Isnin, 20 Disember 2010

ISU PENDIDIKAN : Transformasi vokasional lahirkan ramai usahawan

TAHUKAH anda bahawa terdapat ramai di kalangan peniaga yang menjalankan perusahaan kecil seperti pembuatan roti, menghasilkan makanan ringan atau menternak ikan dan ratusan jenis perusahaan kecil lain yang boleh mendapat pendapatan bulanan bersih mencecah puluhan ribu ringgit? Atau dengan kata lain mereka boleh mendapat pendapatan bersih lebih daripada 'lima angka' sebulan.

Pengusaha atau peniaga kecil ini bergerak di pasar-pasar malam, bazar-bazar, pasar-pasar basah, bengkel-bengkel atau kedai-kedai biasa di seluruh negara.

Mereka ini sebenarnya bukanlah pengusaha yang besar. Memulakan perniagaan dengan modal yang kecil dan sebahagian besar daripada mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke menara gading. Tetapi mereka boleh berbangga kerana mendapat pendapatan yang lumayan, mengagumkan dan boleh digolongkan orang yang berpendapatan tinggi.

Siapakah mereka ini sebenarnya?

Mereka ini dikenali sebagai usahawan atau 'entrepreneur'. Mereka merupakan orang yang menjalankan perniagaan dan perusahaan. Apa yang menarik dalam masa yang sama, mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.

Kumpulan usahawan ini sangat penting kepada pembangunan negara. Ia selari dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai rakyat berpendapatan tinggi dan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Pendapatan kasar tahunan berjumlah RM23,700 pada masa kini akan ditingkatkan kepada RM48,000 pada 2020. Dalam masa yang sama akan diwujudkan 3.3 juta pekerjaan baru dan akan berusaha untuk menambah bilangan pekerja mahir daripada 23 peratus sekarang kepada 37 peratus.

Siapakah sebenarnya kumpulan usahawan ini?

Usahawan sering dikaitkan dengan mereka yang berani menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan walaupun mempunyai modal yang kecil. Mereka juga biasanya mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, suka menggunakan idea baru atau sekarang ini biasa dikatakan 'berfikir di luar kotak kebiasaan'. Mereka juga mempunyai sikap berani mencuba dan yang penting ialah sikap tidak takut gagal.

Ada yang berpendapat bahawa kebanyakan golongan usahawan ini dilahirkan daripada kalangan keluarga usahawan juga. Logiknya ialah sejak kecil mereka sudah terdedah dengan dunia perniagaan yang diusahakan oleh ibu bapa atau kaum keluarga.

Bagaimanapun tidak semestinya kewujudan golongan ini kerana faktor warisan semata-mata. Tetapi sebenarnya untuk menjadi usahawan ia boleh dipelajari. Andainya seseorang itu tidak mempunyai pengalaman dalam dunia keusahawanan, mereka masih boleh menerokai bidang itu dengan cara belajar iaitu berusaha mendapatkan pendidikan serta ilmu pengetahuan yang berkaitan dengannya.

Di negara kita pendedahan tentang ilmu keusahawanan boleh didapati melalui institusi pendidikan vokasional. Ketika ini terdapat sebanyak 88 buah sekolah vokasional di seluruh negara dan telah berjaya mengeluarkan puluhan ribu pelajar dan ramai di kalangan mereka yang menjadi usahawan berjaya.

Baru-baru ini Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tentang peluasan bidang vokasional dan kemahiran serta dijadikan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (NKRA).

Tambah beliau bilangan pelajar aliran vokasional yang berjumlah 87,188 pelajar atau kira-kira 10 peratus pada 2010 akan ditingkatkan kepada 196,000 pelajar atau 20 peratus menjelang 2015.

Menteri Pelajaran memberikan penekanan kepada aliran vokasional kerana ia berkaitan dengan keperluan negara melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan separuh mahir serta berusaha melahirkan ramai golongan usahawan.

Dalam lawatan beliau ke Perancis, Australia dan Indonesia baru-baru ini, didapati bilangan pelajar dalam aliran tersebut di negara-negara berkenaan ada yang melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

Mengapakah aliran vokasional menjadi bidang pendidikan yang penting pada masa kini?

Tidak dapat dinafikan bahawa soal mencari pekerjaan sering merupakan isu besar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang baru menamatkan pendidikan menengah.

Setiap tahun kira-kira seramai 500,000 orang pelajar mengambil peperiksaan SPM. Menurut beberapa kajian hanya kira-kira 30 peratus sahaja daripada kumpulan tersebut yang akan melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Sudah tentu selebihnya akan berusaha memasuki pasaran pekerjaan.

Dalam isu mencari pekerjaan ini sudah tentulah tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh perkhidmatan awam atau dengan kata lain makan gaji dengan kerajaan. Di samping itu, pihak swasta juga tidak mampu menyediakan pekerjaan dalam jumlah yang sebesar itu.

Cuba bayangkan dalam tempuh tiga tahun sahaja jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah atau yang menamatkan peperiksaan SPM boleh mencecah satu setengah juta orang.

Mungkin ada yang akan mencadangkan mengapa tidak anak-anak muda itu disarankan melakukan pekerjaan sendiri. Sesungguhnya saranan ini tidak adil kepada mereka kerana bagaiman mereka yang masih mentah dan tidak arif tentang selok-belok perniagaan atau sesuatu pekerjaan disuruh terus terjun ke bidang tersebut.

Mereka seharusnya dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman awal yang berkaitan dengan perniagaan atau bidang yang akan diceburi.

Dalam hal ini sekolah vokasional adalah jawapannya kerana ia boleh menyediakan bekalan awal dalam bentuk ilmu pengetahuan, kemahiran dan memberi sedikit pengalaman melalui latihan praktikal.

Peranan yang dimainkan oleh pendidikan vokasional untuk melahirkan ramai golongan usahawan akan dapat membantu negara dalam usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan. Bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama memberi peluang kepada orang lain untuk bekerja.

Dengan kata lain lebih ramai golongan usahawan dilahirkan, maka peluang pekerjaan akan bertambah.

PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran

tansrialimuddin@yahoo.com

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Penarikan 'Interlok' dibincang bersama Kementerian Pelajaran, DBP: Murugiah

KUALA LUMPUR: Penarikan buku teks sastera Tingkatan Lima bertajuk "Interlok" yang didakwa mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India, dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima banyak aduan mengenai beberapa perkataan sensitif dalam buku itu, dan selaku Pengerusi BPA, beliau berpendapat tindakan segera perlu diambil.
"Saya sebagai Timbalan Menteri, memanggil Kementerian Pelajaran, DBP, serta semua yang berkaitan hadir dan berbincang, dan kami telah membuat keputusan secara musyawarah.
"Saya tidak boleh memberi sebarang keputusan, cuma saya boleh mencadangkan tindakan yang boleh diambil, dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan itu adalah Kementerian Pelajaran," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini ketika mengulas surat pembaca yang tersiar di sebuah akhbar berhubung pengumumannya mengenai penarikan buku itu pada 15 Disember lalu.

Pembaca yang dikenali sebagai M. Hanafiah A. Samad dari Muar, Johor itu menyifatkan tindakan Murugiah sebagai melatah dan berpendapat pengumuman berkenaan sepatutnya dilakukan Kementerian Pelajaran.

Murugiah berkata isu penarikan buku berkenaan sudah disalah tafsir dan berharap ia tidak terus diperbesarkan kerana bimbang mencetuskan masalah.

"Orang salah tafsir benda ini, sebab itu saya mahu jelaskan. Dia bagi tahu dalam ini (surat pembaca), beliau menulis berdasarkan kajian sejarah dan pengalamannya, saya faham, tapi ini bukan buku sejarah, ini buku sastera.

"Apabila buku sastera, dia boleh tukar bahasa-bahasa tertentu, atas dasar itu kita mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan terpulang kepada mereka, kalau mahu kekalkanpun, boleh kekal, tapi mereka ambil cadangan BPA (untuk tarik balik)," katanya.

Buku "Interlok" karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka, telah dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima, sebelum ditarik balik pada 15 Disember lalu.

Ia didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap kaum Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis di beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan kaum India. - BERNAMA

Jumaat, 17 Disember 2010

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Guna kaedah tampal baiki masalah dalam novel Interlok

ABDULLAH HUSSAIN

BERITA disiarkan Berita Harian pada 16 Disember 2010 mengenai penarikan balik Novel Interlok hasil karya Abdullah Hussain, Sasterawan Negara amat mengejutkan. Berita ini mengejutkan guru, murid dan juga penerbit buku.

Setakat ini, semua sekolah di Zon Tengah, iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan sudah menerima buku itu dan siap sedia untuk diedarkan kepada murid.

Bagi guru pula, mereka sudah membacanya dan menyediakan bahan untuk diajarkan kepada murid bermula 3 Januari 2011.

Untuk mengeluarkan buku ini, panel penilai sudah mengikut segala prosedur ditetapkan. Kementerian Pelajaran membelanjakan berjuta untuk menerbit dan mengedarkan buku ini ke sekolah kerana buku ini diberikan percuma kepada murid di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

Persoalannya ialah mengapakah penarikan buku ini tidak dibuat Menteri Pelajaran? Saya berharap supaya berita dapat disahkan pihak bertanggungjawab, iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia.

Jika masalah itu benar-benar menyinggung perasaan kaum tertentu, tindakan yang perlu diambil ialah langkah pembaikan atau pembetulan. Caranya adalah dengan menggunakan kaedah tampal. Melalui kaedah tampal, penerbit akan membuat pembetulan halaman yang dikatakan bermasalah atau menimbulkan masalah. Kemudian, halaman yang berkenaan diedarkan ke sekolah.

Jika novel itu ditarik balik, kerajaan akan rugi berjuta ringgit, malah nama Sasterawan Negara kita akan dipandang rendah dan hina dalam kalangan masyarakat. Setelah saya membaca novel itu saya mendapati bahawa tiada perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti kaum tertentu.

Hal ini dikatakan demikian kerana novel ini adalah hasil kreativiti dan imaginasi pengarang berdasarkan fakta sejarah menggambarkan proses integrasi yang berlaku di negara kita zaman sebelum kemerdekaan.

ABDUL GHALIB YUNUS,
Munsyi Dewan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

NOVEL INTERLOK DITARIK BALIK?

Oleh Sharifah Salwa Syed Akil


KUALA LUMPUR: Buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia yang akan digunakan pelajar Tingkatan Lima sekolah menengah tahun depan bakal ditarik balik berikutan dakwaan kandungannya menyentuh sensitiviti kaum, selain mengkritik dan menghina orang Melayu serta India. Persetujuan menarik balik serta-merta buku teks bertajuk Interlok karya Abdullah Hussain itu dipersetujui Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Sairi Adenan dan Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman, selepas pertemuan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah semalam.

Intelok, novel komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia terbitan DBP itu sudah diedarkan kepada semua sekolah menengah baru-baru ini untuk diagihkan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaik sesi persekolahan dibuka awal bulan depan.

Buku teks berkenaan didapati mempunyai unsur penghinaan kepada orang Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta ada unsur menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan bagi kaum India. Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA), berkata pihaknya menerima aduan orang ramai dari seluruh negara yang meminta BPA mengambil tindakan sebelum orang ramai membuat tindakan drastik dengan membakar buku berkenaan di hadapan Kementerian Pelajaran. Katanya, isu itu didedahkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Tamil semalam selepas mendapat aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kandungan buku itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 13 Disember 2010

ISU PENDIDIKAN : Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar

MASALAH beban tugas guru bukanlah perkara baru, namun ia kembali hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bebanan tugas yang berlebihan dikatakan bukan saja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengahnya hidup tertekan. Selain terbabit dengan kegiatan kokurikulum serta mengikuti pelbagai jenis kursus, guru juga terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Semua itu, membantutkan usaha golongan pendidik ini untuk memberikan sepenuh komitmen kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menyedari hakikat itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengarahkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan pertengahan tahun ini bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan. Satu makmal khas turut diwujudkan dengan menjemput guru dan pengetua untuk mengatasi masalah itu, selain pergi ke sekolah untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas daripada pihak guru sendiri. Laporan akhir Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 itu yang didedahkan kepada umum kelmarin, mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada meningkatnya beban tugas guru. Antaranya termasuk penyertaan guru dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Selain itu, jawatankuasa itu turut mengemuka serta memperakukan 28 cadangan kepada Kementerian Pelajaran. Antaranya untuk menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.

Justeru, apabila cadangan laporan itu dilaksanakan kelak, kita harap ia mampu menangani masalah beban tugas berlebihan yang dihadapi guru di setiap sekolah seluruh negara. Kita percaya Kementerian Pelajaran sudah mengkaji secara mendalam sebelum memutuskan untuk melaksanakan cadangan laporan itu agar tidak timbul masalah lain, termasuk dari segi kos operasi di sekolah kerana ia tentunya memerlukan peruntukan besar daripada kerajaan. Bagi memastikan pelajar mendapat manfaat dan meningkatkan kualiti pencapaian mereka, Kementerian Pelajaran harus melaksanakan cadangan laporan itu dengan bijaksana, teliti dan berkesan. Pembahagian tugas antara guru kelas dan guru pembantu perlu dilaksanakan dengan bijak agar tidak berlaku pertindihan. Dengan berkurangnya beban kerja, kita harap setiap guru dapat memberi komitmen serta tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar di dalam kelas bagi meningkatkan prestasi pelajar. Kita tidak mahu ada lagi segelintir guru mengambil kesempatan menjadikan alasan bebanan tugas untuk tidak melaksanakan tugas hakiki mereka dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Guru adalah kerjaya yang sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan kerana peranannya cukup penting dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan cemerlang untuk membangunkan negara. Sebab itulah kerajaan tidak pernah mengabai kebajikan guru dan setiap masalah yang timbul sentiasa mendapat perhatian untuk ditangani segera. Oleh itu, dalam keadaan tertentu, guru juga perlu membuktikan keikhlasan serta sikap sedia berkorban tanpa mengharapkan imbuhan semata-mata. Kita percaya sebahagian besar guru di negara ini komited dengan tugas mereka dan sanggup mengharungi cabaran bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna dan cemerlang dalam pelajaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PELARIAN : 'Kehidupan Semula' Untuk Kanak-Kanak Pelarian

Sebahagian kanak-kanak pelarian Myanmar yang mendapat kemudahan pendidikan di Malaysia.

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PERSEKITARAN sunyi sepi deretan bangunan kedai empat tingkat terbengkalai yang dipenuhi rumput lalang begitu menyeramkan.

Pasti ramai beranggapan lokasi yang jauh daripada kawasan perumahan itu sekadar menjadi markas penagih dadah atau kongsi gelap.

Namun rasa hiba menyelubungi diri penulis tatkala melihat sebilangan kanak-kanak kecil berbaris menuruni tangga dari aras satu di salah sebuah unit blok bangunan itu.

"Itulah kanak-kanak pelarian Myanmar yang sedang menunggu waktu rehat," kata Henry Martinus kepada penulis yang tergamam melihat keadaan itu.

Masakan tidak, walaupun dalam keadaan serba daif yang mungkin tidak pernah difikirkan manusia bahawa kawasan itu sebenarnya dibangunkan sebagai sekolah.

Hakikatnya, itulah senario yang dihadapi Henry, seorang rakyat tempatan yang menjadi sukarelawan demi memperjuangkan nasib kanak-kanak pelarian di negara ini.

Dia mengasaskan sekolah Joy Bausum yang dahulunya dikenali sebagai Agape Home School sejak tahun 2007 bagi memberi peluang pendidikan kepada golongan itu.

Sekolah berkenaan mempunyai empat kelas yang menghimpunkan seramai 75 pelajar berusia dari lima sehingga 17 tahun.

Pada masa ini, seramai lima guru secara sukarela mengajar kanak-kanak pelarian itu bagi subjek Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Seni dan Muzik.

Henry berkata, sebilangan kanak-kanak itu tidak pernah pergi ke sekolah dan antaranya sudah lama meninggalkan alam persekolahan selama beberapa tahun.

"Idea membuka sekolah ini bertujuan memberi kesedaran mengenai betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan manusia, ibarat kehidupan semula selepas merasai keperitan dan kesengsaraan ekoran kemelut yang berlaku di negara asal.

"Keadaan ini sebenarnya mematangkan diri malah sebagai persediaan untuk mereka menyesuaikan kehidupan baru apabila dihantar ke negara ketiga," katanya.Riak wajah tenang Henry bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan kesedihannya kerana tidak mampu menyediakan kemudahan lengkap untuk kanak-kanak yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

Itulah cabaran yang terpaksa dihadapi dengan sumber kewangan terhad yang mengharapkan ihsan sumbangan daripada gereja dan individu perseorangan.

"Namun kanak-kanak ini tidak pernah merungut malah lebih ceria kerana menerusi pendidikan itu mereka dapat merasai kehidupan seperti orang lain.

"Mereka tidak minta kemewahan. Apa yang mereka mahu adalah kehidupan dan itu yang mereka peroleh apabila belajar di sekolah," katanya.

Sementara itu, di sekolah lain di Kuala Lumpur, Khampi seorang warga Myanmar cekal membantu anak-anak senegaranya mendapatkan peluang pendidikan.

Dia yang tiba di Malaysia empat tahun lalu merupakan antara tulang belakang di Pusat Pendidikan Zomi (ZEC) untuk kanak-kanak pelarian Myanmar bagi etnik Zomi.

Bermula hanya satu cawangan dengan seramai 30 kanak-kanak pada November 2007, ZEC kini mempunyai lebih 300 pelajar di enam cawangan.

Memulakan sesi pembelajaran dari pukul 10 pagi hingga 3 petang itu, masing-masing beroperasi sekitar Kuala Lumpur, Cheras, Klang dan Kajang.

Khampi berkata, sekolah itu memberikan pengalaman sebenar kepada kanak-kanak pelarian itu bagi membina masa depan lebih baik.

"Pendidikan membantu kanak-kanak ini membangunkan negara mereka bagi mengembalikan harapan selepas melalui kemelut sebelum ini.

"Ia juga sebagai usaha memupuk kesedaran agar mereka lebih memahami tentang dunia luar termasuk penerimaan komuniti pelarian di negara ini," katanya.

ZEC mengenakan yuran sebanyak RM25 sebulan turut menyediakan kemudahan asrama bagi pelajar yang tinggal berjauhan dengan sekolah.

Pusat pendidikan itu turut menerima sumbangan kewangan serta keperluan daripada individu, gereja dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bukan mudah untuk mengawal selia kanak-kanak pelarian di bawah satu bumbung, kata Khampi yang turut dibantu oleh sukarelawan Myanmar dan Malaysia.

Cabaran besar baginya apabila kanak-kanak itu tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Senario itu paling dibimbangi Khampi serta ibu bapa kanak-kanak terbabit namun pada masa sama tidak menafikan pendidikan amat penting dalam kehidupan.

"ZEC adalah sekolah komuniti yang membuka minda kanak-kanak pelarian ini agar mereka berasa lebih dihargai seolah-olah diterima oleh masyarakat tempatan.

"Sekolah ini adalah peluang untuk mereka membuka hari baru dalam kehidupan mereka yang lebih baik maka berikanlah ruang yang lebih untuk itu," katanya.

Sumber : http://mstar.com.my/

ISU PELARIAN : 91,000 Pelarian Berada di Malaysia

Kanak-kanak pelarian diberi waktu rehat secukupnya.

Oleh : IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

LEBIH 91,000 pelarian kini berada di Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Daripada jumlah itu, seramai 19,000 pelarian kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah tetapi jika diperhalusi kepada usia persekolahan, jumlahnya 13,900 orang.

Bagaimanapun Wakil UNHCR di Malaysia, Alan Vernon berkata, hanya 5,100 pelarian atau 30 peratus yang belajar di sekolah manakala 70 peratus lagi tidak bersekolah.

"Jumlah tidak bersekolah begitu besar maka beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) prihatin terhadap perkara ini dengan memberi peluang pendidikan kepada komuniti itu.

"Namun apa yang lebih membimbangkan kerana tidak banyak kemudahan pendidikan untuk golongan muda berumur 12 tahun ke atas," katanya kepada Mingguan mStar.

Alan berkata, kanak-kanak pelarian tidak bermasalah, namun sekiranya mereka tidak diberikan pendidikan pada usia muda maka akan memberi masalah kemudian hari.

"Mereka hanya menetap sementara di Malaysia dan akan diserahkan ke negara ketiga atau dihantar pulang ke negara asal masing masing.

"Pendidikan awal membantu memberi persediaan kepada mereka apabila berada di negara terbabit serta memberi sumbangan kepada masyarakat," katanya.

Sehubungan itu katanya, masih banyak perkara perlu diperbaiki melibatkan tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran dan paling penting adalah sumber kewangan. Walaupun masyarakat menyedari tentang kepentingan pendidikan namun tidak dinafikan segelintir ibu bapa pelarian enggan menghantar anak mereka ke sekolah.

Mereka bimbang anak-anak berkemungkinan ditahan oleh pihak berkuasa berikutan pelarian masih dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Maka tidak hairanlah banyak sekolah untuk pelarian beroperasi di rumah berbanding membangunkan kemudahan pendidikan lebih terancang," kata Alan.

Beliau berkata, kanak-kanak pelarian mempelajari bahasa tetapi apa yang penting sebagai permulaan dalam kehidupan mereka adalah kebolehan membaca dan menulis.

Sehubungan itu, UNHCR berharap agar lebih banyak penyertaan masyarakat tempatan memberikan sumbangan sama ada sukarelawan atau keperluan pendidikan.

Alan berkata, pada masa sama, UNHCR berusaha mencari jalan untuk bekerjasama rapat dengan NGO dan kerajaan bagi memperbaiki kualiti dan peluang pendidikan.

"Diharapkan dengan kesedaran dan keprihatinan semua pihak, ia dapat meningkatkan bilangan kanak-kanak pelarian yang belajar di sekolah.

"Kami perlu berusaha untuk mencapai matlamat itu kerana sudah ada perkembangan mengenainya namun perlu diperkasakan lagi untuk ke arah lebih baik," katanya.

Setakat ini, terdapat 67 sekolah komuniti untuk pelarian di seluruh negara di mana sebahagian besarnya diuruskan oleh sukarelawan pelarian sendiri.

UNHCR memberi sokongan kepada program pendidikan seperti latihan perguruan, peruntukan buku teks, geran sekolah, sumbangan dana dan khidmat sukarelawan.

Terdapat 322 sukarelawan berdaftar dengan UNHCR dan daripada jumlah itu seramai 163 orang ditempatkan di 40 sekolah komuniti untuk mengajar beberapa subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Sumber : http://mstar.com.my/