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap negara wajarlah
dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya
budaya hidup masyarakat.

3. Matlamat kerajaan untuk membina sebuah Negara Bangsa
adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia; rakyat didahulukan dan
pencapaian diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd
Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat
1 Malaysia ialah membina sebuah negara yang bersatu padu serta
menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati
kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak
ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang
disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi
masing-masing.

4. Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan
yang terancang, saya yakin dan percaya perpaduan dalam kalangan
rakyat akan dapat diperkukuhkan. Perpaduan merupakan aspek
penting dalam pembangunan negara. Oleh itu ianya perlu diberikan
perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap orang. Kementerian
Pelajaran akan terus menyokong pembinaan Negara Bangsa bagi
memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan
semangat kebangssan serta membangunkan sumber manusia
bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi
cabaran globalisasi.

5. Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat
memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab
mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk
menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme,
menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran; serta membentuk
akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.

6. Membina Negara Bangsa merupakan Teras Strategik yang
pertama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-
2010. Bagi menjayakan Teras Strategik ini, pelbagai program dan
projek yang berkaitan dengan kebahasaan, kesusasteraan, patriotik,
serta seni, warisan dan budaya telah dirancang oleh pihak
Kementerian. Ia bertujuan untuk memperkukuh perpaduan bangsa,
membina identiti nasional, memperteguh semangat kebangsaan
serta membangunkan sumber manusia bagi mengisi keperluan
negara. Semoga, dengan jati diri yang kental dan semangat patriotik
yang tebal, akan lahirlah bangsa Malaysia yang utuh dan bermaruah.

7. Tugas membina negara bangsa melalui pendidikan tidak akan
selesai. Sebaliknya ia semakin kompleks dan mencabar selaras
dengan kemajuan yang tidak terbatas pada masa kini. Saya menyeru
kepada semua guru supaya mempertingkatkan diri dengan ilmu dan
kemahiran supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih
berkesan. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh
masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti
supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak
didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah
berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat
memerlukan khidmat bakti para guru.

8. Kepada Kerajaan Pusat, jutaan terima kasih diucapkan atas
keprihatinan dan sokongan padu yang sentiasa diberi kepada
Kementerian Pelajaran. Malah, dalam kemuraman ekonomi dunia
yang mana Malaysia turut merasai bahangnya, kepentingan
pendidikan tetap diutamakan. Suntikan RM200 juta kepada
Kementerian Pelajaran dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang
pertama, diikuti RM2.093 bilion lagi melalui Pakej Rangsangan
Kedua merupakan bukti kukuh betapa komitednya pihak Kerajaan
dalam memastikan pembangunan pendidikan terus berjalan seperti
yang dirancang dan disasarkan.

9. Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima
kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan
pengorbanan kita akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap
dikenang sepanjang hayat.

“Selamat Menyambut Hari Guru”

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum
warahmatullahi wabarakatuh. Selamat Menyambut Hari Guru.



TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN

SELAMAT HARI GURU


Khas buat warga pendidik di mana-mana jua berada,


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Demikian sebahagian jasa guru daripada kaca mata sasterawan negara, Dato’ Dr Usman Awang. Betapa besarnya jasa guru tidak terungkap dengan kata-kata. Kerjaya sebagai guru, kerjaya mulia. Guru penyambung risalah rasul. Guru penyelamat insan daripada belenggu kejahilan. Guru penyampai ilmu paling setia. Tiap tutur bicara guru, bicara bermakna. Pesan guru menjadi bekal buat manusia menempuh alam dewasa. Bangga lah menjadi guru. Semoga kita dikurniakan kekuatan untuk menjadi guru yang bertugas penuh ikhlas demi memartabatkan anak bangsa dan agama. SELAMAT HARI GURU!

AKHLAK PENENTU KELANGSUNGAN TAMADUN BANGSA

Oleh MUHAMMAD HISYAM MOHAMAD

AKHLAK mulia merupakan unsur penting yang perlu ada dalam diri setiap umat Islam. Malah tujuan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT adalah untuk menyempurnakan akhlak mulia manusia.

Ia adalah cerminan kebersihan hati yang diterjemah menerusi tingkah laku pemiliknya. Jadi, jika seseorang itu beriman dan mengamalkan perintah Allah, maka akan timbullah sifat-sifat mulia dalam bentuk budi pekertinya.

Sebaliknya jika memiliki jiwa yang kotor, maka tingkah lakunya banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu yang cenderung untuk melakukan perkara yang dilarang oleh agama.

Dewasa ini kita berdepan dengan segala macam kerenah dan musibah yang berpunca daripada kelunturan penghayatan akhlak yang mulia di kalangan anggota masyarakat. Daripada masalah buli di kalangan pelajar sekolah hinggalah kepada onar oleh mat-mat rempit. Dan daripada soal kerenah birokrasi penjawat bawahan hinggalah kepada masalah akhlak golongan atasan. Semua itu berpunca daripada kurang penghayatan serta pengamalan kepada akhlak Islamiah yang dibawa oleh Nabi SAW.

Dalam satu riwayat, Saidatina Aishah r.a pernah ditanya berkenaan akhlak Rasulullah. Jawapan oleh Umm al-Mukminin itu amat ringkas sekali. Namun ia mempunyai pengertian yang besar iaitu akhlak Rasulullah "adalah al-Quran".

Kitab suci itu adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia. Jadi apabila Aishah menjawab seperti itu, secara jelas menunjukkan unsur akhlak tidak boleh dipandang remeh.

Dalam hal ini juga, kita tidak menafikan peranan tradisi keilmuan yang tinggi dalam pembangunan tamadun bangsa. Malah sejarah membuktikan bahawa bangsa yang mempunyai budaya ilmu yang baik mampu mencapai kemajuan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang kehidupan. Sebagai contoh, bangsa Yunani purba serta umat Islam suatu ketika dahulu telah mencapai kegemilangan masing-masing menerusi penghayatan tradisi keilmuan yang tinggi.

Namun tradisi keilmuan semata-mata tanpa penekanan yang sewajarnya diberikan kepada soal penghayatan nilai-nilai murni tidak memungkinkan kegemilangan tadi dapat bertahan lama.

Masyarakat Yunani purba walaupun berilmu, namun gagal daripada segi penghayatan dan amalan. Mereka mengakui bahawa ilmu perlu selari dengan akhlak, namun daripada segi amalan adalah sebaliknya.

Begitu juga dengan tamadun Islam. Jatuh bangun tamaddun ini sepanjang sejarah lalu ada kaitan rapat dengan amalan ajaran agama. Asuhan dan didikan Rasulullah SAW yang menekankan unsur pengukuhan akidah, penghayatan budaya ilmu dan pembinaan sahsiah berjaya mengangkat masyarakat Arab jahiliah.

Mereka menerima ajaran Islam untuk membina empayar pemerintahan dan membangunkan satu peradaban yang jauh mengatasi tamadun bangsa lain yang sezaman dengannya.

Kelunturan terhadap pegangan agama dan nilai murni yang dianjurkan agama Islam terutama di kalangan pemimpin telah menghumban maruah bangsa ke tahap paling rendah. Paling menyedihkan apabila masyarakat Islam sendiri menolak Islam dalam sistem pemerintahan. Ini berlaku di Turki selepas kejatuhan empayar Othmaniah. Pemimpin Turki mengisytiharkan ia sebagai negara sekular yang tiada hubung kait dengan dunia Islam. Secara tidak langsung ia menafikan kepentingan unsur akidah dan peranan akhlak Islamiah dalam membangunkan bangsa dan negara.

Hasilnya, hari ini tiada sebuah pun negara Islam disenaraikan sebagai negara maju walaupun kaya dengan sumber alam. Sebaliknya negara-negara Islam atau majoriti penduduk Islam terkenal dengan ciri kemunduran, pergolakan siasah, kekacauan, rasuah, tadbir urus yang lemah dan sebagainya.

Ini juga boleh dilihat di kalangan umat Islam Malaysia. Perangkaan pada 2008 menunjukkan, 48.7 peratus atau 13.67 juta penduduk terdiri daripada kaum Melayu beragama Islam. Tetapi jumlah yang ramai bukan bukti menunjukkan masyarakat Islam di Malaysia menguasai pelbagai bidang.

Memang tidak dinafikan terdapat ramai tokoh Melayu Islam yang menyumbang kepada usaha pembangunan bangsa dan negara. Namun orang Melayu juga dilihat begitu menonjol menerusi salah laku yang tidak selaras dengan ajaran agama. Islam menganjurkan umatnya supaya mengamalkan akhlak yang mulia di dalam kehidupan harian.

Lihat saja gejala mat rempit, penagihan dadah, buang anak dan jenayah lain. Majoriti ialah orang Melayu beragama Islam.

Ilmu semata-mata tidak menjanjikan kejayaan yang dihasratkan. Justeru jika kita ingin melihat masyarakat Melayu membangun dalam erti kata sebenarnya dan mampu mempertahankan kemajuan itu, kita tidak boleh mengabaikan unsur pengamalan dan penghayatan akhlak. Ia perlu ada dalam setiap peringkat pembangunan modal insan dan pendidikan anak-anak.

Usaha ini tidak seharusnya terhad kepada peranan ibu bapa dan guru-guru sahaja. Ia perlu melibatkan anggota masyarakat dan juga pihak pembuat dasar. Kerjasama semua pihak amat perlu.

Di sini kita melihat gabung jalin di antara sistem pendidikan oleh ibu bapa dan guru dengan sistem pemantauan oleh jiran dan ahli masyarakat. Ia perlu diperkukuhkan dengan penguatkuasaan undang-undang bagi membantu memperkukuhkan penghayatan nilai murni dan akhlak mulia masyarakat.

PENULIS ialah Felo, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, IKIM

Sumber : http://www.utusan.com.my/

PENDIDIKAN BERTERAS FITRAH

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

FITRAH ciptaan manusia ialah menjadi hamba kepada Allah SAW. Berasaskan kepada fitrah itu, maka umat Islam perlu membentuk jati diri berasaskan keimanan kepada-Nya. Dunia perlu dibangunkan berdasarkan perundangan dan peraturan di dalam al-Quran dan hadis. Ilmu dan pendidikan yang sempurna berperanan penting dalam pembentukan jati diri umat Islam.

Ciptaan manusia adalah terlalu unik dan pelbagai. Ia bertujuan memudahkan manusia mengendalikan urusan hidup secara terurus bagi membangun dunia sebagai persinggahan yang indah sebelum ke alam akhirat.

Manusia mempunyai perbezaan dalam akal fikiran, perasaan dan cita rasa. Kepelbagaian ini menyebabkan manusia mempunyai perbezaan corak kehidupan dan minat.

Perbezaan dan kepelbagaian ini merupakan perancangan Ilahi. Oleh itu, umat Islam sepatutnya memahami bahawa mereka akan menjadi umat paling baik jika mereka mendidik dan mengasuh anak-anak berasaskan kepada fitrah manusia diciptakan.

Setiap anak yang dilahirkan dihiasi oleh Allah dengan bakat dan kebolehan tertentu. Bakat anugerah Allah itu jika dipupuk dan diasuh sebaik mungkin, akan menjadikan umat Islam menguasai pelbagai kepakaran. Ia merupakan asas pendidikan Islam.

Masyarakat Islam kadang-kala membuat kesilapan dalam penafsiran kebijaksanaan dan kepintaran kanak-kanak dan pelajar. Pencapaian akademik dalam bentuk kecemerlangan sewaktu peperiksaan sering ditafsirkan sebagai kebijaksanaan. Mereka yang gagal dalam peperiksaan dianggap sebagai "bodoh dan kurang berkemampuan".

Sedangkan tidak semua manusia yang dicipta itu mempunyai bakat yang sama. Ibu bapa dan guru-guru dapat memahami bakat kanak-kanak dengan melihat cara mereka berfikir, bertindak dan berbicara. Gelagat dan tingkah laku mereka perlu diteliti dan dikaji supaya bakat yang dimiliki oleh mereka diperkembangkan mengikut fitrah mereka diciptakan.

Kanak-kanak dan pelajar yang tidak berminat dan kurang berjaya dalam akademik tidak sepatutnya dipaksa menuntut ilmu yang tidak diminati oleh mereka kerana ia bertentangan dengan fitrah ciptaan mereka.

Penilaian kebolehan para pelajar perlu dilihat dalam bidang mata pelajaran yang diambil oleh mereka secara keseluruhan bukan hanya menekankan sesuatu bidang sahaja. Tindakan begini boleh membantutkan pelajar untuk mengembangkan bakat dan kepakaran yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Kesilapan dalam penilaian kebolehan para pelajar dalam ilmu pengetahuan merupakan faktor utama yang menyebabkan negara menghadapi krisis pengangguran, bertambahnya bilangan remaja berkeliaran sehingga terjerumus dalam gejala tidak bermoral.

Oleh itu, sistem pendidikan perlu berasaskan kepada dua aspek utama iaitu mendidik para pelajar memahami kehendak rohani dan fizikal. Pendidikan rohani secara teori dan praktikal membolehkan pelajar mengimbangkan jiwa dan pemikiran mereka apabila berada dalam kegelisahan, kekecewaan dan penderitaan. Mereka tidak akan menjadi liar dan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri dan masyarakat. Pendidikan kerohanian boleh membentuk anak-anak dan pelajar menjadi mantap dan kental dalam mempertahankan prinsip hidup sebagai orang yang beriman dan mulia.

Pendidikan yang berasaskan kepada kehendak fizikal adalah berkaitan dengan kepelbagaian kepakaran dalam bidang ilmu sehinggalah kepada peringkat menjadi petani, nelayan dan buruh kasar. Para pelajar yang tidak berminat dalam bidang akademik, terkenal dengan kelasakan sepatutnya dimasukkan ke sekolah tentera dan polis sejak kanak-kanak lagi. Bakat lasak dan keberanian memberi gambaran kepada ibu bapa dan guru bahawa kanak-kanak ini akan menjadi wira dalam mempertahankan negara jika bakat dan minat mereka diasuh sejak kecil lagi. Bakat begini amat penting dalam latihan ketenteraan dan pertahanan negara.

Rasulullah SAW dan para sahabat amat prihatin mengasuh kanak-kanak, sama ada lelaki dan perempuan menjadi lasak dan berani. Menunggang kuda dan memanah merupakan satu latihan lasak yang diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Latihan begini boleh membentuk remaja lelaki dan wanita menjadi orang yang mempunyai jiwa kental dalam mempertahankan negara dan masyarakat.

Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pertahanan perlu bekerjasama dalam mengembangkan bakat dan minat kanak-kanak dan remaja yang tidak berminat dalam bidang akademik.

Kanak-kanak dan pelajar dalam kategori ini sepatutnya diberi pendidikan dalam bentuk pergerakan fizikal, kemantapan mental dan kerohanian. Ilmu pengetahuan yang diajar kepada mereka adalah berkaitan dengan sejarah dunia, kepahlawanan dunia, strategi mempertahankan negara, politik dan seumpamanya. Ilmu-ilmu begini amat penting diserapkan ke dalam minda remaja dalam golongan ini kerana ia boleh membentuk mereka menjadi orang yang amat prihatin terhadap keselamatan masyarakat dan negara. Sekolah dan institusi melatih remaja dan lelaki dan wanita berkaitan dengan ilmu kepahlawanan amat penting bagi memperkukuhkan kedudukan politik dan keselamatan negara.

Kanak-kanak yang lemah dalam bidang akademik dan mempunyai personaliti yang agak pasif perlu diberi latihan dan pendidikan berkaitan dengan kemahiran pertukangan, jahitan, kesenian, pertanian dan ilmu-ilmu yang membolehkan mereka berdikari dan mencari nafkah hidup. Ia sekali gus membantu negara menonjolkan keindahan Islam melalui kreativiti mereka. Kanak-kanak dalam golongan ini dianugerahkan oleh Allah dengan bakat seni dan kehalusan yang mampu mengeluarkan barang-barang yang unik dan indah. Oleh itu usah diasak pemikiran mereka dengan ilmu-ilmu akademik yang tidak diminati dan dicapai oleh akal fikiran mereka.

Latihan dan proses memperkembangkan bakat perlu dilakukan ketika mereka di peringkat kanak-kanak dan remaja. Ilmu dalam perspektif Islam adalah luas dan merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Kepelbagaian bakat dan minat merupakan satu bentuk ciptaan Allah. Ini kerana untuk membangun dan membina tamadun yang tinggi, manusia memerlukan kepelbagaian peranan dan kepakaran. Buruh juga memainkan peranan penting bagi menghasilkan pengukuhan bangunan dan pekerjaan yang memerlukan tenaga dan titik peluh. Oleh itu taraf dan status manusia di sisi Allah ialah ketaqwaan bukan wang dan pangkat.

Allah tidak menjadikan kesemua manusia mempunyai bakat menjadi pemimpin, sarjana dan kepakaran yang sama kerana jika ini merupakan fitrah ciptaan Allah maka dunia akan hancur kerana masing-masing berebutrebut untuk menjadi pemimpin dan menjawat jawatan tinggi.

Oleh itu sistem pendidikan negara sepatutnya dikaji semula supaya kanak-kanak yang nakal dan lasak tidak memilih jalan hidup menjadi pelumba haram di jalan raya kerana bakat dan keberanian mereka tidak disalurkan ke arah latihan dan pendidikan sejajar dengan "bakat" berkenaan.

PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM

Sumber : http://www.utusan.com.my/

TAFSIRAN BARU TENTANG GURU


DEFINISI BARU GURU

Guru itu bukan lagi lilin
yang menyuluh
sedang diri sendiri
dibiar terbunuh

Bukan juga api pelita
membuat udara berjelaga
semakin kelam
dan mungkin juga padam
di tengah malam

Guru itu bagiku
mentari di siangnya
dan purnama di malamnya
menyuluh dengan cahayanya
bukan dengan apinya

Guru itu menilai
bukan dengan jari dan jelir
tetapi dengan dhamir dan fikir

Guru itu mengajar
bagaimana belajar
menjadi insan terpelajar
sedang dia sendiri tekun mendengar
bukannya cakap berdegar

Nukilan: Abd Bashid Harun

Sumber:http://gurubashid.com/

Khamis, 14 Mei 2009

PENDIDIKAN ABAD KE-21

Aristotle pernah menyatakan bahawa nasib sebuah empayar bergantung kepada pendidikan belia. Segala kekuatan atau kelemahan yang diperhatikan dalam masyarakat berkait rapat dengan jenis pendidikan yang kita beri kepada pemuda-pemudi kita. Selanjutnya, apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan ‘Education is that which remains, when one has forgotten all that he learned in school’? (Pendidikan adalah apa yang tertinggal, setelah seseorang lupa apa yang dipelajari di sekolah.) Bukankah kenyataan itu bersifat ironik? Barangkali kenyataan itu mengingatkan kita bahawa pendidikan bukan setakat mengisi ilmu ke dalam kepala murid seperti kita mengisikan air ke dalam baldi. Sebaliknya, lebih-lebih lagi dalam zaman sekarang, pendidikan seharusnya mengupayakan seseorang dengan sikap, kemahiran dan ilmu (ASK-Attitude, Skill and Knowledge) untuk melakukan sesuatu perkara-perkara yang perlu dan patut dilakukan dalam konteks persekitaran yang sentiasa berubah dan semakin menjadi ‘rata’ (The World is Flat, Thomas L. Friedman).


Mengikut Laporan UNESCO (Report Of The International Commission On Education For The Twenty First Century), pendidikan yang berterusan sepanjang hidup harus berasaskan empat tonggak, iaitu: ‘Learning to know’ (belajar untuk tahu); ‘Learning to do’ (belajar untuk buat); ‘Learning to live together’ (belajar untuk hidup bersama) dan ‘Learning to be’ (belajar untuk menjadi). Pada peringkat asas, pendidikan seharusnya dapat memberi seseorang kanak-kanak pendedahan kepada pengetahuan yang luas dan pelbagai sebelum dispesifikkan secara mendalam dalam bidang-bidang tertentu. ‘Belajar untuk tahu’ membantu seseorang membina satu spektrum ilmu yang membolehkan dia memilih bidang yang sesuai dengan lebih jitu. Ilmu di sini juga merangkumi cara belajar—sesuatu kemahiran yang begitu diperlukan untuk memudahkan seseorang menikmati peluang-peluang belajar yang begitu banyak dari pelbagai sumber. Ilmu yang diperoleh harus seiring dengan kemahiran untuk melakukan tugasan berasaskan ilmu itu. ‘Belajar untuk buat’ bukan dihadkan kepada kemahiran operasi atau mekanikal sahaja tetapi merangkumi kompetensi-kompetensi seperti kebolehan untuk menangani situasi-situasi yang tidak dijangka, kerja berpasukan, menyesuaikan diri dalam pelbagai konteks sosial dan kerja.


Kita semua perlu kerap mengingatkan diri kita sendiri bahawa, tidak kira betapapun perbezaan kita dari segi bangsa, agama, status sosial, ekonomi, politik atau aspek-aspek yang lain, kita hidup di atas planet yang sama. Lambat –laun, suka atau tidak suka, secara langsung atau tidak langsung, masalah orang lain akan menjadi masalah kita juga. Berjaya atau tidak sistem pendidikan untuk melatih ‘belajar untuk hidup bersama’ jelas dilihat dari hal-ehwal semasa yang berlaku di sekitar kita. Satu sistem pendidikan, dari penggubalan dasar, pembentukan struktur pentadbiran, perjawatanan, sehingga ke pelaksanaan di peringkat sekolah, dengan sendirinya menjadi satu model (sama ada baik atau tidak) kepada pendidikan yang berunsurkan ‘belajar untuk hidup bersama’ . Usaha membawa pendidikan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi dapat diperhatikan dari aspek pemupukan saling kesefahaman antara satu sama lain, apresiasi kepada keperluan saling bergantung (interdependence), pengurusan konfik dengan semangat saling menghormati nilai-nilai pluralistik dan saling kesefahaman yang mementingkan keharmonian. Di peringkat sekolah, pemupukan nilai dan kemahiran tersebut perlu digiatkan melalui pendekatan yang lebih holistik. Dalam konteks ini, guru-guru, ibu bapa dan masyarakat secara umumya, ada peranan untuk membimbing mereka yang terperangkap di dalam konflik kefahaman antara apa yang dipelajari dengan realiti. Mereka perlu diberi keyakinan bahawa konflik itu lebih merupakan persepsi yang diakibatkan oleh prejudis dan akan menjadi berkurangan apabila mereka membesar dan memperoleh lebih banyak ilmu. Keyakinan positif ini harus diberi, tidak kira tahap keyakinan diri kita, demi untuk mencipta satu masa depan yang lebih cerah apabila kita semua benar-benar dapat hidup bersama.


Selanjutnya, ‘belajar untuk menjadi’ menuntut satu usaha pendidikan yang gigih ke arah membangunkan modal insan yang mempunyai keperibadian yang halus, boleh bertindak dengan lebih autonomi, berkebolehan membuat penilaian atau pertimbangan yang lebih adil, rasional dan jitu, mempunyai tanggungjawab kendiri yang lebih tinggi dan membolehkan potensi individu seseorang itu berkembang dengan optimum. Sekali lagi, perkara ini merupakan satu usaha padu yang mencabar, yang memerlukan koordinasi semua pihak dan semua peringkat yang koheren dan realistik. Kualiti pemimpin dan guru menjadi penentu kejayaan yang penting. Juga, semua sekolah mempunyai unsur-unsur yang berlainan yang kadang-kadang menyebabkan kaedah acuan ala kilang tidak terlaksana. Tahap ‘autonomi’ yang berpatutan diberi kepada sekolah akan mempengaruhi usaha untuk menyemaikan budaya pemikiran kreatif, kritis dan inovatif dalam kalangan murid melalui program mengikut acuan tersendiri.Saling kesefahaman tentang hakikat ini dan pengupayaan yang dibenarkan di sekolah akan memudahkan poses ‘belajar untuk menjadi’. Perkara ini perlu ditegaskan kerana kejayaan ‘belajar untuk menjadi’ amat dipengaruhi oleh suasana yang kondusif yang memberi ruang dan peluang untuk pekembangan individulistik dan tanpa melalui ‘centralised mass command’ yang terlalu kerap.


Akhir sekali, yang paling mencabar ialah bagaimana merealisasikan segala yang dinyatakan di atas supaya ilmu pengetahuan diterjemahkan kepada amalan, amalan dijadikan budaya, budaya membawa kejayaan, seruan menjadi realiti. Apa yang kurang daripada itu ialah retorik sahaja.


Sumber: http://thinkingallowed1.blogspot.com/

PENANDA WACANA UNTUK PENULISAN KARANGAN

i) Penanda permulaan karangan
a) Pada era globalisasi ini,
b) Pada zaman pascakemerdekaan ini,
c) Dalam meniti arus kemodenan ini,
d) Dewasa ini,
e) Pada masa ini,
f) Kini,
g) Dasawarsa ini,
h) Dalam meniti kehidupan pada marcapada,
i) Sejak sedekad yang lalu,
j) Sejak negara menikmati arus kemerdekaan,
k) Kebelakangan ini,
l) Belakangan ini,
m) Sejak akhir-akhir ini,

ii) Penanda memulakan isi baharu
a) Selain itu,
b) Di samping itu,
c) Sementara itu,
d) Lebih-lebih lagi,
e) Dalam pada itu,
f) Lain daripada itu,
g) Pada waktu yang sama,
h) Dalam pada itu,
i) Seterusnya,

iii) Penanda huraian isi karangan
a) Hal ini demikian kerana
b) Hal ini berlaku kerana
c) Hal ini terjadi kerana
d) Hal ini disebabkan oleh
e) Hal ini wujud akibat daripada
f) Hal ini bersangkut-paut dengan
g) Hal ini berpunca daripada
h) Hal ini tercetus apabila
i) Hal ini timbul apakala

iv) Penanda memberi contoh dalam karangan
a) Misalnya,
b) Contohnya,
c) Sebagai contoh,
d) Tamsilnya,
e) Sebagaimana yang kita sedia maklum,
f) Antaranya adalah seperti

v) Penanda menghuraikan contoh
a) Hal ini mengakibatkan
b) Hal ini menyebabkan
c) Oleh itu,
d) Maka,
e) Oleh hal yang demikian,
f) Oleh sebab itu,
g) Jelaslah bahawa
h) Justifikasinya,

vi) Penanda menutup isi
a) Kesannya,
b) Natijahnya,
c) Akibatnya,
d) Akhirnya,
e) Dengan itu,
f) Dengan berbuat demikian,
g) Dengan keadaan sedemikian,

vii) Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat
Contoh:
Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala (Huraian 1) _(x)_ membimbangkan semua pihak. (Huraian 2)

a) justeru
b) malah
c) malahan
d) tambahan pula
e) sementelahan
f) sekali gus
g) di samping
h) bahkan
i) malar-malar

viii) Penanda memulakan perenggan penutup
a) Kesimpulannya,
b) Intihanya,
c) Secara tuntas,
d) Konklusinya,
e) Sebagai penutup wacana,
f) Sebagai penghias bicara akhir,
g) Sebelum mengakhiri wacana ini,
h) Secara keseluruhan,
i) Secara total,

ix) Penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza
a) Walau bagaimanapun,
b) Walakin begitu,
c) Namun demikian,
d) Daripada perspektif yang berbeza,
e) Jika dilihat dari sudut lain,
f) Dengan kata lain,
g) Kontradiksinya,
i) Di sebalik itu,
j) Dalam pada itu,
k) Dari sudut lain,

x) Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa
a) Bak kata peribahasa, .......
b) Bak kata peribahasa Melayu, ............
c) Bak kata orang tua-tua, ...........
d) Bak kata mutiara, .........
e) Bak peribahasa, ............
f) Bak kata cendekiawan, .............
g) Persis kata peribahasa, ............
h) Persis kata peribahasa Melayu, .............
i) Persis kata orang tua-tua, ............
j) Persis kata mutiara, ............
k) Persis peribahasa, ...............
l) Persis kata cendekiawan, .............
m) Hal ini sama dengan peribahasa ..........
n) Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni .......
o) Fenomena ini dikatakan
p) Masalah ini sama dengan peribahasa ...........
q) Saya yakin rakyat Malaysia mengenali peribahasa ..........

Sumber: http://mindasasterabahasa.blogspot.com/