Selasa, 29 September 2009

ISU ALAM SEKITAR

Hutan bakau aset penting lindungi pesisiran pantai

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my

Usaha pemuliharaan perlu berterusan jamin ekosistem kekal seimbang

MEMUPUK kesedaran menjaga dan memulihara khazanah alam terutama hutan paya bakau di kalangan masyarakat, termasuk menjelaskan kepentingan perlunya ia dipulihara bukan satu tugas mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi dan padu daripada pertubuhan berkaitan serta masyarakat setempat.

Hutan bakau berperanan bukan saja sebagai penangkis hakisan di pinggir pantai tetapi turut bertindak sebagai penstabil kawasan pantai dan tebingan sekitarnya. Ia mampu berperanan secara efektif sebagai penahan ombak, ribut dan pasang surut air secara semula jadi.

Justeru, kesedaran menjaga khazanah semula jadi itu seperti yang dilakukan penduduk Kampung Mangkuk di Penarik, Setiu dan beberapa kawasan di Kerteh, Terengganu wajar dijadikan contoh. Ia wajar diikuti bagi memastikan kawasan pantai negara tidak terjejas dan terus kekal sebagai khazanah sumber marin negara. Sikap penduduk kawasan itu juga adalah cerminan kejayaan usaha penerangan dan kempen bersungguh-sungguh yang dijalankan beberapa pertubuhan termasuk Tabung Hidupan Liar (WWF), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan syarikat korporat yang prihatin.

Inisiatif warga Kampung Mangkuk yang melaksanakan tanaman semula bakau sebagai satu daripada usaha mereka mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin membimbangkan, juga berperanan sebagai wadah mendidik generasi muda memahami kepentingan memulihara hutan paya bakau. Hutan paya bakau adalah sempadan di antara daratan dan lautan. Keadaan pesisir pantai sering terdedah kepada ancaman hakisan akibat tindakan ombak dan arus pasang surut. Maka, hutan paya bakau berperanan menstabilkan keadaan persisiran pantai, tebingan sungai dan persekitaran kawasan dengan memberi perlindungan daripada arus pasang surut, ombak dan ribut.

Peranannya juga tidak hanya sekadar melindungi hakisan tanah tetapi mengumpulkan semula tanah yang terhakis dari laut. Ia berlaku apabila ombak menolak tanah atau lumpur dari laut ke darat dan hutan paya bakau dengan sistem akarnya yang unik dapat mengumpul tanah berkenaan dan ini adalah fenomena unik yang dapat mengekang kecenderungan laut untuk menenggelami daratan.

Selain itu, hutan paya bakau menjadi habitat beberapa spesies seperti ikan, ketam, udang dan kerang yang mana hutan ini adalah tempat hidupan berkenaan menetas dan membesar sebelum kembali ke laut. Justeru, kawasan paya bakau secara tidak langsung memberikan kesan terhadap ekonomi penduduk kerana ia mampu mencetuskan kestabilan sumber perikanan, sekali gus kehilangan hutan paya bakau akan memberikan kesan yang sangat negatif terhadap industri perikanan.

Di kebanyakan negara di Asia Tenggara dan Pasifik, hutan paya bakau dikomersialkan menerusi pengeluaran kayu untuk pembinaan, kayu api dan arang. Pengalaman yang direkodkan beberapa pertubuhan yang memperjuangkan pemuliharaan alam termasuk WWF menunjukkan bahawa jika aktiviti pembalakan itu diurus dengan sempurna, ia dapat menghasilkan sumber pendapatan secara mapan apabila impak terhadap hutan bakau dapat dikawal.

Lantaran itu, WWF sentiasa merancang meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk setempat mengenai kepentingan hutan paya bakau dalam kehidupan mereka menerusi pelbagai program pendidikan dan penerangan. Seperti yang dikatakan Ahli Biologi WWF, Norulhuda Nasir yang terbabit dalam kegiatan pemuliharaan dan kempen kesedaran penduduk mengenai hutan bakau di Kampung Mangkuk, kesedaran penduduk adalah teras utama dalam memastikan kejayaan program pemuliharaan bakau.

Sebab itulah, Norulhuda menjelaskan inisiatif penduduk di Kampung Mangkuk dan Pengkalan Gelap, Setiu adalah sesuatu yang sangat positif dengan menanam semula bakau bagi memastikan kelestarian sumber itu.

"Begitu juga di Kertih, pembabitan pihak swasta yang mengambil inisiatif bersama Persatuan Alam Sekitar menyemai kesedaran menanam semula bakau di sekitar perairan Kertih dengan kerjasama Optimal Group juga dilihat sebagai satu langkah proaktif mengembalikan semula khazanah marin yang sebelum ini terancam kerana banyak hutan bakau sudah ditebus guna bagi tujuan pembangunan," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua kawasan berkenaan mempunyai perbezaan tersendiri daripada segi tarikan atau pendorong untuk menanam semula. Di Pengkalan Gelap, dorongan untuk menanam semula bakau tercetus setelah mereka sedar bahawa hasil tangkapan ikan meningkat selepas usaha pelbagai pertubuhan menanam semula di kawasan tertentu, selain hasil yang penduduk peroleh daripada penjualan benih bakau ke seluruh negara.

Sementara di Kampung Mangkuk, penduduk turut terbabit sama dalam penanaman semula bakau setelah mereka sedar hakisan pantai akan menjejaskan ikhtiar hidup mereka pada masa depan terutama jika muara Sungai Setiu menjadi semakin tohor.

Program meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat di sini sudah mula menunjukkan kesan yang semakin positif dan mereka kini yakin dan percaya khazanah hutan paya bakau perlu dipulihara dan dikekalkan bagi memastikan alam sekitar terus seimbang dan mampu menjana pendapatan nelayan setempat yang kebanyakannya bergantung kepada sumber marin.

Hasil daripada program pemuliharaan komuniti yang dijalankan WWF di kawasan Setiu umpamanya yang telah dijalankan sejak tahun lalu, menunjukkan hasil yang sangat positif apabila lebih 1,700 anak bakau jenis kurup sudah ditanam di kawasan pesisir pantai berhampiran muara Sungai Setiu oleh penduduk setempat, kata Pegawai Komuniti WWF Setiu, River Foo.

Penanaman semula pokok bakau adalah penting bagi menjamin keseimbangan ekologi kerana penebangan pokok bakau menyebabkan kehidupan marin terjejas selain berlakunya perubahan keadaan geofizikal pantai dan pesisiran sungai sekali gus memberi kesan ekonomi dan sosial kepada masyarakat, tambahnya.

Sebagai contoh, penduduk di Kampung Gong Batu dan Pengkalan Gelap yang menjadi perintis penanaman semula bakau melalui kerjasama dan inisiatif badan bukan kerajaan, sudah mula melihat hasil daripada usaha yang mereka laksanakan.

Pengusaha akuakultur di kawasan lagun Kampung Gong Batu sebelum ini sangat merasai kesan daripada kegondolan kawasan bakau yang menjejaskan kualiti air sehingga menyebabkan kematian ternakan ikan. Justeru, penduduk mengambil langkah bagi memastikan ekosistem dan kepelbagaian bio di kawasan itu sentiasa terkawal dan terpulihara kerana hutan paya bakau turut menjadi habitat semula jadi bagi beberapa spesies ikan dan ketam.

Lantaran kejayaan proses pemuliharaan yang membabitkan penduduk seperti di Setiu dan Kertih, maka Terengganu boleh menjadi negeri contoh dalam melaksanakan usaha ini kerana sesuatu kejayaan itu pasti lebih manis jika usaha ke arah perubahan itu dicetuskan sendiri masyarakat setempat. Kejayaan ini seharusnya bukan hanya boleh dilakukan dalam pemuliharaan paya bakau tetapi juga wajar dikembangkan dalam pelbagai aspek lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA

Ubah strategi Ops Sikap?

OPS Sikap datang dan pergi bersama-sama dengan sejumlah nyawa yang terkorban dengan statistik nahas kemalangan yang terus meningkat dan menyayat hati semua pihak. Agensi kerajaan seperti PDRM, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya, MIROS dan sebagainya telah pun memainkan peranan mereka ditahap paling optimum yang mampu mereka lakukan untuk mengatasi ataupun mengurangkan kecelakaan ini.

Semua pihak secara terus-terang dan hampir sebulat suara membuat kesimpulan bahawa sikap pemandulah antara punca utama kemalangan yang berlaku. Memang benar sikaplah menjadi dalang utama di sebalik semua kejadian yang tidak diingini ini berlaku, namun sebagai manusia yang waras kita perlu juga mengkaji dan menyiasat kesemua kemalangan yang berlaku ini dari segenap aspek dan sudut supaya mendapat gambaran yang lebih menyeluruh.

Saban tahun program Ops Sikap dilancar mengikut keperluan semasa, program dan kempen kesedaran juga semakin rancak dilaksanakan, kajian demi kajian juga dilipatgandakan untuk mengatasi masalah ini namun apa hasilnya dan di mana silapnya? Apa yang pasti jutaan wang ringgit terpaksa dibelanjakan ataupun dibazirkan untuk tujuan tersebut kerana hampir semuanya seolah-olah berakhir dengan kegagalan.

Telah terbukti sehingga ke saat ini strategi mengadakan pelbagai kempen dan hukuman berat ternyata tidak dapat mengubah sikap pemandu kita. Ini kerana buktinya makin kita menghukum semakin bertambah jumlah kemalangan yang berlaku.

Maka kita perlu menukar strategi dengan mengolah pelan jangka panjang dan jangka pendek dengan menggunakan kaedah yang lebih sistematik dan berhemah agar gejala ini dapat dicantas dari peringkat akar umbi lagi.

Antara pelan jangka panjang yang boleh dipertimbangkan ialah:

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membantu memperkenalkan mata pelajaran Etika Pemanduan dan Undang-Undang Jalan raya di peringkat sekolah menengah ataupun seawal sekolah rendah lagi jika difikirkan sesuai.

Mata pelajaran ini diajar dalam bentuk teori dan amali supaya anak-anak muda ini diberi pendedahan yang secukupnya terutamanya dari aspek praktikal dalam dunia yang sebenar tentang etika pemanduan dan sikap yang betul semasa berada di atas jalan raya serta bahaya yang wujud semasa memandu jika berlaku kecuaian.

Pengaruh para guru terhadap anak murid juga dilihat cukup signifikan justeru ia boleh banyak membantu dalam hal ini untuk memupuk nilai-nilai murni dan etika pemanduan yang betul sejak di bangku sekolah lagi.

Mungkin tidak keterlaluan untuk dicadangkan agar subjek-subjek sebegini dijadikan subjek wajib lulus untuk memperoleh sijil PMR mahupun SPM.

Ibu bapa tidak boleh lari dari tanggungjawab hakiki mereka mendidik dan membentuk anak-anak mereka.

Lumrahnya manusia perlu dididik seawal zaman kanak-kanak lagi supaya minda dan tingkah laku mereka dapat dibentuk seperti yang kita hajatkan. Perubahan sikap pula tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Justeru sekolah dan rumah adalah tempat yang paling sesuai untuk tujuan tersebut. Pendidikan awal di sekolah dan rumah tentang aspek keselamatan ini pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam sanubari setiap remaja kita.

Pelan jangka pendek yang boleh dilaksanakan dengan serta merta:

Cadangan menaikkan lagi had umur bagi mendapatkan lesen memandu motosikal dan kereta misalnya kepada 21 tahun untuk motosikal dan 25 tahun untuk kereta. Memang perlu diakui ini merupakan satu cadangan yang agak 'kejam' dan mungkin juga 'zalim' bagi sesetengah pihak namun apa lagi pilihan yang kita ada dalam erti kata untuk mengawal kecelakaan ini dari peringkat akar umbi lagi.

Statistik menunjukkan golongan penunggang motosikal dan belia merupakan mangsa utama kemalangan jalan raya di negara ini. Umur 21 tahun ke atas dilihat lebih rasional dalam membentuk seorang pemandu yang lebih matang dan berdisiplin di atas jalan raya.

Tambahan pula, tindakan penguatkuasaan dan hukuman seperti mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar belakang serta menaikkan jumlah denda dan kompaun dilihat masih tidak mampu menyekat golongan ini dari terus menjadi mangsa di atas jalan raya. Sehinggakan Ketua Polis Negara merumuskan bahawa hukuman mati sekalipun tidak akan mengubah tabiat buruk pengguna jalan raya yang degil dan rakus.

Keadaan jalan raya perlu dibaiki dan dinaik taraf sewajarnya mengikut keperluan semasa. Walaupun secara keseluruhannya keadaan jalan raya di negara kita boleh dibanggakan malah ada yang menyamakan dengan beberapa buah negara maju namun masih terdapat beberapa buah jalan baik jalan persekutuan, jalan kampung mahupun lebuh raya yang dilihat mampu membahayakan pengguna.

Kemalangan jalan raya sudahpun menjadi satu masalah yang besar kepada kita, malah tidak hairan suatu hari nanti diisytihar darurat jalan raya ataupun penggunaan kenderaan terpaksa dicatu demi mengurangkan bilangan nyawa dari terus menjadi korban jalan raya.

Keadaan itu tidak mustahil untuk menjadi realiti kerana trend semasa menunjukkan bilangan rakyat Malaysia yang membeli kenderaan semakin bertambah dan ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi peluang berlakunya lebih banyak lagi kemalangan jalan raya pada masa-masa akan datang.

Justeru semua pihak yang berkenaan terutamanya KPM, sekolah serta ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing bagi membendung masalah ini dari terus berleluasa.

Hanya pendidikan awal di sekolah dan rumah sahaja yang dilihat mampu menyelamatkan nyawa anak-anak kita.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

DILEMA TUGAS GURU

Tugas tambahan jejas keupayaan guru

Oleh Azrul Affandi Sobry

Penambahan jawatan staf sokongan amat penting untuk beri fokus tugas mengajar

AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka.

Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.

Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.

Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti 'sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'.

Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.

Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.

Justeru, tak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer.

Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya. Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera.

Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah.

Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab.

Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal.

Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data.

"Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain.

"Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.

"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya.

Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar.

"Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu. Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka.

"Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini. Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Isnin, 28 September 2009

MASA DALAM KEHIDUPAN SEORANG MUSLIM

Kehidupan manusia adalah bergantung kepada penggunaan masanya. Oleh itu, Islam amat mengambil berat tentang masa dan memberitahu manusia bahawa setiap detik masanya adalah amat berharga. Sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya nilai masa dalam Islam dengan Allah sendiri bersumpah dengan masa dalam firman-Nya yang selalu didengar;

وَالْعَصْرِ(1)إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ(2)إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ(3)
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat- menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat- menasihati supaya menetapi kesabaran”. (al-‘Asr: 1-3)

Dalam ayat di atas Allah bersumpah dengan masa bagi menunjukkan kepada manusia sekeliannya bahawa masa menjadi saksi terhadap berjaya atau gagalnya manusia, untung atau ruginya mereka. Manusia yang berjaya dan beruntung ialah manusia yang memanfaatkannya masanya di dunia (untuk beriman, beramal soleh, melaksanakan perintah Allah dan sebagainya bagi bekalan ke akhirat) dan manusia yang gagal dan rugi ialah manusia yang mensia-siakan masanya.

Imam asy-Syafi’ie pernah dalam satu ungkapannya berkata tentang surah ini;
لَوْ تَدَبَّرَ النَّاْسُ هَذِهِ السُّوْرَةَ لَوَسِعَتْهُمْ
“Jika manusia memerhati dan mengambil pengajaran dari surah ini, maka memadailah bagi mereka”.

Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. memberi galakan kepada kita supaya memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Sabda baginda;

اغتنم خمسا قبل خمس: حياتك قبل موتك، وصحتك قبل سقمك، وفراغك قبل شغلك، وشبابك قبل هرمك، وغناك قبل فقرك

“Manfaatkanlah lima masa sebelum datang lima masa;
1) Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu
2) Masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu
3) Masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu
4) Masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu.
5) Masa kamu kaya sebelum datang masa kamu ditimpa miskin.
(Hadis riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu Abbas r.a.)

Bahkan di akhirat nanti, manusia akan dihisab setiap detik masa yang ia lalui di dunia; bagaimana ia gunakannya? Adakah ke arah kebaikan atau kejahatan? Adakah ia manfaatkannya atau ia sia-siakannya? Inilah yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda;

لا تزول قدما عبد حتى يسأل عن عمره فيما أفناه، وعن علمه فيم فعل فيه، وعن ماله من أين اكتسبه وفيم أنفقه، وعن جسمه فيم أبلاه
“Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba Allah (dari tempat hisab di padang mahsyar) sebelum ia ditanya berkenaan;
1. Umurnya (yakni masa-masa di sepanjang umurnya); bagaimana ia habiskannya?
2. Ilmunya; bagaimana ia amalkannya?
3. Hartanya; dari mana ia perolehi dan cara mana ia belanjakannya?
4. Tubuh-badannya; bagaimana ia gunakannya?
(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Barzah Nadhlah ibn ‘Abid al-Aslami)

Imam asy-Sya’rani ketika mengulas tengtang hadis ini dalam kitabnya al-‘Uhud al-Muhammadiah, berkata; “Inilah empat perkara pokok yang akan ditanya setiap hamba mengenainya (di akhirat). Adapun yang selainnya adalah perkara-perkara cabang/sampingan sahaja”.

Memandangkan bahawa masa amat penting dalam Islam, maka seorang muslim hendaklah memberi perhatian bersungguh-sungguh terhadap masa. Ia hendaklah membina kesedaran yang tinggi terhadap penjagaan masa dan menggunakannya semaksima mungkin untuk mencapai cita-cita dan matlamat hidup sebagai seorang muslim dan mukmin untuk kebahagiann duniawi dan ukhrawi.

Perlunya mujahadah untuk mendidik diri menghargai masa

Namun, perlu kita sedari bahawa seorang insan itu tidak akan berjaya memanfaatkan masanya sebaik mungkin tanpa mujahadah kerana ia berdepan dengan dua musuh utama (dalaman dan luaran) yang sentiasa meruntunnya untuk leka dan lalai di dunia dan mensia-siakan waktunya. Dua musuh itu ialah;

1. Hawa nafsu
2. Syaithan

Hawa nafsu adalah musuh yang paling mencabar bagi manusia kerana ia berada di dalam dirinya. Hawa nafsu adalah teman setia manusia yang sentiasa mendampinginya ke mana sahaja ia pergi. Namun hawa nafsulah yang bakal akan menghancurkan manusia jika manusia tidak hadapinya dengan mujahadah.

Ada beberapa tabi’at buruk yang menjadi faktor kegagalan kita menggunakan masa dengan sebaiknya sebagaimana yang dituntut agama;

1. Tidak mengetahui atau tidak menyedari; apa matlamat kehidupan kita di atas muka dunia ini? Kenapakah Allah menjadikan kita di atas muka dunia ini?

2. Sikap malas, sambil lewa, tidak bertanzim, sukakan kerehatan, leka, lalai, membuang waktu dan sebagainya.

3. Tidak mengetahui al-aulawiyat (keutamaan-keutamaan) dalam hidup; mana perkara-perkara yang penting yang perlu diberi perhatian? dan mana pula perkara-perkara yang tidak penting yang perlu diketepikan?

4. Tabiat suka bertangguh

Semua tabi’at buruk di atas mesti dihadapi oleh kita dengan bermujahadah terhadap diri sendiri. Bermujahadah bermaksud melatih diri dengan sifat-sifat yang baik dan mengekangnya dari menurut hawa nafsu. Orang yang bermujahadah tidak akan membiarkan dirinya dikontrol hawa nafsunya, sebaliknya dialah yang mengkontrol hawa nafsunya.

Dengan mujahadah, kita mesti melatih dan memaksa diri supaya;

1. Memastikan matlamat hidup dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
2. Membuang sikap malas, leka, lalai dan sebagainya tadi.
3. Memberi perhatian kepada perkara-perkara al-aulawiyat (utama/penting) dalam hidup.
4. Membuang sikap suka bertangguh.

Rasulullah s.a.w. pernah berpesan memperingatkan kita;

نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس: الصحة، والفراغ
“Dua nikmat (kuniaan Allah) yang seringkalikebanyakan manusia tertipu (kerana mensia-siakannya) iaitulah; nikmat sihat dan nikmat kelapangan”. (Hadis riwayat Imam Bukhari, at-Tarmizi dan Ibnu Majah dari Ibnu Abbas r.a.)

Seorang tokoh sufi terkenal Ibnu ‘Athaillah as-Sukandari dalam kitabnya yang masyhur iaitu al-Hikam mensifatkan tabiat suka bertangguh adalah tanda kebodohan yang ada pada diri seseorang. Ia berkata;

إحالتك الأعمال على وجود الفراغ من رعونات النفس
“Menunda/menangguh amal perbuatan(kebaikan) kerana menantikan kesempatan yang lebih baik merupakan suatu tanda kebodohan yang mempengaruhi jiwa”.

Seorang hukama’ Islam pernah menasihatkan kita;

لا تؤجل إلى الغد ما يمكنك أن تعمله اليوم
“Janganlah kamu menunda/menangguh sampai besok apa yang dapat engkau kerjakan hari ini”.

Imam Hasan al-Basri pernah berkata; “Apabila terbit sahaja fajar pada hari baru, ia akan menyeru manusia; ‘Wahai anak Adam! Aku adalah adalah makhluk yang baru. Aku akan menjadi saksi ke atas apa yang kamu lakukan. Gunakanlah aku untuk berbekal dengan beramal soleh. Sesungguhnya aku (apabila berlalu) tidak akan kembali lagi hinggalah menjelangnya kiamat” .

Bagaimana membahagikan waktu?

Seorang muslim mestilah tahu membahagikan masanya mengikut kewajipan yang tertanggung di atas bahunya. Seorang tokoh Islam abad ini, al-Imam asy-Syahid Hasan al Banna berkata;

“Kita diperintahkan supaya mengguna dan membahagikan masa bagi empat tujuan ;
1.Untuk agama iaitu melakukan ketaatan kepada Allah merangkumi yang wajib/fardhu dan yang sunat-sunat.
2. Untuk mencari rezki yang halal bagi menyara diri dan keluarga.

من أمسى كالا من عمل يده أمسى مغفورا له
"Siapa yang berpetang dalam keadaan penat kerana bekerja/berusaha dengan tangan sendiri maka ia berpetang dalam keadaan dikurniakan keampunan baginya" (Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Abbas r.a.) 3. Untuk berkhidmat kepada manusia dengan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah bagi mereka.

Sabda Nabi(s.a.w);
من مشي في حاجة أخيه كان كمن اعتكف في مسجدي هذا شهرا
“Sesiapa yang berjalan(untuk keluar) memenuhi hajat saudaranya ia seolah-olah beriktikaf di masjidKu ini(iaitu masjid Nabawi) selama sebulan”. 4.Untuk kerehatan badan.

Sabda Nabi(s.a.w); فإن لبدنك عليك حقا
"Sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu".

Syeikh Tantawi al-Jauhari berpesan kepada kita;

“Apabila munculnya siang maka buatlah penyusunan terhadap kerja-kerja-yang akan kamu lakukan pada hari itu mengikut masanya dan jangan melakukan sesuatu kerja bukan pada masanya. Ikutilah perancangan kamu yang awal dan jadikan riadhah/bermain pada masanya yang khusus. Ambillah contoh/teladan daripada Nabi kita(s.a.w) iaitu baginda membahagikan masanya kepada beberapa bahagian; -Satu bahagian untuk ibadah -Satu bahagian untuk manusia iaitu mengajar mereka... -Satu bahagian untuk diri baginda sendiri....."(Syeikh Tantawi Jauhari;kitab "ميزان الجواهير" )

Sumber : http://koleksi-alqalam.blogspot.com/

Ahad, 27 September 2009

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA

Sukarnya mendidik pengguna jalan raya

Oleh Manja Ismail


OPS Sikap setiap tahun belum dapat mengurangkan jumlah kemalangan maut negara ini

Proses belajar memandu di Malaysia perlu diperkemas

SEBANYAK 16 lagi kematian dicatatkan pada hari ke-14 Ops Sikap XX kelmarin, menjadikan jumlah korban nahas jalan raya musim perayaan kali ini meningkat kepada 238 orang. Jumlah korban kali ini adalah antara tertinggi sejak Ops Sikap diperkenalkan bagi mengurangkan kadar kematian ketika musim perayaan, lapan tahun lalu. Jumlah kematian tertinggi pernah dicatatkan dalam operasi itu ialah ketika Ops Sikap III. Pada fasa pertama Ops Sikap III bermula 29 November 2002, 280 kematian dicatatkan, manakala pada fasa kedua bermula 20 Disember tahun sama, 238 pengguna jalan raya maut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, melahirkan rasa sedih dan kesal kerana selepas begitu banyak operasi termasuk Ops Sikap setiap tahun, ia belum dapat mengurangkan jumlah kemalangan maut di jalan raya negara ini. Beliau menyalahkan sikap pengguna jalan raya yang tidak menghormati undang-undang lalu lintas sebagai punca utama masalah itu seperti dibuktikan oleh perangkaan Ops Sikap kali ini.

Katanya, semua usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, khususnya pada sepanjang musim perayaan di negara ini tidak akan mendatangkan faedah jika masyarakat, termasuk pemimpin politik tidak berubah sikap dan komited dalam menjayakan matlamat itu.

Kita turut berkongsi pandangan dengan kekesalan yang diluahkan oleh Ketua Polis Negara itu. Undang-undang sudah ada dan pelbagai kempen keselamatan jalan raya dilancarkan, tetapi pemandu tetap ingkar dan lalai. Walaupun angka kematian sering kali dikaitkan dengan kadar pertambahan kenderaan di jalan raya, ia bukanlah alasan untuk kita berasa lega. Dengan ribuan nyawa terkorban kerana kemalangan setiap tahun, jalan raya di negara ini sudah bertukar sebagai perangkap maut.

Bagaimanapun jalan raya tidak bersalah, malah taraf dan mutu keselamatannya sentiasa dipertingkatkan. Lebuh raya di negara ini adalah antara yang terbaik di dunia, manakala teknologi kenderaan sentiasa memberi penekanan kepada ciri-ciri keselamatan. Begitu juga dengan pelbagai undang-undang dan penguatkuasaan peraturan lalu lintas.

Jadi yang bersalah bukan jalan, kenderaan atau peraturan tetapi pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan. Langkah kerajaan untuk memasang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 831 lokasi seluruh negara bagi mengesan kelajuan secara automatik, tanpa perlu meletakkan anggota polis trafik seperti diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan kelmarin, belum menjamin dapat mendisiplinkan pemandu di negara ini jika pengalaman sebelum ini dijadikan ukuran. Daripada meletak patung polis trafik, memasang papan tanda statistik kemalangan sehinggalah kepada pemasangan kamera, ia ternyata belum cukup untuk mendidik pemandu di negara ini mematuhi peraturan lalu lintas. Malah, saman dan denda yang lebih berat pun tidak dihiraukan oleh kebanyakan pemandu.

Barangkali satu cara yang mungkin berkesan tetapi mengambil masa yang lama ialah melalui pendidikan supaya menggunakan jalan raya secara berhemah sejak di bangku sekolah rendah lagi. `Melentur buluh biarlah dari rebung`. Hanya dengan pendidikan, budaya menghargai nyawa dan menghormati undang-undang ketika menggunakan jalan raya, dapat dibentuk pada masa depan.

Sehingga budaya itu wujud, pihak berkuasa boleh menimbangkan cadangan dan maklum balas pelbagai pihak bagaimana untuk menangani masalah ini. Antaranya ialah lesen pemandu tegar yang sering melanggar peraturan jalan raya khususnya menyebabkan kematian dibatalkan serta-merta terutama membabitkan pemandu pengangkutan awam seperti lori dan bas ekspres.

Selain itu, tidak kurang juga menganggap proses belajar memandu dan mendapatkan lesen di negara ini, yang dianggap longgar, perlu diperkemaskan. Perbandingan boleh dibuat antara kaedah pembelajaran memandu di Malaysia dengan negara maju yang berjaya mengurangkan kadar kemalangan seperti Jepun dan United Kingdom. Seorang pembaca, Mohammad Yusmin Mat Jusoh, yang pernah tinggal lama di United Kingdom, dalam e-mel kepada penulis bersetuju kurikulum belajar memandu di negara ini tidak mencukupi dalam melahirkan pemandu berhemah.

"Saya memiliki lesen memandu UK dan Malaysia. Saya dapati dari segi latihan memandu untuk ujiannya, lesen UK lebih berkualiti. Di UK, saya belajar cara untuk mengelak atau mengesan kemalangan ketika memandu tetapi tidak di Malaysia. Cara untuk mengambil posisi di bulatan juga tidak dititikberatkan. Secara jujur saya terkejut bila adik saya boleh lulus ujian memandu (di Malaysia), sedangkan dia selepas itu masih tidak cekap memandu," katanya.

Apa pun, paling penting, keprihatinan pelbagai pihak mengenai kadar kematian dicatatkan pada Ops Sikap kali ini tidak sekadar berakhir dengan tamatnya operasi itu semalam dan hanya muncul semula pada Ops Sikap musim akan datang. Hakikatnya, kadar kematian harian nasional sebanyak 18 orang dan kadar kematian harian musim perayaan 23 orang sebelum Ops Sikap dimulakan, masih tinggi berbanding jumlah kematian harian dicatatkan sepanjang dua minggu lalu. Justeru, janganlah kita hanya bersuara dan melahirkan kebimbangan sekadar menyemarakkan publisiti ketika Ops Sikap tetapi diam tanpa berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Jika pelbagai pihak benar-benar mengambil pengajaran daripada beberapa siri awal Ops Sikap dulu, tentunya operasi itu tidak diperlukan sehingga 20 siri semalam dan entah berapa lagi nanti.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Plagiat jejas imej, integriti pendidikan

AKTIVITI plagiat adalah budaya negatif dan amat merbahaya kepada dunia intelektual negara jika tidak dibendung sebijak mungkin. Kegiatan tidak bermoral ini jika dibiarkan boleh menjadi barah kepada institusi pengajian tinggi (IPT) negara dan mampu meruntuhkan institusi ini dalam jangka panjang tanpa kita sedari.

Aktiviti plagiarisme seperti yang dilaporkan di media massa ketika ini bukanlah perkara baru di dalam sejarah penulisan dan pendidikan negara, namun begitu perhatian dan tindakan serius perlu diambil bagi menangani epidemik intelektual ini agar tidak terus menular.

Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan plagiat sebagai mencedok kata-kata, idea dan sebagainya daripada orang lain dan menggunakannya sebagai karya sendiri, tiruan atau menciplak.

Manakala menurut Wikipedia, plagiarisme ialah mengakui tulisan orang sebagai tulisan sendiri; mengakui gagasan orang lain sebagai pemikiran sendiri; mengakui penemuan orang lain sebagai kepunyaan sendiri; mengakui karya kelompok sebagai kepunyaan atau hasil sendiri, menyajikan tulisan yang sama dalam kesempatan yang berbeza tanpa menyebutkan asal-usulnya, meringkas dan memparafrasakan dengan mengutip secara tidak langsung tanpa menyebutkan sumbernya; meringkas dan memparafrasakan dengan menyebut sumbernya, tetapi rangkaian kalimat dan pilihan katanya masih terlalu sama dengan sumbernya.

Manakala hal-hal yang tidak tergolong sebagai plagiarisme pula ialah menggunakan informasi yang berupa fakta umum; menuliskan kembali dengan mengubah perkataan atau parafrasa pendapat orang lain dengan memberikan sumber jelas dan mengutip tulisan orang lain dengan memberikan tanda batas jelas kutipan tersebut dan menuliskan sumber asalnya.

Aktiviti plagiarisme adalah melibatkan etika dan moral penulisan di mana penulis adalah bertanggungjawab ke atas apa yang ditulis serta memberikan pengiktiran sewajarnya kepada hasil penulisan orang lain sewajarnya.

Bagi menangani masalah plagiarisme yang semakin menular, pihak universiti diminta tidak berkompromi dengan pensyarah atau pelajar yang melakukan plagiat atau menciplak tesis kerana ia boleh mencemarkan imej institusi pengajian tinggi di negara ini dan langkah-langkah pencegahan perlu diambil segera kerana jika dibiarkan, gejala tersebut akhirnya akan melahirkan pensyarah serta siswazah yang tidak berkualiti, kurang kompeten dan tidak berdaya saing.

Walaupun masalah ciplak atau plagiat yang dilakukan oleh pensyarah dan pelajar universiti negara ini masih kecil, namun mereka yang terlibat perlu dikenakan tindakan yang keras. Ini adalah penting bagi memastikan kajian ilmiah atau tesis yang dihasilkan adalah asli, berkualiti dan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh universiti bagi membolehkan seseorang pelajar misalnya benarbenar layak menerima ijazah serta bersedia memasuki alam pekerjaan.

Masalah plagiat untuk menyiapkan tesis atau kertas kerja hanya boleh ditangani jika pihak universiti berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga memantau masalah kronik dunia intelektual ini.

Pihak universiti mesti tegas dan mengambil tindakan terhadap penuntut yang menggunakan penulis profesional untuk menyiapkan tesis atau kajian akademik mereka, tidak kira sama ada dari universiti awam atau swasta.

Teknologi maklumat dan lambakan laman web memudahkan instrumen ini disalahgunakan di dalam aktiviti plagiat dan oleh yang demikian, perisian komputer seperti Word Check System, Turnitin, Scan My Essay dan lain-lain yang banyak diaplikasikan oleh universiti di seluruh dunia dilihat sangat berkesan dalam memastikan kewujudan elemen plagiarisme dalam penyediaan kajian ilmiah, tesis dan penulisan akademik lain secara atas talian.

Kerajaan juga mesti tegas memberi amaran untuk menarik balik ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) pelajar IPT atau pensyarah yang menipu dengan mengupah orang lain secara profesional menyiapkan tesis mereka.

Perkara ini perlu demi memelihara dan menjaga nama baik bukan sahaja universiti tempat mereka mengikuti pengajian, malah imej negara.

Semua pihak perlu memandang serius gejala ini dan kegagalan menanganinya boleh menjejaskan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau di samping reputasi, imej dan integriti universiti tercemar dan jatuh merudum dengan isu serius ini.

Dalam menangani aktiviti ini, kebanyakan kes penipuan dikenal pasti oleh pihak ketiga yang menggunakan kajian terdahulu sebagai rujukan. Biasanya pensyarah-pensyarah boleh kenal pasti apabila merujuk kajian-kajian terdahulu yang telah dibuat oleh graduan dalam penghasilan tugasan seperti kertas kerja dan kajian ilmiah.

Ini adalah kerana negara memerlukan idea dan perspektif yang baru dan lebih bersifat tempatan dalam merangka dasar pembangunan dan bukan pandangan yang diciplak daripada penerbitan asing.

Banyak keputusan kerajaan terutamanya dalam penentuan dasar banyak bergantung kepada kajian-kajian universiti.

Sehubungan itu, melihat kepada bahaya dan kesan negatif budaya plagiarisme di dalam korpus intelektual dan pendidikan negara, maka usaha untuk menanganinya hendaklah dilakukan secara menyeluruh dan komprehensif.

Pemahaman serta kesedaran yang tinggi berkenaan impak aktiviti negatif ini perlu didedahkan sejak di bangku sekolah rendah lagi dan dipanjangkan ke peringkat sekolah menengah dan peringkat matrikulasi atau kolej agar gejala ini tidak lagi menjadi barah di dalam IPT.

Ini adalah kerana di samping boleh menjejaskan imej, integriti dan kualiti IPT, budaya ini turut mempengaruhi minda dan psikologi para pelajar universiti secara tidak langsung di mana pelajar yang melakukan kegiatan tidak bermoral ini akan terus dibelenggu rasa bersalah, malu dan hilang keyakinan diri.

Ini jika tidak dikawal akan memberi kesan yang tidak baik kepada proses pembelajaran mereka dan tabiat buruk ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam pekerjaan kelak.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Kaedah Membentuk Anak-anak Cemerlang

# Mulakan hidup anak dengan panggilan nama yang baik. Panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak malu dan berasa rendah diri.# Berikan anak pelukan setiap hari kerana kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan kebijaksanaan minda atau otak yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.

# Pandanglah anak dengan pandangan kasih sayang (pandangan ini akan membuatkan anak lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran).

# Berikan peneguhan setiap kali anak berbuat kebaikan (berilah pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

# Jangan harapkan anak yang belum matang melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan itu membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuk melakukan kesilapan.

# Apabila berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga (ini kerana anak-anak akan terus membesar sedangkan masa terus berlalu dan tidak akan kembali).

# Dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, ibu bapa jangan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

# Dengarlah cerita anak kerana cerita itu tidak akan dapat didengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (ini akan mengajar anak mengenai giliran untuk bercakap).

# Tenangkan anak setiap kali mereka memerlukannya.

# Tunjukkan kepada anak cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

# Buat sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut hari lahirnya. Sediakan hadiah yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak belajar menghargai. (Anak-anak yang lahir daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

# Kemungkinan anak menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan anda mengajar mereka lebih daripada sekali.

# Luangkan masa bersama anak di luar rumah, pegang tangan anak-anak apabila berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan berasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

# Dengar mimpi ngeri anak-anak. Mimpi ngeri mereka begitu realistik dalam dunia mereka.

# Hargai permainan kesayangan anak. Pada masa sama, mereka akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Minta kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

# Jangan membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam.

# Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

# Terimalah hakikat yang kadangkala anda bukan ibu bapa sempurna. Ini akan mengurangkan tekanan menjadi ibu bapa.

Sumber : http://rapatkansaf.blogspot.com/