Selasa, 27 April 2010

INI BAHASAKU

Sejahtera kita membina bahasa
bahasa ibunda dijunjung mulia
tamadun bangsa rapi dijaga
agar bangsa dipandang mulia
kita bina bangsa bermaruah
jiwa kita berbudi bahasa
jujur mulia sejahtera segala
Malaysia berdaulat
bahasanya penuh keramat.

IJAMALA M.N,
Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 25 April 2010

Perkukuh institusi keluarga

Oleh MOHAMAD ABDULLAH

Berita seorang pelajar sekolah dirogol di dalam bilik darjah oleh rakan sekolahnya, pelajar remaja dirogol sekumpulan lapan orang dan beberapa kes bunuh diri dari kalangan orang Melayu Islam amat mengganggu kita kebelakangan ini. Terbaru, remaja belasan tahun didapati menggantung diri.

Melihat senario itu, nampaknya bilik darjah kini tidak lagi selamat. Rakan-rakan sekolah tidak lagi boleh dipercayai. Agama tidak lagi menjadi pendinding dalam tindakan. Tekanan perasaan dan perasaan keterasingan membawa padah apabila nyawa sendiri menjadi taruhan.

Tidak perlu menuding jari. Yang terjadi telah terjadi. Tidak mustahil esok, ahli keluarga terdekat kita yang menjadi mangsa. Tatkala itu, kita akan tahu betapa sakit, pedih dan sedihnya berhadapan dengan situasi itu.

Oleh kerana itu, semua pihak harus prihatin terhadap apa yang terjadi. Ini adalah antara isu-isu yang mungkin tidak terfikir dek akal kita selama ini. Kita hanya membaca dan menggeleng kepala terhadap apa yang terjadi kepada orang lain tanpa kita duga yang ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Apakah tindakan yang wajar kita sama-sama lakukan selepas ini? Pertama, ia harus bermula dari dalam rumah. Kukuhkan institusi keluarga, tanamkan perasaan kasih sayang, sikap prihatin dan melihatnya sebagai amanah Tuhan yang tidak harus diabaikan. Kesibukan bagaimana sekali pun dalam mencari rezeki bukan alasan untuk abaikan keluarga.

Anak-anak lahir dari kasih sayang sepasang suami isteri, walaupun terdapat juga yang lahir secara terpaksa atau tidak diminta. Dalam sebuah unit keluarga, biasanya anak lahir daripada hasrat bersama.

Seperti mana kita menghargai kasih sayang ibu bapa dan keluarga, maka kita juga bertanggungjawab dan memegang amanah besar dalam memberikan dan berkongsi kasih sayang dan amanah terhadap anak-anak kita.

Menyayangi anak-anak dan keluarga bukan sahaja bermakna memenuhi keperluannya, tetapi juga mengawasi, mengambil berat, mengambil tahu dan sentiasa tahu perkembangan anak-anak dan ahli keluarga.

Ini bermakna, ibu bapa berperanan untuk memastikan anak-anak dan anggota keluarganya sentiasa dalam sejahtera, malah juga mensejahterakan anggota masyarakat seluruhnya.

Selain itu, para pemimpin institusi yang ada harus memainkan peranan yang sewajarnya. Bukan sahaja institusi sekolah, malah juga institusi agama dan institusi-institusi lainnya.

Institusi sekolah dan warganya harus tidak sentiasa bersikap menghukum, tetapi mendidik. Guru-guru harus menjadi role model kepada anak-anak. Agak malang apabila sesekali terdengar berlaku pergaduhan guru-guru yang disaksikan murid dan pelajar, sikap guru yang tidak sesuai dengan institusi sekolah dan pendidikan dan pelbagai isu lain.

Kita faham tekanan yang dihadapi oleh para pendidik kita. Malah kita juga melihat pelbagai ganjaran yang diberikan untuk membantu para pendidik kita. Namun yang paling penting adalah profesionalisme guru dan roh 'pendidik' dan 'guru' harus diberikan keutamaan.

Guru dan pendidik bukan lagi seperti mana zaman tahun 60-an yang berkhidmat secara sukarela dan mempunyai minta mendalam terhadap pembangunan ilmu anak bangsanya.

Justeru, institusi sekolah dan pendidikan harus membangunkan sistem yang berupaya mendidik anak-anak kita, sehinggalah ke institusi pengajian tinggi untuk memahami dan menghayati kepentingan terhadap isu-isu yang berkaitan sama ada secara formal atau pun di luar bilik darjah.

Malah di institusi pengajian tinggi kita, aktiviti-aktiviti pelajar harus menumpukan kepada usaha ini melalui begitu pertubuhan dan persatuan yang ada. Anak-anak muda kita harus diberikan kefahaman mendalam tentang kesan dan natijah yang berlaku dalam setiap tindakan yang dilakukan secara jangka panjang.

Begitu juga dengan institusi agama termasuk institusi masjid yang ada hampir di setiap mukim dan kampung di negara kita. Institusi agama harus berupaya untuk berjalan seiring dengan anak-anak kita tanpa sebarang prejudis.

Biar bagaimanapun tingkah laku anak-anak kita, tanpa mengira sesiapa, mereka perlu dibuat kawan dan dibimbing.

Jiwa anak-anak dan remaja harus dilihat dalam konteks keremajaan dan zaman yang dilalui tanpa perlu membandingkan mereka dengan zaman dan tingkah laku kita pada zaman kita sebagai anak-anak dan remaja.

Para imam, ustaz dan cerdik pandai agama kita harus sentiasa mempunyai empati yang tinggi terhadap jiwa anak-anak kita. Menyalahkan mereka, memandang buruk dan melihat mereka dengan pandangan hina dan menghukum, tidak akan menyelesaikan masalah.

Lihat bagaimana stigma yang ada dalam masyarakat terhadap para penagih dadah serta mereka yang menghidapi HIV/AIDS yang dipandang hina dan tidak dipedulikan oleh anggota masyarakat dan keluarga sehingga menyebabkan ramai yang terus hidup dalam dunianya sendiri.

Kesilapan yang masyarakat lakukan adalah kita enggan berkawan dan memahami mereka. Dalam banyak keadaan, anak-anak dan remaja, malah juga orang dewasa hilang haluan dan pertimbangan apabila tiada tempat mengadu, tiada teman untuk mendengar dan berkongsi masalah, manakala kemurungan menjadi antara petanda awal yang menjerumuskan mereka dalam membuat keputusan yang mungkin di luar jangkaan kita.

Selain itu, badan-badan sukarela perlu menggerakkan tenaga dan usaha mereka untuk bersama-sama mendekati anak-anak, remaja, malah mereka yang berhadapan dengan masalah.

Di negara ini, kita mempunyai banyak badan sukarela yang berteraskan pelbagai kepentingan dan kumpulan masyarakat. Dalam banyak keadaan, cadangan yang diberikan adalah penguatkuasaan dan pengukuhan pelbagai agensi kerajaan.

Namun, keprihatinan dalam mengurangkan masalah yang ada harus digerakkan oleh badan-badan sukarela dan anggota masyarakat seluruhnya. Konsep gotong royong, berderau, khidmat masyarakat dan pelbagai lagi adalah antara aktiviti yang harus digerakkan secara besar-besaran.

Setiap pihak harus melihat isu-isu sosial sebagai masalah bersama yang harus diselesaikan bersama. Ia adalah isu bersama yang patut melibatkan semua pihak, bukan khusus kepada kumpulan tertentu.

Pada masa yang sama, agensi-agensi amanah harus terus memberikan sokongan dalam semua usaha yang dilakukan secara berterusan. Mereka yang berada di agensi-agensi amanah perlu menunaikan amanah yang diberi tanpa putus asa demi mewujudkan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.

Kes rogol, buang bayi, bunuh diri serta jenayah-jenayah lainnya hanya dapat dikurangkan dengan adanya tindakan holistik yang melibatkan semua pihak. Ia bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu, tetapi tanggungjawab kita semua.

Dalam perkara itu, ibu bapa dan keluarga adalah unit terpenting dalam memastikan kesejahteraan semua, sebagai pemerhati sekali gus mengambil tindakan awal untuk mengelakkan masalah menjadi lebih runcing. Kasih sayang yang mendalam perlu menjadi alat utama untuk mengikat kita sebagai satu unit sosial yang kukuh dalam menghadapi apa jua keadaan yang berlaku.

Anak-anak, malah kita sendiri mungkin melakukan kesilapan, tetapi dengan adanya bimbingan dan kasih sayang yang mendalam, ia boleh diselesaikan supaya anak-anak tidak terus hanyut serta mengambil keputusan yang menimbulkan kesusahan kepada dirinya, mahu pun mereka yang berada di sekelilingnya. Kasih sayang harus dikongsi dan dirasai bersama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 24 April 2010

SENJATA BAHASA

Bahasa adalah senjata
yang menyelamatkan maruah bangsa.

Dengan senjata bahasa
kita redah rimba silam yang guram
kita hapuskan ular sangsi yang menghampiri
kita bunuh ulat seteru yang mengganggu
kita nyahkan serangga prasangka yang
menduga.

Dengan senjata bahasa
kita susuri denai masa depan yang berpedoman
kita hancurkan kuku penguasa yang berpura
kita patahkan jari pengkhianat yang menggugat
kita lenyapkan lidah petualang yang bercabang.

Dengan senjata bahasa
kita susuri denai masa depan yang berpedoman
kita benamkan sisa hujah yang menyanggah
kita tanam baki prejudis yang menghiris
kita kuburkan bangkai helah yang menanah.

Bahasa adalah senjata
yang meneguhkan peradaban bangsa.

NAZIM MOHD SUBARI
Endau, Johor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tangani gejala sosial tugas semua pihak

Oleh Nik Safiah Karim

Masyarakat perlu lahirkan generasi muda seimbang rohani, jasmani seiring perubahan zaman

KINI masalah sosial amat ketara dalam masyarakat kita. Saban hari ada berita kanak-kanak didera, gadis dirogol dan remaja terbabit pelbagai salah laku. Di samping itu, jumlah penagih dadah semakin meningkat dan kes pembuangan bayi sampai ke tahap menggerunkan. Banyak juga perkara ini berlaku di kalangan orang Islam sehingga kita tertanya-tanya apakah menyebabkan mereka berbuat demikian.

Yang sering ditanya kebanyakan orang ialah: “Apakah yang sedang berlaku kepada masyarakat kita hari ini? Apakah ini kesan kemajuan?” Pada hemat saya, persoalannya lebih kompleks daripada itu. Memang diakui masyarakat kita sudah berubah daripada pelbagai segi, antaranya cara hidup, sistem nilai yang dipegang dan institusi sedia ada seperti keluarga dan perkahwinan.

Agak relevan juga jika diteliti siapakah terbabit dalam tindakan yang dianggap sebagai masalah sosial ini. Sebenarnya tidak ada kelompok tertentu. Dalam kes penderaan kanak-kanak, yang melakukan perbuatan kejam itu ialah orang dewasa daripada bapa tiri hingga kekasih si ibu. Siapakah pula yang merogol? Jawapannya juga orang dewasa, daripada bapa tiri kepada bapa sendiri, abang, sepupu hingga bapa saudara dan datuk mangsa.

Yang mendera isteri sudah semesti lelaki dewasa. Yang membawa jangkitan HIV/Aids kepada isteri juga lelaki yang bergelar suami. Demikian juga, wanita bergelar ibu yang pandai melahirkan anak tetapi tidak sanggup menjaga dan memelihara mereka dengan baik selepas melahirkan. Mereka juga orang dewasa. Wanita yang membabitkan diri dengan penagihan dadah dan kemudian mewariskan gejala penagihan itu kepada anak dalam rahimnya juga wanita dewasa.

Jika dilihat beberapa kegiatan sosial lain pula, pelakunya ialah remaja termasuk merempit, buang bayi, penagih dadah dan minuman alkohol. Jumlah remaja terutama lelaki yang menghuni pusat serenti amat besar dan gadis yang hamil di luar nikah juga semakin meningkat, begitu juga gadis yang lari dari rumah mengikut kekasih sama ada teman senegara atau orang asing.

Banyak sebab sudah diutarakan untuk menerangkan mengapa masalah sosial begitu menonjol pada masa ini. Sebenarnya tidak ada satu sebab khusus mewujudkan keadaan ini, tetapi nampaknya ia timbul akibat beberapa faktor.

Satu antara sebab yang kerap dikemukakan ialah ketiadaan ajaran agama yang mantap dan mencukupi. Dalam kajian dibuat beberapa pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap remaja di beberapa pusat tahanan, ramai mengatakan mereka tidak tahu dan tidak pernah sembahyang lima waktu.

Ibu bapa mereka tidak menjadi model cara hidup Islam seperti tidak pernah sembahyang berjemaah bersama keluarga. Walaupun mereka pernah mengikuti mata pelajaran agama di sekolah, kebanyakannya tidak dapat mempraktikkan ilmu yang diajarkan.

Sesetengah pihak pula menyalahkan media massa. Ada juga kebenaran hal ini. Pelbagai mesej, baik dan buruk diterima melalui program dan filem yang disiarkan melalu televisyen dan panggung wayang. Kewujudan video lucah membawa banyak kesan buruk terutama terhadap remaja yang memang suka mencuba.

Pengaruh budaya asing yang datang melalui pelbagai saluran media tidak serasi dengan jiwa Timur masyarakat kita dan ini meruntuhkan sistem nilai sedia ada, diganti dengan nilai baru seperti sifat individualisme dan materialistik.

Di sekolah pula kekurangan guru lelaki menimbulkan pelbagai kesan buruk, misalnya menurunnya disiplin pelajar dan tiada contoh yang sesuai bagi pelajar lelaki. Suasana pembelajaran tidak memuaskan juga disebut antara faktor yang menyumbang kepada masalah sosial.

Sistem pendidikan menekankan kejayaan akademik semata-mata yang menyediakan pelajar untuk lulus peperiksaan tetapi tidak untuk hidup dan bukan membina peribadi sempurna serta menyeluruh gagal menghasilkan lulusan yang cergas, cerdas dan bertanggungjawab.

Kesimpulannya, banyak yang tidak kena dengan masyarakat kini yang jika tidak ditangani, akan membawa kepada situasi lebih teruk. Agak senang jika kita menuding jari kepada kerajaan dan menyenaraikan pelbagai langkah untuk dilaksanakan. Dengan demikian, kita meletakkan kesalahan seluruhnya di atas bahu kerajaan.

Namun, secara ikhlas yang bertanggungjawab bukan kerajaan semata-mata. Kita sebagai ibu bapa mempunyai tanggungjawab tertentu terutama dari segi melahirkan anak yang apabila dewasa kelak, mempunyai peribadi sempurna, kukuh, mulia dan bertanggungjawab. Jika remaja kini tidak mempunyai asas agama yang kukuh, maka ibu bapa patut memainkan peranan masing-masing dibantu institusi yang relevan seperti sekolah, jabatan agama, alim ulama dan pemimpin masyarakat.

Ada keluhan yang mengatakan cara kita memperkenalkan bidang agama tidak menarik bagi remaja. Mungkin hal ini perlu diteliti pihak berkenaan. Apakah benar kita hanya menekankan aspek ritual dan hafalan semata-mata dan tidak memperlihatkan kepentingan mengaitkan ajaran agama dengan kehidupan harian? Perkara ini penting kerana sudah ada kecenderungan di Barat untuk menganggap agama sebagai tidak relevan lagi dalam dunia serba moden ini.

Selain ibu bapa, sistem persekolahan perlu menilai kembali pendekatan mereka dan membuat penyesuaian supaya lulusan yang dilahirkan sesuai dengan perubahan yang berlaku dalam negara dan mereka dapat memikul tanggungjawab dalam dunia yang sudah berubah.

Akhir sekali, hakikat bahawa masyarakat kita sudah dan sedang berubah dengan amat pesat tidak boleh dilupakan. Malaysia bukan saja mengalami perkembangan ekonomi dan sosial yang menakjubkan, tetapi masyarakat kita turut mengalami perubahan yang mengejutkan. Dalam masa yang singkat kita berubah daripada masyarakat pertanian kepada perindustrian yang berasaskan kemajuan sains dan teknologi.

Kejutan sedemikian semestinya meninggalkan kesan. Namun, jika kita pandai dan bijak menangani kejutan ini, kestabilan akan dicapai. Kita berdoa semoga retak yang sedang berlaku akan dapat dibaiki tanpa meninggalkan kesan terlalu membimbangkan. Namun, jika tidak ditangani segera dengan tabah, retak boleh menjadi belah.

Penulis ialah Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Antara tahu, tak tahu dan tak mahu tahu

"Pengetahuan adalah kuasa" diterjemahkan daripada knowledge is power. Sesiapa yang ada pengetahuan, maka ia memiliki kuasa.

Maka dari situ, manusia berusaha untuk mendapatkan pengetahuan, kerana dengannya ia akan dapat meraih kuasa. Sementara mereka yang berkuasa pula akan menghalang pesaingnya daripada memiliki pengetahuan.

Antara contoh ketara ialah Amerika Syarikat muncul sebagai negara kuasa besar antara sebabnya ialah ia mempunyai pengetahuan lebih daripada negara-negara lain di dunia. Antara caranya untuk menghalang sebarang pencabarnya pula ialah menyekat pengetahuan tertentu daripada dimiliki mereka. Umpamanya menghalang pengetahuan mengenai tenaga nuklear kepada Iran.

Begitu juga dalam negara yang autokratik atau kurang demokratik. Bagi menghalang sebahagian daripada rakyatnya muncul sebagai pencabar pihak berkuasa, maka kerajaan yang memerintah akan menghalang pengetahuan tertentu daripada diketahui oleh warganegaranya sendiri. Maka mereka melakukan penapisan atau mengharamkan buku-buku serta menghalang laluan kepada laman-laman web.

Contohnya ialah apa yang dilakukan oleh China. Menghalang pengetahuan daripada rakyat adalah apa yang menjadi amalan negara-negara komunis yang kebanyakannya telah tumbang. Tetapi amalan ini juga dilakukan oleh negara-negara bukan komunis yang masih tidak mempercayai perlunya pengetahuan dimiliki oleh rakyat, bukan saja sebagai hak warganegara tetapi untuk kemajuan negara.

Bagi pihak yang menghalang sesuatu pengetahuan daripada diketahui umum, antara alasannya ialah untuk memelihara ketenteraman. Ini kerana ada kalanya pengetahuan itu mendatangkan bahaya. Akhirnya apa yang dikatakan baik atau buruk adalah penilaian subjektif.

Maka dalam hal ini, knowledge is power berkaitlah pula dengan ignorance is bliss. Maknanya ialah kejahilan itu ketenteraman. Bliss bermaksud kebahagiaan dalam perkahwinan jika dirujuk kepada rumah tangga. Tetapi bliss dalam keadaan jahil juga boleh bermaksud kebahagiaan. Maka lebih tepat lagi ia dimaksudkan sebagai ketenteraman hati. Dengan tidak mengetahui sesuatu perkara, mungkin ia lebih mendatangkan ketenteraman. Lebih-lebih lagi jika tahu pun, seseorang tidak dapat melakukan apa-apa. Lagi sekali perkara ini juga bersifat subjektif.

Kejahilan

Jadi bila masa pengetahuan itu menjadi kuasa, dan masa mana kejahilan itu mendatangkan ketenteraman? Adakah memiliki kuasa itu akan sentiasa mendatangkan ketenteraman hati?

Manusia mahukan kuasa, tetapi pada waktu yang sama, juga mahukan ketenteraman hati. Sementara hakikatnya pula ialah manusia tidak akan dapat memiliki semua pengetahuan. Kemampuan untuk memiliki pengetahuan adalah terhad, walaupun berbeza di antara satu sama lain. Begitu juga tidak ada pula manusia yang jahil mutlak. Semua manusia sedikit sebanyak mesti memiliki sesuatu pengetahuan.

Dalam hal kekuasaan dan ketenteraman, manusia juga akan membuat perkiraan yang serupa. Tidak ada manusia yang boleh memiliki kuasa mutlak, hatta seorang diktator sekalipun. Begitu juga dengan ketenteraman. Sebagai manusia, ada masa mereka akan menikmati ketenteraman, pada waktu lain pula ada juga masa kegelisahan. Otak manusia sudah berfungsi sebegitu rupa.

Akhirnya apa yang dapat dirumuskan ialah keseimbangan. Kita mahu pengetahuan tetapi berpadanan dengan keperluan kita. Ini kerana kuasa yang kita kehendaki dihadkan oleh alam. Begitu juga dengan ketenteraman. Ia juga dihadkan oleh alam.

Akhirnya dalam mendapatkan keseimbangan antara pengetahuan dan kejahilan, maka otak kita sendiri yang menentukan. Kalau terlalu banyak maklumat, otak kita akan terbeban, berasa bosan dan terus tidak ambil peduli.

Inilah yang sebenarnya sedang berlaku apabila manusia terdedah kepada banyak maklumat melalui pelbagai media termasuk Internet. Buat pertama kali dalam sejarah, manusia disogok dengan begitu banyak maklumat dan akses kepada pengetahuan.

Maka dalam keadaan begini, dalam berusaha untuk mendapatkan kuasa tetapi pada waktu yang sama mahu menikmati ketenteraman, dalam erti kata lain, usaha untuk mendapatkan pengetahuan diseimbangi dengan keinginan untuk kekal jahil dalam sesuatu perkara, maka apa yang diperlukan ialah keupayaan untuk memilih maklumat.

Ada maklumat yang wajar diserapi, tidak kurang pula yang perlu dielak. Terutamanya berita dan iklan yang tidak berkaitan dengan kita, atau lebih buruk lagi mengganggu emosi dan kehidupan.

Justeru seseorang tidaklah perlu melayari laman-laman web, blog atau apa saja dalam Internet yang tidak digemari. Begitu juga seseorang tidaklah perlu membaca buku atau bahan cetak yang tidak bermanfaat kepada dirinya. Kesemua itu membuang masa dan perasaan saja. Begitu juga, elak daripada menonton filem atau televisyen yang akhirnya hanya mendatangkan perasaan negatif.

Ignorance yang diterjemahkan kepada kejahilan mempunyai akar kata ignore, atau tidak mempeduli. Justeru jika ia diterjemahkan untuk menjadi tidak peduli dan bukannya kejahilan, maka ignorance is bliss boleh membawa maksud sikap tidak mempeduli yang membawa ketenteraman.

Justeru di samping pengetahuan, kejahilan dan tidak peduli boleh dirumuskan sebagai tahu, tidak tahu dan tidak mahu tahu.

Maka dalam zaman ledakan maklumat yang membawa terlebih bebanan kepada minda manusia, sikap tidak mahu tahu mempunyai tempat tersendiri dalam zaman ini.

Kalau sesuatu perkara atau isu itu tidak digemari, tidak perlu, tidak relevan dan tidak mendatangkan manfaat kepada seseorang, maka wajar diambil sikap tidak mahu tahu.

Jika dapat diurus sewajarnya, maka akan dapat diwujudkan keseimbangan antara tahu dan tidak tahu dengan bersikap tidak mahu tahu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 23 April 2010

Mesej pulihara hutan masih tidak diendahkan

Oleh ROSMIDZATUL AZILA MAT YAMIN

KENYATAAN yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berhubung aktiviti pencerobohan hutan dan pembalakan haram yang masih berleluasa pada bulan lepas jelas mencerminkan bahawa tahap kesedaran awam berhubung kepentingan menjaga khazanah hutan masih lagi berada pada tahap rendah.

Walaupun telah banyak penguatkuasaan dilakukan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti pembalakan haram, namun ia seolah-olah langsung tidak memberi petanda bahawa aktiviti tersebut akan berkurang. Sebaliknya, saban hari kita disogokkan dengan laporan berhubung aktiviti pencerobohan hutan termasuk pembalakan haram di dada-dada akhbar.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup pada pertengahan bulan lepas, ia cukup membimbangkan apabila 108 kes kesalahan hutan membabitkan pembalakan haram dalam hutan simpanan kekal di Semenanjung Malaysia telah direkodkan dalam tempoh empat tahun sejak 2007, manakala lapan kes lagi bagi tempoh tahun ini sehingga 10 Mac lalu.

Menurut beliau, seramai 144 orang yang terbabit dalam kegiatan pembalakan haram telah ditangkap dan 226 unit mesin serta jentera berat telah dirampas untuk tempoh 2006 hingga tahun lalu. Jumlah kutipan kompaun dan ganti rugi yang telah dikenakan kepada pesalah dan penceroboh hutan dalam tempoh berkenaan adalah sebanyak RM11.2 juta.

Melihat kepada situasi ini, siapa yang harus dipersalahkan. Bukan tiada usaha yang telah dilakukan oleh pihak berwajib, baik badan-badan kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan bagi mengatasi masalah ini. Malah, pelbagai kempen mencintai alam sekitar yang memberi tumpuan kepada semua peringkat usia telah dianjurkan dari semasa ke semasa.

Kebanyakan kempen berkenaan adalah bertujuan menyampaikan mesej berhubung kepentingan menjaga alam sekitar dan kepelbagaian sumber di dalamnya. Di samping itu, ia juga bermatlamat untuk menerapkan kesedaran secara berterusan kepada seluruh anggota masyarakat agar mereka tidak mudah alpa dan mengikut hawa nafsu dalam meneroka khazanah alam demi memenuhi tuntutan serta keuntungan duniawi semata-mata.

Namun, malangnya mesej-mesej yang disampaikan seolah-olah tidak diendahkan dan diambil peringatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang terus bertindak rakus terhadap hutan tanpa terbitnya rasa bersalah di dalam diri masing-masing. Bahkan, ia tidak ubah seperti 'mencurah air ke daun keladi' sahaja.

Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila sebahagian daripada mereka yang dicekup semasa aktiviti penguatkuasaan dijalankan adalah terdiri daripada pihak yang sama yang pernah disabitkan melakukan pencerobohan dan pembalakan haram. Ia jelas menunjukkan bahawa mereka tidak pernah serik walaupun telah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa untuk kesalahan-kesalahan yang lepas.

Di sini timbul persoalan adakah hukuman berbentuk kompaun dan ganti rugi yang dikenakan ke atas kesalahan tersebut terlalu ringan sehinggakan ia tidak mampu memberi pengajaran kepada mereka. Jika jawapannya ya, mungkin kewajaran hukuman ke atas kesalahan menceroboh dan melakukan pembalakan haram perlu diperhalusi lagi agar ia benar-benar dapat memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat dan mampu menghentikan aktiviti tersebut.

Tindakan yang lebih keras dan tegas perlu diambil oleh pihak berwajib agar kemelut pencerobohan haram ke atas hutan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi. Dalam konteks ini, pihak berwajib juga tidak seharusnya berkompromi dengan pihak yang terbabit dengan pencerobohan hutan dan pembalakan haram kerana tindakan tersebut boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar.

Masalah ini perlu diberi perhatian yang serius agar kita tidak kehilangan warisan berharga yang telah terlalu banyak menabur jasa kepada kita di atas muka bumi ini. Jangan kerana sikap tamakkan wang ringgit oleh segelintir daripada kita, maka semua terpaksa menanggung azab sengsara dek bencana alam yang kian kerap berlaku lantaran keseimbangan alam yang telah digugat. Usah lagi ditambah derita yang kian sarat ditanggung alam, kerana ia kelak ternyata akan merugikan kita sendiri dan anak cucu kita juga akan turut terkesan lantaran sikap dan etika buruk kita terhadap alam.

Sudah tiba masanya setiap insan di atas muka bumi ini kembali merenung hakikat kejadian alam dan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini yang sentiasa diingatkan oleh Allah SWT untuk beretika baik terhadap alam dan seluruh makhluk yang lain. Justeru, amanah alam semesta yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT perlulah dipikul dengan sebaik mungkin agar kemaslahatan ummah akan terus terpelihara.

Alangkah sayangnya jika sisa-sisa hutan yang masih menghijau terus dinodai tanpa sekelumit rasa bersalah di dalam diri kita. Sedangkan kita sepatutnya mengurus dan mentadbirnya dengan sebaik mungkin agar tidak berlaku pembaziran dan eksploitasi berlebihan ke atas sumber-sumber tersebut.

Ini kerana, apabila ekosistem hutan dimusnahkan dengan rakus pastinya ia turut melenyapkan warisan dan kepelbagaian spesies lain yang ada di dalamnya. Apabila sebahagian spesies telah lenyap, ia akan memberi kesan yang lebih buruk lagi kerana secara lumrahnya setiap kejadian di atas muka bumi ini saling memerlukan dan berinteraksi antara satu sama lain bagi memastikan kitaran semula jadi terus seimbang.

Oleh yang demikian, hak-hak yang telah ditetapkan bagi setiap komponen alam perlulah dihormati dan dijaga sepenuhnya. Rasulullah SAW pernah bersabda (di dalam hadis riwayat Muslim) yang bermaksud: "Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan".

Justeru, jadilah pentadbir terbaik terhadap alam agar kehijauan dan keindahan alam terus terpelihara bagi membekalkan udara yang nyaman dan bersih kepada kita dan anak cucu kita. Sesungguhnya masa depan alam sekitar kita adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Jika baik perlakuan kita terhadap alam, maka selamatlah alam daripada sebarang bentuk kemusnahan.

Jadi sama-samalah bermuhasabah diri bahawa setiap kejadian di dalam alam semesta adalah sebagai petunjuk serta bukti keagungan dan kebesaran Allah SWT. Dalam konteks ini, al-Quran juga mengajar umat Islam agar sentiasa bersyukur dengan nikmat alam semesta dan menyedari bahawa ia dijadikan dengan begitu sempurna, seimbang dan harmonis untuk kelangsungan hidup seluruh makhluk.

Justeru, sebarang bentuk pencabulan atau kerosakan terhadap alam sangat dikeji oleh Allah SWT. Hal ini telah dijelaskan di dalam Firman-Nya (Surah ar-Rum, ayat 41) yang bermaksud: "Telah kelihatan kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)". Sama-samalah kita renungkan.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 22 April 2010

Kempen menghijaukan bumi

Sasaran tanam 26 juta pokok usaha kerajaan tangani krisis iklim

UNTUK menikmati sebuah kehidupan yang sejahtera, alam sekitar adalah elemen paling penting yang perlu dititikberatkan.

Bagaimanapun untuk berada dalam suasana alam sekitar bersih dan selamat, masyarakat perlu bersatu padu berusaha melestarikannya. Bagi memastikan rakyat negara ini dapat hidup dalam suasana kehijauan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melancarkan kempen ‘Menanam 26 Juta Pokok’ yang bertemakan ‘Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok’.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, berkata kempen ini memilih untuk menanam 26 juta pokok kerana ia bersamaan dengan jumlah penduduk Malaysia masa kini.

“Untuk melaksanakan kempen penanaman pokok ini, kita menggunakan slogan ‘Satu Warga Satu Pokok’ dan ia selari dengan slogan 1Malaysia. Adalah menjadi keperluan buat kita untuk menanam pokok di seluruh negara.

“Bagi melaksanakannya kita menganggarkan seluas 38,470 hektar kawasan hutan berkurangan, kawasan hutan sudah dibalak dan kawasan pesisiran pantai negara akan ditanam di bawah kempen ini menjelang 2014” katanya.

Douglas berkata, Putrajaya juga menjadi kawasan tumpuan untuk kempen ini kerana banyak kawasan lapang yang masih belum ditanam dengan pokok di situ.

Untuk melaksanakan kempen ini, ia akan diagih-agihkan supaya setiap negeri memainkan peranan masing-masing untuk memulihkan kawasan hutan yang semakin merosot bagi memastikan 60 peratus daripada keluasan tanah di Malaysia diliputi hutan.

Hingga kini, Malaysia hanya diliputi 56.4 peratus kawasan berhutan, walaupun angka itu dilihat besar, apatah lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Persidangan Rio pada 1992, meletakkan komitmen sebanyak 50 peratus kawasan Malaysia diliputi hutan, tetapi kerajaan memikirkan adalah wajar kawasan hutan di negara ini berada dalam lingkungan 60 peratus.

Justeru, kempen yang dilancarkan ini adalah komitmen kerajaan bagi menangani isu perubahan iklim.

Berhubung jenis pokok yang ditanam sempena kempen ini, Douglas berkata, pokok dipilih mengikut kesesuaian tanah supaya pokok berkenaan dapat tumbuh dengan baik bagi mencapai sasaran penanaman 26 juta pokok.

Berdasarkan pengalamannya mengendalikan program tanaman pokok, kadangkala pokok tidak sesuai dengan tanah menyebabkan kadar pertumbuhannya rendah.

Justeru, tanggungjawab diberikan kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan Sabah dan Sarawak bagi membantu mengenal pasti pokok sesuai ditanam di tempat tertentu.

Sehubungan itu, dengan memberi fokus kepada pokok sesuai dengan tanah, diharapkan kadar pokok yang hidup adalah tinggi iaitu di sekitar 70 peratus.

Proses penanaman pokok itu mengambil masa lima tahun dan akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh berkenaan di seluruh negara, manakala pemantauannya akan dilakukan Jabatan Perhutanan.

Usaha untuk menanam 26 juta pokok ini bersempena Sambutan Hari Bumi Sedunia yang disambut pada 22 April.

Pelancaran kempen ini juga selari dengan ‘Program Penghijauan Wilayah Persekutuan’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Pelancaran kempen menanam 26 juta pokok akan diadakan di Presint 5, Putrajaya membabitkan kawasan seluas 10 ekar iaitu sebuah kawasan lapang berdepan dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis pelancaran penanam 26 juta pokok dilancar serentak di seluruh negara dengan 500 pokok ditanam di Putrajaya.

Jumlah pokok yang ditanam seluruh negara pada majlis pelancaran yang diadakan serentak itu adalah 16,200 pokok dan penanaman seterusnya akan dijalankan secara berperingkat untuk menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26 juta pokok menjelang akhir kempen berkenaan.

Kempen menanam 26 juta pokok bersempena Sambutan Hari Bumi ini disambut bagi membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap masalah dihadapi oleh bumi. Kesedaran ini diperlukan untuk menyelamatkan bumi supaya kehidupan bumi tidak mengalami kepupusan.

Walaupun usia bumi dianggarkan 3.8 bilion tahun, namun sambutan diadakan pada tahun ini adalah untuk ulang tahun ke-40.

Ekosistem yang tidak stabil menjadikan cuaca yang tidak menentu sekali gus mengakibatkan bumi berdepan kejadian bencana alam dan ancaman keselamatan dan kesihatan manusia yang menurut World Health Organisation (WHO), perubahan iklim global secara langsung atau tidak langsung menyebabkan 77,000 kematian setiap tahun di rantau Asia Pasifik.

Selain sambutan Hari Bumi Sedunia, majlis ini diadakan sempena ‘Tahun Biodiversiti Antarabangsa’ dengan tujuan utama untuk melaksanakan program dan aktiviti yang memberikan pendedahan kepada masyarakat berhubung kepentingan biodiversiti dan tanggungjawab untuk mengurus dan memulihara biodiversiti.

Kepelbagaian biologi atau biodiversiti di negara mega diversiti merangkumi lebih 60 peratus daripada spesies yang diketahui di dunia.

Menyedari kepentingan kerjasama sedunia di dalam usaha pemuliharaan biodiversiti, pemimpin dunia menandatangani Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity-CBD) pada 1992 ketika Earth Summit, Rio de Janeiro, Brazil.

Persidangan CBD ke-7 yang berlangsung di Malaysia pada 2004, menetapkan 2010 sebagai sasaran penurunan di dalam kehilangan sumber biologi. Selaras dengan itu juga, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 2010 sebagai Tahun Biodiversiti Antarabangsa (International Year Of Biodiversity 2010).

Sehubungan itu, dengan penganjuran pelbagai aktiviti di seluruh negara pada tahun ini, diharapkan masyarakat Malaysia dapat bekerjasama bagi menjamin masa depan berkekalan untuk generasi akan datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/