Isnin, 29 Jun 2009

ISU PEMBANTU RUMAH

Masa terbaik perkemaskan peraturan pembantu rumah

BANYAK yang melihat keputusan Indonesia untuk menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sebagai mengejutkan.

Tindakan drastik Indonesia yang dibuat ekoran beberapa kes terpencil melibatkan penderaan ke atas warganegaranya bagaimanapun perlu dilihat secara positif.

Paling penting kedua-dua negara Indonesia dan Malaysia tidak boleh terlalu emosional dalam menangani isu ini.

Langkah ini sudah pasti memberi kesan kepada sektor pembantu rumah negara yang kebergantungan kepada amah atau 'bibik' dari Indonesia sangat tinggi.

Kesan yang sama juga akan dirasai oleh rakyat Indonesia yang memasang impian untuk merantau mencari nafkah ke Malaysia - negara yang sudah membantu mengubah nasib hidup berjuta-juta rakyat Indonesia sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Jika direnung seketika, ada banyak hikmah tersembunyi di sebalik perkembangan ini.

Inilah waktu terbaik bagi kedua-dua negara untuk membuat kajian semula, mengemas kini serta menguat kuasa secara betul segala peraturan dan undang-undang berkaitan pembantu rumah sedia ada.

Selama ini banyak peraturan yang dikenakan tidak dipatuhi malah 'dicabuli' sewenang-wenangnya oleh ejen-ejen pekerja asing di kedua-dua buah negara.

Antaranya para pembantu rumah yang dihantar ke negara ini tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan daripada aspek umur, tahap pendidikan serta status kesihatan.

Bukan menjadi rahsia lagi kebanyakan pembantu rumah yang dihantar ke Malaysia adalah 'berkelas rendah' berbanding yang dihantar ke Singapura, Hong Kong, Taiwan atau negara-negara Timur Tengah.

Sesetengahnya pula tidak cukup umur minimum yang disyaratkan, buta huruf, tidak sihat atau berpenyakit yang jelas bertentangan dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kedua-dua negara.

Sebahagian daripada mereka kononnya sudah diberi latihan dan menjalani kursus induksi, realitinya tidak sedemikian apabila mula bekerja.

Walaupun datang dari satu rumpun yang sama, bahasa masih lagi dan kerap kali menjadi tembok halangan komunikasi antara majikan dan pembantu rumah.

Maklumlah mereka datang daripada pelbagai latar belakang kehidupan di sebuah negara yang jumlah penduduknya melebihi 250 juta.

Pelbagai penipuan daripada aspek syarat-syarat penghantaran pembantu rumah Indonesia ini ternyata mendatangkan banyak masalah kepada majikan di Malaysia. Ini tidak termasuk isu pembantu rumah melarikan diri yang sudah cukup untuk membuat majikan Malaysia 'sakit jiwa.'

Justeru langkah Indonesia memberhentikan sementara penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia memberi ruang kepada kedua-dua negara untuk memperbaiki segala lompang dan kepincangan selama ini.

Dari satu sudut lain langkah pembekuan sementara ini membolehkan kerajaan Malaysia mengkaji dan mencari negara-negara sumber yang baru antaranya India, Sri Lanka, China, Thailand dan Nepal.

Pada masa yang sama Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi 'kebanjiran' baru warga asing khususnya dari Indonesia yang cuba masuk secara haram ke negara ini.

Perlu diingat, tindakan Indonesia itu bukanlah sesuatu yang disenangi oleh kebanyakan mereka yang terlibat dalam 'industri' membekalkan pekerja asing di kedua-dua negara.

Dari sudut perniagaan, tindakan drastik ini walaupun hanya sementara memberi kesan yang besar kepada mereka.

Jika selama ini, aktiviti menyeludup masuk manusia untuk bekerja secara haram di Malaysia sudah berleluasa, bayangkanlah jika pemberhentian ini berpanjangan.

Rakyat Malaysia mungkin memerlukan pembantu rumah dari Indonesia tetapi pada masa yang sama juga jangan lupa, rakyat Indonesia juga sangat-sangat ingin mencari nafkah di sebuah negara jiran yang aman, mesra, pemurah dan berstatus 'lubuk emas' ini!

Sumber: http://www.utusan.com.my/

FITNAH TELEFON BIMBIT

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

SEJAJAR dengan kemajuan teknologi maklumat (IT) yang bergerak pantas, kita mempunyai banyak pilihan mendapatkan maklumat.
SEJAJAR dengan kemajuan teknologi maklumat (IT) yang bergerak pantas, kita mempunyai banyak pilihan mendapatkan maklumat.

Kita tidak hanya bergantung kepada media massa untuk mendapatkan berita kerana banyak media pilihan boleh dijadikan sumber maklumat.

Paling dominan ialah telefon bimbit, kerana cirinya lebih mesra pengguna dan kos yang murah menyebabkan segala urusan menjadi mudah.

Alat komunikasi itu yang diperkenalkan di Jepun 30 tahun lalu, bukan sekadar penghubung komunikasi malah dilengkapi pelbagai fungsi seperti aplikasi e-mel, siaran radio, televisyen dan capaian internet.

Kajian mendapati ada 3.3 bilion pengguna telefon bimbit pada 2007 dengan 2.4 bilion pengguna mesej pesanan ringkas (SMS).

Ini membuktikan telefon bimbit sebagai media interaktif popular bagi penduduk dunia.

Asasnya, media itu membawa kebaikan, tetapi ia tidak sunyi daripada keburukan, khususnya apabila jatuh di tangan golongan tidak bertanggungjawab.

Golongan terbabit akan menggunakannya sebagai saluran menabur fitnah, membuka aib orang lain dan menyampaikan maklumat tidak tepat hingga bertentangan dengan prinsip agama.

Fitnah secara umumnya bererti menyebarkan sesuatu yang palsu seperti berita, cerita, gambar dan rakaman yang tidak benar, khusus membabitkan hal yang menjatuhkan imej dan personaliti orang lain.

Dalam al-Quran istilah ini dikatakan mempunyai pelbagai makna, tertakluk kepada konteks ayat seperti bermakna syirik, ujian dan cubaan, seksa, dosa, kekufuran, pembunuhan dan kebinasaan, berpaling dari jalan benar dan sesat.

Makna yang boleh difahami melalui hadis, seperti perselisihan dan peperangan, ujian dan cubaan, melalaikan dan melekakan, kemungkaran dan maksiat, tertakluk kepada keadaan.

Bagaimanapun, fitnah bagi pemahaman orang Melayu ialah penyebaran berita bohong atau desas-desus mengenai seseorang yang tidak selaras dengan kenyataan dan kebenaran.

Semua itu dilarang keras dalam Islam, namun disebabkan dengki, suka mengadu domba dan memutarbelitkan fakta oleh segelintir pihak menyebabkan perbuatan itu tidak pernah sunyi dalam kehidupan masyarakat.

Perbuatan fitnah sangat kejam dan balasan kepada yang melakukannya sangat keras. Huzaifah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak masuk syurga orang yang suka menabur fitnah." (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, bagi mengelak daripada terpengaruh dengan maklumat palsu dan berunsur fitnah, kita bertanggungjawab menyelidiki dulu. Ini sesuai dengan firman-Nya, bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, selidikilah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada sesuatu kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan." (Al-Hujurat: 6)

Selain itu, blog iaitu laman sesawang yang diselenggara secara individu, bagi menyampaikan maklumat dan komentar mengenai sesuatu topik, terutama yang menarik minat masyarakat turut diminati masyarakat.

Blog memberikan kebebasan kepada pemiliknya memuatkan maklumat termasuk berbentuk gambar dan klip video digemari, namun kebebasan itu bukanlah lesen besar untuk menabur fitnah, membuat tuduhan, hasutan dan mencetuskan suasana tidak harmoni.

Laman sesawang terbabit seharusnya tidak menjadi gelanggang untuk tuduh-menuduh yang akhirnya menimbulkan suasana tidak tenteram, bahkan setiap komentar harus diberikan secara adil.

Islam melarang umatnya terbabit dengan perbuatan keji dan tidak membina, termasuk fitnah dan tuduhan palsu. Malah, dalam bab menuduh perbuatan keji (zina), ada hukuman qazaf iaitu dikenakan 80 kali sebatan di khalayak ramai.

Hukum qazaf dikenakan jika penuduh perbuatan keji itu gagal mengemukakan empat orang saksi yang adil iaitu tidak fasik.

Justeru, pengguna media baru, sama ada generasi baru atau lama wajar beretika berpandukan lunas agama dan nilai kemasyarakatan, bukannya menurut kehendak hedonis atau keseronokan semata-mata.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/

ISU PENGEHADAN JUMLAH MATA PELAJARAN SPM

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

Pelajar perlu fokus subjek berkaitan bidang diminati bagi mencapai keputusan terbaik


SETELAH sedekad Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan secara pensijilan terbuka, Kementerian Pelajaran akhirnya membuat transformasi apabila mengehadkan jumlah mata pelajaran diambil calon peperiksaan berkenaan.

Berdasarkan ketetapan baru yang akan dilaksanakan mulai tahun depan itu, calon peperiksaan berkenaan hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 subjek, manakala 11 mata pelajaran bagi calon aliran agama sains.

Berbanding sistem pensijilan terbuka dilaksanakan sejak 2000, jumlah mata pelajaran tidak dihadkan dan calon bebas menentukan jumlahnya hingga ada yang mengambil 21 subjek.

Mengulas keputusan itu, Yang Dipertua Kesatuan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia (KKPSM), Azam Md Atan, berkata cadangan mengehadkan pengambilan subjek itu pernah disuarakan pihaknya kepada kementerian menerusi beberapa pertemuan sebelum ini, selain turut dijadikan fokus perbincangan seminar dan konvensyen pendidikan.

Katanya, kaitan pelajar mengambil banyak subjek sering dipersoalkan, malah pihak kesatuan sendiri pernah memohon agar Kementerian Pelajaran meneliti semula konsep sistem pensijilan terbuka SPM.

“Kami melihat keputusan ini sebagai bukti kepekaan kementerian terhadap pandangan dan saranan disuarakan pelbagai pihak termasuk KKPSM yang sememangnya menantikan respon positif sejak dulu lagi.

“Pujian wajar diberikan kepada Kementerian Pelajaran kerana bijak dan tuntas dalam membuat keputusan berkaitan isu ini. Bagi pihak kesatuan, setiap keputusan dibuat pasti ada sebab kukuh demi memastikan pembangunan potensi pelajar yang lebih menyeluruh,” katanya kepada Berita Harian.

Biarpun masih ada suara sumbang yang mempertikaikan kewajaran keputusan itu, beliau menyarankan agar semua pihak khususnya pelajar bersikap positif dan terbuka dengan perubahan itu.

Sebagai pelajar, katanya, wajar bagi mereka memfokus mata pelajaran berkaitan bidang diminati dan bersesuaian dengan kecenderungan atau kemahiran mereka bagi mencapai keputusan berkualiti.

“Jumlah kuantiti subjek yang banyak bukanlah kayu pengukur sebenar kecemerlangan pelajar, malah lebih parah jika ia tidak diseimbangkan dengan pencapaian kokurikulum yang menjadi penyumbang utama pemupukan kemahiran insaniah, sahsiah dan kepimpinan pelajar.

“Malah, pelajar juga perlu ingat, selepas keluar universiti kelak, persoalan sama ada seseorang itu pernah memperoleh 18 1A atau 20 1A dalam SPM tidak lagi relevan.

“Majikan kini lebih suka menawarkan pekerjaan kepada graduan yang bukan saja cemerlang akademik tetapi yang mempunyai keyakinan, bakat kepemimpinan, pandai bergaul, inovatif dan kreatif,” katanya.

Beliau turut berharap agar keputusan mengehadkan pengambilan subjek SPM dapat mengubah persepsi pelbagai pihak yang sebelum ini sering melabelkan sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan.

Malah, katanya, keputusan itu juga dilihat sebagai sebagai mekanisme terbaik menangani isu pengagihan biasiswa khususnya yang ditawarkan kerajaan kepada lulusan SPM.

“Isu pemilihan pelajar yang layak menerima biasiswa sering dipersoalkan ramai pihak setiap tahun, malah ada yang mempertikaikan ketelusan kerajaan dalam isu itu.

“Peluang pelajar yang mendapat 20 A contohnya lebih luas untuk mendapat biasiswa berbanding pelajar 10 A. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan pelajar dan dengan keputusan mengehadkan pengambilan subjek, saya rasa isu ini akan diatasi dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Akademik, Sekolah Agama Menengah Bestari (SAM Bestari), USJ 5, Subang Jaya, Selangor, Sabariah Jaafar, berkata pengambilan maksimum 11 subjek SPM bagi calon aliran agama sains yang diputuskan Kementerian Pelajaran disifatkan rasional dan sememangnya menjadi amalan kebanyakan sekolah agama.

Di SAM Bestari, beliau menjelaskan, majoriti calon SPM diwajib mengambil 11 subjek dan hanya segelintir calon yang mengambil lebih daripada jumlah itu dengan syarat mendapat kebenaran pihak sekolah.

“Empat subjek wajib diambil calon adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik selain tiga subjek teras aliran agama iaitu Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah.

“Calon turut mengambil empat subjek elektif sains tulen iaitu Matematik Tambahan, Kimia, Fizik dan salah satu daripada subjek Biologi atau Lukisan Kejuruteraan.

“Kombinasi 11 subjek itu sudah mencukupi dan bersesuaian dengan masa yang diperlukan pelajar untuk pembelajaran dan ulangkaji tanpa mengenepikan kepentingan pembabitan mereka dalam aktiviti kokurikulum,” katanya.

Biarpun keputusan jumlah maksimum 11 subjek hanya membabitkan calon 2010 sebelum calon seterusnya diwajibkan mengambil 10 subjek maksimum mulai 2011, beliau berkata, pihaknya akan memastikan pengubahsuaian dilaksanakan segera bagi membantu calon membuat pilihan subjek yang tepat dan bersesuaian dengan mereka," katanya.

Sumber : http://www. bharian. com/

Ahad, 28 Jun 2009

GANGGUAN DENGKUR

ADAKAH anda selalu tidur berdengkur atau pasangan selalu membuat anda tidak nyenyak dengan dengkurannya saban malam?

Bagi anda yang menghadapi masalah ini, jangan mudah putus asa kerana ada banyak cara mengatasinya.

Dengkuran adalah bunyi tisu mulut dan tenggorok yang bergetar dan berlanggar apabila udara bergerak melalui saluran pernafasan yang sempit ketika seseorang itu tidur.

Apabila anda tidur, otot di mulut dan tenggorok akan berehat. Ini akan mengecilkan saluran pernafasan (saluran dari hidung ke kotak suara).
Masalah bermula apabila ada sesuatu menghalang aliran udara melalui saluran yang sudah sempit ini.

Antara perkara yang boleh mendatangkan halangan itu ialah:
• radang di hidung dan tekak
• tonsil yang besar
• rahang yang berubah kedudukan
• lemak di sekeliling saluran pernafasan
• lidah yang besar
• langit-langit yang lembut
• anak tekak yang lembut

Justeru, apabila menghadapi masalah itu, jangan biarkan ia mengganggu hubungan anda suami isteri. Cubalah rawatan mudah ini untuk mengurangkan dengkuran.

• Hilangkan lemak berlebihan dalam badan dengan cara bersenam, kurangkan makanan terutama yang berlemak. Apabila lemak berkurangan di bahagian tekak, ia dapat meluaskan saluran pernafasan dan menghindari dengkuran.

• Jauhkan diri daripada pencetus dengkuran iaitu alkohol, pil tidur atau ubat-ubatan yang berkaitan. Dadah seperti itu menambah kadar kerehatan otot di hidung dan tekak. Menjauhkan bahan itu dapat menghalang ia daripada mengecilkan saluran pernafasan.

• Biasakan tidur mengiring dan elak daripada terlentang. Cara tidur begini dapat menjauhkan lidah dari tekak lantas memberi ruang yang lebih luas di bahagian tekak untuk mengalir udara.

• Atasi masalah alahan. Jika anda atau pasangan alah kepada habuk atau bau tertentu, hapuskan habuk dan bau itu daripada persekitaran rumah anda. Alahan akan mengganggu tisu di hidung dan tekak. Jika dapat diatasi, tisu ini tidak akan mengganggu.

• Tinggikan kedudukan kepala dengan bantal ketika tidur. Ini dapat memberi ruang yang lebih besar di saluran pernafasan.

• Tetapkan jadual tidur dan bangun pada waktu yang tetap setiap hari. Ini dapat menetapkan kadar pernafasan dan mengurangkan dengkuran.

• Jauhi rokok. Mengurangkan asap rokok dapat meminimumkan lelehan dan bengkak pada tidu hidung dan tenggorok.

• Lekatkan pelekat di hidung. Sebelum tidur, lekatkan dengan cara yang boleh menarik hidung anda keluar dan ke atas. Pelekat ini dapat menarik hidung anda keluar. Ini akan membuka saluran pernafasan hidung dengan lebih besar.

Sumber : http:// www.hmetro.com.my/

BAHAYA BERDENGKUR


Oleh SRI AYU KARTIKAWATI AMRI
kartika@hmetro.com.my

TIDUR bukan satu pilihan. Ia satu keperluan dan sangat penting kepada kesihatan manusia. Tidak cukup tidur menjejaskan kehidupan seseorang dan ini sebabnya kita perlu memberi perhatian serius terhadap kualiti tidur.

Namun adakah selama ini kita mampu mengecap tidur yang nyenyak seumpama bayi tanpa gangguan?

Tidak ramai tahu bahawa berdengkur, terutama dengkuran kuat, bukan petanda seseorang itu tidur nyenyak, sebaliknya ia satu bentuk gangguan yang menjejaskan kualiti tidur dan rehat seseorang.

Dengkuran kuat sebenarnya antara gejala utama apnea tidur (OSA) iaitu keadaan di mana nafas terhenti beberapa saat ketika tidur dan ia gangguan lazim yang dialami lebih tujuh peratus penduduk Malaysia berusia 25 hingga 45 tahun.

Kebanyakan orang gagal mendapatkan diagnosis perubatan bagi gangguan tidur mereka dan individu yang mengalami OSA selalunya memiliki beberapa gejala seperti dengkuran kuat, tersedak ketika tidur dan mengantuk pada siang hari.

Ketika tidur, otak mengarahkan otot pernafasan untuk bernafas. OSA terjadi apabila proses ini tidak dapat dijalankan kerana saluran pernafasan terganggu dan menghalang aliran udara.

Dengkuran adalah bunyi yang terhasil apabila saluran pernafasan tersekat ketika tidur. Jika seseorang berdengkur, ia menandakan saluran pernafasannya terhalang seketika.

Ketika tidur, otot pada lelangit lembut (bahagian tisu lembut pada hujung lelangit yang kelihatan tergantung dan berhampiran dengan tekak, dipanggil uvula), lidah dan kerongkong akan berehat.

Jika tisu dalam kerongkong dalam keadaan terlalu rehat, ia bergetar. Getaran ini menghalang serta menyempitkan laluan udara. Apabila keadaan ini berlaku, tekanan dalam kerongkong menjadi tinggi.

Semakin tinggi tekanan, semakin kuat getaran tisu dalam kerongkong dan keadaan ini menyebabkan bunyi dengkur. Dengkuran menjadi lebih kuat jika tekanan dalam saluran pernafasan semakin tinggi.

Untuk mengatasi perkara ini, mulut secara automatik terbuka bagi membolehkan lebih banyak udara masuk.

Di Malaysia, 8.8 peratus lelaki dan 5.1 peratus wanita berusia antara 30 hingga 70 tahun mengalami OSA. Ini adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada tahap apnea di negara Asia lain.

Kajian terbaru yang dikendalikan Philips di lima pasaran di seluruh dunia mendapati, walaupun OSA dianggap penyakit yang boleh dirawat, hanya satu pertiga daripadanya menganggap berdengkur sebagai masalah peribadi dengan dua pertiga daripada responden menyifatkan berdengkur sebagai masalah kecil yang tidak perlu dibimbangkan.

Kajian itu mengukuhkan keperluan pendidikan mengenai apnea dan lain-lain gangguan tidur yang lazimnya tidak diambil serius di kalangan individu berdengkur kerana OSA sebenarnya masalah serius yang boleh mengancam nyawa.

Individu OSA yang tidak mendapatkan rawatan berisiko lebih tinggi mengalami masalah kesihatan serius yang boleh memberi impak negatif kepada produktiviti dan kualiti hidup; selain meningkatkan risiko penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar.

Menurut Presiden Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia yang juga Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Syed Hassan Ahmad, OSA berbeza dengan dengkuran biasa kerana seseorang itu berhenti bernafas selama 10 saat atau lebih dalam tidurnya.

Aliran pernafasan yang normal pada waktu tidur adalah 70 hingga 100 peratus tetapi jika OSA berlaku, seseorang itu berhenti bernafas atau hanya bernafas 25 peratus daripada kadar biasa.

“Individu yang alami OSA berdepan risiko dua atau tiga kali lebih tinggi untuk menghidap hipertensi dan risiko serangan jantung berbanding tanpa OSA.

“Di Malaysia peningkatan usia, obesiti, merokok dan penggunaan sedatif dikaitkan dengan masalah berdengkur. Kita berdepan masalah penjagaan kesihatan serius jika tidak menganggap gangguan tidur sebagai sesuatu yang perlu diberi rawatan.

Dalam kes OSA, pesakit sentiasa terjaga seketika daripada tidur untuk menyambung pernafasan yang menyebabkan tidurnya terganggu.

“Dalam kes lebih teruk, seseorang mungkin terjaga lebih 30 kali ketika tidur disebabkan OSA berulang-ulang,” katanya ketika kempen Philips mengenai apnea tidur.

Bagaimanapun, golongan berisiko mengalami OSA ialah yang memiliki Indeks Jisim Badan (BMI) lebih daripada 28 (dalam kategori gemuk) dan masalah ini lebih banyak terjadi pada lelaki berbanding wanita, dengan kelaziman dua peratus perempuan dan empat peratus lelaki.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Penjagaan Kesihatan Philips Asia Pasifik, Wayne Spittle, turut menyatakan OSA masih boleh diperbaiki apabila seseorang itu menambah baik tidur mereka dan paling penting meningkatkan kualiti hidup.

Antara cara memperbaiki kualiti tidur ialah menghentikan tabiat merokok, pengambilan alkohol atau menurunkan berat badan, tetapi jika masalah OSA tetap tidak berkurang, individu berkenaan memerlukan rawatan lain. Sehingga kini rawatan yang ada belum mampu menyembuhkan 100 peratus penyakit ini.

Jika seseorang itu didiagnosis dengan OSA, biasanya ia boleh dirawat dengan berkesan melalui terapi Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (CPAP) iaitu kaedah rawatan yang lebih digemari untuk merawat OSA.

Melalui CPAP, tekanan udara menjadi lebih baik berbanding udara di persekitaran yang membolehkan bahagian atas aliran udara terbuka dan menghalang berlakunya OSA dan dengkur, selain membolehkan pesakit OSA bernafas bebas ketika tidur.

Menurut Syed Hassan, secara keseluruhannya pengurangan berat badan dan riadah dapat membantu OSA yang lemah, manakala OSA dalam kategori sederhana hingga serius memerlukan rawatan CPAP.

“Terapi CPAP boleh secara dramatik meminimumkan impak OSA. Ia juga menawarkan manfaat tambahan seperti pertambahan tenaga, tekanan darah lebih rendah serta penurunan risiko serangan jantung dan angin ahmar.

“Jika memerlukan pembedahan, tisu yang menyekat saluran pernafasan akan dibuang kerana dalam OSA, salur nafas menjadi kecil,” katanya.

Pembedahan untuk masalah gangguan tidur adalah untuk mengeluarkan lebihan tisu hidung dan kerongkong yang mungkin bergetar menyebabkan dengkur atau menghalang bahagian atas saluran pernafasan.

Antara pembedahan yang ada ialah Uvulopalatopharyngoplasty (UPPP) dan Maxillomandibular advancement dan Tracheostomy.

KOMPLIKASI OSA

> OSA menyebabkan kualiti tidur kurang baik kerana kekerapan terbangun daripada tidur untuk bernafas

> Pada siang atau awal pagi pesakit mengalami sakit kepala dan tekak kering

> Rasa mengantuk yang bahaya untuk pemanduan

> Lelaki mengalami OSA kurang subur

> Penyakit kardiovaskular

SIMPTOM OSA

> Kerap berdengkur (50 peratus pesakit OSA berdengkur)

> Pening apabila bangun pagi

> Mengantuk pada waktu siang kerana kerap terbangun malam

> Kurang ingatan

> Kurang fokus

> Mudah alami kemalangan

> Tekak kering

> Produktiviti rendah


Sumber : // http: www.hmetro.com.my/

Sabtu, 27 Jun 2009

ANALISIS SOALAN BAHASA MELAYU SPM (ULANGAN)

BAHASA MELAYU KERTAS 1(1103/1)

A. Karangan Bahan Rangsangan:

Usaha-usaha membantu mangsa banjir
(Isi karangan berdasarkan gambar yang diberi)

B. Karangan Respons Terbuka :

S1- Persediaan untuk menghadapi temu duga untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke IPTA

S2 - Syarahan bertajuk, "Keluarga bahagia penentu kecemerlangan akademik anak-anak"

S3 - Kebaikan menyertai aktiviti sukan lasak

S4 - Cara-cara untuk meningkatkan keluaran bahan makanan negara.

S5 - Langkah-langkah mempromosi seni dan budaya Malaysia ke luar negara.

BAHASA MELAYU KERTAS 2 (1103/2)

1. Rumusan - Punca-punca keracunan makanan dan kesan -kesan keracunan makanan

2. Pemahaman:
2(a) Pemahaman Umum
Soalan KBKK - empat usaha pihak berkuasa untuk memastikan kebersihan premis makanan.

2(b) Drama Kerusi
Soalan KBKK - ciri pemimpin yang disayangi oleh rakyat.
Soalan komsas - persoalan dalam petikan dan drama

2 (c) Sikap terburu-buru membawa padah
Soalan KBKK - Tindakan untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh Laksamana.

2(d) Pantun kiasan
Soalan KBKK - tiga kebaikan amalan jangan membazir
KOMSAS - pengajaran daripada rangkap keempat dan kelima

3. Tatabahasa:
3 (a) Buat ayat daripada frasa :
Nilai murni, budi bicara, pelbagai etnik, masalah sosial, semangat patriotik dan masyarakat penyayang.

3(b) Gabung dua ayat tunggal menjadi ayat majmuk
3(c) dan 3 (d) betulkan kesalahan ejaan, imbuhan dan kesalahan bahasa

3(e) Memberikan maksud peribahasa
Tiada rotan akar pun berguna
Menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri
Kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya.

4. Novel :
4(a) Dua peristiwa yang meninggalkan kesan terhadap perasaan anda
4(b) Huraikan satu latar masa bagi dua novel

Ancaman luar biasa keselamatan, bencana jejas kehidupan manusia

Oleh Zaini Mohd Said

SALAH satu tanggungjawab terpenting mana-mana kerajaan dan angkatan tentera adalah untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan rakyat dilindungi daripada sebarang ancaman dan bahaya. Ia satu tanggungjawab yang berat, malah sejak kebelakangan ini sudah menjadi bertambah berat dan sukar lagi untuk dilaksana dengan berkesan.

Kecenderungan beberapa kuasa besar bertindak secara rakus dan unilateral terhadap negara-negara yang lemah menjadi salah satu penyebab. Keselamatan negara dan rakyat bertambah dirumitkan lagi oleh tindak-tanduk kumpulan militan dan pengganas antarabangsa yang operasi mereka boleh melangkaui sempadan dan diburu pula negara-negara lain. Kesan kekerasan dan keganasan melampau yang dilakukan oleh mereka itu kerap dilaporkan menerusi media semasa sejak sekian lama.

Pada masa sama, persaingan untuk menguasai kawasan zon ekonomi bertindih serta merebut hasil sumber asli yang berada di dalamnya yang kini sudah semakin berkurangan boleh menimbulkan masalah hingga tercetus perselisihan faham dan konflik ketenteraan antara negara yang bertelagah biar pun mereka yang berjiran rapat.

Malaysia sebagai contoh, kini berdepan pertikaian dengan beberapa negara serantau termasuk juga dengan Indonesia, Vietnam dan Filipina dalam perkara ini. Yang terakhir berlaku adalah persoalan hak eksploitasi di kawasan Ambalat atau Laut Sulawesi yang sedang cuba diatasi oleh kedua-dua pihak melalui usaha diplomasi awam dan tentera.

Perubahan ketara iklim dunia oleh sebab pemanasan global juga membawa masalah besar buat semua. Akibat daripada fenomena pemanasan ini, maka berlaku banjir besar di tempat tertentu dan kemarau berpanjangan di tempat lain. Bencana-bencana seperti ini dan juga yang lain seperti kejadian gempa bumi, tsunami, runtuhan tanah, bangunan dan sebagainya itu banyak juga menjejas kehidupan manusia.

Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila bencana itu memusnahkan tanaman dan pengeluaran hasil makanan yang secara langsung mengancam kehidupan manusia. Semuanya ini dapat membuat manusia menjadi marah dan tidak berfikiran secara rasional hingga sanggup menentang dan melawan pihak berkuasa mahu pun kerajaan kerana kelaparan dan kesusahan hidup. Angkatan tentera selalu dibabitkan dalam keadaan atau senario sedemikian untuk membantu pihak berkuasa awam dengan menggunakan segala sumber dan kepakaran yang ada padanya.

Keseluruhan keadaan ini pula tidak mungkin berubah menjadi lebih baik pada masa akan datang. Malah, amat besar kemungkinan ia akan menjadi lebih getir dan berbahaya lebih-lebih lagi bagi mana-mana kerajaan atau negara yang tidak bersedia untuk menghadapinya dengan segala rancangan, kemampuan, serta dana yang mencukupi untuk mengurangkan kesan sukar akibatnya.

Keadaan semasa sudah dianggap serius sehinggakan ramai penganalisis keselamatan berpendapat bahawa dunia dalam dekad awal abad ke-21 ini sedang berada pada persimpangan jalan yang sungguh berbahaya. Sekiranya keadaan tidak ditangani secara bijak dan berterusan, maka dunia boleh terjerumus ke dalam kancah keperitan jika tidak huru-hara yang sangat besar dan meluas tidak lama selepas itu.

Ancaman ketenteraan yang konvensional akan terus kekal menghantui keselamatan mana-mana negara, selagi manusia sanggup bermusuhan dan mampu melakukan kekerasan terhadap manusia yang lain. Angkatan tentera dan sistem pertahanan negara diwujudkan untuk berhadapan dengan ancaman-ancaman seperti ini yang boleh berupa serangan ketenteraan konvensional dari negara lain, keadaan tidak tenteram di dalam negeri serta juga melakukan tugas-tugas sekunder membantu pihak berkuasa awam menangani bencana alam semula jadi dan bencana lain.

Bagi ancaman ketenteraan, apa yang nyata bahawa kemajuan pesat yang tercapai dalam teknologi pembinaan persenjataan dan cara berperang sudah meningkatkan kuasa membunuh dan memusnah senjata berkenaan sehingga menjadi begitu kuat dengan kesan yang dahsyat sekali.

Malangnya, penduduk awam yang bukan ‘combatant’ atau musuh, turut menjadi korban, mendapat cedera dan mengalami kesengsaraan akibat penggunaan senjata-senjata ini yang kadang-kadang tersasar atau dengan sengaja ditujukan kepada mereka, kediaman mereka dan juga segala kemudahan lain yang ada.

Ia sudah pun jelas terbukti berlaku di Iraq dan Afghanistan apabila Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya menyerang dan menakluk negara berkenaan. Serangan Israel ke atas Gaza juga sama apabila ramai mangsa yang mati dan cedera adalah penduduk awam Palestin dan bukannya pejuang Hamas. Peperangan menggunakan cara dan senjata konvensional sememangnya boleh menyebabkan kematian yang ramai serta kemusnahan besar kepada tentera dan juga awam.

Oleh kerana tidak dapat menandingi kemampuan dan taktik konvensional pihak lawan, maka ancaman tidak konvensional dan ‘assymetric’ diwujudkan oleh mereka yang lemah. Strategi dan taktik ini memang lebih banyak digunakan puak pelampau dan pengganas yang mengeksploitasi teknologi persenjataan, komunikasi dan elektronik yang sedia ada, juga bersama rakyat yang menyokong mereka, mampu mengakibatkan kemusnahan dan pembunuhan jauh lebih besar daripada kemampuan sebenar yang ada pada mereka.

Mereka memperjuangkan matlamat mereka ini melalui peperangan gerila, melakukan pembunuhan secara selektif, mengguna pengebom bunuh diri, bom kereta, keganasan terhadap penduduk awam serta juga dengan melakukan demonstrasi dan protes besar-besaran yang berpanjangan. Ia termasuk juga perbuatan sabotaj, pengkhianatan dan sebagainya. Apa yang menakutkan semua, adalah kemungkinan yang mereka sedang berusaha memperoleh dan menggunakan persenjataan nuklear, biologi dan kimia terhadap seteru mereka.

Semua yang dinyatakan ini adalah cabaran dan ancaman serius. Ia juga memberi petunjuk kepada keperluan untuk dipertingkatkan lagi kapasiti dan kemampuan angkatan tentera supaya benar-benar dapat mempertahankan negara dan melindungi rakyat. Pertahanan dan perlindungan ini bukan saja daripada ancaman serangan konvensional, tetapi juga daripada tindakan mana-mana pihak menggunakan peperangan, persenjataan, serta muslihat yang tidak konvensional atau pun ‘asymmetric.’ Ini termasuk jugalah dengan mengguna persenjataan nuklear, biologi dan kimia atau pun penentangan melalui demonstrasi yang sangat besar oleh mana-mana pihak sekali pun.

Dalam menghadapi dan menangani segala cabaran dan ancaman yang diterangkan itu, jelas ada menunjukkan kepada keperluan untuk disediakan perlindungan dan pertahanan bagi orang awam yang sering menjadi mangsa persenjataan dan taktik perang pihak yang bersengketa. Agak nyata bahawa pihak tentera juga perlu meningkatkan kapasiti dan kemampuan dalam semua aspek pengurusan bencana alam semula jadi dan yang disebabkan angkara manusia agar benar-benar berkesan.

Adalah diharap agar semua pihak terbabit secara terus di dalam bahagian pertahanan dan keselamatan negara dapat memikirkan akan apa yang sudah dinyatakan dan berbuat sesuatu dengan segera.

Penulis ialah bekas Panglima Medan Tentera Darat

Sumber : http://www.bharian.com/