Sabtu, 25 Julai 2009

Bahasa Melayu, bahasa Malaysia

Oleh Salbiah Ani
dahiya@nstp.com.my

Apakah perbezaan sudah dilakukan dalam Fasal 152, Perlembagaan Negara?

SESETENGAH pihak di negara ini menggunakan bahasa Malaysia ketika merujuk kepada bahasa Melayu tanpa menyedari bahawa istilah berkenaan tidak pernah mengambil tempat dalam Fasal 152, Perlembagaan Negara dan penukaran terbabit menuntut pengorbanan besar daripada bangsa Melayu.

Profesor Sosiolinguistik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong, berkata istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara ini masih kekal dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan, meskipun sesetengahnya pemimpin politik dan rakyat merujuknya sebagai bahasa Malaysia.

“Pada 4 atau 5 Jun 2007, Datuk Zainuddin Maidin yang ketika itu Menteri Penerangan mengumumkan bahasa Melayu dirujuk sebagai bahasa Malaysia atas arahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Perdana Menteri dan keesokan harinya, disahkan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa terbabit,” ujarnya.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada usaha menukar bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia menerusi Perlembagaan Persekutuan, meskipun sudah ada penerbit swasta yang menerbitkan, meskipun hakikatnya bahan bercetak terbabit hanya boleh diterbitkan oleh Percetakan Negara.

“Saya dimaklumkan bahawa Perlembagaan Negara kini boleh dibeli di beberapa kedai buku negara ini dan istilah bahasa Melayu dalam bahan bercetak terbabit sudah ditukarkan ke bahasa Malaysia dalam naskhah yang diterbitkan oleh penerbit swasta,” katanya kepada Sastera ketika diminta mengulas istilah yang sepatutnya digunakan.

Baginya, istilah bahasa Melayu tidak boleh ditukarkan kepada bahasa Malaysia selagi usul tidak dibawa ke Dewan Rakyat dan kemudian dibawa ke Dewan Negara untuk didebatkan. Penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agung.

Baginya apabila kerajaan mengumumkan pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia ia dilakukan atas tujuan perpaduan kaum dan integrasi nasional dengan matlamat yang murni dan mulia daripada segi zahirnya, tetapi boleh merosakkan dalam banyak hal khususnya kepada orang Melayu sebagai empunya bahasa.

Prof Teo mengingatkan, hakikatnya dalam bahasa turut terkandung terangkum artifak Melayu, institusi dan organisasi sosial orang Melayu, sikap Melayu, pemikiran dan emosi Melayu, falsafah orang Melayu, budaya Melayu, sejarah bangsa Melayu, sistem kepercayaan dan nilai bangsa Melayu yang terhimpun sejak turun-temurun.

“Saya tidak nafikan sekalipun dikenali sebagai bahasa Malaysia, ia tetap bahasa Melayu, tetapi apakah berbaloi bangsa terbabit mengorbankan pelbagai semangat dan citra yang terkandung di dalamnya. Apakah bukan Melayu memberi balasan yang setimpal dengan pengorbanan itu?” soalnya.

Kedudukan bahasa Melayu di Malaysia dikatakan berbeza daripada Indonesia kerana bahasa rasmi negara jiran itu diangkat daripada kumpulan minoriti berbanding Jawa yang mendominasi Indonesia dan tidak timbul bantahan kerana ia ia boleh diterjemah sebagai suatu penghormatan besar kepada empunya bahasa.

“Mengikut fitrah linguistik, bahasa selalunya dinamakan mengikut bangsa yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda. Di Malaysia bangsa Melayu dominan dan paksi bangsa di negara ini. Jika namanya ditukar kepada bahasa Malaysia, maka hilang jati diri orang Melayu sebagai kelompok distingtif. Perkara ini perlu difikirkan,” jelasnya.

Timbalan Pengarah, Bahagian Ijazah Tinggi, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nor Hisham Osman, berpendapat Malaysia sewajarnya menggunakan kaedah yang digunakan negara lain dalam penentuan bahasa mereka.

“Negara seperti Australia, England, Kanada dan New Zealand, semuanya menggunakan istilah standard iaitu bahasa Inggeris serta bukannya mengikut nama negara meskipun mereka ada loghat sebutan sendiri. Begitu juga dengan Jepun, Korea dan China. Jadi mengapa Malaysia memilih jalan berbeza,” katanya

Seperti Prof Teo, Dr Nor Hisham mengingatkan bahawa bahasa mewakili bangsa dan situasi bahasa Malaysia di negara ini berbeza daripada Indonesia yang mengangkat bahasa berdasarkan nama negara itu kerana sudah terbukti mereka berjaya mewujudkan bangsa Indonesia.

“Bahasa Indonesia tidak sama dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu di Indonesia difahami sebagai bahasa yang diucapkan di Riau, satu daripada wilayah di negara jiran itu. Di Malaysia pula bahasa Melayu adalah bahasa bangsa Melayu,” katanya.

Baginya, penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia hakikatnya bagi membolehkan ia tidak melambangkan apa juga suku kaum di Malaysia, tetapi daripada segi realiti, hasrat terbabit tidak menjadi meskipun bangsa Melayu sanggup bertolak ansur ‘menggugurkan’ nama bangsanya.

Dr Nor Hisham mengajak semua pihak untuk menilai realiti di negara ini, iaitu meskipun sudah 52 tahun merdeka, rasa neutral kepada bahasa Malaysia gagal diperoleh daripada kalangan rakyat bukan Melayu dan kerana itu ada wajarnya istilah bahasa Melayu diguna pakai semula.

“Ada rakyat di negara ini yang mahu diiktiraf sebagai Bumiputera, meskipun bahasa Melayu bukan bahasa ibunda mereka dan tidak beragama Islam. Mereka mahu menuntut hak sebagai Bumiputera, tetapi enggan memakai baju Melayu sebagai busana kebangsaan, apalagi berbahasa Melayu,” tegasnya.

Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, pula melihat sama ada istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia tidak menjadi soal kerana kedua-dua bahasa terbabit, merujuk kepada bahasa yang sama.

“Dalam akademik ia akan dirujuk sebagai bahasa Melayu. Daripada segi perpaduan atau politik pula, ia dirujuk sebagai bahasa Malaysia. Jadi tidak salah istilah bahasa Malaysia digunakan. Saya dimaklumkan ketika bahasa Malaysia diperkenalkan dulu, akhbar berbahasa Cina menentangnya dan apabila ditukarkan ke bahasa Melayu juga ditentang,” ujarnya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Ditikam mati di mahkamah kerana bertudung


KEMATIAN Marwa Ali El-Sherbini menuntut pembelaan.


ADALAH malang bagi umat Islam pasti sahaja akan keluar pelbagai telahan negatif tentang mereka ini terutama dari penduduk di Barat dan semua ini berlaku hanya disebabkan pengaruh gejala Islamofobia yang diuar-uarkan oleh Barat. Mereka ini telah dicap kebanyakan penduduk Barat sebagai ekstremis atau jumud semata-mata kerana tidak mengikut rentak mereka dalam berpakaian.

Maka tidak menghairankan kenapa orang di Barat sering saja membuat persepsi negatif yang adakalanya di luar batasan kemanusiaan.

Oleh itu peristiwa yang berlaku terhadap Marwa Ali El-Sherbini, seorang wanita yang berasal dari Mesir dan kemudian berhijrah ke Jerman merupakan satu peristiwa yang menyayat hati namun pada masa yang sama membuktikan isi hati sebenar penduduk Barat terhadap orang Islam walaupun tidak semua hanya kerana terlalu dipengaruhi Islamofobia.

Siapa sebenarnya Marwa Ali El-Sherbini yang tiba-tiba menjadi ikon orang Islam yang tertindas di Barat. Beliau hanyalah orang biasa yang cuba menyara hidup dengan menumpang di sebuah negara asing untuk kemajuan diri dan keluarga.

Marwa yang dilahirkan pada 1977 di Mesir telah berpindah ke Jerman pada 2005. Pada 2008 beliau dan keluarga berpindah ke Dresden setelah suaminya Elwi Ali-Okaz mendapat kerja sebagai pengkaji di Institut Max Planck dan Marwa pada masa yang sama bekerja di Hospital Universiti Dresden. Namun pengakhiran hidupnya yang sangat menyayat hati telah membuka banyak mata tentang bahaya gejala Islamofobia di kalangan masyarakat Barat.

Peristiwa pembunuhan yang dilakukan terhadapnya di dalam mahkamah ketika memberi keterangan terhadap seorang lelaki yang bertindak memaki hamun dirinya kerana beliau adalah seorang beragama Islam dan bertudung merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima akal setiap manusia yang siuman.

Segalanya bermula pada bulan Ogos 2008 apabila lelaki berkenaan Alex W. seorang warga Jerman tetapi dilahirkan di Perm Russia menjerit ke arah Marwa di sebuah padang permainan kanak-kanak di Dresden kerana bertelagah berebut menggunakan buaian untuk anak buahnya dengan anak lelaki Marwa.

Wanita berusia 32 tahun itu telah digelar sebagai pengganas Islam dan pelacur hanya kerana beliau memakai tudung. Kejadian tersebut berlaku untuk beberapa ketika walaupun terdapat antara pengunjung taman permainan cuba menghalang lelaki berkenaan. Dia hanya berhenti setelah polis datang tidak berapa lama kemudian.

Alex kemudiannya telah dituduh melakukan fitnah terhadap Marwa dan didapati bersalah oleh mahkamah serta didenda sebanyak 780 Euro. Semasa perbicaraan berlangsung Alex merayu hukuman dikurangkan kerana mendakwa manusia seperti Marwa bukanlah seorang manusia sebenar oleh itu dia tidak boleh dihina.

Akibat dari dakwaan secara terbuka ini, peguam bela telah merayu bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap Alex. Oleh itu pendengaran rayuan kes ini diadakan di sebuah mahkamah di Dresden pada 1 Julai lalu.

Ketika kejadian tersebut lapan orang berada dalam mahkamah termasuklah tiga hakim, seorang pendakwaraya, Alex dan peguamnya serta Marwa, suaminya Elwi Ali Okaz dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun. Malangnya tiada sebarang pegawai keselamatan berada di situ dan tidak ada sebarang rutin pemeriksaan untuk memastikan tiada sebarang senjata merbahaya di bawa masuk ke dalam mahkamah.

Sebaik sahaja Marwa selesai memberikan keterangannya, Alex, bertindak meluru ke arah beliau sebelum menikamnya sebanyak 18 kali sambil menjerit "anda tidak layak untuk hidup". Suami beliau, Elwi yang cuba mempertahankan Marwa turut ditikam.

Melihat kejadian ini, mereka di dalam mahkamah bertindak memanggil seorang anggota polis yang sedang memberi keterangan di mahkamah berhampiran namun malangnya suami Marwa ditembak di kaki kerana anggota polis itu menyangka Elwi sebagai penyerang.

Elwi cedera parah akibat peristiwa ini dan berada dalam koma selama dua hari namun malangnya Marwa yang cedera parah mati ditempat kejadian. Lebih menyayatkan hati kematian Marwa ini turut membunuh anak yang dikandungnya berusia tiga bulan.

Alex telah ditangkap di tempat kejadian dan kini sedang ditahan reman untuk siasatan atas tuduhan membunuh Marwa dan cubaan bunuh terhadap Elwi. Namun lelaki kejam ini dilaporkan masih belum memberi sebarang pengakuan kepada pihak penyiasat dan perbicaraan dijangka akan berlangsung selewat-lewatnya pada hujung 2009 atau awal tahun 2010.

Peristiwa ini pada awalnya tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak media di Jerman dan ia hanya dilaporkan di halaman belakang akhbar-akhbar di sana.

Hanya setelah tunjuk perasaan panas yang dicetuskan oleh ribuan rakyat Mesir yang menetap di Jerman kerana menentang Islamofobia barulah kerajaan Jerman yang sebelum ini hanya mendiamkan diri menyatakan kesedihan dan kekesalan tentang pembunuhan Marwa.

Sesungguhnya peristiwa pembunuhan Marwa ini berpunca dari peningkatan kebimbangan Islamofobia yang semakin ketara terutama di negara Barat. Malah media-media utama di Mesir menyatakan kematian Marwa ini sebagai "mati syahid seorang pejuang berhijab".

Sememangnya gejala Islamofobia ini telah diwujudkan bagi meningkatkan semangat kebencian terhadap orang Islam dari mereka yang bukan beragama Islam. Cubaan menggambarkan orang Islam sebagai pengganas yang bertanggung jawab terhadap pelbagai kejadian dan kemusnahan di seluruh dunia merupakan satu tuduhan yang sangat dangkal dan berniat jahat.

Oleh itu usaha untuk membersihkan tuduhan yang dilemparkan terhadap umat Islam ini perlu dilakukan segera. Namun ini tidaklah bermaksud darah perlu dibayar dengan darah kerana ia akan hanya memburukkan lagi keadaan.

Jika tidak, adalah tidak menghairankan peristiwa pembunuhan seperti Marwa ini akan berulang malah mungkin lebih teruk lagi pada masa depan

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Mutu kerja selari prasarana kelas pertama

Oleh DR. SHAIFUL ANNUAR KHALID

MUTU penyampaian perkhidmatan awam sekali lagi mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara. Kali ini Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mutu penyampaian perkhidmatan awam yang cekap lagi berkesan. Menurut beliau, mutu perkhidmatan perlu ditingkatkan selari dengan pembangunan prasarana pejabat yang selesa yang dibangunkan oleh kerajaan.

Gesaan tersebut disuarakan semasa berucap sempena Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Alor Setar baru-baru ini.

Peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam sentiasa diberikan perhatian yang serius dalam usaha untuk memenuhi keperluan orang ramai selaras dengan dasar dan matlamat pembangunan negara. Selari dengan wawasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', agensi-agensi perkhidmatan awam perlu meletakkan kepuasan rakyat atau pelanggan sebagai fokus utama.

Perubahan-perubahan persekitaran yang semakin mencabar serta keperluan untuk meningkatkan daya saing memerlukan kepada sektor awam yang bersedia dan mampu untuk berubah daripada segi sikap dan minda. Kerajaan telah mengeluarkan peruntukan yang begitu besar untuk meningkatkan kemudahan prasarana. Namun kemudahan prasarana kelas pertama belum mampu menjamin mutu perkhidmatan kelas pertama.

Dalam konteks penyelidikan akademik, secara umumnya kajian mendapati keberkesanan organisasi seperti mutu perkhidmatan yang tinggi memerlukan kepada dua perkara pokok iaitu aspek teknikal dan aspek sosial.

Usaha-usaha untuk meningkatkan kemudahan prasarana seperti menyediakan bangunan pejabat yang moden, sistem komputer yang canggih lagi mesra, prosedur-prosedur yang kemas sering kali dirujuk sebagai aspek teknikal.

Untuk membolehkan mutu perkhidmatan yang cemerlang memang tidak cukup sekadar bergantung kepada aspek teknikal semata-mata. Aspek teknikal perlu dilengkapi dengan aspek sosial yang merujuk kepada nilai dan sikap murni di kalangan kakitangan sesebuah organisasi.

Terdapat beberapa bentuk nilai murni yang telah dikenal pasti boleh menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan. Antaranya sifat suka membantu, keprihatinan, kesedaran sivik, ketelitian dan kesanggupan menghadapi kesukaran. Aspek sosial ini mampu bertindak melengkapi aspek teknikal yang sedia ada. Berikut dihuraikan secara ringkas nilai-nilai murni tersebut.

Sifat suka membantu melibatkan kemahuan kakitangan untuk menghulurkan bantuan kepada rakan sekerja untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan tugas, membantu menyelesaikan tugas rakan sekerja yang terpaksa bercuti, memelihara kebajikan rakan sekerja serta membantu pelanggan-pelanggan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan segera.

Keprihatinan pula melibatkan usaha untuk mengelak daripada timbulnya sebarang masalah dengan rakan sekerja serta memelihara hak-hak rakan sekerja. Seseorang kakitangan yang prihatin akan memaklumkan rakan sekerja atau ketua jabatan sebelum mengambil sesuatu tindakan yang akan memberi kesan kepada pihak lain, bersopan santun serta memberikan layanan terbaik kepada aduan-aduan atau masalah pelanggan.

Kesedaran sivik melibatkan keinginan untuk terlibat secara aktif memajukan organisasi. Kakitangan yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi berupaya melaksanakan idea atau kaedah baru yang boleh membantu dalam memudahkan kerja serta menjimatkan penggunaan sumber-sumber kewangan dan tenaga manusia.

Ketelitian pula melibatkan kesanggupan untuk bekerja melebihi waktu yang ditetapkan tanpa mengharapkan ganjaran serta kesanggupan untuk keluar rehat lebih lewat demi menyelesaikan masalah pelanggan.

Operasi sesebuah organisasi juga kadang-kadang terganggu akibat kerosakan alat pendingin hawa, kerja ubah suai pejabat, gangguan sistem komputer dan sebagainya. Untuk mempertahankan mutu perkhidmatan sudah tentulah memerlukan kakitangan yang mampu untuk bertoleransi, berfikiran positif serta tidak merungut dengan masalah atau kesukaran yang timbul. Biarpun berhadapan dengan ketidakselesaan, kakitangan masih meletakkan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan.

Jika sesebuah organisasi mampu memiliki kakitangan yang memiliki nilai-nilai yang disebutkan di atas, bukan sahaja mutu perkhidmatan dapat ditingkatkan malahan piagam pelanggan akan benar-benar dipenuhi.

Memiliki kakitangan yang kaya dengan nilai-nilai murni akan menjadi aset organisasi yang sangat berharga. Jika aspek teknikal seperti teknologi dan kemudahan prasarana boleh dibangunkan dengan sumber kewangan, aspek sosial merupakan aset yang perlu dipupuk dan akan menjadi salah satu kekuatan dan kelebihan mana-mana organisasi. Pada hari ini organisasi perniagaan yang mencapai taraf dunia mempunyai sumber manusia yang memiliki nilai-nilai tersebut.

Nilai-nilai murni tersebut akan menjadi lebih subur jika sesebuah organisasi memiliki kepimpinan yang adil lagi saksama, hubungan yang baik di antara pihak atasan dan bawahan dan sikap saling mempercayai. Keperluan-keperluan kakitangan juga sentiasa diteliti dan cuba dipenuhi. Jika wujud suasana yang sedemikian, kakitangan akan 'membalas' kebaikan organisasi dengan memantapkan amalan nilai-nilai murni yang membawa manfaat kepada semua pihak. Semoga usaha-usaha menyediakan kemudahan kelas pertama akan terus mendapat sokongan secara total kakitangan awam dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utama.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara Perlis

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Jumaat, 24 Julai 2009

ISU KERANCUAN BAHASA

Bahasa rojak di televisyen Malaysia

SAYA kerap juga menonton berita bahasa Melayu televisyen Malaysia untuk mengikuti perkembangan ehwal semasa.

Namun saya dapati ada suatu keganjilan apabila kata-kata atau istilah khas dan terjemahan dituturkan. Misalnya, saya hairan mengapa apabila istilah-istilah atau kata nama khas disebut, ia tidak diterjemahkan sepenuhnya ke bahasa Melayu. Sebagai contoh apabila ia melibatkan angka, maka angka tersebut akan diucapkan dalam bahasa Inggeris. Misalnya Airbus A380 disebut Airbus three-eight-zero, bukan Airbus tiga-lapan-kosong/sifar. Atau Flu H1N1 disebut Flu H-one-N-one, tidak pula Flu H-satu-N-satu. Ini setakat dua contoh sahaja, malah ada banyak lagi.

Yang menghairankan saya ialah apakah kaedah terjemahan bahasa yang digunakan editor/pengarang yang menetapkan kata-kata khas harus kekal disebut seperti dalam bahasa asalnya.

Jika itulah halnya, apakah tidak kita harus kekalkan sebutan White House atau Buckingham Palace dan tidak menyebutnya sebagai Rumah Putih atau Istana Buckingham?

Kalau alasan tidak boleh ubah sebutan seperti dari sumber asal, apakah kita tidak juga sebut Mercedes Benz S200 dalam bahasa Jerman dan Toyota L200 dalam bahasa Jepun ketika mengucapkan angka-angka dalam kata-kata tersebut?

Saya rasa berita televisyen Malaysia boleh ambil iktibar dari media elektronik bahasa Melayu Singapura seperti radio dan tv yang menterjemahkan ungkapan-ungkapan yang saya contohkan di atas dalam bahasa Melayu ketika menyebutnya.

Bedok, Singapura"

# RESPONS OLEH MENTERI YANG BERKENAAN :

Betulkan 'bahasa rojak' media elektronik

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my


JELEBU 24 Julai - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) memandang serius terhadap penggunaan 'bahasa rojak' di kalangan pengamal media radio dan televisyen tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kerajaan amat memandang serius terhadap fenomena itu dan menyarankan semua media penyiaran termasuk semua stesen radio dan televisyen agar dapat membetulkannya segera.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas terhadap kritikan surat pembaca yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini mengenai penggunaan bahasa rojak dalam industri penyiaran tempatan.

''Kita perlu sensitif terhadap sebarang kritikan tentang penggunaan bahasa, namun kemurnian teguran ini memang dirasai dan saya sebagai antibahasa rojak berterima kasih dan gembira atas teguran ini."

''Saya juga menerima teguran pencinta bahasa dari Bedok, Singapura (mengenai perkara ini) dengan perasaan yang terbuka dan sebarang kesalahan akan diperbetulkan mulai sekarang." katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Projek Sekolah Angkat Bersama KPKK dan Telekom Malaysia Bhd. (TM) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Siow Chen Pin, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Muhammad dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teriang, Siti Zaleha Sabudin.

Menurut Rais, menerusi teguran yang dibuat itu jelas memperlihatkan penggunaan bahasa rojak digunakan secara berleluasa dan beliau akan mengambil langkah segera untuk mengatasinya.

''Sebagai contoh, di dalam laporan ini juga diberitahu bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) ada menggunakan bahasa rojak yang menyebut angka Air Bus 380 dalam bahasa Inggeris dan bukannya tiga lapan kosong.

''Sekali imbas pandangan ini memang benar dan ini merupakan satu kesalahan bahasa," jelasnya.

Dalam pada itu, Rais memberitahu, dalam tempoh terdekat ini, beliau akan mengadakan pertemuan dengan juruhebah radio dan televisyen bagi menerangkan perkara tersebut.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

YANG BERJAYA & YANG GAGAL



Seorang yang berjaya sentiasa ada kerja yang hendak dibuat
Seorang yang gagal sentiasa ada alasan yang diberi

Seorang yang berjaya sentiasa berkata “biar saya buat kerja ini untuk awak”
Seorang yang gagal sentiasa berkata “ini bukan kerja aku”

Seorang yang berjaya sentiasa melihat jawapan terhadap setiap masalah
Seorang yang gagal sentiasa melihat masalah terhadap setiap jawapan

Seorang yang berjaya berkata “perkara ini susah, tetapi tidak mustahil dilakukan”
Seorang yang gagal berkata “perkara ini tidak mustahil dilakukan tetapi ia terlalu susah”

Seorang yang berjaya, apabila melakukan kesilapan akan berkata “aku dah silap”
Seorang yang gagal, apabila melakukan kesilapan akan berkata “ini bukan silap aku”

Seorang yang berjaya sentiasa memberikan komitmen
Seorang yang gagal sentiasa memberikan janji-janji

Seorang yang berjaya menyimpan azam & cita-cita
Seorang yang gagal menyimpan angan-angan tanpa usaha

Seorang yang berjaya berkata “Aku mesti lakukan sesuatu”
Seorang yang gagal berkata “Sesuatu mesti dilakukan”

Seorang yang berjaya sentiasa melihat peluang dalam masalah
Seorang yang gagal sentiasa melihat masalah dalam peluang

Seorang yang berjaya melakukan sesuatu hingga terjadi
Seorang yang gagal membiarkan sesuatu terjadi

Seorang yang berjaya belajar daripada kegagalannya
Seorang yang gagal hanya meratapi kegagalannya

Seorang yang berjaya menyaksikan keceriaan
Seorang yang gagal menyaksikan kesedihan

Sumber : http://www.petua.org/

ISU PENDERAAN KANAK-KANAK

Masyarakat Semakin Sedar Kes Dera Kanak-kanak

Oleh Melati Mohd Ariff


KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Bagi tempoh Januari hingga April 2009, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) merekodkan sebanyak 819 kes penderaan kanak-kanak di seluruh negara.

Daripada perangkaan itu, 549 kes melibatkan kanak-kanak perempuan sementara bakinya, 270 kes, kanak-kanak lelaki.

Negeri yang paling banyak mencatat kes penderaan pula ialah Selangor dengan 320 kes, diikuti Perak, 91 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 79 kes.

Statistik perbandingan 2008 dan 2007 turut menunjukkan Selangor sebagai negeri yang paling banyak mempunyai kes penderaan kanak-kanak.

Jumlah kes yang dicatat di Selangor untuk 2008 ialah 949 kes berbanding 816 kes pada 2007. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berada di tangga kedua dengan 595 kes pada 2008 dan 444 kes pada 2007.

"Bilangan kes penderaan di Lembah Klang memang banyak, sebahagiannya kerana tahap tekanan hidup yang tinggi dan tambahan jumlah penduduknya besar.

"Masyarakat pula semakin sedar tentang tanggungjawab sosial mereka untuk melaporkan kes-kes sedemikian," Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Nor Amni Yusoff memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Menara Tun Ismail di sini baru-baru ini.

BANYAK LAGI KES

Secara keseluruhannya di seluruh negara merekodkan sebanyak 2,780 kes penderaan pada 2008 berbanding 2,279 kes pada 2007.

Di sebalik peningkatan kes, JKM percaya masih banyak kes penderaan kanak-kanak yang tidak dilaporkan.

"Semua statistik ini ialah kes-kes yang dilaporkan tetapi saya percaya kes yang dilapor ini hanya mewakili dua peratus daripada kes yang berlaku di luar sana. Masih ada 98 peratus kes yang tidak dilaporkan," jelas Nor Amni.

Dari segi kaum, beliau menyatakan bahawa sebahagian besar kes penderaan yang dilaporkan kepada JKM berlaku dalam kalangan kaum Melayu.

Bentuk penderaan yang lazim berlaku pula ialah deraan fizikal, seksual dan emosi, tambahnya.

Menurut beliau, bagi tempoh Januari hingga April 2009, kes penderaan fizikal yang direkod ialah 523, seksual 230 kes (kebanyakannya melibatkan kanak-kanak perempuan) sementara emosi, 16 kes.

Mengenai penderaan emosi, Nor Amni menjelaskan ia sering berlaku bila ibu bapa bercerai.

Menurut beliau, berbanding waktu dahulu di mana pasangan yang hendak bercerai sering mengutamakan kebajikan anak-anak, pada hari ini mereka yang bercerai akan menggunakan anak sebagai alat dan menjadikan mereka 'korban' perceraian.

"Katakan ibu mendapat hak penjagaan (urusan Mahkamah Syariah bagi orang Islam), bapa akan menggunakan anak untuk membuat tuduhan palsu yang bekas isterinya mendera anak itu. Tujuannya adalah untuk membalas dendam.

"Meskipun laporan penderaan mungkin palsu tetapi bila dibuat, kita perlu bertindak dan membawa anak itu ke hospital untuk pemeriksaan. Ada kes di mana anak terpaksa keluar masuk hospital.

"Bila di hospital, pihak itu mendapati tidak ada penderaan dan anak balik ke rumah. Kemudian si bapa akan membuat laporan lagi dan kami membawa sekali lagi anak itu ke hospital. Ini berterusan hingga sampai setahun. Kes begini yang paling banyak kami kendalikan sekarang," jelasnya.

PALING BERKESAN

Menurut Nor Amni, orang ramai menggunakan pelbagai cara untuk melaporkan kes penderaan kanak-kanak iaitu nombor hotline, Talian Nur 15999 atau menghantar emel atau surat.

Jelasnya, hampir 90 peratus kes dera diterima dan dilaporkan menerusi Talian Nur (15999) yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Disember 2007.

Keberkesanan Talian Nur ini boleh dilihat menerusi peningkatan mendadak dari segi jumlah aduan/laporan kes dera.

Nor Amni memberitahu bahawa statistik 2008 menunjukkan peningkatan sebanyak 501 kes kepada 2,780 kes daripada 2,279 pada 2007.

Katanya, perbandingan 2007 dan 2006 hanya menunjukkan kenaikan 280 kes.

"Kami sudah membuat promosi besar-besaran mengenai Talian Nur ini. Lagi pun, yang menariknya tentang talian ini ialah ia dikendalikan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin.

"Tambahan masyarakat tahu usaha mereka tidak sia-sia kerana kami mengambil tindakan apabila mereka membuat aduan dan ini boleh dilihat menerusi kes penderaan yang dilaporkan oleh media," tambahnya.

Nor Amni berkata di samping laporan kes penderaan, Talian Nur turut mengendalikan segala pertanyaan mengenai KPWKM.

"Talian Nur ini dikendalikan 24 jam oleh sebuah syarikat yang sudah dilatih oleh pegawai-pegawai kementerian. Mereka bukan sahaja mengendalikan laporan kes penderaan tetapi semua jenis pertanyaan mengenai kementerian.

"Untuk panggilan yang memerlukan maklumat, pihak pengendali akan memberi maklumat secara langsung tetapi untuk kes penderaan, pihak itu akan segera menghubungi pegawai yang berkenaan," jelasnya.

TINDAKAN SERTA MERTA

Menurut Nor Amni, sebaik sahaja menerima laporan kes penderaan, pegawai JKM akan mengambil tindakan dalam tempoh sejam untuk memastikan kanak-kanak mangsa dera dapat diselamatkan serta merta.

"Bagaimanapun, ada kalanya pihak kami tidak dapat bertindak kerana maklumat yang diberikan tidak lengkap terutamanya alamat rumah. Ada juga kes yang dilaporkan itu kes palsu," jelasnya sambil menambah pihak JKM bagaimanapun akan menyiasat setiap aduan kes penderaan yang dilaporkan.

Sekurang-kurangnya, kata beliau, bagi kes yang palsu, ibu bapa berkenaan sedar ada 'mata' dan 'telinga' masyarakat yang membantu untuk menjaga anak-anak mereka.

Kata beliau, dalam sesetengah kes penderaan, pegawai JKM atau Pelindung Kanak-kanak akan disertai pegawai agensi lain serta polis.

Kanak-kanak yang diselamatkan, kata beliau, kemudian akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapatkan laporan doktor.

"Kami hendak tahu sama ada kanak-kanak itu didera atau tidak. Kalau didapati betul ada penderaan, kami akan buat laporan polis," jelasnya.

Di samping Talian Nur, orang ramai juga, katanya, masih menggunakan Teledera (1-800-88-3040) untuk membuat aduan kes penderaan kanak-kanak meskipun jumlahnya kecil.

DULU DAN SEKARANG

Kalau hendak diikutkan, penderaan kanak-kanak bukan satu perkara yang baru dalam kehidupan masyarakat di negara ini. Menurut Nur Amni, kes-kes yang berlaku tidak dilaporkan kerana ramai menganggap ia hanya langkah mendisiplinkan anak-anak.

Tambahan pula, katanya, masyarakat ketika itu masih boleh bertolak-ansur dengan penderaan yang dilakukan kerana ia tidaklah seburuk sekarang.

"Dahulu, ibu bapa tidak mengalami tekanan seteruk sekarang. Pada saya faktor tekanan memainkan peranan penting dalam penderaan kanak-kanak pada masa ini di mana tekanan hidup begitu tinggi.

"Kebanyakan ibu bapa dewasa ini bekerja, dan tiada sokongan daripada keluarga. Sekarang kita ada banyak keluarga asas. Dahulu kita ada keluarga besar. Anak-anak kita boleh dijaga saudara-mara atau datuk dan nenek yang tinggal serumah.

"Jika ibu bapa berkasar dengan anak-anak, ada orang yang menegur. Sekarang, keadaan amat berbeza tambahan pula ada ibu bapa yang tidak mempunyai kemahiran mengatasi masalah dan anak-anak menjadi sasaran melepaskan tekanan," jelas Nor Amni.

Katanya perkara yang sama juga berlaku dengan kes sumbang mahram yang bukan perkara baru dalam masyarakat di negara ini.

"Dulu orang tak lapor bukan sahaja kerana tidak peduli tetapi kerana mereka lebih mahu menjaga maruah atau nama baik keluarga daripada kepentingan mangsa sumbang mahram itu.

"Ada juga ibu yang tahu tetapi tidak melaporkan kerana dia tidak bekerja dan kalau suaminya dipenjara, siapa yang akan menanggung nafkah keluarga. Itu dulu. Sekarang bagi ibu yang cerdik, dia tidak rela anaknya menjadi hamba seks bapa, itu sebabnya dia membuat laporan," katanya, sambil menambah, kes sumbang mahram di negara ini melibatkan semua kaum.

BUKAN MENGHUKUM

Bagi kes penderaan kanak-kanak, JKM boleh melapor kepada polis, ibu bapa yang melakukan kesalahan mendera kanak-kanak khususnya fizikal di bawah peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun, menurut Nor Amni, setakat ini, pihaknya belum lagi bertindak menghukum ibu bapa kerana ingin memberi peluang kepada mereka menjalani pemulihan menerusi program kaunseling.

"Bagi kes penderaan, kami sedaya upaya tidak hendak menghukum sesiapa. Cara kita adalah cara pemulihan. Sesetengah ibu bapa bukan sengaja mahu mendera anak mereka tetapi dalam banyak kes, keadaan membuatkan mereka hilang sabar. Dalam kes dera ini, ada juga yang berpunca daripada kanak-kanak itu sendiri.

"Ibu bapa yang tidak mempunyai kemahiran menghadapi kerenah anak, mudah hilang pertimbangan terutamanya jika anak itu hiper aktif atau anak kurang upaya (OKU)," jelas Nor Amni.

Beliau memberitahu bahawa pihaknya juga akan membuat seliaan ke atas ibu bapa yang terlibat dengan kes penderaan anak untuk tempoh tertentu meskipun kes itu ditutup.

Bagi anak-anak yang perlu diasingkan daripada ibu bapa, tambahnya, pihak beliau akan menempatkan anak itu sama ada dengan keluarga yang layak atau di institusi JKM, lazimnya untuk tempoh tiga tahun.

"Sekiranya kami dapati ibu bapa mereka yang menjalani kaunseling sudah boleh menjaga anak mereka semula, kami boleh singkatkan tempoh anak itu tinggal di institusi kami.

"Bagaimanapun, jika ibu bapa masih tidak berubah selepas tempoh tiga tahun, kami akan pergi balik ke mahkamah untuk menyambung tempoh, ada kalanya sehingga anak itu mencapai umur 18 tahun," jelas Nor Amni.

Beliau turut memberitahu bahawa ada kes di mana ibu bapa tidak dapat dikesan selepas anak dihantar ke institusi JKM yang menyebabkan anak berkenaan terpaksa tinggal di tempat itu sehingga dia berusia 18 tahun.

HAK KANAK-KANAK

Setiap dasar dan program yang dibuat oleh JKM ialah untuk memastikan pemeliharaan hak semua kanak-kanak di Malaysia.

Seperti kata Nor Amni, ia selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurut beliau, di bawah Konvensyen itu, ada empat hak kanak-kanak iaitu Hak untuk Kelangsungan Hidup, Hak untuk Perlindungan, Hak untuk Penyertaan dan Hak untuk Perkembangan.

Malaysia, katanya, menandatangani dan menerimapakai CRC pada 1995 dan perlu memastikan setiap peruntukan di bawah Konvensyen itu dipatuhi.

Sehubungan dengan itu, katanya, masyarakat negara ini perlu meningkatkan peranan mereka kerana kebajikan kanak-kanak adalah tanggung jawab bersama.

"Sebagai ahli masyarakat, kita tidak boleh lari daripada peranan ini. Anak ini bukan anak dia sahaja tetapi anak kita juga. Kalau kita merasa semua anak adalah anak kita dan tanggungjawab kita, demi masa depan negara kita, kita mesti lapor jika berlaku kes penderaan.

"Kami harap lebih lebih ramai lagi akan tampil untuk memberi kerjasama dan menjalankan tanggungjawab mereka untuk masa depan anak-anak," kata Nor Amni.

Sumber : http://www.bernama.com/

ISU TEKNOLOGI HIJAU

Budaya inovasi majukan teknologi hijau tempatan

Oleh
Dr Zaini Ujang

SALAH satu nilai aspirasi dalam konsep 1Malaysia yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah budaya inovasi. Dalam pengertian mudah, budaya inovasi merujuk kepada kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam seluruh aspek kehidupan untuk kebaikan dan penyelesaian kreatif.

Dari segi konsep, budaya inovasi merangkumi kreativiti dan inovasi yang menjadi penggerak kepada pertumbuhan ekonomi masa depan menerusi gagasan 'ekonomi inovasi'. Kreativiti membabitkan pemikiran, idea dan gagasan baru.

Inovasi pula menjurus kepada penambahbaikan dan penyesuaian kepada pemikiran, idea atau gagasan sedia ada. Budaya inovasi tidak boleh hanya dikhususkan kepada ahli sains atau pakar teknologi, tetapi perlu difahami dan diamalkan seluruh lapisan masyarakat dalam segala bidang, termasuk bidang yang selama ini penuh dengan birokrasi seperti pentadbiran awam.

Justeru, dasar dan inisiatif perlu dirangka segera supaya kreativiti dan inovasi diperluaskan dimensi, amalan dan penghayatannya. Semua lapisan masyarakat perlu didedahkan supaya dapat memahami aspirasi budaya inovasi untuk memacu perubahan dan pembangunan dalam konteks mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Pada hemat saya, budaya inovasi perlu diberi keutamaan dan diserlahkan sekurang-kurangnya dalam tiga sektor utama iaitu pendidikan, pentadbiran awam dan pembangunan teknologi.

Sektor pendidikan adalah wasilah pembentukan rakyat yang memiliki sifat dan budaya hidup maju, termasuk nilai aspirasi berbudaya ilmu, inovasi, berprestasi tinggi, ketepatan, integriti, kesetiaan, ketabahan, kebijaksanaan dan sebagainya. Menerusi pendidikan, bibit dan cara hidup inovatif boleh disuburkan dengan mudah mengambil kira pelbagai aspek seperti pemikiran, pembangunan kerjaya, semangat keusahawanan dan pembangunan teknologi.

Sehubungan itu, persekitaran pembelajaran kreatif dan inovatif perlu disediakan, bermula dengan anjakan minda, khususnya di kalangan warga pendidik. Anjakan paradigma perlu dalam konteks pembangunan modal insan dan ekosistem pendidikan, malah perlu dijelmakan dalam konteks imej korporat. Sebagai nota kaki, tagline Universiti Teknologi Malaysia diberi nafas baru kepada 'Menjana minda kreatif dan inovatif' sejak awal 2009.

Pentadbiran awam juga penting untuk menyemarakkan ekosistem dan budaya inovasi sebagai simbolik terhadap komitmen dan aspirasi kerajaan. Sebenarnya, tidak sukar pentadbiran awam melakukan anjakan kepada budaya inovasi kerana sebagai pelaksana dan penghubung antara pembuat dasar dan rakyat, maka penambahbaikan adalah satu inisiatif berterusan.

Seiring perubahan zaman, maka sentiasa banyak aspek perlu ditambah nilai dan dipertingkatkan. Cadangan, teguran dan maklum balas yang sering kali dikemukakan pelbagai pihak menerusi lisan dan tulisan menjadi pemangkin memudahkan amalan dan penghayatan inisiatif serta amalan inovatif.

Dalam dunia semakin rencam dengan perubahan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi, maka pembangunan teknologi perlu dipergiatkan menerusi budaya inovasi. Negara kita tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi asing dalam semua bidang. Ketika ini negara rantau Asia, khususnya China, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan, semakin memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi berasaskan inovasi tempatan.

Untuk itu penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam ekosistem lebih inovatif menjadi keutamaan. Korea Selatan sebagai contoh dalam proses merealisasikan dasar memperuntukkan lima peratus kepada R&D daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala Malaysia menetapkan 1.5 peratus pada 2010.

Salah satu strategi Malaysia dalam R&D ialah pembangunan dan inovasi teknologi hijau sebagai wasilah untuk mencapai pelestarian secara lebih terencana, holistik dan bersepadu. Selain memanfaatkan sektor perkhidmatan tempatan seperti tenaga, air, kebersihan awam dan alam sekitar, teknologi hijau juga dijangka menjadi 'teknologi lestari masa depan' untuk keperluan global yang semakin tercemar dan penghakisan sumber.

Perlu juga dijelaskan bahawa 'kehijauan' teknologi hijau tidak boleh diukur semata-mata menerusi inovasi komponen kitar semula, penggunaan sumber daripada bahan buangan atau pengurangan penggunaan bahan api fosil. Kadang-kala, jenama hijau digunakan sewenang-wenangnya kerana wujud beberapa aspek hijau seperti kitar semula tetapi hakikatnya tidak lestari dan inovatif daripada perspektif holistik.

Kesan kepada alam sekitar tidak jauh bezanya dengan produk biasa, dan sudah pasti kurang kompetitif dalam pasaran global.

Demikian juga beberapa aspek budaya inovasi selaras dengan gagasan 1Malaysia dan ekonomi inovasi. Nilai tinggi dalam pendidikan dan pentadbiran awam perlu dimantapkan dan diutamakan. Justeru budaya inovasi perlu difahami dan dihayati. Ekosistem inovasi perlu disemarakkan dalam seluruh aspek kehidupan rakyat Malaysia.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia

Sumber :http: //www.bharian.com.my/