Isnin, 27 Julai 2009

KPI SASARAN NAJIB

Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)

NKRA PERTAMA: MENGURANGKAN KADAR JENAYAH

Tentunya sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari semasa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ia berlaku.

Di atas segalanya, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan dipecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:

Pertamanya, jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah 2008.

Manakala hot spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72 peratus daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20 peratus pada penghujung tahun 2010.

Keduanya, yakni dalam hal menambah baik persepsi rakyat terhadap keselamatan awam pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan.

Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaik taraf serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.

Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.

NKRA KEDUA: MEMERANGI RASUAH

Saya ingin tekankan di sini bahawa Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ia terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004. Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.

Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu.

Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.

NKRA KETIGA: MELUASKAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI DAN BERKEMAMPUAN

Seperti yang kita semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandel (lilin) penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelangsungannya. Dalam konteks ini saya merupakan seorang pendokong kuat falsafah pendemokrasian pendidikan, bahawa, kita tidak mungkin dapat menjanjikan outcome yang sama namun kita komited dalam menyediakan peluang yang saksama pada garis permulaan. Jelasnya, kita akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosio ekonomi.

Dari itu, dalam bidang pendidikan, saya mahu memastikan anak-anak kita akan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini.

Lalunya, seiringan pesan orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya, Kerajaan akan memberi keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.

Laginya, suka atau tidak, adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, saya telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012.

Golongan yang akses pendidikan prasekolah, kerajaan menyedari hanya 60 peratus sahaja anak-anak kita yang dapat akses pendidikan prasekolah, jadi KPI menjelang 2012 pencapaian ini sekurang-kurangnya dapat dinaikkan kepada 80 peratus.

Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan ingin menawarkan new deal atau satu Bai'ah baru kepada semua pengetua dan guru besar dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Selain itu, sebagai projek perintis, sebanyak 100 sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sebelum penamat 2012.

NKRA KEEMPAT: MENINGKAT TARAF HIDUP RAKYAT YANG BERPENDAPATAN RENDAH

Dalam lapangan ini, sememangnya pentadbiran saya bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK-9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripadanya, lebih 11,000 telah disahkan status dan telah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.

Sehubungan ini juga, sebagai kerajaan yang prihatin kita sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat. Kita tidak sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Pokoknya, kita mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, sukacita saya mengumumkan bermula Januari 2010, semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.

Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan tidak dinafikan. Kita juga akur kaum hawa membentuk separuh daripada penduduk Malaysia. Kerana itu, kerajaan berhasrat melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan wanita. Sehingga Jun 2009, seramai 717 wanita yang berpotensi menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar (AIM) telah dikenal pasti.

Justeru, kerajaan menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita kepada 4,000 orang menjelang 2012 melalui program AIM.

NKRA KELIMA: MEMPERKASA PRASARANA LUAR BANDAR DAN PEDALAMAN

Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al-Quran, Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa janganlah harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara dan atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir daripada merasai mahsul kemakmuran. Lantaran itu, pentadbiran saya akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman.

Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 kilometer jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500 kilometer atau dua kali ganda perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat 2012.

Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir dua juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun, lima kilometer dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.

Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62 peratus. Justeru, kerajaan menetapkan pada akhir RMK-9, liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri itu dipertingkatkan kepada 70 peratus. Kerajaan serius untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat. Jadi, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan sehingga 90 peratus di Sabah dan Sarawak pada penghujung 2012. Untuk itu, sejumlah RM2 bilion diperuntukkan bagi kemudahan kepada 60,000 buah rumah.

Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu sekitar 80 peratus berbanding 99 peratus di Semenanjung, kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan di kedua-dua negeri itu kepada 95 peratus pada akhir 2012.

Sejumlah RM3.9 bilion diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 rumah. Kerajaan juga menyasarkan bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir 2012.

Sesungguhnya, kerajaan amat prihatin serta berazam untuk terus membela nasib golongan miskin dan miskin tegar.

Oleh itu, kerajaan berhasrat menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan ini. Sehubungan itu, kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan itu sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.

NKRA KEENAM: MENAMBAH BAIK PENGANGKUTAN AWAM DALAM JANGKA MASA SEDERHANA

Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.

Mengikut statistik Kementerian Pengangkutan, hanya 16 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan menyasarkan peratusan ini ditingkatkan kepada 25 peratus pada penghujung 2012. Namun, kita semua harus menyedari, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaan, saya mengumumkan bahawa menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set "4-car-train" akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya.

(Sedutan Ucapan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak " Merevolusi Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan: Pencapaian Diutamakan" di Pusat Konvensyen Putra Jaya 27 JULAI 2009)


Pelaburan internet dibenarkan selagi patuhi syarak

Oleh Najahudin Lateh

Sistem muamalat Islam patut jadi panduan cari kekayaan bukan konvensional

RAMAI di kalangan kita teruja dengan pelbagai promosi dan perniagaan dalam internet. Semua mahu kaya lebih-lebih lagi dengan cara mudah. Lebih cepat kaya, lebih ramai peminatnya. 'Klik dapat duit', 'Jana Pendapatan', 'Letak duit dan terima 'durian runtuh' beribu-ribu dalam akaun' dan pelbagai slogan lagi begitu mengasyikkan pelayar internet.

Dalam keghairahan mengejar kekayaan seperti ini, kita sering alpa dengan garis halal haram yang ditetapkan dalam muamalat Islam. Hakikatnya, daripada aspek Islam, kemunculan internet sebagai medium penting dalam teknologi perniagaan seperti di atas sangat dialu-alukan.

Bagaimanapun, Islam ada garis panduannya. Sesuatu teknologi yang baik akan diterima. Begitu juga sebaliknya, sesuatu yang menyalahi syarak, ia tetap tidak dibenarkan.

Dalam ilmu perubatan contohnya, umat Islam diizin melakukan pengklonan, namun pengklonan terhadap manusia tidak dibenarkan.

Begitu juga diizinkan memakan buah anggur, namun anggur yang diproses menjadi arak tidak dibenarkan.

Dalam internet, banyak manfaat kepada Islam, tetapi pada masa sama, ada perkara yang tidak bermanfaat dan diharamkan.

Justeru, terpulang kepada kita untuk menggunakannya mengikut lunas dibenarkan oleh Islam dan undang-undang negara.

Begitu juga dalam proses mencari kekayaan. Umat Islam boleh mencari kekayaan melalui cara konvensional dengan bertemu pelanggan. Begitu juga boleh mencari kekayaan melalui internet tanpa perlu bertemu pelanggan. Islam membenarkan semuanya dengan syarat mengikut sistem muamalat Islam.

Kontrak (akad) mesti betul. Semua syarat dalam urus niaga mencari kekayaan mesti dipenuhi. Kaedah fekah ada menyebut, "Hukum asal dalam semua perkara adalah harus, kecuali ada dalil yang menunjukkan haram."

Jelasnya, hukum mencari kekayaan melalui internet adalah harus, kecuali wujud unsur dalam transaksinya menyalahi syarak yang menyebabkan ia menjadi haram.

Ada pelbagai cara untuk mencari duit melalui internet. Secara mudah, ada tiga cara untuk mencari duit di internet, iaitu melalui perniagaan internet, program internet dan melalui pelaburan internet. Ketiga-tiganya tidak halal secara mutlak dan tidak haram secara mutlak.

Daripada aspek hukum, sesuatu urus niaga adalah harus dalam Islam, kecuali wujud unsur yang menjadikannya haram dan menyalahi syarak.

Antara unsur atau elemen yang menjadi asas perbezaan kepada wujudnya hukum halal atau haram dalam urus niaga internet, ada dalam tiga perkara, iaitu riba, gharar atau ketidakpastian dan judi.

Dalam urus niaga internet, riba boleh berlaku dalam beberapa keadaan. Sebagai contoh, dalam jual-beli produk melalui internet, jika si pembeli membayar menggunakan kad kredit konvensional, ia terdedah kepada riba.

Ini berlaku jika si pembeli tidak membayar hutang kepada pengeluar kad itu dalam tempoh ditetapkan kerana ia akan dikenakan faedah atau riba.

Begitu juga riba yang diharamkan akan wujud jika jual-beli di internet membabitkan emas, perak atau mata wang.

Barangan itu yang dikenali sebagai `barangan ribawi` disyaratkan mesti diserah dan diterima ketika itu atau pada satu masa (yadan bi yadin).

Jika ia tidak dapat diserahkan pada masa itu juga seperti pada kebanyakan transaksi dalam internet, ia adalah riba.

Antara contoh gharar dalam transaksi internet pula adalah seperti maklumat produk jualan yang kabur seperti tidak diketahui bentuk, jenis, berat, kuantiti dan sebagainya.

Dalam pelaburan internet, gharar berlaku apabila pelabur tidak mengetahui secara jelas terma perjanjian termasuk pembahagian untung rugi, bidang pelaburan dan sebagainya.

Malah, gharar juga wujud apabila skim cepat kaya menjanjikan jaminan keuntungan dan pulangan yang pasti tanpa perlu melakukan sebarang usaha atau menghadapi sebarang risiko.

Transaksi dalam internet juga haram jika membabitkan unsur perjudian. Sebagai contoh, dalam kebanyakan program skim piramid dan pelaburan internet, peserta akan meletakkan sejumlah wang untuk mendapat wang segera yang lebih besar jumlahnya.

Ini jelas suatu pertaruhan atau judi yang diharamkan. Secara umum, pelaburan internet sebegini adalah skim cepat kaya alaf baru yang mengharapkan kepada nasib untuk mencari rezeki. Hanya `goyang kaki` tanpa ada sebarang usaha.

Malah, ia bertentangan dengan konsep pelaburan dalam Islam yang terbuka kepada konsep untung dan rugi.

Modus operandinya mudah, letak duit melalui `online`, goyang kaki, lepas itu duit akan 'membesar' dengan segera dan 'beranak-pinak' dalam akaun bank peserta. Biasanya pelaburan ini tidak mempunyai nama pemilik, tiada alamat atau alamat tidak benar, tidak mempunyai lesen dan tidak berdaftar dengan pihak berkuasa.

Ramai orang menyangka mereka akan kaya selepas menerima bayaran pertama dalam akaun. Namun, mereka tidak terfikir mereka akan papa kedana jika bayaran seterusnya tidak diberikan atau lebih malang jika laman web itu sendiri ditutup atau tidak beroperasi.

Ketika itu, mulalah `tepuk dahi` kerana kepada siapa perlu diadukan. Alamat pejabat tidak diketahui. Penganjur pula tidak dikenali.

Namun, tidak semua pelaburan internet ini haram.

Ada juga yang halal, mempunyai lesen serta memenuhi piawai syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Malah, kini ada beberapa institusi kewangan sah yang menyediakan kemudahan pelaburan melalui laman web masing-masing.

Justeru, kita mempunyai hak untuk memilih pelaburan halal disediakan. Oleh itu, semua pelayan internet disyorkan berhati-hati sebelum melakukan sebarang transaksi dalam internet.

Paling mudah, mereka boleh menyemak senarai pelaburan yang diizinkan dan senarai pelaburan, termasuk pelaburan internet yang tidak dibenarkan melalui laman web Suruhanjaya Sekuriti sendiri di alamat www.sc.com.my.

Justeru, berhati-hatilah dalam urus niaga itu. Internet adalah medium yang baik dan memang sah kontrak dengannya. Itu tidak menjadi masalah.

Yang menjadi masalah adalah kandungan, bentuk, terma serta syarat urus niaga. Jika dipenuhi segala prasyaratnya, sahlah urus niaga itu.

Begitu juga sebaliknya. Oleh itu, umat Islam perlu terus mencari ilmu pengetahuan berkaitan muamalat Islam, termasuk urus niaga melalui internet.

Penulis ialah pensyarah Pusat Kefahaman dan Pemikiran Islam (CITU) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Yasmin pergi membawa aspirasi 1Malaysia

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my

SEINGAT saya, hanya sekali saya bersemuka dengan Yasmin Ahmad dan berbual-bual dengannya.

Pertemuan kali pertama kira-kira empat tahun lepas itu merupakan kali pertama dan terakhir antara saya dengannya. Tiada lagi pertemuan secara empat mata dengannya selepas itu.

Namun, dari jauh, perkembangan kerjaya pengarah kelahiran Muar, Johor ini menarik perhatian saya. Dia bukan seperti pengarah filem arus perdana yang lain. Kerja Yasmin ialah menghasilkan naskhah-naskhah filem yang disukai oleh ibu dan ayahnya.

Pengarah yang meninggal dunia pada usia 51 tahun ini tidak pernah peduli, jauh sekali untuk berkecil hati kalau orang lain tidak suka dengan kerja-kerja seninya.

Apa yang paling utama buatnya ialah ibunya, Inom Yon dan bapanya, Ahmad Hashim gembira dengan hasilnya.

Itu sudah cukup membahagiakan karyawan berkelulusan ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom ini. Kerana itu, perasaan dan cita rasa orang lain bukan prioriti buat sutradara prolifik ini.

Bagaimanapun, Yasmin juga disifatkan sebagai seorang sutradara yang bertanggungjawab. Ini kerana dalam setiap karya seninya baik dalam filem mahupun iklan, Yasmin tidak pernah lupa menggabungkan elemen kasih sayang dan cinta selain sarat dengan latar masyarakat majmuk di negara ini.

Antara filem arahan beliau yang menggabungkan elemen-elemen itu ialah Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009).

Kalau itu belum cukup, Yasmin juga seorang yang tidak pernah berhenti daripada berfikir mengenai kerja.

Setiap hari dia bekerja memerah fikiran untuk menghasilkan hasil yang boleh dijadikan rujukan tidak kira sama ada ia dalam bentuk filem mahupun iklan-iklan komersial.

Lalu kerana itu, tidak hairanlah sehingga ke nafas yang terakhir, Yasmin masih bekerja, melakukan pembentangan kertas kerja mengenai kempen 1Malaysia yang mahu diusahakan secara kerjasama dengan TV3 serta penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Yasmin hanya sempat membentangkan idea kreatifnya untuk tempoh yang sangat singkat pada 23 Julai lalu sebelum dia pergi untuk selama-lamanya. Pemergian beliau menemui pencipta-Nya meninggalkan kesan yang bukan sedikit buat kita.

Ketika kerajaan sedang giat memperhebatkan kempen 1Malaysia, Yasmin yang ditabal sebagai pengarah filem semua kaum pergi membawa bersama segala aspirasi yang sama dengan kerajaan yang selama ini menjadi pendiriannya dalam berkarya.

Lalu, pemergian pengarah itu selepas tiga hari koma akibat serangan strok sebetulnya kehilangan yang sangat besar buat negara.

Yasmin bukan calang-calang manusia yang pernah 'dilahirkan' oleh industri hiburan tanah air. Semalam, di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang, Selangor, kenalan yang hadir memberikan penghormatan terakhir buatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Bukan saja kerabat seni daripada pelbagai kaum yang mengaguminya, bahkan yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandez dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar

"Saya sangat terharu melihat kehadiran rakan-rakan pelbagai kaum pada majlis pengkebumian beliau. Ini menandakan beliau sangat disayangi ramai," kata penyanyi dan pelakon Jaclyn Victor kepada Utusan Malaysia.

Kalau boleh, teringin benar saya untuk mengulangi sekali lagi waktu untuk membolehkan saya bertemu dan bercakap sendiri kepada Yasmin bahawa kreativitinya merentasi jauh pemikiran masyarakat.

Andai peluang itu ada, biarlah saya sendiri memberitahu Yasmin, industri hiburan masih memerlukan kehadirannya.

Pada masa yang sama, saya juga percaya, ada ramai lagi orang lain yang sedang berduka dengan pemergian Allahyarham mahu berbuat demikian.

Bahkan, mereka yang pernah tidak bersetuju dengan karya-karya seni Allahyarham ketika hayatnya juga pastinya akan berasa terkilan kerana tidak sempat untuk mengakui bahawa Yasmin adalah wajah sebenar industri sinema Malaysia.

Sayang sekali, semuanya sudah terlambat. Yasmin kini sudah berhijrah ke alam baru.

Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Nota hujung :

"Sejak kecil lagi, saya selalu mengambil berat tentang unsur kemanusiaan. Saya mendapati, dalam kita mengejar kejayaan, kadang-kadang kita terlupa tentang asas-asas kemanusiaan seperti baik hati dan kasih sayang. Saya sentiasa mencuba untuk memasukkan perasaan ini dalam kesemua filem yang saya hasilkan, baik filem iklan atau filem di layar perak. Bagi saya, filem adalah peluang untuk mengingatkan manusia agar menjadi manusia semula"

(Yasmin Ahmad dalam satu temu ramah dengan seorang wartawan Berlin, Jerman, Tilman Baumgartel tahun lalu)

ISU KERANCUAN BAHASA

DBP boleh hukum pesalah bahasa

Oleh Nazmi Yaakub bhnews@bharian.com.my

Kuasa diperuntukkan termasuk denda, penjara

KUALA LUMPUR: Pindaan kepada Akta DBP 1959 (Akta 213) yang di peringkat akhir pembetulan, difahamkan memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghukum pesalah bahasa, termasuk denda dan penjara.

Bagaimanapun, penguatkuasaannya dikatakan hanya dalam konteks rasmi dan tidak membabitkan urusan tidak rasmi kerana ia bukan bertujuan menafikan hak kebebasan berbahasa.
Sumber memberitahu Berita Harian, pindaan Akta DBP 1959 memberi kuasa menghukum pesalah bahasa tanpa mengehadkan kepada penggunaan bahasa Melayu di papan tanda dan iklan, tetapi turut membabitkan semua majlis rasmi yang memerlukan penggunaan bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

"Kata kunci dalam memahami ruang lingkup menghukum pesalah bahasa dalam pindaan itu ialah rasmi dan kita juga memberi tumpuan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam atau mempunyai kepentingan awam," katanya kepada Berita Harian.

Pindaan juga akan melengkapkan tujuh kuasa kepada DBP dalam menggalakkan perkembangan bahasa dan kesusasteraan di negara ini, iaitu memberi arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata pindaan berkenaan kini pada peringkat akhir pembetulan selepas draf cadangannya diteliti Kementerian Pelajaran, baru-baru ini.

"Dokumen pindaan Akta DBP 1959 yang dihantar kepada Kementerian Pelajaran sudah diserahkan untuk pembetulan.

"Saya tidak perlu memperincikan komen Kementerian Pelajaran, kerana ia masih menjadi rahsia," katanya ketika ditemui di DBP di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengapa proses pindaan Akta DBP 1959 mengambil masa terlalu lama, walaupun Kabinet bersetuju memberi kuasa menghukum pesalah bahasa termasuk kesalahan pada papan tanda dan iklan kepadanya pada 2006.

Ketika itu, Kabinet memutuskan untuk memberi kuasa menghukum pesalah bahasa kepada DBP dengan meminda akta berkenaan, hasil memorandum bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (ketika itu)

Sejak 10 tahun lalu, lebih 212 premis dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kesalahan bahasa dalam iklan daripada segi ejaan atau penterjemahan, saiz huruf bahasa Melayu lebih kecil, tidak mengutamakan bahasa kebangsaan dan menggunakannya di bahagian atas papan iklan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Ahad, 26 Julai 2009

PERSAHABATAN DALAM ISLAM


Bersama Mohd Zawawi Yusoh


PERSAHABATAN adalah satu nikmat, kerana ia adalah tanda keimanan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara."

Kita memang diajar berhati-hati memilih teman kerana silap pilih, kadangkala buruk akibatnya.

Persahabatan yang baik akan membawa kita ke syurga dan kalau tersilap, padah membawa ke neraka. Ada yang bertanya, kalau kita berkawan dengan yang baik saja manakala yang bermasalah dibiarkan saja, siapa pula yang akan mendidik dan menegurnya.

Sebenarnya sudah lama kita melakukan kesilapan dalam melayani seseorang. Remaja yang bermasalah sepatutnya didekati bukannya dipulau atau diboikot.

Cuma mendekati mereka ini memerlukan kekuatan prinsip yang utuh supaya kita yang mendekatinya terutama sesama remaja, agar kita tidak larut dan hanyut terlena serta tertipu kerana tidak kuat prinsip.

Pertemuan kali ini bukannya untuk memberi tip, bagaimana mendekati mereka yang bermasalah tetapi ingin bercerita keprihatinan ulama bergaul dengan niat mengubah mereka yang bermasalah.

Pada suatu hari Ibnu al-Mubarak berjumpa dengan seorang yang jahat pekerti dan rendah budinya dalam satu perjalanan.

Dia terus bergaul dengannya dan berjalan bersamanya walaupun terpaksa menanggung kesabaran atas pekertinya yang kurang menyenangkan itu.

Detik berpisah akhirnya tiba. Ibnu al-Mubarak menjadi sebak dan menangis. Apabila ditanya kenapa dia menangis, dia menerangkan:

"Aku menangis kerana masih sayang kepadanya. Aku terpaksa berpisah dengannya dalam keadaan dia belum dapat berpisah dengan kelakuannya yang buruk itu."

Apa yang kita boleh pelajari dari kisah terbabit ialah:

· Berkawanlah dengan sesiapa saja asalkan bertujuan untuk memperbaiki hubungan silaturahim serta mendekatkan diri kepada Allah.

· Bersabar dalam pergaulan adalah suatu kebajikan. Berusaha memperbaiki akhlak kawan satu kebajikan yang lain.

· Mencari kawan mudah tetapi mencari kawan yang sekata amat sukar.

· Perbaiki hubungan sesama manusia (hablum-minan-nas) di samping perbaiki hubungan dengan Allah (hablum-mina-Allah)

· Dua sahabat yang menangis lantaran berpisah kerana Allah akan dinaungi Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya.

· Jangan mamandang keji terhadap seseorang kerana akhlaknya tetapi bersimpatilah di samping cuba untuk mengubah kelakuannya.

Berusaha dalam dakwah adalah tanggungjawab kita tetapi pemberian taufiq dan hidayah adalah di tangan Allah.

Berkawan dengan orang yang jahat akhlak adalah sebagai satu cara untuk menguji diri sejauh mana kesabaran dan kesediaan kita untuk memaafkannya.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

Sabtu, 25 Julai 2009

Bahasa Melayu, bahasa Malaysia

Oleh Salbiah Ani
dahiya@nstp.com.my

Apakah perbezaan sudah dilakukan dalam Fasal 152, Perlembagaan Negara?

SESETENGAH pihak di negara ini menggunakan bahasa Malaysia ketika merujuk kepada bahasa Melayu tanpa menyedari bahawa istilah berkenaan tidak pernah mengambil tempat dalam Fasal 152, Perlembagaan Negara dan penukaran terbabit menuntut pengorbanan besar daripada bangsa Melayu.

Profesor Sosiolinguistik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong, berkata istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara ini masih kekal dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan, meskipun sesetengahnya pemimpin politik dan rakyat merujuknya sebagai bahasa Malaysia.

“Pada 4 atau 5 Jun 2007, Datuk Zainuddin Maidin yang ketika itu Menteri Penerangan mengumumkan bahasa Melayu dirujuk sebagai bahasa Malaysia atas arahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Perdana Menteri dan keesokan harinya, disahkan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa terbabit,” ujarnya.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada usaha menukar bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia menerusi Perlembagaan Persekutuan, meskipun sudah ada penerbit swasta yang menerbitkan, meskipun hakikatnya bahan bercetak terbabit hanya boleh diterbitkan oleh Percetakan Negara.

“Saya dimaklumkan bahawa Perlembagaan Negara kini boleh dibeli di beberapa kedai buku negara ini dan istilah bahasa Melayu dalam bahan bercetak terbabit sudah ditukarkan ke bahasa Malaysia dalam naskhah yang diterbitkan oleh penerbit swasta,” katanya kepada Sastera ketika diminta mengulas istilah yang sepatutnya digunakan.

Baginya, istilah bahasa Melayu tidak boleh ditukarkan kepada bahasa Malaysia selagi usul tidak dibawa ke Dewan Rakyat dan kemudian dibawa ke Dewan Negara untuk didebatkan. Penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agung.

Baginya apabila kerajaan mengumumkan pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia ia dilakukan atas tujuan perpaduan kaum dan integrasi nasional dengan matlamat yang murni dan mulia daripada segi zahirnya, tetapi boleh merosakkan dalam banyak hal khususnya kepada orang Melayu sebagai empunya bahasa.

Prof Teo mengingatkan, hakikatnya dalam bahasa turut terkandung terangkum artifak Melayu, institusi dan organisasi sosial orang Melayu, sikap Melayu, pemikiran dan emosi Melayu, falsafah orang Melayu, budaya Melayu, sejarah bangsa Melayu, sistem kepercayaan dan nilai bangsa Melayu yang terhimpun sejak turun-temurun.

“Saya tidak nafikan sekalipun dikenali sebagai bahasa Malaysia, ia tetap bahasa Melayu, tetapi apakah berbaloi bangsa terbabit mengorbankan pelbagai semangat dan citra yang terkandung di dalamnya. Apakah bukan Melayu memberi balasan yang setimpal dengan pengorbanan itu?” soalnya.

Kedudukan bahasa Melayu di Malaysia dikatakan berbeza daripada Indonesia kerana bahasa rasmi negara jiran itu diangkat daripada kumpulan minoriti berbanding Jawa yang mendominasi Indonesia dan tidak timbul bantahan kerana ia ia boleh diterjemah sebagai suatu penghormatan besar kepada empunya bahasa.

“Mengikut fitrah linguistik, bahasa selalunya dinamakan mengikut bangsa yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda. Di Malaysia bangsa Melayu dominan dan paksi bangsa di negara ini. Jika namanya ditukar kepada bahasa Malaysia, maka hilang jati diri orang Melayu sebagai kelompok distingtif. Perkara ini perlu difikirkan,” jelasnya.

Timbalan Pengarah, Bahagian Ijazah Tinggi, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nor Hisham Osman, berpendapat Malaysia sewajarnya menggunakan kaedah yang digunakan negara lain dalam penentuan bahasa mereka.

“Negara seperti Australia, England, Kanada dan New Zealand, semuanya menggunakan istilah standard iaitu bahasa Inggeris serta bukannya mengikut nama negara meskipun mereka ada loghat sebutan sendiri. Begitu juga dengan Jepun, Korea dan China. Jadi mengapa Malaysia memilih jalan berbeza,” katanya

Seperti Prof Teo, Dr Nor Hisham mengingatkan bahawa bahasa mewakili bangsa dan situasi bahasa Malaysia di negara ini berbeza daripada Indonesia yang mengangkat bahasa berdasarkan nama negara itu kerana sudah terbukti mereka berjaya mewujudkan bangsa Indonesia.

“Bahasa Indonesia tidak sama dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu di Indonesia difahami sebagai bahasa yang diucapkan di Riau, satu daripada wilayah di negara jiran itu. Di Malaysia pula bahasa Melayu adalah bahasa bangsa Melayu,” katanya.

Baginya, penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia hakikatnya bagi membolehkan ia tidak melambangkan apa juga suku kaum di Malaysia, tetapi daripada segi realiti, hasrat terbabit tidak menjadi meskipun bangsa Melayu sanggup bertolak ansur ‘menggugurkan’ nama bangsanya.

Dr Nor Hisham mengajak semua pihak untuk menilai realiti di negara ini, iaitu meskipun sudah 52 tahun merdeka, rasa neutral kepada bahasa Malaysia gagal diperoleh daripada kalangan rakyat bukan Melayu dan kerana itu ada wajarnya istilah bahasa Melayu diguna pakai semula.

“Ada rakyat di negara ini yang mahu diiktiraf sebagai Bumiputera, meskipun bahasa Melayu bukan bahasa ibunda mereka dan tidak beragama Islam. Mereka mahu menuntut hak sebagai Bumiputera, tetapi enggan memakai baju Melayu sebagai busana kebangsaan, apalagi berbahasa Melayu,” tegasnya.

Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, pula melihat sama ada istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia tidak menjadi soal kerana kedua-dua bahasa terbabit, merujuk kepada bahasa yang sama.

“Dalam akademik ia akan dirujuk sebagai bahasa Melayu. Daripada segi perpaduan atau politik pula, ia dirujuk sebagai bahasa Malaysia. Jadi tidak salah istilah bahasa Malaysia digunakan. Saya dimaklumkan ketika bahasa Malaysia diperkenalkan dulu, akhbar berbahasa Cina menentangnya dan apabila ditukarkan ke bahasa Melayu juga ditentang,” ujarnya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Ditikam mati di mahkamah kerana bertudung


KEMATIAN Marwa Ali El-Sherbini menuntut pembelaan.


ADALAH malang bagi umat Islam pasti sahaja akan keluar pelbagai telahan negatif tentang mereka ini terutama dari penduduk di Barat dan semua ini berlaku hanya disebabkan pengaruh gejala Islamofobia yang diuar-uarkan oleh Barat. Mereka ini telah dicap kebanyakan penduduk Barat sebagai ekstremis atau jumud semata-mata kerana tidak mengikut rentak mereka dalam berpakaian.

Maka tidak menghairankan kenapa orang di Barat sering saja membuat persepsi negatif yang adakalanya di luar batasan kemanusiaan.

Oleh itu peristiwa yang berlaku terhadap Marwa Ali El-Sherbini, seorang wanita yang berasal dari Mesir dan kemudian berhijrah ke Jerman merupakan satu peristiwa yang menyayat hati namun pada masa yang sama membuktikan isi hati sebenar penduduk Barat terhadap orang Islam walaupun tidak semua hanya kerana terlalu dipengaruhi Islamofobia.

Siapa sebenarnya Marwa Ali El-Sherbini yang tiba-tiba menjadi ikon orang Islam yang tertindas di Barat. Beliau hanyalah orang biasa yang cuba menyara hidup dengan menumpang di sebuah negara asing untuk kemajuan diri dan keluarga.

Marwa yang dilahirkan pada 1977 di Mesir telah berpindah ke Jerman pada 2005. Pada 2008 beliau dan keluarga berpindah ke Dresden setelah suaminya Elwi Ali-Okaz mendapat kerja sebagai pengkaji di Institut Max Planck dan Marwa pada masa yang sama bekerja di Hospital Universiti Dresden. Namun pengakhiran hidupnya yang sangat menyayat hati telah membuka banyak mata tentang bahaya gejala Islamofobia di kalangan masyarakat Barat.

Peristiwa pembunuhan yang dilakukan terhadapnya di dalam mahkamah ketika memberi keterangan terhadap seorang lelaki yang bertindak memaki hamun dirinya kerana beliau adalah seorang beragama Islam dan bertudung merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima akal setiap manusia yang siuman.

Segalanya bermula pada bulan Ogos 2008 apabila lelaki berkenaan Alex W. seorang warga Jerman tetapi dilahirkan di Perm Russia menjerit ke arah Marwa di sebuah padang permainan kanak-kanak di Dresden kerana bertelagah berebut menggunakan buaian untuk anak buahnya dengan anak lelaki Marwa.

Wanita berusia 32 tahun itu telah digelar sebagai pengganas Islam dan pelacur hanya kerana beliau memakai tudung. Kejadian tersebut berlaku untuk beberapa ketika walaupun terdapat antara pengunjung taman permainan cuba menghalang lelaki berkenaan. Dia hanya berhenti setelah polis datang tidak berapa lama kemudian.

Alex kemudiannya telah dituduh melakukan fitnah terhadap Marwa dan didapati bersalah oleh mahkamah serta didenda sebanyak 780 Euro. Semasa perbicaraan berlangsung Alex merayu hukuman dikurangkan kerana mendakwa manusia seperti Marwa bukanlah seorang manusia sebenar oleh itu dia tidak boleh dihina.

Akibat dari dakwaan secara terbuka ini, peguam bela telah merayu bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap Alex. Oleh itu pendengaran rayuan kes ini diadakan di sebuah mahkamah di Dresden pada 1 Julai lalu.

Ketika kejadian tersebut lapan orang berada dalam mahkamah termasuklah tiga hakim, seorang pendakwaraya, Alex dan peguamnya serta Marwa, suaminya Elwi Ali Okaz dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun. Malangnya tiada sebarang pegawai keselamatan berada di situ dan tidak ada sebarang rutin pemeriksaan untuk memastikan tiada sebarang senjata merbahaya di bawa masuk ke dalam mahkamah.

Sebaik sahaja Marwa selesai memberikan keterangannya, Alex, bertindak meluru ke arah beliau sebelum menikamnya sebanyak 18 kali sambil menjerit "anda tidak layak untuk hidup". Suami beliau, Elwi yang cuba mempertahankan Marwa turut ditikam.

Melihat kejadian ini, mereka di dalam mahkamah bertindak memanggil seorang anggota polis yang sedang memberi keterangan di mahkamah berhampiran namun malangnya suami Marwa ditembak di kaki kerana anggota polis itu menyangka Elwi sebagai penyerang.

Elwi cedera parah akibat peristiwa ini dan berada dalam koma selama dua hari namun malangnya Marwa yang cedera parah mati ditempat kejadian. Lebih menyayatkan hati kematian Marwa ini turut membunuh anak yang dikandungnya berusia tiga bulan.

Alex telah ditangkap di tempat kejadian dan kini sedang ditahan reman untuk siasatan atas tuduhan membunuh Marwa dan cubaan bunuh terhadap Elwi. Namun lelaki kejam ini dilaporkan masih belum memberi sebarang pengakuan kepada pihak penyiasat dan perbicaraan dijangka akan berlangsung selewat-lewatnya pada hujung 2009 atau awal tahun 2010.

Peristiwa ini pada awalnya tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak media di Jerman dan ia hanya dilaporkan di halaman belakang akhbar-akhbar di sana.

Hanya setelah tunjuk perasaan panas yang dicetuskan oleh ribuan rakyat Mesir yang menetap di Jerman kerana menentang Islamofobia barulah kerajaan Jerman yang sebelum ini hanya mendiamkan diri menyatakan kesedihan dan kekesalan tentang pembunuhan Marwa.

Sesungguhnya peristiwa pembunuhan Marwa ini berpunca dari peningkatan kebimbangan Islamofobia yang semakin ketara terutama di negara Barat. Malah media-media utama di Mesir menyatakan kematian Marwa ini sebagai "mati syahid seorang pejuang berhijab".

Sememangnya gejala Islamofobia ini telah diwujudkan bagi meningkatkan semangat kebencian terhadap orang Islam dari mereka yang bukan beragama Islam. Cubaan menggambarkan orang Islam sebagai pengganas yang bertanggung jawab terhadap pelbagai kejadian dan kemusnahan di seluruh dunia merupakan satu tuduhan yang sangat dangkal dan berniat jahat.

Oleh itu usaha untuk membersihkan tuduhan yang dilemparkan terhadap umat Islam ini perlu dilakukan segera. Namun ini tidaklah bermaksud darah perlu dibayar dengan darah kerana ia akan hanya memburukkan lagi keadaan.

Jika tidak, adalah tidak menghairankan peristiwa pembunuhan seperti Marwa ini akan berulang malah mungkin lebih teruk lagi pada masa depan

Sumber : http://www.utusan.com.my/