Jumaat, 26 Jun 2009

ISU PENULARAN VIRUS INFLUENZA H1N1 (SELESEMA BABI)

Tangkap, buang, bunuh virus Influenza A

PENULARAN Influenza A (H1N1) kian membimbangkan. Berdasarkan laporan di laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sudah 109 negara dijangkiti dengan lebih 55,867 kes, termasuk 245 kematian sehingga Rabu lalu.

Wabak itu juga terus menular di Malaysia dengan lebih 100 kes dicatat, kebanyakannya kes import sehingga menyebabkan beberapa sekolah terpaksa ditutup.

Apa yang menggerunkan virus ini boleh membawa maut sehingga ada yang menyifatkan bahawa di Amerika Syarikat, setiap 1,000 orang yang dijangkiti, 40 perlu dirawat di hospital dan seorang akan meninggal dunia.

Fakta ini bukan bertujuan membawa panik kepada masyarakat, cuma dengan sedikit maklumat dan pengetahuan, kita akan lebih berhati-hati dan berusaha mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk mengelak diri menjadi mangsa.

H1N1 adalah sejenis jangkitan pernafasan dan mempunyai elemen daripada virus yang dijumpai dalam khinzir. Sungguhpun begitu, saintis antarabangsa menyatakan masih belum ada bukti menunjukkan bahawa penyakit ini tersebar kerana khinzir dan siasatan saintifik dari mana penyakit ini berasal sedang dilaksanakan di seluruh dunia.

Jika disoroti sejarah virus ini, ia pernah dikesan pada tahun 1918 dan ketika itu khinzir dan manusia mendapat selesema pada masa sama. Wabak terbaru 2009 ini adalah pertama dikesan pada April 2009 di Amerika Syarikat dan negara seperti Mexico dan Kanada.

Virus ini boleh merebak daripada air liur atau hingus seseorang yang sudah dijangkiti kepada individu yang lain. Antara cara termudah membendung jangkitan ialah dengan menutup hidung dan mulut ketika bersin atau batuk dengan tisu dan terus membuang tisu ke dalam tong sampah.

Jika kita hanya menutup dengan tangan, virus boleh merebak ke permukaan lain yang disentuh dengan tangan itu. Jika orang lain pula menyentuh permukaan itu dan menyapu muka mereka, sistem badan mereka juga boleh dijangkiti.

Namun, buat masa ini, pengkaji di Amerika sendiri masih belum mengenal pasti betapa mudah atau sukarnya virus ini merebak antara manusia. Namun satu kajian di Kolej Imperial London menjangkakan virus ini merebak dengan agak cepat dan mudah dengan anggaran setiap orang yang dijangkiti selesema ini boleh menyebarkannya kepada 1.4 dan 1.6 orang yang lain.

Ia merebak melalui batuk dan bersin individu yang dijangkiti kepada individu lain yang berhampiran dengannya. Antara tanda mereka yang dijangkiti virus ini serupa dengan tanda selesema biasa seperti demam, batuk, kesukaran pernafasan, sakit tekak, hidung berhingus, sakit-sakit badan, sakit kepala, kesejukan dan lemah-lemah badan.

Ada juga sesetengah individu yang dijangkiti melaporkan sakit perut dan muntah-muntah. Virus baru dikesan ini masih tidak diketahui asalnya membuatkan pengkaji dan pakar tidak senang duduk. Berikutan virus yang berterusan merebak, menyebabkan WHO mengisytiharkan tahap amaran fasa enam iaitu peringkat tertinggi pandemik terbabit.

Di benua Eropah saja, jumlah kes yang disahkan oleh pakar perubatan mencecah 3,000 kes dengan sehingga kini membawa kepada satu kematian. Negara Eropah itu termasuk Austria, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Itali, Belanda, Swizerland dan United Kingdom (UK).

Di UK, mangsa dikesan dijangkiti selesema babi kini mencapai 1,500 orang manakala di bahagian Timur dekat Tengah England di mana Nottingham terletak, sudah ada 18 kes dikesan namun tiada kematian dilaporkan.

Kes pertama dikesan pada 27 April lalu daripada mangsa yang pulang dari Mexico. Kematian pertama membabitkan jangkitan ini di UK disahkan oleh kerajaan Scotland pada 14 Jun lalu dengan beberapa lagi mangsa dalam keadaan kritikal.

Laporan akhbar aliran perdana di UK, Daily Telegraph baru-baru ini menyatakan berjuta-juta warga Britain mempunyai kebarangkalian dijangkiti virus ini. Jika terlalu teruk, sekolah mungkin akan ditutup. Sehingga kini, sehingga 20 sekolah pernah ditutup di England dan Scotland kerana sudah ada pelajar yang dijangkiti wabak.

Polisi menutup sekolah, menurut Profesor Neil Furgeson dari Kolej Imperial London menjangkakan ia boleh membendung satu dalam tujuh kes jangkitan dan seorang daripada lima kanak-kanak yang berpotensi dijangkiti.

Antara langkah pencegahan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan UK adalah dengan menghantar maklumat selengkapnya mengenai virus ini kepada rumah-rumah di UK. Selain itu, media massa juga diminta memainkan peranan menyedarkan masyarakat mengenai bahaya selesema ini.

Pelbagai kempen melalui laman web juga serta edaran di klinik-klinik turut dilaksanakan untuk memberi kesedaran serta maklumat cara pencegahan dan tindakan jika dijangkiti. Memandangkan pada peringkat ini, masih belum ada vaksin untuk selesema ini yang masih dalam peringkat kajian, kerajaan UK menggunakan ubat antivirus seperti Tamiflu dan Relenza yang cukup untuk separuh populasi masyarakat UK dalam tempoh menghasilkan vaksin.

Dalam menangani kes ini, Kerajaan UK menyatakan langkah menangani yang diambil adalah antara yang terbaik dan praktikal di dunia. Sistem yang diperkenalkan mudah difahami dan dilaksanakan penduduknya iaitu dengan menyarankan semua orang membawa tisu ke mana-mana, tutup mulut ketika bersin atau batuk dan buang tisu itu.

Slogan 'catch it, bin it, kill it (tangkap, buang, bunuh virus) diaplikasi kepada segenap masyarakat supaya virus tidak terus-terusan merebak. Nombor penting untuk dihubungi disertakan dalam risalah 11 bahasa termasuk bahasa Inggeris serta laman web untuk memberi panduan apa yang perlu dilakukan jika ada tanda-tanda wabak itu pada diri seseorang.

Risalah dalam bentuk CD audio, cetakan besar kepada orang tua-tua yang bermasalah penglihatan serta versi tulisan Braille boleh didapati secara percuma dengan membuat permohonan kepada Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang bertindak seperti hospital kerajaan di Malaysia.

Infoline H1N1 juga dibuka untuk membolehkan masyarakat mendapat maklumat terbaru mengenai wabak ini dari semasa ke semasa. Langkah di pihak komuniti pula ialah dengan menyarankan masyarakat mewujudkan jaringan 'rakan demam' atau 'flu friends' yang terdiri daripada rakan taulan, saudara atau jiran tetangga.

Jika berlaku tanda-tanda H1N1 pada diri kita, maka rakan demam boleh membantu mengambil ubat atau membeli makanan. Dengan itu, individu yang dijangkiti tidak perlu keluar rumah dan merisikokan orang lain.

Buat masa ini, tiada warta yang menyarankan keperluan memakai topeng muka kerana kajian saintifik di UK mendapati topeng ini tidak melindungi manusia daripada dijangkiti H1N1. Cara terbaik ketika ini ialah dengan 'menangkap' virus terbabit dengan tisu dan membuangnya serta jangan benarkan ia menjangkiti orang lain. Mudah dan berkesan buat masa ini, namun kita tetap mengharapkan agar vaksin H1N1 dapat dihasilkan secepat mungkin.

Sumber : http : //www.bharian.com/

FENOMENA MICHAEL JACKSON

Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK

PENGHUJUNG karier seni Raja Pop ini penuh berliku. Namun Michael Jackson atau lebih akrab dikenali sebagai Jacko di kalangan peminatnya, tetap merupakan "jenama" yang tiada dua.

Kehidupan aneh dan misteri yang dilaluinya turut membantu memastikan namanya tidak terpadam dalam senarai penyanyi popular sepanjang zaman.

Malah Jackson turut disamakan dengan Elvis Presley dan Beatles. Beliau dianggap legenda pop oleh peminatnya di seluruh dunia. Jackson tetap dipuja walaupun zaman kegemilangannya semakin pudar ekoran perubahan masa dan kemelut peribadi.

Maka tidak hairanlah apabila berita kematiannya semalam sangat mengejutkan peminat. Malah ramai yang tidak percaya dan menganggap ia hanya "jenaka tidak bertanggungjawab" yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Namun manusia tidak boleh menolak ketentuan Tuhan. Takdir telah menentukan raja pop ini meninggal dunia pada 25 Jun 2009. Beliau disahkan mati pada 2.26 petang Khamis (5.26 pagi Jumaat waktu Malaysia) di UCLA Medical Center. Beliau meninggal selepas dikejarkan ke pusat perubatan itu setelah tidak sedarkan diri di kediamannya di kawasan elit Holmby Hills, Los Angeles.

Sebaik kematiannya disahkan, semua stesen televisyen dan radio mula menyiarkan berita mengenai ikon pop ini. Stesen MTV memutarkan semula video-video muzik beliau sementara saluran CNN menyiarkan pelbagai program tanpa henti mengenai Jackson termasuk bual bicara secara langsung.

Fenomena penyiaran program tanpa henti mengenai Jackson itu bukan hanya berlaku di Amerika malah turut 'berjangkit' sehingga ke Eropah, Australia dan Asia. Stesen-stesen televisyen di Sydney, London, Mumbai, Seoul dan Tokyo turut berbuat demikian. Ia merupakan satu penghormatan kepada bintang berkenaan.

Jackson yang akan genap 51 tahun pada 29 Ogos ini menghembuskan nafas terakhir akibat kegagalan fungsi jantung.

Menyedihkan kerana kematian itu berlaku sewaktu beliau dalam persiapan rapi untuk mengadakan comeback dalam dunia hiburan. Jackson dijadual mengadakan persembahan di London, bulan depan. Beliau dilaporkan bekerja keras dengan terlibat dalam latihan serius bagi memastikan kejayaan konsert berkenaan.

Pemergian bintang berbakat besar tetapi "tidak selesa dengan dirinya sendiri" itu bukan sahaja diratapi oleh peminat malah turut ditangisi oleh rakan-rakan seperjuangan.

Antaranya ialah Madonna, Paul McCartney, Sofia Loren, Brooke Shields dan bekas isterinya, Lisa Marie Presley.

Bagaimanapun sahabat baiknya yang merupakan penerbit dari Tunisia, Tarak Ben Ammar menganggap kematian Jackson itu disebabkan oleh "doktor-doktor tidak jujur" di sekeliling raja pop tersebut.

Tarak menyifatkan mereka sebagai "doktor berhati binatang" kerana mengambil kesempatan ke atas masalah psikologi Jackson. Katanya, Jackson menghidap hypochondria iaitu sejenis gangguan psikologi yang menyebabkan beliau merasakan dirinya sakit dan tidak sempurna sedangkan hakikatnya tidak.

"Beliau menghidap hypochondria tetapi doktor di sekelilingnya tidak membantu malah mengambil kesempatan. Mereka memusnahkan wajahnya dan memberi ubat kononnya untuk menghilangkan kesakitan.

"Sebenarnya mereka itu hanya mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran yang bukan-bukan dan mengambil kesempatan di atas kelemahannya itu," katanya yang mendakwa Jackson banyak bergantung pada ubat penahan sakit dan ubat tidur.

Pendapat Tarak itu mungkin ada kebenarannya berdasarkan kenyataan bekas pegawai seranta Jackson, Michael Lavine. Lelaki itu berkata beliau tidak terkejut dengan cara kematian Jackson.

"Beliau menjalani hidup yang sukar dan sering berkelakuan merosakkan diri. Bakatnya tidak boleh dipersoalkan tetapi beliau juga tidak terlepas daripada nilai kehidupan normal.

"Jackson adalah individu yang tidak tahan dengan tekanan berterusan," tegas Lavine.

Pengakhiran kerjaya Jackson itu sebenarnya sangat berbeza dengan detik-detik kegemilangan yang diraih olehnya sepanjang meniti ke puncak.

Lelaki keturunan kulit hitam yang dilahirkan pada 29 Ogos 1958 di Gary, Indiana itu memulakan kerjaya seni menerusi kumpulan "The Jackson 5". Beliau yang ketika itu hanya berusia empat tahun, menyertai empat abangnya, Marlon, Jermaine, Jackie dan Tito dalam kumpulan tersebut. Mereka membuat persembahan pertama dalam program The Ed Sullivan Show pada 1963.

Album pertama kumpulan itu Diana Ross Presents the Jackson 5 turut memuatkan lagu hit I Want You Back dan I'll Be There yang termuat dalam carta lagu popular ketika itu.

Pada usia 14 tahun beliau tampil dengan album solo pertama, Got to Be There walaupun masih bersama The Jackson 5.

Bagaimanapun album Off the Wall pada 1979 melonjakkan namanya apabila empat daripada lagu dalam album itu mendominasi carta teratas 10 lagu popular.

Namanya mula meniti di bibir peminat dan digilai di seluruh dunia pada 1982 dengan kelahiran album Thriller yang memuatkan lagu Billie Jean dan Beat It. Album itu memenangi lapan anugerah Grammy dan muncul sebagai album terlaris sepanjang zaman.

Sementara itu, album Bad yang dihasilkan pada 1987 turut mendapat perhatian apabila lima lagu daripada album itu memonopoli carta dan terjual sekitar 22 juta salinan di seluruh dunia.

Riwayat hidup Jackson mula menjadi rumit apabila beliau dituduh mencabul seorang budak lelaki berusia 13 tahun pada 1993. Walaupun kes itu berjaya diselesaikan di luar mahkamah namun ia memberi kesan buruk kepada kerjayanya.

Beliau cuba bangkit daripada tragedi itu dengan melancarkan album HIStory: Past, Present, and Future Book I pada 1995. Lagu You Are Not Alone muncul lagu pertama dalam sejarah muzik pop untuk berada pada kedudukan teratas carta "Billboard".

Beliau cuba menghentikan cakap-cakap kurang enak tentang kecenderungan seksnya apabila memutuskan untuk berkahwin dengan Lisa Marie, anak "Raja Rock n Roll", Elvis Presley pada Februari 1994.

Bagaimanapun perkahwinan itu gagal bertahan lama apabila pasangan itu berpisah pada 1996.

Jackson kemudiannya berkahwin dengan Deborah Rowe pada November 1996. Perkahwinan yang berakhir pada Oktober 1999 itu melahirkan dua anak lelaki iaitu Michael Joseph Jackson atau Prince Michael dan Paris Michael Katherine.

Beliau mendapat seorang lagi anak lelaki - Prince Michael II daripada seorang ibu tumpang. Titik hitam dalam kehidupan peribadi dan kerjaya Jackson berulang lagi apabila didakwa sekali lagi di mahkamah pada Disember 2003 atas tuduhan pencabulan kanak-kanak.

Namun beliau dibebaskan daripada semua dakwaan berhubung salah laku seksual itu pada tahun 2005.

Bagaimanapun, rentetan hidup sejak beberapa tahun kebelakangan terutama selepas insiden dituduh mencabul pada 2003 itu benar-benar menjadi pukulan hebat kepada penyanyi ini.

Publisiti buruk berhubung kes tersebut, kerjaya yang semakin menjunam selain berdepan dengan ancaman muflis menyebabkan Jackson semakin tertekan. Akibatnya beliau dilaporkan banyak bergantung kepada ubat penenang.

Bagaimanapun beliau dikatakan cuba mencari ketenangan dengan mendekati agama Islam selepas melihat gaya hidup abangnya, Jermaine yang telah memeluk Islam sejak 1989. Jermaine sendiri mengaku sering menghadiahkan buku-buku mengenai Islam kepada Jackson kerana mahu adiknya itu menjadi lebih tenang dan mempunyai arah hidup yang lebih baik.

Jackson akhirnya dilaporkan memeluk Islam di rumah seorang sahabatnya, Steve Porcaro di Los Angeles pada November lalu. Porcaro adalah seorang daripada komposer yang menghasilkan lagu untuk album Thriller beliau.

Penyanyi tersebut juga dikatakan menukar namanya kepada Mikaeel. Bagaimanapun Jakson tidak pernah mengesahkan berita mengenai peng-Islamannya itu. Dan ia kekal menjadi misteri kepada penyanyi tersebut.

Sumber : http //www.utusan.com/

SEBAB -SEBAB KEBAHAGIAAN HAKIKI

Imam Ibnu Qayyim membahagikan kebahagiaan kepada tiga jenis iaitu;

Pertama; Kebahagiaan disebabkan faktor luaran iaitu bahagia disebabkan harta dan kekayaan. yang berada di luar diri manusia. Dikenali sebagai lazzah khayaliayah. Jika merasa bahagia dengan memenuhi tuntutan hawa nafsu dikenali lazah bahimiyyah.

Kedua, kebahagiaan yang berkaitan dengan nikmat badaniah. Bahagia dengan kesihatan, kecantikan, kesempurnaan diri dan lain-lain. Penyair Arab ada menyebutkan:

يا خادمَ الْجِسْمِ كَمْ تَشْقَى بِخِدْمَتِهِ فأنتَ بِالرُّوْحِ لا بالجسمِ إنسانٌ

Wahai diri yang menghambakan diri kapada tubuh, Ingatlah engkau adalah mausia dengan ruh bukan dengan jasad

Ketiga, kebahagiaan yang bersumber daripada nilai-nilai ketaatan kepada Allah swt. yakni kebahagiaan berasaskan keimanan dan ketaqwaan. Itulah kebahagiaan yang sebenarnya. Kebahagiaan dunia akhirat adalah kebahagiaan yang kekal abadi.

Untuk menggapai kebahagiaan yang hakiki, kita harus memiliki sebab-sebab yang melahirkan kebahagiaan ini. Antara sebab yang boleh membawa kepada kebahagiaan hakiki ialah;

1. Keimanan dan Tauhid

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ كَذَلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya;“Barang siapa yang Allah ingin memberikan petunjuk kepadanya, niscaya Dia melapangkan dadanya untuk Islam. Dan barang siapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman”. Al-An’am:125

Keimanan dan ketauhidan menjadi asas utama kebahagian hakiki kerana segala penerimaan amalan disisi Allah samada amalan zahir mahupun batin bergantung kepada keimanan seseorang kepada Allah swt. Kebahagian hakiki diakhirat hanyalah untuk orang-orang yang beriman.

2. Tazkiatun Nafs (mensucikan diri)

Jiwa yang suci akan mendatangkan banyak manfaat dan kebaikan dalam kehidupan seseorang di dunia maupun di akhirat. Karana asas kebaikan diri seseorang, keluarga, masyarakat dan bahkan bangsa bertunjangkan jiwa yang baik. Manusia yang memiliki jiwa yang suci , sehat akan berkelakuan dengan nilai-nilai kebaikan.

Firman Allah swt;

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” Asy-Syamsy: 8-10

Ibnu Rajab berkata: “Hati yang baik adalah yang terbebas dari segala penyakit hati dan berbagai perkara yang dibenci, hati yang penuh kecintaan dan rasa takut kepada Allah, dan rasa takut berjauhan dari Allah swt.”

3. Sembahyang

Sembahyang adalah cahaya, ketenangan dan ketenteraman dalam jiwa. Sembahyang juga penghubung antara Allah dan hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Dengan Sembahyangsembahyang. mereka menemui ketenangan dan kebahagiaan. Bahkan ketika menghadapi musibah pun diperintahkan kita untuk

Allah berfirman:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

“Dan memohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan kesabaran dan sholat…” Al-Baqarah : 45

Rasulullah bersabda:

قُمْ يَا بِلَالُ فَأَرِحْنَا بِالصَّلَاةِ

Maksudnya; Wahai Bilal, qamatlah! Agar dengan sholat tersebut kami tenang.” (Imam Abu Dawud)

4. Redha dan Qana’ah

Redha dan qana’ah merupakan akhlak mulia yang harus dimiliki oleh setiap muslim. Kerana dengan sifat redha dan qana'ah akan lahir ketulusan, keikhlasan dan ketundukan seorang hamba dalam menerima hasil akhir dari amal usaha. Dengan redha, manusia akan menerima segala keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah. Baik yang berkaitan dengan dirinya, keluarga maupun harapan-harapan lain yang sangat dicita-citakan dalam kehidupannya. Sifat redha dan qana’ah akan menghalang rasa putus aan dan kesedihan.

Firman Allah swt

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Maksudnya“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam Kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” Al-Hadiid: 22-23

5. Zikir dan Mengingati Allah.

Dengan senantiasa zikir dan ingat Allah dalam apa jua keadaan, manusia akan merasa tenteram, tidak ada rasa takut, tidak ada rasa bimbang dan tiada kesedihan dalam jiwanya.

Allah berfirman:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya;Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” Ar-Ra’du: 28

Mudah-mudahan Allah swt menganugerahkan kepada kebahaian dan ketenagan yang hakiki. Kebahagian di dunia dan akhirat.

6. Menenangkan Hati


Dalam Al Qur'an banyak ayat-ayat yang membicarakan kedudukan hati yang lapang, di antaranya:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي

Maksudnya: Ia berkata Wahai Tuanku, lapangkan dadaku. (Thaha: 25)

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ

Maksudnya; Bukankah kami melapangkan dada engkau (Al Insyirah: 1)

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ كَذَلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya; Maka sesiapa yan Allah ingin berikan pertunjuk, Allah akan lapangkan dadanya untuk Islam dan sesiapa yang Allah ingin menyesatkannya, Allah akan menyempitkan dadanya seperti naik ke langit. Begitulah Allah menjadikan kekejian ke atas orang yang tidak beriman (Al An'am: 125)

Kelapangan dada dan mencarinya termasuk tanda-tanda kebahagiaan dan sifat orang-orang yang berbahagi

7. Berbuat Baik kepada Manusia

Orang yang suka berbuat baik kepada manusia dialah orang yang paling berbahagia, serta yang paling diterima hidupnya di atas bumi.

خير الناس أنفعهم للناس

Maksudnya; Sebaik-baik manusia ialah orang berguna kepada orang lain.


8. Tidak tamak dunia dan selalu mengingati mati.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ارض بما قسم الله لك تكن أغنى الناس " رواه أحمد

Maksudnya; Redhalah dengan pembahagian Allah terhadap mu, nescaya engkan menjadi manusia yang paling kaya.


9. Memberi kemaafan

Memberi kemaafan boleh menjadikan seseorang menjadi tenang dan bahaigia kerana ia akan disukai oleh semua orang. Dan orang yang memberi kemaafan disayangi Allah.

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya; Hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Nur : 22)

وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya; Dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali Imraan : 134)

Sumber : http://usrahrasahati.blogspot.com/

STRATEGI PENINGKATAN KEMAHIRAN BAHASA INGGERIS

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada tulisan 'Reza Aljunid' Kuala Lumpur dalam ruangan ini mengenai modul ajar Bahasa Inggeris biar mudah, 10 Jun lalu. Kementerian akan mengukuhkan penggunaan bahasa Inggeris murid melalui kurikulum yang baru dengan menggunakan strategi berikut:

1. Memberi keutamaan kepada literasi murid dari segi kemahiran membaca dan menulis. Ia dapat diperkukuhkan dengan pengenalan pendekatan 'integrated phonics' yang dapat memantapkan penguasaan kemahiran asas bahasa Inggeris murid;

2. Memberi penekanan kepada kemahiran bertutur dengan memberi fokus terhadap seni bahasa (Inggeris Art) yang dipelajari dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris seperti drama, puisi dan muzik.

3. Memberi penekanan pengajaran tatabahasa dalam konteks untuk mempertingkatkan kebolehfahaman murid dari segi penggunaan bahasa yang tepat.

4. Mendedahkan murid kepada sastera Bahasa Inggeris ketika Tahap Dua (Tahun Tiga hingga Tahun Enam) agar penguasaan Bahasa Inggeris boleh diperkukuhkan di kalangan murid;

5. Memperkenalkan dalam pentaksiran berasaskan sekolah supaya murid tidak perlu berhadapan dengan penilaian bertulis dan ia akan membuka ruang kepada penilaian formatif yang lebih menekankan potensi individu. Penilaian itu lebih bermakna kepada murid dan mampu mencungkil bakat murid dalam pelbagai bidang.

6. Guru juga boleh mengendalikan pengajaran dan pembelajaran bahasa yang lebih menarik dan menyeronokkan (fun learning);

7. Mengintegrasikan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah; dan

8. Memastikan tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang tinggi dalam kalangan guru melalui pemilihan guru yang terlatih untuk mengajar Bahasa Inggeris di sekolah terutama di sekolah luar bandar. Latihan yang sewajarnya untuk guru dan pentadbir turut disediakan agar tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka dapat dipertingkatkan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Rabu, 24 Jun 2009

PESANAN KEPADA MAHASISWA

Oleh MOHAMMAD ISMAIL dan
DR. SHAIFUL ANNUAR KHALID

SEJUMLAH 128,295 tempat untuk kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti bagi sesi Julai 2009 ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Jumlah tersebut bersamaan dengan 32 peratus daripada sejumlah 400,996 permohonan bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda, program diploma dan sijil.

Ini bermakna 68 peratus atau 272,701 calon yang gagal mendapat tempat perlu mencari alternatif lain seperti kolej swasta atau mencuba nasib mencari pekerjaan.

Lazimnya dalam saat begini, ibu bapa adalah orang yang paling sibuk menguruskan persiapan anak-anak untuk mendaftar di universiti. Tiada kata yang boleh digambarkan mengenai betapa gembiranya mereka apabila mendapat surat tawaran kemasukan anak ke universiti. Kalau boleh mahu dicanangkan ke seluruh kampung atau daerah.

Begitulah gambaran perasaan gembira ibu bapa. Mereka sanggup bergolok-gadai malah sanggup menyewa kereta untuk menghantar anak-anak ke universiti.

Kebiasaannya di kampung-kampung atau di mana sahaja, ada diadakan juga majlis kesyukuran dan sembahyang hajat untuk menzahirkan kesyukuran. Namun dalam kegembiraan tersebut, kami sekadar ingin mengingatkan bakal mahasiswa di menara gading.

Sebagai bakal mahasiswa dan seorang anak, anda pastinya memikul tanggungjawab yang besar. Satu perkara yang perlu selalu bermain dikotak fikiran anda ialah mengimbangi antara matlamat diri, tanggungjawab dan amanah keluarga.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian apabila secara rasminya menjadi warga kampus yang akan dipanggil siswa dan siswi universiti ialah seperti berikut.

Utamakan cita-cita bukannya cinta

Walaupun cinta itu akan hadir dalam setiap diri manusia terutama golongan remaja, namun anda perlu ingat, apa yang perlu diutamakan. Jika kita mencapai cita-cita dengan kejayaan nescaya cinta juga akan dinikmati dalam masa yang sama atau bakal datang kepada anda.

Jangan kerana terlalu asyik berjumpa 'rakan baru', kita menjadi 'kelabu mata' sehingga lupa cita-cita yang menjadi matlamat asal.

Hapuskan sindrom backbenchers club

Satu sindrom yang menular di kalangan sebahagian pelajar universiti ialah berlumba-lumba datang awal ke kelas. Tetapi bukan untuk duduk di barisan depan sebaliknya berebut-rebut mengisi kerusi di belakang.

Jika anda ingin menumpukan perhatian kepada syarahan, rebutlah kesempatan untuk mengisi ruang di depan kerana penyampaian pensyarah akan dapat dicerap dengan lebih jelas dan tepat jika anda berada lebih hampir dengan beliau.

Jauhi perangai musang, siang mengantuk malam berjaga

Satu tabiat yang agak biasa di kalangan pelajar adalah bersembang dengan rakan-rakan sehingga lewat malam. Tidak cukup dengan itu terdapat juga segelintir yang menyambung tugas untuk 'berperang' atau 'mengatur strategi' dengan bermain permainan komputer.

Akibatnya pasti ada yang terbabas untuk mengikuti kelas di waktu pagi dan ada juga yang "mengangguk-angguk" ketika di dalam kelas. Bukan kerana faham apa yang diajar tetapi mengantuk.

Antara resipi kejayaan seseorang pelajar universiti adalah mereka yang dapat mengikuti setiap syarahan dengan baik dan juga dapat memberi tumpuan ketika di dalam kelas. Kajian menunjukkan pelajar yang berjaga malam gagal mendapat keputusan CGPA yang tinggi.

Sentiasa menjadi rider bukannya passenger

Satu fenomena sejak dulu lagi ialah setiap kali tugasan diberi untuk dibuat pembentangan dan laporan pasti ada yang mengelak. Ramai yang mahu mengambil jawatan sebagai 'penumpang'.

Sebagai mahasiswa alaf baru, fenomena ini perlu diubah kerana seseorang yang berjaya, berkarisma, berketerampilan adalah terdiri dari golongan mahasiswa yang sentiasa menjadi pemimpin atau rider dan bukannya passenger.

Untuk menjadi pemimpin yang hebat di masa depan kita mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dan universiti adalah platform yang terbaik untuk mengasah kilauan bakat untuk membuktikan anda adalah pemimpin masa depan.

Bina hubungan positif dengan pensyarah dan rakan-rakan

Jika kita membaca dan mengkaji antara resipi kecemerlangan seseorang pelajar ialah sentiasa berbincang dengan rakan sekelas melalui kumpulan belajar. Sebaik-baiknya tidak melebihi lima orang.

Selain daripada itu perbincangan dengan pensyarah juga akan membantu kejayaan kerana pensyarah itulah yang akan memeriksa kertas jawapan peperiksaan.

Oleh itu penting untuk mengetahui dan menyelidik tentang kehendak sesuatu soalan serta cara menjawab. Anda tidak boleh menyusuri kampus seorang diri untuk berjaya sebaliknya perlu berbincang dengan rakan dan pensyarah.

Setelah menjalani kehidupan di kampus nanti jangan lupa sekali-sekala bertanya khabar ayah dan ibu. Jangan hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sekadar untuk meminta bantuan tambahan apabila poket hampir kosong. Sedikit pesanan di atas sekadar mengingatkan bakal mahasiswa agar anda tidak 'menghadiri konvokesyen' lebih awal daripada rakan-rakan seperti buah yang gugur sebelum waktunya.

Mengikut statistik, sejumlah 4,800 daripada jumlah kemasukan pelajar setiap tahun gagal menamatkan pengajian atau diberhentikan daripada IPTA sepanjang tempoh 2005 hingga 2008. Walaupun jumlah tersebut dianggap sedikit tetapi ia masih merupakan satu amaran yang jelas kepada anda semua bahawa ramai yang berkorban dan bergantung harap untuk memastikan kejayaan anda terutama ayah dan ibu, saudara-mara dan sahabat-handai.

Kegagalan anda juga merupakan satu kerugian yang besar kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Walaupun negara menghadapi krisis ekonomi namun kerajaan terus komited daripada segi penyediaan bantuan kewangan apabila sejumlah RM3 bilion diperuntukan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Namun begitu, kita percaya dalam diri setiap bakal mahasiswa tidak terlintas akan istilah kegagalan. Bagaimanapun, sedikit kealpaan dan kelalaian akan menghanyutkan anda ke arus kekecewaan.

Seseorang pelajar yang menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di IPTA perlu bermuhasabah diri. Anda perlu menganggap bahawa tawaran tersebut biarpun mungkin bukan pilihan utama tetapi adalah peluang keemasan yang datang sekali seumur hidup.

Oleh kerana masih ramai yang gagal mendapat tempat, hargailah peluang tersebut dengan sebaik mungkin untuk mengangkat taraf hidup diri dan keluarga. Anda perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Untuk berjaya anda perlu bersedia untuk berkorban, menetapkan matlamat hidup yang jelas, pandai mengurus masa dan pandai membawa diri.

Ibarat pepatah Melayu "adat periuk berkerak, adat lesung berdedak". Untuk berjaya juga pelajar IPTA perlu tabah dan rajin. Jadilah sebagai seorang graduan nanti yang "dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi pepohon yang merendang dan dicampak ke angkasa menjadi bintang yang menyinar". Sekalung tahniah buat yang berjaya!

KEDUA-DUA PENULIS ialah pensyarah dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara, Perlis.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

AWASI KESAN H1N1 TERHADAP SEKTOR EKONOMI NEGARA

PEPATAH "Mencegah lebih baik daripada mengubati" merupakan pendekatan terbaik yang perlu diambil dalam menangani krisis wabak selesema babi atau influenza A (H1N1). Ini kerana apa yang berlaku bukan hanya akan memakan korban tetapi juga menjejaskan perkembangan sektor ekonomi tertentu negara.

Pada ketika ini, banyak pihak melihat kerajaan masih lagi bertindak agak perlahan dalam menanganinya di sebalik pelbagai langkah yang dilakukan.

Persepsi negatif ini perlu ditangani segera untuk meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa perkara seumpama itu tidak berlaku. Dan kita juga minta rakyat memberi kerjasama supaya angka mereka yang disyaki dijangkiti dikurangkan, sekali gus mengelakkan korban.

Bagaimanapun tindakan kerajaan yang agak perlahan mungkin dipengaruhi oleh kebimbangan bahawa sebarang usaha lebih agresif akan membawa kepada kemungkinan berlaku "panik yang keterlaluan" di kalangan orang ramai.

Namun begitu, kebimbangan di peringkat kerajaan tidak seharusnya berlaku kerana minda orang ramai perlu disediakan untuk menghadapi keadaan terburuk sambil mengharapkan yang terbaik akan berlaku.

Pada masa ini, kita dapat melihat bilangan mereka yang benar-benar serius mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengatasi merebaknya wabak selesema burung masih belum ketara. Kita tidak harus melihat kepada langkah yang diambil di sekolah-sekolah sahaja tetapi juga di tempat-tempat awam yang mana wabak sedemikian mudah merebak.

Langkah-langkah yang lebih meyakinkan dan drastik perlu dilaksanakan kerana kita tidak ingin melihat penularan yang masih di peringkat kecil akan merebak sehingga ke peringkat sektor awam dan swasta termasuk kilang-kilang.

Penularan ini lebih berbahaya berbanding ketika berlakunya selesema burung yang hanya menyebabkan haiwan sahaja terpaksa dihapuskan.

Tetapi jika wabak ini merebak ke dalam sektor ekonomi tertentu, ia bakal memaksa sektor itu ditutup dalam usaha untuk mengelak berlakunya keadaan yang lebih buruk.

Meletusnya kejadian seumpama itu bukan hanya menjejaskan kegiatan ekonomi tetapi juga boleh menyebabkan negara lumpuh lalu terjerumus dalam jurang kemelesetan yang lebih panjang.

Perangkaan yang ada telah pun mengunjurkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus pada tahun ini.

Kita juga perlu sedar keupayaan mengekang wabak selesema burung tidak boleh menyebabkan semua pihak menjadi terlalu leka dan berasa selesa bahawa wabak H1N1 yang baru muncul ini tidak akan menjadi masalah berlanjutan.

Biarpun implikasinya kepada Malaysia tidak ketara, semua pihak harus berwaspada.

Berdasarkan perangkaan, wabak selesema burung yang berlaku sebelum ini telah mengakibatkan kerugian ekonomi berjumlah AS$5.4 bilion (RM18.9 bilion) kepada ekonomi sejagat dalam tempoh setahun sahaja.

Negara-negara yang baru-baru ini terjejas akibat H1N1 secara terkumpul telah mengalami kerugian AS$8 bilion (RM28 bilion) hingga AS$12 bilion (RM42 bilion).

Jika dilihat kepada perangkaan itu, nasib tidak akan menyebelahi kita sekiranya gagal mengambil langkah-langkah berani dan juga tidak popular dalam menghadapi wabak ini.

Kita tidak seharusnya bersikap "sudah terhantuk, baru mahu tengadah" kerana ketika itu segala-galanya sudah pun terlambat.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Isnin, 22 Jun 2009

KURANGKAN KELESUAN BAPA

Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my


BERCUTI bersama keluarga membolehkan bapa berehat dan mengurangkan tahap kelesuan yang teruk.

"KASIH ibu membawa ke syurga, kasih bapa sementara ada." Dalam semua bentuk bahasa, minda dan perilaku, seorang ibu itu sememangnya diletakkan lebih tinggi daripada seorang bapa.

Ini pasti tiada bangkangan dari mana-mana lelaki mahupun wanita yang penah menerima belaian kasih seorang ibu. Namun, tidak pula diabaikan kedudukan bapa, diambil mudah atau tidak dihargai, selagi ada. Walaupun kedudukan ibu yang penuh kasih sayang, lemah lembut dan budi bahasa diutamakan, seorang bapa sebagai penaung dan pemimpin amat penting dalam sebuah keluarga.

Tanpa bapa, bukan sahaja seorang ibu perlu bergantung kepada diri sendiri, anak juga kehilangan bimbingan seorang lelaki dewasa ketika membesar. Pengaruh lelaki dewasa dalam sebuah keluarga juga boleh menentukan hala tuju dan pencapaian anak kelak, yang akan berterusan kepada generasi-generasi berikutnya.

Tegar yang rapuh

Sebagai seorang anak, sejauh mana anda boleh menerima ketiadaan seorang bapa? Sebagai seorang bapa pula, sanggupkah anda meninggalkan keluarga, terutamanya anak-anak?

Memang diperakui terdapat banyak kelemahan di kalangan lelaki, tetapi ini tidak bermakna semua lelaki (bapa) akan sengaja menyerah kalah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Di sebalik agam ego seorang lelaki, hati seorang bapa sama lembutnya berbanding seorang ibu. Di sebalik keutuhan azam dan pendirian, seorang bapa sebenarnya begitu mudah layu dan binasa.

Dunia sebenarnya kekurangan lelaki dan ini jelas dalam perangkaan kasar beberapa pihak sebelum ini yang mendakwa terdapat antara tujuh hingga 17 wanita bagi setiap lelaki.

"Tidak sejauh itu!" Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari menolak anggaran tersebut tetapi mengakui terdapat lebih ramai wanita berbanding lelaki.

"Kebiasaannya, bilangan lelaki memang lebih sedikit berbanding wanita tetapi ini mengikut negara dan kawasan tertentu.

"Negara seperti China dan India mungkin mempunyai lebih ramai lelaki memandangkan pemilihan jantina oleh ibu bapa," katanya.

Di China, ini jelas berlaku akibat undang-undang yang menetapkan bilangan anak dalam keluarga sementara di India, ia melibatkan tenaga kerja dan aturan perkahwinan.

"Di India, anak lelaki dapat mengerjakan ladang. Anak perempuan pula perlu memberi hantaran perkahwinan kepada pihak lelaki," jelas Dr. Abdul Malik.

Faktor-faktor sebegini telah menyebabkan ramai bayi perempuan digugurkan, seterusnya membawa kepada bilangan lelaki yang lebih tinggi. Di Malaysia pula, pemilihan jantina tidak begitu ketara dan boleh dikatakan tiada pemilihan memandangkan pasangan di negara ini tiada kekangan dan gembira menerima apa jua jantina cahaya mata.

"Nisbah lelaki dan wanita di negara ini juga tidak setinggi yang didakwa. Anggaran kasar mungkin terdapat sekitar 980 orang lelaki bagi setiap 1,000 wanita.

"Bagi India dan China pula, mungkin sekitar 1,200 lelaki untuk setiap 1,000 wanita," dakwanya.

Namun, perbezaan bilangan lelaki dan wanita juga bukan hanya berkait dengan kadar kelahiran. Aktiviti, pekerjaan dan jangka hayat juga memainkan peranan besar dalam menentukan nisbah bilangan ini. Dari sebelum merdeka, kini dan juga anggaran masa depan, jangka hayat lelaki sentiasa di belakang jangka hayat seorang wanita. Buat masa ini, lelaki dijangka dapat hidup sehingga umur 72 tahun sementara wanita melebihi 76 tahun. Menjelang 2020 pula, lelaki dijangka dapat hidup melebihi 75 tahun sementara wanita melebihi 80 tahun.

Secara mudahnya, anda hampir pasti kehilangan bapa sebelum kehilangan ibu, bersesuaian dengan peribahasa 'kasih bapa sementara ada'.

Mencari maut

Mengapa jangka hayat lelaki lebih pendek, atau dalam konteks ini, nyawa bapa lebih pendek dari ibu?

Kerana leteran? Letih membawa barang isteri membeli belah? Atau mungkin juga patah hati kerana kurang mendapat kasih dan perhatian isteri serta anak-anak?

Bagi sesetengah bapa, ada yang mencari maut sendiri. Rokok menjadi antara punca utama ramai anak kehilangan bapa, ramai isteri kehilangan suami.

"Bronkitis kronik dan kanser paru-paru banyak berlaku di kalangan lelaki di negara ini, kebanyakannya akibat rokok.

"Lelaki juga diancam masalah kanser prostat, kanser testis dan masalah mati pucuk, yang menambahkan tekanan fizikal badan kepada tekanan mental yang sudah membelenggu," kata Dr. Abdul Malik.

Lelaki juga sebenarnya malas berjumpa doktor berbanding wanita! Ini mendedahkan mereka kepada ancaman bermacam jenis penyakit, kronik atau yang berjangkit.

"Rokok turut membawa kepada serangan jantung, masalah paru-paru, kematian mengejut dan juga kanser!"

Dari segi pekerjaan pula, lebih banyak lelaki diamanahkan dengan pekerjaan berbahaya seperti buruh binaan, polis, tentera, bomba dan pengurusan mesin berat. Dari rokok, jangka hayat hingga ke pekerjaan, risiko maut lebih tinggi pada lelaki. Jika ditambah dengan gaya hidup tidak sihat, semakin pupuslah jantina ini, bersamanya gelaran bapa kepada ramai anak bangsa.

Dr. Abdul Malik bersetuju golongan lelaki juga banyak menghadapi kesukaran hidup, dari tanggungjawab terhadap keluarga hingga ke tanggungjawab terhadap tugas kerja.

"Hidup lelaki tidak kurang kesukarannya. Lelaki (bapa) biasa akan keluar mencari rezeki untuk keluarga.

"Kerja di luar mendedahkan mereka kepada bahaya jangkitan penyakit dan juga kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja," dakwanya.

Tambahnya, dengan timbunan beban kerja dan memikirkan keperluan keluarga, lelaki begitu mudah mengalami tekanan fizikal dan mental.

Keperluan barangan rumah dan dapur, keperluan anak, keperluan sekolah serta duit belanja anak dan isteri, mungkin juga duit untuk isteri membeli belah.

Semua ini menjadi tanggungjawab lelaki sebagai suami dan bapa untuk menyediakan kemudahan dan perlindungan untuk keluarga. Tinggi tekanannya!

Hargai selagi ada

Semua orang menghadapi tekanan dalam hidup seharian. Ibu, bapa, anak, tidak mengira jantina atau umur.

Namun, tahap dan bentuk tekanan atau stres berbeza mengikut umur, jantina mahupun antara individu.

Para ibu dan wanita mempunyai cara-cara tersendiri melepaskan tekanan di rumah, menjaga anak ataupun tekanan kerja. Membeli-belah, berjalan-jalan, berbual dan sebagainya.

Lelaki, terutamanya golongan bapa pula tidak menghilangkan tekanan dengan cara sama. Cara wanita mungkin hanya menambah tekanan kepada lelaki.

Jika timbunan tekanan bertambah, seseorang itu mungkin mencapai tahap sindrom kelesuan terlampau (burn-out).

"Pada tahap kelesuan maksimum ini, seseorang itu akan kehilangan segala keghairahan hidup termasuklah minat terhadap kerja, rumah dan persekitaran (mahupun orang tersayang).

"Seperti kemurungan, mereka yang kelesuan ini hilang minat kepada hidup seharian. Doktor dan pekerja bidang lain juga boleh mengalaminya," dedah Dr. Abdul Malik.

Tidak kurang juga yang rendah syahwatnya (libido) dan menghadapi kesukaran untuk hamil akibat sindrom ini! Masalah ini sekurang-kurangnya menjelaskan sedikit dakwaan lelaki tidak berminat kepada urusan rumah tangga.

"Jika lelaki (bapa) tidak pedulikan keluarga, mereka tidak akan pergi bekerja untuk mencari rezeki bagi menyara anak dan isteri," tegas Dr. Abdul Malik.

Namun, memang terdapat contoh lelaki yang tidak mempedulikan keluarga. Mereka menghabiskan masa dalam keadaan mabuk, menyuruh isteri bekerja dan merampas duit isteri untuk terus membeli arak.

Ini merujuk kepada sebilangan kecil yang kurang waras mindanya!

Jangan kerana nila setitik itu semua lelaki, terutamanya bapa yang telah banyak berkorban untuk keluarga menerima tempias sehingga terpaksa menghabiskan sisa hidup terbiar di hujung pandangan mata.

Cuti-cuti

Legakan tekanan hidup! Stres adalah sesuatu yang perlu untuk kita memajukan diri, tetapi jika tidak dapat dihadapi dan ditangani, tekanan itu pasti memudaratkan.

"Kita tidak mahu menghilangkan semua tekanan kerana ada tekanan yang baik untuk hidup.

"Tapi, jika tekanan berlebihan dapat dikawal, bukan sahaja risiko penyakit dan kematian dapat dikurangkan, malahan dapat mengelakkan masalah mental!"

Tambah Dr. Abdul Malik, kawalan tekanan hidup dapat mengurangkan ketegangan otot, keresahan dan juga meningkatkan kualiti tidur. Tentu ramai yang tidak sedar betapa kualiti tidur menjejaskan mental dan fizikal badan.

Untuk itu, pengurusan masa menjadi faktor utama. Manusia tidak akan mempunyai cukup masa untuk melakukan segala-galanya, tetapi kebanyakan tugas penting dapat diselesaikan jika masa diperuntukkan sewajarnya.

Jika berkejar ke pejabat, hanya akan membuat diri tertekan. Semua gara-gara gagal bangun awal. Lambat, terperangkap kesesakan lalu lintas dan seterusnya menyumpah orang lain hanya menambah lagi tekanan yang dihadapi.

Tetapkan hari untuk kerja, masa untuk tugas rumah dan juga hari untuk cuti. Jika Sabtu dijadikan hari membeli barang keperluan, Ahad pula masa untuk berehat bersama keluarga.

"Perbanyakkan humor (kelucuan) dan gelak tawa dalam hidup. Agama dan kerohanian juga membantu!

"Khusyuk dalam sembahyang dapat mengasingkan minda, fokus kepada Allah, lupakan seketika apa yang berlaku di persekitaran dan merehatkan otak!"

Dr. Abdul Malik menambah, langkah-langkah ketika sembahyang juga menjadi satu senaman yang dapat mengurangkan tekanan mental dan fizikal.

Dalam mengelakkan kelesuan terlampau, apa yang paling sesuai adalah mengambil masa berehat dan bercuti bagi merehatkan badan dan minda, beberapa kali dalam setahun.

"Jangan ambil mudah! Perlu cuti dan rehat dari masa ke semasa. Pergi mana-mana pun tak apa asalkan dapat lupakan kerja atau punca tekanan.

"Melawat keluarga di kampung juga dikira bercuti. Hilangkan stres, anda akan berasa lebih santai dan tenang selepas kembali," tegas Dr. Abdul Malik.

Walaupun seks mengurangkan tekanan, ianya hanya penyelesaian jangka pendek. Kesan sindrom kelesuan terlampau, syahwat lelaki mahupun wanita semakin rendah, mengurangkan aktiviti seksual. Pengurusan tekanan dengan baik adalah cara paling berkesan bagi mengelakkan kelesuan dalam jangka panjang.

"Dalam keadaan tenang, syahwat lebih tinggi! Pernah pasangan suami isteri yang bekerja tertekan kerana sukar hamil.

"Doktor mereka menasihatkan pasangan itu mengambil cuti panjang dan hasilnya, isteri tadi didapati hamil sekembalinya dari bercuti."

Dr. Abdul Malik menegaskan begitu pentingnya waktu rehat dan cuti sehinggakan dapat mengubah hidup seseorang. Selain itu, belaian isteri dan bermanja dengan anak-anak juga dapat mengurangkan tekanan dan juga kelesuan seorang bapa.

Selain menggalakkan para bapa berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat, pastikan bapa berehat dan bercuti untuk mengurangkan tekanan.

Bagi seorang bapa, setiap aspek hidup keluarga menjadi keutamaan. Selesa, selamat dan bahagia! Bersama kurangkan kelesuan bapa, menjaga hayatnya selagi ada. Bagi para bapa, menjadi bapa yang disayangi dan dihormati adalah lebih baik daripada yang digeruni.


Sumber : http://www.utusan.com.my/