Selasa, 27 Julai 2010

Tiada salah guru aktif berpolitik asalkan bersikap profesional

BERPOLITIK bagi golongan guru bukanlah baru. Sejarah pejuang bangsa untuk memerdekakan tanah air ini dahulu pun terdiri daripada kalangan pendidik, malah mereka dipandang tinggi dalam masyarakat.

Kelibat guru dalam politik berkurangan apabila larangan ke atas kumpulan pengurusan dan pegawai kerajaan kumpulan A termasuk guru berijazah dibuat pada tahun 1990-an.

Kini, bermula 1 Ogos depan, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan membabitkan diri dalam politik. Berita baik ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Terdahulu hanya guru yang berada pada kategori bukan siswazah iaitu DGA29 hingga DGA38 dibenar menyertai politik.

Pembabitan semula kumpulan guru ini dalam bidang politik dilihat mampu melahirkan idea baru, tambahan pula mereka dekat dan dihormati masyarakat setempat.

Tiada salah guru kembali aktif berpolitik asal mereka mempunyai minat dan bersikap profesional.

Soal kebimbangan guru mungkin mengabaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa apabila terlibat dalam politik sebenarnya tidak timbul kerana kita yakin mereka boleh menguruskan masa dengan baik.

Kita tidak nafikan pada masa sekarang pun, ada guru secara senyap-senyap terbabit dalam politik. Daripada mereka melakukannya secara rahsia, lebih baik kerajaan memberikan kebenaran.

Kepada guru yang ingin bergiat aktif dalam politik, mereka dinasihatkan sentiasa bertanggungjawab kepada kerjaya dan politik.

Guru bebas untuk menyertai mana-mana parti politik, tetapi mereka perlu bersikap adil dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Sekiranya ada guru yang taksub kepada mana-mana parti politik, janganlah mereka bawa sentimen atau emosi ke dalam kelas dan kawasan sekolah.

Jika hal-ehwal perjuangan parti politik dibawa ke sekolah, dibimbangi perpecahan dalam masyarakat negara ini bertambah buruk.

Sebaliknya, golongan guru diharap menggunakan kepakaran mereka untuk memimpin semula anak muda memahami perjuangan agama, bangsa dan negara, selain memberi nafas baru dengan cetusan idea yang bernas untuk dimanfaatkan semua pihak.

Apa pun pemansuhan larangan guru siswazah berpolitik perlu disertai kawalan bagi memastikan kelonggaran itu tidak disalah guna. Syarat-syarat ketat perlu guru patuhi supaya tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan pembabitan mereka dalam politik.

Pun begitu, kita sokong kebenaran berpolitik itu membabitkan guru gred DG41 hingga DG48 iaitu guru siswazah biasa. Jika ia membabitkan guru yang berada pada gred lebih tinggi dikhuatiri beban tugas mungkin terjejas dengan aktiviti tambahan di luar sekolah.

Dengan kebenaran ini juga kita mengharapkan guru terbabit mampu memberi sumbangan dalam menjalankan dua tanggungjawab serentak. Kepada guru yang bercadang menyertai parti politik, bijaklah mengurus masa dan tenaga supaya tidak wujud sebarang konflik yang akhirnya menjejaskan tumpuan hingga mengabaikan tugas hakiki yang sepatutnya diberi keutamaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 24 Julai 2010

Berjemaah dalam menjaga kebersihan alam sekitar

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

KEHIDUPAN manusia dalam dunia moden terdedah kepada pelbagai wabak penyakit dan ada antaranya boleh meragut nyawa seperti penyakit demam denggi yang sedang merebak sekarang ini memerlukan perhatian semua pihak.

Islam sudah memberikan ingatan jelas berbentuk saintifik bagaimana kita dapat mengatur kehidupan dalam keadaan sihat sejahtera dengan memfokuskan kepada langkah pencegahan, bukannya pemulihan.Contohnya, Islam meletakkan kualiti bersih sebagai prasyarat kepada sempurnanya iman seseorang hamba.

Paradigma fikir yang hanya menghargai kepentingan kesihatan tatkala ditimpa penyakit sewajarnya dihentikan dan meletakkan aspek kesihatan pada kedudukan tertinggi.


Benarlah kata Nabi SAW bahawa dua nikmat yang sangat manusia lalaikan ialah masa lapang dan waktu sihat. Inilah dua anugerah Allah yang kita abaikan dengan beranggapan ia akan bertahan lama.

Keasyikan mencari nafkah kehidupan dan dalam keghairahan meneroka harta kebendaan duniawi, dua perkara khususnya kesihatan diabaikan tanpa mengambil sikap berjaga-jaga. Ada juga dalam kalangan kita prihatin mengenai kebersihan tubuh badan saja dan tidak memberi perhatian terhadap alam sekitar.

Ini juga satu lagi sikap yang bertentangan dengan tuntutan agama kerana penjagaan kebersihan dan mengekalkan kesihatan turut merangkumi alam sekitar.

Penyakit demam denggi merebak secara berleluasa akibat tidak mengambil berat kebersihan persekitaran menyebabkan aedes membiak.

Kawasan persekitaran rumah, laluan air atau longkang yang tersumbat tanpa langkah pembetulan juga menyenangkan pembawa penyakit seperti nyamuk bermaharajalela. Seandainya diteliti umat Islam jarang memberi perhatian kepada aspek kebersihan persekitaran.

Jika adapun hanya apabila sesuatu penyakit sudah merebak. Pada waktu itulah penghuninya sibuk dengan aktiviti gotong-royong secara drastik kerana takutkan penyakit.

Kelemahan masyarakat hari ini ialah pemikiran yang menganggap bahawa kerja pembersihan alam sekitar adalah tanggungjawab pihak berkuasa. Sepatutnya menjaga kebersihan alam sekitar menjadi budaya kepada semua lapisan masyarakat.

Aktiviti bersama dalam sesuatu komuniti dianggap sebagai kegiatan amar makruf yang menjurus kepada manfaat bersama. Bukan kualiti kesihatan dapat dipelihara, malah ikatan ukhuwah dapat dipertingkat.

Allah menegaskan kepada umat-Nya supaya sentiasa berlumba membuat kebajikan. Inilah medan terbaik untuk setiap mukmin mempamerkan sikap berlumba mencipta kebajikan sesama ummah selain dapat mengikis sikap mementing diri sendiri.

Ini satu lagi nilai murni ditekankan Islam kerana semangat berjemaah bukan hanya terhenti dalam aspek ibadah solat, tetapi mestilah diterjemahkan dalam aspek kehidupan lain seperti aktiviti memelihara kebersihan alam sekitar.

Alangkah indah kehidupan masyarakat Islam seandainya segala aspek penghidupan dilaksanakan secara berjemaah dan ini tentu diberi keberkatan oleh Allah. Masyarakat bagai ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ mesti dihindari orang beriman.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jika semua pihak sedar menjaga kebersihan alam sekitar tanggungjawab bersama, maka tidak perlulah pelbagai kempen diadakan. Ini tidak, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan terpaksa mencari pelbagai ikhtiar menyedarkan orang ramai pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

Justeru, kita kena kembali menghayati seruan Islam yang mementingkan kebersihan supaya tahap kehidupan umat Islam di dunia ini terus berada pada kedudukan fizikal dan minda yang unggul.

Sumber : http ; //www.bharian.com.my/

Jumaat, 23 Julai 2010

Pencemaran sungai simbol kemusnahan alam


Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

KEJAHILAN dan kedegilan manusia merubah sungai menjadi tempat buangan sampah sarap dan bahan buangan kilang menyebabkan manusia menghadapi krisis air walaupun berada dalam negara yang dikelilingi sungai. Mereka tidak menyedari bahawa sikap dan tindak tanduk sedemikian boleh menyebabkan mereka termasuk dalam golongan orang yang tidak bersyukur dan perosak alam.

Manusia diciptakan oleh Allah sebagai pemelihara atau pemimpin kepada setiap ciptaan-Nya di muka bumi ini, bukannya perosak dan pemusnah alam semula jadi.

Manusia terikat dengan perundangan Allah berkaitan dengan makhluk yang wujud di dunia ini. Allah menjelaskan perkara ini dalam Surah al-A'raf ayat 56 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik".

Air merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Ia merupakan unsur utama yang wujud sebelum langit dan bumi dicipta. Allah menjelaskan perkara ini dalam Surah Hud ayat 7 yang bermaksud, "Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, dan adalah singgahsana-Nya (sebelum itu) dalam air."

Justeru air menjadi nadi dan sumber kehidupan setiap benda di dunia ini. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam Surah al-Anbiya' ayat 30 yang bermaksud, "Dan daripada air, Kami jadikan segala sesuatu yang hidup". Penurunan air dari langit ke bumi dianggap sebagai rahmat dan kasih sayang daripada Allah terhadap makhluk-Nya.

Air yang diturunkan dari langit itu menyerap ke dalam bumi dan bertakung menjadi sungai sepatutnya dipelihara dan dikawal daripada pencemaran kerana ia merupakan keperluan asas manusia dan makhluk-Nya yang terpenting di dunia.

Betapa pentingnya air dalam kehidupan manusia tidak pernah dihiraukan oleh manusia. Penurunan hujan dan takungan air yang berlimpah tidak pernah tergambar dalam akal pemikiran mereka bahawa sumber air ini mungkin menghadapi kekeringan atau keracunan jika manusia cuai menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemelihara alam sekitar.

Islam amat prihatin terhadap kebersihan tempat dan tubuh manusia. Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya, "Sesungguhnya kebersihan itu separuh daripada iman". Islam menekankan aspek kebersihan dalam hidup adalah kerana setiap aspek berkaitan dengan ibadah kepada Allah terutama sembahyang memerlukan kebersihan diri dan tempat.

Dua unsur utama dalam pembersihan badan sebelum melaksanakan ibadah kepada Allah ialah air dan debu yang bersih. Kedua-dua unsur ini juga merupakan asas penciptaan manusia, seperti mana firman Allah dalam Surah al-Hijr ayat 26 yang bermaksud, "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang dibentuk".

Air merupakan satu anugerah daripada Allah. Ia adalah salah satu daripada tiga perkara yang mana setiap manusia mempunyai hak, iaitu rumput (padang rumput untuk binatang ternakan) air dan api. Berdasarkan kepada kepentingan air bagi makhluk di muka bumi ini, maka Islam telah meletakkan beberapa perundangan berkaitan dengan air.

Terdapat dua dasar ajaran yang penting mengenai hak air dalam syariah Islam, iaitu shafa (hak untuk orang yang dahaga), menubuhkan hak universal untuk manusia bagi menghilangkan dahaga mereka dan juga binatang ternakan mereka, dan shirb (pengairan) yang mana memberi hak kepada semua pengguna untuk menyiram tanaman mereka.

Rasulullah SAW memberi amaran kepada mereka yang tidak mengambil berat terhadap hak air untuk manusia keseluruhannya dengan sabda-Nya yang bermaksud, "Di antara tiga orang yang tidak akan dipedulikan Allah pada Hari Kebangkitan ialah orang yang mempunyai air berlebihan daripada yang diperlukan dan enggan memberikannya kepada musafir". Baginda menegaskan bahwa orang yang membazir air adalah berdosa.

Realiti kehidupan manusia hari ini adalah dalam kategori pemusnah air yang diperlukan oleh makhluk Allah di muka bumi. Dosa mereka berkaitan dengan air adalah sampai ke tahap yang paling tinggi iaitu mencemarkan air dengan bahan-bahan kotoran dan kimia sehingga mereka terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menyuling air, selain terpaksa berubat selepas diserang pelbagai penyakit yang kronik berkaitan dengan air. Kekejaman sesetengah manusia yang rakus dengan keuntungan dunia jelas kelihatan apabila bahan-bahan toksik dialirkan ke sungai dan lautan sehingga setiap hidupan dalam air menghadapi penderitaan dan kepupusan.

Berdasarkan suasana begini, kerajaan sepatutnya melaksanakan perundangan yang ketat kepada individu-individu yang mencemar air sungai atau sumber air lain kerana perbuatan mereka adalah berdosa dan dimurkai Allah. Sikap mereka mencemarkan air seperti sungai boleh dianggap sebagai penjenayah kemanusiaan dan alam.

Mereka boleh digolongkan sebagai orang yang melakukan kerosakan di muka bumi seperti mana firman Allah dalam Surah al-Rum ayat 41 yang bermaksud, "Telah nampak kerosakan di darat dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)".

Oleh itu, umat Islam keseluruhannya perlu bekerjasama dengan kerajaan memelihara sungai, lautan dan sumber air di negara ini supaya kemanisan air yang dianugerahkan oleh Allah dapat dinikmati.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 22 Julai 2010

Peribahasa Melayu ditelan zaman


Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my


KEINDAHAN nilai bahasa dalam peribahasa Melayu yang sebelum ini menjadi medan berkesan dalam menyampaikan nilai murni dan ‘dakwah’ kepada masyarakat antaranya dapat dilihat melalui hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Bagaimanapun, perkembangan semasa dalam arus globalisasi yang melanda warga sejagat menyebabkan bangsa Melayu terlena panjang sehingga seolah-olah lupa bahawa mereka mempunyai khazanah bahasa yang bukan sekadar melambangkan jati diri, malahan sarat dengan pelbagai ilmu, mesej dan teladan berguna dalam kehidupan.

Penghayatan bangsa Melayu terhadap peribahasa kian tipis dan kelebihan dalam berbahasa dengan memanfaatkan kehadiran peribahasa sebagai wadah penting bernafas intelektual yang mampu menjadi pelengkap kepada pemartabatan bangsa maju menjelang 2020, seolah-olah tiada.

Generasi muda yang didedahkan dengan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan pula tidak lagi menganggap peribahasa menyumbang kepada pembangunan modal insan kerana sistem pendidikan negara tidak memberi tumpuan terhadap fungsi emosi dan jiwa dalam penyampaian ilmu.

Meskipun kita sering menyaksikan peribahasa dalam akhbar, majalah, radio, televisyen, iklan, ceramah, khutbah dan ceramah, ia tetap tidak memberi kesan kepada komunikasi seharian masyarakat khususnya dalam hal memberi nasihat dan perangsang seperti yang menjadi amalan bangsa Melayu lama.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Samsina Abd Rahman, menyifatkan peribahasa yang merangkumi pepatah, bidalan dan perumpamaan, wajar dimanfaatkan sebagai wahana pendidikan yang mampu menyumbang kepada norma budaya dan nilai agama.

“Namun, penggunaannya tidak lagi diamalkan bangsa Melayu kini berpunca daripada lunturnya semangat cintakan bahasa Melayu, sekali gus menyebabkan mereka menganggap peribahasa yang hadir dalam bahasa Melayu sebagai kurang penting untuk dipraktikkan.

“Hakikatnya, peribahasa boleh diangkat semula sekiranya masyarakat menanamkan semangat cintakan bahasa Melayu terlebih dahulu. Guru sekolah pula perlu menjadi ejen pendidikan berkesan dalam memastikan sistem pembelajaran bahasa Melayu berfungsi dalam pembentukan jati diri pelajar,” katanya dalam pertemuan dengan Sastera, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa usaha berkenaan bukan perkara mudah kerana segala nilai dan norma itu sudah sedia wujud pada watak dan keperibadian bangsa timur, tetapi memerlukan masa dan cara berkesan untuk merealisasikannya.

“Hal ini dapat dilihat dalam perbezaan gaya hidup dan komunikasi seharian bangsa Melayu kini dan dulu. Generasi muda kini jarang menyelitkan peribahasa dalam perbualan sehari-harian mereka berbanding generasi dulu yang sesetengahnya sempat berperibahasa ketika berbual, hatta ketika bergaduh,” katanya.

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Fatin Syazwina Abd Shukor, mengakui jarang menggunakan peribahasa dalam perbualan seharian kerana jarang didedahkan penggunaannya selain melihatnya sebagai suatu yang janggal jika digunakan generasi hari ini.


"Sekiranya drama dan filem zaman dahulu sering memaparkan keindahan bahasa Melayu termasuk menggunakan peribahasa dalam skrip dramanya, karya masa kini pula lebih mementingkan nilai komersil. Lihat saja berapa banyak skrip drama Melayu menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa rojak.

“Karya yang dipamerkan kepada penonton sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa masyarakat. Bahasa Inggeris dan bahasa rojak menjadi ukuran kedudukan seseorang dalam masyarakat sehingga dengan sendiri penggunaan bahasa Melayu baku terpinggir,” katanya yang mewakili suara generasi muda.

Bagaimanapun, Fatin Syazwina tidak menafikan, peribahasa bukan hanya berfungsi sebagai alat nasihat dan kiasan malahan menjadi lambang penting dalam menyatukan masyarakat Melayu dan simbolik pantang larang masyarakat Melayu seperti dalam pepatah biar mati emak, jangan mati adat.

“Jika keindahan nilai dalam peribahasa Melayu ini terus diabaikan, mesej dan makna daripada segala macam peribahasa yang menjadi khazanah bangsa Melayu akan berkubur dalam jangka panjang. Sesuatu perlu dilakukan kerana sekiranya perkara terbabit berlaku, ia merugikan bangsa Melayu,” jelasnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 21 Julai 2010

MUNAJAT SEMPENA ULANG TAHUN KELAHIRANKU

-->
Terima kasih Ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan. Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan. Terima kasih untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan.Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan. Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku...dan terlalu sedikit pengabdianku terhadap-Mu.


Engkau tetap menerima walau terkadang aku alpa, aku lupa, aku tersilap dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan. Namun begitu besar kasih-Mu...Engkau tetap melindungiku walaupun terkadang aku kalut merungut ketika saat-saat lemahku datang. Aku tidak pernah menafikan hak-Mu sebagai Khaliq walaupun terkadang aku terbuai dengan kesedihan dan kesakitan yang amat pedih. 

Ampunkan aku Ya Allah apabila aku merintih nasibku di hadapan-Mu. Kalau bukan kepada-Mu, kepada siapa lagi harus kumengadu? Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini Ya Allah...namun aku hanyalah hamba-Mu yg dhaif dan lemah. Adakalanya aku kurang kesabaran. Ada masanya aku goyah keimanan. Ada masanya aku hampir terikut bisikan syaitan. Namun dengan limpahan kasih sayang-Mu, Engkau menarikku kembali jauh daripada kesesatan. 

Dalam usia begini...aku ingin menjadi lebih dekat padaMu Ya Rahman. Dalam usia yang makin jauh ini...aku ingin lebih merindui-Mu Ya Rahiim. Dalam usia meniti senja ini...aku ingin sekali menyambut panggilan Kaabah-Mu Ya Al Malik.Dalam usia ubanan ini yang kuinginkan hanyalah ketenangan, kekhusyukan beribadah, segala kesederhanaan dan kerendahan hati tanpa berhenti menghulur kasih pada yang sudi. 

Ya Muhaimin...pimpinlah tangan hamba-Mu ini...pimpinlah hati hamba-Mu ini...pimpinlah langkah hamba-Mu ini agar sentiasa berpijak di atas jalan kebenaran. Ya Al-Quddus... sebagai hamba-Mu yang hina dina, aku takkan mungkin mencapai sempurna, tapi kasihanilah aku... bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti titian siratulmustakim-Mu dengan tenang dan mudah tanpa cela. 

Ya Al Hakiim...berikanlah ilham kepadaku agar aku mampu terus berkarya. Agar aku terus mampu memberikan sedikit ikhtibar dan dakwah dengan caraku. Hulurkan kepadaku bijaksana agar aku mampu terus memacu kalam keinsanan sehingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi. 

Terima kasih Ya Allah atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untukku. Engkaulah Yang Maha Besar... peliharalah aku agar terus berpegang teguh pada tali-Mu. 

Terimalah permohonan hamba-Mu yang sedang bermusafir di bumi-Mu ini Ya Al Mudzill. 

Amin Ya Rabbal 'Alamin.

-->

Selasa, 20 Julai 2010

Kesan ketara meritokrasi ke IPTA

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

HEBOH seketika dulu apabila jumlah pelajar wanita ke insititusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi kemasukan 2009/2010 mengatasi pelajar lelaki. Daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bermula Jun lalu misalnya, 65 peratus atau 26,200 orang daripada mereka ialah pelajar wanita.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend pelajar perempuan mendominasi IPT sudah menjadi sesuatu yang biasa. Ia turut berlaku di kebanyakan negara apabila kebanyakan wanita hari ini mempunyai akses yang sama rata kepada sistem pendidikan.

Tetapi ada perkara lain daripada jumlah pengambilan pelajar baru ke IPTA di negara ini yang sepatutnya lebih mendapat perhatian. Secara komposisi kaumnya, daripada jumlah keseluruhan pelajar ke IPTA sesi kali ini, sebanyak 27,829 orang adalah calon bumiputera. Seramai 10,116 orang pula merupakan pelajar kaum Cina manakala selebihnya iaitu sebanyak 2,421 terdiri daripada pelajar kaum India dan kaum lain.

Pada dasarnya, kemasukan pelajar bumiputera masih tinggi berbanding pelajar bukan bumiputera. Tetapi apa yang tidak kelihatan ialah bagaimana pecahan sebenar komposisi pelajar itu jika dilihat daripada kaedah kemasukan iaitu berdasarkan prinsip meritokrasi?

Sejak 2003, pengambilan pelajar ke IPTA tidak lagi berdasarkan kuota yang mana 55 peratus tempat diperuntukan kepada bumiputera manakala 45 peratus yang lain kepada bukan bumiputera. Sebaliknya, kerajaan memperkenalkan prinsip meritokrasi yang membuka peluang sama rata kepada pelajar pelbagai kaum berdasarkan kemampuan pelajar.

Ketika diperkenalkan, sistem meritokrasi antara lain dirujuk sebagai satu bentuk pengajaran kepada kaum bumiputera supaya tidak mensia-siakan peluang pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan. Dengan pelaksanaan itu juga, para pelajar akan dipilih berdasarkan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Pemilihan itu pula dibuat oleh sebuah badan yang ditubuh khas iaitu Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (yang dahulu dikenali Unit Pusat Universiti atau UPU). Ketika peringkat awal pelaksanaannya, kemasukan pelajar bumiputera ke IPTA dicatatkan sebanyak 68.9 peratus. Ia memeranjatkan banyak pihak terutamanya mereka yang menentang pelaksanaannya kerana bimbang sistem itu akan dibolot oleh pelajar bukan bumiputera yang diketahui lebih pandai dan cemerlang.

Rekod penguasaan pelajar bumiputera itu terus dipertahankan untuk tahun-tahun berikutnya iaitu 62.6 peratus pada sesi 2003/2004 dan 63.8 peratus pada 2004/2005. Bagaimanapun selepas kira-kira lapan tahun pelaksanaannya, jumlah pelajar bumiputera itu menunjukkan perbezaan yang sangat ketara.

Tahun ini, iaitu bagi pengambilan pelajar sesi 2009/2010 yang bermula Jun lalu, jumlah pelajar bumiputera yang layak berdasarkan prinsip meritokrasi dikatakan hanya sebanyak 26 peratus sahaja. Bakinya iaitu 74 peratus tempat yang lain, dibolot oleh pelajar-pelajar bukan bumiputera.

Meskipun fakta ini tidak didedahkan oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam urusan pengambilan pelajar ke IPTA, namun ia mempunyai asas yang kukuh untuk diyakini.

Ini bermaksud, apa yang dibimbangi oleh banyak pihak sebelum ini mengenai akan berlakunya tempat yang dibolot oleh pelajar bukan bumiputera menjadi kenyataan.

Asas kebimbangan itu sebenarnya sangat jelas kerana pelajar bukan bumiputera mempunyai kelebihan dari sudut pencapaian akademik kerana beberapa faktor. Antaranya kerana kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik yang membolehkan pelajar bukan bumiputera mendapatkan pendidikan tambahan di luar sesi persekolahan.

Malah, ada yang mampu mengupah guru persendirian khusus untuk mengajar anak-anak mereka secara peribadi. Sudah semestinya, keputusan peperiksaan mereka jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar bumiputera yang rata-ratanya hanya bergantung kepada pendidikan asas di sekolah biasa.

Ketidakadilan itu lebih dirasai oleh pelajar-pelajar di luar bandar yang mana akses mereka kepada pendidikan tambahan lebih terhad. Belum pun satu dekad prinsip meritokrasi itu dilaksanakan, jurang antara pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang layak ke IPTA sudah kelihatan begitu besar.

Tidak mustahil, tiada lagi pelajar bumiputera yang layak ke IPTA berasaskan sistem merit sekiranya dasar ini dikekalkan untuk satu jangka masa panjang. Kerana itu adalah wajar bagi kerajaan mengkaji semula dasar ini dengan mengambil kira survival pendidikan tinggi bumiputera.

Perkara ini bukan tidak disedari oleh pihak kerajaan kerana khabarnya, kerajaan terpaksa menambah bilangan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengimbangi jumlah pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPTA.

Ini kerana UiTM ketika ini merupakan satu-satunya universiti khusus milik bumiputera dan tidak mengamalkan sistem merit sepenuhnya dalam pengambilan pelajar. Akan tiba masanya, UiTM juga tidak lagi mampu menampung lebihan pelajar berkenaan dan ketika itu, ke mana pelajar-pelajar bumiputera akan ditempatkan?

Soal menjamin pendidikan kepada bumiputera adalah sesuatu yang jelas dalam Perlembagaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan. Tidak perlu ada rasa bersalah dalam memastikan bumiputera mendapat kelebihan kepada akses pendidikan yang sempurna termasuk di peringkat pengajian tinggi kerana itu merupakan hak mereka.

Sementelah, kaum bumiputera juga berdepan dengan persekitaran yang tidak adil untuk diajak bersaing secara terbuka menerusi pelaksanaan prinsip meritokrasi. Ini kerana mereka tidak berkemampuan untuk ke sektor pengajian swasta seperti kaum lain sekiranya gagal ke IPTA kerana kos pengajian yang terlalu tinggi.

Kaum bukan bumiputera pula seharusnya sedar bahawa sistem kuota yang dilaksanakan sebelum ini tidak sedikit pun menafikan hak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Dengan komposisi kemasukan pelajar mengikut kaum yang terlalu kecil, kuota 45 peratus yang disediakan kepada bukan bumiputera ke IPTA masih meninggalkan baki yang tidak dipenuhkan.

Selain itu, mereka juga disediakan beberapa buah universiti khusus untuk kaum tertentu yang dananya disalurkan oleh kerajaan. Sebagai contoh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Terbuka Wawasan, Kolej New Era dan beberapa universiti lain. Begitu juga dengan lambakan universiti dan kolej universiti swasta yang majoriti pelajarnya terdiri daripada bukan bumiputera.

Dalam erti kata yang lain, kaum bukan bumiputera sebenarnya tidak mempunyai banyak masalah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi di negara ini meskipun ketika amalan kuota diguna pakai.

Malah jika faktor itu juga diambil kira, kita akan menyedari bahawa kaum bumiputera sebenarnya berdepan dengan peluang yang sangat terhad untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, bukan hanya kekuasaan ekonomi yang akan terlepas daripada tangan kaum bumiputera. Malah kita juga akan kekurangan kumpulan cerdik pandai yang akan menguruskan negara pada masa depan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 18 Julai 2010

FLOTILA KEAMANAN

Bila lanun-lanun menjarah
kita kutuk dan kecam kebiadapan mereka
bila flotila diserang di perairan antarabangsa
demi bantuan kemanusiaan di Gaza
adikuasa dan sekutu berkelu kata
atau bersuara sekadar kakak tua
sesungguhnya sang lanun mempertahankan
hak
untuk menyerang, membunuh, bertindak,
sebebas-bebas, sewenang-wenang,
kerana kekuatan itulah kebenaran.

Penjarah itu tetap serakah
licik memutarbelitkan fakta
tapi kemanusiaan itu lebih besar
meski berdepankan orang pilihan
kolek pun akan terus belayar
menempuh raksasanya pengganasan, kecanggihan,
kerana manusia bukan haiwan,
perlu dikepung, dikandang,
keperluan asas, mainan. simen, ubat-ubatan,
bukan senjata
memusnahkan kehidupan
dan suara nurani ini tetap tanpa sempadan
melepasi negara, ideologi, agama, keturunan,
kerana tiada yang lebih bermakna
mendepani keangkuhan bermaharajalela
kecuali kebenaran
persefahaman
kasih sayang
dan bantuan sesama insan.

RASIAH HALIL
New Upper Changi Road

Sumber : http : //www.bharian.com.my/