Jumaat, 27 Mei 2011

ISU ALAM SEKITAR : Pemantauan awal elak tragedi tanah runtuh

ROSMIDZATUL AZILA MAT YAMIN

SABTU lalu, sekali lagi negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat. Lebih menyayat hati apabila tragedi pada kali ini telah mengakibatkan 16 nyawa tidak berdosa terkorban. Menyoroti kejadian tanah runtuh yang berlaku di Malaysia, ia bukanlah kali pertama.

Apabila tragedi seumpama ini berulang lagi, timbul persoalan kepada kita di manakah janji pihak-pihak berkepakaran untuk mencari penyelesaian konkrit agar kejadian sama tidak berulang setiap kali selepas sesuatu insiden tanah runtuh berlaku? Malah, setiap kali terjadinya sesuatu insiden tanah runtuh yang mengorbankan nyawa pastinya kita mendengar pelbagai usulan, cadangan, langkah dan pemantauan dari semasa ke semasa yang dijanjikan bagi mengelak insiden seumpama ini berulang.

Namun, ia hanyalah bersifat sementara dan dilihat sebagai 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja apabila semua yang dicanang hanya sekadar berlegar dibibir semasa kejadian masih lagi 'panas' dan semakin dilupakan apabila ia berlalu dan reda.

Natijahnya, sekali lagi kita menyaksikan nyawa menjadi taruhan dek sikap sambil lewa pihak-pihak berwajib dalam memastikan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi sentiasa di bawah pemantauan dan tindakan awal dapat diambil agar tragedi seumpama ini dapat dielak.

Dalam hal ini, pihak-pihak berwajib seharusnya sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab moral terhadap rakyat yang seharusnya dilunaskan dengan sebaik mungkin. Oleh yang demikian, mereka perlu memastikan setiap tindakan yang diambil adalah serius dan untuk jangka panjang bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.

Selain itu, pihak berwajib juga perlu peka dan tidak memandang enteng apabila sesuatu aduan dibuat oleh penduduk. Sebaliknya, mereka harus bertindak pantas mengkaji dan mencari penyelesaian kepada segala permasalahan yang timbul. Bahkan, pihak berwajib yang mengawal dan menguruskan pembangunan di kawasan tanah tinggi juga sepatutnya lebih prihatin serta mengambil langkah awal pencegahan dan pengawalan, bukan pemulihan sesudah berlakunya sesuatu tragedi.

Ini penting kerana dengan tindakan awal yang diambil ia mungkin mampu mengelak daripada berlakunya sebarang malapetaka yang boleh mengundang bahaya kepada penduduk sekitar. Apa yang begitu penting, sebelum meluluskan setiap pembangunan di kawasan berisiko tinggi, ia perlulah mengambil kira kriteria-kriteria yang sepatutnya dan berpandukan kepada garis panduan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pakar geologi.

Begitu juga dengan proses sebelum membina sesebuah bangunan, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian dan dititikberatkan ialah mengkaji terlebih dahulu pelbagai aspek keselamatan secara menyeluruh untuk jangka panjang.

Sebagai langkah kawalan, semua kawasan pembangunan sedia ada yang dibina di pinggir-pinggir dan lereng-lereng bukit perlu ditinjau semula, dinilai tahap keselamatan dan diklasifikasikan sama ada ia berada pada tahap berisiko, kurang berisiko atau selamat. Ini untuk memudahkan pemantauan dari semasa ke semasa dibuat bagi mengelakkan sebarang tragedi lebih buruk berlaku pada masa akan datang.

Apa yang penting, kejadian ini harus dijadikan pengajaran untuk kita bermuhasabah diri dan kembali kepada saranan Islam yang sebenar-benarnya dalam aspek penjagaan alam sekitar.

Dalam konteks penjagaan alam sekitar, al-Quran dan sunnah telah memberi penekanan yang serius dan garis panduan yang jelas agar alam sekitar diurus dengan penuh bijaksana. Malah, aspek pelestarian dan kepentingan alam sekitar telah dinukilkan secara tersirat dan tersurat di dalam banyak ayat al-Quran dan hadis.

Jika sikap menyayangi dan memelihara alam sekitar ini tidak tersemai kukuh dalam jiwa setiap individu muslim, ia pastinya bakal mengundang kemusnahan dan musibah yang lebih hebat lagi. Dan pastinya musibah tersebut kelak akan menimpa diri kita sendiri dan anak cucu kita pada masa akan datang.

Kita juga seharusnya menyedari bahawa hakikat sistem keseimbangan dalam alam sekitar telah diprogramkan dengan begitu sempurna oleh Maha Pencipta (Allah SWT) yang setiap satu komponen di dalamnya memainkan peranan dan fungsi masing-masing.

Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti kita menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu kita laksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab. Malah, perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga dianggap sebagai menodai fungsi kekhalifahan yang telah diamanahkan kepada kita. Ini memandangkan, bumi bukan milik mutlak kita untuk kita berbuat sesuka hati.

Sebaliknya ia adalah milik Allah yang dipinjamkan sementara kepada kita serta dituntut untuk kita menjaganya dengan sebaik mungkin. Oleh itu, janganlah kita sekali-kali bertindak melampaui batas terhadap alam seolah-olah ia tidak dihisab dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 25 Mei 2011

ISU PENDIDIKAN : Sembilan Lagi Sekolah Diiktiraf Sebagai SBT (Sekolah Berprestasi Tinggi)

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu mengumumkan sebanyak sembilan buah sekolah lagi diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort Dua bagi Kumpulan Kedua, menjadikan jumlah SBT pada tahun ini sebanyak 32.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi diberikan status SBT tahun ini ialah 50 buah sekolah.

"Ia dicapai melalui program handholding atau bimbingan kepada sekolah-sekolah yang berpotensi, yang dapat mengenal pasti kekuatan dan kekurangan masing-masing untuk mencapai status SBT," katanya pada majlis pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Sebanyak 20 buah sekolah telah diumum sebagai SBT Kohort Pertama pada tahun lepas, menjadikan jumlah keseluruhan sekolah SBT setakat ini 52 buah di seluruh negara.

Muhyiddin berkata sembilan sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban; Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu; Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Sains Kuching, Sarawak, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, Kuala Selangor dan Sekolah Menengah Agama Naim LilBanat, Kota Baharu.

Bagi kategori sekolah rendah, pengiktirafan SBT diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tung Hua, Sibu.

Muhyiddin berkata terdapat SBT yang dilawati oleh negara luar seperti Singapura, Thailand, China, Jepun dan Finland bagi tujuan penandaarasan.

Katanya ini membuktikan bahawa sekolah ini telah berjaya menarik minat negara lain untuk mengadakan kerjasama bagi tujuan peningkatan pencapaian secara keseluruhan.

Beliau berkata pengiktirafan SBT tertakluk kepada satu set KPI merangkumi bidang akademik (50 peratus), kokurikulum (30 peratus), Jaringan dan Jalinan (10 peratus) dan Etos & Watak Sekolah (10 peratus). - BERNAMA

Pesalah Juvana : Sekolah integriti sedia kemudahan lengkap

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my

SEJAJAR dengan slogan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), 'Pendidikan untuk Semua', Kementerian Pelajaran tidak mengetepikan pesalah Juvana untuk mendapatkan pendidikan seperti rakan mereka di sekolah biasa.

Menyedari pentingnya pendidikan untuk semua, kerajaan menubuhkan sekolah integriti, institusi pendidikan untuk pesalah juvana pada 2008. Penyediaan kemudahan itu sebagai usaha menjana modal insan tidak kira tempat mereka berada atau tahap umur pelajar.

Sekolah integriti untuk pesalah berusia 21 tahun ke bawah ditempatkan dalam kawasan penjara biasa tetapi semua kemudahan diasingkan daripada banduan lain.

Sekolah berkenaan beroperasi di Sungai Petani, Kedah; Kajang, Selangor; Kluang, Johor; Marang, Terengganu; Kota Kinabalu, Sabah; dan Kuching, Sarawak.

Ketua Unit Pendidikan, Ibu Pejabat Penjara, Shamsuddin Mustapha, berkata kini ada 89 guru bertugas di enam sekolah integriti dan tiga Sekolah Integriti Henry Gurney.

Selain itu, beliau berkata, Bahagian Pendidikan Khas, bertanggungjawab mentadbir Sekolah Henry Gurney yang ditubuhkan lebih awal dan kini ditukar nama iaitu Sekolah Integriti Henry Gurney Telok Mas, Melaka (lelaki dan wanita) serta Sekolah Integriti Henry Gurney Keningau, Sabah.

“Guru berkenaan bertanggungjawab mendidik 753 pesalah juvana berusia antara 14 hingga 21 tahun tetapi kebanyakan mereka berusia 17 hingga 19 tahun,” katanya ketika ditemui di Penjara Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Shamsuddin berkata, sekolah integriti menggunakan kurikulum sama dengan sukatan pelajaran sekolah biasa dan mempunyai kemudahan sama di sekolah luar penjara iaitu bilik darjah, makmal komputer, padang atau gelanggang sukan, surau dan bilik guru.

Beliau berkata, pesalah juvana yang sudah disabitkan kesalahan atau masih ditahan reman yang baru dimasukkan ke mana-mana sekolah integriti akan menjalani proses orientasi selama 14 hari.

Tempoh ini katanya, bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan suasana sekolah dengan bimbingan agama untuk pelajar Islam, kawat dan disiplin diri.

“Selepas itu, mereka ditemubual penyelia penjara, guru dan kaunselor untuk menilai tahap akademik atau kecenderungan mereka sebelum disalurkan ke aliran akademik, kemahiran atau pendidikan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Komandan Sekolah Integriti Kajang, Ketua Inspektor Noor Alang Wangsa Mohamad Nor, berkata sekolah itu mempunyai 226 pelajar termasuk enam dalam pendidikan tinggi, iaitu menyambung pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dengan OUM.

Katanya, kebanyakan pesalah dan tahanan reman itu melakukan kesalahan samun, merogol dan bergaduh serta bergaduh dengan senjata.

“Hanya segelintir daripada mereka disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Senjata Api atau Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau kesalahan bersabit dadah,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL(JENAYAH) : Gunakan Air Dan Serbuk Penaik Untuk Kurangkan Kesan Asid

KUALA LUMPUR: Beberapa siri insiden serangan asid di Lembah Klang baru-baru ini jelas menimbulkan ketakutan di kalangan orang awam, terutamanya kaum wanita.

Sehingga kini, sejumlah 23 kes dilaporkan sejak Mac namun orang yang bertanggungjawab masih bebas lepas.

Namun, seorang pakar kimia Prof Dr Zainudin Arifin berkata orang ramai tidak seharusnya berasa cemas dan terancam dengan insiden berkenaan.

"Mereka seharusnya keluar dan pergi bekerja seperti biasa, dan pada masa sama mereka hendaklah mengambil tindakan dan langkah keselamatan. Kesan akibat simbahan asid boleh dikurangkan jika mereka tahu apa yang hendak dilakukan," katanya kepada Bernama, Selasa.

Bagi mencegah kesan penghakisan teruk dan kecacatan kekal pada kulit, Zainudin daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya menasihatkan kaum wanita supaya membawa sebotol air dalam beg tangan mereka dan menggunakannya untuk mencuci simbahan asid jika kejadian seumpamanya berlaku kerana air adalah bahan pelarut mudah mencairkan kimia.

"Cuci bahagian badan dan bersihkan simbahan asid dengan menggunakan sebanyak air yang mungkin kerana masa amat kritikal ketika ini. Jika anda melengahkan pencucian asid itu, kesan lebih buruk dan menakutkan akan berlaku.

"Dapatkan sebanyak air dan berada di dalam aliran air sekurang-kurangnya 15 minit, lebih baik jika dapat 30 minit, kemudian tukar pakaian dan hanya selepas itu anda dapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata jika serbuk penaik, sodium bikarbonat boleh diperoleh, mangsa simbahan asid boleh mencampurkannya dengan air dan meletakkan di kawasan yang terkena simbahan asid bagi meneutralkan kesan asid berkenaan.

"Dan jika dalam paling teruk di mana tiada air boleh diperoleh, lap kawasan yang terkena simbahan asid dengan sebersih-bersihnya," kata beliau.

Beliau juga mencadangkan kaum wanita menggunakan alat pelindung keselamatan seperti kaca mata besar. Mengenai insiden simbahan asid yang berlaku di sekitar Lembah Klang ini, Zainuddin percaya bahan yang digunakan dalam serangan berkenaan bukan larutan beralkali seperti yang dilaporkan tetapi adalah asid cair.

Katanya terdapat empat jenis asid yang lazimnya mudah diperoleh di pasaran iaitu asid formik, asid hidroklorik, asid sulfurik dan asid nitrik.

Beliau berpendapat bahawa cadangan kerajaan untuk mengawal jualan asid di pasaran tidak sesuai dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

"Jika ada seorang yang lemas, adakah kita akan melarang semua orang daripada berenang? soalnya.

Beliau berkata cadangan ini juga tidak membantu memandangkan asid merupakan bahan penting bagi kebanyakan industri pembuatan dan pertanian.

Asid boleh diperoleh dengan mudah di kedai-kedai menjual alat perkakasan dan ia juga digunakan untuk tujuan pembersihan.

"Mengenai kegunaan asasnya, asid sangat berkesan sebagai agen bagi membersihkan kotoran.

"Dan sebagai negara perindustrian, kita menggunakan banyak asid terutamanya asid sulfurik, yang juga merupakan sejenis bahan yang paling banyak dikeluarkan dan bahan penghakis paling berkesan," katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilaporkan sebagai berkata beliau akan mencadangkan kepada Kabinet untuk menghadkan penjualan asid berikutan insiden yang berterusan berlaku itu. - BERNAMA

Selasa, 24 Mei 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu amat kaya kata

Oleh Teo Kok Seong
bhnews@bharian.com.my

UKM antara pihak berusaha memodenkan ungkapan teknikal

KETIKA menyampaikan syarahan utama sempena Ekspo Pemacuan Kegemilangan Warisan Ilmu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 3 Mei lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan bahawa UKM terus berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sejak ia ditubuhkan pada 18 Mei 1970. Ini sesungguhnya selari dengan misi UKM untuk menjadi universiti terpilih yang memartabatkan bahasa Melayu, selain mensejagatkan ilmu beracuankan budaya kebangsaan.

Sehubungan itu, seperti yang ditegaskan oleh Khaled, UKM tidak pernah tergelincir daripada mendukung misi ini dan beliau mendapati UKM dapat merealisasi hasrat itu atas tiga landasan. Pertama, ilmu sejagat ditafsir dan diadun untuk dimanfaatkan dalam konteks Malaysia melalui bahasa Melayu.

Kedua, dalam menjulang tema kepelbagaian bahasa sebagai kecenderungan global untuk pengungkapan ilmu semasa, bahasa Melayu tetap dijunjung tinggi, manakala bahasa dominan lain didukung saja. Ketiga, selain menjadi bahasa ilmu utama, bahasa Melayu dipastikan juga adalah lambang negara yang penting, antaranya dalam menonjolkan jati diri kebangsaan.

Sesungguhnya UKM adalah sebuah universiti istimewa. UKM luar biasa dalam pengertian ia adalah satu-satunya universiti kebangsaan dan memiliki sejarah penubuhannya yang unik sekali. Antaranya untuk membuktikan daya bahasa Melayu yang boleh juga menjadikan bahasa ilmu tinggi, seperti dan setanding dengan bahasa lain yang berjaya di pelbagai tempat lain.

UKM yang kini berusia 41 tahun membuktikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu tinggi, untuk apa juga disiplin ilmu. Antaranya termasuk sains nuklear, teknologi maklumat dan kejuruteraan bioperubatan. Dengan ini, bahasa Melayu sebetulnya adalah setaraf dengan beberapa bahasa ilmu lain. Malah, ia mampu mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh bahasa Inggeris dalam banyak hal.

Untuk sesuatu bahasa itu berfungsi sebagai bahasa pengantar di peringkat pengajian tinggi, ia terlebih dulu perlu melalui proses pemodenan kata, khususnya dalam konteks mempunyai bilangan istilah yang agam. Sesungguhnya, bahasa Melayu sudah lama melalui proses ini dan kini memiliki tidak kurang daripada sejuta istilah yang digubal untuk digunakan oleh ratusan bidang ilmu.

Kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sebetulnya adalah usaha perancangan rapi yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak ditubuhkan pada 22 Jun 1956, dua jenis perancangan dijalankan oleh DBP dengan jayanya, iaitu perancangan taraf dan perancangan korpus.

Antara kegiatan perancangan taraf ini ialah kempen pada 1960-an untuk menyakinkan golongan bukan Melayu mengenai kebaikan mempelajari bahasa Melayu dalam konteks kenegaraan. Sehubungan itu, perancangan taraf bahasa Melayu banyak dikaitkan dengan penyelesaian isu dan masalah sosial bahasa Melayu, yakni yang berkaitan dengan masyarakat penggunanya.

Manakala kegiatan perancangan korpus memberi tumpuan kepada bahasa Melayu itu sendiri, khususnya mengenai pelbagai aspek dalamannya. Antaranya adalah pembaharuan ejaan dan tulisan, penyeragaman sebutan, perubahan struktur, pengembangan kosa kata, pemupukan laras serta penyediaan bahan untuk tujuan pendidikan.

Untuk bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi, prosedur pembakuan perlu dilakukan untuk tujuan formulasi satu set norma bahasa. Ini adalah usaha besar dan hanya boleh dilakukan oleh agensi bahasa seperti DBP. Dalam hal ini, UKM ikut dibabitkan untuk membantu dalam merancangkan korpus tertentu, terutama pemilihan dan pengembangan kata yang sesuai.

Kata dalam bahasa Melayu yang kini bahasa negara, tidak dapat dinafikan amat kaya dengan pelbagai sumber untuk mengungkapkan banyak bidang komunikasi tradisional. Namun, ia didapati kurang mencukupi dari segi istilah teknikal untuk membolehkannya mengungkapkan komunikasi moden.

Sehubungan itu, kata baharu perlu dicipta. Untuk ini, beberapa kaedah digunakan. Antaranya termasuk kata asing diserapkan secara langsung dengan atau tanpa perubahan mengikut sistem bahasa Melayu, kata asli bahasa Melayu yang usang dikembalikan penggunaannya, dan penggabungan bentuk baru daripada kata yang sedia ada.

Usaha memodenkan kata adalah aspek perancangan korpus bahasa Melayu yang paling penting. Ia perlu dilakukan untuk membolehkan bahasa Melayu mengembangkan kata bagi berbicara mengenai bidang teknologi serta pelbagai ranah bahasa yang sebelum ini tidak wujud.

Pemodenan kata adalah proses yang bertujuan mencari kaedah terbaik untuk mempertingkat kata dalam bahasa Melayu, bagi mengungkapkan pelbagai teknologi baru yang mempunyai impak besar ke atas masyarakat Malaysia.

Dengan teknologi menjadi semakin sejagat, wujud keperluan untuk menyeragam dan menyatukan istilah teknikal bahasa Melayu yang merentasi wilayah geografi dan kelainan bahasa. Ini adalah untuk memudahkan perbincangan mengenai teknologi yang digunakan bersama itu oleh beberapa negara. Hal ini ditangani dengan baik oleh Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Sebagai universiti negara, UKM tetap akan mendukung Dasar Bahasa Negara. UKM akan terus memartabatkan bahasa Melayu, khususnya dalam kapasitinya sebagai bahasa ilmu tinggi, selain sebagai lambang kedaulatan negara serta etos dan kedudukan bangsa dan negara Malaysia.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Status STPM Perlu Diangkat & Dipertahankan

FELIX LIM, KUALA LUMPUR

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Isnin, 23 Mei 2011

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan Alam Sekitar penting

Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang menyatakan rasa kesal kerana tragedi tanah runtuh melibatkan Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa Felcra Semungkis, Batu 14 Hulu Langat sebenarnya boleh dielakkan.

Ini kerana, pihak berkenaan mengesan pergerakan tanah di kawasan itu sebelum ini tetapi tidak melaporkan kepada pihak bertanggungjawab.

Berdasarkan kenyataan tersebut, jelas sekali rakyat Malaysia kurang berpengetahuan tentang elemen alam sekitar yang perlu diberi perhatian untuk mengelakkan berlakunya tragedi.

Peristiwa tanah runtuh di Madrasah At-Taqwa bukanlah kali pertama di negara kita. Malah sudah berulang kali.

Namun kejadian sebelum ini seolah-olah tidak pernah menjadi pengajaran kepada sesiapapun. Pembinaan struktur bangunan di kawasan lereng bukit masih lagi berleluasa.

Ilmu pengetahuan diiringi dengan kesedaran yang akan membentuk amalan yang baik terhadap alam sekitar amat penting diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bukan tidak ada usaha ke arah menerapkan pendidikan alam sekitar, namun keupayaan untuk melaksanakan secara sempuna adalah terbatas.

Pelbagai kempen alam sekitar dilaksanakan tetapi usaha ini masih lagi tidak memberi kesedaran sepenuhnya kepada rakyat Malaysia. Dalam Kurikulum Pendidikan Negara, Pendidikan Alam Sekitar adalah satu bentuk nilai yang merentas kurikulum.

Pendidikan Alam Sekitar perlu diterapkan dalam semua mata pelajaran yang diajar bermula peringkat prasekolah lagi. Malah Jabatan Alam Sekitar sendiri menyediakan Modul Pendidikan Alam Sekitar khas untuk pelajar prasekolah.

Guru perlu melaksanakan penerapan Pendidikan Alam Sekitar ini secara langsung dan tidak langsung. Justeru, dengan sedikit nilai yang diterapkan kemungkinan generasi yang masih kecil pun pasti sedar tentang kepincangan pengurusan alam sekitar yang banyak berlaku hari ini.

Namun, apa yang sangat mengecewakan hari ini ialah peminggiran subjek yang menjurus kepada alam sekitar seperti mata pelajaran Geografi.

Apabila pelajar belajar Geografi, pengetahuan tentang gejala alam sekitar seperti tanah runtuh ini dapat didedahkan dalam topik tertentu.

Dalam kurikulum hari ini Geografi ditekankan hanya sedikit dalam Kajian Tempatan.

Geografi hanya menjadi mata pelajaran wajib bagi Tingkatan Satu hingga Tiga sahaja.

Semasa di Tingkatan Empat dan Lima, Geografi menjadi subjek elektif dan tidak banyak pula sekolah yang memilih subjek ini sebagai mata pelajaran elektif yang ditawarkan.

Justeru, semakin jauhlah pengetahuan alam sekitar yang diketahui oleh rakyat Malaysia.

Di peringkat Institut Pendidikan Guru, subjek Pendidikan Alam Sekitar hanya diberikan kepada pelajar KPLI dan KDPM sahaja. Di peringkat ijazah tidak diberikan kecuali guru pelatih yang mengambil major Pengajian Sosial.

Namun, lebih memburukkan lagi di peringkat Institut Pendidikan Guru mata pelajaran Geografi dalam kurikulum Peringkat Persediaan dan Ijazah akan dihapuskan sama sekali bagi bakal guru yang mengambil major Pengajian Sosial.

Kursus Pengajian Sosial yang asalnya terkandung bahagian Geografi diganti sepenuhnya dengan Sejarah yang pada dasarnya untuk menangani masalah patriotisme dalam kalangan remaja yang semakin berkurangan.

Untuk pengetahuan semua, kesedaran alam sekitar juga adalah salah satu daripada nilai patriotisme yang mesti diterapkan.

Justeru, sebagai satu usaha untuk meningkatkan pengetahuan alam sekitar dalam kalangan rakyat Malaysia, tekankanlah Pendidikan Alam Sekitar dan mata pelajaran berkait alam sekitar seperti Geografi.

Tindakan ini mungkin boleh dijadikan sebahagian usaha untuk menyelesaikan isu alam kitar di negara kita.

NOR RUL AZLIFAH ZULKAFALI

IPG Kampus Bahasa Melayu,

Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.utusan.com.my/