Khamis, 25 Februari 2010

Contohi perjalanan hidup, perjuangan Rasulullah

Oleh Ibrahim Abdullah

SEWAJARNYA acuan hidup Rasulullah sebagai gambaran penampilan diri yang amat istimewa sentiasa dicontohi umat Islam. Secara fizikal, tingkah laku, sikap, tutur kata, pemikiran, emosi hingga keikhlasan hati dan keluhuran jiwa baginda terserlah sekali gus mencerminkan bentuk keperibadian yang nyata. Ia menyentuh dan membekas begitu mendalam pada sanak saudara, sahabat, tetangga dan kawan.

Tidak hairan selepas Rasulullah wafat, sahabat bertanya kepada Aisyah bagaimanakah gambaran baginda selama hidupnya? Aisyah tidak mampu menahan linangan air mata sambil berkata: “Segalanya begitu menakjubkan bagiku,” dan pada waktu lain Aisyah menjawab: “Sesungguhnya akhlak baginda adalah al-Quran.”

Secara fizikal, Rasulullah digambarkan sebagai lelaki yang kuat, gagah, berani, dada bidang dan itu ditandakan dengan kuatnya baginda melakukan banyak ibadat, mengerjakan pekerjaan biasa sebagai lelaki dan bahkan turut berperang. Tidak ada pilihan terbaik dalam mencontohi penampilan diri kecuali apa-apa yang Rasulullah ajarkan.

Al-Quran menginformasikan Rasulullah adalah teladan utama bagi umat manusia. “Sungguh ada pada diri Rasulullah itu suri teladan baik bagi kamu sekalian iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab: 21).

Keteladanan Rasulullah tidak hanya terbatas sejak baginda diangkat menjadi nabi dan rasul bahkan sejak baginda dilahirkan hingga wafat. Seluruh perjalanan hidup dan perjuangan baginda menjadi uswah hasanah dan teladan yang baik bagi umat manusia.

Dalam istilah agama, perjalanan hidup dan perjuangan baginda dinamakan as-sunnah. Secara bahasa, perkataan as-sunnah bererti kebiasaan atau tradisi. Namun dalam istilah agama, as-sunnah adalah apa yang menjadi kebiasaan Nabi Muhammad, perkataan, perbuatan mahupun persetujuan baginda mengenai suatu perbuatan yang dilakukan sahabat, sejak diangkat menjadi nabi dan rasul mahupun sebelumnya.

Ringkasnya as-sunnah adalah sirah atau perjalanan hidup baginda sejak lahir hingga wafat keseluruhannya adalah uswah, teladan agung bagi umat manusia.

Contoh uswah keteladanan, keunggulan, ketrampilan Rasulullah dalam kehidupan baginda dari remaja sehingga menjadi nabi dan rasul, juga pemimpin negara dan pemerintahan dapat dilihat meskipun baginda lahir sebagai anak yatim kerana kehilangan ibunda tercinta sejak berusia empat tahun. Baginda membesar sebagai remaja yang cerdas (fatanah), jujur dan boleh dipercayai (amanah), serta benar (siddiq) dalam ucapan dan perbuatan.

Ketika diangkat menjadi nabi dan rasul, terpadu secara simfoni dengan sifat tabligh (menyampaikan) dengan empat sifat itu adalah sifat wajib mesti ada secara rasional pada diri seorang nabi dan rasul sebagai utusan Allah.

Muhammad Husain Haikal, penulis sirah (biografi) terkenal dari Mesir menyatakan, rahsia kejayaan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib tidak hanya ditentukan oleh empat sifat yang menjadi kredibiliti seorang nabi dan rasul tetapi juga kerana baginda sejak remaja memiliki kebiasaan ta’ammulat, mengamati, memikirkan, merenungkan keadaan sekitar, alam maya, geografi, sosial, politik dan kebudayaan termasuk adat istiadat masyarakat Arab waktu itu.

Hasil proses ta’ammulat yang dilakukan secara tekun dan teliti itu menjulang baginda menjadi remaja yang mempunyai teladan dan peribadi cemerlang. Baginda juga dapat menyelesaikan masalah berbangkit antara kabilah di Makkah ketika meletakkan Hajaral Aswad di tempat asalnya di Kaabah. Kehadiran baginda menjadi rumusan bagi pelbagai masalah dengan kreatif, inovatif dan cerdas pemikiran mahupun tindakan.

Dalam rumusan yang diusulkan baginda ada nilai kearifan, kecerdikan dan kepintaran yang boleh menjadi inspirasi bagi pejuang perdamaian, keadilan dan kemanusiaan. Bahkan dalam kata hikmah disebutkan ‘yadullah maal jamaah’ (tangan Allah berada dalam jemaah kebersamaan).

Jelas, banyak lagi contoh teladan boleh diambil untuk mencontohi dan mengikuti jejak langkah yang ditampilkan Rasulullah dalam kehidupan harian bagi kaum Muslimin bersempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.

Firman Allah bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyya': 107).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Muhasabah sambut Maulud Nabi

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

IRONINYA menjelang sambutan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seluruh masyarakat Islam di Malaysia melakukan pelbagai persiapan termasuk perarakan, program ceramah dan forum bagi memperingati kelahiran insan agung ini.

Segalanya dilakukan demi menunjukkan rasa kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi terhadap baginda yang telah membawa rahmat dan kesejahteraan untuk seluruh alam.

Ini juga bertepatan dengan sabdanya yang bermaksud "Tidak beriman seseorang kamu kecuali aku lebih dicintai daripada kedua ibu bapanya, anak dan manusia keseluruhannya".

Namun setelah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad SAW diutuskan dengan seruan untuk mentauhidkan Allah SWT serta memperelok akhlak manusia, terdapat segelintir masyarakat Islam yang masih tidak mengerti ajaran mulia yang dibawa oleh baginda.

Perkara ini dapat dilihat daripada sudut kepercayaan, amalan syariah dan akhlak mulia yang sepatutnya sebati dalam diri individu Muslim. Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen utama ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Kepentingannya boleh diibaratkan seperti sebatang pokok yang tegak berdiri dek kerana akar tunjang yang menusuk bumi, dihiasi pula dengan dahan, ranting serta daun-daun menghijau yang kemudian menghasilkan buah yang enak dimakan.

Kegagalan menghayati ajaran Islam sebagai cara hidup telah menyebabkan, aspek kepercayaan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman yang menjadi tonggak keutuhan akidah umat Islam tercalar lalu menyumbang gejala kerosakan akidah yang membimbangkan.

Terbaharu, pendedahan sebuah kumpulan ajaran sesat di Putrajaya, jelas menyimpang daripada landasan akidah yang sebenar. Bagaimana mungkin seseorang mendakwa melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman AS, sedangkan nikmat mimpi melihat Nabi Muhammad SAW pun sukar untuk diperoleh. Begitu pula dakwaan memiliki kitab yang mempunyai petunjuk lebih jelas berbanding al-Quran merupakan pembohongan nyata yang mengelirukan umat Islam.

Gejala kerosakan akidah, berjangkit pula kepada masalah pelaksanaan undang-undang syariah, lalu ada yang berani mempersoalkan hukuman sebat kepada pesalah zina dan peminum arak.

Bukankah Allah SWT dengan jelas menyatakan dalam Surah al-Maidah bahawa orang yang berzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat dengan 100 kali sebatan, tanpa belas kasihan.

Dalam konteks pelaksanaan ibadah pula, secara sedar atau tidak masih ramai yang melaksanakan ibadah tetapi di bawah indeks pencapaian kualiti ibadah (KPI) yang ditetapkan. Sebagai contoh, ramai yang solat tanpa disertai rasa khusyuk dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Begitu juga ada yang tak malu jika tidak berpuasa pada bulan Ramadan, orang kaya khuatir disindir kedekut jika tidak bersedekah ataupun pergi haji sekadar untuk mencukupkan pingat dan gelaran sedia ada.

Apabila kerosakan akidah dan syariah semakin parah, ia menyumbang pula kepada kehancuran akhlak dan nilai murni yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpelukan, berciuman di khayalak ramai bahkan bersekedudukan seolah-olah menjadi gaya hidup kepada sesetengah masyarakat Islam.

Cara hidup yang tidak berpaksikan kecantikan akhlak Islam ini menyumbang pula kepada peningkatan maksiat, pembunuhan, buang dan bakar bayi, minum arak dan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral. Begitu juga tatacara berpakaian yang menjolok mata dan menampakkan susuk tubuh sedikit sebanyak menyumbang kepada jenayah rogol dan gangguan seksual yang menjadi-jadi.

Apa yang berlaku menampakkan realiti kehidupan umat Islam hari ini lebih buruk daripada masyarakat Arab jahiliah ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan. Kalau dahulu mereka sanggup menanam anak hidup-hidup kerana malu dikurniakan cahaya mata perempuan kini segelintir masyarakat Islam lebih ke hadapan kerana tergamak membunuh sesiapa sahaja tak kira bayi perempuan, lelaki hatta khunsa sekalipun kerana malu akibat keterlanjuran zina yang dilakukan.

Terbaharu kes bayi ditemui dibakar adalah episod pembunuhan kejam segelintir masyarakat jahiliah moden yang tidak berpenghujung. Tindakan mereka bersifat kebinatangan dan langsung tidak berperikemanusiaan.

Lalu apakah cukup maulud Nabi Muhammad SAW diingati hanya dengan mengadakan majlis di masjid dan surau, kawasan kejiranan dan di jabatan-jabatan tertentu selama berbulan-bulan lamanya tanpa dihayati dan dilestarikan sunah dan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

Jika begitulah amalannya ia tak ubah seperti meraikan sambutan hari jadi biasa yang dipenuhi pelbagai kuih-muih juga hidangan nasi minyak yang menyelerakan, diselitkan pula dengan sesi ceramah seperti program Raja Lawak yang menyebabkan semua hadirin ketawa terbahak-bahak dan pulang tanpa memperoleh apa-apa.

Ada pula yang mengadakan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu trend bagi memenuhi aktiviti tahunan yang juga perlu dihindari bagi mengelak tanggapan serong yang bakal mencemarkan kesucian institusi kenabian.

Justeru, sempena ketibaan hari mulia ini, umat Islam diseru untuk mengamalkan 4M terhadap sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW. Mereka diseru memiliki sekurang-kurangnya sebuah kitab sirah, kemudian membaca, memahami isi kandungannya dan mempraktikkan setiap sunnah tinggalan nabi sebagai jalan selamat untuk beroleh kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Dengan cara ini juga kita akan lebih mengenali personaliti dan peribadi Nabi yang dikasihi oleh kawan dan lawan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

SALAM MAULIDUR RASUL (S.A.W) 1431 HIJRAH

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingati Allah."
( Al- Ahzab(33) : Ayat 21)


Pelajar SMKTPP Tg Muhammad Pelajar Terbaik Negeri Pahang

GAN DEE YEE

2,573 calon STPM lulus penuh

KUANTAN - Pahang mencatatkan penurunan 0.10 peratus kelulusan penuh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) bagi tahun lalu 95.94 peratus berbanding 2008 (96.04 peratus).

Pada keputusan yang diumumkan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cenderawasih, di sini, semalam menunjukkan seramai 2,573 atau kira-kira 96 peratus daripada 2,684 calon negeri mencatat kelulusan penuh STPM 2009.

Daripada jumlah 47 sekolah bantuan penuh kerajaan yang mendaftarkan calon peperiksaan STPM tersebut, seramai 401 calon mendapat lima prinsipal (5P), 1,144 (4P), 492 (3P), 308 (2P) dan 230 (1P).

Dalam pada itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis muncul sekolah terbaik di negeri ini selepas mencatat keputusan kelulusan 100 peratus dalam STPM 2009 apabila 28 calonnya memperoleh pencapaian tertinggi 5P.

Pelajar sekolah itu, Hoo Xiao Mei mendapat Gred A dalam semua 10 kertas bagi lima mata pelajaran yang diambil. Seorang lagi calon yang berjaya mencatat keputusan sama adalah pelajar SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, Gan De Yee.

Sekolah itu antara 14 sekolah di negeri ini berjaya mencapai keputusan kelulusan 100 peratus
.

Sekolah itu juga berjaya mengekalkan keputusan sama seperti yang tercatat pada 2008 dan tujuh lagi sekolah lain yang berjaya mengekalkan keputusan sama adalah SMK Tengku Abdullah, Pekan, SMK Tersang, Raub, SMK (Agama) Tengku Ampuan Hajah Afzan, Jerantut, SMK Seri Rompin, SMK (Perempuan) Methodist, Kuantan dan SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan dan SMK Tengku Ampuan Afzan, Maran.


Selebihnya, SMK Padang Saujana, Jerantut, SMK Chini, Pekan, SMK Seri Jengka, Maran, SMK Alor Akar, Kuantan, SMK Tanjung Gemok, Kuala Rompin dan SMK Cenderawasih yang turut mencatat keputusan sama.

Abdul Aziz berkata, selain 14 sekolah tersebut, terdapat 30 sekolah mencapai kelulusan melebihi 90 peratus dan tiga lagi melebihi 80 peratus.

Menurutnya, dua calon berjaya merangkul keputusan semua A bagi lima pelajaran dan 13 lagi mendapat keputusan cemerlang semua A bagi empat mata pelajaran yang diambil.

“Daripada segi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK), SMK Clifford mencatatkan prestasi terbaik peringkat negeri dengan PNGK 3.22 dan 22 calon berjaya mencatat PNGK 4.0,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 22 mata pelajaran ditawarkan di sekolah untuk calon STPM tahun lalu dan 14 mata pelajaran mencapai keputusan peratusan lulus penuh yang meningkat daripada 1.69 hingga 24.54 peratus.

Ditanya pencapaian pelajar antara sekolah bandar dan luar bandar, beliau berkata, kedua-duanya mencatat keputusan seimbang menunjukkan kemudahan dan tenaga pengajar yang sama rata di kedua-dua jenis sekolah itu.

“Kalau kita lihat analisis kelulusan, terdapat juga sekolah dari kawasan Felda iaitu SMK Chini dan Tersang mencatat kelulusan 100 peratus,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Rabu, 24 Februari 2010

Golongan lelaki mesti berusaha meningkatkan ilmu

MUNCUL semula isu membabitkan wanita menguasai pelbagai bidang pekerjaan di negara kita. Isu ini sekejap timbul sekejap hilang. Ia muncul semula selepas statistik atau kajian terbaharu dibuat mengenainya.

Semua pihak memahami bahawa dalam sesetengah bidang terutamanya perguruan, jumlah tenaga pengajar wanita lebih ramai, malah melebihi dua pertiga. Masalah disiplin di sekolah dikatakan berpunca daripada ramai tenaga pengajar wanita berbanding lelaki.

Walaupun ada yang menafikan tetapi setidak-tidaknya rasa gerun pelajar terhadap guru wanita lebih rendah berbanding guru lelaki. Apabila pekerja sektor awam dan swasta dikuasai oleh wanita, ada pihak mencadangkan tindakan menambah guru lelaki turut dilakukan.

Soalnya sekarang, minat belajar dan jumlah penuntut di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi di seluruh negara dikuasai oleh pelajar wanita. Merekalah yang rajin belajar dan ada kesedaran pentingnya ilmu.

Soalnya juga, ke mana perginya golongan lelaki? Oleh sebab malas membaca, maka ramai pelajar lelaki tidak mahu belajar tinggi terutama jika ia melibatkan soal kena banyak membaca, kena buat tesis dan sebagainya.

Di institusi pendidikan yang berteraskan kemahiran pun, sudah mula terdapat ramai pelajar wanita. Mereka juga sudah belajar tentang komputer sehinggalah cara-cara hendak membaiki komputer, mereka menguasainya.

Kita percaya, lama-kelamaan dalam kursus buat rumah dan bina bangunan pun, akan ada lebih banyak pelajar wanita. Tidak cukup dengan pegawai-pegawai pertanian, golongan wanita juga sudah ada yang mengusahakan kolam ikan, kolam udang dan sebagainya.

Oleh itu, golongan lelaki mesti merebut peluang yang ada di hadapan mereka untuk bersaing dengan wanita. Tidak perlulah mereka membuang banyak masa dengan tidur, melepak, merempit, dadah dan sebagainya yang tidak membawa apa-apa keuntungan.

Jika mereka amalkan perkara itu secara berterusan, kita percaya golongan wanita akan membolot semua jenis pekerjaan termasuk bidang pekerjaan yang memang dikuasai oleh lelaki. Kita tidak boleh menolak golongan wanita jika mereka ada keupayaan, ada ilmu, kemahiran dan layak memegang sesuatu jawatan, apatah lagi jika tidak ada calon lelaki yang sesuai dan layak bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Sekarang, peluang untuk menuntut ilmu cukup luas. Di samping universiti, banyak kolej dibuka dan kursus-kursus yang ditawarkan sesuai dengan pasaran kerja negara.

Tempat-tempat itulah yang perlu diisi oleh lelaki, bukannya memenuhi katil-katil hospital dalam keadaan kaki dan tangan berbalut kerana terlibat dalam kemalangan atau merempit, atau memenuhi pusat-pusat serenti atau penjara kerana pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

Kesedaran sangat penting bagi golongan lelaki untuk menentukan arah dan masa depan mereka. Walaupun kita tidak menafikan hak wanita untuk sama-sama belajar dan bekerja dalam pelbagai bidang, tetapi kita bimbang sistem sosial berubah jika ramai wanita memegang jawatan tinggi dalam sektor-sektor tertentu.

Malah, di dalam kehidupan berumah tangga, akan ada masalah yang bakal timbul iaitu soal rasa rendah diri lelaki terhadap isterinya, apatah lagi jika pendapatan isteri lebih tinggi.

JASNI MAJED

Kapar, Selangor

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Kemelut bahasa Melayu

Oleh Nurul Farina Nazlan

Mampukah kedudukannya dipertahan seperti dalam Perlembagaan Negara

BEBERAPA ilmuwan bukan Melayu mengejutkan khalayak Wacana Hari Pejuang Bahasa 152 ketika memperkatakan ranjau dan duri yang terpaksa dilalui bahasa Melayu apabila mereka tampak lebih Melayu daripada sesetengah bangsa Melayu sendiri dalam hal ini.

Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Ridhuan Tee Abdullah, sebagai Cina Muslim tampak begitu bersimpati dengan nasib bahasa Melayu di negara ini apabila keluar dengan pandangan bahawa segala yang disaran dan diperdebatkan mengenai isu bahasa Melayu tidak akan bermakna tanpa ada semangat yang kuat.

“Soal bahasa adalah perkara besar kerana ia juga boleh diletakkan sebagai maruah sesuatu bangsa. Soalnya sekarang ialah siapa yang ingin melaksanakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan? Sampai bila isu bahasa mahu dipolitikkan. Kita semua perlu ada sikap bertolak ansur.

Jika jiwa pihak atasan sudah tiada jiwa Melayu, bagaimana caranya mereka ingin mendidik orang yang berada di bawah untuk mencintai bahasa rasmi sendiri,” soalnya dalam nada sebak pada wacana di Balai Budaya Tun Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wacana bersempena Majlis Perasmian Hari Pejuang Bahasa ‘152’ dihadiri lebih 100 peserta menyarankan semua rakyat Malaysia tidak mengira agama, bangsa dan warna kulit, perlu bersatu padu mempertahankan dan mendaulat kembali bahasa Melayu pada kedudukan sewajarnya.

Pensyarah Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Dr S Nathesan Sellapan, pula berpandangan bahawa bahasa Melayu bukan saja untuk orang Melayu, tetapi ia adalah bahasa bangsa Malaysia yang perlu diselaraskan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perjuangan ini tidak boleh dilakukan oleh bangsa Melayu saja kerana ia perlu dilaksanakan oleh semua masyarakat di Malaysia, malahan kita boleh lihat bahawa pembabitan masyarakat di Sabah dalam mendaulatkan bahasa Melayu adalah sangat kuat,” katanya.

Semangat memartabatkan bahasa Melayu semakin membara apabila Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Profesor Emeritus Dr Abdullah Hassan, menekankan tidak mudah untuk ‘memandaikan’ rakyat Malaysia seramai 24 juta orang dalam bahasa Melayu.

Ini kerana ia memerlukan ketekunan, dokongan dan kewangan daripada pihak berwajib. Isu penggunaan bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan membawa banyak mudarat kepada pembangunan modal insan untuk negara ini,” katanya yang juga Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).

Beliau berharap bahasa Melayu diperkasakan semula ekoran kejayaannya ditenggelamkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 dan turut membidas segelintir pemimpin yang ‘lebih sudu daripada kuah’ dalam isu bahasa Inggeris, sedangkan bahasa mereka tidak sehebat mana.

Sejak pelaksanaan PPSMI, setiap tahun 300,000 pelajar terkandas dan siapa yang wajar dipertanggungjawabkan atas kegagalan ini. Saya berharap Kementerian Pelajaran dapat memperbaiki kembali kerosakan ini agar pelajar ini tidak kecundang.

“Semua pihak perlu sedar bahawa kita tidak boleh membina peradaban tanpa ilmu yang dikendalikan dalam bahasa kita sendiri. Hanya dengan ilmu di dalam bahasa rasmi negara ini, kita dapat membina peradaban dan memantapkan negara,” katanya

Ledakan kemarahan berhubung perkara ini dapat dikesan pada Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad yang nyata kesal dan peliknya kerana bahasa Melayu masih bergelut dengan usaha memartabat, memperkasa dan memperjuangkannya selepas lebih 52 tahun dasar kebangsaan digubal.

Hal ini pelik bagi saya, kerana bahasa yang martabatnya hendak diperjuangkan atau diperkasakan ini bukan bahasa kecil-kecilan atau yang hayatnya hampir pupus tapi, ia adalah bahasa besar yang lebih 1000 tahun menjadi alat pembina tamadun tinggi di seluruh rantau Melayu-Indonesia,” katanya ketika menyampaikan ucap utama Perjuangan Bahasa Melayu Yang Tidak Sudah-Sudah. Mengapa?

Baginya masalah yang timbul berkenaan bahasa Melayu bukan disebabkan ia tidak layak menjadi alat kemajuan bangsa dan negara, tetapi kerana dasar yang ada tidak dilaksanakan dengan tegas, benar dan jujur, sering kali diselewengkan pihak tertentu.

Dasar itu selalu dikotak-katik atau menjadi mangsa pendirian, pendapat dan kepercayaan orang berkuasa, lalu diubah sesuka hati tanpa merujuk kepada Perlembagaan Negara, Parlimen, undang-undang bahasa ataupun secara rundingan dan perbincangan dengan pakar dasar bahasa Melayu di negara ini,” tegasnya.

Dr Hassan berpendapat, orang yang tidak pandai menggunakan bahasanya sendiri, tidak pandai berfikir lagi dalam bahasanya, tidak layak menjadi wakil rakyat, menteri dan pegawai kerajaan di negaranya selain berharap NGO Melayu bersatu untuk mempertahankan taraf dan fungsi bahasa Melayu dan tidak membiarkan ia diperalatkan sesiapa juga.

Pada sesi soal jawab, Pensyarah Jabatan Malaysia dan Indonesia, Pusan University of Foreign Studies, Prof Dr Kang Kyoung Seok, berkata penggunaan bahasa utama dunia bukanlah tunjang utama kegemilangan dan kemajuan sesebuah negara.

Korea sendiri tidak mendaulatkan dan mengutamakan bahasa Inggeris dalam aspek pembangunan ekonomi dan pendidikan kerana bagi kami, bahasa Korea sangat indah dan perlu dikekalkan. Saya sendiri berpandangan bahawa bahasa Melayu adalah antara bahasa indah di dunia dan wajar didaulatkan dalam negara dan rumpunnya sendiri,” jelasnya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Selasa, 23 Februari 2010

Kita mesti bijak urus buruh asing

MENGIKUT pakar ekonomi dunia, lima faktor menjadi teras penjanaan ekonomi iaitu keusahawanan, perbelanjaan kerajaan, tenaga buruh, pelaburan asing dan sumber alam semula jadi. Untuk isu perbelanjaan kerajaan, pihak berkuasa perlu mencari banyak dana bagi memulihkan ekonomi.

Kejayaan mencari dana besar bagi menggiatkan pelbagai projek pembangunan dalam negeri akan merancakkan ekonomi. Sebahagian besar projek pembangunan negara akan mengundang keperluan buruh asing terutama dalam bidang pembinaan.

Usahawan pula adalah tonggak pergerakan ekonomi dalam negara. Ramai usahawan mendapat manfaat dengan kehadiran pendatang asing di Malaysia. Pendatang asing yang tinggal di negara ini tentu mempunyai keperluan seperti makan minum dan pakaian.

Perbelanjaan hasil titik peluh mereka memberi sumbangan kepada ekonomi negara. Tidak dinafikan juga banyak usahawan bergantung kepada tenaga buruh asing. Ramai juga terpaksa tutup kedai jika tiada buruh asing mengusahakan perniagaan mereka.

Kebanyakan pelabur asing melabur di Malaysia suatu ketika dulu kerana kos operasi murah di samping faktor lain seperti kestabilan ekonomi dan insentif kerajaan. Oleh kerana buruh tempatan sekarang sudah mempunyai tahap ekonomi tinggi, mereka tidak berminat dengan kerja sosioekonomi rendah.

Akibatnya peluang ini diambil buruh asing dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh. Kebanyakan industri yang dilaburkan mereka adalah intensif buruh. Jika kos mengguna buruh asing juga tinggi disebabkan kos pengambilan dan levi tinggi, pelabur asing akan berbondong-bondong memindahkan operasi ke negara sumber buruh seperti Vietnam, Indonesia, Thailand dan Myanmar.

Tenaga buruh tidak kira tempatan atau asing menyumbangkan nilai kepada pembangunan ekonomi negara. Tenaga asing tidak semestinya menggantikan fungsi buruh tempatan kerana ia akan menjadi tenaga buruh nilai tinggi.

Kehadiran buruh asing membolehkan tenaga buruh tempatan dinaik taraf kepada peringkat eksekutif atau pengurusan dan keusahawanan. Kehadiran buruh asing menggambarkan ekonomi memerlukan ramai buruh untuk pembangunan industri.

Negara maju juga menggunakan buruh asing untuk kerja sosioekonomi rendah. Mereka tidak menggunakan tenaga buruh tempatan untuk kerja berat, kotor dan bahaya. Tenaga buruh mereka dinaik taraf kepada bidang berinovasi dan kreatif.

Malaysia mempunyai banyak kelebihan dengan sumber alam semula jadi. Mengeluarkan hasil seperti kelapa sawit dan makanan memerlukan sumber tenaga buruh intensif. Rakyat Malaysia sebagai pemilik tanah berupaya menjadi usahawan tani yang berjaya jika sumber buruh asing mudah diperoleh.

Tanah terbiar mudah diusahakan untuk mendatangkan hasil lumayan daripada permintaan dalam dan luar negara.

Sementara itu, usahawan yang kreatif akan meneroka industri hiliran untuk menghasilkan pelbagai produk hasil tani bagi pasaran tempatan dan eksport.

Kesimpulannya, kehadiran pendatang asing suatu manfaat jika diuruskan dengan baik. Pengurusan secara birokratik dan korup merugikan negara. Kita perlu mencontohi negara maju seperti Amerika, Korea dan Singapura menguruskan sumber tenaga asing.

ANAK WAWASAN,
Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/