Rabu, 14 Oktober 2009

'Bulan bahasa, penilaian semula DBP dan sikap penutur'

Bersama Salbiah Ani

BULAN Bahasa Kebangsaan 2009 atau sebelum ini dikenali sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang menjadi wahana penting bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, tetapi sesetengah pihak melihat sebaliknya.

Kelompok itu berharap DBP tidak bersikap sepi dalam perjuangan bahasa Melayu seperti sekarang dan perlu segera keluar daripada kepompong bisu, sesuai dengan kedudukannya sebagai badan paling bertanggungjawab dalam hal memartabat dan memperkasakan bahasa.

“Malaysia ada pelbagai undang-undang berkaitan bahasa Melayu, tetapi daripada segi pelaksanaan ia mendukacitakan. Badan terbabit tampak tidak cergas dan semakin lesu dalam hal kebahasaan. Lebih menyedihkan seolah-olah mati ditelan peredaran zaman.

“DBP sepatutnya berdiri sebagai badan bebas lagi berwibawa dalam hal memperkasakan bahasa Melayu dan tidak lagi wajar diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran. Ia sepatutnya memberi arahan kepada kementerian terbabit dan bukan sebaliknya dalam hal kebahasaan.”

Ini sebahagian daripada isi hati seorang sarjana bahasa dalam melihat kemelut yang melanda bahasa Melayu pada masa kini, ketika berbincang mengenai kesesuaian gerakan bahasa sebagai acara tahunan badan terbabit, menyaksikan Kucing sebagai tuan rumah kali ini.

Tentunya ramai bersetuju bahawa dalam hal bahasa, DBP tidak lagi berbisa dan kini sepi sesepinya, seolah-olah fungsinya sudah dilupakan, baik kelompok borjuis mahupun proletariat negara ini - ada tidak menambah, tiada tidak mengurang - ditambah pula sikap sebahagian besar pegawainya sebagai ‘saya yang menurut perintah’.

Hakikat kebenaran ini dapat dilihat dalam beberapa isu semasa berkaitan bahasa, tetapi nyata DBP condong mengambil sikap berdiam diri, sedangkan hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan terkini perkara berhubung gagasan 1Malaysia yang boleh dimanfaatkan demi memanjangkan hayat bahasa Melayu...

“Mengapa tidak DBP tampil ke hadapan dalam menjelaskan hal kebahasaan di negara ini berhubung perkara terbabit? Mengapa tidak dijelaskan bahawa 1 Malaysia perlu meletakkan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa pemersatu dan perpaduan negara serta semua tanpa mengira bangsa dan pangkat, mesti menerima hakikat ini.

“Bahasa lain di negara ini terletak sebagai bahasa nombor dua dan seterusnya tanpa menafikan penguasaan lebih daripada satu bahasa perlu, apalagi bahasa Inggeris turut perlu dikuasai sebagai pelengkap menaikkan nilai daya saing dalam pasaran guna tenaga,” ujarnya.

Hendaknya langkah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengisytiharkan Oktober sebagai bulan bahasa untuk peringkat kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan selari dengan BBK, tidak diterjemah secara harfiah iaitu dihayati untuk sebulan saja sepanjang tahun!

Jika ini yang ditafsir, maka bahasa Melayu di negara ini akan terus hilang punca memandangkan ia membabitkan badan yang sepatutnya memperkasanya dan jangan hendaknya pendekatan berhemah dijadikan pilihan seperti diakui sebuah kerajaan negeri, lalu lebih 30 tahun masih gagal merealisasikan hasrat negara berhubung bahasa!

Hendaknya DBP tidak terpengaruh dengan cadangan sesetengah pihak agar badan terbabit memberi tumpuan mewara-warakan hal kebahasaan melalui media aliran baru semata-mata dengan hujah bahawa ia trend terkini yang perlu dimanfaatkan untuk bergerak seiring dengan tuntutan zaman!.

Ini kerana hakikatnya, media cetak tetap ada fungsi istimewa dalam hal kebahasaan dengan kelompok sasaran berbeza, tanpa menafikan wahana elektronik mahupun internet yang menjadi kegilaan ramai pada masa ini, tetapi kelompok ini tidak akan pernah peduli hal berhubung bahasa dan kerana itu mereka yang perlu ditarbiahkan!

“Saya tidak menafikan kelompok muda menjadikan laman sesawang sebagai sasaran capaian mereka. Orang seperti saya menjadikan media elektronik sebagai sumber utama mendapatkan maklumat dalam banyak hal. Bagaimanapun jangan lupa, masih ada kelompok yang mengisi masa luwes mereka dengan membaca akhbar,” ujar seorang teman pula.

Teman ini mempertahankan pandangannya dengan mengemukakan hujah bahawa pendatang baru dunia hiburan tanah air, Yunalis Zarai atau Yuna, tidak akan dikenali dan mampu mengembangkan sayapnya sekiranya kekal di media internet.

Penilaian semula fungsi DBP dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan @pemersatu negara ini apalagi dengan konsep 1 Malaysia perlu direnung dan dibincangkan sejujur-jujurnya tanpa mengetepikan realiti bahasa Melayu hari ini dari segi layanan rakyat Malaysia terhadapnya selaku penuturnya.

Dengan cara ini, tentunya BBK tidak tampil sebagai sekadar pesta tahunan atau acara bermusim berhubung usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu serta program utama DBP dalam mengembangkan bahasa itu tidak menjadi sekadar projek gajah putih atau menjirus air di daun keladi!

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

ISU PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DI IPT SWASTA

MQA/LAN mesti pastikan IPTS martabatkan bahasa Melayu

SAYA merupakan seorang pensyarah di sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di ibu negara. Dalam kesibukan kita membicarakan tentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), saya terpanggil untuk melontarkan isu yang hampir sama dengan PPSMI. Namun ia bukan melibatkan pelajar-pelajar di sekolah, tetapi fokusnya adalah kepada penuntut-penuntut di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

Menurut kajian saya, hampir semua IPTS yang menjadi tumpuan utama di Malaysia menjadikan bahasa Inggeris sebagai medium utama pendidikan mereka.

Hal ini sememangnya tidak dapat disangkal kerana kita sedia maklum tentang kedudukan bahasa Inggeris di Malaysia yang pada hemat saya, sudah melangkaui kedudukan bahasa Melayu yang hanya berpaut pada tiang Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Saya juga tertanya-tanya sama ada tiang tersebut kukuh atau semakin rapuh akibat terhakis dengan gelora dan gelombang kemaraan bahasa Inggeris.

Hasil kajian saya menunjukkan hampir semua bidang kursus yang ditawarkan di IPTS diajar dalam bahasa Inggeris, termasuklah subjek wajib Agensi Kelayakan Malaysia/Lembaga Akreditasi Negara (MQA/LAN). Kecuali subjek Bahasa Kebangsaan, semua subjek MQA/LAN yang lain iaitu Pengajian Malaysia, Pengajian Islam dan Pengajian Moral diajar dalam bahasa Inggeris. Persoalan saya, di manakah peranan yang dimainkan oleh pihak swasta (IPTS) dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan?

Soalan ini juga saya ajukan kepada pihak MQA/LAN. Di manakah peranan anda sebagai sebuah agensi kerajaan dalam memartabatkan Perkara 152 ini? Saya sedar tentang keperluan penggunaan bahasa Inggeris pada alaf ini. Namun sebagai bahasa rasmi di Malaysia, saya melihat kedudukan bahasa Melayu seperti tergolong dalam kelompok bahasa yang tidak diperlukan untuk bidang ilmu.

Justeru saya memohon kepada MQA/LAN, yang bertanggungjawab memberi akreditasi kepada IPTS, supaya 'meWAJIBkan' semua subjek MQA/LAN diajar dalam bahasa Melayu agar bahasa ini tidak dipandang hina hingga ia terbuang dan tidak dipandang oleh pihak IPTS.

Setidak-tidaknya bahasa Melayu masih ada ruang untuk terus digunakan walaupun agak jauh untuk melihat ia terus dimartabatkan.

'Sesuatu bahasa akan menjadi mulia jika kita mengangkat kemuliaannya dengan menggunakannya, namun ia akan menjadi hina dan terbuang jika kita meminggirkannya.'

PUTERA KELANA

Petaling Jaya, Selangor

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Bahasa Yang Difahami Dan Dihargai Semua

Oleh Zulkiple Ibrahim

Kerajaan mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran pentingnya Bahasa Kebangsaan sebagai alat memupuk perpaduan. Berikut ialah bahagian akhir daripada dua siri rencana mengenainya.

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- "Bahasa Malaysia memang senang dipelajari. Pelancong asing sepatutnya dengan mudah dapat bertutur bahasa Kebangsaan Malaysia," kata sukarelawan American Peace Corps Frank Healey kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata terdapat beberapa faktor yang turut membantu memudahkan Bahasa Malaysia dipelajari termasuk dari segi fonetik, ejaan dan nahu yang tidak rumit.

"Satu sebab yang utama, Bahasa Malaysia ditulis dalam bentuk ejaan rumi dan ini menyenangkan mereka dari negara yang berbahasa Inggeris seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand bertutur dalam bahasa itu", katanya.

Ramai juga dari kalangan ekspatriat asing di negara ini sudah pandai bertutur dalam Bahasa Malaysia, walaupun secara ringkas tapi cukup untuk difahami oleh orang yang mendengarnya.

Itulah pengalaman pemandu teksi Abu Bakar Ibrahim.

"Saya ada ambil ramai penumpang 'Mat Salleh' dan mereka pandai bertutur Bahasa Malaysia yang mudah," kata beliau.

FAHAMAN ASAS

"Warga Bangladesh dan India yang bekerja dalam sektor pekhidmatan di Malaysia pun pandai bertutur Bahasa Malaysia walapun sebutan dan penggunaannya tidak berapa tepat," kata ahli fisioterapi wanita dari Filipina, Joey Dalisay.

Menurut Dalisay, orang asing boleh bertutur Bahasa Malaysia dengan agak baik apabila beliau dapat menguasai perkataan-perkataan yang asas serta faham tentang penggunaan nahu.

Pensyarah linguistik Abdul Rasheed Abd Rahman berkata Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) ialah bahasa yang terbesar di Asia Tenggara dan antara yang paling meluas penggunaannya di Asia.

Negara yang menggunakan bahasa itu ialah Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand, Timur Leste dan beberapa kawasan di selatan Filipina.

"Bahasa ini diterima kerana mudah sebutannya dan senang untuk dikuasai apatah lagi kepentinganya dari segi impak kebudayaan dan sosial".

Kata Abdul Rasheed, Bahasa Malaysia mempunyai beberapa perkataan yang dipinjam dari bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Arab, Sanskrit, Tamil, Parsi, Portugis, Belanda dan beberapa loghat Cina.

Dalam negara ini, Bahasa Malaysia ialah bahasa untuk semua, kata Abdul Rasheed.

"Ia bahasa 1Malaysia, seperti yang dinginkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak", tambah beliau.

APA KATA ORANG MUDA?

Bila ditanya apa perasaan beliau ketika bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan rakan-rakan dari kaum lain, mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhamad Zul Azraii Zulkiple berkata:

"Saya tak pernah rasa rendah diri bila berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia. Bahkan saya berasa bangga kerana bahasa itu mencerminkan asal-usul saya. Rakan-rakan bukan Melayu pun memang fasih dalam Bahasa Malaysia," katanya.

Bagi Muhamad Zul Azraii, tiada asas untuk mengatakan sebagai 'tidak mengancam' bila berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia.

Semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan telah diarah untuk melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan Oktober tahun depan bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat akan pentingnya Bahasa Kebangsaan sebagai alat memupuk perpaduan serta bahasa komunikasi.

PEGUAM

Menurut laporan berita, hampir 80 peratus daripada 13,000 peguam di negara ini kini menggunakan Bahasa Malaysia ketika mengendalikan kes di mahkamah.

Dalam laporan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bahasa Melayu Majlis Peguam Malaysia, Muhammad Hasif Hassan berkata penggunaan bahasa kebangsaan meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini walaupun peguam menghadapi kesukaran dari sudut istilah, tatabahasa dan terjemahan.

"Penterjemahan sedikit sukar apabila istilah, tatabahasa dan laras bahasa undang-undang berbeza dengan bahasa seharian yang biasa digunakan. Bagaimanapun kami yakin dapat menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya tidak lama lagi", beliau dilaporkan berkata.

Katanya walaupun kebanyakan peguam mengikuti pengajian mereka dalam bahasa Inggeris tetapi mereka mengambil inisiatif sendiri untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan untuk prosiding mahkahmah.

BAHASA UNTUK SEMUA

Pada tahun 2007, Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa Kabinet membuat keputusan menukar istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia bagi menunjukkan bahasa itu milik semua kaum.

Menurut Najib, kerajaan sedar Bahasa Kebangsaan merujuk kepada Bahasa Melayu tetapi mahu menjadikannya sebagai bahasa untuk semua rakyat tanpa mengira lapisan masyarakat dan keturunan etnik.

"Pandangan kita (kerajaan) ialah supaya Bahasa Kebangsaan jadi milik semua.

"Kalau kita anggap ia sebagai Bahasa Malaysia, bahasa itu adalah milik kita semua. Itulah rasionalnya... untuk tujuan perpaduan, penggunaan, integriti dan bersatu hati," Najib dilaporkan berkata.

Langkah Kabinet menukar Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia dua tahun dahulu juga selari dengan konsep gagasan 1Malaysia.

APA KATA RAKYAT BIASA?

"Jika semua rakyat Malaysia menggunakan Bahasa Malaysia dalam semua rutin harian mereka, dapatlah disemai perasaan jati diri dalam diri kita semua tidak kira apa bangsa dan asal-usul", kata Jamiliah Othman, seorang jururawat.

Pusat-pusat pengajian tinggi negara telah menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya dalam kursus profesional seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan dan seni bina sejak awal tahun 1980-an.

Istilah Bahasa Malaysia diperkenal oleh Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, kerana ia mencerminkan identiti Malaysia.

BAHASA 'NEUTRAL"

Ramai menganggap Bahasa Malaysia sebagai bahasa yang 'neutral' dan tidak terikat kepada sebarang kumpulan etnik.

Bagaimanapun kata seorang pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), yang enggan dikenali, memandangkan Bahasa Malaysia asalnya daripada Bahasa Melayu, maka tidak dapat dielakkan daripada dikaitkan dengan masyarakat Melayu.

"Rakyat Malaysia telah menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan Bahasa Malaysia bukan lagi hak eksklusif orang Melayu, tetapi oleh semua rakyat di negara ini sesuai dengan apa yang dimahukan dengan konsep 1Malaysia", kata beliau.

Seperti kata seorang rakan penulis, Wee Tean Swee yang berasal dari Kelantan, beliau menggunakan Bahasa Malaysia dalam pertuturan dengan rakan-rakan sejak dari sekolah rendah lagi.

"Di rumah pun, saya akan bertutur dengan ibu bapa serta adik-beradik dengan menggunakan bahasa kebangsaan," katanya.

Sumber : Bernama

Selasa, 13 Oktober 2009

KETIKA DITIMPA MUSIBAH DAN BALA BENCANA......apa tindakan kita?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Apabila musibah menimpa kita, maka kita harus segera mengambil sikap agar beban menjadi ringan bahkan menjadi rahmat.

Pertama, apabila ditimpa musibah hendaknya kita membaca ’innaalillaahi wainnaa ilaihi raaji’uun’ (“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nyalah kita akan dikembalikan”).

Allah Ta’ala berfirman,

“iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah mereka mengucapkan“innaalillaahi wa-innaa ilaihi raaji’un”.

Rasulullah bersabda,

“Tidaklah seorang hamba ditimpa musibah lalu beristirjaa’ niscaya Allah Ta’ala akan memberi ganjaran pada musibahnya dan akan menggantikannya dengan yang lebih baik darinya”. (HR.Muslim)

Ucapan istirjaa’ mengandung pengertian bahwa diri kita, keluarga dan harta benda adalah milik Allah Ta’ala. Ketika kita lahir, kita tidak memiliki apa-apa. Demikian pula sampai kita meninggal nanti kita tidak akan membawa apa-apa. Semua itu akan kita tinggalkan dan kita tidak akan membawa sesuatu, kecuali amal solih kita. Karena itu,persiapan diri adalah mutlak untuk menghadapi hari tersebut.

Kedua, hendaknya kita yakin dengan takdir Allah Ta’ala baik dan buruknya.
Ini penting, karena keyakinan dengan rukun iman yang keenam ini akan meringankan beban kita.

Iman kepada takdir memberi kita semacam ‘kekebalan diri’ dengan kesedaran sedalam-dalamnya bahwa segala sesuatu yang telah, sedang dan akan terjadi itu telah tertulis di lauh al-mahfuzh.

Dengan demikian, apapun yang menimpa kita tetap berada di dalam bingkai kesadaran, sehingga musibah akan terasa lebih ringan.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam do’anya yang terkenal, “…anugerahkanlah pada kami keyakinan yang menjadikan musibah terasa ringan…”. (HR. at-Tirmidzi dan al-Hakim).

Allah Ta’ala berfirman, artinya,

Tiada satu bencanapun yang menimpa di muka bumi dan tidak pula pada dirimu kecuali telah tertulis pada kitab sebelum kami menciptakannya. Sunggguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu dan agar kamu tidak terlalu gembira dengan apa yang diberikan Allah padamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri”. (QS. Al-Hadiid: 22-23)

Ketika ada hal-hal yang luput, mengalami penderitaan, menghadapi kesulitan, kita tidak terlalu bersedih hati dan menjadikan kita berprasangka buruk kepada Allah.

Ketiga, hendaknya kita bersyukur karena musibah yang menimpa kita tidaklah lebih besar dari yang menimpa orang lain. Begitu banyak orang yang mendapatkan musibah jauh lebih menganaskan daripada kita.

Seberat manapun musibah dunia yang menimpa kita, yakinlah masih ada lagi yang lebih berat. Tidak sedikit orang yang sebenarnya terkena musibah tapi dia tidak menyadarinya, yakni’ tertimpa musibah dalam agamanya.

Yang mengherankan adalah tidak sedikit orang terjatuh pada musibah agama(musibah diniyah), namun ia sedikitpun tidak merasa sedih. Terjatuh pada perzinaan, makan riba, membunuh jiwa yang tidak halal, pergi ke dukun atau tukang ramal dan membenarkannya adalah di antara musibah diniyah, bahkan yang terakhir bisa menggelincirkan pelakunya dari Islam..

Itulah sebabnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kita sebuah do’a agar kita tidak terjerumus musibah ini.

Dalam do’anya baginda bersabda,

“Ya Allah jangan engkau jadikan musibah kami dalam agama kami”. (HR. Tirmidzi dan Hakim)

Keempat, hendaknya kita sedapat mungkin tidak berkeluh kesah, menggerutu atas musibah yang melanda kita.

Sebab itu semua tidak akan mengembalikan apa yang telah hilang. Berkeluh kesah juga menunjukkan seseorang tidak redha dengan takdir Allah Ta’ala. Bagi mereka yang menjaga solatnya, menjaga kehormatannya, menunaikan zakat, berimankepada Allah Ta’ala dan Hari Kemudian, maka tidak akan berkeluh kesah.

Mengeluh kepada manusia juga tidak tidak memberi banyak manfaat,karena bisa menodai kesabaran dan keredhaan. Para salafus shalih jika mereka ditimpa musibah sekecil apapun, dia langsung mengeluhkannya kepada Allah. Bahkan di antara mereka ada yang mengeluh kepada Allah karena tali sendalnya putus.

Kalau musibah mereka tergolong berat, seperti kematian anak, orang tua, kerabat dan lain-lain mereka berusaha menyembunyikannya dan tidak mengabarkannya kecuali untuk urusan memandikan, mensolatkan, dan menguburkannya.

Kelima, kita harus yakin bahwa apa yang menimpa jika kita sabar dan ridha, maka Allah Ta’ala pasti memberikan gantinya.

Allah Ta’ala akan memberi kenikmatan, berkah, kelezatan, kebaikan yang berlipat ganda.Bahkan musibah yang melanda akan menghapuskan dosa-dosa dan akan menyucikan jiwa-jiwa kita.

Allah Ta’ala berfirman, artinya,

Mereka itulah yang akan mendapatkan selawat dari Tuhannya, rahmat dan mereka itulah orang-orang yang mendapatkan petunjuk” . (QS. al-Baqarah: 157).

Semoga kita menyikapi(mengambil sikap terhadap) setiap bencana yang menimpa kita dengan baik dan benar, sabar dan redha serta selalu bersyukur kepada Allah Ta’ala, insya-Allah kita akan mendapatkan kelezatan iman.

Oleh : Fariq bin Gazim Anuz
Sumber : Hikmah dibalik Musibah (Risalah untuk orang-orang yang tertimpa musibah dan dirindung duka). al-Sofwah

ISU GEMPA BUMI DUNIA

Saintis ramal berlaku gempa lebih dahsyat


PASUKAN menyelamat bertungkus-lumus mencari mereka yang terselamat dan mengeluarkan mayat dari runtuhan bangunan dalam gempa yang melanda Padang, Indonesia, baru-baru ini.


KEADAAN di sekeliling Suci Refikawulan Sari tunggang-langgang dengan sisa runtuhan bangunan. Dia terpaksa merangkak di sebalik besi dan debu bagi mencari ruang yang membolehkan dia bernafas.

Terhimpit selama 48 jam, kakinya tersepit antara bongkah konkrit dan satu-satunya cara untuk melawan kesakitan adalah dengan memikirkan tentang bayi lelakinya yang berusia 14 bulan.

"Saya beritahu diri saya, saya perlu terus hidup. Saya ingin lihat anak saya membesar menjadi insan berguna,'' kata ibu dan guru berusia 25 tahun itu.

Suci, merupakan salah seorang daripada dua mangsa yang berjaya ditarik keluar daripada sisa runtuhan Sekolah Pragoya di Padang selepas bangunan itu roboh berikutan gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegar Padang pada 30 September lalu.

Turut selamat adalah seorang pelajarnya, Ratna Kurnia Sari, 20.

Suci dan Ratna sangat bertuah kerana mereka terselamat dalam bencana alam yang sering menggegar Indonesia, tidak seperti 704 mangsa lain yang disahkan maut.

Gempa kuat yang berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (6.16 petang waktu Malaysia), 53 kilometer ke barat laut bandar Padang itu turut mengakibatkan lebih 4,000 mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Sehari sebelumnya, satu gempa berukuran 8.0 skala Richter mencetuskan tsunami setinggi 7.5 meter di Samoa, American Samoa dan Tonga di Kepulauan Pasifik yang mengorbankan 177 nyawa.

Dunia beberapa hari kemudian terus digegarkan dengan beberapa siri gempa termasuk di Mexico beberapa hari selepas itu yang berukuran 5.6 pada skala Richter, diikuti di Taiwan serta Filipina masing-masing dengan kekuatan 6.3 pada skala Richter dan 6.5 skala Richter pada 4 Oktober lalu. Fiji turut digegarkan pada 3 Oktober dengan kekuatan 5.9 skala Richter dan bumi California sehari sebelum itu menerima gegaran dengan kekuatan 4.7 pada skala Richter.

Bagaimanapun, menurut pakar geologi, gempa bumi di Indonesia tidak mempengaruhi gegaran yang melanda negara-negara di Pasifik Selatan.

Melihatkan kepada skala gempa serta bencana itu yang sering menggegar negara jiran Indonesia, timbul persoalan mungkinkah akan berlaku gempa lebih besar yang menyamai kejadian pada 2004 yang turut mencetuskan tsunami dan mengakibatkan lebih 220,000 mangsa terbunuh di negara-negara sekitar Lautan Hindi, terutama di Acheh, Indonesia?

Saintis sebelum ini pernah mengeluarkan amaran bahawa Padang merupakan satu lokasi yang berpotensi berlaku gempa ekoran kedudukannya yang berhampiran garis sesar dan selepas gempa pada 30 September lalu, saintis meramalkan, satu gempa lebih besar mungkin akan menggegar Padang lagi.

Pakar geologi Institut Teknologi California, Kerry Sieh memberitahu bahawa Padang terletak antara dua garisan sesar yang tinggi dengan aktiviti seismik.

Saintis menyatakan bahawa gempa besar di wilayah itu berlaku disebabkan geseran plat Indo-Australia dan plat tektonik Eurasia yang bergerak menghala satu sama lain pada kadar sehingga enam sentimeter setiap tahun.

Berikutan tekanan ke atas garis sesar di Padang, satu gempa besar dengan kekuatan lebih 8.8 pada skala Richter disertai tsunami setinggi lima meter diramal berlaku di lokasi yang sama pada masa depan.

Kemungkinan berlakunya bencana itu diletakkan pada kadar 100 peratus. Walaupun tarikh gempa itu tidak dapat dijangka, yang pasti gempa lebih besar pastinya akan menyebabkan jumlah korban dan kerosakan yang lebih tinggi.

Perkara itu diakui pakar geologi Danny Hilman Natawidjaja daripada Institut Sains Indonesia yang menyatakan bahawa tekanan yang sedang membina di garis sesar ekoran siri gegaran boleh mencetuskan gempa lebih kuat jika dibandingkan dengan yang menggegar Padang pada 30 September lalu.

Beliau yang mengkaji garis sesar Mentawai berhampiran Sumatera selama 12 tahun percaya gempa yang bakal berlaku itu 30 kali lebih besar berbanding yang menggegar di Padang baru-baru ini.

Biarpun penyelidikan sains tidak dapat menentukan bilakah gempa itu akan berlaku, saintis berpendapat ia boleh terjadi pada bila-bila masa, mungkin esok, beberapa bulan atau tahun lagi, tetapi agak mengejutkan jika ia tidak berlaku dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

Berdasarkan kerosakan serta kemusnahan berskala besar akibat gempa di Padang, pihak berkuasa wilayah itu dilihat jelas tidak bersedia menghadapi bencana berkenaan yang mengakibatkan lebih 180,000 bangunan runtuh.

Indonesia yang menempatkan hampir 150 gunung berapi daratan dan dasar laut juga maklum negaranya yang terletak di Lingkaran Api Pasifik sering berhadapan bencana gempa, namun usaha bagi meminimumkan impak akibat gempa itu tidak dilakukan republik tersebut.

Misalnya, pakar geologi meramalkan Gunung Merapi antara sempadan Jawa Tengah dan Yogyakarta, dijangka meletus pada bila-bila masa. Kali terakhir Gunung Merapi meletus ialah pada Mei 2006 dan letusan itu memberi impak besar apabila 5,000 penduduk sekitar dipindahkan.

Biarpun pakar-pakar geologi mendesak kerajaan menyediakan peruntukan bagi membina bangunan yang tahan dengan impak gempa serta membesarkan jalan raya di Padang bagi memudahkan penduduk menyelamatkan diri semasa bencana berlaku, kerajaan seolah-olah tidak memandang perkara itu sebagai penting.

Apakah kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mempunyai persepsi bahawa adalah tidak berbaloi untuk membuat pelaburan besar bagi membina fasiliti dan bangunan-bangunan yang tahan impak gempa kerana ramalan gempa bumi yang dibuat biasanya tidak tepat dan berubah-ubah.

Bukan sahaja gempa, Indonesia terutamanya di Sumatera Barat boleh dianggap sebagai pusat bencana di rantau Asia Tenggara kerana ia turut menempatkan beratus-ratus gunung berapi di samping kejadian tanah runtuh yang selalu berlaku.

Dengan mengambil kira wilayah itu sebagai pusat bencana, kerajaan seharusnya memberi tumpuan lebih terutama dalam memastikan kesejahteraan serta melindungi rakyatnya daripada bencana alam.

Namun apakah punca kerajaan enggan berbuat demikian? Mungkinkah masalah jenayah rasuah yang sering diperkatakan di Indonesia merencatkan usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan khas untuk rakyat dalam menghadapi bencana?

Selain faktor kegagalan menyalurkan peruntukan oleh kerajaan untuk membina bangunan atau rumah yang lebih tahan gegaran, kerosakan serta kematian yang besar akibat gempa juga harus diletakkan kepada sistem amaran gempa yang gagal memberi amaran kepada penduduk supaya bersiap sedia menghadapi bencana tersebut.

Selepas tsunami 2004 yang mengorbankan 168,000 mangsa di Indonesia sahaja, sistem amaran bencana nampaknya lebih menumpukan kepada ramalan tsunami dan bukannya jangkaan kemungkinan berlakunya gempa.

Mungkin terlepas pandang, seharusnya tumpuan sama diberikan kepada ramalan gempa dan letupan gunung berapi kerana ia boleh mencetuskan tsunami selain boleh membawa kepada krisis kemanusiaan akibat bencana seperti krisis kekurangan bekalan makanan atau penyebaran penyakit berjangkit.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

ISU GEMPA BUMI DUNIA

KRONOLOGI GEMPA DAN TSUNAMI DUNIA

30 September 2009


Satu gempa bumi 7.6 pada skala Richter menggegar Padang di pulau Sumatera, Indonesia. Seramai 704 mangsa mati dan sehingga 4,000 terperangkap di bawah runtuhan. Gegaran sekuat 7.0 pada skala Richter menggegar bahagian selatan Sumatera beberapa jam kemudian.

29 September 2009

Tsunami besar tercetus ekoran gempa 8.0 skala Richter di Samoa dan American Samoa, membunuh sekurang-kurangnya 177 orang di wilayah itu, sementara beratus-ratus yang lain dilaporkan hilang. Tsunami turut melanda Tonga.

2 September 2009

Gempa 7.0 skala Richter menggegar Tasikmalaya, pulau Jawa, mengorbankan 123 orang dan mencetuskan tanah runtuh.

6 April 2009

Hampir 300 maut di bandar L'Aquila, Itali apabila gempa 5.8 pada skala Richter melanda.

29 Oktober 2008

Barat daya Pakistan digegar gempa 6.4 skala Richter, menyebabkan sehingga 300 penduduk meninggal dunia dan berpuluh ribu yang lain hilang tempat tinggal.

12 Mei 2008

Gempa 8.0 skala Richter menggegar Sichuan, barat daya China. Lebih 87,000 maut atau hilang.

3 Februari 2008

Satu gempa dengan magnitud 6.1 pada skala Richter menggegar timur Congo dan barat Rwanda, membunuh 45 orang dan menyebabkan ribuan yang lain hilang tempat tinggal.

2 April 2007

Lebih 50 nyawa maut, sementara ribuan yang lain hilang tempat tinggal selepas gempa bermagnitud 8.0 skala Richter melanda Kepulauan Solomon dan menyebabkan tsunami.

6 Mac 2007

Gempa berukuran 6.3 pada skala Richter menggegar pulau Sumatera, merobohkan bangunan dan mengorbankan sekurang-kurangnya 70 orang.

17 Julai 2006

Sekurang-kurangnya 596 maut, lebih 9,500 cedera dan 74,000 yang lain hilang tempat tinggal setelah gempa dasar laut sekuat 7.7 skala Richter melanda pulau Jawa dan mencetuskan tsunami.

27 Mei 2006

Wilayah Yogyakarya dilanda gempa 6.3 skala Richter, mengorbankan 6,000 mangsa dan menyebabkan 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal.

8 Oktober 2005

Satu gempa 7.6 pada skala Richter membunuh lebih 75,000 orang, kebanyakannya di bahagian sempadan di Pakistan Utara dan wilayah Kashmir. Seramai 3.5 juta hilang terpaksa dipindahkan.

28 Mac 2005

Sekurang-kurangnya 900 maut apabila gempa dengan magnitud 8.6 pada skala Richter menggegar pulau Nias, Sumatera.

26 Disember 2004

Gempa dasar laut sekuat 9.1 skala Richter dari pantai pulau Sumatera mencetuskan tsunami yang membunuh 220,000 mangsa di sekitar Lautan Hindi termasuk 168,000 nyawa di Acheh, Indonesia.

26 Disember 2003

Gempa kuat 6.7 pada skala Richter menggegar bandar Bam, Iraq, mengakibatkan sekurang-kurangnya 31,884 maut dan mencederakan 18,000 yang lain.

26 Januari 2001

Gujarat di barat India digegar gempa kuat, mengorbankan 25,000 orang dan 166,000 mangsa cedera. - AFP

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Bahasa Malaysia: Sopan-Santun, Keindahan Dan Perpaduan

Oleh Zulkiple Ibrahim

Kerajaan mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran bagi kepentingan Bahasa Kebangsaan sebagai alat memupuk perpaduan. Berikut ialah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenainya.

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bagi peminat filem klasik P. Ramlee, pasti masih segar dalam ingatan mereka satu adegan di dalam filem 'Seniman Bujang Lapok' di mana seorang jaga Benggali di studio filem Melayu Jalan Ampas, Singapura menegur Sudin kerana menggunakan bahasa yang agak kurang sopan bila bertanya tentang kekosongan kerja.

Watak utama, Ramlee, kemudian memarahi Sudin kerana mengajukan pertanyaan dengan cara kurang manis, sambil berkata "bahasa menunjukkan bangsa" dan orang Melayu memang terkenal dengan kesopanan dan kelembutan keperibadian mereka.

"Saya kira filem itu mahu menyampaikan mesej bahawa penggunaaan perkataan yang sopan adalah penting untuk memupuk dan mempraktikkan perpaduan, nilai murni serta kesopanan.

"Penggunaan bahasa yang sopan dan hormat adalah penting sama ada dalam pertuturan atau bertulis. Bahasa itu akan mencerminkan kesopanan masyarakat yang menggunakannya," kata pengurus industri hiburan Abdul Rahim Abdul Hamid.

Kata beliau apa yang P. Ramlee mahu sampaikan ialah masyarakat semestinya menggunakan bahasa yang sopan dalam komunikasi harian dan umum akan menghormati bangsa itu dan begitulah sebaliknya.

"Hormat terhadap sesuatu masyarakat terbit dari cara mereka menggunakan bahasa mereka," kata beliau.

Bagaimanapun, dengan adanya usaha untuk memperkukuh penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan semua kaum di negara ini, bahasa-bahasa kaum lain tidaklah harus dipinggirkan.

Bagi ahli akademik Yahya Che Amat, Bahasa Kebangsaan ialah alat penting untuk memupuk perpaduan dan ini berkait rapat dengan konsep 1Malaysia yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Mereka mungkin datang dari pelbagai kumpulan etnik, budaya, kepercayaan dan ideologi politik tetapi mereka akan tetap bersatu di bawah satu bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia".

Menurut Yahya, rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri serta semangat sayangkan Bahasa Malaysia kerana rasa cinta dan kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan mempamerkan lambang patriotisme.

"Oleh itu, perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini boleh disemai dengan menggunakan satu bahasa, iaitu Bahasa Malaysia seperti yang digarapkan dalam gagasan 1Malaysia," kata beliau.

Tetapi dalam usaha menjadikan Bahasa Malaysia sebagai satu daripada bahasa utama di dunia, bahasa ibunda etnik lain juga tidak harus dipinggirkan, tambah beliau.

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU

Umum juga mengalu-alukan langkah kerajaan menjadikan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan.

Aktivis sosial Fatimah Mansur berkata ini memang sesuai dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.

"Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) ialah Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub di dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1967, juga di bawah Seksyen 5 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

"Ia juga selari dengan konsep 1Malaysia yang mempromosikan perpaduan - Satu Negara, Satu Bangsa, Satu Suara yang diabadikan dalam gagasan 1Malaysia", kata Fatimah.

Menurut beliau semua Akta itu mengutamakan kepada penggunaan dan kepentingan bahasa kebangsaan dalam membentuk bangsa Malaysia.

Pensyarah dalam bidang perubatan Dr K. Ling bersetuju dengan pandangan ini.

"Saya telah merawat ramai pesakit daripada pelbagai golongan etnik dan yang datang dari jauh seperti dari Sabah dan Sarawak. Bila saya bertanya dan bercakap dalam Bahasa Inggeris, tak ramai yang faham. Dalam banyak kes, komunikasi cara sebegini adalah sukar dan tidak lancar.

"Berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia lebih senang. Adalah baik jika kita menggunakan Bahasa Malaysia kerana ia membolehkan semua kaum berinteraksi antara satu sama lain. Bahasa Malaysia ialah bahasa untuk semua", kata beliau.

BAHASA ADALAH JIWA BANGSA

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapan beliau ketika melancarkan sambutan peringkat kebangsaan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Stadium Perpaduan di Petra Jaya, Kuching pada 6 okt lepas, berkata kerajaan mempunyai objektif membentuk satu Bangsa Malaysia yang bangga dengan Bahasa Malaysia sebagai identiti mereka.

"Mereka mestilah fasih dan bersedia untuk meletakkan kedudukan yang sesuai selain daripada bersedia mempromosinya (Bahasa Malaysia) di mana saja mereka berada," kata beliau.

Mulai tahun depan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan telah diarahkan untuk melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan Oktober.

Menurut Muhyidin, aktiviti serta komunikasi Bahasa Kebangsaan akan dipertingkat dalam kalangan ramai.

Tema bagi sambutan tahun ini ialah "Bahasa Jiwa Bangsa" yang juga merupakan moto Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak ditubuhkan pada tahun 1956.

-- BERNAMA