Khamis, 1 Julai 2010

Ujian lebih fleksibel sekolah rendah ganti UPSR


CADANGAN Kementerian Pelajaran untuk mengambil kira markah kokurikulum jika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan amatlah dialu-alukan. Ujian yang terlalu berorientasikan peperiksaan dengan mengehadkan pemarkahan aktiviti luar bilik darjah barang kali tidak lagi sesuai pada era pendidikan kini, lantaran ia dilihat lebih holistik kepada pelajar.

Oleh sebab terlalu menjurus kepada peperiksaan, maka tidak begitu jelas matlamat peperiksaan UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk menuntut ilmu secara kreatif dan interaktif. Begitu juga fokus utama guru dan pelajar lebih tertumpu kepada keputusan cemerlang pada peperiksaan awam dan mereka turut dibebani dengan peperiksaan penilaian di peringkat sekolah.

Pengumuman Tan Sri Muhyidin Yassin pada minggu lalu amat sesuai dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom pada akhir tahun lalu bahawa Kementerian Pelajaran mungkin melaksanakan sistem penilaian baru untuk murid sekolah rendah bagi menggantikan UPSR.

Menurut beliau, UPSR akan bertukar format kepada ujian yang lebih fleksibel berasaskan pentaksiran sekolah.

Dijangkakan mulai 2015, prestasi murid tidak lagi dinilai sepenuhnya berdasarkan ujian seperti sekarang, sebaliknya markah peperiksaan hanya mewakili kira-kira 30 peratus daripada markah penuh yang akan digabungkan dengan empat lagi penilaian lain iaitu psikometrik (kecenderungan dan sikap), kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan kementerian.

Kita yakin pengenalan sistem baru itu nanti mampu memperkasakan pendidikan untuk memartabatkannya sebagai wadah membentuk insan berpengetahuan dan berakhlak.

Ia juga lebih relevan dengan hasrat negara untuk melahirkan generasi modal insan, yang bukan saja mampu melahirkan murid berketrampilan dan berilmu pengetahuan, tetapi turut memiliki sahsiah tinggi, berakhlak mulia, kreatif, berani melakukan perubahan dan menghadapi cabaran.

Pada masa ini, penilaian berasaskan sekolah tidak menyeluruh dan hanya meliputi beberapa ujian sampingan seperti Ujian Perkara Asas Fardu Ain (Pafa), Penilaian Kerja Amali (Peka) serta Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Dengan pendekatan ini nanti, peluang pelajar untuk menjana kecemerlangan akan lebih terbuka dan tidak terhad kepada kategori murid cemerlang akademik semata-mata tetapi turut merangkumi bidang kemahiran lain termasuk kokurikulum.

Seluruh warga pendidik menyambut baik langkah bijak ini yang telah dilakukan atas kehendak awam dan sejajar pula dengan pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

Umum mengetahui, sejak sekian lama, pendidikan berorientasikan peperiksaan telah sebati dalam jiwa pelajar dan minda guru. Untuk melahirkan generasi ulul albab, kecemerlangan berasaskan catatan gred pada slip peperiksaan sudah tidak relevan lagi.

Melalui lima pentaksiran yang akan dibuat oleh pihak sekolah iaitu pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, peperiksaan pusat, pentaksiran aktiviti jasmani dan kokurikulum serta ujian psikometrik, sudah tentu penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran akan lebih maksimum kerana ia menjadi salah satu penilaian bagi menentukan pencapaian keseluruhan peperiksaan.

Sebenarnya slip keputusan peperiksaan yang diperoleh seseorang pelajar tidak menggambarkan kecerdikan dan kreativiti mereka yang sebenar.

Ini kerana, perolehan markah hanya datang daripada proses pembelajaran mekanikal yang banyak menjurus kepada kekuatan mengingati fakta dan data semata-mata.

Melalui pendekatan baru ujian ini, kita melihat penglibatan para guru menjadi lebih besar kerana bakal melaksanakan pentaksiran di peringkat sekolah bagi mewujudkan skala keperluan dan pembangunan individu yang mempunyai kemahiran berfikir kreatif dan intelektual meliputi bidang akademik, kokurikulum, kepimpinan, sahsiah dan kecenderungan untuk dinilai bersama-sama peperiksaan utama.

Biarpun natijah yang diperoleh melalui sistem sekarang telah mampu mengubah tahap pencapaian pendidikan negara, kesannya kepada yang tidak 'mampu' untuk sampai ke aras yang dikehendaki agak terbatas.

Yang bijak akan terus dibestarikan, sebaliknya yang lemah agak terhad peluang mereka sedangkan keadilan menuntut ilmu wajar diberi tanpa tempoh masa dan situasi. Menyedari hakikat bahawa setiap individu dilahirkan dengan kemampuan yang berbeza, maka pendekatan dan kaedah penilaian juga sudah sewajarnya perlu memenuhi keperluan setiap pelajar.

Dengan beberapa penaksiran lain yang akan dibuat seperti aktiviti jasmani, kokurikulum dan ujian psikometrik, kita percaya reformasi peperiksaan menjelang 2015 ini bakal menyaksikan satu lagi era kemapanan dan kemantapan sistem pendidikan ke arah yang lebih bersesuaian dengan senario hidup semasa.

WAN MARZUKI WAN RAMLI

Pasir Mas, Kelantan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 24 Jun 2010

Sistem penilaian baru perlu ganti UPSR, PMR

BAYANGAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR sebagai satu usaha holistik dan mengintegrasikan kembali pendidikan negara yang dilihat terlalu berorientasi peperiksaan harus diteliti dengan sebaiknya.

Pada satu sisi, tindakan itu mampu mengurangkan tekanan terhadap guru dan pelajar daripada terus dibebani dengan peperiksaan awam terbabit.

Bebanan ini menjadi sebab utama tidak berlakunya pendidikan yang efektif dan berkesan di dalam kelas ekoran kecenderungan mereka untuk hanya menumpu kepada teknik menjawab dan soalan yang berkemungkinan akan keluar dalam peperiksaan.

Justeru, ia secara tidak langsung akan memberi ruang lebih luas untuk proses pembelajaran yang ‘holistik dan integral’ dalam sesuatu subjek yang mampu menyokong pembentukan minda kritis di kalangan pelajar selaras dengan matlamat dan harapan kerajaan seperti digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RM Ke-10).

Bagaimanapun, pihak Kementerian Pelajaran harus segera memperkenalkan sistem penilaian baru yang tepat dan menyeluruh bagi menggantikan sistem penilaian UPSR dan PMR.

Hal ini bagi memastikan proses pembelajaran di sekolah akan dapat terus dipandu dan dipantau dengan sebaiknya. Kegagalan memperkenalkan sistem penilaian baru akan hanya membuka lebih banyak kerosakan dan kegagalan berbanding kebaikan.

Bagi memperkukuh usaha murni itu, penilaian semula sukatan pelajaran harus juga digerakkan agar transformasi pendidikan sebenar dapat direalisasikan dengan jayanya.

Semua elemen yang ada dalam Falsafah Pendidikan Negara dan keperluan semasa selaras dengan perubahan zaman harus diterjemahkan secara langsung dalam sukatan pendidikan kebangsaan agar lebih kukuh dan berdaya saing.

Dengan matlamat murni, sukatan berkesan dan menyeluruh serta penilaian tepat, maka proses membangun insan glokal seperti yang diimpikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagai memacu Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan.

ABU QASSIM NOR AZMI,
Naib Presiden Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 22 Jun 2010

Nasihat sebelum melangkah ke universiti

SEKALUNG tahniah ditujukan kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi yang akan menjejakkan kaki untuk memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), pada sesi pengajian Julai 2010.

Tawaran menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS tentunya berita yang sangat menggembirakan pelajar dan seluruh keluarga. Justeru, tidak hairan jika ada yang sanggup berhabis menyediakan bas rombongan untuk mengangkut jiran sekampung semata-mata untuk menghantar anak masuk ke universiti. Kegembiraan itu ditambah lagi dengan majlis kenduri kesyukuran yang diadakan.

Namun lebih daripada itu, setiap pelajar selayaknya mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas kurnia Ilahi kerana terpilih masuk ke universiti. Mana tidaknya, antara ratusan ribu pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang lalu, hanya sebilangan kecil ditawarkan ke IPTA/IPTS yang menyediakan tempat terhad kepada mereka yang benar-benar layak.

Seterusnya kejayaan itu hendaklah dibuktikan pula dengan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi agama, bangsa dan negara. Sedia difahami bahawa kejayaan yang bakal dikecapi tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa disertai usaha dan komitmen yang jitu oleh setiap pelajar.

Jangan hanya bersikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ di awal semester tetapi setelah tahu selok-belok berada di universiti, mereka mula lalai tidak hadir ke kuliah, terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah, asyik dilamun cinta yang kesemuanya bakal memusnahkan harapan keluarga dan negara.

Apatah lagi setelah berjaya mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang jika tidak diurus dengan baik pasti akan digunakan untuk tujuan yang tidak betul.

Golongan mahasiswa juga perlu mengikhlaskan niat sejak hari pertama melangkah kaki ke universiti, untuk menuntut ilmu semata-mata kerana Allah SWT dan tidak hanya berharap segulung sijil dan gaji lumayan apabila bergraduat nanti.

Dewasa ini, terdapat golongan terpelajar yang terjebak melakukan aktiviti jenayah kolar putih seperti rasuah, penipuan dan pecah amanah kemungkinan disebabkan tiada keberkatan ilmu akibat niat yang tidak ikhlas.

Tiada kesepaduan antara ilmu dan amal juga boleh menyumbang kepada gejala buruk itu. Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda: “Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah”.

Selain itu, para pelajar juga diingatkan agar sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT. Amalan berdoa dan memohon pertolongan-Nya adalah jalan terbaik untuk cemerlang. Ini kerana walau genius mana sekalipun seseorang itu, tanpa hubungan erat dengan Pencipta-Nya, seseorang itu tidak akan berjaya dalam erti kata kejayaan holistik, dunia dan akhirat.

Golongan pelajar Muslim juga dinasihatkan tidak mengabaikan tanggungjawab utama iaitu melaksanakan ibadat wajib yang diperintahkan Allah SWT seperti sembahyang lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadan.

Alasan kesuntukan masa, sibuk dengan kuliah, banyak tugasan untuk diselesaikan bukan hujah untuk tidak mengerjakan perintah itu. Ini kerana sebagai individu Muslim, ibadah kepada Allah SWT wajib diutamakan sebelum yang lain-lain. Menurut Waqi, guru kepada Imam Shafie, ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak dikurniakan kepada pelaku maksiat.

Pelajar juga diingatkan agar sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT terutama dari aspek pemakaian yang menutup aurat, menjaga batasan pergaulan lelaki dan perempuan serta jangan terlibat dengan perkara-perkara yang melanggar peraturan agama mahupun universiti seperti menganggotai pergerakan Jemaah Islamiyah (JI) yang boleh menimbulkan huru-hara dalam negara.

Ia bertepatan dengan status sebagai pelajar universiti yang matang dan boleh mempertimbangkan sesuatu dengan baik berasaskan akal yang sihat dan landasan agama yang benar. Justeru, sebelum melakukan sesuatu, berfikirlah dengan matang dan bijaksana.

Golongan pelajar juga perlu bersedia untuk berkorban sepenuh masa dan sekuat tenaga untuk berjaya mengharungi liku-liku perjalanan sebagai pelajar universiti. Ia tak ubah seperti tentera yang bersabung nyawa berjihad di jalan Allah SWT. Malahan jika diperhalusi, ia adalah perjuangan untuk menaikkan kembali maruah dan ketinggian Islam melalui peradaban dan ketamadunan ilmu yang dikuasai oleh umatnya.

Nama-nama tersohor seperti Abu Muhammad al-Khawarizmi, al-Biruni, al-Farabi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi adalah bukti kegemilangan tamadun Islam terdahulu yang berpaksikan kepada ilmu pengetahuan sebagai teras kegemilangan.

Nabi Muhammad SAW direkodkan pernah bersabda: “Barang siapa yang inginkan dunia dan kemewahannya hendaklah dengan ilmu, barang siapa yang inginkan akhirat dan kenikmatannya hendaklah dengan ilmu dan barang siapa yang ingin kedua-duanya (dunia dan akhirat) juga hendaklah dengan ilmu.”

Justeru peluang mendapat tempat di universiti perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh pelajar agar menjadi insan berguna satu masa nanti. Begitu juga diingatkan agar tidak ada yang menjadikan segulung ijazah untuk mendabik dada dan menyombong diri sehingga berasa dialah yang terbaik daripada segala-galanya.

Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 14 Jun 2010

Penjajahan asap


Oleh Mohd Azis Ngah

Asap dari bilik merokok yang ada dalam sesuatu bangunan memberi kesan besar kepada kualiti udara pejabat

KETIKA kerajaan mengumumkan semua bangunan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Jun lalu, pelbagai pihak menyambut baik cadangan itu, ada juga yang sinis dan tentunya golongan perokok berasakan ia satu bentuk hukuman.

Semua itu sebenarnya mempunyai hikmah tersendiri kerana sebelum ini ramai yang memperkatakan mengenai masalah udara di luar bangunan, di tempat terbuka misalnya masalah jerebu yang memberi kesan buruk kepada penghidap asma, orang tua dan kanak-kanak.

Hakikatnya, berada dalam bangunan pun belum tentu menjamin tahap kesihatan yang baik kerana ramai yang tidak menyedari risiko pendedahan udara dalaman serta kesan kepada kesihatan, apatah lagi udara tercemar termasuklah asap rokok. Aktiviti merokok di dalam bangunan diakui antara empat faktor utama mempengaruhi kualiti udara dalaman dalam kalangan pekerja pejabat yang dikenali dengan terma ‘Indoor Air Quality’ (IAQ). Antaranya ialah bahan pencemar kimia, pencemar biologi, tekanan fizikal dan psikososial. Apa yang menarik untuk dibincangkan ialah faktor mengenai punca bahan pencemar kimia seperti organik meruap (VOCs), ozon alat pencetak, partikel terampai, pembasmi serangga dan asap tembakau persekitaran atau ‘Environmental Tobacco Smoke’ (ETS).

Semua faktor itu jika ditambah dengan sikap kurang kesedaran dalam kalangan pekerja mengenai persekitaran dalaman menyebabkan aktiviti di dalam bangunan mengundang bencana masalah IAQ terutama aktiviti merokok.

Perlu diketahui, kajian Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menunjukkan pekerja pejabat menghabiskan masa lebih 75 peratus di dalam kawasan bangunan termasuk di pejabat, sekolah, pusat beli belah atau dalam kenderaan.

Jika fakta itu diambil kira, pekerja pejabat sebenarnya cukup terdedah kepada pencemaran udara dalaman kerana berada terlalu lama di dalam bangunan terutama pejabat yang mempunyai ruangan merokok atau berlakunya aktiviti ‘curi-curi merokok’ di tempat tersembunyi.

Pegawai Akademik dan Penyelidik, Unit Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (USKKP), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Syazwan Aizat Ismail, berkata punca utama masalah kualiti udara dalaman terbahagi kepada dua iaitu sistem pendingin hawa dan aktiviti pengguna bangunan.

Katanya, aktiviti pengguna bangunan sangat penting dalam mempengaruhi paras pencemar persekitaran dalaman dan merokok di tangga dan di dalam tandas juga boleh memberi impak ke atas ruang kerja pejabat.

“Kajian SBS dan IAQ mendapati paras ETS partikel terampai di ruang legar pejabat yang mempunyai bilik merokok mencatatkan bacaan 2.5 microgram permeter padu. Kadar itu adalah tinggi berbanding ruang pejabat yang biliknya ditutup atau diubahsuai menjadi surau.

“Ini membuktikan asap rokok boleh merebak ke ruang legar pejabat jika sistem ventilasi bilik merokok di bawah standard ditetapkan. Kita perlu mencontohi negara maju yang menghentikan terus aktiviti merokok di ruang berhawa dingin atau di dalam bangunan,” katanya.

Walaupun kerajaan sudah mewartakan Akta Kawalan Hasil Tembakau dan pengguna dilarang merokok di dalam kawasan berhawa dingin, tetapi masalah pencemaran tetap berlaku kerana kurangnya tindakan penguatkuasaan dan kesedaran pekerja.

Pemilik bangunan juga kurang memantau aktiviti yang mencemar udara dalaman menyebabkan masalah partikel terampai tinggi di sesetengah bangunan. Disebabkan bahan ‘partikel’ itu kecil dan halus, ia boleh menembusi ruang paru paru manusia.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan serangan asma kepada penghidapnya dan pekerja lain yang sihat juga tercemar dengan tanda mata berair, hidung tidak selesa dan demam,” katanya.

Berdasarkan kajian Dr Sean Semple daripada University Of Aberdeen, mendapati pekerja bar di United Kingdom berjaya menurunkan kes berpunca daripada masalah sistem pernafasan sejak kerajaan memansuhkan kegiatan merokok di dalam bangunan.

Ini membuktikan penguatkuasaan penting dalam mengurangkan masalah kualiti udara dalaman dan kesihatan pekerja, manakala pengurus bangunan digalakkan memantau berterusan masalah kepada punca pencemaran.

Masalah pencemaran udara dalam ini boleh dikawal dengan baik dan mudah apabila jika kedua-dua pihak, pengurusan dan pengguna bangunan memainkan peranan masing-masing dan aspek utama yang perlu dititikberatkan ialah proses pemantauan jika 60 peratus pekerja mengadu masalah IAQ.

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

DOA SEMPENA BULAN REJAB


Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Sya'aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri, dan aku bertaubat kepada-Nya. Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang patut disembah kecuali Engkau yang menciptaku. Aku adalah hamba-Mu dan aku dalam genggaman-Mu. Aku dalam perjanjian (beriman dan taat) kepada-Mu sekadar kemampuan yang ada padaku. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang (mungkin) aku lakukan. Aku mengakui atas nikmat yang engkau berikan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku kerana itu aku memohon keampunan-Mu dan sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa seseorang kecuali Engkau Ya Allah.

Isyarat kepada yang tidak hormati bahasa Melayu


RAKYAT bukan Melayu negara ini termasuk juga pelbagai syarikat dalam negara berterusan saja memperlekehkan bahasa Melayu.

Terakhir ialah sebuah syarikat yang mengeluarkan ubat gigi yang terkenal dalam negara ini, iaitu Colgate. Syarikat ini sejak beberapa hari kebelakangan ini gah dengan produk terbarunya untuk mereka yang mempunyai gigi sensitif.

Pada kotaknya tertera 'rujuk risalah dalam pek untuk maklumat terperinci'. Walau pun kenyataan ini kecil daripada keterangan dalam bahasa Inggeris ia masih boleh dapat diterima. Tetapi dari penggunaan bahasa Melayu ini berbanding dengan penggunaan bahasa Inggeris sudah cukup jelas menunjukkan sikap syarikat ini terhadap bahasa Melayu.

Tetapi apabila membuka pek ubat gigi itu dan melihat risalah yang disediakan di dalamnya mengukuhkan lagi kesangsian terhadap pandangan syarikat ini terhadap bahasa Melayu. Risalah yang disediakannya itu hanyalah dalam bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Satu patah perkataan Melayu pun tidak ada dalam risalah itu dan menunjukkan betapa ia cuba mengabui orang Melayu.

Apakah yang boleh kita simpulkan daripada tindak tanduk syarikat ini? Apakah ia tidak menunjukkan bagaimana ia tidak sedikit pun menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Bukankah ia adalah bahasa negara ini yang sepatutnya sudah digunakan oleh seluruh rakyat negara ini.

Kalau pun ramai daripada rakyat bukan Melayu negara ini tidak menghiraukan penggunaannya, sebagaimana sepatutnya, hampir 70 peratus daripada rakyat negara ini sememangnya mendaulatkannya. Apakah isyarat yang hendak diberikan syarikat ini terhadap penggunaan bahasa Melayu?

Kalau beginilah sikapnya, apakah kita rakyat negara ini khasnya orang Melayu masih terus mahu menyokong produk syarikat ini? Umum mengetahui syarikat-syarikat seperti ini amat mementingkan keuntungan dan satu cara bagi kita menunjukan bantahan ialah dengan tidak membeli produknya.

Orang Melayu kini sudah mempunyai kuasa membeli dan semestinya menggunakan kuasa yang ada pada kita dengan berhemah, ia itu dengan memboikot saja produk mana-mana syarikat yang tidak menghormati kedudukan bahasa negara ini.

Sebelum ini pun, beberapa syarikat perumahan telah juga mengedarkan risalah mengenai rumah yang mereka sedang bina hanya dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Yang menghairankan risalah-risalah itu diedarkan kepada penduduk sekitar Shah Alam di mana hampir 90 peratus daripada penduduknya adalah orang Melayu.

Sebelum itu, akhir tahun lalu salah satu syarikat pengeluaran syampu rambut pernah menyediakan iklan syampunya itu di eskalator pasar raya Tesco juga di Shah Alam hanya dalam bahasa Mandarin. Selepas ditegur iklannya itu sudah ditukar dengan tidak menggunakan apa-apa pun tulisan kecuali namanya sahaja yang ditulis dalam rumi.

Tidak berapa lama kemudian sebuah syarikat cermin mata yang juga di Shah Alam telah mengedarkan risalahnya hanya dalam bahasa Mandarin saja.

Apakah yang boleh kita simpulkan daripada sikap angkuh syarikat-syarikat ini? Apakah kini sudah ada semacam suatu usaha dari semasa ke semasa untuk menguji orang Melayu terhadap penggunaan bahasa Melayu? Apakah syarikat-syarikat ini tidak tahu yang mereka beroperasi di Malaysia di mana bahasanya ialah bahasa Melayu. Bolehkah kita bayangkan mereka ini tidak menggunakan bahasa Thai di negeri Thai atau bahasa Jepun di Jepun.

Kalau demikian halnya kenapakah di Malaysia mereka begitu mudah perlekehkan bahasa negara ini?

Maka itulah masanya sudah tiba bagi kita rakyat negara ini khususnya orang Melayu menunjukkan perasaan tidak senang kita terhadap anasir-anasir begini dengan memboikot terus produk mereka. Tindakan begini saja yang mereka ini faham.

REJAL ARBEE

Shah Alam

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 13 Jun 2010

Bersatu hati menangani gejala remaja merokok

MASA depan negara banyak bergantung kepada sejauh mana belia hari ini memiliki kualiti dan kecemerlangan diri yang boleh digunakan untuk membentuk sebuah negara maju.

Antara kriteria yang diperlukan adalah kualiti kesihatan yang baik tanpa dibebani penyakit berbahaya. Ini kerana jika sejumlah besar belia menderita pelbagai penyakit terutama berpunca daripada merokok, maka segala perancangan dan pelaksanaan kerajaan untuk memajukan negara akan terencat.

Sudah tentu wang yang sepatutnya disalurkan untuk tujuan pembangunan, misalnya memantapkan industri kecil dan sederhana atau melahirkan lebih banyak tenaga kerja mahir terpaksa dikongsi bersama hal-hal berkaitan mengurangkan gejala merokok di kalangan remaja.

Justeru, apabila Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mendedahkan hasil kajian menunjukkan 28.8 peratus kanak-kanak perempuan di bawah usia 10 tahun mula berjinak-jinak dengan rokok, maka ia merupakan satu perkara amat membimbangkan.

Lebih mengejutkan apabila lebih banyak kanak-kanak perempuan merokok berbanding dengan kanak-kanak lelaki yang hanya 14.1 peratus.

Apa sudah jadi dengan institusi keluarga kita hari ini, sehinggakan tabiat merokok yang merupakan sesuatu yang tabu dalam kalangan wanita satu ketika dahulu kini menjadi sebaliknya.

Budaya masyarakat kita terutama Melayu yang memandang rendah wanita merokok nampaknya tidak lagi dipedulikan. Ia bukan lagi sesuatu yang perlu dimalukan, malah terdapat wanita berasa bangga merokok di khalayak ramai.

Jika dahulu, tabiat itu dilakukan secara bersembunyi, kini kita boleh melihatnya terang-terangan di pejabat, kawasan beli-belah mahupun dalam bas awam.

Apabila sudah terlalu lama kandungan bahan kimia rokok seperti nikotin 'bersarang' di dalam tubuh kerana mula merokok sejak usia remaja, maka mudah pelbagai penyakit datang menyerang.

Apabila berpenyakit, maka tentulah keluarga (suami dan anak-anak) tidak mendapat layanan sempurna apa yang dideritai menyebabkan wanita terbabit kurang upaya untuk mengurus keluarga, selain terpaksa berhabis banyak wang untuk merawat penyakit.

Tentulah juga jika terlalu ramai wanita seperti itu, maka sebarang pekerjaan termasuk di sektor awam tidak dapat berjalan sempurna.

Cuti sakit yang berlarutan boleh menjejaskan produktiviti syarikat. Maka, kesannya ditanggung oleh kerajaan dalam jangka masa panjang.

Perancangan dan pelaksanaan pembangunan akan terencat kerana negara memiliki ramai penduduk yang sakit. Lebih memburukkan keadaan, wanita yang merokok akan memberi contoh yang tidak elok kepada anak-anak yang sedang membesar.

Akhirnya, ia akan menjadi satu budaya dan beranggapan merokok sesuatu yang biasa dalam masyarakat. Oleh itu, semua pihak, ibu bapa, sekolah, Kementerian Pelajaran perlu bersatu hati tanpa menuding jari bagi mencari formula membanteras gejala merokok dalam kalangan remaja.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/