Khamis, 1 Oktober 2009

Melayu patut agungkan bahasa sendiri

Jami'ah Shukri

SEGELINTIR rakyat di negara ini masih malu, rendah diri dan tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu sedangkan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ia bahasa kebangsaan lebih lima dekad lalu.

Lebih parah, orang Melayu sendiri bukan saja segan bercakap dalam bahasa Malaysia, malah lebih selesa mengagungkan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan rasmi, mesyuarat dan aktiviti lain. Apa akan jadi jika senario itu berterusan terutama kepada generasi kini yang banyak terdedah kepada bahasa penjajah itu. Mahukah bahasa Melayu turut pupus seperti bahasa Latin, Sanskrit dan Jawa yang suatu ketika dulu begitu diagungkan oleh masyarakatnya?

Hakikatnya, rakyat negara ini patut berbangga kerana bahasa Melayu antara lima bahasa terbesar dunia selepas bahasa Inggeris, Cina, Hindi dan Sepanyol yang dituturkan masyarakat global. Ketika ini, lebih 300 juta orang bertutur bahasa Melayu di seluruh dunia dengan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura menjadikannya bahasa rasmi.

Justeru, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berfungsi sebagai badan menyebar luas dan memartabatkan bahasa Melayu, sejak 1960-an sudah menjalankan pelbagai program memberi kesedaran rakyat terhadap bahasa kebangsaan itu bermula dengan Minggu Bahasa Kebangsaan, Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Bulan Bahasa dan Sastera Negara dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Sepanjang lima dekad DBP tanpa jemu mengadakan kegiatan seperti forum, pidato, sayembara puisi dan pantun serta debat membabitkan pelbagai peringkat di sektor kerajaan dan swasta.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, menegaskan sepanjang 1960 hingga 2003, kesedaran orang ramai terhadap memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam apa juga kegiatan dan urusan dianggap amat baik.

Bagaimanapun, sejak tiga empat tahun lalu, penggunaannya semakin merosot dengan program seperti membabitkan institusi kewangan dan insurans mengutamakan bahasa Inggeris.

Dalam bidang perniagaan dan perdagangan, bahasa Inggeris lebih banyak digunakan dan ini dilihat tidak melambangkan jati diri rakyat Malaysia. Tambah parah, apabila kerajaan sebelum ini, melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah rendah dan menengah.

“Keadaan ini sekali gus memberi persepsi negatif masyarakat yang menganggap kerajaan tidak menekankan kepada penggunaan bahasa Melayu. Bagaimanapun, keputusan kerajaan sekarang memansuhkan PPSMI adalah tepat dan langkah bijak ke arah memartabatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga sepatutnya terus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan, papan tanda dan pertuturan supaya pelancong dapat merasakan berada di Malaysia.

Malangnya, apa yang dilihat, masih ada pelancong tidak begitu merasakan mereka benar-benar berada di negara yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Ini berbanding dengan Perancis, Thailand, China dan Korea yang terserlah identiti dan imej negara berkenaan yang dipaparkan menerusi papan tanda bertulis bahasa ibunda dan rakyatnya bercakap bahasa rasmi mereka.

Namun, Termuzi berkata, sepanjang tempoh enam tahun terutama ketika pelaksanaan PPSMI, DBP terus memainkan peranannya untuk meningkatkan kesedaran, kecintaan serta memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ilmu menerusi Bulan Bahasa Kebangsaan.

DBP juga menghantar pekeliling sebagai peringatan kepada agensi kerajaan yang mengetepikan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan sebagainya.

Beliau berkata, kempen secara berterusan berkaitannya akan diaktifkan sepanjang masa khususnya pada Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober setiap tahun.

Oleh itu, Bulan Bahasa Kebangsaan bagi tahun ini akan dilancarkan dengan kerjasama kerajaan Sarawak di Stadium Perpaduan Kuching oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa depan akan membawa mesej jitu Bahasa Jiwa Bangsa.

Termuzi dapati ada orang Melayu sendiri yang rasa rendah diri menggunakan bahasa ibunda, sedangkan kita perlu tahu bahasa itu adalah yang kelima terbesar di dunia iaitu dengan 300 juta penutur.

“Berbanding negara lain, bahasa Melayu tidak ketinggalan dan bukan dianggap kolot. Ketika ini, bahasa Inggeris dituturkan kira-kira 1.5 bilion orang di seluruh dunia diikuti China (1 bilion); Hindi (700 juta) dan Sepanyol (350 juta)."

“Mengapa kita harus malu bertutur bahasa Melayu yang sudah sampai ke peringkat bahasa ilmu. Sudah 20 tahun ia menjadi bahasa penghantar utama di sekolah rendah hingga ke peringkat universiti,” katanya.

Beliau juga tidak hairan jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa berkaitan isu ini, tidak mustahil ia akan pupus atau mati dengan sendirinya. Sebenarnya, 6,000 bahasa dituturkan di seluruh dunia. Bagaimanapun ia dilihat semakin berkurangan dan sesetengahnya sudah pupus.

“Mungkin disebabkan ketidakprihatinan rakyat sendiri, kini hanya 20 bahasa dianggap sebagai bahasa rasmi apabila 50 juta orang bertutur dalam bahasa itu,” katanya.

Termuzi berkata, kekuatan bahasa Melayu yang diamalkan di negara ini juga hebat kerana ramai pakar sains dan teknologi di negara ini daripada aliran Melayu.

Kini 1,073 pakar dilahirkan dalam bidang fizik, kimia, biologi dan kedoktoran sejak 20 tahun lalu. Jika dilihat dari segi penerbitan buku, 1,082 buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu diterbitkan DBP dan institusi pengajian tinggi.

“Pensyarah juga mesti menyampaikan syarahan dalam bahasa Melayu. Di Universiti Kebangsaan Malaysia, 19 syarahan perdana dibuat dalam bidang sains dan teknologi. Oleh itu, bahasa itu mampu menjadi bahasa ilmu,” katanya.

Apa yang penting penggunaan bahasa Melayu tidak akan menjadikan negara mundur. Sejarah sudah membuktikan, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea dan China berada pada puncak kemajuan dan kemodenan walaupun mereka menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa ilmu.

Bagaimanapun bagi negara yang menggunakan bahasa penjajah seperti Amerika Selatan, Asia dan Afrika pula tidak nampak maju dan seakan statik pada kedudukannya tersendiri.

Sumber : http://www.bharian.com/

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA

Kenal pasti punca perubahan sikap pemanduan

PENYEBAB kegagalan Ops Sikap yang kita sering dengar ialah sikap pemandu itu sendiri. Oleh itu, ‘sikap’ telah dituduh sebagai penyebab utama kegagalan operasi murni kerajaan.

Saya yang berkecimpung secara serius dan mendalam mentadbir dan mengkaji pembangunan sains teknologi perlumbaan kereta dan motosikal, terpanggil untuk memberi pendapat namun tidak berminat berbincang mengenai jumlah kemalangan dan kematian yang dihasilkan oleh sikap-sikap pemandu di Malaysia masa kini.

Apa yang perlu dikerjakan sekarang ialah kajian dan kaedah mengelakkan ‘punca’ sikap itu sendiri. Mencegah itu lebih baik daripada merawat – selalu kita dengar ayat keramat ini namun mungkin kaedah pelaksanaannya kurang tepat.

Pada pendapat saya, kaedah-kaedah ‘bijak’ yang digunakan dalam sains dan teknologi sukan bermotor boleh diketengahkan untuk diguna pakai oleh masyarakat umum.

Untuk tidak disalah anggap, bukanlah faktor ‘kelajuan’ dan ‘keberanian’ yang dimaksudkan kerana itu adalah punca datangnya sikap ego serta mudah tersinggung dan akhirnya membawa padah dan kecelakaan.

‘Kebijaksanaan’ pemandu dan penunggang ialah satu-satunya kaedah terbaik yang dapat membawa ke arah pembaikpulihan. Oleh itu, persediaan rapi semua aspek termasuk fizikal dan mental secara bijak oleh setiap pemandu dan penunggang motosikal adalah keutamaan bagi membasmi kemalangan di jalan raya.

Mungkin sesetengah pihak sudah terlepas pandang atau tidak tahu bahawa jika sesebuah kenderaan itu telah terlebih muatan seperti memenuhkan boot simpanan barangan atau bilangan penumpang yang lebih daripada biasa.

Ingat, di samping tangki minyak yang penuh, kenderaan tersebut perlu dipandu dengan cara yang berbeza daripada kebiasaan.

Kita perlu membrek dengan lebih awal dan perlu mengambil selekoh dengan lebih perlahan. Dengan bebanan dan berat yang lebih daripada biasa ini juga menyebabkan kenderaan itu akan berkurangan tenaga untuk memotong kenderaan lain dan ini mampu menyebabkan kemalangan akibat berat dan bebanan luar daripada kebiasaan.

Momentum pergerakan kenderaan itu sudah berbeza apabila ia tidak dapat berhenti cepat seperti dikehendaki dan tidak dapat mengambil selekoh dengan cekap seperti biasa. Jika pemandu tidak sedar dengan realiti ini, mereka sangat terdedah dengan kemalangan.

Saya senaraikan secara ringkas antara faktor ‘penyebab’ sikap buruk pemandu dan penunggang motosikal di atas jalan raya.

1. Pemakanan dan cara hidup yang tidak normal di musim perayaan.

Tidak cukup tidur dan rehat. Pengambilan gula, karbohidrat dan makanan berlemak secara berlebihan menyebabkan otak menjadi lembap, leka dan lalai.

Meminum kopi atau apa-apa yang mengandungi kafein serta merokok terutamanya pengambilan yang lebih daripada biasa akan membuatkan kita menjadi lebih teruja dan peka, namun tanpa disedari kita menjadi lebih mudah gementar, mudah terkejut serta kekok dan mudah melatah hinggakan otak gagal berfungsi dengan bijak dan efisien.

2. Papan-papan iklan di sepanjang jalan raya dan lebuh raya secara tidak langsung mengganggu konsentrasi pemanduan pengguna jalan raya. Iklan-Iklan menarik di radio juga mengganggu konsentrasi.

Pengguna telefon bimbit secara lebih kerap bagi melayani kemeriahan perayaan akan memburukkan keadaan.

3. Menggunakan kasut dan pakaian baru tidak sesuai untuk pemanduan dan tunggangan bagi perjalanan jarak jauh.

Pengisian barangan di dalam boot belakang tidak disusun dengan betul atau lebih muatan.

Cockpit atau ruang tempat duduk pemandu sarat dengan perkakasan dan aksesori yang tanpa disedari telah mengganggu konsentrasi pemandu.

4. Segelintir pemandu atau pemilik kenderaan tidak mampu menyelenggara kenderaan mereka dengan cara terbaik.

Tidak mampu dari segi kewangan. Tidak mampu dari segi masa yang terhad akibat kerja baik pulih kenderaan pada saat-saat akhir.

Penyelenggaraan kereta atau motosikal dibuat sendiri dengan pengetahuan dan perkakasan kerja yang serba kekurangan.

5. Kos perbelanjaan yang tinggi hingga mengganggu jiwa atau perasaan sangat teruja dan berbesar hati untuk menghadapi kemeriahan perayaan membuatkan sikap manusia ini berubah seketika di musim perayaan.

Terjemahkanlah dengan bijak dan positif pendapat-pendapat ringkas ini. Jika anda sudah tidak sayangkan nyawa sendiri, sekurang-kurangnya sayangilah nyawa orang lain.

Presiden
Motorsports Association of Perak

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN (PERANAN PIBG)

Apa sumbangan ibu bapa kepada sekolah?

KETIKA Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa sering bertanya mengenai apakah yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk perkembangan minda dan sahsiah anak-anak mereka.

Namun, pernahkah para ibu bapa bertanya apa pula sumbangan kita kepada sekolah tempat anak kita mencari ilmu?

Lebih dua bulan lalu, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan agar kita mencontohi masyarakat Cina dalam memberi sumbangan kepada sekolah demi kemajuan pendidikan anak-anak.

Cadangan itu amat wajar memandangkan sikap sesetengah ibu bapa yang begitu berkira untuk mengeluarkan wang demi pendidikan anak-anak. Ini terbukti apabila untuk mengutip yuran tahunan sekolah pun kerajaan perlu melakukannya dengan penuh diplomasi.

Pada kesempatan tertentu seperti hari terbuka sekolah atau hari sukan atau ketika mesyuarat agung PIBG, pernahkah kita melihat-lihat persekitaran sekolah untuk mengenal pasti kekurangan yang ada dan membaikinya? Pernahkah kita terfikir untuk menderma secara sukarela kepada tabung PIBG agar aktiviti bermanfaat dapat dijalankan demi kebaikan anak-anak kita?

Pernahkah kita terfikir untuk mewakafkan sesuatu untuk kegunaan semua murid di situ?

Dalam salah satu mesyuarat jawatankuasa PIBG di sekolah anak penulis, seorang bapa telah bermurah hati untuk mendermakan sembilan daun pintu tandas setelah mendapati sembilan tandas murid di sekolah itu tidak berpintu.

Ada juga hikmahnya bapa murid ini menemani anaknya ke tandas ketika hadir mesyuarat itu.

Mengapa tandas-tandas itu dibiarkan tidak berpintu sedangkan ia melibatkan isu aurat dan privacy ketika ke tandas - agak sukar difahami oleh penulis. Menurut pihak sekolah, mereka telah melaporkan perkara itu ke Pejabat Pelajaran. Namun, tiada tindakan diambil sehinggalah pintu-pintu tandas itu didermakan oleh seorang bapa dan dipasangkan oleh bapa murid lain.

Kemurahan hati kedua-dua orang bapa tadi ternyata memberi sumbangan yang besar kepada sekolah dan memberikan keselesaan kepada semua murid di sekolah tersebut.

Bayangkan jika semua ibu bapa murid di sekolah ini bersikap pemurah dan ringan tangan seperti kedua-dua bapa tadi. Pelbagai kemudahan akan dapat disediakan dan para pelajarnya akan mendapat manfaat yang begitu besar sekali.

Secara umumnya, umat Islam faham bahawa agama Islam mengagungkan ilmu.

Menuntut ilmu menjadi kewajipan setiap umat Islam. Menuntut ilmu itu amat digalakkan sehingga dalam sebuah hadis disebut bahawa Allah akan memudahkan satu jalan untuk ke syurga bagi mereka yang keluar untuk menuntut ilmu.

Sikap mengutamakan ilmu oleh Islam ini juga jelas apabila ia meletakkan golongan yang berilmu pada satu kedudukan yang tinggi (Surah al-Mujadalah: 11).

Ganjaran dunia dan akhirat yang dijanjikan oleh Allah ini bukanlah untuk mereka yang menuntut ilmu dan yang memiliki ilmu sahaja, tetapi juga kepada mereka yang membelanjakan hartanya untuk ilmu, perkembangan ilmu serta bagi tujuan orang lain mendapatkan ilmu.

Ini kerana apa-apa perbelanjaan yang dikeluarkan atas nama ilmu yang bermanfaat, ia dianggap sebagai perbelanjaan ke jalan Allah. Maka, mengapa kita begitu sukar untuk menyumbang kepada sekolah anak-anak?

Sebenarnya, ada banyak cara untuk menyumbang kepada sekolah anak-anak kita. Bagi yang berduit, mereka boleh menderma. Namun, pada pandangan penulis, kita tidak perlu tunggu kaya sebelum kita boleh menyumbang dalam bentuk wang. Apa yang lebih penting ialah kemahuan.

Kalau dalam sebuah sekolah itu setiap ibu atau bapa boleh dermakan RM1 sebulan untuk setiap anak, sebuah sekolah yang memiliki 1,000 murid akan mempunyai dana tambahan sebanyak RM1,000 setiap bulan. Ia bersamaan RM12,000 dana tambahan setahun.

Macam-macam yang boleh dibuat oleh sekolah dengan duit sebanyak ini untuk perkembangan minda dan sahsiah anak-anak kita.

Mereka yang ada ilmu dan kemahiran tentang sesuatu pula, boleh berkongsi ilmu dan kemahiran itu dengan para pelajar melalui kelas-kelas tambahan atau aktiviti tertentu.

Sebagai contoh, di kaca TV kita selalu menonton watak bapa yang menjadi jurulatih kepada pasukan bola sepak anaknya. Banyak lagi ruang lain yang boleh digunakan untuk memberikan sesuatu ilmu atau kemahiran kepada murid-murid di sekolah anak-anak kita.

Peluang ini juga merupakan satu lagi saluran untuk kita merebut ganjaran daripada Allah. Seperti yang kita maklum, semua amalan kita akan terhenti bila kita meninggal dunia, kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan.

Maka, seandainya kita secara sukarela memberi sesuatu ilmu dan kemahiran kepada murid-murid di sekolah tersebut dan mereka pula menggunakannya sepanjang hidup mereka, maka selama itulah amalan kita tidak akan terputus.

Cara lain untuk menyumbang adalah dengan memberikan sesuatu perkhidmatan.

Misalnya, seperti si bapa yang memasangkan daun pintu tadi. Beliau mungkin tiada wang untuk didermakan, tetapi beliau ada kemahiran untuk disumbangkan. Ibu bapa yang ada kemahiran seperti ini boleh menawarkan diri kepada pihak sekolah. Contohnya, apabila ada paip pecah atau tersumbat dan sebagainya, pihak sekolah boleh menggunakan khidmat mereka untuk membaiki kerosakan-kerosakan seumpama itu dan mengembalikan keselesaan kepada semua pengguna di sekolah itu, khususnya para pelajar.

Marilah kita mengubah sikap kita terhadap pihak sekolah. Daripada semata-mata mengharapkan sekolah melakukan keajaiban kepada anak-anak kita, apa kata kita bantu mereka untuk melakukan keajaiban itu? Kita boleh bantu dengan wang, dengan ilmu dan kemahiran, juga dengan sesuatu perkhidmatan.

Dalam kes pintu tandas tersebut, jika wujud kemurahan hati dan keringanan tulang di pihak ibu bapa, berserta koordinasi yang baik dari pihak sekolah, penulis yakin masalah itu akan dapat diatasi lebih awal lagi.

PENULIS ialah Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Rabu, 30 September 2009

ISU SOSIAL : Dilema perdagangan manusia


AKTIVITI perdagangan manusia merupakan antara jenayah tertua. Ia juga dianggap sebagai suatu industri universal dan tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi.

Laporan Perdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan, kegiatan perdagangan manusia di negara itu melibatkan keuntungan antara AS$1 bilion hingga AS$3 bilion (RM3.5 bilion hingga RM10.5 bilion) setahun.

Dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 orang menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia dengan sekitar 14,500 hingga 17, 500 daripadanya diperdagangkan di AS setahun.

Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggap perdagangan manusia sebagai industri jenayah yang menjana keuntungan sekitar AS$5 bilion hingga AS$9 bilion (RM17.5 bilion hingga RM31.5 bilion) setahun.

Isu perdagangan manusia kini menjadi antara fenomena yang mengancam banyak negara. AS telah menggubal undang-undang perdagangan manusia iaitu Akta Perlindungan Mangsa Penyeludupan dan Keganasan 2000.

Akta itu telah memperluaskan konsep perdagangan manusia dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terlibat.

Malaysia juga telah meluluskan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) bagi menangani isu tersebut.

Kewujudan akta ini telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa dan mengenakan hukuman dengan peruntukan penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM500,000.

Sejajar dengan pengenalan akta tersebut, kerajaan turut menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang (MAO) yang berfungsi untuk menyelaraskan dasar dan melaksanakan ATIP.

Walaupun Laporan Antipemerdagangan Orang 2007 (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia sebagai antara 16 negara berprestasi buruk dalam menangani isu ini, kewujudan ATIP dan MAO akan membuktikan komitmen negara dalam usaha membanteras fenomena ini.

Persidangan Serantau Mengenai Penyeludupan, Perdagangan Manusia dan Jenayah Antara Negara di Bali pada Februari 2002 telah menunjukkan komitmen bersepadu antara negara-negara Asia Pasifik.

Persidangan itu sepakat untuk membentuk kerjasama terutama dalam aspek perkongsian maklumat, kepakaran dan undang-undang yang seragam bagi memastikan aktiviti tersebut dapat dibendung di peringkat akar umbi.

Mereka juga menganggap penyeludupan dan perdagangan manusia bukan sahaja melanggar hak sesebuah negara malah ia menimbulkan pelbagai masalah selain menjejaskan hubungan diplomatik antara negara.

Namun begitu, dalam memperkatakan mengenai isu ini, ramai yang masih keliru di antara konsep penyeludupan dan perdagangan orang.

Menurut UN Convention Transnational Organised Crime (2000), penyeludupan ialah apabila seseorang memasuki sesebuah negara secara haram dengan melakukan pembayaran dalam bentuk wang atau faedah lain kepada pihak-pihak tertentu.

Sementara itu, Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 pula mendefinisikan perdagangan orang sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi.

Bagi pengertian eksploitasi pula Seksyen 2 telah mendefinisikan ia sebagai segala bentuk eksploitasi sama ada seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian atau aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia.

Daripada definisi di atas, terdapat beberapa perbezaan ketara antara perdagangan dan penyeludupan manusia.

Hubungan antara penyeludup dan orang yang diseludup akan berakhir apabila seseorang itu dihantar ke destinasi yang dikehendaki oleh mangsa dan unsur pengeksploitasian tidak perlu dibuktikan sebagai sabitan kepada kesalahan tersebut.

Apa yang pasti penyeludupan orang akan melibatkan rentas sempadan sesebuah negara secara haram.

Kesanggupan mangsa untuk membayar sejumlah wang menunjukkan bahawa migrasi mereka adalah benar-benar terdesak dan mereka menjangka mendapat keuntungan berlipat kali ganda di negara destinasi.

Pada 1993, seramai 300 imigran dari China telah diseludup ke New York dengan menggunakan kapal Golden Venture. Setiap mereka membayar sebanyak AS$30,000 hingga AS$40,000 kepada ejen penyeludupan.

Kebanyakan mereka telah berjaya mengaut keuntungan sehingga mampu membina rumah besar dan mewah di negara asal.
Perdagangan orang pula tidak semestinya mereka yang terlibat perlu merentas sempadan sesebuah negara tetapi ia juga boleh berlaku secara domestik. Contohnya dalam isu kerja paksa.

Ia tidak semestinya melibatkan pekerja asing sahaja tetapi boleh diambil kira nasib pekerja tempatan yang dieksploitasi oleh majikan.

Status kemasukan mangsa perdagangan orang boleh berlaku sama ada secara sah atau tidak. Tetapi bagi aktiviti penyeludupan statusnya sudah tentu tidak sah. Apa yang penting dalam isu perdagangan orang ialah wujudnya unsur-unsur eksploitasi dan paksaan terhadap mangsa.

Oleh itu, jika dilihat dalam kes Siti Hajar Sadli, pembantu rumah Indonesia yang dikatakan telah didera oleh majikan bukan sahaja boleh menggunakan peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah (KAJ) tetapi juga peruntukan dalam Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP).

Kesalahan perdagangan orang tidak melibatkan unsur-unsur sukarela antara mangsa dengan orang yang memperdagangkan.

Ia juga tidak melibatkan sebarang bentuk ganjaran atau caj perkhidmatan seperti aktiviti penyeludupan.

Untuk tujuan pendakwaan dan sabitan, mangsa perlu dibuktikan telah dipaksa dan dieksploitasi. Unsur-unsur paksaan dan pengeksploitasian boleh wujud sama ada sebelum, semasa atau selepas proses perdagangan orang itu berlaku.

Dengan itu, adalah sukar pihak berkuasa untuk bertindak pada peringkat awal kerana ia perlu menentukan mangsa telah dieksploitasi atau sebaliknya.

Bagaimanapun, tidak dinafikan aktiviti penyeludupan boleh menjadi proses awalan kepada aktiviti perdagangan manusia. Ini kerana selalunya kesalahan penyeludupan orang mempunyai potensi untuk menjadi sebahagian aktiviti perdagangan manusia.

Justeru itu, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu ini ialah komitmen jitu dan pelaksanaan strategik supaya ia tidak menjadi "tin kosong" dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan.

Pelaksanaan perlu dilengkapi dan disokong dengan aspek perundangan yang tersusun, kakitangan yang komited dan kewangan yang mantap.

Ini kerana tanpa elemen-elemen tersebut adalah sukar untuk kerajaan mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam pelan induk mengenai antiperdagangan orang.

Apa yang pasti mangsa-mangsa perlu diberikan perlindungan sebaik mungkin tanpa mengira agama, gender, bangsa dan negara asal.

Di samping itu, setiap negara juga perlu menandatangani memorandum perjanjian di bawah PBB supaya kos pemulihan dan penguatkuasaan boleh ditanggung bersama jika salah seorang - mangsa atau penjenayah - melibatkan rakyat mereka.

Perjanjian itu akan membuatkan semua negara lebih serius untuk menangani isu ini.

Oleh itu, aktiviti ini boleh disekat sejak dari negara sumber lagi dan mengurangkan beban kepada negara destinasi serta menggalakkan migrasi secara sah.

PENULIS ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Antarabangsa, UUM

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU BENCANA ALAM


Wujudkan segera sistem amaran awal bencana

GEGARAN akibat gempa bumi di Sumatera petang semalam turut dirasai di sekitar Kuala Lumpur. Mereka yang berada di bangunan tinggi berasa cemas akibat kesan gegaran daripada gempa bumi itu.

Keyakinan bahawa Malaysia adalah kawasan yang bebas daripada ancaman bencana alam perlu dikaji semula.

Sejak kejadian tsunami pada 2004, tekanan tektonik mula aktif di negara ini dan ia menyebabkan kekerapan kejadian gempa bumi. Gegarannya pun kerap memberi kesan psikologi kepada mangsa yang terlibat.

Sesungguhnya, tsunami Disember 2004 masih diingati dan dirasai oleh segelintir rakyat kita. Apatah lagi kini berlaku tsunami akibat gempa bumi yang kuat di Kepulauan Pasifik. Tsunami itu telah menenggelamkan dan meragut puluhan nyawa penduduk di Samoa dan Tonga.

Bumi nampaknya kembali tidak stabil. Selepas gempa bumi di Lautan Pasifik, ia melanda pula Sumatera.

Di Vietnam pula berlaku banjir besar di bahagian tengah negara itu kelmarin sebelum ia dilanda Taufan Ketsana yang turut menyebabkan huru-hara di Filipina.

Kita bersyukur Malaysia terlindung daripada malapetaka seumpama itu.

Tetapi kita tidak boleh leka kerana tempiasnya masih boleh menyebabkan rakyat kita menjadi mangsa.

Sejak beberapa tahun, kawasan-kawasan tertentu di negara kita turut berlaku gegaran, malah gempa bumi kecil juga sudah muncul di Bukit Tinggi, Pahang.

Maka keluarlah kenyataan pihak tertentu yang meminta supaya rakyat tidak panik.

Lalu mereka menyatakan telah mengambil langkah tertentu untuk memantau kejadian gempa bumi dan memberi amaran awal serta kaedah untuk menyelamatkan diri.

Tetapi sehingga hari ini di mana poster atau risalah kaedah serta cara-cara bertindak bagi memastikan keselamatan sekiranya berlaku gempa bumi atau gegaran di bangunan tinggi di Malaysia?

Latihan meningkatkan kesedaran dan kemahiran orang ramai menghadapi bencana termasuk gempa bumi dan tsunami pun tidak kedengaran atau dijalankan lagi.

Barangkali kita masih tercari-cari kaedah untuk memberi pendidikan asas sebagai persediaan dan kewaspadaan untuk mendepani bencana alam seumpama ini.

Rakyat Malaysia mesti diajar cara untuk melindungi diri jika berlaku bencana alam. Di negara maju dan Asia Timur, persediaan menghadapi gempa bumi telah menjadi budaya sejak kecil. Anak-anak kecil mereka sudah terbiasa dengan bunyi siren amaran awal yang dipasang di persisiran pantai.

Pelajar sekolah diingatkan melindungi diri di bawah meja apabila gegaran berlaku sebagai langkah keselamatan diri mengelak objek berterbangan.

Sebaliknya anak-anak kita, bila banjir ia menjadi semacam pesta. Kalau ada pun latihan kecemasan cuma melatih murid-murid sekolah cara untuk keluar segera dari bilik darjah jika loceng kebakaran berdering.

Jika Malaysia semakin peka terhadap aspek kesedaran mengenai bahaya gempa bumi, kita perlu adakan sistem amaran awal untuk menyiapkan mental dan fizikal rakyat terhadap keselamatan diri.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU JENAYAH AKADEMIK

Pemegang PhD palsu perosak imej ilmuwan

Oleh Dr Jerniri Amir


SESEORANG perlu melakukan penyelidikan, pembacaan yang luas dan mendalam jika ingin mencapai tahap pendidikan tertinggi. - Gambar hiasan

Manusia gila gelaran jejas reputasi tokoh, sarjana tulen

BEBERAPA tahun lalu, seorang teman yang sudah mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) cuba 'membantu' saya dengan menawarkan cara mudah untuk mendapatkan PhD. Lelaki berusia 40-an itu memberitahu, saya tidak perlu menulis tesis dan kertas kerja atau menghadiri kuliah. Memadai jika saya membayar RM15,000 untuk mendapatkan ijazah tertinggi itu, malah beliau bersedia untuk menaja saya dengan membayar yuran berkenaan.

Katanya, majlis konvokesyen akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Di dalam bilik pejabatnya, saya dapati ijazah PhD miliknya dipaparkan di dinding dengan menggunakan bingkai yang mahal, manakala di kiri kanan diperaga pula gambar beliau menerima ijazah daripada universiti luar negara yang turut dihadiri bekas timbalan menteri.

Beberapa hari berturut-turut, teman dan beberapa syarikat mengucapkan tahniah, dengan membayar sampai sehalaman iklan dalam akhbar tempatan di Sarawak, berhubung kejayaannya mendapatkan PhD itu. Sebenarnya, syarikat itu ialah miliknya sendiri. Tujuan ucapan tahniah itu adalah bagi memberitahu seluruh dunia bahawa dia sudah mendapat PhD dari luar negara.

Sesudah itu, beliau pun menggunakan gelaran itu di pangkal namanya tanpa rasa bersalah dan malu, manakala masyarakat turut terpengaruh dan menggunakan gelaran berkenaan. Beliau ialah usahawan yang tidak lulus SPM pun dan tidak tahu bagaimana menulis esei akademik. Saya juga pernah melihat tesis PhD yang ditulis oleh seorang yang dianugerahi ijazah PhD palsu itu, dan ternyata 'tesis' itu didapati tidak menepati ciri dan kriteria tesis PhD, termasuk cara menulis biografi dan kutipan yang tidak betul.

Malah, standardnya tidak pun sampai latihan ilmiah ijazah sarjana muda. Tetapi, seperti rakan tadi, dia juga menggunakan gelaran PhD dan diberi ucapan tahniah oleh rakannya, kerana dia juga adalah orang yang ada kedudukan dalam masyarakat.

Menggunakan gelaran sosial dan gelaran akademik seperti Datuk, PhD, dan sebagainya sudah menjadi satu kegilaan di Malaysia. Kalau dapat lagi panjang gelaran itu lagi bagus kerana seolah-olah menyerlahkan kehebatan, meskipun kita hairan apakah sumbangan dan jasa besarnya sehingga memungkinkan dia diberi anugerah Datuk.

Malah, kini ada yang sanggup menggunakan gelaran profesor. Sesungguhnya, tidak kira usahawan, ahli politik, pakar motivasi atau penyanyi, mereka seboleh mungkin ingin digelar Dr atau Datuk, malah kalau dapat gelaran Datuk dan Dr sekali gus, lagi bagus. Ya, bukan tiada pakar motivasi dan usahawan di negara ini yang menggunakan gelaran Datuk dan Dr palsu.

Ketika lelaki pertama tadi menawarkan jalan ekspres untuk saya mendapatkan PhD, saya sebenarnya sedang gigih melakukan penyelidikan dan penulisan, dengan membaca hampir semua buku dalam bidang yang saya selidiki, iaitu hubungan media dan politik untuk PhD saya. Tidak keterlaluan dikatakan, selagi ada buku berkenaan di rak buku di mana-mana perpustakaan dan Amazon.com, pasti akan ditelaah dan dibeli.

Perjalanan yang dilalui adalah sukar, panjang dan berliku-liku sebelum akhirnya, selepas lima tahun baru saya berjaya meraih ijazah tertinggi itu. Jadi, bagaimanakah, ada orang yang dapat meraih PhD dalam tempoh kurang daripada tiga bulan, tanpa perlu melalui proses dan saringan yang sepatutnya?

Bagi komuniti akademik, mereka amat mengutamakan nilai kesarjanaan, keintelektualan dan keilmuan dan bukannya gelaran mudah.Yang diutamakan ialah sumbangan baru kepada korpus ilmu yang diselidiki meskipun proses itu memakan masa, tenaga dan wang ringgit. Kesungguhan menekuni disiplin ilmu dalam bidang kepakaran menjadi tunjang kegiatan. Calon perlu melalui proses kerapian akademik yang rumit membabitkan pelbagai peringkat, termasuk membentangkan cadangan dan hasil penyelidikan serta penulisan berkali-kali, membetulkannya, menghadiri kursus kaedah penyelidikan, menghadiri tempoh minimum, dan menghadiri viva atau ujian lisan, sebelum diperakukan oleh pihak senat universiti.

Justeru, untuk mendapatkan PhD tulen, seseorang perlu melakukan penyelidikan, pembacaan yang luas dan mendalam, mempersembahkan dapatan dan analisis kajiannya mengikut format dan piawaian ditetapkan, bukannya sekadar mengemukakan resume atau rencana yang dihasilkan.

Sudah tentu, seperti dinyatakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, kita tidak mahu lahirnya ilmuan palsu dan pemegang gelaran palsu dalam masyarakat. Adakah kita mahu dilabelkan sebagai masyarakat yang hanya mengejar gelaran sosial dan akademik palsu tanpa memikirkan kesan dan implikasinya kepada diri, masyarakat dan negara?

Hasrat kita untuk menjadikan negara ini sebagai hub kecemerlangan pendidikan serantau tentu akan terjejas jika gejala ini tidak dibendung. Jika gejala ini dibiarkan, golongan pemegang gelaran palsu ini akan merosakkan reputasi dan imej pemegang gelaran Datuk dan Dr yang tulen. Bagi ilmuwan tulen, detik mendapat PhD hanya langkah pertama untuk perjalanan jauh yang terbentang sedangkan bagi ilmuwan palsu dengan ijazah palsu, itu adalah titik akhir.

Mereka adalah umpama kerbau yang membawa lumpur, yang boleh menyebabkan yang lain terpalit. Kita tidak boleh membiarkan hanya kerana nila setitik, maka rosak susu sebelanga. Seperti perbuatan penipuan yang lain, usaha mendapatkan Datuk dan PhD palsu dapat dianggap sebagai satu jenayah.

Kita tidak harus membiarkan mereka yang ada kedudukan dan duit dalam masyarakat merosakkan nilai dan prinsip. Mereka yang ada prinsip dan etika, tidak akan mudah tergoda oleh gelaran palsu. Mungkin mereka boleh menipu orang lain, tetapi sampai bilakah mereka boleh menipu diri sendiri, isteri dan anak?

Penulis ialah pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Selasa, 29 September 2009

ISU ALAM SEKITAR

Hutan bakau aset penting lindungi pesisiran pantai

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my

Usaha pemuliharaan perlu berterusan jamin ekosistem kekal seimbang

MEMUPUK kesedaran menjaga dan memulihara khazanah alam terutama hutan paya bakau di kalangan masyarakat, termasuk menjelaskan kepentingan perlunya ia dipulihara bukan satu tugas mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi dan padu daripada pertubuhan berkaitan serta masyarakat setempat.

Hutan bakau berperanan bukan saja sebagai penangkis hakisan di pinggir pantai tetapi turut bertindak sebagai penstabil kawasan pantai dan tebingan sekitarnya. Ia mampu berperanan secara efektif sebagai penahan ombak, ribut dan pasang surut air secara semula jadi.

Justeru, kesedaran menjaga khazanah semula jadi itu seperti yang dilakukan penduduk Kampung Mangkuk di Penarik, Setiu dan beberapa kawasan di Kerteh, Terengganu wajar dijadikan contoh. Ia wajar diikuti bagi memastikan kawasan pantai negara tidak terjejas dan terus kekal sebagai khazanah sumber marin negara. Sikap penduduk kawasan itu juga adalah cerminan kejayaan usaha penerangan dan kempen bersungguh-sungguh yang dijalankan beberapa pertubuhan termasuk Tabung Hidupan Liar (WWF), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan syarikat korporat yang prihatin.

Inisiatif warga Kampung Mangkuk yang melaksanakan tanaman semula bakau sebagai satu daripada usaha mereka mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin membimbangkan, juga berperanan sebagai wadah mendidik generasi muda memahami kepentingan memulihara hutan paya bakau. Hutan paya bakau adalah sempadan di antara daratan dan lautan. Keadaan pesisir pantai sering terdedah kepada ancaman hakisan akibat tindakan ombak dan arus pasang surut. Maka, hutan paya bakau berperanan menstabilkan keadaan persisiran pantai, tebingan sungai dan persekitaran kawasan dengan memberi perlindungan daripada arus pasang surut, ombak dan ribut.

Peranannya juga tidak hanya sekadar melindungi hakisan tanah tetapi mengumpulkan semula tanah yang terhakis dari laut. Ia berlaku apabila ombak menolak tanah atau lumpur dari laut ke darat dan hutan paya bakau dengan sistem akarnya yang unik dapat mengumpul tanah berkenaan dan ini adalah fenomena unik yang dapat mengekang kecenderungan laut untuk menenggelami daratan.

Selain itu, hutan paya bakau menjadi habitat beberapa spesies seperti ikan, ketam, udang dan kerang yang mana hutan ini adalah tempat hidupan berkenaan menetas dan membesar sebelum kembali ke laut. Justeru, kawasan paya bakau secara tidak langsung memberikan kesan terhadap ekonomi penduduk kerana ia mampu mencetuskan kestabilan sumber perikanan, sekali gus kehilangan hutan paya bakau akan memberikan kesan yang sangat negatif terhadap industri perikanan.

Di kebanyakan negara di Asia Tenggara dan Pasifik, hutan paya bakau dikomersialkan menerusi pengeluaran kayu untuk pembinaan, kayu api dan arang. Pengalaman yang direkodkan beberapa pertubuhan yang memperjuangkan pemuliharaan alam termasuk WWF menunjukkan bahawa jika aktiviti pembalakan itu diurus dengan sempurna, ia dapat menghasilkan sumber pendapatan secara mapan apabila impak terhadap hutan bakau dapat dikawal.

Lantaran itu, WWF sentiasa merancang meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk setempat mengenai kepentingan hutan paya bakau dalam kehidupan mereka menerusi pelbagai program pendidikan dan penerangan. Seperti yang dikatakan Ahli Biologi WWF, Norulhuda Nasir yang terbabit dalam kegiatan pemuliharaan dan kempen kesedaran penduduk mengenai hutan bakau di Kampung Mangkuk, kesedaran penduduk adalah teras utama dalam memastikan kejayaan program pemuliharaan bakau.

Sebab itulah, Norulhuda menjelaskan inisiatif penduduk di Kampung Mangkuk dan Pengkalan Gelap, Setiu adalah sesuatu yang sangat positif dengan menanam semula bakau bagi memastikan kelestarian sumber itu.

"Begitu juga di Kertih, pembabitan pihak swasta yang mengambil inisiatif bersama Persatuan Alam Sekitar menyemai kesedaran menanam semula bakau di sekitar perairan Kertih dengan kerjasama Optimal Group juga dilihat sebagai satu langkah proaktif mengembalikan semula khazanah marin yang sebelum ini terancam kerana banyak hutan bakau sudah ditebus guna bagi tujuan pembangunan," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua kawasan berkenaan mempunyai perbezaan tersendiri daripada segi tarikan atau pendorong untuk menanam semula. Di Pengkalan Gelap, dorongan untuk menanam semula bakau tercetus setelah mereka sedar bahawa hasil tangkapan ikan meningkat selepas usaha pelbagai pertubuhan menanam semula di kawasan tertentu, selain hasil yang penduduk peroleh daripada penjualan benih bakau ke seluruh negara.

Sementara di Kampung Mangkuk, penduduk turut terbabit sama dalam penanaman semula bakau setelah mereka sedar hakisan pantai akan menjejaskan ikhtiar hidup mereka pada masa depan terutama jika muara Sungai Setiu menjadi semakin tohor.

Program meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat di sini sudah mula menunjukkan kesan yang semakin positif dan mereka kini yakin dan percaya khazanah hutan paya bakau perlu dipulihara dan dikekalkan bagi memastikan alam sekitar terus seimbang dan mampu menjana pendapatan nelayan setempat yang kebanyakannya bergantung kepada sumber marin.

Hasil daripada program pemuliharaan komuniti yang dijalankan WWF di kawasan Setiu umpamanya yang telah dijalankan sejak tahun lalu, menunjukkan hasil yang sangat positif apabila lebih 1,700 anak bakau jenis kurup sudah ditanam di kawasan pesisir pantai berhampiran muara Sungai Setiu oleh penduduk setempat, kata Pegawai Komuniti WWF Setiu, River Foo.

Penanaman semula pokok bakau adalah penting bagi menjamin keseimbangan ekologi kerana penebangan pokok bakau menyebabkan kehidupan marin terjejas selain berlakunya perubahan keadaan geofizikal pantai dan pesisiran sungai sekali gus memberi kesan ekonomi dan sosial kepada masyarakat, tambahnya.

Sebagai contoh, penduduk di Kampung Gong Batu dan Pengkalan Gelap yang menjadi perintis penanaman semula bakau melalui kerjasama dan inisiatif badan bukan kerajaan, sudah mula melihat hasil daripada usaha yang mereka laksanakan.

Pengusaha akuakultur di kawasan lagun Kampung Gong Batu sebelum ini sangat merasai kesan daripada kegondolan kawasan bakau yang menjejaskan kualiti air sehingga menyebabkan kematian ternakan ikan. Justeru, penduduk mengambil langkah bagi memastikan ekosistem dan kepelbagaian bio di kawasan itu sentiasa terkawal dan terpulihara kerana hutan paya bakau turut menjadi habitat semula jadi bagi beberapa spesies ikan dan ketam.

Lantaran kejayaan proses pemuliharaan yang membabitkan penduduk seperti di Setiu dan Kertih, maka Terengganu boleh menjadi negeri contoh dalam melaksanakan usaha ini kerana sesuatu kejayaan itu pasti lebih manis jika usaha ke arah perubahan itu dicetuskan sendiri masyarakat setempat. Kejayaan ini seharusnya bukan hanya boleh dilakukan dalam pemuliharaan paya bakau tetapi juga wajar dikembangkan dalam pelbagai aspek lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/