Sabtu, 24 Oktober 2009

Mengangkat warisan ke persada dunia

Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan

Bismillah itu permulaan kalam,

Dengan nama Allah Khalikulalam,

Berkat Muhammad Sayid Alanam,

Memberi rahmat siang dan malam.


Awal bismillah fakir menyusun,

Di pangkal jalan memohon ampun,

Maklum bahasa tidak tersusun,

Banyak perkara hendak dihimpun.


Majlis permai fakir mengisi,

Kata dan fikir dengan puisi,

Kerana fakir bertugas di institusi,

Yang "melangkah ke hadapan bersama tradisi."


I. Citra Sastera

Sastera itu adab persuratan,

Pelbagai makna serta tafsiran,

Namun bakat serta indah penulisan,

Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran.


Bakat dan karya ada tanggungjawab,

Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,

Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya,

Bantu membimbing umat manusia.


Hindari kutukan kepada penyair sesat,

Dalam Al-Syu'ara telah tersurat,

Yang ditulis benar itulah yang diperbuat,

Takwa itu memandu pena menyurat.


Dengan akal pena menukilkan,

Seperti lidah wajar berperaturan,

Pena yang jujur lebih dimuliakan,

Bukan pedang melibas sembarangan.


Persuratan itu mengandung ilmu,

Juga mendidik tiadalah jemu,

Mutiara kata dapat ditemu,

Yang indah-indah dan merdu turut diramu.


Hamzah Fansuri, Syeikh Ahmad al-Fatani,

Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji,

Karya persuratan padat berisi,

Tanda pujangga seorang insani.


Persuratan tidak mengulang yang lama,

Atau hanya alam dan watak semata,

Fikrah falsafah itu lebihlah mulia,

Disulam keindahan membijaksanakan manusia.


Dibantu ilmu karya terkarang,

Piawai Melayu ini jangan dibuang,

Nyata dan magis silang bersilang,

Ke pentas dunia masuk gelanggang.


Melayu menyediakan atur hukum sastera,

Dalam puisi dan hikayat warisan bangsa,

Ditambah ilmu bantu dan prinsip semasa,

Ciptakan karya bertaraf dunia.


Ibn Tufail, Ibn al-Nafis,

Menyelami dasar falsafah menulis,

Apungkan ilmu madahnya pun majlis,

Keadilan hakiki pencarian penulis.


II: Keprihatinan Sastera Malaysia

Sastera bukan khayali ke dalam diri,

Nasib alam dan ummah diperhati;

Peka akan gejolak yang mengelilingi,

Dicipta persuratan untuk dihayati.

(i)

Asas tamadun sudah bertunas,

Melayu bersyarak kepada nas,

Lenyap kegelapan oleh nur yang bernas,

Hablum min Allah, Hablum min al-nas.


Pusat intelektual bermula di istana,

Lahirkan ulama, pemikir dan pujangga,

Muamalat, munakahat, siasah dijana,

Hukum jinayat, adab, persuratan juga.


Seteguh dahulukah Melayu-Islam kini?

Akidah mencair atas nama hak asasi,

Islam liberal dan sekularisme mencemari,

kepada ad-Din yang benar hendaklah kembali.


Ada yang mencabar hukum syariah

Anggap hukum duniawi lebih indah,

Tidak sempurna bukan sifatnya Allah,

Di atas segalanyalah asma'ilahiyyah.

(ii)

Kita mengenal Suhaif al-Rumi,

Begitu juga Salman al-Farisi,

Beserta dengan Bilal al-Habashi,

Begitu pelbagainya wajah insani.


Allah ciptakan pelbagai bangsa,

Allah hembuskan seribu bahasa,

Untuk berkenalan sesama manusia,

Jangan sampai abaikan hak milik kita.


Semenanjung Melayu ini di Alam Melayu,

Sebab musababnya jelas bagi yang tahu,

Sejak abad ke-VII kembangkan tradisi ilmu,

Kuasai ekonomi Nusantara delapan penjuru.


Majapahit, Sriwijaya, Langkasuka dan Melaka,

Corakkan wajah kebudayaan kita,

Sehingga penjajah membawa tenaga kerja,

Bekerja demi kepentingan ekonomi mereka.


Kini tenaga kerja asing terus penuhi negara,

Pada tempat dan ketika lebih ramai mereka,

Rakyat rasa tak selamat tak rasa bebas merdeka,

Berbuatlah sesuatu agar negara ini tenang semula.


(iii)

Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,

Kuasa-kuasa Barat dan Timur datang menjarah,

Menghalau mereka tidak sahaja perwira dan orang siasah,

Peranan ulama dan penulis juga diakui sejarah.


Justeru setiap menyambut ulang tahun merdeka,

Kenangilah pengorbanan dan bakti mereka,

Yang benar-benar berjasa tampilkan ke muka,

Berterima kasih pada saat sesuai dan ketika.


Melayu dengan kedaulatan dan ketuanan,

Ihsan memberi taraf kerakyatan,

"Kontrak Sosial" menjadi ikatan,

Diikat kukuhlah jangan rungkaikan.


Maka teguh-kukuhkan perkara yang empat,

Kedudukan Raja-Raja Melayu menjamin daulat,

Islam agama rasmi, Melayu Bahasa Kebangsaan dinobat,

Hak istimewa Melayu dan bumiputera mendapat tempat.


Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa,

Hubbul watan minal iman peganglah ia,

Berhujahlah Melayu baru dengan akal dan fakta,

Bukan zahirkan rasa dan emosi semata.


Namun bertimbang rasalah kepada taulan,

Pelbagai bangsa jiran dan kenalan,

Pada zamannya Nabi telah tunjukkan,

Islam menjalin indah perpaduan.

(iv)

Melayu itu beradab, berperaturan, berkerajaan,

Di alam Melayu ribuan tahun kekuasaan,

Khalifah Allah segala raja dan sultan,

Patut dibantu orang-orang besar bijaksana lagi budiman.


Jangan sekali-kali bertindak atas hukum rimba,

Matlamat dan cara mesti halal belaka,

Tersurat hukum kanun dan undang-undang mulia,

Pangkal peraturan bagi segala raja-raja dan rakyatnya.

(v)

Pendidikan Melayu itu berliku lorongnya,

Pada zaman penjajah, hanya vernacular kastanya,

Pribumi sengaja ditolak dari bandar dan kotanya,

Sentiasa mengekori pelajar kota yang pantas lariannya.


Terfikir fakir akan nasib bahasanya,

Ratusan tahun melakar wacana,

Tanpa menjadi bahasa ilmu akan ke mana?

Cukupkah jadi bahasa basahan sahaja?


Pada abad XVI Valentin terpesona,

Di sebelah sini bahasa Melayu berkuasa,

Dari timur Parsi hingga ke Kepulauan Filipina,

Kini mesti lebih perkasa di negaranya dan dunia.


Ilmu sekular moden Melayu wajar berhati-hati,

Kerana akhirat itu pasti dihadapi,

Atas ilmu ukhrawi dirikan ilmu duniawi,

Baharulah barakah hingga ke kampung kekal abadi.

(vi)

Asal asali itu Melayu teras jua,

Bangsa besar lagi majoriti jumlahnya

Patutlah teras segala citra budaya,

Entah kenapa kini digerhanakan seri wajahnya.


Budaya itu bersendi adat berpangkal agama,

Tanda bangsa beradab lagi mulia,

Tapi hedonisme tampak dibiarkan merajalela,

Budi bahasa amat ketara lunturnya.


Segalanya bermula darinya rumah,

Mencipta kasih sayang mawaddah war-rahmah,

Tahzibul akhlak tanggungjawab ummah,

Akhiran terpuji husnul khatimah.

(vii)

Persuratan dan bahasa "azwar" yang baik,

Tamsil makhluk dengan yang Khalik,

Perjuangan bahasa bukanlah pelik,

Kuasai yang asing, tak tercicir milik.


Hang Tuah kuasai berbelas bahasa,

Melalui munsyi bahasa yang berjasa,

Bukan dengan "pandai besi" berbadan sasa,

Bukan dengan "pandai emas" mencanai suasa.


Kuasai bahasa Arab di dalam dada,

Bahasa Barat dan Timur di dalam minda,

"Seribu bahasa kita bicara,

Manakan sama bahasa bonda".


Ke manakah arah bahasa Melayu?

Dipandang rendah tak banyak yang mahu,

Sesekali dipakai miskinnya mutu,

Nama tempat, jalan dan bangunan tidak menentu.


Alangkah molek bercitra kebangsaan,

Setiap bangsa rohnya diciptakan Tuhan,

Tercabut rohnya citra pun kehilangan,

Bagaikan tanah ini tidak bertuan.

(viii)

Sebelum mengundur diri fakir rakamkan,

Ucapan "terima kasih" kepada sekalian,

Pengkritik, penterjemah, editor dan panel budiman,

Isteri, anakanda dan menantu pemberi sokongan.


Serta sahabat fakir Cina dan India,

Kadazandusun dan Iban juga,

Dengan bakat, akal, bahasa dan karya,

Perkasakan tamadun bangsa kita.


Sudah sampai ke hujung fakir bermadah,

Pada malam bersejarah menjunjung Anugerah,

Jutaan ampun atas silap dan salah,

Yang Maha Sempurna Terpuji itu miliknya Allah.


Wahai segala arif permata,

janganlah apa fakir dikata,

Kalam buruk kertasnya lata,

Menyuratnya tiada ada pelita.


Sudahlah dengan takdir Allah,

Tiadalah dapat lagi disalah,

di Lohmahfuz suratan terjumlah,

Barang yang datang disyukurkanlah.


(PETIKAN pidato penerimaan Anugerah Sastera Negara oleh Sasterawan Negara Ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan pada 20 Oktober lalu)

Sumber : http: // www. utusan.com.my/

ISU PERUMAHAN : PUNCA DAN KESAN

Soalan Karangan:

Pada masa ini, timbul masalah rumah yang telah siap dibina tetapi belum dijual oleh syarikat pemaju perumahan. Huraikan pendapat anda tentang punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku dan kesan-kesannya.

Di Malaysia, fenomena rumah yang tiada pembeli semakin kerap dilaporkan di media massa, tidak kira di bandar seperti Kuala Lumpur bahkan di pinggir kota juga turut mengalami masalah yang sama. Perkara ini seolah-olah tiada penyelesaian kerana semakin banyak perumahan baru muncul, bak cendawan tumbuh selepas hujan. Tindakan yang diambil oleh pihak berwajib pula bagaikan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Akibatnya, banyak perumahan yang terbiar dan kosong tanpa penghuni yang boleh disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jadi, masalah ini seharusnya mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab agar dapat diselesaikan dengan segera. Sebenarnya, masalah ini bukannya berlaku dengan tiba-tiba tetapi banyak faktor penyebabnya yang akhirnya memberikan kesan kepada kita.

Rumah yang tidak dapat dijual oleh pemaju kebanyakannya disebabkan oleh ketiadaan Sijil Kelayakan Menduduki Rumah (CF). Sijil ini dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai tanda kelulusan atau pemberitahuan bahawa sesebuah rumah selamat daripada bahaya dan boleh diduduki oleh penghuninya. Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam pemberian CF ini ialah kualiti bahan binaan yang digunakan dan ketahanan bangunan tersebut untuk menampung penghuni. Kadang-kadang, CF lambat atau gagal diberi, kerana ketidaksempurnaan kerja atau berlaku penipuan dalam meluluskan projek perumahan ini. Hal ini akan menyebabkan pengguna tidak mahu membeli rumah kerana mereka khuatir keselamatan dan nyawa mereka akan terancam.

Selain itu, kos rumah yang terlibat seperti harga yang diletakkan oleh pemaju terhadap rumah-rumah yang telah dibina itu tinggi dan mungkin terlalu mahal untuk individu yang berpendapatan sederhana dan rendah. Hal ini berlaku demikian kerana, bahan-bahan mentah yang digunakan seperti simen, rangka besi, dan pasir dibeli dengan harga yang mahal berikutan pemborong meletakkan harga mengikut pasaran semasa. Oleh itu, untuk mendapatkan pulangan modal, pemaju terpaksa meletakkan harga yang bersesuaian dengan kos pembinaan tersebut. Harga yang tinggi ini menyukarkan penduduk yang berpendapatan sederhana atau rendah untuk memiliki sebuah kediaman untuk mereka kerana khuatir bahawa perbelanjaan mereka melebihi anggaran yang sepatutnya. Oleh hal yang demikian, pemaju perlulah meletakkan harga yang berpatutan agar masyarakat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Kawasan perumahan yang tidak strategik turut mempengaruhi penjualan sesebuah rumah tersebut. Kebiasaannya, para pemaju perumahan akan menjadikan tanah atau kawasan baharu yang terletak di pinggir kota atau jauh dari bandar sebagai kawasan perumahan yang baharu. Hal ini berlaku demikian kerana, di kawasan tersebut terdapat tanah yang lapang, luas dan tiada lagi penduduk yang menghuninya. Walau bagaimanapun, kawasan perumahan yang baru itu selalunya tidak mempunyai prasarana atau kemudahan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, pengangkutan awam, sekolah, kedai dan klinik. Selain itu, jarak yang jauh dari kota atau tempat kerja meningkatkan ketidakinginan masyarakat untuk membeli rumah itu. Akhirnya, kawasan perumahan baharu itu terus menjadi projek gajah putih iaitu terbiar tanpa pembeli, sekali gus akan merugikan pihak pemaju perumahan.

Masalah ini akan menimbulkan kesan terhadap masyarakat dan juga negara amnya. Masalah tersebut ialah masalah sosial dalam kalangan warga tempatan atau pun yang dilakukan oleh warga asing. Perkara ini disebabkan kawasan perumahan yang kosong dan terbiar lebih mudah disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab seperti penagih dadah untuk melakukan aktiviti mereka kerana tiada orang untuk mengawasi dan memantau kawasan tersebut. Rumah-rumah kosong ini juga dijadikan tumpuan oleh pelajar-pelajar yang ponteng sekolah. Di samping itu, kawasan perumahan tersebut seolah-olah menggalakkan kegiatan-kegiatan yang tidak sihat dijalankan tanpa rasa segan silu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Oleh itu, jawatankuasa penduduk di kawasan perumahan berhampiran dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan terpaksa melakukan rondaan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak elok daripada berlaku.

Hasil kutipan cukai oleh kerajaan turut terkena tempiasnya apabila rumah-rumah tersebut tidak laku di pasaran kerana pihak pemaju tidak mendapat pulangan yang disasarkan akibat rumah yang dibina itu tidak dapat dijual sepenuhnya. Jadi, pihak pemaju tidak dapat membayar cukai keuntungan syarikat yang akan digunakan untuk membangunkan negara dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat. Di samping pendapatan kerajaan akan menguncup, terdapat juga pekerja sesetengah syarikat perumahan yang terpaksa memberhentikan pekerjanya dan hal ini sudah tentu menimbulkan masalah kepada pekerja yang diberhentikan itu. Oleh itu, taraf hidup yang sepatutnya meningkat sejajar dengan peredaran zaman berlaku penurunan dan impaknya akan dirasai oleh rakyat Malaysia.

Kesimpulannya, pembangunan sesuatu kawasan yang disokong oleh pertumbuhan rumah-rumah baharu sepatutnya mampu dimiliki oleh penduduk tempatan. Walau bagaimanapun, hasil jualan yang disasarkan tidak dapat dicapai akibat kesilapan pihak pemaju itu sendiri yang mengharapkan untung yang berlipat kali ganda. Harapan mereka tidak menjadi kenyataan dan masalah-masalah lain pula yang berlaku. Oleh hal yang demikian, pemaju perumahan hendaklah sentiasa memikirkan cara-cara untuk menjalankan promosi yang bersesuaian agar dapat menarik minat pembeli rumah untuk membeli produk mereka dengan kerjasama pihak kerajaan. Diharapkan, tiada lagi rumah yang terbiar kerana ketiadaan pembeli, dan rakyat Malaysia mampu memiliki rumah mereka sendiri.

Karangan ditulis oleh : Nadia A. Jalal (Pra-U Atas Sastera)
Sumber : http://khirkassim.blogspot.com/