Jumaat, 19 November 2010

FOKUS BAHASA MELAYU SPM 2010


BAHASA MELAYU KERTAS 1:

1. Pelancongan Domestik / Pelancongan Kesihatan


2. Perpaduan kaum di Malaysia


3. Isu alam sekitar di Malaysia- tanah runtuh, hakisan tanah, banjir kilat, penebangan hutan secara tidak terkawal


4. Isu kemelesetan ekonomi dunia - masalah pengangguran dan langkah mengatasi


5. Memulihara warisan bangsa - bangunan bersejarah, permainan tradisional


6. Kepentingan mempelajari bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan sebagainya - persaingan di pasaran pekerjaan.


7. Sistem pengangkutan - kelemahan pengangkutan awam, kemalangan jalan raya, kepentingan pengangkutan moden, keperluan lebuh raya.


8. Amalan membaca – kepentingan dan cara-cara menggalakkan


9. Kesan alat komunikasi - telefon bimbit, internet


10. Pemanasan global- kerjasama antarabangsa untuk mengatasi masalah tersebut.

11. Kepentingan amalan menabung / pelaburan untuk masa depan

12. Program Penghayatan Sastera - Faedah

13. Aktiviti kokurikulum di sekolah - kepentingan dan langkah

14. Isu warga tua / OKU

15. Program Motivasi / Kaunseling di sekolah – kepentingan / faedah

16. Menulis Cerpen berdasarkan peribahasa

BAHASA MELAYU KERTAS 2 :

TEKS KOMSAS ( ANTOLOGI ANAK LAUT DAN KERUSI)

Cerpen (2b)
1. Lambaian Malar Hijau (Anak Laut)
2. Annyys Sophillea (Anak Laut)

Drama (2b)
1. Jangan Bunuh Rama-Rama (Kerusi)

2. Serunai Malam ( Anak Laut)


Prosa Klasik (2c)
1. Cerita Bayan… (Anak Laut)
2. Pertarungan Tuah Dengan Jebat (Anak Laut)
3. Sabor (Kerusi)


Sajak (2d)
1. Jalan- Jalan Raya Kotaku (Anak Laut)
2. Derita Pertama (Anak Laut)
3. Duhai Pentafsir (Kerusi)
4. Di Ruang Gemanya (Kerusi)


Puisi Tradisional (2d)
1. Seloka Pak Kaduk (Anak Laut)
2. Syair Kelebihan Ilmu (Kerusi)
3. Pantun Enam Kerat (Kerusi)

KAJIAN NOVEL:

1. Teknik plot

2. Perbandingan peranan watak sampingan

3. Faedah mengkaji novel

4. Kaitan antara tajuk novel dengan isi cerita

5. Perbandingan latar masa

6. Perbandingan tema novel

KESAN - KESAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI( ICT)


Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.


Kehadiran teknologi maklumat merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi maklumat. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dengan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di surat khabar menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Begitulah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.



Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak berasas dan berbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Sebagai penutup bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang.

Kosa kata:
1. seyogia – sepatutnya, selayaknya
2. input – sumber
3. menginjak – mengubah
4. kompetitif – bersaing
5. glokal – tempatan
6. berbaur – bercampur
7. anarki – porak-peranda
8. wahana – saluran
9. kebejatan – keruntuhan

Sumber : http://anelyza.blogspot.com/

ISU BAHASA : Bangga orang Vietnam berbahasa Melayu



PENGALAMAN saya sewaktu berada di Vietnam baru-baru ini menambahkan kebanggaan saya terhadap bahasa kebangsaan kita. Apakan tidaknya, sewaktu berada di pasar atau di restoran halal, peniaga menyapa kita dengan menggunakan bahasa kebangsaan kita.

Sehinggakan kita menjadi ragu-ragu, adakah mereka ini orang Malaysia kerana raut wajah mereka juga boleh dikatakan raut wajah Melayu, Cina atau India Muslim. Nyatanya tidak. Mereka Vietnam jati tetapi berkebolehan bertutur dalam bahasa Melayu dengan begitu baik sekali.

"Marilah, kak. Nak cari apa?" adalah antara kata-kata yang telah diungkapkan oleh pekedai-pekedai sewaktu melihat rombongan kami menghampiri kedai-kedai mereka. Saya tersenyum dengan rasa bangga.

Apa yang lebih membanggakan sebenarnya mereka boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Alangkah bangganya apabila mendapati bahasa Melayu telah diguna pakai oleh bangsa lain, di negara lain.

"Saya belajar bahasa Melayu," kata salah seorang pekerja restoran yang kami singgah semasa menikmati makan tengah hari. Saya tersenyum. Mereka belajar bahasa Melayu. Belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik sekali.

Malangnya senario ini agak berbeza di negara kita sendiri. Ada antara warganegara kita ini yang tidak pandai berbahasa Melayu. Sedangkan mereka ini sepanjang hidupnya dihabiskan di negara ini. Mereka tidak tahu berbahasa kebangsaan.

Alangkah malunya.


Dr. Dahlia Dahnil

Bandar Baru Selayang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 18 November 2010

ISU BAHASA : Siapa perjuangkan bahasa Melayu?

SIAPA YANG BERTANGGUNGJAWAB UNTUK MEMBETULKAN KESALAHAN EJAAN BAHASA MELAYU SEPERTI INI?

Oleh Aznan Bakar
aznan.bakar@utusan.com.my

KETIKA berkunjung ke Fakulti Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University tidak lama dahulu seorang pelajarnya menyapa: “Encik, kalau encik mahu duduk, encik boleh duduk di dalam. Di dalam ada kerusi.”

Bahasa Melayu yang keluar dari mulut pelajar China tersebut begitu lancar dan fasih. Cara ayat dibina dan perkataan dipilih boleh dikatakan cukup sempurna.

Bahasa Melayu yang digunakan dalam Ayat itu juga lengkap. Tidak ada campur aduk dengan bahasa lain seperti mana yang sering dipertuturkan oleh rakyat negara ini terutama generasi muda.

Rasanya, di kalangan rakyat Malaysia sendiri yang bahasa Melayu bahasa kebangsaan rasanya tidak ada yang bertutur seperti itu.

Itu menunjukkan rakyat negara kita termasuk orang Melayu sendiri sudah tidak mampu bertutur menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Dalam setiap ayat yang dituturkan mesti terselit perkataan Inggeris. Jika tidak, orang tidak faham.

Sedar atau tidak bahawa kita tidak pernah cuba untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul kecuali dalam bentuk penulisan.

Penggunaan perkataan campur aduk dalam perbualan harian sudah menjadi amalan.

Seolah-olah tanpa perkataan Inggeris ayat Melayu yang kita tuturkan tidak lengkap dan tidak akan difahami orang.

Sedangkan daripada pertuturan para pelajar pengajian Melayu di universiti di Beijing itu membuktikan bahasa Melayu boleh berdiri dengan sendiri.

Malah karya-karya Melayu lama seperti Sejarah Melayu dan Misa Melayu telah membuktikan bahawa penulisnya tidak perlu bergantung kepada perkataan-perkataan Inggeris.

Malah, bahasa Melayu jugalah yang menjadi bahasa perhubungan oleh para pedagang asing yang berdagang di alam Melayu satu ketika dahulu.

Tetapi jika dilihat kepada perkembangan dan persekitaran hari ini, bahasa Melayu seolah-olah tidak mempunyai masa depan.

Bahasa yang pernah menjadi lingua franca pada zaman empayar Melaka itu kini kedudukannya semakin tergugat di bumi sendiri.

Slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang satu ketika dahulu sering meniti bibir rakyat negara ini juga nampaknya bakal berkubur.

Slogan itu menggambarkan betapa pentingnya peranan bahasa dalam membentuk identiti sesuatu bangsa.

Rasanya, bahasa yang dirujuk oleh slogan itu sudah tentu bahasa Melayu - bahasa yang diangkat sebagai bahasa rasmi negara. Seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Pada masa ini seolah-olah seperti terdapat penolakan terhadap bahasa kebangsaan itu. Ibu bapa kini lebih suka dan bangga jika anak-anak mereka berbahasa Inggeris.

Mereka akan berusaha untuk memastikan anak-anak bertutur dalam bahasa Inggeris dengan betul. Tetapi pada masa yang sama kita tidak kisah jika bahasa Melayunya tunggang-langgang dan salah daripada segi tata bahasa dan nahu.

Itu nasib yang menimpa bahasa Melayu pada hari ini.

Kewujudannya tidak begitu dihargai. Selain tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa Rasmi dan sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan, selebihnya ia tidak begitu dipedulikan.

Malah, semakin hari perkataan-perkataan asing semakin bertambah dalam kamus bahasa Melayu.

Bahasa-bahasa Melayu yang asal yang sedia ada kini diganti dengan perkataan dan istilah Inggeris terutamanya.

Sebab itu kesan kini diganti dengan impak (impact). Detik, ketika dan saat diganti dengan momen (moment). Sementara yuran atau bayaran di ganti dengan fi (fee).

Malah ‘simple’ kini telah diterima sebagai perkataan Melayu walaupun kita ada perkataan yang lebih tepat seperti mudah dan ringkas.

Ia sekadar hanya beberapa contoh banyak lagi yang kini gunakan secara berleluasa terutama oleh media.

Persoalan yang timbul di sini ialah, tidakkah ini semua akan menyebabkan perkataan-perkataan Melayu itu pupus?

Satu lagi persoalan ialah pada masa ini siapa yang memperjuangkan kewujudan bahasa Melayu ini?

Masing-masing seolah-olah redha bahasa Melayu sedikit demi sedikit ditelan bahasa asing.

Sedangkan di negara ini terdapat banyak dialek daerah yang boleh diangkat dan dimasukkan ke dalam kamus bagi memperkayakan bahasa Melayu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

53,674 duduki STPM

KUALA LUMPUR: Seramai 53,674 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 760 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 23 November hingga 16 Disember ini.

Daripada jumlah itu, 47,369 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,467 calon sekolah swasta, 4,593 calon persendirian individu, 235 calon sekolah kerajaan negeri dan 10 calon Sekolah Integriti.

Calon dinasihati pergi ke pusat peperiksaan terdekat dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat itu jika berlaku bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh yang menyukarkan calon sampai ke pusat peperiksaan yang sepatutnya.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), dalam satu kenyataan hari ini, berkata bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh peperiksaan itu, MPM membuka Bilik Gerakan yang boleh dihubungi dengan menelefon 03-61302666/61303606/61352035/61352390/61352316.

Bilik Gerakan itu beroperasi dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang sepanjang Isnin hingga Jumaat dalam tempoh peperiksaan STPM berlangsung.

Sementara itu, MPM turut mengingatkan calon supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC1 dan LPKC2) sepanjang peperiksaan di samping menyemak nama pusat peperiksaan.

Bagi yang tidak menerima atau kehilangan LPKC1 atau LPKC2, calon boleh melayari laman web MPM di
http://www.mpm.edu.my untuk mencetak butir pendaftaran mereka dan menggunakannya sebagai tiket menduduki peperiksaan. - BERNAMA

Rabu, 17 November 2010

ISU SOSIAL : Pelajar ketagih bermain komputer

Oleh TAN SRI LEE LAM THYE

KANAK-KANAK dan remaja amat meminati penggunaan internet hingga muncul pula isu ketagihan kepada fantasi siber atau khayalan siber. Dengan wujud kemudahan internet ia memberi banyak faedah kepada kanak-kanak dan remaja menimba ilmu di samping berkomunikasi sesama mereka seperti di laman web sosial atau di ruang sembang.

Apabila para murid dan pelajar ditanya sebab menggemari permainan komputer, hampir semua menjawab itulah cara terbaik untuk mengatasi perasaan bosan dan tekanan. Ada juga yang berkata daripada terlibat dengan penagihan dadah, mereka lebih suka kepada ketagihan bermain komputer di kafe siber.

Ini adalah kenyataan pada hari ini, semakin ramai golongan muda menjadi ketagih kepada kafe siber. Tidak apa yang salah untuk bermain komputer pada waktu rehat tetapi perlu dilakukan dengan sikap yang bersederhana. .

Paling tidak diingini berlaku ialah apabila ketagihan untuk bermain komputer membawa kepada gejala perjudian dan inilah punca kepada banyak gejala buruk. Mesin perjudian atau elektronik mesti tidak dibenar digunakan oleh remaja.

Sungguhpun kita tidak menentang kewujudan kafe siber, peraturan-peraturan berkaitan dengan pengawalannya, terutamanya ke atas lokasi operasi kafe siber dan penguatkuasaan mesti diperketatkan dalam memastikan gejala sosial dapat dielakkan.

Pernah berlaku kes murid dalam pakaian seragam sekolah berada dalam kafe siber. Ini adalah melanggar peraturan secara terang-terangan dan pengusaha berkenaan jelas tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

Kemunculan kafe siber seperti cendawan tumbuh selepas hujan di seluruh negara dan pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan lesen kepada pengusaha-pengusaha tidak berupaya memantau implikasi sosial yang timbul daripada operasi kafe sifer.

Untuk berharap supaya pengusaha kafe siber lebih beretika dan mematuhi undang-undang bagi mencegah mereka yang berumur 18 tahun daripada menjadi pengunjung kafe siber adalah agak mustahil, apabila mengambil kira kepentingan perniagaan dan keuntungan mereka.

Semua pihak berkuasa tempatan harus memastikan pengusaha-pengusaha kafe siber mematuhi syarat-syarat pelesenan seperti beroperasi dalam tempoh masa yang sewajarnya dan tidak membenarkan masuk mereka yang di bawah umur.

Kafe siber tidak seharusnya berada di lokasi yang berdekatan dengan sekolah dan institusi pendidikan.

Sementara kita menyambut baik era atau zaman teknologi maklumat, kita mesti juga memastikan bahawa generasi muda sentiasa dilindungi daripada sebarang pengaruh negatif yang dibawa oleh teknologi maklumat ini.

Ketika kita perlu melahirkan pekerja-pekerja yang bijak berkemahiran dengan komputer dalam zaman IT ini, ia perlu dijayakan tanpa mengorbankan atau mengetepikan kehendak-kehendak kepentingan nilai-nilai moral dan mulia.

Dengan kemunculan maklumat tanpa sempadan, penekanan perlu diberi bagi meningkatkan nilai-nilai moral dalam pendidikan supaya mencegah daripada berlakunya kejadian jenayah komputer.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Tapak pelupusan sampah perangkap maut

Oleh Syed Azwan Syed Ali

Pengurusan tidak menepati piawaian ancam nyawa penduduk sekitar, alam semulajadi


KETIKA ini lebih 90 peratus daripada 176 tapak pelupusan sampah yang beroperasi secara pembuangan terbuka di negara ini dalam kedudukan kritikal, dengan kebanyakannya mempunyai jangka hayat tidak melebihi lima tahun, sebelum terpaksa ditutup.

Tapak pelupusan sampah, yang memerlukan kos pemulihan tinggi mencecah berbilion ringgit, juga membahayakan nyawa ribuan penduduk sekitarnya, selain membawa kesan negatif kepada alam sekitar dalam jangka masa panjang.

Tapak pelupusan sampah terbuka menjejaskan kehidupan manusia melalui risiko penyakit bawaan haiwan seperti tikus, selain penyakit lebih serius jika terdedah secara terus kepada bahan toksik di tapak pelupusan.

Kajian Eurohazcon pada Ogos 1998 di 21 tapak pelupusan berisiko tinggi di lima negara termasuk di United Kingdom, mendapati berlaku kesan sampingan kepada kandungan ibu mengandung yang tinggal dalam jarak tujuh kilometer dari kawasan tapak pelupusan itu.

Tapak pelupusan sisa terbuka juga menyebabkan pencemaran alam sekitar menerusi peresapan air larut resapan (leachate) ke sumber air bawah tanah dan pembebasan gas metana (CH4) yang menyebabkan pemanasan global, selain menurunkan nilai hartanah di sekitarnya.

Tidak kurang juga mendatangkan risiko. Insiden terkini ialah runtuhan benteng tapak pelupusan sampah Sungai Kembong, September lalu, yang nyaris menjejaskan bekalan air bersih kepada 1.2 juta penduduk di sekitarnya berikutan sisa buangan mencemarkan Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih.

Keadaan diburukkan apabila daripada 176 tapak pelupusan aktif itu, hanya 16 tapak pelupusan atau kurang 10 peratus tapak pelupusan sanitari mesra alam yang selamat. Itupun dengan mengambil kira sembilan tapak pelupusan sanitari baru yang akan dibina dan dijangka beroperasi pada 2012.

Pakar pengurusan sisa pepejal tempatan merumuskan pengurusan tapak pelupusan sampah negara adalah kritikal untuk jangka panjang jika kerajaan gagal mengambil tindakan segera, termasuk menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang tertangguh sejak tiga tahun lalu.

Akta itu, jika dikuatkuasakan, akan membolehkan pengurusan sisa pepejal yang kini kurang berkesan di bawah selenggaraan pihak berkuasa tempatan (PBT) diambil alih kerajaan Persekutuan menerusi jabatan dan perbadanan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Pakar pengurusan sisa pepejal Universiti Malaya, Prof Dr P Agumuthu, berkata tahap pengurusan sisa di negara ini ‘amat membimbangkan’ kerana negara mempunyai lebih 100 tapak pelupusan terbuka aktif, tidak termasuk 114 tapak pelupusan ditutup.

“Keadaan ini sebenarnya serius. Ini kerana lebih 200 tapak pelupusan sampah terbuka (aktif dan ditutup) membebaskan gas metana secara pasif melalui proses pereputan sampah di tapak pelupusan dalam tempoh tertentu.

“Gas metana menyebabkan 25 kali risiko pemanasan global berbanding karbon dioksida (CO2),” katanya.

Statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) menunjukkan 114 tapak pelupusan diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan 62 tapak pelupusan sampah diuruskan syarikat konsesi dilantik PBT antaranya, Alam Flora dan South Waste Management Sdn Bhd.

Walaupun sebilangan tapak pelupusan itu ditingkatkan tahapnya secara berperingkat, majoriti daripadanya masih beroperasi secara pembuangan terbuka dan menunggu masa untuk ditutup sekali gus menimbulkan konflik mencari lokasi tapak pelupusan baru.

Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Hassan Basri, berkata pengurusan tapak pelupusan sampah di negara ini kritikal untuk jangka panjang tetapi ramai tidak menyedari mengenainya.

“Impak negatif yang dibawa adalah dalam jangka panjang. Misalnya pencemaran sumber air oleh leachate hanya akan dirasai penduduk sekitar untuk tempoh berpuluh-puluh tahun selepas itu. Begitu juga risiko penyakit dan bau,” katanya.

Tinjauan penulis ke Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar sebelum ini mendapati tapak pelupusan itu, antara lain, mempunyai tapak lapisan dasar daripada plastik berkualiti tinggi yang menghalang leachate daripada meresap ke sumber air bawah tanah.

Tapak pelupusan membabitkan kos pembinaan RM120 juta dengan kapasiti melupuskan 3,500 tan sampah sehari itu juga mempunyai sistem pengumpulan dan peredaran leachate, kolam rawatan cecair bertoksik itu selain mempunyai sistem paip menyedut gas metana dihasilkan untuk dijana sebagai sumber tenaga elektrik.

Sistem paip gas itu bagi mengelakkan berlaku kebakaran seperti insiden kebakaran sampah setinggi 300 kaki di tapak pelupusan haram di Kampung Sungai Kertas, Gombak, September tahun lalu dipercayai berkaitan dengan pembebasan pasif metana.

Tapak pelupusan sanitari kurang berbau kerana mempunyai penutup harian daripada tanah liat atau plastik yang digunakan menutup sampah dilupuskan untuk mengelakkan risiko bau dan haiwan seperti lalat, tikus dan gagak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/