Selasa, 20 April 2010

Komunikasi keluarga tangani masalah remaja

Oleh Shahril Anuar Abdul Ghalim

Sokongan emosi ibu bapa bentuk nilai murni generasi muda


DALAM menghadapi kerenah generasi muda yang terjebak dengan salah laku sosial dan budaya, pemikiran dan watak, kadang-kadang kita menjadi hilang punca dan akhirnya kerenah ini menjadi wabak yang sukar untuk dibendung.

Hari ini, ramai daripada anak muda kian hilang nilai akhlak yang murni, sebaliknya hanyut dalam arus kelalaian yang akhirnya membinasakan diri. Ramai terjebak dalam salah guna dadah, terbabit dalam salah laku sosial seperti mat rempit, amalan seks bebas, jenayah juvana, lari dari rumah dan mengandung pada usia muda sehinggalah gejala membuang bayi yang kerap berlaku akhir-akhir ini. Ini adalah di antara gejala yang melanda anak muda masa kini yang dikatakan kian membimbangkan dan perlu perhatian segera dalam mengembalikan mereka ke arah yang sepatutnya. Ada banyak suara yang melontarkan punca pemasalahan ini kepada sesetengah pihak terbabit dengan beberapa andaian dan hujahnya.

Ada yang menyalahkan institusi kekeluargaan menjadi punca kelonggaran tatasusila yang sepatutnya disemai pada peringkat awal. Tidak kurang juga yang menyalahkan kebejatan ini berpunca daripada aspek zaman globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan.

Dengan wujudnya banyak kemudahan perolehan maklumat yang sukar dibendung, maka ia turut mempengaruhi budaya Timur yang sudah lama diwarisi. Kemajuan dan kemodenan menyebabkan banyak unsur yang menjadi pendorong kuat terhadap golongan ini untuk melakukan aktiviti sedemikian sekali gus terbabit dalam gejala yang tidak sihat atau jenayah.

Era globalisasi kini mendedahkan anak remaja dengan pelbagai gaya hidup dan persekitaran yang amat luas dan mencabar. Cabaran dan dugaan yang hebat ini tidak terhad sifatnya. Ia meliputi pelbagai jenis termasuklah sesuatu yang mampu untuk mempengaruhi kehidupan anak remaja sehingga menyebabkan mereka mempunyai tanggapan salah mengenai dunia ini.
Maklumat yang diterima daripada sumber yang pelbagai agak menakutkan jika dikaji. Kebebasan kehidupan yang keterlaluan adalah sesuatu yang amat kita bimbangkan menular dalam sanubari golongan ini. Tanpa bimbingan dan nasihat, golongan ini mudah untuk mempercayai dan sekali gus terpedaya dengan apa yang mereka peroleh.

Umum mengetahui bahawa anak remaja adalah satu kelompok masyarakat yang amat besar maknanya kepada negara. Mereka bakal pemimpin masa depan bagi meneruskan kesinambungan masyarakat dan tamadun bangsa.

Sebagai bakal pemimpin bagi generasi akan datang, mereka ini sewajarnya dibela dan dipelihara sebaik mungkin. Di samping menyediakan suasana yang mampu meningkatkan potensi perkembangan dan kecemerlangan diri, remaja juga hendaklah dididik dan diberi tunjuk ajar mengenai pelbagai perkara.

Pemantapan sahsiah peribadi adalah asas terbaik bagi golongan ini untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang dan berliku. Ibu bapa mempunyai peranan dan tanggungjawab penting dalam pembentukan integriti keluarga serta masyarakat.

Didikan di rumah, selain pendedahan pada peringkat sekolah dan amalan sifat murni menjadi nadi kepada keperibadian seorang individu. Ini adalah penting kerana perubahan persekitaran yang begitu pantas membolehkan anak berubah mengikut keadaan semasa. Perubahannya mungkin mudah dan sukar untuk disedari ibu bapa, dan kemungkinan sesuatu yang tidak disangka itu berlaku adalah tinggi dan hampir pasti.

Secara umumnya, komunikasi keluarga merujuk kepada cara bagaimana ibu bapa berkomunikasi dengan anak mereka dalam membentuk sosialisasi terutama pada peringkat awal kanak-kanak. Pola komunikasi kekeluargaan didapati mempunyai pengaruh terhadap cara anak memproses maklumat daripada luar persekitaran keluarga yang membawa kepada kebolehpercayaan sesuatu maklumat itu.

Ada beberapa kajian terdahulu menunjukkan komunikasi keluarga mempunyai kaitan dengan tingkah laku anak khususnya remaja. Maka seharusnya komunikasi keluarga dititikberatkan agar ia berlangsung dengan baik.

Komunikasi keluarga memainkan peranan penting dalam perkembangan sesebuah keluarga. Ini terjadi kerana institusi keluarga adalah institusi asas terpenting dalam membentuk sikap dan tingkah laku individu. Institusi keluarga memainkan peranan besar dalam proses sosialisasi yang membawa kepada perkembangan sikap anak.

Jika komunikasi keluarga tidak dapat berjalan dengan sepatutnya, ia akan membawa kepada beberapa implikasi negatif yang akan membabitkan anak sebagai mangsa. Sebagai contoh, apabila terjadinya konflik seperti kecelaruan keluarga, pertengkaran dan perceraian, memungkinkan komunikasi yang tidak menyenangkan akan membawa implikasi buruk terhadap pemikiran anak di dalam keluarga berkenaan.

Pembentukan sikap dan peribadi akan wujud secara spontan dalam jiwa mereka yang membolehkannya berperlakuan seperti pendedahan yang diterima atau sebaliknya berdasarkan sesuatu situasi.

Hakikatnya perkembangan anak remaja pada hari ini tidak terkecuali daripada menghadapi pelbagai cabaran dan masalah. Remaja sentiasa dikaitkan dengan masalah sosial, akhlak, jenayah dan sebagainya. Mereka keliru dengan dunia sebenarnya akibat terdedah daripada sesuatu sumber persekitaran yang kurang jelas.

Inilah yang akan berlaku jika komunikasi keluarga gagal dan membolehkan golongan remaja ini melakukan sesuatu berdasarkan kemahuannya sendiri yang memungkinkan dirinya terdedah dengan pengaruh sekeliling bagi mencari jalan keluar yang dirasakan perlu.

Oleh yang demikian, cara berkesan ialah ibu bapa perlu selalu meluangkan masa untuk anak dan bertukar peranan mengikut situasi seperti bertindak menjadi rakan sebayanya, bertanya perkembangan persekolahan, permasalahan jika ada atau sesekali bersiar-siar bagi merapatkan hubungan.

Dengan ini membolehkan si anak berasa selesa dan mungkin mudah bagi mereka berkongsi masalah, cerita dan pengalaman yang diperoleh. Peluang mendekati dan memahami anak akan membuatkan anak remaja (pada peringkat awal) berasa dekat dan mendapat sokongan emosi daripada ibu bapa.

Oleh itu, komunikasi perlu berjalan dengan jelas dan mengkhusus supaya tidak berlaku salah faham dan kekeliruan pada mesej yang ingin disampaikan.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,UITM Melaka.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 19 April 2010

Kempen ‘Minggu Tidak Menonton Televisyen’ patut disambut baik


Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed


KETIKA ini pelbagai masalah sosial membabitkan remaja dan ia mencengkam masyarakat kita. Kes pembuangan bayi, merokok, merempit, menagih dadah, seks bebas, vandalisme, lari dari rumah dan macam-macam lagi salah laku jenayah cukup merisaukan semua pihak.

Ternyata ibu bapa dilihat semakin hilang kawalan terhadap anak yang semakin liar. Mereka juga menghadapi masalah mendidik dan membentuk anak menjadi manusia berguna mengikut acuan dikehendaki.

Terkini polis Kuala Lumpur mendedahkan, 3,263 pelajar sekolah ditahan tahun lalu kerana terbabit dalam 2,003 kes salah laku. Pelajar berusia antara 13 dan 18 tahun dilaporkan turut terbabit dalam kes seks bebas, kehamilan, pembuangan bayi, rogol, samun dan mencuri motosikal.

Statistik ini dikatakan semakin meningkat tiap tahun cukup untuk membuktikan tahap masalah sosial remaja kita. Golongan yang sepatutnya menjadi harapan masa depan negara ini dilihat semakin hanyut dek dunia bebas tanpa sempadan.

Antara punca masalah sosial melanda remaja dan belia ialah pengaruh negatif rancangan televisyen yang boleh dikategori sebagai kurang sihat. Televisyen yang sentiasa menjadi medium panduan dan pendidikan mula menguasai minda dan pemikiran anak kita dengan nilai yang jauh bertentangan dengan adat ketimuran yang kemudian mempengaruhi segala tingkah laku dalam kehidupan seharian.

Adegan pergaulan tanpa batasan dan seks bebas serta perlakuan ganas seperti gengsterisme dipaparkan dalam televisyen sama ada menerusi drama dan filem tempatan mahupun Barat boleh diibaratkan menjadi ‘guru’ kepada remaja.

Drama sinetron tahyul dari seberang dan filem ganas dari Barat dilihat cukup mudah mempengaruhi minda penonton. Itulah yang sedang menjadi gaya dan trend ikutan muda mudi zaman sekarang.


Mereka mencontohi semua perlakuan dan gelagat yang ditonjolkan secara bulat-bulat dan sering menjadikannya sebagai panduan dalam hidup. Perbuatan yang dimulakan atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya menjadi ketagih dan budaya yang sukar untuk ditinggalkan.

Fenomena ini sebenarnya adalah selaras dengan pandangan sarjana komunikasi yang bersetuju bahawa media seperti televisyen mempunyai pengaruh cukup kuat terhadap penonton. Ia dibuktikan melalui beberapa teori komunikasi terkenal. Magic Bullet Theory yang diperkenalkan Katz dan Lazarsfeld pada 1955 misalnya mengandaikan bahawa televisyen memberikan kesan negatif kepada penonton secara langsung dan segera seperti peluru dengan penonton cenderung untuk percaya semua perkara dilihat, sekali gus boleh mempengaruhi tingkah laku mereka.

Maka jika kita mengkaji secara mendalam segala masalah sosial hari ini dengan pengaruh televisyen atas remaja, ternyata andaian teori komunikasi itu ada kebenarannya. Ini membuktikan, menonton televisyen hari ini boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak dikawal dengan sewajarnya.

Mengambil kira senario yang membahayakan ini, wajar untuk ibu bapa menyokong kempen ‘Minggu Tidak Menonton Televisyen’ anjuran Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang berlangsung mulai 21 hingga 27 April ini.

Fomca juga mendedahkan, kajian dibuat pada 2005 membabitkan penggunaan peralatan berskrin seperti televisyen, komputer dan telefon bimbit mendapati golongan muda menghabiskan 73 peratus masa lapang mereka untuk menonton televisyen. Dilaporkan juga, kanak-kanak menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari di depan televisyen masing-masing.

Justeru, ibu bapa perlu mengawal dan memberi perhatian serius kepada jenis rancangan ditonton anak mereka supaya tidak terdedah dengan rancangan yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral.

Memang tidak dapat dinafikan kepentingan televisyen dalam hidup sebagai sumber maklumat, tetapi ia banyak bergantung kepada rancangan apa yang menjadi bahan tontonan seisi keluarga. Dalam hal ini, diharapkan kementerian dan Lembaga Penapisan Filem memainkan peranan lebih efektif untuk membendung penularan filem dan drama kurang sihat di negara ini.

Selain keruntuhan moral, ketagihan menonton televisyen banyak mendatangkan kesan buruk pada tahap kesihatan seperti kegemukan dan diabetes mula mengancam kerana kita terlalu pasif untuk suatu tempoh masa lama ketika di depan kaca televisyen.

Pembaziran masa begitu lama (tiga hingga lima jam sehari) di depan televisyen pastinya menjejaskan pelajaran anak. Mereka terlalu asyik menonton televisyen dan tidak mengulangkaji pelajaran mahupun menyiapkan kerja sekolah masing-masing. Akibatnya, prestasi akademik mereka terjejas.

Keruntuhan moral, masalah kesihatan dan pelajaran adalah antara kesan negatif secara langsung akibat kelalaian ibu bapa mengawal anak daripada terus menjadi hamba televisyen. Anak hari ini adalah generasi pewaris masa depan negara. Justeru, kelestarian pembangunan modal insan perlu dititikberatkan agar kita dapat melahirkan generasi yang bukan saja berilmu, tetapi kaya dari segi akhlak dan budi bahasanya.

Kita khuatir tabiat yang kurang sihat ini akan mula menjauhkan kita daripada anak kita, merenggangkan hubungan kekeluargaan sekali gus menghancurkan keharmonian keluarga kita.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 18 April 2010

TEKANAN PUNCA BERLAKU PENINGKATAN BERAT BADAN

Oleh Norkumala Awang

SEMUA orang mengalami tekanan perasaan. Cuma yang membezakan tekanan di antara seseorang individu ialah tahap tekanan dan bagaimana seseorang menyelesaikan masalah yang menjadi punca tekanan.

Ramai tidak menyedari mereka tertekan sehinggalah badan menunjukkan tanda tekanan secara emosi atau fizikal. Namun, ada kemungkinan stres atau tekanan berkait rapat dan boleh menyebabkan peningkatan berat badan.

Penambahan berat badan berlaku apabila kita mengambil makanan berlebihan atau terlalu banyak kalori dalam sehari. Ia juga berhubungkait apabila berlakunya tekanan dalam diri seseorang terutama mereka sentiasa stres.

Ini menyebabkan mereka cenderung makan lebih banyak terutama makanan tidak sihat seperti makanan manis dan berperisa. Ini adalah hasil perubahan kimia dalam badan apabila seseorang tertekan. Secara psikologi, keadaan tertekan menyebabkan individu memilih makanan yang boleh menyenangkan dan mententeramkan hati. Dalam keadaan sebegini, sudah semestinya seseorang tidak lagi menghiraukan apa yang mereka makan dan kaitannya dengan keperluan badan.

Jarang sekali, mereka yang tertekan memikirkan kualiti makanan yang dimakan, tetapi apa yang difikirkan hanyalah makanan itu dimakan selagi ia memberi kelegaan. Inilah suatu keadaan yang seharusnya diperbetulkan semula apabila seseorang mengalami tekanan dan ia perlu bermula dengan bagaimana menyelesai dan menutup permasalahan yang menyebabkan berlakunya tekanan.

Kecenderungan mereka yang tertekan untuk makan dengan lebih banyak tanpa rasa bersalah adalah satu kelaziman. Jika pengambilannya dapat dikawal, ia tidak mendatangkan suatu permasalahan. Namun, dikhuatiri apabila keadaan ini berterusan sehingga mampu menyebabkan peningkatan berat badan mendadak.

Akhirnya bukan keadaan fizikal dirisaukan, sebaliknya kemudaratan yang diundang akibat berlebihan berat badan menjadi suatu permasalahan yang melanda kesihatan awam masa kini. Masalah diabetes, penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi dan komplikasinya menular menjadi kerisauan masyarakat moden kini berikutan perubahan gaya hidup serta tekanan dihadapi dalam kehidupan seharian.

Tekanan dihadapi masyarakat kita hari ini cukup terbeban dengan masalah kehidupan seperti kesesakan lalu lintas, bebanan di tempat kerja, mengejar ‘dead lines’, masalah kewangan, rumah tangga, pencemaran bunyi, penyakit, kesunyian dan masalah lain yang bersangkut paut, silih berganti menyumbang kepada tekanan.

Kemungkinan, secara fizikal, kita tidak mampu menghadapi tekanan harian itu ditambah lagi dengan gaya hidup masyarakat yang kurang aktif di samping diet tidak sihat akan menambahkan stres dihadapi dan tidak hairan jika pertambahan berat badan juga berlaku.

Ramai di antara kita juga tidak menyedari akan berlakunya proses penghadaman agak perlahan apabila seseorang mengalami tekanan. Ini disebabkan penghasilan enzim penghadaman dan bekalan darah ke usus yang menurun. Ia berlaku secara semula jadi kerana lebih banyak darah disalurkan ke otak untuk mengurangkan tekanan.

Disebabkan itu, penghadaman berlaku perlahan dan zat makanan tidak diserap dengan optimum. Secara semula jadinya, kelenjar adrenal dalam badan bertanggungjawab menyesuai dan mengatasi masalah stres dihadapi, tetapi apabila terbeban, berkemungkinan berlakunya masalah lain dalam sistem tubuh kita.

Seseorang menjadi ketagih mengambil makanan berperisa dan bergula bagi meningkatkan paras hormon adrenalin dalam badan. Sekiranya berlarutan, ketagihan ini bukan setakat meningkatkan berat badan, malah pelbagai masalah kesihatan lain turut diundang.

Di samping hormon adrenalin dirembeskan, badan juga mengeluarkan hormon kortisol. Hormon kortisol berlebihan dalam badan menyebabkan tahap gula dalam darah tidak teratur dan punca diabetes.

Selagi seseorang itu dalam tekanan dan tidak menguruskan tekanan dengan baik, maka selagi itulah proses itu berlaku supaya badan dapat menyesuaikan dengan keadaan. Maka, ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

Di samping kita mengatasi masalah tekanan dihadapi dengan mengurangkan punca tekanan, menggunakan teknik mengawal tekanan dengan betul atau mengubah cara kita bertindak mengatasi tekanan, kita juga perlu merawat tekanan dihadapi melalui diet pemakanan yang baik dan seimbang. Antara kaedah dianjurkan dalam Islam ialah makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Amalan ini mudah diamalkan lebih-lebih lagi apabila seseorang tertekan dan cenderung makan lebih banyak. Apabila berasa lapar, seharusnya mengambil snek yang berkhasiat untuk melapik perut. Tetapi tidak boleh mengamalkan ‘skip meal’ supaya kita tidak cenderung makan lebih banyak makanan berkalori tinggi selepas itu.

Snek terbaik adalah yang mengandungi protein, lemak dan karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh, biskut, yogurt yang disertakan dengan buah dan kacang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 17 April 2010

PANAS CETUS PERILAKU AGRESIF

Oleh Shafinaz Sheikh Maznan

PANAS, panas, panas! Cuaca panas, hati pun panas. Benarkah peningkatan suhu juga boleh meninggalkan kesan psikologi, mempengaruhi tingkah laku manusia dengan menjadikan mereka bertambah agresif?

Jika di negara-negara Barat, kajian mengenainya bukan sedikit dilakukan dalam tempoh lebih sedekad lalu.

Malah, istilah gangguan akibat perubahan musim atau seasonal affective disorder (SAD) sudah agak sinonim dengan negara-negara Barat yang mengalami empat musim.

Dianggarkan setengah juta rakyat England mengalami kemurungan tahunan setiap kali musim salju yang berlaku antara September dan April.

Keadaan ini berpunca daripada ketidakseimbangan biokimia di dalam bahagian otak yang dipanggil hipotalamus.

Sementara itu, isu pemanasan global dan Kyoto, ozon yang semakin menipis, paras laut yang kian meningkat, gurun yang semakin terbentang luas dan rumah hijau - turut menyumbang kepada kajian demi kajian bagi memahami hubungan langsung di antara kehangatan suhu dengan perilaku manusia.

Pernahkah anda berkurung atau tidur di dalam sebuah bilik yang agak panas khususnya pada musim kemarau ini? Kipas atau alat penghawa dingin sekalipun kurang membantu.

Apakah perasaan anda ketika itu? Jangan hendak sengelat. Sekurang-kurangnya anda akan berasa kurang selesa dan serba tidak kena, bukan?

Berdasarkan kajian makmal yang dilakukan oleh sekumpulan pakar psikologi sosial, hanya dengan berada di dalam sebuah bilik dengan suhu yang lebih hangat boleh menukar seseorang itu menjadi lebih pemarah.

Hasilnya adalah berbeza jika mereka ditempatkan di dalam ruang yang lebih menyelesakan. Bukan itu sahaja, pemikiran-pemikiran agresif juga boleh tercetus.

Ini terbukti menerusi kajian makmal berasingan di mana pasangan yang diajukan dengan sedikit provokasi cenderung untuk mencederakan di antara satu sama lain.

Demikian juga halnya dengan mereka yang bekerja dalam persekitaran panas yang akan menyumbang kepada tindak balas lebih bersifat permusuhan terhadap apa-apa jua yang boleh menimbulkan kemarahan dan menyakitkan hatinya.

Penyelidikan saintifik berkenaan isu ini di luar negara juga sudah mencapai tahap di mana tumpuan diberikan terhadap keganasan dan kegiatan jenayah.

Malah, kadar jenayahnya adalah berbeza-beza mengikut tempat di mana kawasan lebih panas mencatatkan aktiviti itu yang lebih tinggi.

Bukan itu sahaja, hari, bulan, musim mahupun tahun-tahun tertentu juga didapati boleh menghasilkan kadar jenayah yang lebih daripada biasa. (Journal of Personality, Vol. 73, No. 6, 1213 - 1223, isu Disember 1997).

Pakar Runding Psikiatri dan Psikoterapi, Jabatan Perubatan Psikologikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Stephen T. Jambunathan mengakui kaitan yang sudah lama wujud di antara faktor persekitaran dengan tingkah laku manusia.

Bagaimanapun, dalam konteks iklim semasa, beliau menjelaskan:

``Memang ada hubung kait di antara cuaca panas dengan tingkah laku manusia selain ancaman kesihatan yang boleh membawa maut disebabkan oleh cuaca panas terik.

``Walaupun bukan secara langsung, namun, mana-mana perubahan persekitaran yang radikal seperti daripada sejuk ke panas atau sebaliknya, mungkin menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah pengubahsuaian,'' katanya.

Menurutnya, masalah-masalah yang mungkin dihadapi adalah seperti kurangnya rasa toleransi, tolak ansur atau timbang rasa, lekas marah dan mengalami tekanan.

Keadaan-keadaan tersebut seterusnya mendorong seseorang membuat keputusan-keputusan yang kurang waras dan bertentangan daripada kelazimannya.

``Masalah pengubahsuaian ini boleh terjadi khususnya kepada seseorang yang tiada kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru.

``Mereka tidak berapa kebal, tidak mempunyai jiwa atau semangat yang kental, mudah goyah ataupun mudah sensitif lebih daripada orang lain,'' kata Dr. Stephen.

Ditanya apakah yang membezakan tahap penerimaan seseorang terhadap sesuatu perubahan itu, katanya, semua hal minda dipengaruhi oleh tiga faktor penting atau ringkasnya biopsikososial:

i) Biologikal; genetik seperti bapa yang panas baran

ii) Psikologikal; cara berfikir seseorang yang mempengaruhi bagaimana tindak balas mereka terhadap orang lain

iii) Sosiologikal; persekitaran seperti perubahan alam sekitar, dibuang kerja, berhadapan dengan penyakit.

Seseorang individu yang sememangnya dipengaruhi oleh faktor-faktor di atas akan cuba `memelihara' diri sendiri secara salah seperti naik angin dan bukannya dengan mencari suasana lebih sejuk untuk menenangkan diri sendiri.

Jika keperluan itu gagal diperoleh, akan menambahkan lagi kekecewaan mereka dan memburukkan keadaan bagi yang sedia mempunyai penghakiman negatif, kata beliau.

Mengulas kegiatan jenayah yang dikatakan agak menjadi-jadi serta kaitannya dengan suhu panas yang luar biasa kebelakangan ini, Dr. Stephen mengakui:

``Suhu yang panas juga boleh menyebabkan pemikiran-pemikiran yang agresif sehingga mereka berani melanggar undang-undang.

``Untuk pengetahuan, kebanyakan jenayah yang dilakukan bukan berpunca daripada masalah minda (mental yang tidak sihat) tetapi lebih kepada personaliti atau persekitarannya,'' ujar beliau.

Mengenai sama ada ia turut membabitkan perubahan hormon, memetik seorang pakar psikologi dari University of Glamorgan, Dr. Lance Workman yang berjaya mewujudkan kaitan di antara suhu panas dengan tahap serotonin.

Bahan kimia neurotransmiter yang dirembeskan di dalam otak itu memberikan kesan sampingan terhadap tindak-tanduk agresif.

Sekadar memetik beberapa hipotesis kepanasan di luar negara.

Pakar psikologi, Iowa State University, Dr. Craig Anderson mendedahkan, seseorang menjadi marah di antara satu sama lain, bergaduh dan ada kalanya sampai ke tahap membunuh disebabkan oleh suhu yang panas.

Pendek kata, psikologi seseorang itu lebih mudah bangkit dan terusik disebabkan oleh kepanasan.

``Satu-satu pertelingkahan itu lazimnya tidak bermula dengan insiden besar tetapi beberapa siri provokasi kecil.

``Dan peningkatan kebangkitan perasaan negatif itu tidak akan terhenti di situ sahaja tetapi biasanya akan mencapai satu tahap yang lebih tinggi,'' katanya.

Malah, jelas penyelidik dari Amerika Syarikat itu lagi, peningkatan sekadar dua darjah fahrenheit sahaja boleh menyebabkan penambahan sehingga 24,000 kes bunuh dan yang bersifat serangan di negara itu sahaja.

Secara umumnya, kajian Rotton mendapati, insiden jenayah berat terhadap sesama manusia seperti menyerang, merompak, bunuh dan rogol meningkat selaras pertambahan suhu.

Keganasan rumah tangga suami terhadap isteri juga termasuk di dalam kategori ini di mana ia lebih banyak berlaku semasa musim panas.

Sebaliknya, insiden jenayah terhadap harta benda seperti kecurian kenderaan serta pecah rumah didapati tidak berkenaan dengan perubahan suhu.

Sementara itu, satu penyelidikan lain yang disiarkan di dalam International Journal of Law and Psychyatry, Boyanowsky berkata, suhu yang lebih sejuk meningkatkan rangsangan seksual kaum lelaki.

``Satu fakta yang sememangnya diketahui umum bahawa kehangatan berupaya memusnahkan hormon seks utama lelaki iaitu testosteron.

``Jadi, mandi mungkin cara yang terbaik bagi mengatasi masalah ini,'' kata pakar kriminologi dari The Simon Fraser University itu.

Berbalik kepada Dr. Stephen, beliau berkata, bagi mengatasi masalah ini secara peribadi, langkah pertama adalah untuk menyedari akan risiko yang mungkin dihadapi dengan perubahan-perubahan cuaca yang tidak menyelesakan ini.

Contohnya, kecenderungan untuk tidak mencapai kata sepakat dan konfrontasi.

``Sekiranya kita berada di dalam keadaan tertekan dan dalam masa yang sama, cuaca tidak membantu, kita sepatutnya menangguh keputusan-keputusan besar.

``Seboleh-bolehnya, elakkan daripada melibatkan diri dalam situasi-situasi yang boleh menambahkan ketegangan ini sehingga kita kembali tenang,'' katanya.

Yang penting sekali, ujar Dr. Stephen, adalah supaya kita memahami bahawa orang lain juga mungkin menghadapi masalah mereka sendiri.

Oleh sebab itu, mereka menunjukkan tindak balas yang tidak sepatutnya.

``Jika kita pula memberikan maklum balas yang serupa, maka akan timbullah masalah yang lebih buruk.

``Cuba latih tubi minda kita bahawa orang lain juga ada masalah seperti mana kita (ada masalah), ini akan menjadikan kita seorang yang lebih memahami sekali gus mengurangkan potensinya,'' katanya.

Sumber :http://www.eng.ukm.my

Khamis, 15 April 2010

Pemberi rasuah harus diperangi

Oleh AHMAD KHUSAIRI YAHAYA

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Begitulah ungkapan manis peribahasa yang sering kita bualkan dalam erti hidup bermasyarakat di negara ini.

Ada kala peribahasa yang manis ini jua sering disalah guna dan disalah tafsir hingga membawa kepada perbuatan yang menyalahi undang-undang.

''Apa salahnya saya taja pegawai dan keluarganya melancong ke luar negara kerana beliau telah banyak membantu saya mendapatkan projek di jabatannya? Dia tidak pernah meminta dan saya ikhlas memberi, niat saya cuma bersedekah.

''Saya tidak pernah meminta, dia yang nak beri. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa." Itulah antara ungkapan yang sering kita dengar bagi menghalalkan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu perbuatan menerima dan memberi rasuah.

Sebelum kita menerima sesuatu tawaran atau pemberian sama ada berbentuk hadiah, wang tunai, pakej pelancongan ataupun sebagainya, maka wajarlah kita menilai apakah punca atau faktor sebenar sesuatu pemberian itu ditujukan kepada diri kita?

Sekiranya kita tidak berada di kedudukan sekarang atau memegang sesuatu jawatan, adakah si pemberi akan menawarkan pemberian tersebut kepada kita?

Siapakah si pemberi tersebut? Adakah beliau mempunyai kaitan dengan tugas rasmi kita? Kenapakah kita yang dipilih untuk diberikan hadiah tersebut? Apakah hasrat atau muslihat di sebalik pemberian itu? Adakah pemberian tersebut berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab kita di pejabat? Apakah kesan seterusnya jika kita menerima hadiah tersebut?

Persoalan-persoalan ini harus sentiasa bermain di fikiran kita sekiranya ditawarkan apa-apa hadiah atau benda berharga.

Tidak salah sekiranya si pemberi merupakan isteri atau ahli keluarga terdekat, niat memberi atas sambutan perayaan atau hari jadi misalnya dan si pemberi langsung tiada kaitan dengan urusan rasmi.

Pemberian hadiah dalam kehidupan masyarakat adalah suatu tuntutan bagi mengeratkan kasih sayang dan perpaduan.

Namun begitu, janganlah ia disalah tafsir sehingga menjadikannya budaya yang mencemar undang-undang negara sehingga mewujudkan amalan rasuah, salah guna kuasa, penindasan, penyelewengan, penipuan dan ketidakadilan.

Pemberian hadiah kepada seseorang atas dasar perkaitan tugas dan kuasa yang dipegangnya merupakan suatu perbuatan yang dilarang oleh agama. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW menerusi dua hadis berikut:

"Barang siapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji dan upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkianatan)" - Riwayat Abu Daud.

Nabi Muhammad SAW bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat Kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian daripada wang yang dikutip sambil berkata: "Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai).

Maka jatuh murka Baginda sambil bersabda: "Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah." - Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Siapakah dia pemberi rasuah? Kenapa si pemberi rasuah sanggup membelanjakan ratusan atau ribuan ringgit bagi meraikan anda? Apakah muslihat di sebalik pemberian tersebut? Apakah kesan sekiranya anda termakan umpan si pemberi rasuah?

Berasaskan analisis yang dibuat ke atas profil pemberi rasuah sepanjang 10 tahun lalu, hampir 90 peratus pemberi rasuah terdiri daripada individu-individu yang telah melakukan kesalahan jenayah dan berhadapan dengan tindakan pihak penguatkuasaan.

Antara kesalahan jenayah yang dilakukan termasuk penyeludupan barang-barang terlarang (termasuk dadah, rokok, arak, diesel, barangan kawalan), melindungi dan menggaji pendatang tanpa izin, pembalakan haram, perlombongan haram, pengedaran dan penyalahgunaan dadah, aktiviti perjudian, pelacuran, memperdagangkan manusia dan kesalahan-kesalahan lain yang lebih ringan termasuk kesalahan trafik dan berniaga tanpa lesen.

Suapan rasuah ditawarkan atau diberi kepada pegawai-pegawai penguat kuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka. Suapan yang ditawarkan datang dalam pelbagai bentuk termasuk wang tunai, barangan berharga, keraian, perkhidmatan dan pelbagai lagi.

Lagi besar kesalahan yang dibuat maka lebih besar imbuhan yang ditawarkan kepada pihak berkuasa. Secara rumusannya, si pemberi rasuah terdiri daripada mereka yang menjalankan kegiatan haram dan hasil kegiatan haramnya sering mendatangkan kesan yang amat bahaya kepada masyarakat.

Si pemberi rasuah amat licik. Setiap latar belakang dan profil pegawai-pegawai penguat kuasa dan pihak yang memegang kuasa akan diselidiki. Minat, kecenderungan dan kelemahan pegawai akan digunakan sebagai strategi penting untuk mendekati serta menguasai mangsa.

Sekiranya mangsa berminat dengan golf, maka golf akan digunakan sebagai saluran untuk mendekatinya. Sekiranya, pegawai berminat dengan kereta, maka keretalah akan digunakan sebagai umpan untuk memenangi hatinya.

Si pemberi rasuah diibaratkan sebagai seorang jejaka yang berusaha memenangi hati seorang gadis dengan menaburkan segala janji dan kemewahan.

Kesemuanya dilakukan dengan teliti dan rapi sehinggalah si mangsa (pegawai) akan menganggap pemberi rasuah sebagai rakan atau sahabat karib.

Maka bermulalah proses selanjutnya iaitu untuk menabur budi dengan pemberian hadiah atau benda-benda berharga tanpa sebarang permintaan atau balasan khusus.

Pegawai akan terasa terhutang budi dan akhirnya terjebak dengan pengaruh si pemberi rasuah yang dengan secara tidak langsung menggunakan pengaruhnya secara langsung atau tidak langsung untuk melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh pemberi rasuah.

Di kala ini, pegawai diibarat lembu yang dicucuk hidung dengan hanya mengikut telunjuk dan arahan pemberi rasuah. Akhirnya harga dan maruah diri tergadai dek pujukan si pemberi rasuah.

Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan bahawa perbuatan memberi atau menawarkan rasuah merupakan suatu kesalahan yang sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah: "Seseorang melakukan kesalahan jika dia memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan hal ehwal prinsipalnya."

Jika disabitkan dengan kesalahan ini, seseorang itu akan berhadapan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Perbuatan memberikan rasuah ini juga merupakan kesalahan yang dipandang serius oleh agama. Ini dapat dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW: "Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah".

Rasuah tidak akan berlaku seandainya salah satu pihak sama ada pemberi atau penerima tidak merestuinya. Rasuah tidak akan berlaku jika tiada pemberi. Rasuah tidak akan berlaku jika tiada penerima. Rasuah akan berjaya dibanteras jika kedua-dua pihak pemberi atau penerima enggan melakukannya dan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Tun Abdul Hamid Mohamad dalam ucapannya pada majlis pelancaran Aspirasi SPRM menjelaskan bahawa "jika kita betul-betul hendak memerangi rasuah, perkara pertama sekali yang masing-masing mesti lakukan ialah menghindar diri daripada perbuatan rasuah. Caranya mudah dan semua orang tahu: Jangan beri dan jangan terima rasuah!"

Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja pada tahun 2010 ini, SPRM akan melancarkan kempen kesedaran secara besar-besaran kepada semua penjawat awam khasnya dan anggota masyarakat untuk menghentikan perbuatan menyogok penjawat awam.

Di pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa jua sogokan di bawah seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen-kempen yang telah dirancangkan menerusi media massa.

Datuk Ahmad Khusairi Yahaya ialah Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/