Khamis, 6 Mei 2010

Tragedi Aminulrasyid


Oleh : Abd Jalil Ali

Tanpa prejudis, Aminulrasyid Amzah memang telah melakukan satu kesalahan, dan patut dihukum. Pelajar berusia 14 tahun itu memandu sebuah kereta Proton Iswara, di Seksyen 11 Shah Alam, jam dua pagi, 26 April lalu. Kesalahannya ialah memandu tanpa lesen.

Bagaimana dia boleh mendapat kunci kenderaan milik kakaknya, itu tidak penting. Tidak penting juga untuk ditanyakan sama ada ini kali pertama atau kali ke berapa dia ‘mencuri-curi’ memandu. Atau, sama ada ibunya membenarkan dia keluar atau tidak di tengah-tengah malam buta itu.

Malah, tidak perlu pun dihujahkan apakah tujuan dia dan seorang rakan sebaya, Azamuddin, meninggalkan rumah? Atau bagaimana dia boleh berjaga hingga lewat malam sedangkan pagi esoknya dia sepatutnya bersekolah? Anggaplah semua soalan itu tidak relevan.

Hakikatnya ialah dia di bawah umur – baru 14 tahun – dan belum layak mendapatkan lesen memandu. Tidak kira kaya atau miskin, rakyat biasa atau rakyat atasan, orang kampung atau orang bandar, memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan. Jangan persoalkan itu, sebab undang-undang tetap undang-undang.

Kalaulah tidak kerana tragedi lewat malam itu, orang kita selama ini memang tidak kisah sangat mengenai kesalahan memandu tanpa lesen. Masyarakat, khasnya sesetengah ibu bapa, bagaikan lepas tangan dan tutup mata, apabila membenarkan anak-anak memandu walaupun mengetahui mereka tidak mempunyai lesen.

Sepanjang yang berhubung dengan kesalahan memandu tanpa lesen, Aminulrasyid sebenarnya bukan kes terpinggir. Bukan dia seorang. Perangkaan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan bilangan remaja bawah umur yang memandu tanpa lesen terus meningkat setiap tahun. Pada 2007 remaja bawah umur yang dicekup kerana kesalahan ini ialah 940 orang, tahun 2008 (1,190), 2009 (2,034) dan tahun ini, setekad Mac, jumlahnya 374.

Itu jumlah yang berjaya direkodkan menerusi operasi-operasi jalan raya yang dilakukan. Bilangan sebenar remaja bawah umur yang memandu tanpa lesen tentulah jauh lebih tinggi dari apa yang direkodkan. Lihatlah di sekeliling kita, setiap hari kita terserempak dengan kanak-kanak sekolah, termasuk yang masih darjah enam, sudah berani menunggang motosikal. Siapa peduli?

Pendek kata Aminulrasyid telah menokoh lagi bilangan pesalah lalu-lintas kerana memandu tanpa lesen. Fakta itu tidak ada siapa pun boleh mempertikai.

Cuma, ‘hukuman’ yang dikenakan ke atas remaja bawah umur ini tidak setimpal dengan kesalahan lalu-lintas yang dilakukan. Dia ditembak mati oleh polis peronda. 20 das tembakan dilepaskan, dan salah satu darinya tepat menembusi kepala pemandu tanpa lesen itu.

Hukuman itulah yang kini dipertikai oleh keluarga mangsa, juga oleh pihak-pihak lain, termasuk orang-orang politik. Tidak fasal-fasal mereka mendapat publisiti media setiap hari. Di satu pihak ada kesedihan kerana kematian tidak diduga itu. Di pihak lain pula ada publisiti yang boleh diraih dari peristiwa tersebut.

Semua tidak setuju tindakan polis melepaskan tembakan pada malam itu. Tetapi, polis juga mempunyai hujah mengapa peluru terpaksa digunakan. Kereta tersebut cuba merempoh polis, menyebabkan keselamatan anggota beruniform itu terancam. Dalam keadaan tersebut pilihan yang ada ialah tembak.

Tambahan pula kereta tersebut dikatakan bergesel dengan sebuah kenderaan lain, dan telah melanggar beberapa lampu merah ketika dikejar oleh polis sejauh beberapa kilometer. Polis berhak mencurigai pemandu kereta tersebut, lebih-lebih lagi dengan kadar jenayah yang meningkat akhir-akhir ini.

Siapa sahaja boleh membuat apa sahaja andaian – atau tuduhan – mengenai perkara ini. Masing-masing ada fakta untuk menyokong andaian. Tetapi, ini masih kes polis. Biarlah siasatan dilakukan dengan rapi mengikut peraturan yang ada. Tidak ada siapa perlu muncul atau menonjolkan diri sebagai hero dalam kes ini.

Lagi banyak kenyataan dan andaian terbuka dibuat, termasuk dari Azamuddin yang menjadi saksi utama, ia hanya akan mempersulit siasatan. Kenyataan terbuka juga boleh membangkitkan persepsi umum yang mungkin berat sebelah pada pihak-pihak tertentu.

Ada baiknya jangan banyak bercakap. Biarlah siasatan dijalankan tanpa gangguan mana-mana pihak. Tambahan pula pasukan panel khas telah ditubuhkan untuk memantau siasatan ke atas insiden ini. Beri peluang untuk mereka menjalankan tugas, jangan awal-awal menuduh mereka sebagai tidak layak, tidak berwibawa.

Ada cadangan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes ini. Tetapi, apakah suruhanjaya seperti itu nanti benar-benar dapat memuaskan hati semua pihak? Semua maklum sudah ada banyak Suruhanjaya Diraja untuk beberapa kes sebelum ini. Ternyata hasil siasatan suruhanjaya seperti itu juga akhirnya dipertikai.

Sementara pihak yang berkenaan menjalankan penyiasatan, kita semua boleh memainkan peranan untuk mengelakkan tragedi Aminulrasyid daripada berulang. Salah satu caranya ialah dengan ketegasan untuk tidak membenarkan anak-anak tanpa lesen memandu kenderaan, termasuk motosikal. Malah, mungkin sudah tiba masanya tindakan diambil ke atas ibu bapa atau penjaga yang sengaja merelakan anak-anak memandu tanpa lesen.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Syurga di bawah telapak kaki ibu


MASYARAKAT dunia menyambut Hari Ibu pada setiap Ahad kedua dalam bulan Mei, setiap tahun. Tahun ini, sambutan Hari Ibu jatuh pada 9 Mei. Ibu adalah wanita yang dimuliakan oleh Allah SWT sebagaimana yang tercatat dalam kitab suci al-Quran.

Berdasarkan sebuah hadis, umat manusia percaya, syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Amat besar dosa derhaka terhadap ibu. Bahkan dikatakan darjat ibu tiga kali ganda dibandingkan ayah dalam hal penghormatan anak kepada kedua orang tuanya.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah: "Saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah." Rasulullah bertanya: "Apakah ibumu masih hidup?" Orang itu menjawab, ya. Rasulullah SAW bersabda. "Tetaplah engkau berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada." (Riwayat At-Thabrani)

Apa yang sangat membanggakan manusia bahawa Allah SWT telah menceritakan kisah ibu dalam kitab suci al-Quran, dengan cara yang amat menyenangkan sekali. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: "Maka Kami kembalikannya (Musa) ke pangkuan ibunya supaya menyenangkan hatinya dan tidak berduka." (Surah al-Qasasb : 13)

Alangkah besarnya rahmat Allah SWT terhadap ibu. Dengan menjadi pengasuh dan menyusukan anak raja (Musa) itu, ibu Musa sekeluarga telah dihormati oleh seluruh penduduk Mesir.

Pengorbanan ibu tidak dapat diukur dan dibandingkan dengan apa jua pun. Ia melebihi daripada segala pengorbanan. Ada satu kisah dan iktibar yang dipetik dari sebuah hadis Riwayat al-Bukhari iaitu kisah Juraij bersama ibunya yang menunjukkan betapa ampuhnya doa seorang ibu yang dekat dengan Allah SWT, doanya dikabulkan segera.

Atas dasar hadis-hadis itulah, umat Islam menyedari bahawa darjat ibu lebih tinggi daripada ayah dalam memperoleh pengabdian anak kepada diri masing-masing. Tidak diragukan bahawa ibu secara alamiah memiliki peranan yang cukup strategik dalam mendidik anak sejak kecil sehinggalah dewasa.

Syariat Sa'i di antara bukit Safa dan Marwah dalam ibadat haji dan umrah adalah memperingati peristiwa yang berlaku kepada Siti Hajar (bonda Nabi Ismail) yang mana Siti Hajar penuh sabar dan tabah mencari air untuk menghilangkan dahaga anaknya.

Pengorbanan itu adalah bukti yang nyata bahawa Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberi penghargaan yang abadi kepada golongan ibu dengan disyariatkan peristiwa itu dalam salah satu Rukun Islam yang kelima.

Justeru, kita diperintahkan untuk memohon rahmat Ilahi yang tidak bertepi itu kepada kedua ibu bapa kita. Adalah wajar, kita memohon untuk kedua-duanya agar memperoleh lebih banyak daripada apa yang kita peroleh, membalas budi mereka melebihi budi mereka kepada kita. Bukankah kita diperintahkan untuk melakukan ihsan terhadap mereka berdua.

Nyata dan jelas sebabnya mengapa Islam memberi penghormatan itu kepada wanita yang dipanggil ibu. Ia tidak lain kerana kedudukannya yang penting dan peranannya dalam setiap kehidupan manusia adalah amat besar. Wanita itulah yang menjadi sumber alam yang pertama bagi permulaan sesuatu kehidupan manusia setelah mereka keluar dari alam zuriat.

Ibnu Batutta menyatakan seseorang ibu berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana susah payah yang dialaminya sendirian ketika hamil, bersalin dan ketika menyusukannya. Manakala bapa berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana kerjasamanya dengan ibu dalam memberi nafkah dan mendidik anak-anak.

Al-Qurtubi, seorang pakar tafsir menunjukkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak menerima kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghormatan daripada anak-anaknya iaitu sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan dengan kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghargaan yang berhak diterima oleh seorang bapa daripada anak-anaknya. Al-Qurtubi juga menyatakan, jika berlaku pertembungan keperluan antara bapa dan ibu dalam mendapat khidmat anak-anaknya, maka ibulah yang lebih berhak diutamakan.

Namun begitu, ibu tidak akan dapat menikmati kebaikan, kasih sayang dan penghargaan daripada anaknya, sekiranya dia gagal mendidik dan membimbing anak-anak dengan sempurna mengikut lunas-lunas yang dikehendaki oleh syarak. Menghormati ibu, mentaati, sedia berkhidmat kepadanya, tidak mengingkari perintahnya kecuali pada perkara yang bertentangan dengan syarak, adalah menjadi sebab seseorang itu dapat masuk ke syurga.

Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yadim

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 5 Mei 2010

Memerangi rasuah perlu komitmen semua sektor

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

SEPERTI najis dadah, rasuah juga musuh utama negara yang wajib diperangi. Dalam konteks ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dan mencabar dalam memerangi rasuah di negara ini. Rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak kira dalam agensi kerajaan mahupun swasta. Rasuah ada pemberi dan penerimanya.

Ia tidak akan berlaku jika salah satu pihak menolak amalan yang menjijikkan itu. Kaedah memberi rasuah juga pelbagai dan semakin licik sifatnya. Justeru, ia bukan perkara yang mudah bagi SPRM untuk membendungnya.

Namun, dengan iltizam dan kekentalan semangat yang tinggi, SPRM bersedia mendepani segala cabaran dan rintangan untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas dan bersih daripada gejala rasuah. Melalui aspirasi dan slogan SPRM 2010, iaitu 'Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah' yang dilancarkan oleh Ketua Pesuruhjaya, Datuk Abu Kassim Mohamed sempena ulang tahun pertama penubuhannya pada 9 Mac lalu, ia telah meningkatkan kesedaran di kalangan penjawat awam dan masyarakat tentang kesan dan bahaya rasuah.

SPRM ditubuhkan melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Pada 26 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah merasmikan kempen 'Hindar Menerima, Perangi Pemberi Rasuah'. Kempen itu bertujuan mencetuskan motivasi dan meningkatkan integriti penjawat awam dengan menolak amalan rasuah, di samping melakukan perubahan minda ke arah pencapaian agenda transformasi negara.

Seperti yang disebut Mohd Sidek, mesej dan matlamat kempen itu adalah mudah, iaitu penjawat awam tidak boleh dirasuah. Kempen itu juga bertujuan menyedarkan orang awam bahawa pemberi rasuah juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang. Dalam ucapan perasmian kempen tersebut, beliau menyebut bahawa pelaksanaan dan kejayaan kempen ini banyak bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua ketua agensi.

Kesedaran yang tinggi di kalangan pegawai dan anggota perkhidmatan awam mengenai 'najis' dan jenayah rasuah akan menjadikan mereka lebih tegas dan berani menolak pujukan serta godaan pemberi rasuah. Peningkatan tahap integriti ini amat selari dengan komitmen kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mewujudkan sebuah pentadbiran yang 'mendahulukan rakyat' dan 'mengutamakan pencapaian' seperti yang terkandung dalam gagasan '1Malaysia'.

Justeru, usaha memerangi rasuah menjadi agenda utama pentadbiran beliau supaya aspirasi dan kehendak rakyat benar-benar menjadi kenyataan.

Ini terbukti apabila usaha membanteras rasuah turut dijadikan salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diberikan perhatian penting di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Warga perkhidmatan awam dikehendaki memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang efisien dan efektif dengan menampilkan nilai etika kerja dan tahap integriti yang tinggi.

GTP yang telah dilancarkan oleh Najib pada 28 Januari lalu bertujuan membawa perubahan perkhidmatan awam ke arah menyediakan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan semua segmen rakyat dan pelanggan. Ini membuktikan bahawa gagasan '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' adalah gagasan serius yang menuntut warga perkhidmatan awam melakukan transformasi minda, etika kerja dan kaedah penyampaian perkhidmatan bagi mendukung agenda dan aspirasi negara.

Sektor perkhidmatan awam hari ini lebih menjurus kepada memudah dan mempercepat urusan pelanggan, sama ada urusan orang ramai ataupun sektor swasta tanpa banyak proses dan prosedur serta kerenah birokrasi. Cara ini didapati berupaya membendung berleluasanya amalan rasuah dalam perkhidmatan yang diberikan. Penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) telah berjaya membentuk kerjasama sektor awam dan sektor swasta. Melalui Pemudah, banyak proses dan prosedur lapuk dan menyukarkan telah dapat dihapuskan atau dikurangkan.

Hasilnya, tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan itu dipendekkan apabila berurusan di jabatan dan agensi kerajaan. Keputusan perniagaan seperti pemberian kontrak, perolehan, dan sebagainya dapat dilakukan dengan lebih efisien tanpa melalui 'jalan belakang'. Hakikatnya, banyak kemajuan sudah dirasai oleh mereka yang berurusan dengan sektor awam hari ini.

Misalnya, pendaftaran perniagaan boleh selesai dalam tempoh tiga hari, permohonan pasport selesai dalam tempoh dua jam dan pendaftaran hartanah dilakukan dalam tempoh dua hari.

Begitu juga dengan penggunaan MyID untuk semua urusan individu dengan pelbagai agensi kerajaan amat memudahkan kerana kita perlu mengingati satu nombor sahaja. Penggunaan MyCOID untuk semua urusan perniagaan telah menjadikan kerajaan lebih mesra perniagaan.

Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut dimanfaatkan oleh kerajaan melalui talian dalam banyak urusan. Melalui Internet, pembayaran dan transaksi boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana. Kini, terdapat 1,277 perkhidmatan dalam talian di pelbagai agensi perkhidmatan awam bagi memudahkan urusan orang ramai menggunakannya.

Kesimpulan, pelbagai pembaharuan yang dilakukan dalam perkhidmatan awam itu mampu menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah di kalangan penjawat awam. Rakyat kini semakin yakin dengan agensi kerajaan, terutamanya agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan. Melalui peningkatan integriti ini, maka hasrat kerajaan untuk mempertingkat daya saing negara di persada antarabangsa akan menjadi realiti.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Membudayakan pencegahan jenayah tuntut kerjasama, pengorbanan

Oleh Lee Lam Thye

Program inisiatif bandar selamat selaras kehendak konsep 1Malaysia jadikan masyarakat lebih prihatin, berwaspada

SETIAP hari kita pasti akan terbaca laporan dan berita mengenai pelbagai kejadian jenayah berlaku di bandar utama di seluruh negara seperti kejadian ragut dan rompak, penyalahgunaan dadah, kes pecah rumah, kecurian kenderaan dan penculikan. Yang paling zalim dan ganas ialah jenayah keganasan seperti pembunuhan, wanita diperkosa serta yang paling jijik – sumbang mahram.

Di Malaysia, jenayah dan ketakutan terhadap ancaman jenayah mula menonjolkan kesannya seperti bangunan kediaman yang dipagari dan dipasang peralatan keselamatan, sementara rumah orang kenamaan dikawal – pengawal keselamatan. Banyak juga kawasan taman perumahan dijadikan komuniti berpagar yang dikawal melalui pondok keselamatan. Menurut sebuah laporan dikeluarkan Pusat Penempatan Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu beberapa tahun lalu, keganasan yang berlaku di bandar seluruh dunia meningkat antara tiga hingga lima peratus setahun sepanjang dua dekad lalu.

Keganasan di bandar bukanlah fenomena yang berlaku secara spontan, tetapi wujud disebabkan ketidakseimbangan dan penyisihan sosial. Usaha melindungi masyarakat bandar daripada masalah kemiskinan, pengangguran, penyalahgunaan dadah, gejala sosial dan ketidakadilan dalam integrasi sosial pastinya akan juga melindungi mereka daripada jenayah dan keganasan.

Walaupun proses urbanisasi dan kemiskinan saling berkait rapat dengan isu jenayah dan sosial, wujud faktor lain seperti kemelesetan ekonomi, pengangguran dan keruntuhan moral serta akhlak yang turut menyumbang kepada masalah itu.

Wujud banyak kesan daripada jenayah yang berlaku di bandar dan desa. Selain trauma emosi, ia turut mencetuskan rasa tidak selamat yang akan menjurus kepada terhakisnya keyakinan dan kepercayaan terhadap pihak berkuasa yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Bagi menangani jenayah dan keganasan di bandar, perkongsian kerjasama antara pihak berkuasa setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan komuniti, pihak polis dan sistem kehakiman serta pihak tertentu yang lain, perlu dijadikan sebagai sebahagian penting dalam program pencegahan jenayah negara.

Oleh itu, maka timbul konsep ‘inisiatif bandar selamat’ yang berasaskan prinsip bahawa ‘pencegahan jenayah lebih baik daripada penghapusan jenayah’. Pendekatan yang terpilih dalam tindakan pencegahan jenayah ini ialah menerusi keadaan persekitaran yang selamat dengan peluang untuk melakukan jenayah dapat dikurangkan.

Di negara kita, konsep ‘bandar selamat’ dicetuskan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) seawal 1998 lagi dan Bangsar dipilih sebagai perintis kepada pelaksanaan konsep itu dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di pusat perniagaan bandar baru. Ternyata langkah itu membuahkan hasil kerana kejadian jenayah dilaporkan menurun sehingga 12 peratus dan terus diperluaskan ke beberapa lagi kawasan di Lembah Klang dan bandar besar lain di seluruh negara.

Berikutan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) memperkenalkan konsep ‘bandar selamat’ yang mempunyai tiga ciri utama iaitu mewujudkan sebuah bandar yang bebas daripada semua ancaman fizikal, sosial dan mental; persekitaran yang sentiasa dalam keadaan paling terpelihara selain tidak menimbulkan suasana yang boleh menggalakkan kejadian mengganggu-gugat kesejahteraan setempat dan bandar selamat juga menjanjikan supaya penghuni sentiasa berada dalam keadaan paling selamat, sejahtera, sihat dan ceria.

Dalam hubungan ini, Kabinet pada Ogos 2004 menggariskan empat matlamat utama dalam mewujudkan ‘bandar selamat’ iaitu;

  • Bandar yang bebas daripada keganasan, gejala merosakkan harta benda dan nyawa seperti gejala ragut, pecah rumah, kecurian dan sebagainya;

  • Bandar yang bebas daripada kemusnahan dan mala petaka ekoran bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh;

  • Bandar yang bebas daripada kemerosotan sosial dan moral, seperti penagihan dadah, kecurian, jenayah kolar putih, rasuah, salah guna kuasa, hilang integriti dan sebagainya; dan

  • Bandar yang bebas daripada kemalangan dalam dan luar bangunan seperti kemalangan jalan raya, jatuh dari bangunan, kebakaran dan sebagainya.

    Bagi mencapai matlamat ini lima langkah segera dicadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar dilaksanakan iaitu pengasingan laluan pejalan kaki dengan jalan bermotor; penyediaan pagar; mencuci kawasan semak dan terlindung; laluan awam tidak terlindung atau terhalang daripada pandangan awam dan mencahayakan kawasan gelap yang menjadi sasaran atau tumpuan penjenayah.

    Peringkat awal pelaksanaannya bertumpu kepada program tindakan pencegahan jenayah khususnya jenayah harta benda melalui tiga strategi utama iaitu reka bentuk persekitaran fizikal, kesedaran awam dan memperkasakan kawasan sasaran yang menggariskan 23 langkah pencegahan jenayah.

    Langkah pencegahan jenayah pada dasarnya menuju ke arah pengurangan peluang untuk melakukan jenayah, iaitu dengan mewujudkan ruang yang selamat. Apa yang diperlukan ialah mewujudkan suasana persekitaran yang boleh melindungi dan mewujudkan keprihatinan serta kewaspadaan masyarakat yang diperlukan untuk pencegahan jenayah.

    Inisiatif bandar selamat adalah projek utama MCPF, bertujuan mewujudkan suasana kehidupan yang selamat dan mengurangkan peluang penjenayah melakukan jenayah. Bandar yang selamat bermaksud sebuah bandar yang bebas jenayah dengan penduduknya tidak dibelenggu dengan perasaan takut terhadap ancaman jenayah.

    Di dalam konteks ini, inisiatif itu adalah satu contoh yang baik, dengan kerajaan dan orang ramai bekerjasama dalam usaha mencegah jenayah. Pencegahan jenayah boleh dilakukan melalui perancangan dan reka bentuk alam sekitar, pembangunan masyarakat dan dengan mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dalam apa juga keadaan supaya mereka tidak mengundang bahaya.

    Secara ringkas, inisiatif bandar selamat adalah satu program mengandungi aktiviti yang dirancang dengan pihak polis dan orang ramai berusaha menyelesaikan masalah setempat berkaitan jenayah secara amnya dan khususnya untuk mewujudkan satu persekitaran fizikal yang boleh menangani masalah jenayah, sekali gus mencegah kegiatan jenayah.

    Dalam usaha Malaysia menuju ke arah status negara maju, program inisiatif bandar selamat menjadi satu agenda penting ke arah usaha pencegahan jenayah. Pada dasarnya 11 aktiviti akan dilakukan di dalam pelaksanaan inisiatif bandar selamat, iaitu:

    Pemilihan kawasan projek; mengenal pasti kumpulan sasar di dalam kawasan projek; menerangkan konsep (mengenai inisiatif bandar selamat) kepada kumpulan sasar; menubuhkan jawatankuasa bandar selamat untuk kawasan projek itu; mengenal pasti jenayah dan masalah oleh kumpulan sasar dan jawatankuasa bandar selamat; menyelesaikan masalah oleh kumpulan sasar; mendapat khidmat jururunding sekiranya perlu; melaksanakan cadangan terhadap pencegahan jenayah; memantau keberkesanan pelaksanaan cadangan terbabit dan membuat perubahan sekiranya perlu; merekodkan aktiviti projek serta memantau konsep bandar selamat secara berterusan dan mengambil langkah yang perlu seterusnya.

    Oleh itu, usaha mencegah jenayah harus disandang di bahu setiap orang agar ia tidak menjadi suatu usaha yang berat. Bak kata pepatah ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’. Bersamalah kita membudayakan pencegahan jenayah demi mencapai matlamat komuniti selamat dengan keselamatan rakyat didahulukan dan pencegahan jenayah diutamakan, seiring konsep 1Malaysia. Adalah penting untuk ditegaskan bahawa 1Malaysia juga harus merangkumi sebuah negara yang selamat dan sejahtera dan bersatu padu.

  • Tan Sri Lee Lam Thye ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

    Sumber : http : //www.bharian .com.my/

    Isnin, 3 Mei 2010

    Betulkan niat bekerja

    Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

    BERDASARKAN jumlah tangkapan pemberi rasuah melibatkan pekerja sektor awam mahupun swasta yang semakin meningkat, golongan pekerja diseru membuat pertimbangan seribu kali sebelum melakukan jenayah keji itu. Ini kerana menurut perangkaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 524 tangkapan kerana kesalahan rasuah telah dilakukan antara tahun 2005 hingga 2009. Manakala untuk tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 142 tangkapan telah dilakukan dan sebanyak 51 pertuduhan telah dikemukakan ke muka pengadilan.

    Bagi mengelak trend peningkatan jenayah rasuah yang merugikan bangsa dan negara daripada berterusan, golongan pekerja disaran mengaplikasikan konsep bekerja sebagai ibadah ketika menjalankan tugasan harian mereka. Ini boleh dilakukan dengan membetulkan niat dan matlamat bekerja.

    Dalam Islam, setiap amalan dinilai berdasarkan niat, jika ia benar semata-mata mencari reda Allah SWT, nescaya ia dianggap ibadah dan berupaya untuk mengelak seseorang daripada melakukan perbuatan hina seperti menerima dan memberi rasuah. Begitu juga niat yang betul akan menyumbang kepada perolehan rezeki yang halal dan diberkati.

    Selain itu, pekerjaan yang dilakukan mestilah yang dibenarkan oleh syariat. Tidak kira sama ada bergaji tinggi ataupun rendah, yang penting pekerjaan yang halal lebih mulia daripada perbuatan meminta-minta. Kenyataan ini pernah disebut oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud "Perbuatan seseorang pergi ke hutan menebang kayu, mengikat dan memikul di bahu kemudian dibawa ke pasar untuk dijual adalah lebih baik daripada meminta-minta kerana belum tentu kita diberi ataupun tidak." Justeru itu, tiada guna berpendapatan tinggi dan hidup mewah jika apa yang dilakukan boleh merosakkan agama dan keharmonian negara.

    Begitu pula pekerjaan yang diharamkan agama seperti bekerja di rumah urut sambil melacurkan diri, bekerja di kelab malam yang dikelilingi maksiat dan arak juga pusat-pusat perjudian seperti kedai menjual nombor ekor dan lain-lain wajib dijauhi. Ini kerana perbuatan tersebut menyumbang masalah sosial dalam masyarakat, selain dilaknat oleh Allah SWT. Bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah sedangkan Allah SWT hanya menerima yang baik sahaja. Malah penglibatan orang Islam dalam jual beli riba dan apa sahaja bidang perniagaan yang memudaratkan seperti pengedaran dadah dan pil-pil khayal turut diharamkan.

    Perlu juga diingat dalam melaksanakan apa jua pekerjaan, kewajipan melaksanakan ibadah adalah asas yang sama sekali tidak boleh diabaikan. Sibuk mana pun kita menguruskan perniagaan mahupun kerja-kerja di pejabat, sembahyang tidak patut ditinggalkan. Ia merupakan kewajipan utama yang pertama kali akan dipersoalkan di hari kemudian. Akibat diabaikan kerja-kerja yang lain kemungkinan akan terbengkalai dan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Amalan bermesyuarat sehingga mengorbankan sembahyang fardu sebagai contohnya patut dihindari sebagai tanda bersyukur atas nikmat rezeki dan gaji yang diperoleh setiap bulan.

    Dalam kesibukan bekerja juga, seseorang tidak patut mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan rumah tangga. Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk makan bersama seisi keluarga dan bercuti bersama anak-anak. Pasangan suami isteri yang bekerja juga perlu memperuntukkan masa bersama sambil berbincang untuk menyelesaikan masalah anak-anak dan rumah tangga. Jika tidak, anak-anak terutamanya akan merasa bosan dan tidak seronok berada di rumah lalu keluar bergaul dengan rakan-rakan yang kemungkinan menyumbang perlakuan tidak bermoral dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

    Isteri yang keluar bekerja pula perlu mendapat restu daripada suami. Di samping itu, pekerjaan yang dilakukan hendaklah yang dibenarkan oleh syariat dan jangan sampai mengganggu tugas hakiki seperti mengurus rumah tangga dan mendidik anak-anak. Elakkan daripada menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada pembantu rumah, kerana dikhuatiri akan menjejaskan kerukunan rumah tangga. Isteri yang keluar bekerja juga perlu mengelak fitnah dengan tidak melampau-lampau dalam berhias dan berpakaian. Ini bagi mengelak hubungan terlarang di pejabat yang banyak terjadi akhir-akhir ini.

    Sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan juga semestinya dilakukan dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Untuk itu perbuatan curi tulang dan makan gaji buta hendaklah dijauhi. Nabi Muhammad SAW bersabda dengan maksudnya "Sesungguhnya Allah suka jika seseorang itu bekerja, maka ia bekerja dengan tekun." (Riwayat al-Baihaqi).

    Sebagai pekerja dalam perkhidmatan awam pula, nilai-nilai murni dalam Tonggak 12 yang diperkenalkan oleh kerajaan cukup lengkap untuk menjadi panduan dan pedoman ke arah menjadi pekerja yang berintegriti. Nilai-nilai yang baik seperti menghargai masa, ketekunan membawa kejayaan, keseronokan bekerja, kemuliaan, kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksanaan berkhidmat, keutamaan kesabaran, peningkatan bakat serta nikmat mencipta hendaklah sentiasa tersemat dalam hati sanubari.

    Ingatlah kerja ikhlas yang dilakukan semata-mata untuk mencari rezeki halal menjadi penyebab kepada keberkatan hidup. Mungkin gaji yang diperoleh sedikit tetapi jika diberkati, pasti akan mencukupi. Sedarlah juga setiap wang ringgit yang diperoleh akan dipersoalkan sumber dan cara bagaimana ia dibelanjakan. Di samping itu, perbuatan memburuk-burukkan rakan sepejabat dan saling dengki mendengki satu sama lain untuk tujuan kenaikan pangkat misalnya tidak bertepatan dengan konsep bekerja sebagai ibadah. Ini kerana selain bekerja untuk menyara kehidupan di dunia, sebagai orang Islam kita juga bekerja untuk mendapat keredaan Allah SWT di hari akhirat.

    PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    Sawadekap, selamat siang dan budi bahasa


    "51 RINGGIT," tutur seorang gadis juruwang di sebuah restoran kontemporari yang lebih selesa melihat skrin mesin juruwang daripada memandang muka pelanggan yang mahu membuat bayaran.

    Dari segi adab, memang tidak sopan. Pelanggan yang sepatutnya dihargai, dilayan seperti orang mahu berhutang pula. Sayang restoran yang gah dengan reka bentuk dalamannya yang serba 'wah', kaku dengan pekerja berminda beku.


    Dan senario ini bukan asing di sektor restoran dan perkhidmatan di Malaysia.

    Di sebuah pusat beli-belah, seorang juruwang Melayu acuh tak acuh memaklumkan kepada pelanggan supaya menukarkan baucer di kaunter di tingkat bawah. Daripada mimik mukanya, dia kelihatan sedang ada masalah.

    Berbeza sekali dengan juruwang asing di kaunter sebelahnya (loghatnya dari Vietnam atau Kemboja) yang bersungguh-sungguh menunjukkan lokasi baucer boleh ditebus.

    Cuba amati pula kawasan meletak kenderaan di pasar raya. Troli diletakkan bersepah-sepah. Sikap suka mmenyusahkan orang dan kiasu pentingkan diri sendiri nampaknya masih sukar diubati.

    Di mana budi bahasa dan nilai-nilai murni rakyat Malaysia yang dibanggakan penuh tatasusila, kesopanan dan nilai-nilai orang Timur?

    Tidak hairan, ramai rakyat asing sering mengeluh apabila membeli-belah di Malaysia. Mereka dilayan seperti tidak ada wang. Kadang-kadang seperti peminta sedekah.

    Untuk ini, rakyat Malaysia perlukan kempen kesedaran. Dan kempen budi bahasa serta nilai-nilai murni ini telah dilaksanakan sejak 2005 lagi. Kempen ini masih berlangsung sehingga kini dengan sekali sekala tersiar di media elektronik tips-tips berbudi bahasa.

    Kesannya, mungkin hanya ketara di sektor awam. Ia gagal mengubah perangai kasar sebahagian orang yang anehnya, memilih pula bekerja untuk melayani orang ramai.

    Suasana mesra dan dihargai memang masih jauh daripada yang sepatutnya. Ini begitu dirasai terutama kepada mereka yang biasa berpergian ke luar negara.

    Jangan pergi jauh. Sawadekap membuatkan kita selesa di Thailand. Selamat siang meruntun hati kita betah di Indonesia. Ucapan pemanis seperti itu dilakukan secara wajar, meluncur bagai air dan bersahaja tanpa terlihat kesan terpaksa.

    Kita di Malaysia? Belum wujud budaya budi bahasa berkualiti dalam kerja dan kehidupan seharian kita.

    Siapa yang harus dipersalahkan? Sistem pendidikan, orang tua kita atau orang politik. Siapa yang mengajar rakyat tidak berbudi bahasa?

    Berbudi bahasa, beradab, bersopan santun serta bertoleransi harus sentiasa disemai. Itu yang selalu dinyatakan oleh elit politik. Bagaimana pula realitinya?

    Di Hulu Selangor, setelah sembilan kali pilihan raya kecil dalam tempoh tiga tahun ini, kita seperti masih terlilit dengan sikap kurang budiman. Elit politik seperti tidak peduli untuk memberi pendidikan politik yang sihat kepada rakyat.

    Nurani rasa tersentuh apabila semua calon bertanding pada pilihan raya kecil itu bersalaman dan berganding tangan. Tetapi sayangnya itu cuma semasa penamaan calon. Ia hanya kosmetik demokrasi di atas pentas politik.

    Difahami jika mereka 'berperang' semasa tempoh kempen, Itu memang medannya. Tetapi apabila diumumkan pemenangnya, calon pilihan raya terutama yang kalah seperti masih terbawa-bawa panasnya kempen.

    Sentimen sempit kepartian lebih diutamakan. Apa salahnya calon yang kalah mengucapkan tahniah kepada yang menang. Lebih molek saling bersalaman, kalaupun tidak berpeluk. Itu adat dan resam bertanding yang dipupuk sejak prasekolah.

    Kalah dalam pertandingan politik seperti juga dalam sukan tidak seharusnya menjadikan seseorang itu hilang pertimbangan. Adat pertandingan ada yang menag, ada yang kalah.

    Tetapi ada yang lebih suka menang jadi arang, kalah jadi abu. Memang sejarah lebih banyak berpihak kepada yang menang, perkasa dan kuat. Sejarah di mana-manapun, lebih dominan menjadi milik kepada yang menang.

    Tetapi yang kalah mungkin berpeluang tercatat dalam sejarahnya tersendiri, jika bersikap budiman. Lebih penting ia dapat mendidik masyarakat amalan hidup yang betul. Mereka akan dikenang dengan sifat budimannya.

    Mesej tidak semestinya disampaikan dengan cara bercakap mahupun kempen. Ia lebih berkesan jika ditunjukkan dengan perbuatan.

    Ini mungkin antara punca masyarakat Malaysia kurang budi bahasanya, rendah sopan santunnya dan tak elok adabnya. Kita banyak bercakap tapi kurang memberi contoh. Selalunya pula cakap tak serupa bikin.

    Sumber : http : //www, utusan.com.my/

    Ahad, 2 Mei 2010

    PROGRAM SIRIH PULANG KE GAGANG SMKTPPTM

    Pelajar perintis SMKTPPTM bergambar kenang-kenangan bersama-sama guru-guru yang hadir.


    Program Sirih Pulang Ke Gagang SMKTPPTM 2010, anjuran Persatuan Bekas Pelajar Panglima telah diadakan dengan jayanya semalam. Walaupun kehadiran pelajar tidak begitu ramai ( kira-kira 200 orang sahaja) tetapi pertemuan tahunan tersebut amat bermakna kerana dapat menemukan saya bukan sahaja dengan bekas-bekas pelajar sekolah ini malahan dengan rakan-rakan guru yang pernah berkhidmat bersama di sini. Ada antara mereka yang telah berpencen, dinaikkan pangkat menjadi pengetua, berkhidmat di Jabatan Pelajaran Negeri, bertukar sekolah dan sebagainya. Terasa manis mengimbas kembali saat-saat itu...

    (Terima kasih kepada AJK Alumni yang telah bertungkus-lumus dari saat-saat awal sehingga program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya). Tahniah!!!