Selasa, 21 Disember 2010

ISU KESIHATAN : Usaha bersepadu perlu tangani denggi

STATISTIK terkini menunjukkan sebanyak 133 kematian dicatatkan di seluruh negara akibat demam denggi sejak 1 Januari 2010. Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 84 kes kematian yang dilaporkan untuk tempoh sama tahun lalu. Jumlah kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara juga meningkat iaitu sebanyak 45,106 kes berbanding 39,711 kes dalam tempoh yang sama pada 2009.

Senario ini menunjukkan betapa bahayanya demam denggi dan perlu ditangani dengan segera agar tidak terus meragut nyawa. Usaha bersepadu perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat agar segera membanteras penularan wabak berbahaya ini. Memandangkan angka kematian terus meningkat, adalah diharapkan 2011 yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi diisytihar sebagai tahun banteras denggi habis-habisan. Atau tahun anti-aedes oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sejak penyakit demam denggi mula dikesan, ia menunjukkan peningkatan yang seiring dengan pertambahan kawasan bandar, pembangunan dan peningkatan kepadatan penduduk.

Antara tanda-tanda penyakit ini ialah demam kuat yang mengejut dan berterusan, bintik-bintik merah pada kulit, berdarah pada badan, hidung dan mulut, hilang selera makan, muntah-muntah dan sakit perut. Sehingga kini masih belum terdapat vaksin siap untuk demam denggiflavivirus dan kita lebih disyorkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih proaktif.

Cara mencegah denggi yang utama adalah menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air seperti dalam bekas bunga terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Pengunaan ubat jentik-jentik juga berkesan untuk menghapuskan jentik-jentik, manakala penggunaan kelambu dan juga semburan (fogging) juga boleh membantu. Nyamuk aedes senang dikenali dengan belang hitam putih pada badan dan kakinya dan kebiasaannya menggigit pada awal pagi dan waktu senja.

Nyamuk ini juga membiak dalam air jernih yang bertakung sama ada di dalam atau di luar rumah. Antara tempat pembiakan di dalam rumah ialah dalam akuarium, pasu bunga, timba, tempayan serta kolam (kolah) mandi.

Di luar rumah pula nyamuk ini membiak dalam tayar buruk, tempurung kelapa, botol atau gelas pecah yang mengandungi air, longkang yang tersekat serta salur air hujan. Peningkatan kes demam denggi dan jumlah kematian di negara kita mutakhir ini boleh dirumuskan berpunca daripada kurangnya tahap kesedaran, kelalaian sendiri serta sikap tidak peduli dalam kalangan masyarakat.

Kita masih dengan budaya tidak mempedulikan sesuatu perkara sehingga ia kena pada kita atau kaum keluarga. Budaya tidak peduli, lepas tangan dan tidak mengapa ini jelas mula menular menjadi wabak yang serius sama serius dengan penularan wabak denggi dalam masyarakat kita. Budaya ini jika tidak dibendung dengan segera, dikhuatiri akan terus meragut lebih banyak lagi nyawa.

Justeru, kita perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan responsif dengan apa yang berlaku dalam persekitaran. Tidak salah dalam hal begini kita mengambil tahu 'tepi kain orang lain' asalkan ia untuk kesejahteraan dan keselamatan bersama. Masyarakat perlu sedar bahawa isu demam denggi ini amat serius serta bahaya dan ia perlu ditangani dengan segera.

Dalam hal ini kita wajar memuji langkah-langkah pencegahan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak KKM dan beberapa agensi lain yang berkaitan sebagai usaha berterusan menyedarkan masyarakat serta membendung penularan virus ini mahupun pembiakan aedes. KKM misalnya mengadakan pelbagai program kesedaran seperti 10 minit dalam seminggu, Jom Ganyang Aedes dan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang lain termasuk pihak berkuasa tempatan serta masyarakat setempat.

Tetapi jika masih tiada kesedaran dan sokongan menyeluruh daripada masyarakat, ia tidak akan berjaya. Senario ini jelas menunjukkan tahap keseriusan pihak kerajaan dalam membendung wabak denggi. Namun statistik yang terus meningkat membuktikan bahawa keberkesanan pelbagai program yang dianjurkan selama ini masih belum menampakkan hasil yang diharapkan. Ia kerana sikap masyarakat sendiri yang tidak memandang serius penularan demam denggi.

Malah Kempen Media Pencegahan Denggi oleh KKM sebagai usaha untuk menyebarkan mesej dan maklumat tentang bahaya demam denggi juga dilihat masih belum cukup untuk menyedarkan masyarakat.

Pembanterasan nyamuk aedes memerlukan perubahan sikap yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat. Setiap individu perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan yang aktif demi menyelamatkan nyawa sendiri, keluarga mahupun masyarakat setempat.

Tindakan seperti membuang sampah terutamanya ke dalam longkang yang akhirnya menyebabkan aliran longkang tersekat dengan timbunan sampah dan rumput perlu dielakkan. Di samping itu, sebarang jenis takungan air baik di dalam mahupun di sekitar kawasan luar rumah juga perlu dielakkan. Kita juga perlu berubah dari sikap pengotor kepada pembersih. Hanya kebersihan secara hakiki mampu membendung pembiakan nyamuk aedes ini dari terus bermaharajalela.

Di samping bergantung kepada tindakan pencegahan daripada KKM dan agensi berkaitan, masyarakat juga perlu bertindak sendiri secara proaktif. Misalnya mengenalpasti lokaliti-lokaliti yang berpotensi sebagai hot spots dan segera melakukan aktiviti pembersihan dan gotong-royong secara bersepadu. Dalam masa yang sama kita juga berharap tindakan penguatkuasaan dan pemantauan serta hukuman diperhebatkan oleh semua agensi yang terbabit.

Pemilik premis baik rumah kediaman mahupun perniagaan yang didapati membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dikompaun serta merta tanpa pilih kasih. Dalam hal ini kompaun maksimum RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang sedia ada dilihat masih rendah dan belum cukup menggerunkan pemilik premis. . Adalah disyorkan agar nilai kompaun ini dikaji semula dan dinaikkan ke satu nilai yang lebih besar serta ditambah dengan hukuman penjara yang setimpal.

Disyorkan juga supaya Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Mengawal Denggi (2009-2013) yang dilancarkan pada April 2009 disemak semula dan dimantapkan mengikut keadaan semasa agar memberikan impak yang maksimum. Kesimpulannya, walau apa pun tindakan mahupun program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama setiap individu dalam masyarakat kita.

Justeru, masyarakat perlu berganding bahu dengan berusaha secara bersepadu dan bertindak dengan segera untuk membendung penularan wabak ini. Marilah kita berazam dan bertekad untuk membanteras habis-habisan nyamuk aedes pada 2011 ini dan isytihar tahun berkenaan sebagai tahun anti-aedes.

PENULIS ialah Penolong Pendaftar Kanan,

Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Melayu Penghalang?


Profesor Teo, Ismail dan Zawiyah pada Wacana Bahasa Kebangsaan anjuran ATMA di UKM, Bangi baru-baru ini

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Kejayaan Upin & Ipin tembusi pasaran luar negara jawab segala-galanya

BAHASA Melayu dan budaya tempatan berupaya dijadikan aset dalam memasarkan produk animasi tanah air ke pentas global seperti dibuktikan Upin & Ipin yang berjaya menembusi pasaran negara luar meskipun ia membawa imej lokal ekoran ia dipakej dalam bentuk cerita yang baik.

Perkara ini disimpulkan pada Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu Bahasa Kebangsaan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Pengarah Urusan, Les’ Copaque (Upin & Ipin) Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata kelemahan industri animasi di negara ini ialah penyediaan cerita dan jalan cerita bermutu, sekali gus berupaya memikat pasaran tempatan dan luar negara.

“Masalahnya pembuat filem tanah air tidak pandai bercerita dan institusi pengajian tinggi (IPT) pula lebih menekankan aspek teknikal dalam bidang pengajian mereka.

“Sepatutnya IPT seperti Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dibiarkan memberi tumpuan kepada soal teknikal, manakala universiti lain pula menghasilkan graduan dengan kebolehan menghasilkan cerita dan mengarah filem,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Felo Penyelidik Utama ATMA, Datuk Zawiyah Baba.

Burhanuddin berkata, Perbadanan Multimedia Malaysia (MDEC) yang diamanahkan kerajaan untuk penyaluran geran animasi kini mungkin berjumlah RM300 hingga RM400 juta, menganggap animasi sebagai bidang pertumbuhan ekonomi masa depan.

“Apabila kami mula-mula masuk ke industri animasi, kami mencari MDEC tetapi perbadanan itu sebenarnya diterajui mereka yang berpelajaran dari luar negara dan membawa masuk orang putih lalu menyarankan kami mengangkat imej global tanpa penjelasan lanjut mengenai kriteria berkenaan.

“Pada 2006, saya mengunjungi Festival Cannes di Perancis dan mendapati produk mirip Barat tidak mendapat sambutan sehingga saya mengambil keputusan kriteria terbabit tidak boleh jadi,” katanya.

Sebagai pembuat animasi Malaysia, kata Burhanuddin, mereka akhirnya memutuskan membina imej lokal dan berunsur Islam yang disampaikan dalam bahasa Melayu kerana sasaran penonton tempatan adalah bangsa Melayu.

“Mula-mula kita letak nama U & I pada watak kami dan menambah Pin di belakang yang sebenarnya masyarakat luar termasuk Barat pun mudah untuk menyebut Upin & Ipin.

“Awalnya masalah yang kami hadapi ialah pekerja kami bukan berasal dari kampung dan menggunakan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS), lalu saya dan isteri mengambil keputusan menulisnya dengan mengekalkan budaya kita,” katanya.

Antara ciri bahasa yang digunakan ialah bahasa mudah yang sesuai dengan bahasa kanak-kanak dan tidak mencampur-adukkan bahasa Inggeris, sebaliknya pendek dan padat.

“Bahasa yang pendek itu sesuai dengan gaya perbualan kanak-kanak sehingga kami mengehadkan tidak lebih daripada empat perkataan untuk dialog Ipin dengan memotong dialog watak lain melalui kata ‘betul, betul, betul’.

“Ia juga mesti membawa nilai positif termasuk ‘betul, betul, betul’ dan kami tidak berani membuat adegan yang berbahaya kepada kanak-kanak termasuk melompat tangga, selain tidak bersifat menyogok, sebaliknya lebih menunjukkan nilai yang menjadi ikutan seperti Upin & Ipin rajin berpuasa,” katanya.

Burhanuddin turut meluahkan kekecewaan dan kebimbangan produk Upin & Ipin lebih dihargai di negara luar termasuk Indonesia berbanding penerimaannya di kalangan masyarakat korporat di negara ini.

“Syarikat penerbangan Indonesia, iaitu Garuda melahirkan minat untuk memasukkan pejabat kami ke dalam butiran mereka, tetapi kami tidak mempunyai keupayaan kerana masalah ruang dan kemampuan. Syarikat penerbangan kita tidak pula menunjukkan minat sehingga saya merumuskan kita kurang berbangga dengan barangan sendiri,” katanya.

Burhanuddin menyarankan drama dan filem termasuk animasi dijadikan wadah ‘menjual’ budaya tempatan seperti yang dilakukan Korea Selatan apabila berjaya berbuat demikian di negara luar termasuk Malaysia.

“Bahasa Melayu sebenarnya bukan penghalang untuk produk kita maju dan mendapat sambutan di luar negara kerana kita sendiri boleh lihat anak-anak kita gila dengan animasi Jepun atau drama Korea, meskipun ia menggunakan bahasa ibunda mereka.

“Masalahnya kita tidak pandai memanfaatkan budaya kita dalam drama dan filem sehingga tidak hairanlah apabila watak dalam sesebuah drama masuk ke hotel, dia akan memesan steak dan bukannya nasi goreng atau sate,” katanya.

Pengarah Pusat Bahasa Bijak Bestari, Ismail Dahaman, menegur rancangan televisyen di RTM seperti Laxamana yang tidak memperlihatkan fungsi sewajarnya dimainkan oleh media rasmi milik kerajaan dalam konteks mengutamakan bahasa kebangsaan.

“Rancangan itu sepatutnya dijadikan wadah untuk memperkenalkan institusi dan konsep Raja Berperlembagaan kepada rakyat di negara ini, sebaliknya maksudnya tidak sampai dan budaya hancur sama sekali.

“Bayangkan ada adegan mamak nasi kandar yang menjual nasi kandar kepada permaisuri, tetapi baginda tidak mempunyai wang sehingga terpaksa berhutang dengan peniaga terbabit,” katanya yang juga bekas Pengarah Perancangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ismail turut menegur rancangan remaja di stesen televisyen itu seperti Xpresi Remaja yang bukan saja menggunakan ejaan yang silap, bahkan bahasa dalam rancangan terbabit juga lintang-pukang.

“Hari-hari menjatuhkan nilai dan maruah bahasa yang sekiranya hal terbabit tidak dihalang, mereka sebenarnya tanpa sedar merendahkan nilai media itu sendiri.

“Sebenarnya perancangan bahasa tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada institusi seperti DBP, sebaliknya semua agensi kerajaan perlu menyumbang secara aktif dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Felo Penyelidik Utama ATMA, Prof Dr Teo Kok Seong, meminta pemimpin bukan Melayu untuk menyelesaikan masalah ramai di kalangan rakyat bukan Melayu yang tidak boleh berbahasa kebangsaan dengan baik.

“Ini kerana bahasa kebangsaan adalah jati diri dan identiti kerakyatan yang mesti dikuasai oleh rakyat di sesebuah negara itu sehingga penguasaannya diuji dalam proses untuk mendapatkan kerakyatan negara terbabit.

“Kita tidak mahu insiden yang memaparkan kejahilan rakyat terhadap keperluan untuk menguasai bahasa kebangsaan berulang pada masa depan khususnya yang berkait dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 20 Disember 2010

ISU PENDIDIKAN : Transformasi vokasional lahirkan ramai usahawan

TAHUKAH anda bahawa terdapat ramai di kalangan peniaga yang menjalankan perusahaan kecil seperti pembuatan roti, menghasilkan makanan ringan atau menternak ikan dan ratusan jenis perusahaan kecil lain yang boleh mendapat pendapatan bulanan bersih mencecah puluhan ribu ringgit? Atau dengan kata lain mereka boleh mendapat pendapatan bersih lebih daripada 'lima angka' sebulan.

Pengusaha atau peniaga kecil ini bergerak di pasar-pasar malam, bazar-bazar, pasar-pasar basah, bengkel-bengkel atau kedai-kedai biasa di seluruh negara.

Mereka ini sebenarnya bukanlah pengusaha yang besar. Memulakan perniagaan dengan modal yang kecil dan sebahagian besar daripada mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke menara gading. Tetapi mereka boleh berbangga kerana mendapat pendapatan yang lumayan, mengagumkan dan boleh digolongkan orang yang berpendapatan tinggi.

Siapakah mereka ini sebenarnya?

Mereka ini dikenali sebagai usahawan atau 'entrepreneur'. Mereka merupakan orang yang menjalankan perniagaan dan perusahaan. Apa yang menarik dalam masa yang sama, mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.

Kumpulan usahawan ini sangat penting kepada pembangunan negara. Ia selari dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai rakyat berpendapatan tinggi dan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Pendapatan kasar tahunan berjumlah RM23,700 pada masa kini akan ditingkatkan kepada RM48,000 pada 2020. Dalam masa yang sama akan diwujudkan 3.3 juta pekerjaan baru dan akan berusaha untuk menambah bilangan pekerja mahir daripada 23 peratus sekarang kepada 37 peratus.

Siapakah sebenarnya kumpulan usahawan ini?

Usahawan sering dikaitkan dengan mereka yang berani menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan walaupun mempunyai modal yang kecil. Mereka juga biasanya mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, suka menggunakan idea baru atau sekarang ini biasa dikatakan 'berfikir di luar kotak kebiasaan'. Mereka juga mempunyai sikap berani mencuba dan yang penting ialah sikap tidak takut gagal.

Ada yang berpendapat bahawa kebanyakan golongan usahawan ini dilahirkan daripada kalangan keluarga usahawan juga. Logiknya ialah sejak kecil mereka sudah terdedah dengan dunia perniagaan yang diusahakan oleh ibu bapa atau kaum keluarga.

Bagaimanapun tidak semestinya kewujudan golongan ini kerana faktor warisan semata-mata. Tetapi sebenarnya untuk menjadi usahawan ia boleh dipelajari. Andainya seseorang itu tidak mempunyai pengalaman dalam dunia keusahawanan, mereka masih boleh menerokai bidang itu dengan cara belajar iaitu berusaha mendapatkan pendidikan serta ilmu pengetahuan yang berkaitan dengannya.

Di negara kita pendedahan tentang ilmu keusahawanan boleh didapati melalui institusi pendidikan vokasional. Ketika ini terdapat sebanyak 88 buah sekolah vokasional di seluruh negara dan telah berjaya mengeluarkan puluhan ribu pelajar dan ramai di kalangan mereka yang menjadi usahawan berjaya.

Baru-baru ini Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tentang peluasan bidang vokasional dan kemahiran serta dijadikan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (NKRA).

Tambah beliau bilangan pelajar aliran vokasional yang berjumlah 87,188 pelajar atau kira-kira 10 peratus pada 2010 akan ditingkatkan kepada 196,000 pelajar atau 20 peratus menjelang 2015.

Menteri Pelajaran memberikan penekanan kepada aliran vokasional kerana ia berkaitan dengan keperluan negara melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan separuh mahir serta berusaha melahirkan ramai golongan usahawan.

Dalam lawatan beliau ke Perancis, Australia dan Indonesia baru-baru ini, didapati bilangan pelajar dalam aliran tersebut di negara-negara berkenaan ada yang melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

Mengapakah aliran vokasional menjadi bidang pendidikan yang penting pada masa kini?

Tidak dapat dinafikan bahawa soal mencari pekerjaan sering merupakan isu besar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang baru menamatkan pendidikan menengah.

Setiap tahun kira-kira seramai 500,000 orang pelajar mengambil peperiksaan SPM. Menurut beberapa kajian hanya kira-kira 30 peratus sahaja daripada kumpulan tersebut yang akan melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Sudah tentu selebihnya akan berusaha memasuki pasaran pekerjaan.

Dalam isu mencari pekerjaan ini sudah tentulah tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh perkhidmatan awam atau dengan kata lain makan gaji dengan kerajaan. Di samping itu, pihak swasta juga tidak mampu menyediakan pekerjaan dalam jumlah yang sebesar itu.

Cuba bayangkan dalam tempuh tiga tahun sahaja jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah atau yang menamatkan peperiksaan SPM boleh mencecah satu setengah juta orang.

Mungkin ada yang akan mencadangkan mengapa tidak anak-anak muda itu disarankan melakukan pekerjaan sendiri. Sesungguhnya saranan ini tidak adil kepada mereka kerana bagaiman mereka yang masih mentah dan tidak arif tentang selok-belok perniagaan atau sesuatu pekerjaan disuruh terus terjun ke bidang tersebut.

Mereka seharusnya dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman awal yang berkaitan dengan perniagaan atau bidang yang akan diceburi.

Dalam hal ini sekolah vokasional adalah jawapannya kerana ia boleh menyediakan bekalan awal dalam bentuk ilmu pengetahuan, kemahiran dan memberi sedikit pengalaman melalui latihan praktikal.

Peranan yang dimainkan oleh pendidikan vokasional untuk melahirkan ramai golongan usahawan akan dapat membantu negara dalam usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan. Bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama memberi peluang kepada orang lain untuk bekerja.

Dengan kata lain lebih ramai golongan usahawan dilahirkan, maka peluang pekerjaan akan bertambah.

PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran

tansrialimuddin@yahoo.com

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Penarikan 'Interlok' dibincang bersama Kementerian Pelajaran, DBP: Murugiah

KUALA LUMPUR: Penarikan buku teks sastera Tingkatan Lima bertajuk "Interlok" yang didakwa mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India, dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima banyak aduan mengenai beberapa perkataan sensitif dalam buku itu, dan selaku Pengerusi BPA, beliau berpendapat tindakan segera perlu diambil.
"Saya sebagai Timbalan Menteri, memanggil Kementerian Pelajaran, DBP, serta semua yang berkaitan hadir dan berbincang, dan kami telah membuat keputusan secara musyawarah.
"Saya tidak boleh memberi sebarang keputusan, cuma saya boleh mencadangkan tindakan yang boleh diambil, dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan itu adalah Kementerian Pelajaran," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini ketika mengulas surat pembaca yang tersiar di sebuah akhbar berhubung pengumumannya mengenai penarikan buku itu pada 15 Disember lalu.

Pembaca yang dikenali sebagai M. Hanafiah A. Samad dari Muar, Johor itu menyifatkan tindakan Murugiah sebagai melatah dan berpendapat pengumuman berkenaan sepatutnya dilakukan Kementerian Pelajaran.

Murugiah berkata isu penarikan buku berkenaan sudah disalah tafsir dan berharap ia tidak terus diperbesarkan kerana bimbang mencetuskan masalah.

"Orang salah tafsir benda ini, sebab itu saya mahu jelaskan. Dia bagi tahu dalam ini (surat pembaca), beliau menulis berdasarkan kajian sejarah dan pengalamannya, saya faham, tapi ini bukan buku sejarah, ini buku sastera.

"Apabila buku sastera, dia boleh tukar bahasa-bahasa tertentu, atas dasar itu kita mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan terpulang kepada mereka, kalau mahu kekalkanpun, boleh kekal, tapi mereka ambil cadangan BPA (untuk tarik balik)," katanya.

Buku "Interlok" karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka, telah dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima, sebelum ditarik balik pada 15 Disember lalu.

Ia didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap kaum Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis di beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan kaum India. - BERNAMA

Jumaat, 17 Disember 2010

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Guna kaedah tampal baiki masalah dalam novel Interlok

ABDULLAH HUSSAIN

BERITA disiarkan Berita Harian pada 16 Disember 2010 mengenai penarikan balik Novel Interlok hasil karya Abdullah Hussain, Sasterawan Negara amat mengejutkan. Berita ini mengejutkan guru, murid dan juga penerbit buku.

Setakat ini, semua sekolah di Zon Tengah, iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan sudah menerima buku itu dan siap sedia untuk diedarkan kepada murid.

Bagi guru pula, mereka sudah membacanya dan menyediakan bahan untuk diajarkan kepada murid bermula 3 Januari 2011.

Untuk mengeluarkan buku ini, panel penilai sudah mengikut segala prosedur ditetapkan. Kementerian Pelajaran membelanjakan berjuta untuk menerbit dan mengedarkan buku ini ke sekolah kerana buku ini diberikan percuma kepada murid di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

Persoalannya ialah mengapakah penarikan buku ini tidak dibuat Menteri Pelajaran? Saya berharap supaya berita dapat disahkan pihak bertanggungjawab, iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia.

Jika masalah itu benar-benar menyinggung perasaan kaum tertentu, tindakan yang perlu diambil ialah langkah pembaikan atau pembetulan. Caranya adalah dengan menggunakan kaedah tampal. Melalui kaedah tampal, penerbit akan membuat pembetulan halaman yang dikatakan bermasalah atau menimbulkan masalah. Kemudian, halaman yang berkenaan diedarkan ke sekolah.

Jika novel itu ditarik balik, kerajaan akan rugi berjuta ringgit, malah nama Sasterawan Negara kita akan dipandang rendah dan hina dalam kalangan masyarakat. Setelah saya membaca novel itu saya mendapati bahawa tiada perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti kaum tertentu.

Hal ini dikatakan demikian kerana novel ini adalah hasil kreativiti dan imaginasi pengarang berdasarkan fakta sejarah menggambarkan proses integrasi yang berlaku di negara kita zaman sebelum kemerdekaan.

ABDUL GHALIB YUNUS,
Munsyi Dewan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

NOVEL INTERLOK DITARIK BALIK?

Oleh Sharifah Salwa Syed Akil


KUALA LUMPUR: Buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia yang akan digunakan pelajar Tingkatan Lima sekolah menengah tahun depan bakal ditarik balik berikutan dakwaan kandungannya menyentuh sensitiviti kaum, selain mengkritik dan menghina orang Melayu serta India. Persetujuan menarik balik serta-merta buku teks bertajuk Interlok karya Abdullah Hussain itu dipersetujui Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Sairi Adenan dan Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman, selepas pertemuan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah semalam.

Intelok, novel komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia terbitan DBP itu sudah diedarkan kepada semua sekolah menengah baru-baru ini untuk diagihkan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaik sesi persekolahan dibuka awal bulan depan.

Buku teks berkenaan didapati mempunyai unsur penghinaan kepada orang Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta ada unsur menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan bagi kaum India. Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA), berkata pihaknya menerima aduan orang ramai dari seluruh negara yang meminta BPA mengambil tindakan sebelum orang ramai membuat tindakan drastik dengan membakar buku berkenaan di hadapan Kementerian Pelajaran. Katanya, isu itu didedahkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Tamil semalam selepas mendapat aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kandungan buku itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 13 Disember 2010

ISU PENDIDIKAN : Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar

MASALAH beban tugas guru bukanlah perkara baru, namun ia kembali hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bebanan tugas yang berlebihan dikatakan bukan saja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengahnya hidup tertekan. Selain terbabit dengan kegiatan kokurikulum serta mengikuti pelbagai jenis kursus, guru juga terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Semua itu, membantutkan usaha golongan pendidik ini untuk memberikan sepenuh komitmen kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menyedari hakikat itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengarahkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan pertengahan tahun ini bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan. Satu makmal khas turut diwujudkan dengan menjemput guru dan pengetua untuk mengatasi masalah itu, selain pergi ke sekolah untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas daripada pihak guru sendiri. Laporan akhir Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 itu yang didedahkan kepada umum kelmarin, mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada meningkatnya beban tugas guru. Antaranya termasuk penyertaan guru dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Selain itu, jawatankuasa itu turut mengemuka serta memperakukan 28 cadangan kepada Kementerian Pelajaran. Antaranya untuk menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.

Justeru, apabila cadangan laporan itu dilaksanakan kelak, kita harap ia mampu menangani masalah beban tugas berlebihan yang dihadapi guru di setiap sekolah seluruh negara. Kita percaya Kementerian Pelajaran sudah mengkaji secara mendalam sebelum memutuskan untuk melaksanakan cadangan laporan itu agar tidak timbul masalah lain, termasuk dari segi kos operasi di sekolah kerana ia tentunya memerlukan peruntukan besar daripada kerajaan. Bagi memastikan pelajar mendapat manfaat dan meningkatkan kualiti pencapaian mereka, Kementerian Pelajaran harus melaksanakan cadangan laporan itu dengan bijaksana, teliti dan berkesan. Pembahagian tugas antara guru kelas dan guru pembantu perlu dilaksanakan dengan bijak agar tidak berlaku pertindihan. Dengan berkurangnya beban kerja, kita harap setiap guru dapat memberi komitmen serta tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar di dalam kelas bagi meningkatkan prestasi pelajar. Kita tidak mahu ada lagi segelintir guru mengambil kesempatan menjadikan alasan bebanan tugas untuk tidak melaksanakan tugas hakiki mereka dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Guru adalah kerjaya yang sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan kerana peranannya cukup penting dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan cemerlang untuk membangunkan negara. Sebab itulah kerajaan tidak pernah mengabai kebajikan guru dan setiap masalah yang timbul sentiasa mendapat perhatian untuk ditangani segera. Oleh itu, dalam keadaan tertentu, guru juga perlu membuktikan keikhlasan serta sikap sedia berkorban tanpa mengharapkan imbuhan semata-mata. Kita percaya sebahagian besar guru di negara ini komited dengan tugas mereka dan sanggup mengharungi cabaran bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna dan cemerlang dalam pelajaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/