Isnin, 24 Mei 2010

Sukan negara perlu reformasi menyeluruh


Selepas menyaksikan Malaysia rebah dalam pertandingan Piala Thomas, saya merasakan banyak yang tidak kena kepada skuad negara sepanjang pertandingan itu berlangsung.

Firasat awal saya setelah melihat Malaysia 'tersembam' kepada Jepun dan memerah keringat sebelum menang nasib ke atas Denmark, perkiraan sama ada Malaysia tumbang kepada China dengan kiraan 2-3, 0-3 atau 0-5 akhirnya menjadi kenyataan.

Meskipun berfirasat sedemikian, jauh di sudut hati, saya tetap mengharapkan agar Malaysia menang. Saya penyokong setia Malaysia. Apa jenis sukan sekalipun lebih-lebih lagi kalau melibatkan bola sepak dan badminton, air mata saya mudah tumpah kalau Malaysia tewas.

Pada saya, sukan negara perlu reformasi total. Reformasi yang bagaimana? Kita perlu bangkit sekarang meninggalkan zaman-zaman konservatif dan primitif. Di sini, saya senaraikan beberapa cadangan yang perlu dilakukan bagi mereformasikan sukan negara.

Atlet Individu

Setiap atlet individu tidak kira apa jenis sukan perlu melalui ujian saringan. Atlet yang terpilih dalam saringan itu pula hanya perlu diberi peluang sebanyak tiga kali bertanding mewakili negara di pentas antarabangsa dengan bersyarat.

Tiga peluang yang diberikan itu perlu digunakan sebaik-baik mungkin dengan satu daripadanya mesti menjuarai salah satu kejohanan tersebut atau dalam ketiga-tiga peluang yang diberikan, atlet tersebut perlu menunjukkan peningkatan sekiranya mahu diberi peluang yang lain.

Sekiranya gagal menunjukkan sebarang peningkatan, atlet berkenaan perlu melalui semula ujian saringan dengan bersaing dari bawah dengan pemain-pemain seperti proses awal pemilihan.

Kita perlu mewujudkan situasi di mana betapa sukarnya untuk mewakili negara. Dengan cara ini, pemain akan merasakan penghormatan yang diberikan untuk mewakili negara perlu dibalas dengan kecemerlangan yang setimpal.

Dengan cara ini juga, kita akan dapat mengelakkan keadaan di mana peluang yang berterusan diberikan kepada atlet yang tidak menonjol. Peluang yang berterusan kepada atlet yang tidak menonjol bukan sahaja merugikan dan membazirkan wang rakyat, malah ia juga menunjukkan seolah-olah kita terlalu ketandusan bakat-bakat baru.

Selain itu, kita terpaksa turun padang untuk mencari bakat-bakat baru bagi menggantikan bakat yang sedia ada. Sudah tiba masanya untuk kita melaksanakan dasar 'satu murid sebatang raket' contohnya untuk melahirkan bakat baru dalam sukan badminton. Biarpun bunyinya terlalu 'bombastik,' namun ia tetap praktikal kalau benar-benar mahu dilaksanakan.

Atlet Berpasukan


Bagi jenis sukan yang berpasukan pula, saya mengambil contoh bola sepak. Wujudkan dua atau tiga pasukan kebangsaan. Ketiga-ketiga pasukan ini juga perlu melalui saringan awal dan juara akan dihantar menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa, juga dengan bersyarat. Berikan tiga peluang penyertaan dalam mana-mana kejohanan dan sekurang- kurangnya satu dari kejohanan itu perlu mencapai tahap yang membanggakan.

Jika gagal maka pasukan tersebut perlu melalui proses saringan seperti yang dinyatakan. Dengan ini, persaingan sihat untuk mewakili negara dapat diwujudkan seterusnya mencapai kemenangan yang lebih jitu.

Selain itu, apa yang saya nampak kita tidak ada insiatif atau kesungguhan yang jitu untuk mempertahankan kecemerlangan yang kita ada dan lama-kelamaan kita tenggelam dalam kegemilangan itu tanpa sedar wujud kuasa baru yang menyaingi dan bakal meninggalkan kita.

Ambil saja contoh sepak takraw. Sehingga kini, kita masih tercari-cari formula untuk menewaskan Thailand dan pada masa yang sama kita alpa tentang kewujudan kuasa-kuasa baru dalam sukan ini seperti Vietnam dan Indonesia yang bakal menenggelamkan kita. Justeru formula di atas boleh digunakan.

Infrastruktur

Negara kita pada saya tidak kurang dengan kemudahan sukan. Kebanyakan kemudahan sukan kebiasaannya dikelolakan oleh pihak berkuasa tempatan. Bagi orang dewasa, mungkin bayaran sewa tiada masalah. Namun kita bukan ingin melahirkan atlit daripada golongan ini kerana mereka sudah mencapai tahap senja. Bagi kanak-kanak atau pelajar sekolah, saya yakin bayaran yang dikenakan agak mahal.

Cadangan saya, pihak berkuasa yang mengelola kemudahan sukan perlu menawarkan yuran yang rendah bagi pelajar. Pihak berkuasa tempatan juga boleh mempertimbangkan untuk penggunaan percuma pada waktu-waktu tertentu khusus untuk golongan pelajar.

Perubahan Kepimpinan Sukan

Sukan bukan politik. Sukan juga bukan dunia korporat dan perniagaan. Kebanyakan kepimpinan sukan yang ada hari ini diterajui oleh mereka yang berlatar belakangkan politik dan dunia korporat. Sudah sampai masanya, kita mengubah paradigma ini dengan memberi peluang kepada tokoh sukan sendiri menerajui persatuan-persatuan sukan seluruh negara.

Sebagai contoh, agak dangkal seseorang yang bukan ahli akademik memimpin sebuah universiti. Justeru samalah juga dengan sukan. Maka sewajarnyalah peluang diberikan kepada bekas-bekas atlit yang pernah menyinar dalam bidang sukan memimpin persatuan sukan tersebut.

Putra Kelana
Petaling Jaya, Selangor

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 23 Mei 2010

TIP BERHENTI MEROKOK


1. Melengah-lengah

Lengahkan tindak balas ke atas keinginan merokok seperti melambat-lambatkan mencari rokok. Sekiranya rokok ada di tangan, jangan dinyalakan terus, tunggu sekurang-kurangnya 5 minit. Keinginan untuk merokok ini kesudahannya akan hilang juga. Katakan pada diri anda "nanti" setiap kali anda ingin merokok.

2. Menarik Nafas Panjang

Tarik nafas anda dengan panjang sekurang-kurangnya tiga kali dengan perlahan-lahan.

3. Minum Air Dengan Banyak

Minumlah air banyak-banyak. Sebaik-baiknya air galian atau air masak suam. Jangan minum air berkafein seperti kopi atau teh, kerana minuman ini biasanya akan membuatkan anda ingin merokok selepas meminumnya.

4. Membuat Sesuatu

Buatlah sesuatu yang boleh mengalihkan fikiran anda daripada rokok. Contohnya bersiar-siar makan angin, telefon kawan, membaca buku, bermain muzik, membuat silang kata, berkebun dan sebagainya.

5. Menguyah Sesuatu

Mengunyah sesuatu seperti gula-gula getah,lobak merah,buah epal dan sebagainya. Elakkan sesuatu yang manis seperti gula-gula biasa.

6. Mandi atau Basuh Tangan

Sekiranya berada di rumah, mandilah seberapa kerap atau basuh tangan setiap kali terasa hendak merokok.

7. Melakukan Senaman Regangan

Lakukan senaman regangan setiap kali anda merasa mengantuk kerana tidak merokok.

8. Memohon Doa

Mohonlah doa kepada Tuhan agar azam dan usaha anda untuk berhenti merokok itu berjaya.

Sumber : http://www.petua.org/

Sabtu, 22 Mei 2010

Kajian Dapati Amaran Bergambar Pada Kotak Rokok Tidak Menakutkan Perokok...


Oleh : MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH

ISLAM amat menggalakkan cara hidup yang sihat dan sempurna, beradap dan berakhlak mulia. Sebarang bentuk perbuatan yang tercela yang menjurus ke arah sifat-sifat mazmumah adalah dilarang sama sekali dalam Islam.

Ini dapat dilihat dalam Surah: 66 At Tahrim 6: (yang bermaksud) “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”

Sesungguhnya Islam telah menetapkan bahawa kita sebagai makhluk di muka bumi ini dilarang untuk melakukan dhoral atau memudharatkan orang lain dan dhiror membalas perbuatan orang lain dengan kemudharatan.

Kajian-kajian sains dan perubatan sejak dari awal lagi telah membuktikan bahawa merokok membawa kesan negatif kepada perokok dan mereka yang berada di sekeliling perokok tersebut.

Namun begitu, hari ini para perokok tampak tidak menghindarkan tentang segala kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Pelbagai kempen telah dijalankan tetapi ternyata tidak mendapat sebarang sambutan atau reaksi yang positif daripada para perokok.

Malahan saban hari, kita boleh nampak di merata tempat orang merokok walaupun ada di antaranya merupakan kawasan larangan merokok. Muda-mudi juga tidak terkecuali daripada melakukan perkara ini. Semakin ramai menghisapnya semakin mahal harganya.

Islam amat menekankan kepada setiap umatnya supaya memelihara kesihatan jasmani dan rohani. Setiap benda yang digunakan itu mendatangkan kemudharatan kepada manusia adalah diharamkan seperti firman Allah Ta’ala:Surah : 2 Al Baqarah 195: (yang bermaksud) “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

Menurut Jabatan Kesihatan Utah melalui Tobacco Prevention & Control Program, para doktor telah mengesahkan 37 jenis penyakit berbahaya hasil daripada rokok kerana terdapat lebih daripada 4,000 jenis bahan kimia berbahaya di dalamnya.

Antaranya, sebagai penyebab kepada berlakunya penyakit kanser yang merupakan pembunuh utama manusia di seluruh dunia. Nikotin yang terdapat dalam rokok merupakan sejenis dadah yang mengakibatkan ketagihan.

Nikotin adalah sama seperti heroin, amfetamin dan kokain yang bertindak di dalam otak dan memberikan kesan kepada sistem mesolimbik yang membawa kepada punca ketagihan. Nikotin juga merupakan salah satu punca serangan penyakit jantung dan strok.

Firman Allah Ta’ala:Surah : 7 Al A’raaf 157: (yang bermaksud); “…yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk .”

Mulai 1 Jun tahun lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan) 2008 telah menyarankan agar semua bungkusan rokok di pasaran mestilah memaparkan amaran kesihatan bergambar.

Adakah tindakan ini dapat mengurangkan jumlah perokok yang semakin meningkat saban hari? Adakah perokok akan takut dengan gambar yang dipamerkan di setiap kotak rokok tersebut?

Persoalan ini telah dijawab hasil daripada satu kajian yang dijalankan ke atas perokok-perokok tentang kesan daripada gambar yang dipamerkan.

Majoriti memberi respon bahawa amaran kesihatan bergambar itu tidak sedikitpun menakutkan atau menukar pemikiran mereka untuk berhenti daripada merokok. Gejala rokok kian melanda manusia, sehinggakan pihak berkuasa juga tidak dapat mengatasinya.

Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit semata-mata untuk berkempen bagi mengatasi gejala rokok. Kempen mengajak manusia untuk tidak menghisap rokok tetapi pada masa yang sama pokok tembakau telah ditanam oleh manusia sendiri.

Daun tembakau jika diberi kepada binatang ternakan manusia seperti kambing,lembu atau kerbau pun tidak ingin memakannya kerana daun itu akan memudharatkannya. Tetapi, apa yang menghairankan kita manusia pula yang sanggup mengambilnya sebagai makanan harian.

Amalan rokok juga merupakan satu pembaziran. Firman Allah;Surah: 17 Al Israa’ 26-27: (yang bermaksud) “…dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (membelanjakan) hartamu secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” Dalam konteks ini, peranan institusi keluarga amat penting dalam menangani isu ini. Ibu-bapa yang merokok bukan sahaja meletakkan anak-anak mereka kepada bahaya penyakit malahan juga mendedahkan anggota keluarga menghadapi pelbagai kemungkinan yang membabitkan kegencatan pertumbuhan fizikal dan minda.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan di atas, diharapkan semua manusia di muka bumi ini terutamanya umat Islam yang merokok dapat mengambil langkah segera menghentikan tabiat buruk yang membahayakan ini dengan apa cara sekalipun kerana ia boleh membawa kepada kebinasaan dan ditegah oleh agama.

Ingatlah bahawa merokok merupakan perbuatan membunuh diri secara beransur-ansur. Ia bukan sahaja boleh membinasakan diri individu si perokok malahan turut membinasakan orang lain yang berada di sekelilingnya.

Rasullulah SAW bersabda;“Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada seseorang mukmin ataupun menipunya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Bukti jelas menunjukkan bahawa merokok lebih banyak membawa keburukan jika dibandingkan dengan kebaikan. Rokok juga merupakan punca kerosakan kehidupan manusia. Sahutlah seruan Allah agar mengambil benda-benda yang baik dan meninggalkan benda-benda yang mendatangkan kemudharatan kepada masyarakat sejagat.

Penulis merupakan pensyarah di UiTM Melaka.

Sumber : http://www.mstar.com.my/

Jumaat, 21 Mei 2010

5 PERKARA SEBELUM 5 PERKARA


Sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam :
Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara,iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua,masa sihat engkau sebelum dilanda sakit,masa kaya engkau sebelum jatuh papa,masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk,dan masa hidup engkau sebelum datang saat mati."

(1)Masa Muda Sebelum Datangnya Hari Tua

Manusia bukan muda selama-lamanya.Muda hanya sementara dan takkan bertahan,kerana selepas itu manusia akan menjadi dewasa seterusnya tibalah masa tua. Apabila sudah tua, segalanya sudah tidak indah, kerana tenaga menjadi kurang, selera makan menurun, antibodi lemah (mudah diserang penyakit) dan segala-galanya terbatas.Ketika itu, barulah sedar bahawa masa muda itu amat berharga. Jadi,apa yang perlu kita lakukan?!!

Sahabat-sahabat,marilah sama-sama kita penuhi masa muda ini dengan perkara yang selayaknya sebagai seorang muslim dan mukmin. Marilah kita pelajari ilmu-ilmu Allah yang maha luas ini lalu mempraktikkannya di dalam kehidupan harian kita.Ingatlah, jika kita sia-siakan hari muda, pastilah akan meninggalkan penyesalan dan kenangan pahit di hari tua.Jika masa muda digunakan sebaiknya, insya-Allah akan menjadikan hari tua penuh kesyukuran.


(2)Masa Sihat Sebelum Dilanda Sakit

Kesihatan adalah nikmat Allah yang amat berharga dan wajib disyukuri. Oleh itu,jauhilah diri kita daripada sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kesihatan dan membinasakan diri.
Lazimnya manusia hanya akan sedar betapa pentingnya kesihatan setelah dia sakit.Ketika itu,penyesalan sudah tidak berguna lagi.Kegiatan harian pula terhalang sama ada ibadah, ekonomi, sosial dan sebagainya.Jadi,gunakanlah masa sihat semaksimum mungkin dengan mengerjakan ibadah dan amalan-amalan yang bermanfaat untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama. Hargai dan sayangi diri. Ingatlah orang yang tersayang.


(3)Masa Kaya Sebelum Jatuh Papa

Sedarilah bahawa rezeki dan kesenangan hidup adalah kurniaan Allah Subhanahu Wa Taala.Tak usah kita bangga dengan kekayaan yang dimiliki,tetapi manfaatkanlah dan bersyukurlah dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah.Tunaikan zakat,banyakkan bersedekah dan bantulah orang yang memerlukan. Orang yang punya harta tetapi tak sanggup melakukan perkara-perkara tersebut adalah fakir dan miskin kerana mereka bimbang kekurangan dan kehilangan harta benda serta tak percaya bahawa Allah adalah pemberi rezeki.

Ingatlah sahabat-sahabat,Allah itu Maha Berkuasa. Jika Dia boleh mengurniakan rezeki yang mencurah-curah kepada makhluk ciptaan-Nya,maka tidak mustahil Dia boleh menarik semula nikmat-nikmat itu sekelip mata..bersyukurlah dan beramallah..jangan jadi seperti Qarun yang bakhil dan tak bersyukur,yang mabuk dan lalai dengan kekayaannya,namun akhirnya dilaknat dan diazab oleh Yang Maha Kuasa.


(4)Masa Lapang Sebelum Datangnya Masa Sibuk

Bila mana gagal menepati masa atau menunaikan suatu perjanjian,kebanyakan manusia sering menjadikan 'sibuk' sebagai alasan. Betul-betul sibukkah kita? Sahabat-sahabat,masa dan usia amat terbatas bagi makhluk yang bergelar insan. Umur kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w tidaklah panjang,sesuai dengan fizikal yang semakin lemah bila menjelang hari tua. Oleh itu,hargailah dan isilah masa lapang yang ada dengan kegiatan dan amalan yang berfaedah. Jangan biarkan ia berlalu dengan sia-sia. Gunakan masa lapang dengan amalan-amalan kebaikan bagi menyiapkan sebanyak-banyak bekalan untuk pengembaraan menuju ke suatu destinasi yang jauh iaitu akhirat.


(5)Masa Hidup Sebelum Datangnya Saat Kematian

Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah. Manusia dicipta melalui proses kejadian yang sungguh unik. Kita bukan sahaja perlu bersyukur bahkan wajar mengisi kehidupan dengan sebaiknya kerana terpilih daripada berjuta-juta benih ( sperma ) seorang ayah yang bersenyawa di dalam rahim seorang ibu..Isilah hidup kita dengan perkara-perkara yang bukan sahaja bermanfaat untuk kehidupan di dunia ini, malah untuk kehidupan yang paling penting iaitu kehidupan di alam barzakh dan alam akhirat.

Wallahu taala a'lam..

Sumber : http://kalamhatihamba.blogspot.com/

Khamis, 20 Mei 2010

Ganjaran galas amanah didik anak bangsa


Alternatif cadangan bayaran elaun kerja lebih masa, tingkatkan motivasi guru di sekolah

SAMBUTAN Hari Guru tahun ini sangat bermakna terutama dalam kalangan mereka yang berkhidmat di sekolah arus perdana. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin ketika merasmikan Hari Guru peringkat kebangsaan, di Kuantan Ahad lalu, mengumumkan tiga insentif sebagai ganjaran dan penghargaan kepada guru yang komited dalam memikul amanah mendidik anak bangsa dan menjayakan matlamat pendidikan kebangsaan.

Insentif pertama ialah isu beban tugas sampingan yang begitu lama diperjuangkan guru, sejak pertengahan 1970-an implikasi pelaksanaan KBSR dan KBSM di sekolah rendah dan menengah.


Kedua, kenaikan pangkat sekali gus menyediakan laluan kerjaya lebih baik menjadikan kerjaya guru sama kompetitif dengan perkhidmatan awam lain. Ketiga, tawaran baru (new deals) iaitu ganjaran kewangan kepada pengetua, guru besar dan guru yang melonjakkan prestasi sekolah melepasi sasaran skor komposit ditetapkan.


Ternyata apabila diberi keutamaan dan kesungguhan perkara yang sekian lama menjadi duri dalam daging boleh diatasi dalam tempoh singkat. Menteri Pelajaran silih berganti, namun isu tidak dapat diselesaikan.

Hanya pada Mac lalu Jawatankuasa Mengkaji Beban Tugas Guru dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ditubuhkan selepas perbincangan antara Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dengan NUTP.

Bertujuan mengklasifikasikan perbezaan antara tanggungjawab hakiki guru dengan beban tugas lain, terutama perkeranian yang tidak sepatutnya diserahkan kepada guru. Seperti yang dinyatakan Muhyiddin garis panduan terperinci akan diumumkan selepas jawatankuasa itu selesai membuat perakuan. Bermakna perakuannya akan dapat disiapkan dalam tempoh beberapa bulan selepas penubuhannya.

Cadangan mengehadkan murid kepada 25 orang bagi setiap kelas, bukan saja memberi kesan dari segi mengurangkan beban tugas guru, tetapi memberi implikasi positif lain terutama dalam memacu dan melonjakkan prestasi pelajar dan sekolah.

Bagaimanapun cadangan itu sukar dari segi pelaksanaan kerana menghadapi banyak kekangan dan implikasi yang sukar diatasi dalam jangka masa pendek. Keadaannya hampir sama dengan cadangan mewujudkan sekolah satu sesi yang sehingga sekarang tidak menampakkan perkembangan.

Apabila kelas 25 murid diwujudkan kerajaan mesti menyediakan prasarana yang secukupnya, terutama penambahan bilik darjah dan kelengkapan lain serta pengambilan guru barangkali hampir sekali ganda daripada keadaan sekarang.

Sekiranya mahu menantikan kelas 25 murid wujud, baru cadangan lain dilaksanakan, bermakna isu beban tugas guru tidak akan dapat diselesaikan. Jadi biarlah kelas 25 murid ini dijadikan isu berasingan.

Insentif kedua, berhubung kenaikan pangkat sudah tentu akan menyemarakkan komitmen semua guru. Kini guru mempunyai peluang lebih luas, iaitu tidak semata-mata menunggu kenaikan gred perkhidmatan melalui proses mengisi kekosongan jawatan, tetapi kenaikan berdasarkan Time-based. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju mempercepatkan pemprosesan kenaikan pangkat berdasarkan Time-based seperti daripada Gred DG44 kepada DG48.

Melalui kaedah ini seseorang guru tidak perlu menunggu kekosongan seperti jawatan pengetua untuk dilantik ke Gred DG48, tetapi peningkatan gred dilakukan berdasarkan tahun perkhidmatan serta kualiti perkhidmatan. Lantas menjadikan peluang kenaikan gred amat terbuka dan berteraskan profesionalisme.

Ia memberi dua implikasi penting, iaitu menggalakkan guru mengekalkan profesion mereka dan kedua mendorong guru lebih komited dalam menggalas amanah mendidik anak bangsa.

Seperkara yang amat menarik ialah penghargaan dan pengiktirafan kepada guru yang mempunyai ijazah lebih tinggi iaitu pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD). Pada masa ini seseorang guru walaupun mempunyai PhD, tetapi pengiktirafan dalam perkhidmatan adalah didasarkan kepada ijazah pertama. Bermaksud selepas menamatkan ijazah kedoktoran, seseorang itu jika berada di Gred DG44, akan tetap berada di tahap sama.

Sebarang kenaikan gred adalah berlandaskan kekananan dalam gred yang disandang bukan kerana memperoleh ijazah kedoktoran. Keadaan yang sama juga dihadapi oleh penyandang Ijazah Sarjana.

Insentif ketiga adalah anugerah istimewa Hari Guru tahun ini, iaitu pengumuman ganjaran RM900 hingga RM7,500 kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah menengah dan rendah yang mencatat prestasi cemerlang mencapai Petunjuk Prestasi utama(KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Ia boleh dianggap sebagai alternatif kepada cadangan membayar elaun kerja lebih masa kepada guru yang dituntut kesatuan tetapi tidak diterima kerajaan. Bagaimanapun insentif ini berbeza sama sekali dengan tuntutan bayaran kerja lebih masa kerana ia didasarkan kepada prestasi dan pencapaian sekolah.

Supaya anugerah ini tidak disalah guna dan dipertikaikan seperti sistem pengukuran prestasi menegak, melintang dan mendatar yang diamalkan terdahulu bagi menentukan penjawat awam diberi ganjaran perkhidmatan cemerlang dengan imbuhan kewangan, Kementerian Pelajaran perlu memastikan mekanisme penarafan dan penilaian yang tidak boleh mencetuskan kontroversi dilaksanakan.

Antara kriteria penting dalam menentukan skor komposit melepasi 92 peratus bagi sekolah menengah 84 peratus bagi sekolah rendah, ialah kebijaksanaan dan keberkesanan pentadbir dan guru untuk menjalankan tanggungjawab di dalam kerangka kerja ditetapkan.

Misalnya untuk mengukur pencapaian dari segi akademik, pengukuran KPI tentulah tidak sama di antara sekolah yang mengerahkan guru mengadakan kelas tambahan siang dan malam termasuk hujung minggu berbanding dengan sekolah lain yang memaksimumkan masa hakiki dengan melaksanakan pengajaran berkualiti dengan barangkali ditambah dengan dua atau tiga kali kelas tambahan dalam seminggu. Katakan kedua-dua sekolah memperoleh keputusan dalam peperiksaan UPSR yang hampir sama, maka keutamaan seharusnya diberi kepada sekolah kedua.

Apapun insentif diumumkan sempena sambutan Hari Guru tahun ini menyerlahkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan profesionalisme guru dan sebagai timbal balas memerlukan komitmen guru dalam memastikan negara mampu dalam melahirkan generasi muda berilmu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 18 Mei 2010

Guru sejati tidak harapkan ganjaran, insentif

WAN MARZUKI WAN RAMLI
Pasir Mas, Kelantan

SELAIN mengumumkan kenaikan pangkat seramai 15,320 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan 9,969 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Bukan Siswazah (PPPLD) bermula April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ahad lalu turut menawarkan wang ganjaran sehingga RM7,500 setiap seorang guru jika berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Menurut beliau, wang ganjaran tersebut merupakan 'tawaran baru' kepada golongan pendidik supaya mengutamakan pencapaian dan keberhasilan sekolah masing-masing.

Bagi pihak guru, apa jua bentuk insentif yang telah dan akan diberi kepada warga pendidik perlulah dilihat sebagai penghargaan yang tinggi daripada pihak kerajaan atas bakti yang dicurah. Guru sejati sebenarnya tidak pernah mengharapkan insentif semata-mata kerana tanggungjawab dan amanah yang dipikul tidak dapat diukur dengan nilaian ringgit yang diterima.

Justeru, bukan sekadar menerima imbuhan dan intentif, semua insan bergelar guru perlulah menjelmakan ketekunan sebagai pendidik cemerlang dengan iltizam yang lebih tinggi sejajar dengan penghargaan yang diberikan kerajaan.

Keprihatinan pihak kerajaan terhadap usaha pembinaan modal insan ini sewajarnya diambil kesempatan oleh seluruh warga pendidik untuk bermuhasabah dengan amanah berat yang dipikul bagi melunaskan keilmuan pendidikan yang diterima.

Sesekali renung dan hayatilah hakikat diri kita sebagai 'cikgu' mengikut beberapa peranan berikut:

Pertamanya, guru sebagai muaddib dan pembimbing: Guru bertanggungjawab menyelia dan mengawal disiplin, penyubur sifat terpuji dan mementingkan kerohanian anak-anak didik sendiri.

Kedua, guru sebagai idola para pelajar: Guru perlu sentiasa bertingkah laku sopan, bersifat intelek, ini kerana pada mata masyarakat, guru sebenarnya dianggap golongan cendekiawan yang berkemampuan membawa reformasi mental dalam kehidupan seharian.

Ketiga, guru sebagai pelajar: Guru perlu sentiasa peka dan bersedia mereformasi diri pada alaf ini dan akan datang. Pelbagai disiplin ilmu bantu perlu diterokai dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, bukan setakat meningkatkan profesionalisme kerja, tetapi juga untuk mempelbagaikan metod dan kreativiti di bilik darjah.

Keempat, guru sebagai rakan sejawat: Hubungan sesama guru adalah adalah dalam konteks suatu rumpun keluarga di bawah satu bumbung ilmu. Sebagai akar dan umbi yang saling bertaut, kerjaya seorang pendidikan tidak seharusnya diselaputi syak wasangka, pentingkan diri sendiri, pesimis atau saling salah menyalahkan antara satu sama lain.

Kelima, guru sebagai penunjuk pandu: Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada golongan guru bagi memberi didikan semaksimum mungkin kepada anak-anak mereka. Potensi diri seseorang yang telah memilih kerjaya sebagai seorang guru sebenarnya mampu menjelmakan hasrat murni tersebut tetapi perlulah dilampir dengan dengan keikhlasan dan iltizam yang ampuh.

Dan keenam, guru sebagai manusia biasa: Sanjungan dan tingginya harapan seluruh komuniti masyarakat terhadap guru tetap tidak dapat merubah hakikat diri bahawa guru juga adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan atau keterlanjuran.

Justeru, tidak timbul soal insentif yang diberi menjadi sebagai daya tarikan kerana seluruh warga pendidik sewajarnya memiliki sifat 'kerja guru dikelek, tetapi kerja-kerja sampingan lain pula dijunjung'.

Sekiranya disertakan sifat jujur dan ikhlas, visi dan misi pendidikan negara pasti akan dapat dijayakan dengan cemerlang. Keutuhan peribadi, luas pengetahuan, kreatif dan berkemahiran, bijak berkominukasi, kerja berkualiti dan prestasi yang tidak pernah statik akan menjadikan seluruh warga guru Malaysia sebagai pendidik cemerlang walaupun tanpa pemberian pelbagai bentuk insentif dan ganjaran.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

PENGORBANAN GURU TIDAK SAMA WANG RINGGIT

Guru-guru terpaksa menaiki bot penambang ke sekolah di pedalaman Hulu Tembeling di jeti Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini

Oleh Alimuddin Mohd Dom

SEMUA boleh mengajar, tetapi tidak semua guru mampu mendidik. Mengajar dan mendidik dua perkara yang begitu sinonim, tetapi setiap perkataan mempunyai pengertian serta terjemahan tersendiri. Menyandang jawatan guru, tugas mereka bukan saja mengajar, malah yang lebih penting dalam melengkapkan proses pengajaran ialah menyelitkan unsur nasihat. Elemen ini dapat mendidik insan menjadi individu cemerlang akademik dan memiliki sahsiah terpuji.

Proses pendidikan semakin mencabar. Ledakan maklumat pelbagai medium berikutan kecanggihan teknologi maklumat dan telekomunikasi menjadikan tugas guru semakin mencabar, malah rencam. Tidak timbul minat atau paksaan, tugas mendidik tanggungjawab perlu dijayakan bagi memastikan anak bangsa mendapat bimbingan wajar.

Berkongsi pengalaman ketika mengajar di Lumut, saya berhadapan masalah seorang pelajar terpaksa berpindah ke sekolah luar dari Perak disebabkan masalah keluarga. Ketika itu, wujud konflik kerana pelajar itu dalam keadaan terpaksa sedangkan pada tahun sama dia perlu menduduki peperiksaan.

Begitu juga ketika berhadapan masalah pelajar miskin terpaksa datang ke sekolah dalam keadaan serba kekurangan. Sebagai guru, mereka dapat kenal pasti setiap pelajar di kelasnya menerusi sistem maklumat murid. Bagi mengatasi masalah itu, mungkin ada guru sedia menghulurkan bantuan menggunakan wang saku.

Ketika bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Perang Kiri di Tapah Road, laporan kedatangan mendapati seorang pelajar tidak ke sekolah tiga hari berturut-turut. Risau memikirkan keadaan, sebelah petang, saya ke rumah pelajar itu untuk mengetahui mengapa dia gagal ke sekolah.

Sampai di rumah itu didapati keadaan hidupnya terlalu daif. Dia terpaksa membantu ibunya menoreh getah bagi menampung hidup adik beradik ramai yang masih kecil. Pelajar berkenaan perlu menggalas tugas sebagai ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia.

Peristiwa 1975 itu sungguh mengharukan ketika negara berhadapan kemelesetan ekonomi. Ironinya di sini, tidak semua pelajar yang tidak datang ke sekolah disebabkan malas atau tiada motivasi memajukan diri, sebaliknya banyak sebab menyumbang kepada keadaan itu. Guru perlu peka perkara itu dan mencari jalan mengatasinya. Masalah boleh diatasi dengan pelbagai cara sama ada mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau mencadangkan pelajar untuk mendapatkan biasiswa.

Mengulas isu imbuhan guru tidak setanding tugas dan beban yang terpaksa digalas. Perkara ini memang tidak dinafikan, terutama bagi mereka yang bertugas di pedalaman yang serba kekurangan. Perkara sama juga dibangkitkan guru di bandar besar kerana kos sara hidup yang tinggi sedangkan pendapatannya sama dengan rakan yang mengajar di pekan kecil.

Apabila bercerita imbuhan, ia suatu yang begitu subjektif dan bergantung kepada persepsi individu. Ada guru menerima gaji sama dengan rakan lain, tetapi dia sedia bertugas pagi dan petang bagi menjayakan proses pengajaran dan aktiviti kokurikulum sebagai inisiatifnya untuk melihat pelajar mendapat pendidikan seimbang.

Guru sebegini sedia menghulurkan bantuan kerana pada mereka kerja adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh ikhlas. Pendidik kelompok ini akan menjadikan tugasan sebagai aktiviti menyeronokkan dan menjadikan hidup mereka gembira setiap kali berada di samping pelajar.

Kita tidak boleh menyamakan pengorbanan guru dengan wang ringgit kerana segala yang disumbangkan itu adalah terlalu berharga dan tidak ternilai. Tugas mulia seorang guru sering dijadikan pedoman masyarakat yang sering mengaitkan anak guru lazimnya seorang yang cerdik, pintar dan pandai.

Jika diteliti secara mendalam, andaian itu memang betul. Jika guru ikhlas lakukan tugas dengan penuh tanggungjawab pastinya anak mereka mendapat berkat. Keberkatan itu dilihat dengan pencapaian cemerlang anak mereka dalam akademik, selain pembangunan sahsiah membanggakan.

Walaupun kerajaan mengemaskinikan pendapatan guru dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mendapat imbuhan setanding penjawat awam lain, pada masa sama, banyak perkara perlu diambil kira terutama kekangan dana apabila berhadapan dalam situasi ekonomi tidak mengizinkan.

Sama ada di bandar, luar bandar malah di pedalaman, tugasan dilaksanakan penuh ikhlas pastinya mendapat kepuasan. Kepuasan melakukan sesuatu itu tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk wang ringgit, penghargaan, pingat, anugerah atau pujian daripada mana-mana pihak, sebaliknya itu adalah hadiah paling berharga daripada guru untuk dirinya sendiri.

Penulis ialah Ketua Pengarah Pelajaran

Sumber : http : www.bharian.com