Selasa, 26 Mei 2009

KELUARKAN KERTAS PUTIH AKTIVITI KOMUNIS 1948-1989


KINI, isu komunis kembali diperkatakan. Namun ia bukan isu baru.Perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) di Hatyai, Thailand pada 1 Disember 1989 hanyalah untuk menamatkan pertempuran antara tentera Malaysia dan gerila PKM sahaja. Itulah hakikatnya.

Pada peringkat awal rundingan damai itu, Malaysia mahu PKM dibubarkan tetapi ia ditolak oleh pihak komunis. PKM hanya bersetuju meletak senjata.Parti itu juga bertegas tidak mahu perjanjian tersebut dilihat sebagai 'penyerahan diri beramai-ramai.' Fakta itu dimasukkan ke dalam perjanjian akhir yang menyebut bahawa semua kenyataan selepas itu hendaklah dalam 'semangat perjanjian' tersebut dan tidak mengandungi sebarang 'unsur fitnah yang mengaitkannya sebagai penyerahan atau menyerah diri (oleh PKM).'

Walaupun lemah, PKM tidak mahu dilihat sebagai menyerah kalah dan itulah prinsip PKM terutama Setiausaha Agungnya, Chin Peng, sejak Rundingan Baling pada 1955.Kerajaan memberi peluang sebanyak dua kali kepada PKM untuk menyerah diri. Pertama ketika Rundingan Baling dan kedua, selepas mencapai kemerdekaan. Kedua-duanya ditolak oleh Chin Peng.

Dalam siri rundingan damai di Hatyai yang bermula pada Mac 1989, PKM mahu Malaysia menerima parti itu dan juga Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM) secara sah. Sedangkan ketika itu PKM adalah pertubuhan yang diharamkan. Dalam pusingan ketiga rundingan itu, PKM menyatakan hasrat untuk menubuhkan parti baru iaitu Parti Buruh Sosialis Malaysia (SLPM) berlandaskan ideologi Marxist. Ia merupakan 'jawapan' kepada permintaan Malaysia supaya PKM dibubarkan.Malaysia menyatakan cadangan itu tidak boleh diterima kerana Marxist adalah ideologi asing dan PKM patut mengelak daripada memberi gambaran bahawa SLPM adalah sebahagian daripada PKM.

Akhirnya, perjanjian itu mencapai persetujuan untuk empat perkara iaitu:

Pertama: Menamatkan aktiviti ketenteraan. Selepas menandatangani perjanjian itu, Malaysia dan PKM akan menghentikan serta-merta aktiviti ketenteraan.

Kedua: Membubarkan unit ketenteraan, memusnahkan senjata, peluru, bahan letupan dan jerangkap samar.

Ketiga: Penempatan di Malaysia. Anggota PKM dan anggota unit tenteranya yang berasal dari Malaysia dan ingin tinggal di Malaysia, akan dibenarkan berbuat demikian selaras dengan undang-undang. Mereka yang bukan berasal dari Malaysia, jika mereka mahu, juga boleh berbuat demikian selaras dengan undang-undang Malaysia.

Keempat: Bantuan oleh pihak berkuasa Malaysia. Selaras dengan Perkara Ketiga, kerajaan akan membantu mereka memulakan hidup baru.

Jika sebelum 1989, tumpuan komunis hampir semuanya di hutan. Tetapi selepas itu, apabila operasi ketenteraan berakhir, isu itu berpindah ke bandar-bandar.Buku-buku yang menceritakan kegiatan komunis dan puak kiri mula membanjiri pasaran, termasuk buku Alias Chin Peng: My Side of History, yang diterbitkan pada 2003.Selain daripada desakan oleh pihak tertentu supaya Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia,terdapat tuntutan lain supaya pengiktirafan diberi kepada pejuang berhaluan kiri dalam konteks kemerdekaan.

Hakikatnya, walaupun komunis dikalahkan daripada segi ketenteraan di Malaysia, ideologinya masih hidup. Dan ia juga mahu terus disemarakkan.Jika tidak kenapa PKM tidak mahu membubarkan parti itu? Malah ia mahu meneruskan ideologi Marxist. Inilah yang perlu difahami oleh seluruh warga Malaysia.Walaupun di negara-negara lain ia kelihatan berundur, bukan bererti kita tidak perlu memberi perhatian lagi. Memang mudah untuk memecahbelahkan berbanding membina. Lebih-lebih lagi kita sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Ingatan keras oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim adalah kena pada tempatnya. Tetapi ia tidak memadai.Jawapan yang lebih menyeluruh harus datang daripada Kabinet. Mungkin Kabinet wajar menimbang untuk mengeluarkan satu Kertas Putih mengenai PKM dari awal hingga membawa kepada Perjanjian Damai di Hatyai.Tidak ramai yang mengetahui mengenai perjanjian itu. Mungkin laporan-laporan ketika itu agak terhad. Kini sampai masanya satu penjelasan lebih komprehensif dibuat.

Jika sesuai, jadikan ia sebagai satu Kertas Putih yang boleh digunakan untuk menjelaskan kekeliruan. Ia harus merangkumi kegiatan PKM sejak 1948-1989.Penjelasan itu boleh dilakukan kerana Mahkamah Persekutuan sudah memutuskan mengenai kes Chin Peng dan ia tidak perlu dikhuatiri sebagai sesuatu yang sub-judice lagi.

PROF. DR. MOHD. SAFAR HASIM
Pusat Pengajian Media dan Komunikasi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber :http://www.utusan.com.my/

FAHAMI ASAS SEJARAH MALAYSIA

PERJANJIAN DAMAI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA,
KERAJAAN THAILAND & PKM 1989


Oleh REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

Filem Bukit Kepong adalah antara filem Melayu genre peperangan yang sangat lekat di hati penulis. Latar belakang peristiwa yang menonjolkan keberanian anggota polis dan orang kampung menentang kekejaman segerombolan pengganas komunis itu meninggalkan kesan sehingga ke hari ini. Babak seorang isteri mengambil tempat si suami untuk mempertahankan balai polis, detik beberapa orang kanak-kanak menangisi pemergian orang tua mereka, semuanya kekal melekat di minda dan hati penulis sehingga ke hari ini.


Sejarah membuktikan bahawa gerakan ketenteraan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpin oleh seorang keturunan Melayu bernama Ahmad Indera telah memusnahkan Bukit Kepong. Walaupun dididik dengan latar belakang sekolah agama, malahmenjadi guru agama, Ahmad Indera tidak terkecuali dipukau oleh faham komunisme. Maka berlakulah insiden Bukit Kepong, saat Sarjan Jamil baru sahaja mengambil alih teraju kawalan keselamatan di Bukit Kepong daripada pimpinan seorang pegawai polis 'Mat Saleh'.


Peristiwa yang berlaku pada jam 5 pagi, 23 Februari 1950 itu digambarkan dengan cukup baik menerusi filem tersebut. Dengan filem itu juga, kita didedah dan difahamkan dengan makna tersirat di sebalik perjuangan menentang komunis. Ada darah yang mengalir. Ada nyawa yang melayang dalam usaha menentang sebuah 'isme' yang jelas tidak praktikal dan bermotif jahat. Faham antikomunisme ditolak bukan sahaja atas nilai 'isme' yang lemah dan longgar tetapi kerana keganasan yang membawa padah kepada bangsa dan negara.Dalam menghadapi ratusan gerila komunis, ramai anggota polis terkorban. Keluarga anggota juga terbunuh. Beberapa orang kampung yang berkhidmat sebagai Auxillary Police/Home Guard juga gugur.


Balai Polis Bukit Kepong rentung. Ini semua bukan propaganda politik. Sebaliknya kisah benar yang membayangkan perjuangan kita untuk beroleh kemerdekaan. Kalangan ayah dan ibu kita yang kebetulan berada sezaman dengan peristiwa tersebut mungkin punya fahaman yang berlainan dengan kita yang lahir di zaman serba aman ini.


Apakah menjadi sesuatu yang sangat sukar memahamkan 'generasi x', 'generasi y' dan 'generasi z' dengan hakikat sejarah ini?Hari ini, atas nilai sentimental yang juga longgar dan tidak berasas, ada usaha untuk mendewa-dewakan pengganas komunis di dalam minda masyarakat kita. Ada desakan untuk membawa kembali pengganas ke tanah air dan diangkat sebagai hero. Adakah mudah sangat masyarakat kita memaafkan dosa kemanusiaan yang dilakukan oleh pengganas komunis sebelum ini. Padahal, dosa Bukit Kepong sahaja belum tentu mampu diluputkan dari ingatan.


Perjuangan yang diteras oleh faham "The Communist Manifesto (1848)" itu dijadikan asas kepada usaha mewujudkan masyarakat yang kononnya akan berkongsi kegembiraan bersama kerana tidak wujud 'perbezaan antara kelas' dan sebagainya. Bagi menjayakan cita-cita komunis ini, mereka sanggup lakukan apa sahaja, termasuk membunuh. Karl Marx dan Friedrich Engels menggariskan 'arah perjuangan' yang membenarkan apa sahaja cara digunakan untuk mewujudkan masyarakat yang sedemikian utopian sifatnya. Maknanya, insiden Bukit Kepong dan banyak lagi kekejaman komunis bagaikan mahu dibuang begitu sahaja.Penulis beranggapan segala usaha ini mempunyai tujuan yang sengaja mahu mencabar kesahihan sejarah. Apa pun alasan yang diberikan, ini semua tidak mampu menghilangkan luka sejarah di sebalik tindakan PKM selama ini.


Masyarakat secara umum, apatah lagi veteran polis dan tentera mampu mengalirkan air mata, sekiranya jasa mereka dilupakan tetapi sebaliknya menerima kembali musuh negara sebagai wira.Apa pun, kecenderungan untuk 'memperbaiki' jalur sejarah bagi menepati cita-cita politik kumpulan dan individu tertentu menjadi sesuatu yang sangat ketara sejak kebelakangan ini. Sejarah yang sedia tersurat dirasakan tidak benar dan tidak selari dengan maksud dan cita-cita politik kumpulan tertentu. Maka usaha mesti dilakukan untuk 'menulis semula' sejarah dengan lembaran yang lebih mesra politik kepada kumpulan tersebut. Apakah langkah dan tindakan ini wajar?


Dua minggu lepas, penulis terbaca tulisan seorang editor ekonomi di sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memperkatakan mengenai Tragedi 13 Mei 1969. Menurutnya tragedi itu berpunca daripada "mereka yang berkuasa mahu kekal berkuasa". Walaupun mempunyai jalur dan niat pemikiran yang agak 'nakal dan jahat' namun itulah 'tafsiran baru' sejarah yang ingin dan mahu dilambakkan ke dalam pemikiran masyarakat kita. Tragedi 13 Mei ditafsir dengan 'hala tuju politik' sendiri dan sekali gus membuktikan kegagalan menerima hakikat sejarah.Dalam laman web youtube misalnya, banyak klip video dan bicara yang memberi gambaran mengenai Tragedi 13 Mei (kalangan tertentu menggunakan istilah 513). Setakat yang penulis lihat, hanya satu yang agak objektif sementara yang lain menggunakan 13 Mei sebagai 'alat politik' untuk menegaskan bahawa merekalah sebenarnya yang menjawab permasalahan 13 Mei.


Komunisme sebagai 'isme' kerajaan mahupun sebagai gerakan ketenteraan yang merosakkan fabrik kemasyarakatan negara tidak wajar sama sekali diangkat sebagai perjuangan heroic dan berasaskan kemerdekaan. Makna kemerdekaan tidak wajar difahami di atas landasan 'isme' yang sedemikian kejam dan menghancurkan negara. Tidak ada asas sentimental apa pun yang wajar mengembalikan mereka sebagai hero di bumi bertuah Malaysia ini!Faham dan apresiasi sejarah inilah yang amat penting kita dedahkan di kalangan anak muda kita. Mereka mungkin memahami sejarah secara tersurat tetapi belum mampu memahami sejarah secara halus dan tersirat. Inilah yang selalu kita gagal menjelaskan kepada kalangan anak-anak muda.


Memahami sejarah secara 'tersurat' akan hanya tertumpu kepada usaha penghafalan fakta. Ia tidak mampu diisi secara 'makna dalam' kepada sebarang peristiwa yang berlaku. Jalan mudah - kita perbetulkan sejarah supaya sesuai dengan jalan politik kita sendiri.Komunisme bukan sahaja menarik perhatian segelintir masyarakat Cina, malah ada juga kalangan orang Melayu yang terbuai dengan 'nilai komunisme'. Ahmad Indera adalah contoh kecil.


Sewaktu pengaruh PKM berleluasa, ada gerakan yang digelar sebagai Min Yuen atau gerakan rakyat yang menjadi kekuatan moral kepada gerakan komunisme. Bukan secara keseluruhan kerana simpati kepada gerakan komunisme; tetapi lebih kepada takut dizalimi oleh PKM. Orang Cina juga berdepan dengan dugaan yang bukan kecil sewaktu PKM berleluasa. Semua ini hanya mampu ditangani dengan usaha Rancangan Briggs dan pengwujudan kampung-kampung baru.


Justeru, komunisme bukanlah suatu gerakan yang memberikan syurga kepada mana-mana bangsa. Hakikat sejarah ini jangan sesekali kita tolak.Dosa menjahanam bangsa dan negara jangan mudah dilupakan dengan nilai sentimental, walau apa alasan pun. Lebih penting lagi, adalah untuk kita sama-sama melihat jauh ke depan dan menerima hakikat sejarah seadanya.


Trend memperolok dan 'memperbetulkan' sejarah ini dimulakan oleh kalangan ahli politik yang bankrap idea dan gagasan. Dengan mudah, sejarah dijadikan insiden prima facie yang membenarkan tindakan mereka untuk membuka ruang pemahaman sejarah yang baru. Asalkan ia mampu ditafsir dengan omongan dan retorik kosong, sejarah dijadikan alat politik.


Penulis bersetuju dan mengalu-alukan usaha mengembalikan faham sejarah sebenar, dengan nilai objektif yang luhur dan mendalam. Sejarah jangan dijadikan bahan dagang politik, apatah lagi menjadi alat untuk membenarkan sikap dan fikrah ekstremisme. Kita wajar melihat semula sejarah sebagai sumber kekuatan dan jati diri bangsa dan bukannya alat politik songsang yang merosakkan.


Rakyat wajar membuka mata bahawa mereka yang gemar 'menulis semula' sejarah dengan kepentingan politik adalah kalangan yang sangat terdesak dan cuba untuk memberi kekuatan kepada pelbagai tindakan yang merosakkan. Kita tidak mahu sejarah menjadi fiksyen hanya kerana mahu memastikan segelintir pihak beroleh kelebihan politik.Kita seboleh-bolehnya tidak mahu pemergian Allahyarham Sarjan Jamil dan yang lain di Bukit Kepong sebagai 'permainan politik' orang yang mahu membangkitkan elemen heroisme kepada gerakan komunis.


Sarjan Jamil dan rakan-rakannya itulah hero sebenar. Mereka wajar diangkat sebagai kelompok yang perlu dikenang dan dihormati. Bukankah lebih elok, dengan semangat Satu Malaysia, kalangan pemuka politik bukan Melayu juga mengakui hakikat ini.Darah pahlawan yang tumpah di Bukit Kepong, malah di seluruh negara, tidak akan mampu dibersihkan. Fahaman komunis yang ingin mewujudkan anarcho-communism inilah yang sebenarnya merosakkan fabrik sosial bangsa. Kepulan asap 23 Februari 1950 yang membakar Bukit Kepong itu adalah gambaran bahawa bangsa kita pernah terbakar dek kerenah komunisme. Hentikanlah mengangkat mereka sebagai hero kerana kita ada wira sebenar.


Sumber :http://www.utusan.com.my/

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT ( SIRI 14)



SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN


Ungkapan di atas mengingatkan kita supaya membuat persiapan awal sebelum sesuatu peristiwa yang membawa penye­salan itu berlaku.

Kebiasaannya pada awal tahun ramai pelajar yang menganggapkan adalah ter­lalu awal untuk mengulang kaji sesuatu pelajaran. Begitu juga bagi pelajar yang berada di kelas yang tidak menduduki peperiksaan awam akan menganggap tahun ter­sebut adalah ta­hun untuk bersuka ria tanpa menghirau­kan sangat soal pelajaran.

Usaha mengulang kaji pelajaran perlulah dila­kukan berterusan dan bukannya ber­musim.Rata-rata pelajar yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan menga­takan bahawa rahsia kejayaan mereka ialah kerana memberi perhatian sepenuhnya di ke­las ketika guru sedang mengajar. Hal ini bermakna bahawa segala masalah pembelaja­ran yang timbul harus diselesaikan di dalam kelas dan bukannya dibawa balik ke rumah.Penyelesaian masalah pembelajaran dapat dilakukan dalam beberapa cara:

i. Berinteraksi dengan rakan: Pelajar boleh menyemak atau belajar bersama-sama dengan rakan sebaya. Melalui perbincangan, sebarang masalah dapat diselesaikan dengan segera. Perbincangan juga mampu mengelakkan rasa bosan ketika belajar.

ii. Merujuk kepada guru: Guru bukan sahaja sebagai seorang pembimbing malah menjadi ibu atau bapa kepada pelajar ketika di sekolah. Pelajar tidak harus takut pada guru tetapi hormat dan patuh segala peraturan yang disediakan. Segala kekeliruan, kekusutan sama ada masalah pelajaran atau masalah peribadi, guru dan guru kaunseling harus dijadikan tempat rujukan dan tempat meluahkan segala masalah tanpa berasa malu atau takut. Guru kaunseling misalnya boleh membantu para pelajar dalam memberi khidmat nasihat sama ada dalam penentuan kerjaya atau masalah peribadi.

iii. Merujuk pusat sumber atau bahan media: Pusat sumber selaku gedung ilmu harus dijadikan seolah-olah rumah kedua pelajar. Manakala bahan media seperti akhbar, majalah, cd-rom dan internet mampu menambahkan koleksi bahan bacaan dan rujukan.

Oleh itu, langkah bijak untuk menggunakan segala kemu­dahan di atas ialah dengan mempraktikkannya sepanjang tahun serta secara berterusan. Janganlah apabila terdesak ba­rulah kita tergesa-gesa untuk menyelesaikannya seperti kata pepatah Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Per­buatan sedemikian sudah terlambat, umpama nasi sudah menjadi bubur. Jadi, sediakan payung sebelum hujan!

Sumber : http: //www. mindasatu. blogspot.com/

Isnin, 25 Mei 2009

PENAWAR KEPENATAN


Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.


Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.

Saidina Ali berkata :

“Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu.”

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantu itu.

Baginda s.a.w. berkata: “Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam.”

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s. a.w. ini. Katanya “Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku.”

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca ‘Subhanallah’ (33 kali), ‘Alhamdulillah’ (33 kali) dan ‘Allahuakbar’ (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , Insya- Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

“Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun” (Sabda Rasulullah SAW)

“Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.”

Sumber : http://www.petua.org/

BANTU PEROKOK HENTI TABIAT MEMUDARATKAN

Oleh DR. SHAIFUL ANNUAR KHALID

KEMPEN untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya merokok semakin banyak diadakan. Tahniah kepada Kementerian Kesihatan yang terus menjalankan kempen dan menguatkuasakan peraturan-peraturan berkaitan.Tindakan terbaru Kementerian ialah meluaskan zon larangan merokok serta meningkatkan tindakan mengkompaun perokok yang merokok di zon larangan.

Pihak penguatkuasa juga akan lebih tegas mengambil tindakan terhadap mereka yang menghasil, mengimport, mengedar dan menjual rokok dalam pek atau bungkusan yang tidak memaparkan amaran kesihatan bergambar penyakit yang disebabkan oleh tembakau. Menurut Menteri Kesihatan, lebih banyak kawasan awam dan tempat kerja yang akan dikenal pasti tidak lama lagi untuk diwartakan sebagai zon larangan merokok. Semoga tindakan ini akan lebih menyedarkan orang ramai yang masih merokok di tempat awam, termasuk dalam bas atau premis yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Perbuatan mereka itu secara tak langsung mengganggu ketenteraman awam dan juga mendedahkan bahaya asap rokok kepada mereka yang tidak merokok.Tindakan-tindakan yang telah dan sedang diambil oleh kementerian itu sebenarnya merangkumi tiga pendekatan utama untuk memerangi gejala merokok.

Pertama, mengurangkan risiko kepada orang ramai yang tidak merokok terhadap bahaya asap rokok; kedua, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya produk tembakau dan mengurangkan kesan promosi produk yang berkaitannya dan ketiga, menggunakan pendekatan penguatkuasaan undang-undang.

Satu lagi strategi yang agak kurang diberikan penekanan ialah menyediakan program untuk membantu perokok untuk berhenti merokok.Seseorang perokok memang mengetahui kesan-kesan buruk merokok. Namun begitu, disebabkan merokok sudah menjadi ketagihan, maka tabiat tersebut sukar untuk dibuang.Untuk itu, kaedah terbaik bagi mengurangkan bilangan perokok ialah dengan membantu perokok berhenti merokok.

Kajian di United Kingdom mendapati 70 peratus daripada orang dewasa yang merokok mempunyai keinginan untuk berhenti merokok atas faktor kesihatan. Dipercayai ramai perokok di Malaysia yang mempunyai niat untuk menghentikan tabiat buruk tersebut namun mereka tidak mempunyai rangsangan yang cukup kuat untuk berbuat demikian serta kurang arif daripada segi kaedah untuk berhenti merokok.Tambahan pula merokok dianggap isu atau urusan peribadi dan perokok kurang cenderung untuk membincangkannya secara terbuka.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan disarankan untuk memperbanyakkan program seperti "klinik berhenti merokok" di setiap bandar atau di setiap organisasi untuk membantu perokok lama dan baru membuang tabiat ketagihan itu. Semoga dengan mengadakan lebih banyak kaedah bersemuka melalui klinik-klinik bergerak itu akan menghasilkan rangsangan yang lebih tinggi untuk berhenti merokok serta mengetahui dengan lebih jelas kaedah yang perlu diikuti.

Begitu juga dengan talian bebas tol yang diharapkan dapat membantu orang ramai mendapatkan khidmat nasihat, galakan dan kaunseling untuk menghentikan tabiat merokok. Talian bebas tol yang berkaitan perlu dipamerkan di tempat-tempat yang strategik atau dipaparkan di kaca televisyen untuk kemudahan orang ramai.

Lebih 4 juta rakyat Malaysia yang dikenal pasti sebagai perokok telah membelanjakan hampir RM11 juta sehari untuk membeli rokok. Pada masa ini, seramai 4 juta perokok di seluruh dunia mati setiap tahun atau 11,000 orang sehari berpunca daripada penyakit berkaitan tabiat merokok seperti penyakit jantung, angin ahmar, kanser dan kanser paru-paru.

Semoga usaha-usaha berterusan yang dijalankan oleh semua pihak akan mampu mengurang bilangan perokok. Kejayaan itu juga diharap mampu mengurangkan kerugian yang disebabkan oleh tabiat merokok tersebut.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Perlis.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Tabiat merokok dalam kalangan remaja, apa yang perlu dilakukan?

ISU rokok bukanlah satu perkara yang baru di Malaysia. Kempen antirokok boleh dibaratkan seperti "mencurah air di daun keladi." Malah langkah kerajaan meletakkan gambar ngeri pada kotak rokok seperti tidak memberi kesan. Tidak ada perokok yang ngeri melihat gambar-gambar itu.

Penulis ingin mengajak semua pihak merenung kepada fakta yang menunjukkan bahawa 14 peratus daripada remaja di seluruh dunia adalah perokok.

Apa yang lebih menakutkan ialah di Malaysia, lebih 8 peratus daripada 4.6 juta perokok adalah remaja. Ini bermakna 50 hingga 60 orang remaja mula merokok setiap hari.

Apa yang boleh dirumuskan ialah kempen sahaja tidak memadai untuk menghalang orang merokok. Perhatian khusus perlu diberi kepada perokok-perokok baru khususnya remaja dan wanita.

Sikap angkuh remaja yang tidak lagi segan silu merokok dengan memakai uniform sekolah cukup untuk memberi isyarat agar kita melakukan sesuatu dengan segera.

Saya rasakan antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan ialah:

Pertama, penguatkuasaan undang-undang dengan lebih ketat. Walaupun terdapat lebih 20 lokasi yang disenaraikan sebagai kawasan larangan merokok, namun masih ramai yang tidak mempedulikannya. Contohnya di restoran dan hentian pengangkutan awam. Mungkin pihak penguatkuasa perlu menambah bilangan anggota untuk membuat pemantauan dan mengenakan denda lebih tinggi.

Kedua, cadangan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris iaitu supaya menaikkan usia minimum untuk membeli produk tembakau kepada 21 tahun. Ia sesuai diguna pakai di Malaysia. Peringkat umur ini disifatkan sebagai matang.

Ketiga, ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan. Mereka perlu menjadi teladan. Jangan menjadi seperti "ketam mengajar anak berjalan betul". Bayangkan jika ibu atau bapa atau guru meminta anak-anak tidak merokok tetapi mereka sendiri adalah perokok. Di mana sifat kepimpinan melalui teladan?

Keempat, pemantauan berterusan daripada semua unit penguatkuasa terhadap kedai atau premis yang menjual rokok.

Bagaimanapun, isu rokok ini seolah-olah tidak ada kesudahannya. Walaupun harga dinaikkan setiap tahun tetapi bilangan perokok tetap bertambah. Penambahan itu seperti bersaing dengan kenaikan harga rokok, malah lebih menakutkan ialah kemunculan pelbagai jenama rokok seludup. Ia lebih berbahaya kerana tiada kawalan atas jumlah tar dan nikotina dalam setiap batang rokok berkenaan.

Mungkin untuk mencadangkan agar rokok diharamkan terus demi untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia akan dianggap sesuatu yang tidak logik. Tetapi pakar-pakar ekonomi mungkin boleh memikirkan sesuatu untuk menggantikan sumber daripada hasil cukai dan eksais yang dikenakan ke atas tembakau.

Jika ini dapat dilakukan, pastinya kerajaan akan dikenang dan dicatatkan dalam lipatan sejarah selaras dengan konsep liberalisasi dan transformasi yang direncanakan.

Bagaimanapun usaha untuk menanamkan idea antirokok ketika ini bukan lagi kepada "Tak Nak" tetapi mestilah "Benci Rokok".

Dan ia tidak hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata. Sebaliknya semua pihak perlu melakukannya. Tugas untuk menyelamatkan remaja-remaja kita daripada menjadi ketagihan merokok adalah tanggungjawab kita semua.

MOHAMMAD ISMAIL

Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Perlis

Sumber : http://www.utusan.com.my/


Ahad, 24 Mei 2009

GEJALA LUMBA HARAM PERLU PENDEKATAN MENYELURUH

AKSI berbahaya mat rempit ketika berlumba di jalan raya.

Tukar panggilan 'mat rempit' kepada 'samseng jalanan' dianggap tepat tapi belum cukup menginsafkan.

WALAUPUN pelbagai langkah sudah diambil bagi menangani kegiatan lumba haram, gejala itu bukan saja belum dapat dibendung, malah semakin teruk serta menimbulkan pelbagai masalah jenayah dan sosial lain termasuk mengorbankan nyawa yang tidak berdosa. Kalau 20 tahun dulu masalah lumba haram hanya berlaku di bandar besar sebagai kegiatan malam minggu, ia kini berlaku di setiap pekan dan tanpa mengira waktu.

Malah, di sesetengah tempat, waktu Maghrib atau ketika khutbah Jumaat, menjadi pilihan pelumba haram yang berbangga dipanggil 'mat rempit' ini menunjukkan kebolehan di jalan raya. Putera Umno pernah cuba mendekati kumpulan ini termasuk memberi peluang kepada pelumba haram terpilih, terjun di Kutub Utara bagi menunjukkan 'mat rempit' juga boleh melakukan kegiatan lebih berfaedah jika diberi peluang. Malangnya usaha berkenaan terhenti setakat itu menyebabkan timbul tuduhan bahawa ia lebih bermotifkan politik.

Disebabkan istilah 'mat rempit' ini, yang dipercayai berasal dari kumpulan itu sendiri kini menjadi jenama kebanggaan mereka, polis minggu lalu menyarankan agar gelaran berkenaan ditukar kepada samseng jalanan yang dianggap lebih sesuai bagi menggambarkan tindakan dan kelakuan ganas golongan itu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof, meminta semua pihak termasuk media supaya tidak lagi menggunakan istilah mat rempit kerana ia seolah-olah menunjukkan golongan itu sebagai jaguh di jalan raya. Polis juga akan mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya meminda Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan samseng jalanan dikenakan hukuman penjara mandatori.

"Cadangan itu adalah satu daripada pelan jangka panjang bagi menangani gejala itu yang kini semakin meruncing. Sekiranya hukuman penjara mandatori dikenakan, samseng jalanan mungkin berfikir dua kali melakukan kesalahan itu kerana takut masuk penjara," kata Abdul Aziz.

Sementara istilah, gelaran atau panggilan boleh mempengaruhi pandangan kita terhadap sesuatu kumpulan atau perlakuan, sama ada positif atau negatif, menukarnya kepada panggilan lain semata-mata tidak mungkin dapat mengatasi masalah sebenar tanpa tindakan dan usaha menyeluruh. Masalah penagihan dadah misalnya masih terus menjadi ancaman kepada generasi muda kita walaupun istilah 'najis' diletakkan di depan perkataan dadah. Perbuatan buli di asrama sekolah dan institusi penggajian tinggi tetap berlaku walaupun ia dipanggil minggu orientasi, induksi atau silaturahim. Babi tetap haram di sisi Islam walaupun pada satu waktu kita digalakkan memanggilnya khinzir.

Berbalik kepada masalah lumba haram, mereka yang melakukannya memang layak digelar samseng jalanan. Hanya samseng yang sanggup melanggar sekatan jalan raya, tidak menghormati masyarakat sekeliling terutama di waktu beribadat dan membahayakan nyawa orang lain yang tidak berdosa. Kita cuma berharap polis dapat membezakan 'samseng jalanan' sebenar yang menjadi peserta lumba haram dengan penunggang motosikal lain yang hadir menjadi penyokong dan penonton tetapi turut lari apabila dikejar kereta atau motosikal peronda trafik.

Begitupun, menukar gelaran itu mungkin hanya boleh menimbulkan kebencian masyarakat kepada pelumba haram tetapi belum cukup untuk menginsafkan mereka. Justeru, tindakan berkesan dan bersifat jangka panjang amat diperlukan bagi menangani masalah ini. Disebabkan sebahagian besar pelumba haram ini remaja, Kementerian Belia dan Sukan harus menerajui satu kajian menyeluruh bagi mencari punca sebenar masalah ini dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dan polis.

Beberapa kajian mengenai gejala itu setakat ini hanya membabitkan institusi pengajian tinggi bagi memenuhi keperluan akademik pelajar dan bukan bertujuan menangani masalah ini secara serius.

Benarkah gejala ini berpunca daripada kecenderungan remaja untuk memenuhi keperluan naluri serta menjadi manifestasi kelelakian dan kegagahan di kalangan pelumba seperti dilihat dari sudut psikologi? Apakah kerana semakin kurangnya kemudahan dan galakan bersukan seperti bola sepak di pekan dan bandar kecil sekarang menyebabkan meningkatnya lumba haram?

Beberapa bekas pelumba haram yang ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen minggu lalu mengaitkan penutupan litar Shah Alam untuk pembinaan projek perumahan sebagai salah satu faktor meningkatnya lumba haram di Lembah Klang. Adakah semakin banyaknya motosikal dan bertambah baiknya sistem jalan raya di negara ini sekarang turut menjadi faktor meningkatnya gejala itu?

Atau apakah kelemahan penguatkuasaan, sama ada kerana kekurangan anggota atau polis mempunyai keutamaan lain dan ketiadaan tempat untuk menyimpan motosikal yang dirampas, menjadikan pelumba haram berani memperlekehkan undang-undang.

Jawapan sebenar kepada soalan ini dan permasalahan lain yang berkaitan hanya boleh didapati melalui satu kajian menyeluruh dan jujur, manakala semua pihak - polis, ibu bapa, sekolah dan badan bukan kerajaan harus berganding bahu menanganinya. Dengan itu barulah kaedah yang bukan bersifat menghukum semata-mata tetapi pendekatan menyeluruh bagi menangani gejala lumba haram dan masalah remaja lain untuk jangka panjang termasuk usaha pencegahan dan pemulihan. Perkara ini tidak mustahil dilakukan jika semua pihak benar-benar jujur bagi menangani masalah yang boleh memusnahkan masa depan bangsa ini.

Artikel Asal Oleh : Manja Ismail
Sumber : http://www.bharian.com.my/