Rabu, 16 Februari 2011

ISU KENEGARAAN : Salasilah orang Melayu, keterbukaan 1Malaysia

Oleh Teo Kok Seong

Pembentukan bangsa Malaysia perlu berasaskan sejarah lampau

KOMEN bahawa negara ini kepunyaan kaum Melayu dan kaum bukan Melayu perlu menghormati kekuasaan Melayu, kedengaran lagi. Secara umumnya, komen ini atau lebih tepat lagi hakikat ini tidak disenangi sesetengah pihak dalam kalangan bukan Melayu. Sehubungan itu, Semenanjung Malaysia yang sebelum ini dikenali dengan nama Tanah Melayu, bagi mereka ini adalah nama geografi semata-mata dan wujud dalam konteks sejarah lampau saja. Mereka mendakwa nama ini tidak relevan lagi dalam konteks zaman moden ini, lebih-lebih lagi dalam Gagasan 1Malaysia.

Politik, yakni pendapat dan kepercayaan mengenai salasilah negara ini, khususnya Semenanjung, yang berbeza-beza sepatutnya tidak timbul lagi, khususnya pada masa ini, selepas negara merdeka sejak 54 tahun lalu. Penduduk asal dan dominan rantau ini dan Malaysia, Indonesia dan Filipina sebagai wilayah terasnya, dulu, sekarang dan selama-lamanya adalah dihuni dengan dominannya oleh rumpun yang dikategorikan sebagai Melayu.

Oleh sebab alam Melayu lebih menerima budaya luar daripada memantapkan budaya sendiri pada era awalnya, mereka ini menganggap perkembangannya sebegini yang banyak dipengaruhi reaksinya terhadap pertembungan dengan budaya luar, khususnya di Semenanjung sebagai wilayah yang tidak mempunyai dasar Melayu yang kuat. Justeru, ia tidak boleh dipanggil Tanah Melayu.

Tidak dapat dinafikan pertembungan dengan India adalah banyak sekali sehinggakan ia meninggalkan kesan budaya dan politik yang besar di rantau ini. Ia dapat dilihat pada pengaruh Hindu dalam struktur sosial dan politik alam Melayu. Sehubungan ini, bawah pengaruh Hindu, ketua dalam masyarakat Melayu feudal dijadikan raja, yang takhtanya diwarisi. Kosa kata bahasa Melayu ikut diserapi kata Sanskrit.

Walau bagaimanapun, pengaruh Hindu ini tidak sekali-kali menguasai struktur asas masyarakat Melayu, sama ada yang bersifat politik mahupun sosial. Pengaruh Hindu ini adalah lapisan budaya semata-mata dan tidak pun mengubah struktur feudal masyarakat Melayu dulu dalam apa jua cara. Ia masih wujud dengan utuh dalam tata tingkat raja dan rakyat.

Islam tiba di rantau ini pada abad 11 dan didapati sudah bertapak dengan mantapnya pada abad ke-13. Pada masa itu, Pasai dan kemudian Aceh di Sumatera menjadi pusat penyebaran Islam yang masyhur. Walaupun Sumatera Utara adalah pusat pengajian Islam di Asia Tenggara pada bahagian awalnya, sesungguhnya Melaka adalah pusat di mana Islam tersebar ke seluruh alam Melayu kemudian.

Sehubungan pengaruh Islam yang kuat di rantau ini melalui Melaka, ia menjadi pelabuhan yang dikunjungi pelbagai jenis pedagang. Walaupun banyak bahasa dituturkan di sana, bahasa Melayu ialah lingua franca yang paling banyak digunakan. Ia digunakan untuk tujuan komunikasi bukan saja antara penduduk tempatan dengan pedagang, tetapi sesama pedagang asing dari segenap pelosok dunia.

Walaupun Melaka ditawan Portugis pada 1511, Kerajaan Melaka tidak terus lenyap. Sehubungan ini, seluruh empayar Melaka diperintah dari Johor sehingga ia dan lain-lain ditakluk Aceh. Dengan ini, seluruh Semenanjung Malaysia berada di bawah kuasa Aceh, kecuali Melaka yang diperintah Portugis dan kemudian Belanda.

Kekuasaan Aceh diakhiri dengan penaklukan Bugis pada abad ke-18. Penaklukan Bugis dari Sulawesi ini berlaku dalam bentuk halus. Mereka tidak sekali-kali menggulingkan pemerintah di Semenanjung. Yang dilakukan ialah mereka menguasai beberapa negeri dengan meresapi struktur politik yang sedia wujud, melalui naungan di sebalik takhta. Antaranya ialah Kedah, Perak, Pahang dan Johor. Hanya di Selangor, mereka berjaya menduduki takhtanya.

Kemunculan dan kejatuhan kekuasaan Aceh dan Bugis ini sebetulnya memperlihat bangun jatuhnya pusat kuasa watan alam Melayu, khususnya di Semenanjung. Sebaliknya, kehadiran Portugis dan Belanda perlu dilihat sebagai semata-mata campur tangan di Melaka saja dan kawasan berdekatan. Di luar Melaka, di Semenanjung dan seluruh Nusantara, tamadun Melayu terus berkembang tanpa sebarang pengaruh Barat yang signifikan.

Melaka adalah Kerajaan Melayu pertama untuk tempoh 1402-1511, sesungguhnya adalah kemuncak tamadun Melayu dalam alam Melayu. Selepas tempoh ini, ia berpindah ke Johor. Dari sinilah pengaruh dan kekuasaan Melaka terus berkembang ke seluruh Semenanjung dan di pantai timur Sumatera.

Menjadi kesalahan besar untuk menganggap era kekuasaan Aceh dan Bugis di Semenanjung sebagai pemerintahan oleh kaum bukan Melayu, seperti didakwa sesetengah pihak. Masyarakat Aceh dan Bugis berasal dari Sumatera dan Sulawesi, adalah wilayah utama dalam alam Melayu. Justeru mereka bukan pendatang ketika berpindah ke Semenanjung. Mereka sebetulnya adalah watan alam Melayu dan peribumi Nusantara!

Sehingga abad ke-18, kewujudan alam Melayu di rantau ini, khususnya secara dominan di Nusantara kecuali Melaka, berterusan tanpa campur tangan Barat. Hanya pada abad ke-19, keadaannya berubah melalui penjajahan Inggeris. Untuk beberapa abad lamanya, Semenanjung dihuni rata-ratanya masyarakat Melayu. Tetapi awal abad ke-20 memperlihat kependudukan alam Melayu ini bertukar secara mendadak dengan kemasukan buruh secara besar-besaran dari China dan India.

Dengan latar sejarah yang sebegini jelas keMelayuannya, bagaimanakah Semenanjung tidak boleh dikaitkan lagi dengan nama Tanah Melayu pada masa kini khususnya dalam Gagasan 1Malaysia?

Gagasan 1Malaysia yang walaupun menganjurkan keadilan sosial yang memastikan keterlibatan semua kaum, tidak boleh sekali-kali ditafsirkan dari segi kenegaraan, khususnya mengenai salasilah negara ini sebagai betul-betul satu fenomena moden yang langsung tidak mahu mengambil kira sejarah lampau.

Penolakan unsur kesinambungan antara bentuk sebelum moden dengan yang moden oleh sesetengah pihak, yang menganggap nama Tanah Melayu itu tidak sesuai lagi digunakan pada masa ini, khususnya dalam pembentukan bangsa Malaysia dan negara moden Malaysia itu sendiri, adalah bukan saja sikap buruk. Tetapi yang lebih mudarat lagi ialah kesan buruk yang boleh timbul daripada sikap ini yang menafikan sejarah lampau negara ini sebagai jajahan Melayu.

Sesungguhnya pembinaan mana-mana negara, walaupun pada zaman moden ini perlu dikaitkan secara eksplisit dengan bentuk sebelum moden dengan mengambil kira sejarah lampau, khususnya yang berkenaan dengan beberapa identifikasi politik yang penting. Sehubungan ini, Semenanjung adalah Tanah Melayu pada masa dulu, kini dan selama-lamanya. Ini adalah kenyataan nasionalisme Malaysia dan bukan etnosentrisme Melayu!

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 15 Februari 2011

ANUGERAH MA'AL HIJRAH 2011

ANUGERAH MA'AL HIJRAH 2011...Antara penerima ialah Wee Soo Yen, pelajar berbangsa Cina yang memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Arab, peperiksaan PMR tahun lalu. Kejayaan ini menafikan hujah sesetengah pelajar Melayu yang mengatakan mata pelajaran ini susah.

Dari kiri:Wee Soo Yen,Tan Sri Dr Robaayah Zambahari,Pr
of Dr Ismawi Zen,Dr Abdul Hayei Abdul Sukor,Tan Sri Hasmah Abdullah dan Dato Dangiran Musthapa.

Keterangan gambar : Penerima Anugerah Perdana, Dr Abdul Hayei Abdul Sukor (tiga dari kanan) beramah mesra bersama penerima-penerima Anugerah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Mizan.

Isnin, 14 Februari 2011

ISU SASTERA : Sepuluh penulis terkaya dunia

Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bharian.com.my

Karya mereka diterjemahkan ke bahasa asing, difilemkan KERJA menulis sebenarnya memberi pulangan lumayan jika kena pada caranya dan apatah lagi jika novel seseorang pengarang itu berjaya menduduki carta jualan laris di pasaran sehingga difilemkan pula.

Walaupun mungkin ada sebahagian penulis menyifatkan karya seni bukanlah berbumbukan wang atau ‘aku menulis bukan kerana nama’, namun pulangan yang lumayan menjadikan ramai penulis terutama di luar negara meletak jawatan dan memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa.
Meskipun ketika ini versi buku dalam talian (e-book) menjadi pilihan sesetengah pembaca, namun buku yang dipasarkan dalam bentuk kulit keras atau paper-back tetap menjadi pilihan, apatah lagi jika buku terbabit diadaptasi ke filem. Buku dalam kategori sedemikian bukan saja menambah publisiti kepada penulisnya, tetapi juga tambahan imbuhan dan penulis yang termasuk dalam senarai terbabit terkaya mendapat perhatian daripada majalah Forbes seperti berikut.

1. James Patterson

MEMILIKI 51 buku tersenarai dalam carta laris di pasaran dan penulis ini dianggarkan memiliki simpanan berjumlah RM210 juta, sebenarnya berkerja keras untuk kedudukan itu dengan memastikan dua novel lahir setahun bagi memastikan pembaca kekal bersamanya. Uniknya, Patterson fobia komputer dan menyiapkan novelnya dengan tulisan tangan sehingga mengagumkan dunia kesusasteraan dengan keupayaannya menghasilkan pelbagai genre dari komedi, romantik, thriller selain karya bukan fiksyen. Suatu lagi hakikat yang boleh menyebabkan ramai pengarang untuk berasa iri hati atau ‘bunuh diri’ ialah 17 karyanya kebelakangan ini membolehkan Patterson meraih RM300 juta.

2. Stephenie Meyer

TAHUN lalu, Meyer berjaya memperoleh RM120 juta walaupun dia tidak menghasilkan apa-apa buku kerana sejak 2005 apabila kisah cinta pontianaknya Twilight difilemkan, novel asalnya terjual lebih 100 juta naskhah di seluruh dunia dan diterjemahkan ke 37 bahasa. Sebelum Siri Twilight, Meyer banyak menulis cerpen dan kemasyhuran pengarang ini disumbangkan oleh filem dalam Siri Twilight yang menjadi kegilaan di seluruh dunia sehingga penulis ternama, Stephen King pernah berkata, ‘dia tidak boleh menulis, tetapi dia berada di tangga kedua,’

3. Stephen King

‘GODFATHER’ untuk genre seram kontemporari Amerika dan sains fiksyen, King menduduki tangga ketiga dengan pendapatan RM102 juta, walaupun bertarung dengan ketagihan alkohol yang teruk selain ketagihan dadah dan ubat-ubatan yang dipreskripsi, masih kekal sebagai penulis disegani. Dengan lebih 80 buku yang diadaptasi ke layar perak, King menerima pengiktirafan dunia atas kerja seninya, selain kerap menulis artikel di pelbagai jurnal dan majalah. Pada 2003, King dianugerahkan Pingat Sumbangan Terbilang Kepada Dunia Persuratan Amerika sebagai tanda mengiktiraf jerih payah pengarang terbabit dalam membangunkan dunia cereka negara itu,

4. Danielle Steel

PENGARANG yang terkenal sebagai ratu untuk genre romantis mempunyai lapan novel menduduki carta laris di pasaran jualan terlaris dan tahun lalu saja, jualan keseluruhan karyanya mencapai RM96 juta. Novelnya menduduki carta laris di pasaran di New York selama 390 minggu berturut-turut, manakala 20 lagi novelnya diadaptasi ke layar perak. Walaupun dikritik kerana kebanyakan novelnya mengulang formula kisah cinta klise, kebanyakan pembaca masih setia dengan Steel kerana keupayaannya menulis pelbagai topik dan Steel baru-baru ini mengumumkan novel ke-71nya akan diterbitkan dalam format e-book.

5. Ken Follett

PENULIS British ini memperoleh pendapatan RM60 juta tahun lalu hasil jualan novelnya dan citranya sebagai penulis genre historikal dan thriller, membolehkan novelnya terjual lebih 100 juta naskhah di seluruh dunia, dengan empat daripadanya menduduki carta jualan laris di pasaran New York. Follett muncul buat kali pertama pada 1978 menerusi novel Eye of the Needle yang mengisahkan mengenai percubaan perisik Jerman melarikan lari dari Britain, tetapi terkandas dengan sepasang suami isteri dan novel ini difilemkan pada 1981. Kebanyakan latar tempat dalam novel Follet dekat dengan dirinya, misalnya Salisbury London, selain Antigua dan Afrika Selatan, di samping ada sesetengah lokasi dalam karyanya itu sangat penting baginya dan isteri, bekas ahli Parlimen, Barbara Follet.

6. Dean Koontz

SETIAP tahun Koontz memperoleh RM54 juta dan Koontz memiliki 44 novel dalam carta jualan laris di pasaran terlaris serta menulis pelbagai genre, sains fiksyen, seram, tetapi Koontz lebih dianggap sebagai penulis genre thriller yang berjaya. Sebelum menggunakan nama sebenar, Koontz menulis dengan menggunakan nama samaran dan antaranya Trixy Koontz, selain hanya menggunakan nama sebenar apabila menghasilkan novel ke-35. Dengan 16 buku yang diadaptasi ke filem dan menerbitkan buku setiap tahun, Koontz dijangka kekal berada dalam carta laris di pasaran.

7. Janet Evanovich

WALAUPUN berjaya menjual lebih 20 juta naskhah setiap tahun, Evanovich memperoleh RM48 juta tahun lalu, sebenarnya mula menulis pada usia 40 tahun dengan 16 novel Evanovich berada dalam carta jualan laris di pasaran. Rutin penulisan Evanovich sangat ketat iaitu menulis lapan jam sehari dan 12 jam pada hujung minggu, memilih menulis dalam genre romantis, di samping khabarnya novelnya, Stephanie Plum bakal diadaptasi ke filem hujung tahun ini dengan Reece Witherspoon dan Katherine Heigl dikatakan antara calon watak utama.

8. John Grisham

BEKAS peguam ini tidak lari jauh daripada latar akademiknya dan dengan novel genre thriller kepeguaman, dia memperoleh RM45 juta tahun lalu. Novel karya Grisham mula memikat pembaca sejak 1989 dan hingga kini 16 filem sudah dihasilkan berdasarkan drama mahkamah tulisan Grisham. Ketika menulis A Time To Kill, Grisham memulakan rutin penulisannya bermula jam 5 pagi, namun usaha itu tidak memikat penerbit apabila naskhah awalnya ditolak, tetapi peristiwa itu tidak menyebabkan dirinya berputus asa. Grisham kemudiannya meninggalkan kerjaya sebagai peguam dengan menjadi penulis sepenuh masa dan sehingga kini 250 juta novelnya terjual di seluruh dunia.

9. Nicholas Sparks

SPARKS adalah muka baru dalam carta laris di pasaran dan tahun lalu beliau memperoleh RM42 juta dengan dua bukunya akan difilemkan tahun ini mungkin melonjakkan kedudukannya pada tahun depan, selain enam novelnya sudah difilemkan termasuk The Notebook. Pengarang ini memulakan kerjaya penulisan sejak 1985 ketika masih bersekolah, namun, waktu itu beliau gagal menarik perhatian penerbit. Sparks pernah memasuki sekolah perundangan, tetapi hanya separuh jalan sebelum bekerja sebagai ejen hartanah dan menjual peralatan perubatan melalui telefon, selain The Notebook yang muncul pada 1996 benar-benar mengubah kehidupannya.

10. JK Rowling

TERKENAL dengan siri ahli sihir muda, Harry Potter, Rowling cukup mengagumkan dan pengiktirafan seluruh dunia terhadap karyanya itu memungkinkan 400 juta naskhahnya itu dijual dengan mudah. Huruf JK pada hadapan nama Rowling sebenarnya adalah idea penerbit yang bimbang dengan kedudukan Rowling sebagai penulis wanita yang lazimnya gagal menembusi pasaran buku remaja yang dikuasai remaja lelaki. Bagaimanapun, buku ini bukan saja memikat remaja lelaki, tetapi juga perempuan sehingga difilemkan dan menambah kekayaan Rowling, selain publisiti untuk novelnya membolehkan Rowling disifatkan sebagai seorang daripada selebriti terkaya lagi berpengaruh di Britain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Memperingati kelahiran Rasulullah

PEMBACAAN kitab Syamail al-Nabiy dilakukan oleh barisan pelajar pusat tahfiz Darul Quran Wal Hadis.

SESUNGGUHNYA tiada nikmat di alam maya pada masa ini yang lebih besar daripada nikmat dikurniakan seorang Nabi pembawa rahmat bagi sekalian alam iaitu Junjungan Besar Rasulullah S.A.W.

Tanpa Baginda S.A.W dan pengorbanannya sudah pasti hari ini kita tidak akan mampu mengenal erti Islam, iman dan ihsan. Justeru, sebagai umatnya adalah tidak adil jika kita melupakan insan pembawa dan pejuang Islam yang sejati, Nabi Muhammad S.A.W.

Sedangkan Rasulullah S.A.W sendiri tidak pernah melupakan umatnya hatta tatkala nyawa berada di hujung tanduk, mulut Baginda S.A.W tidak henti-henti menyebut kalimah ‘ummati, ummati, ummati’ yang menunjukkan cinta dan kasihnya Rasulullah S.A.W terhadap kita.

Namun, apakah yang mampu umatnya berikan bagi membalas dan menghargai segala pengorbanan manusia agung tersebut? Adakah kita pada hari ini lebih mengasihi Baginda S.A.W lebih daripada diri dan keluarga sendiri? Adakah kita dapat mengenali Nabi Muhammad S.A.W sedangkan kita langsung tidak mempunyai pengetahuan terhadapnya? Persoalan ini perlu kita renungi dan jawab dengan sejujurnya bagi mengetahui sejauh mana kecintaan kita terhadap Rasulullah S.A.W.

Menyedari hakikat itu, sempena bulan yang penuh dengan wangian, Rabiulawal iaitu bulan kelahiran Nabi S.A.W, jawatankuasa Masjid Darul Ehsan di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Selangor dengan kerjasama Yayasan Sofa dan Darul Quran wal Hadis (Daqwah) tidak ketinggalan meraikan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1432 Hijrah.

BACAAN QASIDAH

Sejak 12 malam yang lalu, alunan merdu bacaan qasidah dan selawat yang mengandungi puji-pujian ke atas Rasulullah S.A.W menjadi sebutan di bibir para jemaah yang hadir untuk membesarkan Baginda S.A.W pada majlis penuh barakah itu.

Bait-bait syair yang dilagukan daripada kitab Mukhtasar fi Sirah al-Nabawiyyah (Ringkasan Sirah Nabawiyah) karangan al-Imam al-Hafiz Abdur Rahman ibn al-Daiba’ al-Syaibani, seorang ulama besar Sudan yang dilahirkan pada tahun 866 Hijrah begitu menusuk jiwa.

Di samping itu, para jemaah juga berpeluang mengikuti pembacaan kitab karangan al-Hafiz Muhammad ibn Isa Saurah al-Tarmizi r.a bertajuk Syamail al-Nabiy (Kesempurnaan Rasulullah SAW) yang berjaya dikhatamkan sepanjang 12 hari program berlangsung.

PEMBACAAN KITAB

Kitab yang diterjemah dan dikupas oleh Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki itu mengajak kita untuk mengenali keperibadian mulia Nabi Muhammad S.A.W dalam pelbagai aspek kehidupan yang dilaluinya.

Antaranya seperti cara Rasulullah S.A.W duduk, bersandar, makan, berbicara, berpakaian, memakai wangian, bergurau-senda, syair yang didendangkan, tidur, solat dan sebagainya.

Malah, kandungan kitab tersebut turut memperincikan tentang bentuk fizikal Baginda S.A.W termasuk sosok tubuhnya, bentuk khatam nubuwwah yang terdapat di antara kedua bahunya, potongan rambut dan uban yang tumbuh.

Menurut Sheikh Muhammad Fuad, pembacaan kitab itu bertujuan untuk mendekatkan umat Islam kepada Allah melalui pendekatan dan pencernaan benih-benih cinta dan kasih terhadap kekasihNya, Rasulullah S.A.W.

“Meraikan hari keputeraan Baginda S.A.W tidak lain tidak bukan adalah untuk membesarkan keagungan Allah SWT dan melahirkan kegembiraan serta kesyukuran di atas kurniaan yang tiada taranya ini.

“Sehubungan itu, saya berharap melalui usaha kecil ini ia mampu memberi impak yang besar terhadap masyarakat untuk mengenali Rasulullah S.A.W dengan lebih mendalam seterusnya mendorong kita agar lebih bersemangat mencernakan akhlak Baginda S.A.W dalam kehidupan dan menjadi insan Muhammadi yang hakiki,” kata beliau yang merupakan Nazir di masjid tersebut kepada Kosmo!.

SAMBUTAN SELURUH NEGARA

Bagi umat Islam di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul senantiasa diadakan di seluruh pelosok negara. Sama ada sambutan di peringkat kebangsaan, negeri atau daerah sehinggalah jawatankuasa masjid atau surau di sesebuah kariah, semuanya memainkan peranan dalam membesarkan majlis tersebut.

Hakikatnya, penganjuran majlis mengingati hari kelahiran Rasulullah S.A.W bermatlamat untuk memberi peringatan dan mengambil pengajaran dari sirah Baginda S.A.W. Ia juga termasuk dalam majlis ilmu yang menjadi satu bentuk dakwah bagi mengajak manusia mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Perkara ini diakui oleh Yang Dipertua Yayasan Sofa, sebuah badan dakwah yang aktif menganjurkan pelbagai sambutan pada hari-hari kebesaran Islam termasuk Maulidur Rasul, Dr. Yusri Mohamad.

Tegas beliau, majlis sambutan Maulidur Rasul merupakan usaha mentarbiah ahli-ahli dan masyarakat tentang kepentingan mengasihi Nabi S.A.W sebagai salah satu asas agama dan juga asas bagi kekuatan ummah.

“Di dalam al-Quran juga ada menyatakan bahawa sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah, itu adalah sebahagian daripada ketakwaan yang ada di dalam hati.

“Maka sudah tentu Nabi Muhammad S.A.W itu sendiri adalah sumber atau pintu kepada segala syiar Islam yang ada. Lantaran itu, sebagai mentaati perintah Allah dalam hal tersebut, majlis membesarkan Rasulullah S.A.W adalah contoh kasih kita kepada Baginda,” jelas Dr. Yusri yang merupakan Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sementara itu, Imam I Masjid Darul Ehsan, Mohamad Khairi Hussein memberitahu, terdapat tiga komponen utama yang dilaksanakan jawatankuasa masjid sempena majlis sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu komponen ilmu, amali dan kemasyarakatan.

“Dalam aspek komponen ilmu, ia diperoleh melalui pengkhataman kitab Syamail al-Nabiy yang di dalamnya terdapat pembacaan hadis-hadis berkaitan Rasulullah S.A.W dan sunnahnya.

“Ini diikuti dengan komponen amali menerusi bacaan zikir, selawat dan qasidah yang dapat menyuburkan lagi kasih sayang kita kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah, tahun ini kami berjaya menyempurnakan bacaan sejuta selawat yang dihadiahkan kepada Baginda.

“Komponen ketiga pula melibatkan kemasyarakatan iaitu dengan penganjuran majlis ini secara berjemaah dan melibatkan penyertaan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan darjat dan usia semata-mata bagi menautkan ukhwah di kalangan ummah,” ungkap Mohamad Khairi yang telah memegang jawatan tersebut sejak dua dekad lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita masjid berkenaan, Datin Halimah Nor Ismail tidak putus-putus melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas kejayaan program yang dianjurkan.

“Sebelum ini, kami hanya meraikan Maulidur Rasul pada tarikh 12 Rabiulawal sahaja. Tetapi, sejak Sheikh Muhammad Fuad dilantik sebagai Nazir, pelbagai majlis ilmu secara besar-besaran telah berjaya diadakan.

“Alhamdulillah, sepanjang 12 hari program ini berlangsung banyak manfaat yang kita peroleh dan diharap perkara baik sebegini akan berterusan pada masa akan datang,” tutur beliau yang mengakui kepenatan sewaktu menganjurkan majlis tidak langsung dirasai lantaran perasaan mahabbah yang terlalu mendalam diperoleh terhadap Rasulullah S.A.W.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU AGAMA : Hukuman hina sunnah perlu penambahbaikan

Oleh Samrahayu A Aziz

Akhlak, kepemimpinan Nabi Muhammad perlu dicontohi


SELAMAT menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Hari kegembiraan kepada umat Islam yang mengetahui dan menghayati kedatangan utusan Allah SWT yang terakhir, utusan yang membawa umat manusia ke arah agama sempurna, akhlak mulia dan terpuji serta sistem kehidupan yang tersusun rapi,

Walaupun hari ini bukanlah satu-satunya hari kita mengingati Rasulullah SAW, ia adalah antara hari yang kita perlu tingkatkan ingatan kita kepada Baginda serta mengambil pengajaran berkaitan keperibadiannya.

Kita semestinya bernasib baik kerana berada di negara yang mengambil berat mengenai kepercayaan Islam dan mengagungkan kedudukan Rasulullah SAW. Mungkin ada antara kita yang terleka daripada mengingati tarikh 12 Rabiulawal ini kerana terbiasa dengan hitungan hari mengikut kalendar masihi, bukan kalendar hijrah. Namun kita beruntung untuk menyedari kehadiran hari kelahiran Rasulullah SAW kerana negara mengisytiharkan hari ini sebagai cuti umum.

Dari sudut kepercayaan dan keimanan Islam kedudukan Rasulullah SAW dan segala sunnah Baginda adalah wajib dihormati dan dipercayai. Sunnah Rasulullah dari sudut undang-undang adalah sumber kedua terpenting selepas al-Quran. Oleh itu, sudah tentu kedudukan sunnah ini hendaklah sentiasa dipelihara.

Undang-undang yang kita ada berkaitan kedudukan sunnah di Malaysia agak memadai setakat ini. Kita mempunyai undang-undang yang menghukum sebarang penghinaan terhadap sunnah Rasulullah. Semua negeri di Malaysia mempunyai undang-undang berkaitan. Peruntukan itu membawa hukuman maksimum RM5,000 atau hukuman penjara selama tiga tahun.

Walaupun begitu, kita perlu penambahbaikan mengenai hukuman dan pelaksanaan undang-undang terbabit. Sementara itu, undang-undang berkaitan penghinaan terhadap diri Rasulullah sendiri (selain daripada sunnah Baginda) perlu juga diambil perhatian.

Kita masih belum ada undang-undang yang terperinci mengenai perkara ini, kecuali kemungkinan menggunakan peruntukan dalam Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan undang-undang berkaitan ketenteraman awam.

Peruntukan Kanun Keseksaan boleh ditafsirkan sebagai menjaga kedudukan Rasulullah kerana ia menghukum sebarang penghinaan terhadap objek mulia di sisi sesuatu agama.

Mungkin kita pernah mendengar dan melihat cercaan atau penghinaan terhadap Rasulullah berlaku di negara lain. Ia sudah tentu membingitkan telinga kita kerana cinta kita kepada Rasulullah. Terbitan seperti The Satanic verses, karikatur Denmark dan kenyataan seorang ahli Parlimen Denmark mengenai Rasulullah SAW menjadi ilustrasi kepada penghinaan itu. Keadaan seumpama ini tidak harus berlaku di negara kita.

Antara perkara lain yang kita perlu ambil perhatian ketika mengingati Rasulullah di hari kelahirannya ialah akhlak Baginda. Rasulullah diutus Allah untuk menyempurnakan akhlak umat manusia, seperti mana sabdanya yang bermaksud, ‘sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’. Aisyah RA pernah menyatakan bahawa akhlak Rasulullah adalah al-Quran.

Ini harus menjadi cabaran untuk kita menilai sejauh manakah akhlak kita menepati ajaran al-Quran dan mengikuti peribadi Rasulullah SAW dengan meletakkan al-Quran dan sunnah Rasulullah sebagai kayu ukur, di manakah akhlak kita?

Adakah kita masih mahu memperjuangkan hak asasi atau hak peribadi yang secara terang dan nyata bertentangan dengan akhlak al-Quran yang diamalkan Rasulullah? Adakah seseorang atau sekumpulan yang mengajak ke arah kebaikan berdasarkan al-Quran dan sunnah adalah kumpulan yang menyekat hak kebebasan? Jawapannya sangat jelas. Perlakuan itu amat jauh sekali daripada akhlak Rasulullah.

Pengertian sabda Baginda berkaitan menyempurnakan akhlak yang mulia ini sangat luas untuk kita jadikan panduan. Ia bersifat menyeluruh dan merangkumi sifat peribadi dan personaliti seseorang sebagai individu biasa atau individu yang mempunyai tanggungjawab tertentu sama ada sebagai pemimpin besar atau pemimpin kecil.

Dalam aspek kepemimpinan dan kenegaraan, akhlak Rasulullah bersinar jelas. Sunnah dan akhlaknya sudah digariskan, antara lain melalui Sahifah Madinah atau dikenali sebagai Perlembagaan Madinah. Dokumen ini adalah perlembagaan bertulis pertama di dunia seperti mana ditegaskan penulis terkenal Muhammad Hamidullah dalam tulisannya The First Written Constitution dan The Prophet Establishing A State.

Sahifah Madinah yang diperkenalkan beberapa bulan (ada sesetengah penulis menyatakan beberapa minggu) selepas hijrah Baginda ke Madinah meletakkan akhlak dalam kepemimpinan Rasulullah.

Antara dua perkara penting di dalam dokumen berkenaan ialah tanggungjawab pemerintah dan juga tanggungjawab rakyatnya serta dasar hubungan antara puak yang mendiami dan mengunjungi Madinah.

Dasar ini, pada hakikatnya ialah untuk menyedarkan pemimpin mengenai amanah yang dipegang dan mengingatkan rakyat mengenai tanggungjawab mereka, bukan saja hak mereka. Secara umumnya Sahifah Madinah ini menyediakan landasan keperibadian dan akhlak Rasulullah serta penduduk Madinah.

Dasar ini juga adalah untuk menangani masalah yang timbul di dalam kepelbagaian kaum, budaya dan agama antara pelbagai puak di Madinah pada masa itu yang keadaannya agak tenat. Mereka berperang antara satu sama lain dan amat sukar untuk bersepakat.

Namun, akhlak atau keperibadian di bawah pimpinan Rasulullah berjaya menjadikan Madinah sebagai pusat berkembangnya keamanan dan kegemilangan Islam.

Keperibadian al-Quran yang ditonjolkan Rasulullah bukanlah teori semata-mata. Baginda mengamal dan membuktikan kejayaannya di Madinah. Walaupun keperibadian kita tidak seumpama Rasulullah, tetapi kemahuan kita untuk berusaha mengamalkan akhlak Baginda adalah sudah cukup baik dalam menzahirkan cinta dan kasih kita kepada Baginda.

Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIA.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SUKAN : Sukan sekolah untuk semua murid

KEMENTERIAN Pelajaran akan menggerakkan usaha secara besar-besaran bagi menghidupkan semula aktiviti sukan di sekolah-sekolah yang selama ini kurang diberi perhatian". Itulah antara intipati ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran ketika berucap pada satu majlis penyampaian hadiah dan derma sempena Kejohanan Tan Sri Muhyiddin (TSM) Patron's Cup di Mines Golf Resort dua tahun yang lalu.

Iltizam dan cita-cita beliau tersebut amat murni dan natijahnya pada hari ini kita melihat aktiviti sukan di sekolah-sekolah kembali subur dan kita lihat anak-anak kita begitu ceria dan gembira dengan pakaian sukan masing-masing.

Namun begitu, dalam kita ingin menjayakan aktiviti sukan ini ada perkara yang perlu kita renung agar matlamat sebenar aktiviti serta pendidikan sukan dapat dicapai.

Bagi mencapai matlamat dalam pendidikan sukan, para guru terutama guru-guru rumah sukan di setiap sekolah perlulah mempunyai jiwa yang besar. Sekiranya guru-guru terlibat masih mempunyai jiwa yang kerdil, maka mereka hanya melihat dari satu aspek sahaja iaitu menang, menang dan menang.

Mereka hanya akan melihat kepada jumlah pingat yang berjaya dipungut. Jika itulah matlamatnya maka matlamat asal sukan itu sendiri tidak akan berjaya dicapai.

Jika hanya jumlah pingat yang diburu maka kita akan melihat ada di kalangan murid yang mungkin menyertai hampir kesemua acara sukan yang dipertandingkan manakala mungkin ada di antara murid yang langsung tidak terpilih untuk mana-mana acara sekalipun kerana sifat fizikal tubuh badannya tidak memungkinkan mereka untuk memenangi apa-apa acara yang dipertandingkan.

Kita harus terima hakikat bahawa tidak semua kanak-kanak dilahirkan untuk menjadi atlet dan mempunyai susuk badan yang tegap. Kanak-kanak ini mungkin mempunyai susuk badan yang kecil, mungkin ada yang agak berisi atau ada yang terlampau kurus.

Namun begitu janganlah ketepikan mereka hanya kerana inginkan rumah sukan kita mencapai kemenangan. Falsafah pendidikan sukan tentulah lebih daripada itu. Ia adalah soal semangat setiakawan, semangat berpasukan, semangat ingin mencuba, semangat meraikan kemenangan rakan sepasukan, semangat bersedia untuk menerima kekalahan, memupuk perasaan yakin diri serta semangat juang yang tinggi selain untuk merangsang minda dan tubuh badan supaya sentiasa cerdas dan cergas.

Semua murid berhak untuk mendapat layanan yang adil dan perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi diri mereka dalam semua bidang termasuklah bidang sukan. Inilah cabaran dan amanah yang perlu dilaksanakan oleh para guru.

Sekiranya para guru hanya memilih pelajar yang mampu menang semata-mata, murid yang kurang berkemampuan dari segi fizikal akan terus menjadi penonton.

Sekalipun berpakaian sukan seperti murid-murid yang lain, mereka mungkin hanya mampu menjadi pemerhati di tepi-tepi padang atau di khemah rumah sukan masing-masing.

INSAN PRIHATIN

Terengganu

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 13 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : Tak Peka Budaya Ilmu

Terlalu berkira untuk belajar

Oleh Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my

BAGAI tiada kesudahan, isu pencapaian mahasiswa di menara gading sering kali dijadikan modal pertelingkahan dan perdebatan yang akhirnya mengundang persepsi negatif masyarakat.

Apatah lagi momokan seperti tiada daya juang, gagal bersuara, tidak patriotik selain minda tepu dijadikan modal menghentam golongan terbabit menjadikan senario berkenaan tidak berpenghujung.

Lebih memburukkan keadaan apabila warga IPT menjadi antara penyumbang terbesar masalah gejala sosial kini menyebabkan masyarakat tertanya-tanya, apa jadi kepada golongan diiktiraf bijak serta terpelajar ini.

Jika mereka tiada penghayatan tulen terhadap proses pembudayaan ilmu bolehkah golongan ini memikul tanggungjawab berat mentadbir negara pada masa depan? Atau adakah masyarakat bersalah kerana terlalu cerewet dan enggan mengikut rentak dunia mahasiswa yang kian moden.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, Prof Dr Zakaria Kasa, berkata kurang kesedaran kepentingan ilmu menyebabkan mahasiswa mengambil mudah konsep pembudayaan ilmu serta pendidikan.

Malah, katanya sikap segelintir mereka yang terlalu culas dan berkira untuk belajar bagai membenarkan lagi tanggapan masyarakat mahasiswa memasuki IPT hanya untuk mendapatkan segulung ijazah biarpun tanpa kualiti.

"Inilah dilema IPT masa kini. Bagi mereka, apabila diterima masuk ke menara gading, bermakna ilmu itu sudah tersedia dengan sendirinya.

"Ilmu itu sangat luas dan perlu dicari, bukan hanya menunggu atau diberi pensyarah. Fungsi IPT untuk merancak, menyalur serta meninggikan martabat ilmu bagi melahirkan golongan terpelajar dan berkualiti dalam hidup.

"Diterima belajar di IPT, tidak bermakna seseorang itu sudah pandai kerana proses sebelum mencapai satu kedudukan diiktiraf masyarakat memerlukan pelbagai kesukaran, pengalaman dan kemantapan ilmu.

"Mahasiswa perlu sedar hakikat ini dengan meletak proses penjanaan ilmu itu sebagai budaya penting di menara gading. Malangnya mereka sering alpa dengan keseronokan dan kebebasan," katanya.

Isu pengangguran mahasiswa yang tiada kesudahan, pencapaian kurang memuaskan selain masalah sosial yang semakin merebak menjadikan golongan terbabit dipersalahkan masyarakat.

Dr Zakaria, berkata menyalahkan masyarakat tidak mendatangkan manfaat kerana mereka komuniti terbesar yang bebas menyuarakan pendapat atau pandangan.

Katanya, mahasiswa sendiri perlu bangkit membuktikan tanggapan itu salah.

"Dalam konteks ini, masyarakat adalah komuniti yang bebas melahirkan pandangan, emosi atau kritikan dan mahasiswa tidak boleh melenting sebaliknya perlu berfikiran terbuka dan menerima teguran.

"Masyarakat mahukan yang terbaik kerana golongan IPT ini menjadi sandaran. Mereka penerus kesinambungan negara yang bakal menentukan corak serta hala tuju masyarakat lain pada masa depan.

"Jika budaya ilmu semakin kurang menyerlah atau tidak dihargai, bolehkah masyarakat yakin pada mereka? Sebab itu golongan ini perlu bangkit, ubah sikap dan sukakan ilmu.

"Inilah cabaran sebenar iaitu bagaimana mahu 'menutup' mulut masyarakat daripada terus bersuara," katanya mengakui proses pembudayaan ilmu di kalangan mahasiswa perlu dilakukan secara berterusan, agresif selain disuntik dengan elemen nilai keperibadian unggul.

"Impak proses ini bukan boleh dilihat sekelip mata sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan.

"Konsep pembudayaan ilmu terhasil melalui pengalaman, pengukuhan pengetahuan dan perkongsian serta penyebaran maklumat," katanya.

Beliau menyarankan mahasiswa merebut peluang sepanjang tempoh pengajian untuk memantapkan penguasaan ilmu.

"Minda perlu terbuka, anjakan paradigma mesti dilakukan dan memahami konsep memperoleh ilmu tidak semestinya menerusi buku semata-mata.

"Perkongsian maklumat dengan pensyarah, penyelidikan, kerja lapangan, latihan industri serta komunikasi dengan masyarakat luar juga proses pembudayaan ilmu.

"Perlu akur dan menerima hakikat, masyarakat akan terus membuat penilaian tanpa henti sama ada suka atau tidak.

"Ini bukan memperlekehkan, tapi sebagai dorongan ke arah anjakan minda yang lebih baik, jadi terpulang sama ada untuk mengalah atau tidak," katanya.

INFO:
Penasihat Persatuan Mahasiswa Islam (Permai) Prof Madya Syed Omar Syed Agil, menggariskan kriteria mahasiswa bermoral sebagai:
> Harus berpegang teguh pada ajaran agama.
> Mentaati dan menghargai kedua ibu bapa
> Mampu mengawal nafsu
> Menghiasi diri dengan sikap, percakapan dan perbuatan yang baik.
> Tegas dengan prinsip dan tidak bersedia untuk menggadaikan prinsipnya
> Tidak menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan agama

Sumber : http : //www.hmetro.com.my