Isnin, 1 Februari 2010

Taubat sebenar perlu disertai dengan keinsafan

Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka dengan adanya dua sebab itu mereka diterima Allah taubatnya; dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat, dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Nisa’, ayat 17-18)

Taubat adalah tuntutan agama dan ulama mengatakan, bertaubat wajib bagi setiap orang Islam. Banyak ayat mengenai taubat dalam al-Quran sama ada diturunkan di Makkah atau Madinah.

Ayat surah al-Nisa’ ini adalah seruan kepada taubat. Ayat pertama menyebutkan orang yang melakukan dosa lalu ia bertaubat, maka Allah akan mengampunkannya. Allah juga menyeru segera melakukan taubat dan jangan hampir saat kematian baru hendak bertaubat.

Ketika itu, permohonan taubatnya tidak lagi diterima. Mufasirin berbeza pandangan dalam penerimaan taubat seorang hamba. Sebahagian mengatakan wajib bagi Allah menerima taubat seorang hamba.

Pandangan ahli sunnah mengatakan, apabila seseorang hamba itu bertaubat maka Allah berhak untuk menerima atau menolaknya dan tidak wajib bagi Allah menerima taubat seseorang. Namun, Allah berjanji akan menerima taubat hamba-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan mereka lakukan; dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.” (Surah al-syura, ayat 25)

Mufasirin menyebutkan Allah berjanji akan mengampunkan orang yang bertaubat dengan syarat ia mencukupi empat perkara, iaitu insaf dengan hati, meninggalkan perbuatan maksiat, berazam tidak mengulang perbuatan itu dan dilakukan dengan penuh keredaan kepada Allah.

Pentafsir juga berbeza pandangan dalam menafsirkan ‘melakukan kejahatan dengan kejahilan.’ Pendapat pertama mengatakan setiap maksiat itu adalah kejahilan meliputi segala bentuk kekufuran dan maksiat.

Mengikut Qatadah, setiap perbuatan maksiat adalah kejahilan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina. Mereka berkata: Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan? Nabi Musa menjawab: Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil iaitu yang melakukan sesuatu yang tidak patut dan kejahatan.” (Surah al-Baqarah, ayat 67)

Pendapat kedua, seseorang melakukan maksiat dan mengetahui perkara itu adalah maksiat tetapi ia tidak mengetahui kadar hukuman maksiat berkenaan. Pendapat ketiga, seseorang yang melakukan maksiat dengan ia tidak mengetahui perkara itu adalah maksiat.

Ayat ini juga mengatakan bertaubat ketika hampir mati, tiada faedah dan sudah terlambat. Allah tidak menerima taubat sedemikian seperti Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa ingin bertaubat pada saat kematiannya.

Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah akan menerima taubat seseorang hambanya selagi nyawanya tidak di halkum.” (Hadis riwayat al-Turmizi, hadis Hasan Gharib).

Menurut al-Syarawi, Allah akan menerima taubat seseorang selagi nyawanya tidak di halkum dan menjadi kewajipan seorang Muslim supaya segera bertaubat.

Allah juga menyebutkan orang Islam yang tidak sempat bertaubat akan menerima azab pedih berbeza dengan kematian bagi orang kafir yang akan menerima seksaan buat selama-lamanya. Orang Islam melakukan maksiat tanpa bertaubat akan menerima azab setimpal perbuatannya.

Menurut Sayyid Qutb, taubat selayaknya bagi Allah menerimanya adalah taubat yang lahir dari hati penuh keinsafan seolah-olah ia baru lahir semula dan menjadi insan yang lain.

Allah menyeru setiap Muslim segera bertaubat dengan firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang beriman bersama-sama dengannya.” (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Ayat ini menjelaskan Allah sentiasa menyeru orang mukmin bertaubat dan perintah Allah dalam al-Quran menunjukkan wajib. Matlamat taubat adalah supaya diampunkan segala dosa terdahulu dan akhirnya dimasukkan ke dalam syurga.

Ibn Kathir menyebutkan taubat nasuha sebagai taubat yang benar ikhlas dan kebanyakan ulama menyebut sebagai taubat daripada dosa dan tidak lagi mengulangi perbuatan itu. Al-Kalabi menyebutkan taubat nasuha beristighfar dengan lidah, insaf dengan hati dan mencegah dengan anggota badan.

Ulama mengatakan bertaubat adalah wajib sehinggakan anbia seperti Nabi Adam memohon keampunan daripada Allah. Oleh itu, kembali kepada Allah dengan bertaubat adalah satu tuntutan bagi setiap orang Islam sama ada kaya, miskin, raja atau rakyat.

Taubat bukan sekadar perkataan kerana taubat tidak disertai keinsafan di hati bukan taubat yang sebenar. Antara adab memohon keampunan Allah mestilah ikhlas, dalam keadaan bersih, mempunyai perasaan antara takut dan pengharapan, memilih waktu mustajab seperti pada waktu sahur.

Perkara ini disebut Allah dalam firman yang bermaksud: “Dan orang yang beristighfar dan memohon ampun pada waktu sahur.” (Surah Ali-Imran, ayat 17)

Antara adab memohon ampun ialah berdoa untuk mukmin yang lain. Ia tidak memohon ampun untuk dirinya saja tetapi untuk mukmin keseluruhannya. Di samping itu menggunakan lafaz yang mathur dari al-Quran dan al-Sunnah.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang yang rugi.” (Surah al-Araaf, ayat 24)

Pengajaran ayat :

1. Wajib kepada orang Islam memohon ampun kepada Allah setiap hari dan bersegera bertaubat kepada Allah.

2. Allah tidak menerima taubat bagi orang yang sudah tiba saat kematiannya.

3. Pintu taubat sentiasa terbuka luas dan hendaklah dilakukan dengan penuh beradab.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Agenda nasional melebihi etnik

Oleh Syed Azwan Syed Ali

MELEWATI 40 tahun episod rusuhan kaum 13 Mei 1969, masyarakat negara ini tidak pernah berputus asa untuk menjadikan impian bangsa Malaysia sebagai realiti.

Bermodalkan toleransi, pelbagai cabaran antara kaum dan agama berjaya ditangani secara berhemah.

Buktinya, kesepaduan sosial masih kukuh di negara ini sekalipun setiap rakyat yang tergolong dalam kelompok masing-masing masih mempunyai isu dan masalah yang belum selesai.

Misalnya isu kalimah Allah sejak awal tahun ini benar-benar menguji sejauh mana hubungan "stable tension" antara kaum itu (keadaan hubungan kaum di negara ini seperti disifatkan Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik UKM).

Insiden cubaan membakar beberapa gereja dan terbaru insiden kepala babi hutan diletakkan di perkarangan masjid di Petaling Jaya ekoran isu itu dilihat sebagai cubaan pihak tertentu untuk menggugat hubungan kaum di negara ini.

"Ini bukan sentimen rakyat Malaysia," kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia menyuarakan pandangan majoriti rakyat Malaysia menolak perbuatan tidak bermoral itu.

Namun persoalan timbul sejauh manakah toleransi mencukupi untuk negara berhadapan dengan tempoh 50 tahun akan datang? Ini kerana senario sekarang amat berbeza berbanding tahun 1970-an di mana sumber maklumat kini pantas, pelbagai dan tanpa batasan.

Antara tiga teras gagasan 1Malaysia ialah penerimaan, yang menerangkan kepentingan semua pihak untuk bergerak daripada toleransi kepada penerimaan sepenuhnya apabila seseorang individu itu akan menerima sesuatu perkara yang beliau memahaminya dan bukan kerana terpaksa seperti mana toleransi.

Faham 1Malaysia

Tinjauan Bernama mengenai pemahaman 1Malaysia dalam kalangan rakyat contohnya dari aspek keadilan sosial mendapati setiap kaum memberikan maksud keadilan mengikut perspektif kaum masing-masing.

Secara analoginya, jika suatu kelompok mendapat sebuah rumah maka kelompok lain juga mahu sebuah rumah.

Sebelum ini, aktivis sosial Dr. Chandra Muzaffar dalam program temu bual di TV1 melihat keadilan bukan dari sudut kaum sahaja tetapi dari sudut keadilan itu sendiri iaitu cabaran utama masyarakat negara ini.

Beliau memberikan contoh bagaimana dasar afermatif, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dipersalah sedangkan dasar itu berjaya mengurangkan jurang kemiskinan kaum serta melahirkan ramai golongan pertengahan Bumiputera sekali gus mengelakkan insiden 13 Mei daripada berulang ketika berlakunya krisis kewangan 1997.

Jika struktur ekonomi masih sama seperti sebelum 1970-an, maka keadaan sama yang berlaku di Indonesia, di mana kaum minoriti Cina yang menguasai ekonomi diusir keluar, mungkin berlaku di Malaysia, kata Dr Chandra.

Dalam hal ini, beliau menekankan sepatutnya kepincangan dalam pelaksanaan DEB dipersoalkan bukan menyalahkan dasar itu.

Persoalannya, andaian seumpama ini mungkin berlaku ekoran kecenderungan melihat sesuatu perkara dari sudut etnik sehingga mengaburkan nilai sebenar 'keadilan' yang dirumitkan dengan kepentingan sempit sesetengah pihak.

Penerimaan kaum

Felo penyelidik utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Prof Dr. Teo Kok Seong berkata konsep penerimaan hanya akan berlaku, sekiranya semua pihak meletakkan agenda nasional melebihi kepentingan etnik masing-masing.

"Negara yang utama, identiti etnik kedua. Ini tidak bermakna kita harus bersikap pesimistik tapi insaf pada realiti," kata Prof Kok Seong menyifatkan jurang antara kaum dan agama semakin meluas pada ketika ini kesan polarisasi di semua peringkat termasuk di sekolah dan tempat kerja.

"Pemahaman antara kelompok dengan kelompok lain makin kurang. Kalaupun ada perpaduan, ukurannya amat rendah dan berlaku secara simbolik," katanya.

Prof Kok Seong merujuk kepada 'perpaduan' yang hanya digambarkan pada papan iklan dan drama atau filem di mana lazimnya ditonjolkan watak Melayu, Cina dan India sebagai mewakili Malaysia sedangkan terdapat lebih 20 suku kaum di negara ini.

Mahasiswa jurusan Kesusasteraan Inggeris daripada UPM, Gan Wee Liang, 23, turut bersetuju dengan pandangan Kok Seong mengenai perpaduan yang bersifat superficial itu.

Anak kelahiran Muar, Johor yang pernah mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLNK) berkata semua pihak sepatutnya menumpukan kekuatan masing-masing untuk memajukan negara bersaing dengan negara lain dan bukannya bergaduh sesama sendiri.

Harapan pada 1Malaysia

Sambil menaruh harapan tinggi pada gagasan 1Malaysia, Wee Liang mahu kerajaan mengkaji kenapa ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di luar negara terutama dalam kalangan kaum bukan Melayu.

"Mungkin mereka merasakan negara tidak sayangkan mereka kerana menganggap kerajaan hanya memberi tumpuan kepada satu kumpulan," kata Wee Liang merujuk kepada kepincangan dalam pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan sebelum ini.

Felo utama Institut Kajian Etnik UKM Datuk Dr. Denison Jayasooria berkata dalam hal berhubung isu sensitif, kerajaan mestilah dilihat jujur untuk menjadi 'orang tengah' dan tidak memihak kepada golongan tertentu.

Apa yang dilihat, polarisasi kaum yang bermula di sekolah hingga ke alam pekerjaan (perkhidmatan awam dan swasta) menerangkan kenapa 'identiti etnik' semakin menebal dalam kalangan generasi muda kini.

Bagi pensyarah hubungan etnik Dr. Lee Yok Fee dari UPM semua pihak perlu menerima 'kepelbagaian budaya' sebagai hakikat yang menterjemah negara ini, jika mereka mahu masa depan negara terus terjamin.

Perlembagaan Persekutuan juga perlu dijadikan rujukan, kata Yok Fee. Dengan menjadikan Wawasan 2020 sebagai ukuran, perjalanan negara untuk maju hanya tinggal kurang 10 tahun lagi. Justeru, semua pihak perlu meletakkan agenda negara melebihi kepentingan etnik bagi memastikan survival negara pada masa akan datang.

Seperti mana kata Prof Kok Seong, "benteng etnik yang ada seharusnya saling melengkapi bukannya saling menyaingi. Tuntutan tentang sesuatu perkara perlulah berasaskan kepada keperluan semasa bukannya atas kepentingan sempit".

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Sabtu, 30 Januari 2010

Hamka - Penjalin hubungan Malaysia-Indonesia

Oleh Dr. RAIS YATIM

SASTERAWAN-mualim Haji Abdul Malik Karim Amrullah yang lebih terkenal dengan nama pendeknya Hamka masih dalam kenangan dan penilaian tinggi walaupun telah meninggal dunia 29 tahun lampau.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) serta pihak-pihak lain baru sahaja selesai mengadakan seminar mengenang kembali sumbangan pujangga nusantara itu 25 Januari lalu dengan penuh kejayaan.

Seminar itu dimajukan menerusi pelbagai kertaskerja dan penyelidikan yang menyerlahkan kembali satu-satunya tokoh agama dan sasterawan ulung Indonesia yang mampu menghasilkan 68 buah buku sepanjang hayat 73 tahun. Seminar yang asalnya bingkisan mahasiswa anak-anak Minang UKM diserikan dengan persembahan seni budaya dengan penglibatan pelbagai personaliti, budayawan, ahli politik, penyelidik dan penulis, termasuk anakanda Hamka sendiri, Bapak Rusdi Hamka. Beliau berkunjung khas dari Jakarta untuk bersama-sama khalayak karyawan seni di Malaysia.

Walaupun seminar UKM itu menarik perhatian dan lantas menyingkap dan menyumbang pelbagai aspek kehidupan al-buya itu, elemen yang tetap menonjol ialah kehidupan dan sumbangan Hamka kepada masyarakat ilmuan, kerukunan hidup sebagai Muslim dan pembudayaan cara hidup yang positif.

Masyarakat pembaca Indonesia dan Malaysia tidak lupa akan sumbangan dan peranan besar Hamka dalam mensejagatkan nilai-nilai murni kehidupan. Sama ada melalui pidato atau penulisan buku, majalah, rencana dan lain-lain bentuk penyampaian, hakikatnya ialah ketokohan dan keahlian Hamka dalam dunia komunikasi dan penulisan tradisional sudah terbukti. Beliau juga merupakan seorang pejuang bahasa, sastera, penyumbang falsafah dan pencetus. Beliau senang dengan Albert Camus, Leo Tolstoy dan lain-lain penulis dunia yang berjiwa besar di samping berkemampuan berlunas dengan pelbagai aspek Islam.

Seorang yang hanya sempat belajar hingga ke peringkat sekolah rendah di Maninjau, Sumatra Barat sebelum Perang Dunia Pertama, beliau bangkit dengan kesungguhan mempelajari bahasa Arab atas dorongan bapanya. Beliau selanjutnya menajamkam gaya penyampaian bahasa Indonesia yang mudah dan menarik; melahirkan novel-novel klasik seperti Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (1937, Merantau ke Deli (1940) Di Bawah Lindungan Kaabah (1936) dan 64 buku penulisannya yang lain.

Pada tahun-tahun 1970 hingga 1980-an buku-buku Hamka menjadi bahan bacaan wajib bagi kursus-kursus sastera di Malaysia dan Singapura. Di Brunei juga Pak Hamka menjadi personaliti cendekiawan ulung. Pada thun 1936 sahaja beliau menghasilkan lapan novel dan penulisan bukan fiksyen. Sifat prolifiknya diakui di Nusantara dan dunia Arab.

Sekalipun beliau tidak pernah belajar di universiti, penulisannya menembusi bukan sahaja universiti tempatan di Indonesia tetapi juga di Malaysia dan di Timur Tengah. Pada tahun 1958 Universiti Al-Azhar menghargai beliau dengan anugerah Honoris Causa. Pada tahun 1974 UKM pula memberi pengiktirafan sama.

Mesej

Hamka sentiasa menganjurkan mesej kesejagatan manusia melalui Islam di samping menyuarakan aspek-aspek kemurnian berfikir dalam konteks kehidupan masyarakat Indonesia-Malaysia. Beliau juga amat prihatin dengan kehidupan masyarakat adat di Minangkabau walaupun beliau mengajukan banyak pembaharuan di dalam kehidupan masyarakat beradat di Minangkabau. Buku karangannya Adat Minangkabau Menghadapi Revolusi (1946) mencerminkan perihal ini.

Selepas beberapa hari menerima Honoris Causa dari UKM pada tahun 1974 Hamka menerima jemputan Almarhum Tuanku Jaafar Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Dalam ceramahnya di Masjid Sri Menanti beliau mengajukan supaya keturunan masyarakat Minang di Negeri Sembilan turut lentur dan memperjuangkan kebenaran dengan keindahan alam di Sri Menanti. Berikut pantun yang digubahnya di ceramah itu:

Pisau raut di bonkok hulu

Dibentang tilam tengah alaman

Pasir dan laut menjadi guru

Alam terbentang jadi pedoman

Antara 1970 hingga 1978 Hamka kerap berkunjung ke Malaysia atas anjuran pelbagai pihak. Setiap kali beliau berceramah usaha merapatkan Malaysia-Indonesia tidak pernah dilupai. Anjuran Hamka ialah supaya masyarakat sentiasa mengambil langkah-langkah kemasyarakatan dan keagamaan dalam merapatkan kedua-dua negara ke arah persaudaraan intim. Beliau sentiasa mencari asas-asas perpaduan budaya melalui Islam, adat Perpatih dan lain-lain lingkungan hidup. Gaya Hamka berpidato agak biasa, termasuk yang disampaikannya melalui Radio dan Television Malaysia (RTM) ketika itu, tetapi perbandingan bayangannya yang sering cenderung kepada keadaan di Minangkabau dan Tanah Jawa amat ketara. Penggunaan ayat-ayat al Quran dan hadis memang beraliran mudah di bibirnya di samping menyelitkan kata-kata dan perbilangan adat.

Sewaktu Presiden Sukarno mengasakkan dasar konfrontasi terhadap Malaysia sebelum Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, Hamka banyak memainkan peranan untuk kontra dasar "ganyang Malaysia" anjuran Sukarno. Masih diingati kata-kata beliau dari Jakarta, "Mengapa perlu bertingkah senjata dengan jiran yang sebangsa, seagama dan sebudaya. Bukankah kita serumpun?". Kata-kata itu amat ketara untuk menonjolkan pendirian kasihnya terhadap Malaysia.

Cekal

Lantaran pendiriannya yang cekal menyanggahi dasar ganyang Malaysia, pemerintahan Sukarno mengenakan Hamka hukuman tahanan rumah bagi tempoh 1964-1966.

Tuanku Jaafar memang tertarik dengan penulisan, pidato dan komunikasi Hamka yang lunak terhadap Malaysia. Yamtuan Negeri Sembilan itu pernah mengutus seorang sahabat ke Jakarta untuk menziarahi beliau dalam tahanan. Malangnya permohonan untuk menemui Hamka telah tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa Indonesia ketika itu.

Dalam tempoh tahanan itulah Hamka menyiapkan karya besarnya Tafsir al-Azhar dalam lima jilid. Beliau pernah mengakui secara positif bahawa penahanannya selama dua tahun itu memberi peluang kepadanya menyudahkan karier hebatnya itu.

Seminar mengenai sumbangan Hamka yang dikendalikan di UKM minggu lalu membawa banyak kenangan di samping manfaat sampingan. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan lantas menyumbang dermasiswa penyelidikan mengenai Hamka, peranannya sebagai seorang pujangga, seorang guru, pejuang kebenaran dan khususnya sebagai pembina jambatan muhibah Indonesia-Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Mulut berbau

Halitosis disebabkan sisa makanan di celah gigi, gusi bermasalah

MASALAH mulut atau nafas berbau sememangnya memalukan. Namun, ia pasti lebih memalukan jika mereka yang mengalami tidak menyedarinya atau membiarkannya tanpa sebarang tindakan.

Ini kerana masalah yang juga dikenali halitosis ini bukan setakat membabitkan individu tetapi juga boleh menyebabkan seseorang itu dijauhi. Apakah puncanya masalah ini?

Faktor utamanya adalah disebabkan sisa makanan yang tertinggal di celah gigi. Sisa yang tidak dibersihkan pula akan mereput dan akhirnya menyebabkan nafas berbau. Masalah gusi juga mungkin boleh menyebabkan mulut berbau.

Justeru, memastikan mulut sentiasa bersih adalah tanggungjawab kita sepanjang masa. Mulut tidak hanya membantu fungsi mengunyah makanan, tetapi pada masa sama menjadi rumah kepada ratusan dan mungkin utaan jenis bakteria. Keseimbangan antara jenis-jenis bakteria ini memastikan mulut sentiasa segar.

Perlu diingat, punca mulut berbau tidak sama bagi setiap orang. Pemeriksaan dengan doktor gigi akan memastikan punca sebenar masalah anda.

INFO: Tanda-tanda mulut anda berbau

  • Anda sering berasa ada bau busuk atau rasa kurang enak dalam mulut
  • Rakan atau orang di sekeliling menutup mulut atau mengalihkan pandangan apabila anda bercakap
  • Ada rakan yang menegur atau menghulurkan gula-gula kepada anda
  • Ada kesan atau calitan berwarna kuning atau putih pada lidah anda.
Ada beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini. Kerap kali, menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan perbuatan flos gigi setiap hari juga membantu menghilangkan bau mulut.

Langkah lain boleh diambil bagi mengurangkan masalah bau mulut:

1) Minum teh

Kajian mendapati bahan kimia dalam teh hijau dan teh hitam dikenali sebagai ‘polyphenols’ membantu menghentikan pertumbuhan bakteria yang bertanggungjawab dalam masalah mulut berbau.

2) Minum banyak air

Minum banyak air membantu mulut kekal lembap. Dalam kepercayaan perubatan Cina, mulut berbau disebabkan kepanasan yang berlebihan dalam perut. Air, sup atau buah-buahan seperti timun membantu menyeimbangkan tubuh. Sementara minuman seperti kopi, susu, makanan bergoreng atau makanan pedas dipercayai hanya menambah masalah. Apa saja jenis minuman terutama air kosong membantu membuang partikel kecil makanan dan lebihan mukus daripada mulut. Ia juga membantu mengelakkan mulut kering.

3) Penggunaan herba

Selain mengunyah gula-gula getah, amalan mengunyah herba seperti pudina, rosemary dan selasih dapat membantu mengurangkan bau mulut.

4) Belajar mengawal tekanan

Sesetengah orang terutama lelaki muda memiliki rejim kebersihan gigi yang baik tetapi mungkin ramai tidak menyedari yang tekanan meningkatkan penghasilan bau mulut.

5) Berhenti merokok

Merokok bukan saja membuatkan mulut berbau tetapi juga mengeringkan mulut.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 29 Januari 2010

KALAM TIMUR

Agama di kepala
bangsa di dada
tanah air di rasa
geletar dalam petaka
sakit teriak tangis di panggung tragis
pentas makin terbuka
di tangan onar petualang
wayang seancak berpesta
dalang bertukar pendusta
geger di bendul demokrasi
cendekia hilang peri.

Di manakah kalam timur?
unjuk muka keluar bertempur
buka mulut khabarkan warta
kebenaran luka duka bangsa
durjana kian berani memusnah
makmur nusa akan punah ranah
baca, baca, tulis hakikat sejarah

pegang kitab suci fahami sirah.

A AZIZ DERAMAN
Kuala Terengganu

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jenayah perdagangan manusia cemar imej Malaysia

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my


Kerajaan ambil langkah agresif kekang aktiviti dengan penguatkuasaan lebih bersepadu

MALAYSIA sedang memperkemas serta memperincikan tindakan untuk mengawal aktiviti pemerdagangan manusia yang bukan saja dihadapi negara ini, malah ia juga fenomena seluruh dunia. Isu perdagangan manusia juga dianggap landskap jenayah baru di Malaysia berbanding negara lain yang sudah berakar umbi sehingga mampu mengancam keselamatan dan keamanan negara.


Perangkaan rasmi memperlihatkan kira-kira 2.7 juta manusia diseludup di seluruh dunia setiap tahun dengan 80 peratus daripadanya membabitkan wanita dan kanak-kanak yang diperalatkan bagi tujuan tertentu termasuk pelacuran dan sebagainya. 

Keresahan itu turut menghantui Kerajaan Malaysia dengan mengambil tindakan agresif untuk membendung aktiviti itu termasuk meminda dan menggubal Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dan dikuatkuasakan Februari 2008 lalu, daripada terus bersarang.


Laporan terbaru, kira-kira 40,000 rakyat India 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen, selain lebih 50,000 warga China hilang apabila visa waktu ketibaan (VOA) mereka tamat tempoh adalah antara persoalan yang perlu diambil perhatian.


Apa yang nyata, pelbagai keistimewaan yang dilakar negara ini dalam pelbagai aspek mampu menggamit warga asing mengunjungi negara kita atas faktor potensinya sebagai destinasi pelancongan yang terserlah serta antara lokasi yang banyak menawarkan peluang pekerjaan.


Malangnya, kesempatan itu disalah guna sebilangan warga asing dengan menjadikan Malaysia lubuk untuk menempatkan diri bagi tujuan menjana keuntungan. Lebih menakutkan kita apabila sebahagian pelancong asing itu mencari peluang dengan cara kotor untuk mengumpul kekayaan di Malaysia dalam bidang pelacuran atau jenayah lain sehingga mencemar imej negara.

Justeru, dengan perkembangan itu, Amerika Syarikat dalam laporan Antipemerdagangan Orang 2007 meletakkan Malaysia sebagai antara 16 negara berprestasi buruk dalam mengekang isu berkenaan secara tuntas.


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam ketika menjelaskan perkara itu dalam satu temu bual dengan stesen televisyen tempatan berkata, kerajaan melihat secara positif perkara itu dengan mengkaji apakah kelemahan yang dihadapi negara secara menyeluruh dalam isu berkenaan.

Pada masa sama, katanya, langkah bagi membanteras jenayah bentuk baru itu daripada terus berleluasa ialah memperketat pelbagai aspek termasuk dari segi kemasukan pelancong asing serta mengawal semua 262 pintu masuk ke sempadan negara yang dipercayai juga boleh menyumbang kepada jenayah perdagangan manusia.


Sejajar dengan landskap baru jenayah itu, kementerian berkenaan mengadakan kerjasama dengan badan antarabangsa seperti melatih anggota keselamatan untuk menangani pelbagai kemungkinan kemasukan warga asing bagi tujuan tertentu.

Katanya, sejak tahun lalu, pihaknya sudah melatih lebih 3,000 penguat kuasa dengan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan maklumat seperti mengenal pasti modus operandi yang menggunakan pelbagai taktik serta operasi mereka daripada dikesan pihak berkuasa.

Malangnya, beliau berpendapat ramai juga kalangan pelancong yang memasuki negara ini menggunakan taktik kotor untuk menetap di negara ini secara haram, selain menggunakan Malaysia sebagai transit untuk ke negara ketiga dan destinasi lain.



Sudah pasti, katanya, bagi mereka yang ingin menjadikan Malaysia sebagai negara transit atau sebagainya, peluang mereka akan terus ditutup rapat dengan mengesan mana-mana ruang kosong yang memungkinkan mereka mudah menyeludup masuk menerusi sempadan tanah air.


Bagi merealisasikan misi itu, pihaknya melatih penguat kuasa, pendakwa raya, hakim dan majistret mengenai pelbagai perkara termasuk Akta Antipemerdagangan Orang 2007 supaya mereka bersiap sedia berdepan isu terbabit.

"Kempen kesedaran untuk membasmi jenayah perdagangan manusia di kalangan masyarakat juga dipergiatkan. Jika Akta Imigresen mengesan mereka yang masuk secara haram, akta Antipemerdagangan itu mencakupi perkara dalam mencari dalang, ejen atau sindiket di sebalik aktiviti perdagangan manusia ini," katanya.

Beliau menjelaskan walaupun sudah ada Akta Antipemerdagangan Orang 2007, agak sukar untuk mengenal pasti jenayah perdagangan itu kerana pergerakan mereka begitu licik.

Apa yang dilakukan sekarang ialah dengan melihat kes demi kes melalui profil mereka seperti kekerapan kemasukan mereka ke negara ini atas tujuan apa, berapa banyak wang yang mereka ada sepanjang tinggal di sini, data wanita yang dianggap aktif iaitu berusia antara 21 hingga 35 tahun juga akan dilihat sebagai antara taktik yang mungkin digunakan mereka untuk meloloskan dan mengabui mata penguat kuasa.

Katanya, pada Sidang Parlimen sesi Mac depan, akta terbabit juga akan diperbincangkan dengan lebih jelas dan terperinci bagi memastikan akta berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Justeru, kita mengharapkan supaya jenayah perdagangan manusia itu dapat dikekang sepenuhnya menerusi akta sedia ada, penguatkuasaan yang lebih bersepadu serta koordinasi antara kementerian lain khususnya Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri bagi membersihkan imej negara daripada terus terpalit sebagai salah sebuah negara sarang jenayah itu.

Dengan kemudahan VOA yang ada sekarang, kerajaan tidak perlu memejamkan mata sebaliknya bangkit segera menangani isu ini sebelum terlambat. VOA itu sendiri juga perlu dikaji semula supaya tidak ada lagi pelancong asing atau mana-mana sindiket menggunakan kesempatan atas kelonggaran itu bertindak sesuka hati untuk mengaut laba menerusi perdagangan manusia.

Panorama Malaysia yang berbilang kaum ini lebih menyukarkan kita untuk mengenal pasti antara rakyat tempatan atau pelancong asing kerana paras rupa dan bahasa mereka khususnya dari China, India, Sri Lanka dan Indonesia tidak banyak bezanya apabila sudah bercampur dengan masyarakat di negara ini.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Menutup Keaiban Orang Lain


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata:


"Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah ta'ala akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah ta'ala akan sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya.

(Hadith riwayat Muslim)


Tidak ada orang yang tidak berdosa, dan tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan. Cuma bezanya, banyak atau sedikit, besar atau kecil, teruk atau tidak, kelihatan atau tidak kelihatan. Bagi orang yang bijaksana, ia memandang ke dalam dirinya(bermuhasabah) dan bertaubat daripada dosa-dosanya dan membetulkan
kesilapan-kesilapannya. Dia menutup keaiban orang lain, dia menjaga harga diri sendiri dan harga diri orang lain. Dengan cara itu dia telah mewujudkan suasana saling menghargai dan baik sangka terhadap orang lain.


Tetapi dalam keadaan tertentu, seperti menjadi saksi pada suatu pembicaraan, untuk membendung manusia supaya tidak terikut-ikut dengan kejahatan seseorang, atau mendedahkan keaiban orang yang memang dengan sengaja mendedahkan kesalahannya sendiri di hadapan orang ramai, maka hal yang sedemikian dibolehkan untuk keperluan yang disebutkan tadi sahaja, bukan untuk disiarkan di media-media untuk tontonan umum.

Sumber : Buku Akhlak Mulia, Empat Puluh Hadits, Khazanah Banjariah, Maahad Tarbiah Islamiah