
Khamis, 21 Mei 2009
PUNCA BERLAKUNYA KEKURANGAN KESEDARAN SIVIK DALAM KALANGAN MASYARAKAT DAN LANGKAH MENGATASINYA

HANYA TINDAKAN TEGAS BOLEH ATASI GEJALA SAMSENG JALANAN

PELBAGAI pihak memberi pandangan berbeza mengenai langkah polis mahu istilah mat rempit ditukar kepada samseng jalanan tetapi orang ramai bersetuju dengan cadangan supaya kesalahan itu dikenakan hukuman lebih berat, termasuk penjara mandatori. Ini bermakna, apa pun istilah digunakan, yang penting ialah apa tindakan seterusnya bagi menangani gejala tidak sihat ini - dari segi penguatkuasaan, pindaan undang-undang supaya mereka terbabit dikenakan hukuman setimpal dan kerjasama masyarakat umum, termasuk tindakan proaktif di kalangan ibu bapa untuk mengawasi tindak-tanduk anak mereka. Sejak kebelakangan ini, kegiatan samseng jalanan itu menggemparkan apabila mangsa meninggal dunia. Berdasarkan cadangan polis, ia mahu Kementerian Pengangkutan meminda Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan samseng jalanan dikenakan hukuman penjara mandatori. Ketika ini, kesalahan mengikut seksyen itu boleh dihukum maksimum penjara lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 serta lesen memandu digantung dua tahun bagi kesalahan pertama dan sehingga 10 tahun jika kesalahan berulang, tetapi dalam kebanyakan kes pesalah hanya dikenakan denda. Hukuman penjara mandatori seperti dicadangkan polis itu hanya bagi samseng jalanan berumur 18 tahun ke atas, manakala mereka di bawah umur disaran dihantar ke sekolah juvana kerana mereka masih tertakluk kepada Akta Perlindungan Kanak-kanak. Cadangan itu adalah satu daripada pelan jangka panjang bagi menangani gejala buruk yang kini semakin meruncing.
Kita sependapat dengan polis iaitu jika hukuman penjara mandatori dikenakan, samseng jalanan mungkin berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan itu kerana takut masuk penjara. Apapun, kita berharap cadangan itu menjadi kenyataan, bukan 'tersadai' begitu saja dan muncul semula apabila kegiatan merempit kembali berleluasa. Dari segi istilah, kita tidak pasti sejauh mana keberkesanan penukaran nama itu. Istilah mat rempit sudah begitu sinonim digunakan dan bukan senang untuk mengubah panggilan itu. Pencarian melalui google menunjukkan hits sebanyak 849,000 untuk perkataan mat rempit, apatah lagi memang ada filem bertajuk Remp-it yang mendapat sambutan orang ramai sebelum ini. Mungkin polis ada alasan tersendiri untuk menukar istilah itu bagi memberi imej yang menggambarkan kegiatan samseng serta mengelak salah tanggapan terhadap penunggang motosikal biasa. Mungkin juga elok penggunaan samseng jalanan ini tidak terbatas kepada pengguna motosikal yang melakukan jenayah seperti ragut, merompak dan sebagainya. Sepatutnya, istilah itu diperluaskan untuk pemandu kereta yang melakukan jenayah sama termasuk di kalangan pembuli di jalan raya. Apa yang menyedihkan ialah kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini mendapati 95 peratus belia yang merempit terdiri daripada remaja Melayu - kebanyakannya berusia antara 14 hingga 25 tahun. Malah, Kementerian Pelajaran juga mungkin perlu mewajibkan subjek moral dan pendidikan keagamaan sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan yang ada sekarang, bagi menyemai nilai murni di kalangan pelajar supaya suatu hari nanti mereka tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral itu.
Sumber: http://www.bharian.com.my/
Rabu, 20 Mei 2009
GURU SEBAGAI PEMBINA NEGARA BANGSA
Hari Guru 2009 pada 16 Mei telah menjadikan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ sebagai tema bagi tahun ini. Kebetulan sehari sebelumnya, iaitu pada petang 15 Mei, saya diminta pihak penganjur mempengerusikan satu Forum Pendidikan dengan membahaskan tajuk yang sama di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Hari Guru 2009 adalah dibuat sambutan perayaannya di Kuala Terengganu.
Tokoh besar lagi tersohor dalam dunia pendidikan dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan (1985-1991), Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abd Rahman Arshad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Operasi), Datuk Hajah Noor Rezan bt Bapoo Hashim dan serta Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Dr Julaihi Bujang menjadi Ahli Panel Forum. Kehadiran para guru, wakil-wakil pertubuhan dan jemputan khas kira-kira sekitar 1,300 orang cukup membanggakan dan amat terkesan.
Bagi saya, ‘guru’ adalah suatu istilah murni, besar, istimewa dan unik dalam konteksnya tersendiri. Bagi mana-mana negara maju atau yang ingin mencapai kemajuan, pendidikan menjadi teras utama pembangunan sumber manusia atau modal insannya. Itulah yang dilakukan Kerajaan Malaysia.
Dasar-dasar pendidikan digubal dan diperkukuh sejak kemerdekaan melalui Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pelajaran (Pindaan) 1996. Dasar Pendidikan Kebangsaan Malaysia sangat jelas mendukung prinsip-prinsip pendidikan dan falsafah ke arah mengangkatkan martabat warga dengan keunggulan jasmaniah, emosi, rohaniah dan intelektual.
Masyarakat menaruh harapan sangat besar terhadap guru, hatta isu mat rempit pun dikaitkan dengan guru. Masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak generasi baru sering dikaitkan dengan guru. Kita tidak mempertikaikan kalau guru dituding jari jika ia dalam soal disiplin di sekolah.
Tetapi kalau masalah merempit dan perlakuan jenayah sewaktu berada di rumah atau di tengah-tengah masyarakat, apakah guru masih mahu dipersalahkan? Pada hemat saya, tindakan menyalahkan guru kerana anak-anak menjadi mat rempit itu adalah tuduhan keterlaluan dan melampau.
Ibu bapa harus mengambil tanggungjawab besar mengasuh, mendidik dan mengajar anak masing-masing sebagai sokongan utama kepada apa yang dilakukan sekolah. Negara bangsa sukar terbentuk dalam keadaan lunturnya kecintaan kepada ilmu, keruntuhan nilai moral, tipisnya amalan agama, merosotnya kesayangan kepada masyarakat dan kecintaan kepada citra kenegaraan secara bersama.
Memang seorang guru itu seorang pendidik, pemantau kemajuan pelajaran, pembimbing, pengasuh nilai, pengajar subjek dan harus menunjukkan teladan yang baik. Pepatah Melayu menyebut ‘Guru kencing berdiri, pasti murid akan kencing berlari’. Maknanya nilai-nilai adab dan adat, budi bahasa, berakhlak mulia datangnya daripada guru dan sekolah. Sungguh pun begitu, tanpa persepakatan ibu bapa-guru, perkongsian tanggung jawab bagi melahirkan anak bangsa yang berilmu, berkemahiran, berketerampilan dan holistik tidak mudah dicapai.
Kadang-kadang masyarakat tidak semestinya selalu benar. Dahulu, nilai-nilai murni dikongsi bersama di kalangan masyarakat. Seorang anak yang nakal atau jahat apabila dimarahi guru atau mendapat hukuman sekolah akan disokong ibu bapa, bahkan ditambah hukumannya. Sekarang guru tidak boleh melakukan sedemikian lagi.
Pesan orang-orang tua dahulu bahawa ‘saya serahkan anak saya untuk belajar, hukumlah dia jika bersalah, asalkan tidak patah, buta dan pekak’, mungkin hilang di tengah-tengah zaman yang dianggap serba moden ini, dipenuhi dengan tuntutan liberalisasi dan hak asasi manusia.
Pedoman Islam tentang pendidikan atau rujukan kepada penulisan besar karya ulama dan hukama silam semakin diketepikan. Pemikiran tokoh besar seperti Ibnu Khaldun hanya tersimpan di rak-rak perpustakaan, walhal dunia Barat masih menjadikan karya-karya besar sarjana Islam itu sebagai bahan kajian mereka.
Abad ke-21 adalah abad kuasa. Inilah abad kelompok manusia berpengaruh menguasai tampuk politik, perebutan kekayaan harta benda dan konflik sehingga menimbulkan perang dan keganasan. Jadi kebijaksanaan para guru bagi memahami dan menghayati hakikat sedemikian ikut dinanti. Jalan hikmah patut dibina sebagai pandu arah pembinaan sebuah negara bangsa yang berjaya.
Kepelbagaian di Malaysia merupakan aset penting. Kepelbagaian etnik atau kaum, agama, budaya, bahasa, adat resam patut diterjemahkan secara kreatif dan inovatif. Kita mahukan perpaduan bangsa yang kukuh. Jika konsep negara bangsa sering dikaitkan sebagai satu bangsa bagi sebuah negara, maknanya bagaimana kita boleh meyakinkan rakyat Malaysia bahawa mereka itu merupakan satu bangsa meskipun terdiri dari pelbagai keturunan.
Bangsa dalam konteks kenegaraan bermakna sebuah nusa yang rakyatnya berkongsi citra kenegaraan dan ikatan persamaan-persamaan bukannya perbezaan. Kita menjadi satu kerana sebuah Perlembagaan Negara yang kita miliki, ada tonggak-tonggak kenegaraan dengan adanya ketetapan tentang dasar bahasa, agama, institusi ketua negara, hak-hak asasi dan sebagainya.
Rakyat dan setiap warga negara perlu memahami ciri-ciri kesatuan dan persatuan bangsa, baik dalam bentuk institusi seperti institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja dalam institusi pemerintahan, mahupun institusi budaya, institusi pendidikan dan latihan, institusi agama dan bermacam institusi sosial yang wujud. Pokoknya adalah pemahaman hierarki, peranan dan tanggung jawab institusi itu yang turut menjadikan kita ini satu bangsa. Kita akan selalu menanyakan apakah bentuk masyarakat dan rupa bangsa negara yang akan datang?
Kita mahukan masyarakat yang progresif, dinamik dan pengamalan nilai-nilai positif serta sedia menghadapi cabaran-cabaran zaman. Sebenarnya tidak semua orang boleh menjadi guru. Maka kerjaya guru yang sedang berkembang ke arah suatu profesion itu, akan sama seperti pengamal undang-undang, jurutera, arkitek dan doktor yang dikawal badan-badan profesional masing-masing.
Seseorang calon guru tidak perlu memilih kerjaya ini atas sebab kesukaran mendapat kerja lain yang diminati. Orang-orang begini dari awal-awal lagi tidak perlu menawarkan diri. Dalam bidang perguruan, kita memerlukan kualiti, tetapi bukannya kualiti akademik semata-mata, tetapi juga pengetahuan budaya.
Negara kita yang terbahagi kepada bandar-luar bandar, kaya-miskin rakyatnya, sifat suku bangsa Sabah-Sarawak berbanding dengan kaum di Semenanjung, murid pandai-tidak pandai atau sebagainya menuntut guru-guru yang memahami hakikat tidak selorong jalan.
Institusi latihan perguruan hendaklah melihat ke depan dari segi kurikulum latihannya. Kepemimpinan amat penting. Dalam konteks apa-apa pun, ciri-ciri kepemimpinan menjadi ukuran kejayaan atau kegagalan sesebuah sistem, institusi dan organisasi.
Guru adalah juga seorang pemimpin, sama hebatnya dengan mana-mana peringkat seorang pegawai pendidikan. Malahan Kementerian tidak akan mengetahui semua perkara dan tidak boleh bertindak dengan arahan semata-mata. Hubungan dua hala atas ke bawah serta bawah ke atas semakin penting. Ada perbezaan antara gunung dengan jurang, antara peringkat pusat dengan negeri, daerah, desa.
Peranan kepimpinan dari sekolah sehingga ke peringkat Kementerian perlu sentiasa padu dan bersatu. Tan Sri Abd Rahman Arshad mahukan ‘kongkongan’ hubungan itu dilepaskan. Perubahan dan kepakaran dalam pendidikan ikut mencabar akal budi para guru untuk menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang bukan sahaja kepada pelajaran, keluarga, institusi tetapi perubahan persepsi.
Di sekolah, tugas guru adalah mendidik. Sekolah pula merupakan institusi masyarakat. Jadi guru perlu peka dengan suasana tarikan negatif di luar dengan adanya pengaruh media elektronik dan cetak, gedung raya membeli belah, kafe siber, pusat-pusat hiburan dan pengaruh teknologi maklumat. Maknanya kerjaya pendidikan bukan semudah yang disangka.
Citra negara bangsa adalah citra kesatuan. Konsep ‘1Malaysia’ memang kena pada tempat dan masanya. Pemikiran ke hadapan di kalangan guru dan pakar pendidikan di Kementerian sangat penting. Minda atau akal budi yang berdisiplin, tahu melakukan sintesis, kreatif, tahu hormat dan membina etika dalam serba hal akan banyak membantu kelahiran sebuah negara bangsa yang kukuh perpaduannya, mantap kejatidiriannya dan seimbang.
Maka pembinaan modal insan dalam struktur dan matlamat yang benar perlu didukung perubahan dan transformasi. Memang guru itu pembina negara dan bangsa. Semua orang kena menyatakan 'Terima kasih Cik Gu’.
Sumber :http://www.sinarharian.com.my/
Selasa, 19 Mei 2009
GURU KECEWA ANAK KURANG BERJAYA

BERSAMA DR RUBIAH K HAMZAH (PAKAR MOTIVASI)
Ramai anak didik berjaya dalam pelajaran dan mendapat kerjaya baik, berbanding anak sendiri
Soalan:
SAYA seorang guru yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun. Alhamdulillah, ramai anak didik saya berjaya dalam pelajaran. Bangga saya melihat mereka melanjutkan pelajaran ke universiti dan mendapat kerjaya yang baik.Malangnya, anak saya sendiri tidak pula begitu. Mereka tidak maju dalam pelajaran dan membuatkan saya tertekan memikirkan keadaan ini. Saya berasa seperti tidak berjaya menjadi ibu yang baik, berbanding kejayaan saya sebagai seorang guru.
Jawapan:
Salam sejahtera cikgu. Tahniah umi ucapkan kerana berjaya mendidik anak murid hingga berjaya ke menara gading. Ini satu ibadah yang amat besar imbalannya dari Allah jika dilakukan ikhlas kerana Allah. Ini bermakna cikgu seorang pendidik yang baik.
Menjadi pendidik dan mendidik anak orang memang lebih mudah berbanding mendidik anak sendiri. Sebab itu dipesan agama “anak kadang kala menjadi ujian dan cabaran yang boleh membuat kita merengkok ke neraka.”
Juga dipesankan oleh bijak pandai bahawa “guru yang hebat itu bermula dengan menjadi guru pertama yang baik dan berjaya mendidik anaknya dalam sekolah pertamanya iaitu rumahnya sendiri”. Jika ini tidak terjadi maka pasti ada yang tidak beres dalam kehidupan di rumah. Keluhan yang cikgu kemukakan pada umi adalah luahan biasa sebagai ibu bapa. Contohnya pengalaman umi sebagai pendidik di rumah untuk anak jiran dalam kelas mengaji al-Quran.
Bila ditanya ibunya, kenapa tak mengajar anak sendiri mengaji, jawapan mereka susah nak mengajar anak sendiri daripada mengajar anak orang. Akhirnya anak sendiri minta diajarkan oleh orang lain. Kononnya bila ibu mengajar anak sendiri, marahnya cepat menggunung dan tangannya terlalu cepat singgah ditubuh anak. Akhirnya anak menangis dan pengajaran tidak berjalan. Mengajar anak sendiri lebih sulit kerana kita mengetahui semua perlakuan, kekuatan dan kelemahan anak kita. Keadaan diburukkan lagi ada sikap yang terbina dalam diri guru di rumah, bahawa memarahi anak sendiri tidak mengapa kerana kuasa di tangan kita sepenuhnya. Kalau anak tak mahu ikut, kita boleh denda dengan seribu jenis ugutan kerana anak kita tidak akan menentang. Kononnya memang ibu bapa punya kuasa autonomi ke atas anak.
Jadi, apa pun yang kita buat dia tetap bersama kita. Berbanding mengajar anak orang, sikap kita lain daripada sikap kita mengajar anak sendiri. Dengan anak orang di sekolah, guru dikawal oleh banyak peraturan. Tidak boleh banyak marah budak, tidak boleh pukul sebarangan dan kita bimbang akan disemak oleh majikan hasil kerja kita, dituntut oleh ibu bapa murid sekiranya berlaku salah kendalian terhadap anak mereka dan sebagainya. Hasilnya guru bersikap lebih lembut, lebih bersungguh-sungguh mendidik kerana itu bukti yang menjulang nama guru dan sekolah bila anak didik berjaya. Ada pujian dan penghargaan daripada pelbagai pihak, ada kenaikan pangkat dan ada pencapaian cemerlang dan sebagainya.
Lebih penting lagi mengajar di sekolah kerana anda makan gaji atau cari rezeki. Jika salah adun, kerja hulu hala, rezeki jadi tidak pasti berkat atau tidak, sedangkan mengajar anak di rumah tidak ada sebarang kayu ukur penilaian, percuma dan masanya tidak terjadual dengan baik dan mungkin dibuat bila senang dan lapang. Maka anak kita lebih terbiar dari segi jadual berinteraksi yang pasti anak dengan ibu bapa sebagai guru pertamanya dan rumah tidak menjadi sekolah pertama anak berbanding dengan anak murid yang terjadual interaksinya dengan guru di sekolah.
Sebab kedua, cikgu tertekan kerana cikgu berasa hanya kejayaan akademik saja yang akan menjamin kehidupan masa depan. Lalu cikgu membanding-bandingkan anak sendiri dengan anak murid. Cikgu tidak sewajarnya membandingkan sebegitu kerana bila membanding cikgu akan berasa anak cikgu serba kurang daripada anak didik cikgu. Akibatnya cikgu mula patah semangat dan memandang rendah keupayaan anak sendiri, sedangkan mereka juga mampu berjaya, tapi bila perbandingan berlaku, anak cikgu jika mungkin mengalami tekanan jati diri rendah, lalu kurang berminat untuk memburu kecemerlangan lagi.
Jika keadaan ini berlaku cikgu akan mengalami keadaan lebih sukar memotivasi mereka. Oleh itu nasihat umi, cikgu terimalah hakikat bahawa anak cikgu hebat sebab ibu ayahnya hebat, tetapi tahap dan bidang kehebatannya mungkin bukan dalam akademik tapi dalam sukan, dalam ko-kurikulum, mungkin dalam bidang komputer, mungkin dalam bidang seni dan bidang bukan akademik lainnya yang juga mampu membuahkan hasil yang baik sebagai kerjaya akan datang.
Bidang ini tidak terfokus pada markah dan akademik saja. Pengalaman umi sendiri ada anak lelaki yang rendah pencapaian akademik berbanding adik-beradik yang lain. Saya dorong dia dalam bidang lain, berdasarkan potensinya didapati dia berminat tinggi dalam hal bukan akademik. Akhirnya dia mampu bekerja sendiri (membuka bengkel kereta sendiri) yang keupayaannya jauh lebih baik daripada kakaknya yang masuk universiti. Malah, kakaknya pula kagum pada keupayaan adiknya yang tidak tinggi pencapaian akademiknya dulu tapi cemerlang dalam bidang yang dipilihnya.
Sebab itu bersabarlah dalam mendidik anak. Jangan sekali-kali membandingkan anak kita dengan anak orang, sebab kita tak tahu bagaimana ibu bapa mereka mendidiknya di rumah sehingga anak mereka yang menjadi anak didik cikgu boleh berjaya. Sebab itu ada pepatah orang tua-tua mengingatkan kita, “anak udang, udang juga, manakan sama anak tenggiri, anak orang, orang juga, manakan sama anak sendiri”. Wajarlah mengagungkan anak didik, tapi jangan sampai anak sendiri berasa terhina dan terbiar bak kata perumpamaan ‘kera di hutan disusui anak sendiri kehausan” atau “dagang lalu ditanakkan, anak sendiri mati tak makan.”
Hargailah anugerah Allah yang ada dalam jagaan cikgu kerana setiap yang lahir sudah ditentukan rezekinya, didik mereka kenal Tuhannya secara kental hingga anak berasa kehadirannya di dunia untuk menjadi hamba Tuhan bukan hamba dunia dan hamba harta serta hamba kerjaya. Andai ini sudah menyubur dalam diri ke mana pun mereka pergi pasti berjaya bak kata bidalan “ulat dalam batu pun boleh hidup inikan pula kita manusia”.
Kalaupun mungkin mereka kurang cemerlang di dunia, mudah-mudahan matinya mereka cemerlang di akhirat hasil dari ketaatan mereka pada Allah. Anak amanah Allah dan satu-satunya talian hayat yang menyambungkan kita dengan dunia setelah kita berangkat dijemput Tuhan nanti, cikgu pasti mahu doa daripada anak yang soleh dan solehah bukan? Kalau hanya sibuk dengan kerjaya dan gaji tinggi tapi lupa Tuhan dan lupa diri sulit juga kemudian hari. Percayalah ungkapan keramat warisan orang tua kita “ ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi” jika cikgu bersungguh-sungguh mendidik anak murid pasti Allah memberi kemudahan kepada cikgu untuk mendidik anak cikgu sendiri.
Bersabar dan berdoalah apa yang cikgu mahukan pada anak cikgu kerana dunia ini penuh dengan cabaran dan ujian. Bersabar diri adalah ciri-ciri orang yang berlapang dada dan bersabar kerana Allah pasti akan memberi kemudahan dan kemenangan. Jalan keluar dan bantuan Allah akan datang bersama kesulitan dan dalam setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan. Teruskan menghargai anugerah Allah yang berada di tangan kita sebelum kita dijemput Tuhan.
Sumber:http://www.bharian.com.my/
MENDEKATI BUKAN MENJAUHI GURU
Mendekati bermaksud menghampiri atau berada bersama-sama manakala menjauhi bermaksud tidak suka bersama atau cuba mengelak daripada berjumpa dengan mereka. Jika perkara ini dirujukkan kepada guru maka seseorang murid itu perlulah menghampiri guru dalam proses pembelajaran. Mereka yang suka menjauhi guru ialah mereka yang tidak berminat untuk belajar dan tidak mahu dibimbing oleh guru.Seseorang murid seharusnya mendekati guru berdasarkan butiran berikut:
• Guru sebagai sumber ilmu: Kita datang ke sekolah untuk menuntut ilmu. Walaupun ilmu itu berada di mana-mana tetapi peranan dan tunjuk ajar guru amat diperlukan untuk memberi lebih pemahaman kepada kita. Tanpa ilmu kita ibarat kapal yang belayar di tengah lautan tanpa nakhoda. Sudah tentu kapal itu akan terumbang-ambing dan mungkin juga akan tenggelam dihempas ombak.
• Guru sebagai pembimbing: Setiap murid harus dibimbing setiap hari. Walaupun kita diminta berdikari tetapi bimbingan daripada guru amat diperlukan kerana guru ialah pengganti ibu bapa ketika di sekolah.
• Guru sebagai penyelesai masalah: Guru mempunyai pelbagai tugas dan kemahiran. Contohnya menjaga disiplin pelajar, memberi motivasi dan kaunseling, mengajar, dan melatih aktiviti sukan atau aktiviti kebudayaan. Oleh itu jika kita rajin berdamping dengan guru bermakna kita akan dapat berbagai-bagai pengalaman dan kemahiran untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.
• Guru sebagai rakan: Guru juga ialah insan yang mempunyai perasaan serta suka berkawan. Oleh itu pada masa tertentu guru boleh dijadikan rakan yang mampu memahami kehendak dan masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Walaupun guru dianggap sebagai rakan, namun mereka perlu dihormati dan segala arahan guru haruslah diamalkan pada sepanjang masa.
• Guru sebagai penyuluh cahaya: Ungkapan ini bermaksud guru sentiasa memberikan bimbingan yang membolehkan murid-murid mendapat kejayaan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam segala aspek kehidupan murid tersebut.
Setelah mengetahui betapa besarnya peranan guru serta peluang yang kita peroleh apabila berdampingan dengan mereka, maka janganlah kita menjauhi guru. Kita perlu sentiasa mendekati mereka. Jika menghadapi sebarang masalah kita sewajarnya menghubungi guru untuk mendapatkan panduan yang sebaik-baiknya daripada mereka. Jangan sekali-kali membenci atau memarahi mereka. Anggaplah mereka itu sebagai ikon ke arah kejayaan diri kita.
Sumber: http://www.tutor.com.my/
Isnin, 18 Mei 2009
DOA SEGALA PENAWAR
Doa Pilihan Pelindung KeluargaAjarilah anak-anak kita, diri, dan keluarga kita dengan doa yang sohih dari nabi ini iaitu :-
Ertinya : sesiapa yang keluar dari rumah dan membaca doa " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala kejahatan makhluk" maka dia tidak dimudaratkan oleh sesuatu apa pun sehinggalah dia kembali ke rumahnya semula." ( Riwayat Muslim, 4/2080)
Lelaki berkata : Aku disengat kala.
Nabi berkata : Sekiranya engkau membaca pada setiap petang " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala kejahatan makhluk", nescaya dengan izin Allah kamu tidak akan ditimpa mudarat" ( Riwayat Ibn Hibban, 3/298 )
Juga sebuah lagi doa yang mudah daripada hadis sohih:-
Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya sama ada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka dia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, dia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan )
Nota Hujung:
Dalam kita berhadapan dengan pelbagai penyakit luar biasa seperti H1N1 (selesema babi), letrospirosis, Chikungunya, dan sebagainya yang menyerang beberapa negara di dunia termasuk di negara kita, maka wajarlah kita berikhtiar untuk melindungi diri dan keluarga kita daripada penyakit-penyakit berkenaan. Dengan mengamalkan doa ini, mudah-mudahan diri dan keluarga kita akan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah s.w.t.
Panduan Menjawab Soalan Analisis Kesalahan Bahasa STPM
Antara jenis kesalahan bahasa yang popular dan biasa ditanya dalam soalan STPM ialah kesalahan dalam aspek morfologi dan sintaksis iaitu:
• Pengimbuhan, termasuklah imbuhan pinjaman seperti pra, dwi, dan anti
• Kata Ganti Nama Diri Pertama, Kedua dan Ketiga, Kata Ganti Tunjuk, Kata Ganti Tak Tentu, pemilihan kata yang sesuai (Diksi), Kata Hubung, Kata kerja Transitif dan Tak Transitif, Kata Sendi, Kata Penguat, dan Kata Pemeri
• Kata Majmuk, Kata Ganda, Hukum D-M, dan penjodoh bilangan.
• Frasa Sendi, Frasa Kerja Pasif, dan ayat tiada subjek (ayat tergantung).
Panduan umum untuk menjawab soalan Analisis Kesalahan Bahasa :
1. Baca ayat-ayat dalam petikan itu sepintas lalu dan kenal pasti kesalahan bahasanya. Tandakan kesalahan-kesaslahan bahasa yang telah anda kenal pasti itu. Kenal pasti kesalahan kata, frasa, dan ayatnya. Kesalahan yang popular ialah kesalahan kata.
2. Biasanya terdapat sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam ayat-ayat tersebut dan kadang-kadang terdapat 6 atau 7 kesalahan. Markah yang diperuntukkan cuma untuk 5 kesalahan sahaja.
3. Selepas kesalahan bahasa tersebut anda kenal pasti, buatlah jadual iaitu tiga ruangan atau lajur, iaitu untuk ruangan Kesalahan, Sebab Kesalahan, dan Pembetulan.
4. Untuk lajur Kesalahan, nyatakan kesalahan tersebut. Kemudian tulislah alasan kesalahan tersebut dalam lajur Sebab Kesalahan dan tulis pula pembetulannya dalam lajur Pembetulan.
Kesalahan Umum yang Biasa Dilakukan oleh Pelajar:
• Jawapan tidak mengikut format, iaitu tidak ditulis dalam jadual.
• Terlalu banyak sebab diberikan pada ruang Sebab Kesalahan menyebabkan pemeriksa sukar memahaminya.
• Ada juga Sebab Kesalahan yang diberikan itu secara umum dan tidak jelas atau kurang tepat.
• Gagal menggunakan peluang untuk mencari kesalahan ayat yang lebih daripada 5 kesalahan yang diminta.
• Terlalu banyak kesalahan bahasa yang disenaraikan. Sebenarnya yang betulpun dikatakan salah.
8. Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
Seorang polis inspektor yang baru dua bulan bertugas telah menceritakan keadaan di daerah itu kepada pemberita. Beliau menyatakan bahawa banjir itu berpunca daripada sebuah empangan yang pecah akibat gempa bumi yang berlaku di negara jiran. Untuk memudahkan orang ramai mengikuti perkembangan terkini, sebuah jawatankuasa petugas telah dibentuk. Jawatankuasa tersebut dikehendaki bertugas setiap hari, sebaliknya pada Hari Jumaat.Dalam kesibukan orang ramai membantu pihak keselamatan menyelamatkan mangsa, terdapat sesetengah pihak yang mengambil kesempatan mencuri barang-barang, terutamanya makanan dan pakaian. Pihak polis mensyaki kegiatan tersebut dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Untuk mengawal keadaan di daerah itu memerlukan sukarelawan yang lebih banyak. Walau bagaimanapun, ekoran tertangkapnya beberapa penjenayah, kegiatan mencuri dapat dikawal.
Latihan 2
8. Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
Kerajaan kita sentiasa berusaha untuk membantu penduduk miskin yang tinggal di luar bandar. Di antara usaha yang dilaksanakan adalah menyediakan peluang pekerjaan yang banyak di luar bandar. Langkah tersebut akan menjamin penduduk miskin tersebut memperoleh pendapatan. Bila ada pendapatan, mereka akan menumpukan dengan lebih banyak lagi perhatian terhadap usaha untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga. Walaubagaimanapun, usaha itu mestilah mendapat sambutan dari penduduk luar bandar tersebut. Kejayaan atau kegagalan usaha kerajaan itu amat bergantung pada kerjasama yang mereka berikan. Kesimpulannya, usaha tersebut memerlukan kerjasama dan penglibatan daripada kedua-dua belah pihak.
Selamat mencuba latihan Analisis Kesalahan Bahasa di atas.
Sumber: http://khirkassim.blogspot.com/