Isnin, 13 Disember 2010

ISU PENDIDIKAN : Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar

MASALAH beban tugas guru bukanlah perkara baru, namun ia kembali hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bebanan tugas yang berlebihan dikatakan bukan saja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengahnya hidup tertekan. Selain terbabit dengan kegiatan kokurikulum serta mengikuti pelbagai jenis kursus, guru juga terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Semua itu, membantutkan usaha golongan pendidik ini untuk memberikan sepenuh komitmen kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menyedari hakikat itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengarahkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan pertengahan tahun ini bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan. Satu makmal khas turut diwujudkan dengan menjemput guru dan pengetua untuk mengatasi masalah itu, selain pergi ke sekolah untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas daripada pihak guru sendiri. Laporan akhir Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 itu yang didedahkan kepada umum kelmarin, mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada meningkatnya beban tugas guru. Antaranya termasuk penyertaan guru dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Selain itu, jawatankuasa itu turut mengemuka serta memperakukan 28 cadangan kepada Kementerian Pelajaran. Antaranya untuk menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.

Justeru, apabila cadangan laporan itu dilaksanakan kelak, kita harap ia mampu menangani masalah beban tugas berlebihan yang dihadapi guru di setiap sekolah seluruh negara. Kita percaya Kementerian Pelajaran sudah mengkaji secara mendalam sebelum memutuskan untuk melaksanakan cadangan laporan itu agar tidak timbul masalah lain, termasuk dari segi kos operasi di sekolah kerana ia tentunya memerlukan peruntukan besar daripada kerajaan. Bagi memastikan pelajar mendapat manfaat dan meningkatkan kualiti pencapaian mereka, Kementerian Pelajaran harus melaksanakan cadangan laporan itu dengan bijaksana, teliti dan berkesan. Pembahagian tugas antara guru kelas dan guru pembantu perlu dilaksanakan dengan bijak agar tidak berlaku pertindihan. Dengan berkurangnya beban kerja, kita harap setiap guru dapat memberi komitmen serta tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar di dalam kelas bagi meningkatkan prestasi pelajar. Kita tidak mahu ada lagi segelintir guru mengambil kesempatan menjadikan alasan bebanan tugas untuk tidak melaksanakan tugas hakiki mereka dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Guru adalah kerjaya yang sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan kerana peranannya cukup penting dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan cemerlang untuk membangunkan negara. Sebab itulah kerajaan tidak pernah mengabai kebajikan guru dan setiap masalah yang timbul sentiasa mendapat perhatian untuk ditangani segera. Oleh itu, dalam keadaan tertentu, guru juga perlu membuktikan keikhlasan serta sikap sedia berkorban tanpa mengharapkan imbuhan semata-mata. Kita percaya sebahagian besar guru di negara ini komited dengan tugas mereka dan sanggup mengharungi cabaran bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna dan cemerlang dalam pelajaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PELARIAN : 'Kehidupan Semula' Untuk Kanak-Kanak Pelarian

Sebahagian kanak-kanak pelarian Myanmar yang mendapat kemudahan pendidikan di Malaysia.

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PERSEKITARAN sunyi sepi deretan bangunan kedai empat tingkat terbengkalai yang dipenuhi rumput lalang begitu menyeramkan.

Pasti ramai beranggapan lokasi yang jauh daripada kawasan perumahan itu sekadar menjadi markas penagih dadah atau kongsi gelap.

Namun rasa hiba menyelubungi diri penulis tatkala melihat sebilangan kanak-kanak kecil berbaris menuruni tangga dari aras satu di salah sebuah unit blok bangunan itu.

"Itulah kanak-kanak pelarian Myanmar yang sedang menunggu waktu rehat," kata Henry Martinus kepada penulis yang tergamam melihat keadaan itu.

Masakan tidak, walaupun dalam keadaan serba daif yang mungkin tidak pernah difikirkan manusia bahawa kawasan itu sebenarnya dibangunkan sebagai sekolah.

Hakikatnya, itulah senario yang dihadapi Henry, seorang rakyat tempatan yang menjadi sukarelawan demi memperjuangkan nasib kanak-kanak pelarian di negara ini.

Dia mengasaskan sekolah Joy Bausum yang dahulunya dikenali sebagai Agape Home School sejak tahun 2007 bagi memberi peluang pendidikan kepada golongan itu.

Sekolah berkenaan mempunyai empat kelas yang menghimpunkan seramai 75 pelajar berusia dari lima sehingga 17 tahun.

Pada masa ini, seramai lima guru secara sukarela mengajar kanak-kanak pelarian itu bagi subjek Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Seni dan Muzik.

Henry berkata, sebilangan kanak-kanak itu tidak pernah pergi ke sekolah dan antaranya sudah lama meninggalkan alam persekolahan selama beberapa tahun.

"Idea membuka sekolah ini bertujuan memberi kesedaran mengenai betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan manusia, ibarat kehidupan semula selepas merasai keperitan dan kesengsaraan ekoran kemelut yang berlaku di negara asal.

"Keadaan ini sebenarnya mematangkan diri malah sebagai persediaan untuk mereka menyesuaikan kehidupan baru apabila dihantar ke negara ketiga," katanya.Riak wajah tenang Henry bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan kesedihannya kerana tidak mampu menyediakan kemudahan lengkap untuk kanak-kanak yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

Itulah cabaran yang terpaksa dihadapi dengan sumber kewangan terhad yang mengharapkan ihsan sumbangan daripada gereja dan individu perseorangan.

"Namun kanak-kanak ini tidak pernah merungut malah lebih ceria kerana menerusi pendidikan itu mereka dapat merasai kehidupan seperti orang lain.

"Mereka tidak minta kemewahan. Apa yang mereka mahu adalah kehidupan dan itu yang mereka peroleh apabila belajar di sekolah," katanya.

Sementara itu, di sekolah lain di Kuala Lumpur, Khampi seorang warga Myanmar cekal membantu anak-anak senegaranya mendapatkan peluang pendidikan.

Dia yang tiba di Malaysia empat tahun lalu merupakan antara tulang belakang di Pusat Pendidikan Zomi (ZEC) untuk kanak-kanak pelarian Myanmar bagi etnik Zomi.

Bermula hanya satu cawangan dengan seramai 30 kanak-kanak pada November 2007, ZEC kini mempunyai lebih 300 pelajar di enam cawangan.

Memulakan sesi pembelajaran dari pukul 10 pagi hingga 3 petang itu, masing-masing beroperasi sekitar Kuala Lumpur, Cheras, Klang dan Kajang.

Khampi berkata, sekolah itu memberikan pengalaman sebenar kepada kanak-kanak pelarian itu bagi membina masa depan lebih baik.

"Pendidikan membantu kanak-kanak ini membangunkan negara mereka bagi mengembalikan harapan selepas melalui kemelut sebelum ini.

"Ia juga sebagai usaha memupuk kesedaran agar mereka lebih memahami tentang dunia luar termasuk penerimaan komuniti pelarian di negara ini," katanya.

ZEC mengenakan yuran sebanyak RM25 sebulan turut menyediakan kemudahan asrama bagi pelajar yang tinggal berjauhan dengan sekolah.

Pusat pendidikan itu turut menerima sumbangan kewangan serta keperluan daripada individu, gereja dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bukan mudah untuk mengawal selia kanak-kanak pelarian di bawah satu bumbung, kata Khampi yang turut dibantu oleh sukarelawan Myanmar dan Malaysia.

Cabaran besar baginya apabila kanak-kanak itu tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Senario itu paling dibimbangi Khampi serta ibu bapa kanak-kanak terbabit namun pada masa sama tidak menafikan pendidikan amat penting dalam kehidupan.

"ZEC adalah sekolah komuniti yang membuka minda kanak-kanak pelarian ini agar mereka berasa lebih dihargai seolah-olah diterima oleh masyarakat tempatan.

"Sekolah ini adalah peluang untuk mereka membuka hari baru dalam kehidupan mereka yang lebih baik maka berikanlah ruang yang lebih untuk itu," katanya.

Sumber : http://mstar.com.my/

ISU PELARIAN : 91,000 Pelarian Berada di Malaysia

Kanak-kanak pelarian diberi waktu rehat secukupnya.

Oleh : IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

LEBIH 91,000 pelarian kini berada di Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Daripada jumlah itu, seramai 19,000 pelarian kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah tetapi jika diperhalusi kepada usia persekolahan, jumlahnya 13,900 orang.

Bagaimanapun Wakil UNHCR di Malaysia, Alan Vernon berkata, hanya 5,100 pelarian atau 30 peratus yang belajar di sekolah manakala 70 peratus lagi tidak bersekolah.

"Jumlah tidak bersekolah begitu besar maka beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) prihatin terhadap perkara ini dengan memberi peluang pendidikan kepada komuniti itu.

"Namun apa yang lebih membimbangkan kerana tidak banyak kemudahan pendidikan untuk golongan muda berumur 12 tahun ke atas," katanya kepada Mingguan mStar.

Alan berkata, kanak-kanak pelarian tidak bermasalah, namun sekiranya mereka tidak diberikan pendidikan pada usia muda maka akan memberi masalah kemudian hari.

"Mereka hanya menetap sementara di Malaysia dan akan diserahkan ke negara ketiga atau dihantar pulang ke negara asal masing masing.

"Pendidikan awal membantu memberi persediaan kepada mereka apabila berada di negara terbabit serta memberi sumbangan kepada masyarakat," katanya.

Sehubungan itu katanya, masih banyak perkara perlu diperbaiki melibatkan tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran dan paling penting adalah sumber kewangan. Walaupun masyarakat menyedari tentang kepentingan pendidikan namun tidak dinafikan segelintir ibu bapa pelarian enggan menghantar anak mereka ke sekolah.

Mereka bimbang anak-anak berkemungkinan ditahan oleh pihak berkuasa berikutan pelarian masih dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Maka tidak hairanlah banyak sekolah untuk pelarian beroperasi di rumah berbanding membangunkan kemudahan pendidikan lebih terancang," kata Alan.

Beliau berkata, kanak-kanak pelarian mempelajari bahasa tetapi apa yang penting sebagai permulaan dalam kehidupan mereka adalah kebolehan membaca dan menulis.

Sehubungan itu, UNHCR berharap agar lebih banyak penyertaan masyarakat tempatan memberikan sumbangan sama ada sukarelawan atau keperluan pendidikan.

Alan berkata, pada masa sama, UNHCR berusaha mencari jalan untuk bekerjasama rapat dengan NGO dan kerajaan bagi memperbaiki kualiti dan peluang pendidikan.

"Diharapkan dengan kesedaran dan keprihatinan semua pihak, ia dapat meningkatkan bilangan kanak-kanak pelarian yang belajar di sekolah.

"Kami perlu berusaha untuk mencapai matlamat itu kerana sudah ada perkembangan mengenainya namun perlu diperkasakan lagi untuk ke arah lebih baik," katanya.

Setakat ini, terdapat 67 sekolah komuniti untuk pelarian di seluruh negara di mana sebahagian besarnya diuruskan oleh sukarelawan pelarian sendiri.

UNHCR memberi sokongan kepada program pendidikan seperti latihan perguruan, peruntukan buku teks, geran sekolah, sumbangan dana dan khidmat sukarelawan.

Terdapat 322 sukarelawan berdaftar dengan UNHCR dan daripada jumlah itu seramai 163 orang ditempatkan di 40 sekolah komuniti untuk mengajar beberapa subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Sumber : http://mstar.com.my/

Ahad, 12 Disember 2010

ISU EKONOMI : Hadkan kenaikan harga barang daripada dimanipulasi peniaga

ANTARA perkara yang paling dekat dengan rakyat ialah mengenai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Memang benar, banyak faktor yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat dan ada antaranya di luar kawalan sesiapa sahaja.

Sebagai contoh, harga minyak mentah setong kini berada pada tahap tertinggi sejak dua tahun lepas, iaitu sebanyak AS$91.4. Kenaikan harga minyak ini menyebabkan, baru-baru ini, harga minyak tempatan diselaraskan.

Namun, setiap kali harga minyak diselaraskan, sering kali pihak-pihak berkenaan mengulang tayang hujah yang sama bahawa harga minyak di Malaysia lebih murah berbanding negara-negara lain. Hujah ini sebenarnya tidak memberi jawapan tepat kepada rakyat, yang sentiasa risau setiap kali harga minyak dan barangan keperluan dan perkhidmatan seperti gula dan elektrik dinaikkan.

Kerisauan rakyat kena pada tempatnya kerana kesan kenaikan harga minyak dan gula memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan yang lain. Kesan rantaian kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sepatutnya menjadi fokus kerajaan apabila memberi jawapan kepada rakyat.

Pertama, slogan pembeli sebagai raja jarang sekali terpakai di negara kita. Selalunya, peniaga adalah segala-galanya sehingga kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dilakukan secara sesuka hati. Secara tidak langsung membebankan rakyat.

Justeru, apabila kerajaan mengumumkan bahawa Majlis Penasihat Harga Barang bakal ditubuhkan apabila Akta Anti Pencatuan 2010 mula dikuatkuasakan pada April tahun depan, ia sedikit sebanyak boleh memberi kelegaan kepada rakyat. Sekurang-kurangnya, majlis ini boleh bertindak memantau peniaga yang "cekik darah".

Adalah lebih baik, jika majlis ini juga diberi kuasa memantau kenaikan harga perkhidmatan dan bukan sekadar memantau kenaikan harga barang. Paling penting, mekanisme bagaimanakah untuk mengehadkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan?

Pengalaman rakyat, setiap kali kenaikan harga minyak dan gula, harga barangan dan perkhidmatan yang lain akan naik melebihi kenaikan harga dua bahan itu. Sepatutnya, kenaikan harga tersebut tidak melebihi kenaikan harga minyak dan gula.

Ambil contoh, harga gula dinaikkan sebanyak dua puluh sen sekilogram, berkemungkinan harga susu pekat juga mengalami kenaikan (katakan dua puluh sen setin), maka, harga teh tarik (minuman kegemaran rakyat Malaysia) juga akan turut naik sebanyak sepuluh sen bagi setiap cawan. Harga ini bolehlah dikategorikan sebagai melampau kerana sepatutnya kenaikan harga teh tarik berdasarkan harga purata kenaikan susu pekat bagi menghasilkan bilangan cawan sebenar teh tarik (katakan 20 cawan teh tarik).

Ini bermakna, kenaikan tertinggi secawan teh tarik hanyalah sekadar satu sen sahaja. Bayangkan dengan harga asal teh tarik pun peniaga boleh mengaut keuntungan, inikan pula dengan kenaikan sepuluh sen secawan. Masalahnya di sini, syiling satu sen sudah tidak terpakai di Malaysia. Seolah-olah syiling satu sen sudah tidak laku digunakan.

Sebenarnya, kita sendiri yang memberi nilai ke atas wang tersebut, kalau kita katakan ia tidak bernilai, maka tidak bernilailah ia. Tidak salah, jika syiling satu sen digunakan kembali demi kebaikan rakyat.

Berbalik kepada contoh di atas, kalau di Kedah, harga sebenar teh tarik (selepas kenaikan harga gula sebanyak dua puluh sen) sepatutnya hanyalah sebanyak RM1.01 (harga asal RM1) dan bukannya RM1.10 secawan.

Ini baru bab teh tarik, belum lagi bab makanan yang lain seperti kuih muih. Selain berdasarkan pengiraan di atas (wajar juga digunakan ke atas pengeluar dan pemborang barang serta peniaga besar), harga kenaikan barangan dan perkhidmatan mestilah berpaksikan kadar kenaikan purata gaji rakyat Malaysia setahun terutamanya bagi yang bergaji rendah. Barulah, rakyat tidak begitu merasa bebannya.

Begitu juga, jika ada penurunan harga minyak, umpamanya, harga barangan dan perkhidmatan juga sewajarnya diturunkan. Sekali lagi, Majlis Penasihat Harga Barang diberi peranan untuk menentukan harga terkini barangan dan perkhidmatan selepas harga minyak diturunkan.

Selepas margin keuntungan ditentukan, harga terkini barang dan perkhidmatan diumumkan kepada rakyat melalui media massa dan laman sesawang. Satu jadual pengiraan keuntungan seharusnya dibangunkan.

Mungkin perkara ini memerlukan kerja yang banyak pada awalnya, namun, percayalah, ia bertepatan dengan gagasan mendahulukan rakyat. Dengan cara ini, rakyat akan lebih berpuas hati dan tidak menjadi mangsa manipulasi peniaga yang tamak lagi haloba. Perlu diingat, zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu. Apa yang rakyat mahukan penjelasan yang jitu dan bukannya sekadar memberi jawapan yang sama setiap kali harga minyak dan gula dinaikkan.

Rohami Shafie

Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Masalah kutipan sampah tonjol kelemahan pengurusan sisa pepejal

Oleh : Syed Azwan Syed Ali

LEBIH 10 tahun lalu, rakyat di negara ini menghasilkan kira-kira 15,000 tan sampah sehari dan jumlah itu jika dikumpulkan selama 10 hari mampu menjadi satu lagi Menara Berkembar Petronas.

Menjelang 2020, jumlah sampah dijana, dijangka mencecah 30,000 tan sehari ekoran peningkatan jumlah penduduk yang kini melebihi 28 juta orang.

Perkembangan itu pastinya memendekkan jangka hayat 176 tapak pelupusan sampah beroperasi di negara ini dan keadaan diburukkan lagi jika tahap kitar semula di kalangan rakyat masih di takuk lama, sekitar lima peratus.

Kepesatan ekonomi menyebabkan persaingan guna tanah semakin sengit walhal lebih 90 peratus daripada tapak pelupusan sedia ada adalah kawasan pembuangan sampah terbuka dengan jangka hayat maksimum lima tahun.

Bermakna, menjelang 2015, pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal berdepan dengan masalah mencari tapak membina kawasan pelupusan baru untuk ‘menguruskan’ sampah yang semakin banyak dihasilkan dari tahun ke tahun.

Persoalannya, adakah kita akan terus berkompromi dengan sistem sedia ada yang bergantung kepada mekanisme tapak pelupusan dan memerlukan tanah luas atau mengguna pakai sistem pengurusan sampah bersepadu seperti diamalkan di negara maju?

Bagi pakar pengurusan sisa pepejal Universiti Malaya, Prof Dr P Agumuthu, kerajaan tidak mempunyai pilihan kecuali menguatkuasakan segera Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang tertangguh sejak tiga tahun lalu.

Katanya, fakta hanya kurang 10 peratus daripada 176 tapak pelupusan sampah adalah tapak pelupusan sanitari yang mesra alam dan selamat, membuktikan keadaan tapak pelupusan sampah negara sebenarnya serius dan tenat untuk jangka panjang.

“Kita perlu penyelesaian jangka panjang lebih efektif. Akta 672 perlu dikuat kuasa secepat mungkin,” katanya kepada Berita Harian.

Saintis alam sekitar itu berkata, penguatkuasaan akta akan membolehkan kerajaan persekutuan mengambil alih pengurusan sisa pepejal negara yang kurang berkesan di bawah selenggaraan PBT.

Katanya, negara juga memerlukan sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu seperti diamalkan di negara maju seperti Jepun yang mempunyai lebih 2,000 insinerator dan tapak pelupusan untuk melupuskan sampah dihasilkan.

“Mungkin kita perlu menimbangkan menggunakan insinerator yang sesuai untuk membakar sampah, manakala tapak pelupusan hanya digunakan untuk melupuskan (sisa dibakar di insinerator) seperti di Jepun,” katanya.

Sebelum ini, beberapa insinerator berskala kecil dibina di beberapa pulau, tetapi gagal beroperasi dengan berkesan kerana gagal menampung jumlah sampah dijana selain tidak kos efektif.

Banyak pihak menyifatkan perkara itu berlaku ekoran kegagalan melakukan kajian terperinci mengenai komposisi sampah di negara ini yang mempunyai kandungan air tinggi (45 peratus sisa dihasilkan rakyat negara ini adalah sisa makanan) menyebabkan ia memerlukan tenaga tinggi untuk membakar sampah terbabit.

Sumber industri berkata, kelemahan pengurusan sisa pepejal negara ini dapat dilihat melalui masalah kutipan sampah dan isu pembuangan sampah haram yang sering dilaporkan media tempatan, sehinggakan ia menjadi masalah rutin di beberapa kawasan.

Masalah kutipan sampah, misalnya didakwa dikaitkan dengan kegagalan sebilangan PBT membayar kepada syarikat konsesi yang kemudiannya gagal membayar kepada kontraktor diupah mengikut jadual menyebabkan berlaku gangguan dalam rutin kutipan sampah di kawasan perumahan.

Ini menerangkan kenapa mutu perkhidmatan pengurusan sampah berbeza mengikut kawasan PBT kerana tidak diseragamkan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan hutang PBT kepada syarikat konsesi sejak 13 tahun lalu mencecah RM348.6 juta dan pihak terbabit diminta menjelaskan hutang tertunggak itu sebelum kerajaan pusat mengambil alih pengurusan sisa pepejal negara.

Tunggakan hutang itu bukan saja menjejaskan mutu perkhidmatan kepada pengguna malah menjejaskan usaha syarikat konsesi terbabit menaik taraf secara berperingkat tapak pelupusan sampah sedia ada bagi memanjangkan jangka hayatnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 10 Disember 2010

ISU BAHASA : Memartabatkan bahasa Melayu sebagai saluran penguasaan ilmu


Oleh Mohd Ayob Abd Razid

Pelaksanaan PPSMI dilihat gagal beri manfaat kepada pelajar, terutama di luar bandar

USAHA menggerakkan pelaksanaan program memperkasakan Bahasa Malaysia dan Inggeris pada semua peringkat sekolah seperti kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini adalah selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan mulai 2012 bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud mengembalikan kedudukan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Memperkasa bahasa Inggeris pula bermaksud usaha mempertingkat penguasaan bahasa itu melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan supaya pelajar benar-benar dapat menguasainya dengan baik.

Pengumuman pemansuhan PPSMI dan dasar MBMMBI dibuat selepas kerajaan mengkaji dan meneliti pelbagai aspek membabitkan keberkesanan pelaksanaan dasar itu. Kerajaan juga mengambil kira pelbagai pandangan cendekiawan serta pandangan umum mengenai pro dan kontra pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003.

Contoh, tokoh bahasa yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hassan Ahmad, menyatakan PPSMI boleh melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu ditumpukan dalam bahasa Melayu termasuk dalam bidang sains dan matematik.

Bahasa Melayu juga pernah digunakan dengan meluas di pusat pengajian tinggi sehinggakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi sebuah universiti yang sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dibuktikan UKM apabila melahirkan ramai siswazah dalam bidang perubatan dan pelbagai bidang lain. Golongan profesional yang dilahirkan oleh UKM dengan pengantar bahasa Melayu turut mahir berbahasa Inggeris.

Peranan DBP yang menterjemahkan banyak buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk menerbit pelbagai jenis kamus, peristilahan dan buku glosari dalam semua bidang pengajian berjaya mengangkat keupayaan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Menurut kajian Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI didapati menjarakkan lagi jurang pencapaian sains dan matematik antara pelajar bandar dan luar bandar. Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai bahasa Inggeris. Kebanyakan murid pula menunjukkan sikap pasif dan kurang ceria apabila kelas Sains dan Matematik berlangsung.

Majoriti murid, terutama di luar bandar takut bertanya soalan kerana tidak memahami pelajaran yang diajar. Hampir 50 peratus murid didapati tidak faham bahasa Inggeris. Kajian itu juga mendapati lebih 80 peratus murid Melayu sukar memahami pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Justeru, PPSMI dilihat gagal memberi manfaat kepada pelajar, khususnya di luar bandar.

Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, Kementerian Pelajaran perlu mengambil beberapa langkah secara teliti dan terancang. Misalnya, untuk menyediakan buku teks dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit memerlukan jangka masa tertentu. Ini termasuk melantik panel penulis, penyediaan isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya proses mencetak. Saya kira proses ini sudah pun berjalan kerana selepas berakhir 2011 nanti maka dasar baru itu akan dilaksanakan.

Kita juga perlu faham selain mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Melayu, pada masa sama kerajaan mahu memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Seperti disarankan pakar bahasa bahawa untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu perlu dipertingkatkan.

Oleh itu, kementerian perlu merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan berkesan. Justeru, kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat pembelajaran yang menyeronokkan.

Langkah kerajaan mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris dari luar negara adalah usaha mengatasi masalah kepakaran guru dalam bahasa Inggeris. Saya yakin ia langkah sementara sebelum negara dapat melahirkan lebih ramai guru yang mahir dan pakar dalam pengajaran bahasa Inggeris.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru berpencen yang diambil semula ini perlu memiliki kesihatan yang baik dan didedahkan dengan teknik pembelajaran bahasa Inggeris yang terkini.

Selain itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah serta Tingkatan Enam dan Matrikulasi, akan dapat memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakan sekolah sebagai makmal bahasa pula akan dapat memantapkan dasar MBMMBI. Justeru, sekolah yang belum mempunyai kemudahan komputer, perlulah kerajaan segera menyediakannya.

Kesimpulan, dasar MBMMBI mampu mengembalikan semula kedudukan bahasa Melayu dalam pendidikan negara. Pada masa sama, dapat memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 9 Disember 2010

Menyelami Maksud Bahasa Jiwa Bangsa

Asas keterampilan sesuatu bangsa dapat digambarkan melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada hari ini, banyak negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat negara Perancis, German, Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi masyarakat di seantero dunia.

Budi bahasa budaya kita, inilah antara ungkapan yang menggambarkan peri pentingnya kita sebagai penutur bahasa Melayu tanpa mengambil kira latar belakang bangsa di tanah air yang tercinta ini menjadi masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat yang beradab. Bahasa yang kita tuturkan berupaya menggambarkan sahsiah kita. Kesantunan berbahasa yang kita perjuangkan dalam kalangan masyarakat penuturnya telah mengangkat martabat masyarakat di negara kita sebagai masyarakat yang peramah, bersopan santun, berbudi pekerti mulia dan berbudi bahasa.

Kita dikagumi oleh masyarakat di seantero dunia kerana perpaduan jitu dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Tanpa melihat kepada perbezaan bangsa iaitu sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau dan lain-lain lagi, kita menggunakan bahasa yang satu, iaitu bahasa Melayu tanpa prejudis. Bahasa Melayu berupaya menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri terutamanya kita diberi jolokan oleh masyarakat dunia sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, ramah dan melayan tetamu dengan sopan. Pantun Melayu ada mengungkapkan yang berbunyi :

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dalam pergaulan terutamanya daripada aspek pertuturan. Gurindam Melayu juga ada mengingatkan kita akan peri pentingnya kita berswadaya mengekalkan kesantunan dalam berbahasa. Antara lainnya berbunyi:

Kalau cakap tidak cermat,
Kalau kelakuan tidak hormat,
Tentu hidup tidak selamat.

Hal yang demikian juga digambarkan melalui sebahagian daripada seni kata lagu Allaryarham Tan Sri P.Ramlee iaitu:

Tiada kata secantik bahasa,
Nak kucurahkan rasa,
Tiada gambar seindah lukisan,
Nak kutunjukkan perasaan.
Tiada bahasa secantik puisi,
Nak kucurahkan isi hati.

Oleh itu, gunakanlah bahasa yang santun, buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun, kaya dengan budi bahasa dan memiliki minda kelas pertama.

Sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/