Ahad, 4 April 2010

Usah rosak masa depan pelajar


TERBANTUT...walaupun memperoleh keputusan cemerlang, ulasan yang ditulis pada sijil berhenti sekolah boleh membantutkan hasrat pelajar melanjutkan pelajaran. - Gambar hiasan

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

DEK kerana ulasan pengetua yang tidak munasabah, hasrat untuk memasuki institusi pengajian tinggi terbantut.

Itulah dilema 22 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan apabila dilabel sebagai murid tidak berdisiplin dalam sijil berhenti sekolah walaupun tidak melakukan kesalahan serius sepanjang tempoh persekolahan.

Lebih mengejutkan, ada antara mereka pernah menyertai acara sukan hingga berjaya mewakili negeri, tetapi sumbangan berkenaan tidak diiktiraf kerana tidak dicatat dalam sijil berkenaan.

Mengapa perkara ini boleh berlaku? Bukankah sepatutnya sijil berhenti sekolah ditulis dan diberi ulasan oleh guru kelas bukannya pengetua? Apakah tindakan pengetua itu wajar? Dalam keadaan sebegitu, apakah yang harus dilakukan atau apakah langkah yang perlu diambil pelajar supaya mereka boleh melanjutkan pelajaran? Yang Dipertua (YDP) Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana ia membabitkan masa depan pelajar.

Katanya, pelajar yang melakukan kesalahan sudah diberikan hukuman sama ada menerusi tindakan disiplin atau gantung sekolah .

"Sejahat atau senakal mana pun pelajar itu, tindakan memberi ulasan yang tidak munasabah bukanlah cara menghukum mereka.

"Ini kerana tindakan sewajarnya sudah diambil setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

"Justeru, pengetua perlu rasional dalam mengambil sebarang keputusan dan bukan menganiaya serta merosakkan masa depan mereka," katanya.

Sebagai pengetua, kata Azam, mereka perlu bimbing pelajar yang membuat kesalahan dan bukannya merosakkan masa depan mereka.

"Pelajar memang tidak lari dari membuat kesilapan dan tindakan sewajarnya harus dikenakan supaya mereka menginsafi kesalahan mereka itu.

"Tetapi menulis ulasan yang boleh merosakkan masa depan pelajar tidak wajar. Justeru, saya berharap, perkara ini tidak akan berulang dan pengetua akan lebih rasional dalam hal-hal seperti ini," katanya.

Tambahnya lagi, ketika membuat penilaian, guru atau pengetua perlu melihat kembali sumbangan yang diberikan pelajar terhadap sekolah, negeri dan mungkin negara.

"Dalam melakukan penilaian terhadap pelajar, semua aspek perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan dari satu sudut saja iaitu disiplin.

"Ramai juga di kalangan pelajar yang aktif dalam sukan atau kokurikulum dan pernah mengharumkan nama sekolah, tetapi turut mempunyai kes disiplin.

"Justeru, nilai dengan baik dan kenang kembali jasa serta titik peluh mereka dalam mengharumkan nama sekolah dan bukan menilai mereka dari sudut kesalahan semata-mata," katanya. Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil, kata Azam, buat masa ini masih belum ada tindakan khusus yang akan dikenakan terhadap pengetua itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau sudah mengarahkan YDP negeri Kedah untuk berjumpa pengetua terbabit.

"Buat masa ini, YDP negeri akan berjumpa dengan pengetua terbabit dan menasihatinya supaya tidak mengulangi perkara itu lagi.

"Kita juga akan membangkitkan kes ini dengan lebih terperinci dan tindakan yang akan diambil jika perkara ini berlaku lagi di mesyuarat peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada Jun ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Profesor Madya Mohd Ali Hassan berharap perkara berkenaan akan menjadi peringatan kepada guru besar atau pengetua di masa akan datang.

Katanya, jika mahu memberi penilaian, semua sudut perlu dititikberatkan dan bukannya mengikut perasaan atau emosi.

"Penilaian yang ditulis terutama di sijil berhenti sekolah itu adalah sangat penting dan akan memberi kesan kepada pelajar.

"Seperti kes ini, pelajar akan menerima impak negatif terutama apabila mereka memohon untuk melanjutkan pelajaran. Jadi, ia seharusnya tidak berlaku," katanya.

Dalam hal ini, apa yang mungkin boleh dilakukan adalah dengan menggantikan sijil berhenti sekolah 22 pelajar terbabit dengan yang lain dan ulasan yang munasabah dan bukan merosakkan masa depan mereka.

"Kita ambil perumpamaan cek yang tidak boleh digunakan. Walaupun sudah tidak boleh digunakan, ia masih boleh diganti dengan yang lain.

"Begitu juga dengan sijil berhenti mereka ini. Saya harap sijil itu boleh diganti dengan yang lain supaya ia tidak menjadi satu halangan kepada kehidupan mereka nanti," katanya.

Selain itu, menurut Datuk Mohd Ali, perkara berkenaan diharap perkara ini tidak dipandang enteng oleh pengetua atau guru besar dan perlu dielakkan daripada ia berulang.

"Perkara ini tidak seharusnya berulang lagi kerana ia menggambarkan pengetua atau guru besar kurang bertimbang rasa atau berkemungkinan bermasalah.

"Justeru, mereka ini perlu diberi bimbingan atau kaunseling selain diberi pemulihan terhadap jati diri sebagai pengetua atau guru besar supaya mereka ini tidak melepaskan geram terhadap anak-anak," katanya.

Datuk Mohd Ali berkata, perkara seumpama tidak seharusnya berlaku kerana ia ibarat meletakkan racun di dalam makanan anak-anak.

"Walaupun mungkin mereka ini mempunyai masalah di sekolah, ia boleh diselesaikan dan bukannya menulis ulasan yang tidak sewajarnya pada sijil berhenti sekolah mereka," katanya.

Justeru, Datuk Mohd Ali berharap supaya pengetua, guru besar atau guru-guru yang memberi penilaian adalah mereka yang benar-benar terlatih atau dilatih secukupnya.

"Setiap penilaian tidak kira di kad kemajuan atau sebagainya perlu diisi dengan telus serta menilai mengikut sumbangan pelajar.

"Andai penilaian itu silap, ia akan merosakkan masa depan pelajar yang masih jauh. Jadi, perkara ini tidak boleh di abaikan dan dipandang mudah ketika menulis penilaian yang sememangnya cukup penting kepada pelajar," katanya.

Bagi 22 pelajar itu pula, katanya, beliau benar-benar berharap sijil berhenti sekolah mereka diperbetulkan supaya tidak menjadi penghalang kepada masa depan mereka.

"Kalau ia tidak diganti, saya takut ia akan meninggalkan tompok hitam dalam kehidupan mereka kelak," katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Berjaga-jaga sebelum gelombang kedua H1N1 menyerang

Kematian seorang ibu Maimunah Dimah, 54, dan anaknya, Sumarni Mat Nor, 29 di Hospital Melaka akibat jangkitan virus Influenza A (H1N1) menandakan semua rakyat negara ini perlu berjaga-jaga.

Angka korban virus maut itu di negara kita kini bertambah menjadi 79 orang setelah tujuh bulan terhenti pada 77 kes tahun lalu.

Semua pihak perlu mengambil pendekatan dan ingatan bahawa jangkitan H1N1 sudah kembali. Hakikatnya seperti yang diberitahu berkali-kali oleh Kementerian Kesihatan, H1N1 masih lagi aktif berlaku di dalam komuniti kita.

Sebab itu kerajaan tidak boleh isytiharkan negara ini bebas H1N1 selagi masih terdapat kes-kes H1N1 yang dilaporkan di beberapa negeri. Belum pasti lagi adakah gelombang kedua H1N1 sudah bermula. Tetapi orang ramai yang mempunyai tanda-tanda penyakit itu digesa segeralah mendapatkan pelalian secara percuma di 104 pusat kesihatan di seluruh negara.

Sekarang semua ahli keluarga dan masyarakat diminta mengambil langkah berjaga-jaga terhadap wabak selesema babi ini.

Jangan kita berfikiran wabak ini tidak akan menghampiri kawasan kediaman kita hingga tidak mengambil langkah kawalan.

Pengawalan dan penjagaan kesihatan adalah penting bagi mengelak berlaku gelombang kedua Influenza H1N1.

Dalam keadaan sekarang, eloklah kerajaan menggerakkan pasukan pemantau H1N1 yang ditubuhkan November lalu bagi menghalang berlakunya gelombang kedua wabak itu.

Situasi ini juga menuntut kerajaan segera meningkatkan pemantauan terhadap H1N1 di semua negeri, meningkatkan rawatan di semua hospital serta memperhebatkan lagi kempen mengenai H1N1.

Sehingga Khamis lalu, sebanyak 53 kes manakala 878 kes gejala seakan-akan influenza (ILI) dilaporkan berlaku di Melaka sahaja.

Kita bimbang jika gejala penyakit itu tersebar ke negeri lain tanpa kita sedari. Kementerian Kesihatan ada melaporkan terdapat trend peningkatan kes H1N1 di negara ini dengan purata 50 kes positif H1N1 dikesan setiap minggu.

Memandangkan keadaan ini, elok orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan dengan memakai semula penutup mulut dan hidung. Jika rekod menunjukkan sejumlah 12,688 kes positif H1N1 dicatatkan sejak April 2009 hingga Mac lalu dan hanya 77 orang meninggal dunia dalam tempoh itu, rasanya kita mampu menangani wabak ini sekali lagi.

Tetapi ia berbalik kepada kesediaan kita untuk memberi kerjasama demi kebaikan semua orang. Sebab, meskipun pihak berkuasa kesihatan mengambil langkah-langkah bagi menghalang kemunculan semula wabak H1N1 ini, keberkesanannya banyak bergantung kepada kesedaran orang ramai untuk bersama- sama menghayati dan melaksanakan apa juga langkah yang perlu diambil.

Jika doktor menasihatkan anda atau ahli keluarga anda berkurung di rumah dan mengambil ubat yang diberi, maka patuhilah arahan tersebut. Orang ramai juga janganlah bersikap semua perkara mesti dilakukan oleh kakitangan jabatan kesihatan, sebaliknya berusahalah ke pusat kesihatan terdekat untuk mendapatkan suntikan vaksin H1N1 atau melayari www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my untuk maklumat lanjut.

Paling utama ialah pastikan tangan kita sentiasa dibasuh dengan bersih. Tangan bersih boleh menghindarkan penyakit.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/.

Sabtu, 3 April 2010

ENGKAUKAH MANUSIA ITU

Engkaukah manusia itu
yang duduk bertinggung

menyelongkar seperti haiwan

mengais-ngais sisa-sisa makanan

untuk menghilangkan kelaparan

tanpa sekelumit kejijikan.


Engkaukah manusia itu

meniduri hari-harimu

hanya berdindingkan angin

beratapkan langit

berbantalkan lengan

bertemankan bintang-bintang

mendakap bulan malam di Kuala Lumpur.


Engkaukah manusia itu

bergelandangan tanpa tujuan

menadah segala derita

dalam mencari makna kehidupan.


Engkaukah manusia itu

yang hanya meninggalkan jejak persoalan.


BAIYAZID MUSTAFFA

Kg. Jelawat, Gemencheh.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Bidang Keberhasilan Utama Guru (T-KRA: Teacher Key Result Area)

Dalam memastikan agenda pendidikan negara, khususnya Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (M-KRA : Ministry Key Result Area) tercapai, guru sewajarnya perlu mempunyai dan melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama seorang Guru (Teacher-Key Result Area: T-KRA). T-KRA ini penting sebagai satu garis panduan untuk guru mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sebagaimana yang diwar-warkan oleh kerajaan kini.

Adalah dicadangkan guru-guru memahami, menghayati dan melaksanakan T-KRA bagi memastikan KPI sebagai seorang guru yang berkesan tercapai dan matlamat agenda pendidikan negara dapat direalisasikan.

Lima (5) Bidang Keberhasilan Utama seorang guru ialah:
1. Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pelajaran Tahunan
2. Kandungan mata pelajaran yang diajar
3. Buku Rekod Mengajar
4. Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)/Pedagogi Guru
5. Profesionalisme Profesion Keguruan

Dengan memahami, menghayati dan melaksanakan lima (5) T-KRA yang dinyatakan itu, pasti memudahkan peranan guru dalam melaksanakan tugas dan tangggungjawab yang diamanahkan. Di samping itu, bagi memastikan ke-lima-lima T-KRA tersebut difahami dan dihayati, setiap T-KRA berkenaan perlu mempunyai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ingin dicapai oleh seseorang guru.

KPI bagi seorang guru ialah:
1. Sukatan Pelajaran perlu ditamatkan mengikut tempoh yang ditetapkan (berdasar SPI)
2. Penguasaan 100% guru terhadap kandungan mata pelajaran utamanya
3. Buku Rekod Mengajar perlu diselenggara dan dikemaskini (berdasar SPI Bil 3/1999)
4. Pelajar seronok mengikuti proses P&P guru (Pedagogi berkesan)
5. Pencapaian pelajar dapat diterjemahkan sebagaimana yang disasarkan guru.

Adalah diharapkan guru-guru akan senantiasa berusaha dengan penuh dedikasi untuk memenuhi tuntutan pelaksanaan T-KRA ini agar KPI yang perlu dicapai mampu memberi impak yang besar kepada masa depan para pelajar dan memenuhi aspirasi pendidikan negara.

" Murid Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Guru Dihargai "

Sumber : http: //akademikbahasa.blogspot.com/

PIBG, sekolah saling melengkapi

Oleh Mohamad Ali Hasan

Usaha didik pelajar berjaya dalam akademik, kokurikulum tuntut interaksi dua hala


DALAM usaha memperkasakan peranan dan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), saya terpanggil untuk membicarakan beberapa perkara yang diutarakan pemimpin utama pendidikan, baru-baru ini. Dua Konvensyen PIBG (peringkat Johor dan Kebangsaan) sudah tentu ada kaitan dengan tindak balas yang patut dilakukan (atau sebaliknya) oleh ibu bapa/penjaga dan guru secara individu atau secara kolektif (menerusi PIBG) agar perkara yang diutarakan mereka tidak tinggal laporan media semata-mata.

Saban hari, isu ibu bapa/penjaga dan guru dibangkitkan untuk direnungi dan diambil tindakan. Tentunya ada yang gembira dan menyeronokkan, namun tidak kurang juga yang perit diharungi. Walau apa pun semuanya perlu ditangani dengan lebih praktikal, komprehensif, tuntas, berhemah, matang dan holistik (menyeluruh) demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan mutu hidup dan keluarga sejagat di Malaysia.

Ketika merasmikan penutupan Konvensyen Kebangsaan PIBG di Institut Aminuddin Baki, baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta kepemimpinan PIBG selalu membuat rundingan bersama ibu bapa/penjaga dalam segala hal berkaitan kemajuan dan kebajikan murid di sekolah masing-masing. Perkara ini sememangnya termaktub dalam peraturan PIBG itu sendiri.

Persoalannya sejauh mana pihak PIBG mahupun kepemimpinan sekolah melaksana sepenuhnya agar semua pihak ibu bapa, penjaga, guru dan pelajar mendapat situasi menang-menang dan memanfaatkan sinergi terbaik ini? Sebagai mekanisme mudah, saluran tertentu mesti diwujudkan untuk memudahkan interaksi dua hala antara sekolah dan ibu bapa/penjaga.

Sebagai wakil Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), saya mencadangkan sekolah mewujudkan Papan Kenyataan PIBG, Kotak Cadangan PIBG, hotline PIBG serta laman web PIBG (sama ada secara sendiri atau dipaut dengan laman web sekolah). Ini bagi membolehkan permasalahan dapat dibincang secara terbuka bersama.

Saya juga mencadangkan untuk mendapatkan keselesaan rundingan antara ibu bapa dan PIBG, satu ruang tetap (bilik) PIBG diadakan. Semangat kerjasama erat, persefahaman dan keterbukaan ikhlas kedua-dua pihak mesti disemai daripada awal persekolahan lagi.

Satu perkara lagi yang diuar-uarkan Muhyiddin ialah memberi kebenaran PIBG mengendalikan kelas prasekolah di sekolah masing-masing. Saya sesungguhnya berharap cadangan ini dapat diteliti dan dihalusi implikasi jangka pendek dan jangka panjang pelaksanaannya. Saya khuatir dengan keupayaan PIBG yang rasanya belum mempunyai kepakaran, kemahiran serta pengalaman untuk menyempurnakan hasrat itu dengan berkesannya. PIBGN juga bimbang ada semacam percanggahan kepentingan antara PIBG menguruskan prasekolah itu dengan kepentingan pengurusan sekolah. Sekarang ini pun isu yang belum diselesaikan secara tuntas adalah seperti apakah ibu bapa/penjaga boleh menjadi ahli kepada PIBG sekolah berkenaan? Ada pihak sekolah tidak membenarkan ibu bapa/penjaga prasekolah menjadi ahli PIBG. Ada baiknya pengendalian kelas prasekolah dikelolakan organisasi profesional yang sudah diiktiraf mengendalikan kelas berkenaan.

Pada Konvensyen PIBG Johor pula, apa yang menarik ialah Forum membincangkan tema IM -1PIBG (1Malaysia Satu PIBG). Pada forum itu misalnya, banyak sudah dibicarakan yang antara lainnya menekankan, PIBG perlu memberikan keutamaan kepada pelajar seperti yang termaktub dalam Peraturan PIBG yang bertujuan menjadi forum dan perkhidmatan bagi kebajikan serta kemajuan murid di sekolah dalam meningkatkan imej sekolah.

Semua yang menganggotai PIBG, baik ibu bapa mahu pun guru, perlu memahami tanggungjawab masing-masing dan tidak mengambil kesempatan demi kepentingan diri dan tidak mempolitikkan PIBG.

Peranan PIBG untuk membantu guru dan bukannya bantai guru, adalah pelbagai. Jika pihak sekolah berperanan membangunkan IQ (kecerdasan intelek) pelajar, PIBG sepatutnya dapat melengkapkan pembangunan EQ (kecerdasan Emosi), SQ (kecerdasan spiritual) & FQ (kecerdasan keluarga). Ini selaras kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta membangunkan rakyat secara menyeluruh khususnya akademik dan akhlak.

Batasan PIBG tidak mencampuri hal kesatuan dan hal mahkamah. PIBG tidak boleh memperluaskan bidang kuasa persatuan kepada perkara yang berkaitan dengan pentadbiran sekolah, pekerjaan dan syarat perkhidmatan guru dan kakitangan yang lain dalam sekolah.

PIBG juga tidak boleh menjadi jentera bagi menyelesaikan pertikaian atau perkara lain yang berkaitan antara persatuan dengan guru besar, pengetua atau kakitangan sekolah yang mana persatuan ditubuhkan atau Pejabat Pelajaran Daerah atau Pejabat Pelajaran Bahagian atau Jabatan Pelajaran Negeri atau Kementerian Pelajaran atau kerajaan negeri atau Persekutuan.

Berikut cadangan ringkas bagi memperkasakan PIBG untuk mengoptimumkan sumbangan dan peranan yang lebih bermakna lagi agar kepemimpinan sekolah didukung bersama oleh PIBG:
  • Menyediakan Buku Panduan Am Kepemimpinan dan Pengurusan Sekolah-Sekolah di Malaysia.
  • Kursus wajib untuk semua ahli jawatankuasa PIBG. Kursus Asas Kepemimpinan & Pengurusan PIBG hendaklah diadakan agar semua AJK PIBG faham benar-benar tugas dan tanggungjawab masing-masing;
  • Pengiktirafan kepada PIBG terbaik pelbagai peringkat (Anugerah PIBG Terbaik pada peringkat daerah, negeri dan nasional);
  • Anugerah Tokoh PIBG pada pelbagai peringkat (Tokoh PIBG peringkat sekolah, daerah, negeri dan nasional);
  • Mempergiatkan penjenamaan Majlis Permuafakatan PIBG peringkat kebangsaan, negeri dan daerah yang menjadi usaha menggalakkan kerjasama setempat dan serantau serta menangani segala gejala sosial murid secara bersepadu dan kesepakatan.
Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan adalah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 2 April 2010

Fahami hak kanak-kanak

Setiap kanak-kanak di dunia ini mempunyai hak yang sama seperti orang dewasa. - Gambar hiasan

HAK asasi manusia adalah untuk semua umat manusia termasuk kanak-kanak. Ya!, kanak-kanak seluruh dunia sebenarnya mempunyai hak yang sama seperti orang dewasa.

Perkara itu termaktub dalam piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB menyedari kanak-kanak berbeza daripada orang dewasa. Untuk itu kanak-kanak mempunyai keperluan yang berlainan kerana masih bergantung kepada orang dewasa untuk menjaga mereka.

Bagi menjamin kepentingan kanak-kanak, PBB telah merangka sebuah perjanjian antarabangsa khusus mengenai hak asasi untuk kanak-kanak yang dikenali sebagai Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

Konvensyen tersebut telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agong PBB pada tahun 1989.

Bagi mereka yang tidak mengetahui apa itu 'hak' ataupun mungkin mempunyai pemahaman sendiri tentang perkataan 'hak', merupakan perkara asas yang individu perlu miliki.

Hak ini perlu untuk hidup sempurna dan sejahtera dalam masyarakat.

Contohnya kita mempunyai hak untuk bersekolah dan kalau tidak sudah tentu kita tidak tahu membaca dan menulis.

Kanak-kanak di seluruh dunia tidak kira bangsa, warna kulit dan agama mempunyai hak yang sama rata, baik lelaki atau perempuan, miskin atau kaya, berupaya atau kurang upaya.

Tiada seorang pun kanak-kanak yang dipinggirkan dan semua kanak-kanak mempunyai empat hak utama iaitu

1. Hak kehidupan

Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup. Orang dewasa hendaklah memelihara kanak-kanak agar mereka boleh hidup dan membesar dengan sihat.

Ini bermakna mereka perlu memastikan kanak-kanak diberi makanan dan pakaian yang sempurna.

Sekiranya kanak-kanak tersebut sakit, mereka (orang dewasa) bertanggungjawab memberi rawatan agar anda sembuh.

2. Hak perlindungan

Orang dewasa hendaklah memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Anda ada hak untuk dijauhi daripada dadah, dilindungi daripada penjahat dan kecederaan supaya anda dapat hidup dengan sempurna seperti orang lain.

Anggota polis boleh melindungi anda, begitu juga ibu bapa anda.

3. Hak perkembangan

Kanak-kanak berhak untuk ke sekolah dan sebagai kanak-kanak, banyak perkara yang perlu dipelajari agar dapat menjadi seorang dewasa yang cerdik dan sempurna.

Maka, orang dewasa hendaklah memastikan kanak-kanak dapat belajar sebaik mungkin dan cara terbaik untuk belajar adalah dengan ke sekolah.

4. Hak penyertaan

Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk berjumpa dengan rakan-rakan yang lain dan berkawan. Mereka boleh menyertai kelab atau persatuan dan berbincang sesama rakan anda dengan bebas.

Sehubungan itu, mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun ditakrifkan sebagai kanak-kanak dan mereka ini juga mempunyai hak masing-masing.

Untuk itu ada undang-undang yang menyatakan bahawa adalah hak anda sebagai kanak-kanak agar tidak dibuli dan menjadi tanggungjawab ibu bapa, sekolah dan polis melindungi anda dan hak-hak anda sebagai seorang kanak-kanak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ciri-ciri Orang Yang diredhai Allah.

Adalah sukar untuk menentukan bahawa Allah swt redha dan sayang kepada seseorang, melainkan perkara itu dikhabarkan oleh wahyu-Nya, sedangkan selepas kewafatan Rasulullah saw, segala urusan wahyu telah terputus.Walau bagaimana pun, para ulama bersetuju dan menegaskan bahawa terdapat beberapa tanda penting yang dikenal pasti sebagai faktor redha dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya.

1- Cara hidup atau tingkah laku seseorang muslim itu yang sentiasa tetap atau istiqamah dalam melaksanakan segala perintah Allah dan memelihara segala pantang larang-Nya.

Firman Allah swt;

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

Maksudnya; Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”.Fussilat:30.

Firman Allah swt;

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya; Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah tobat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Hud:112.

2- Segala perbuatannya menepati tuntutan Ilahi dan sanggup meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah dengan penuh redha,

Firman Allah swt;

بَلَى مَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ وَاتَّقَى فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya; Bahkan siapa yang menepati janji (yang dibuat)nya dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa.al-Imran:76. Taqwa bermaksud melaksanakan segala perintah Allah swt dan meninggalkan larangangnnya.

3- Bersegera melakukan amal-amal kebajikan serta menjaganya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan segala bentuk ibadat yang disyariatkan.

بادروا بالأعمال الصالحة فستكون فتن كقطع الليل المظلم

Maksudnya; Bersegeralah melakukan amal soleh kerana akan berlaku fitnah seperti waktu malam yang gelap gelita.

Firman Allah swt;

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya; Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.al-Imran:133.

4- Bersungguh-sungguh untuk meninggalkan segala larangan-Nya yang membawa dosa, sama ada yang kecil atau yang besar kerana merasa takut kepada Allah swt.

Firman Allah swt;

يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya; Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka).al-Nahl:50.

5- Mencintai Islam, cintakan ilmu Islam dan mempertahankan kesucian agama Islam kerana dengan ilmu dapat memastikan ia berada dijalan yang lurus dan mampu mempertahankan Islam.

Firman Allah swt;

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya; Allah akan meninggikan kedudukan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

6- Sentiasa tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan takwa kepada Allah.

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya; Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.

7- Sentiasa berakhlak mulia

Sabda Rasulullah saw;

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

Maksudnya; Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

قِيلَ : يَا رَسُولَ الله ، أَيُّ الإِسْلاَمِ أَفْضَلُ ؟ قَالَ : مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ قَالَ : فَأَيُّ الإِيمَانِ أَفْضَلُ ؟ قَالَ : الصَّبْرُ وَالسَّمَاحَةُ قِيلَ : فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْمَلُ إِيمَانًا ؟ قَالَ : أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

Maksudnya; Rasulullah ditanya; apakah sikap orang Islam yang paling baik, Jawabnya; iaitu orang yang menjaga lidahnya dari menyakiti orang Islam yang lain. Ditanya lagi, Manakah amalan hati ( iman ) yang paling utama, Jawabnya; iaitu sabar dan pemaaf. Ditanya lagi, mukmin yang mana paling sempurna imannya; Jawabnya; iaitu mukmin yang paling baik akhlaknya.

Sumber : http ://usrahrasahati.com/