Selasa, 21 Jun 2011

ISU SOSIAL : Memahami perbezaan demi perpaduan

Oleh Teo Kok Seong

Kepentingan pengetahuan antara budaya patut jadi asas fahami kaum

TIDAK dapat dinafikan bahawa keutuhan perpaduan kaum di negara ini sudah banyak merosot. Daripada sikap yang mudah memperlihat tolak ansur pada satu ketika dulu, kini ia sudah meruncing kepada tahap saling mencurigai antara satu sama lain. Keadaan tidak sihat ini antaranya sudah menular kepada pemikiran bahawa kejayaan serta keuntungan yang diraih oleh sesuatu kaum itu, dianggap sebagai kegagalan dan kerugian yang ditanggung oleh kaum lain.

Beberapa sebab boleh diajukan untuk menerangkan hubungan antara etnik yang bertambah buruk ini. Antaranya adalah pengasingan etnik yang berlaku dan digalakkan pula pada usia yang muda melalui sistem persekolahan pelbagai aliran. Kurangnya apresiasi terhadap kepelbagaian, sama ada etnik, budaya atau agama adalah sebab utama lain yang tidak kurang pentingnya.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, perpaduan kaum tidak mungkin berjaya dicapai sepenuhnya melalui dominasi hanya sesuatu ideologi. Ia sebetulnya amat memerlukan persefahaman menyaling, penghormatan ikhlas dan penghargaan jujur oleh satu kaum terhadap yang lain. Selain ini, ia juga sangat bergantung kepada kewujudan beberapa institusi yang kukuh, misalnya keluarga dan agama yang didukung setiap kaum.

Sebaliknya, ekstremisme etnik dan fanatisisme agama selain tiadanya toleransi budaya, bukan saja boleh membawa mudarat besar kepada usaha penyatupaduan kaum di negara ini. Tetapi ia juga boleh meranapkan hubungan etnik yang terbina sehingga ini.

Untuk mengatasi masalah perpaduan kaum yang meruncing ini, kita perlu antaranya mempertingkat pemahaman kita mengenai budaya kaum lain, khususnya dari perspektif pandangan mengenai kehidupan oleh sesuatu kaum itu. Pendekatan begini adalah baik kerana menerusi perspektif pandangan ini, kita sebetulnya dapat mengetahui cara sesuatu kaum itu memahami pelbagai peristiwa duniawi, khususnya mengenai kehidupan. Dengan ini, falsafah dan konsep kehidupan yang dipegang oleh sesuatu kaum itu dapat kita fahami dengan lebih baik.

Pengetahuan antara budaya ini, yakni usaha mengenali cara hidup mereka yang berasal daripada latar, pegangan dan pemahaman yang berbeza daripada kita, adalah prasyarat untuk interaksi antara satu sama lain yang berkesan dalam masyarakat majmuk. Dengan adanya pengetahuan sebegini, selain mendedahkan teori, prinsip dan dinamika pelbagai budaya, ia juga boleh mempermudah kita daripada pelbagai kaum ini untuk bergaul antara satu sama lain dengan lebih selesa, selain bermakna lagi.

Dengan pengetahuan ini, banyak masalah pemahaman mengenai kaum lain boleh diatasi. Ini antaranya dapat dilakukan melalui dorongan, pengetahuan dan apresiasi kita terhadap kepelbagaian budaya dalam negara ini. Sesungguhnya budaya mempunyai impak besar dalam kehidupan manusia. Oleh itu, ia mempunyai pengaruh kuat terhadap kepercayaan, nilai dan pandangan kita mengenai kehidupan.

Pengaruh budaya ini, sama ada terhadap budaya sendiri atau terhadap budaya kaum lain didapati sentiasa terpancar pada pertuturan dan tingkah laku. Semoga dengan mengetahui budaya kaum lain, rakyat Malaysia akan lebih senang lagi menerima cara hidup kaum lain sebagai keunikan, seperti yang disarankan dalam Gagasan 1Malaysia. Penerimaan ini diharapkan akan membawa kepada filsafat yang cuba disampaikan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’, iaitu kita akan lebih mudah menerima sesuatu itu selepas kita mula mengenalinya.

Dalam nada lebih serius, sebetulnya dengan mengetahui budaya kaum lain, banyak buruk sangka, konsep yang salah, stereotaip, sikap perkauman, etnosentrisme dan kejutan budaya dapat diatasi. Ini antara lain adalah kerana kita lebih memahami cara hidup kaum lain melalui pengetahuan antara budaya yang diperoleh itu.

Sesungguhnya dengan adanya pengetahuan antara budaya ini, interaksi kita khususnya dengan kaum lain, bukan saja akan menjadi lebih mudah, tetapi yang penting lagi ialah ia akan menjadi lebih ikhlas. Dengan mengenali budaya kaum lain dengan lebih dekat, kita sebetulnya menemui lebih banyak persamaan daripada perbezaan antara kita.

Sehubungan ini, kesan pengetahuan mengenai budaya, iaitu terhadap semua unsur penting dalamnya adalah besar sekali. Budaya mempunyai pengaruh kuat ke atas kepercayaan, nilai dan pandangan kita terhadap kehidupan. Pengaruh kuat ini sebetulnya dapat dilihat pada tingkah laku dan pertuturan kita yang didapati akan kurang atau tidak lagi bersifat prasangka dan perkauman terhadap kaum lain selepas kita mengenali budaya kaum lain.

Untuk perpaduan kaum benar-benar wujud di Malaysia, kita perlu memahami satu sama lain. Ini hanya dapat dilakukan dengan mengenali budaya kaum lain. Inilah satu-satunya cara untuk berfungsi dengan baik dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Sehubungan ini, dalam konteks kebudayaan kebangsaan, pengetahuan antara budaya ini perlu mengambil kira budaya Melayu sebagai budaya dominan. Oleh itu, ia perlu dijadikan rujukan utama ketika rakyat Malaysia mengenali pelbagai budaya lain yang merupakan budaya bersama dalam kebudayaan kebangsaan.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM

Sumber : http : //www.bharian.com/

Isnin, 20 Jun 2011

ISU BAHASA : Pentingnya budaya merujuk pakar

Oleh : Ridhuan Tee Abdullah

Saya berasa pelik kenapa kerajaan masih mahu melayan tuntutan kumpulan yang terlal minoriti seperti The Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE) yang mahu kembali semula kepada Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Jika itu kemahuan mereka, biarlah mereka yang buat, kita lihat sejauh mana hebatnya mereka mahu mengubah sistem pelajaran, bukan memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mengikut pandangan pakar.

Pertubuhan ini nampaknya begitu agresif bersama pertubuhan bukan Melayu yang lain, mahukan PPSMI dikembalikan semula. Pertubuhan ini tidaklah terlalu berpengaruh. Saya yakin ahli-ahlinya hanya ada sekelumit, tetapi mungkin kabel mereka agak besar. Mereka berhujah menggunakan pendapat segelintir ibu bapa dan bukan Melayu yang memang mahu melihat bahasa Melayu terkubur serta respons yang diperoleh melalui perbahasan dalam talian internet.

Ingin saya bertanya pimpinan mereka ini mengkhusus dalam bidang apa? Jika berada di luar bidang kepakaran, lebih baik senyap dahulu. Jangan ikut pandai sendiri sahaja, sedangkan kelulusan tidak seberapa. Jika sakit pergilah berjumpa doktor perubatan, jangan jumpa doktor falsafah atau jurutera. Begitulah pentingnya budaya merujuk pakar, supaya mendapat input yang betul.

Tidak ada seorang pun yang menolak akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Persoalan pokok adalah, janganlah sampai merubah sistem. Jika bahasa itu yang lemah, maka perbaikilah bahasa tersebut seperti cuba dilakukan Kementerian Pelajaran hari ini, bukan dengan mengorbankan identiti dan jati diri.

Kementerian Pelajaran sedang bertungkus lumus untuk memperhebatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai aspek. Biarlah pakar-pakar yang menentukan dan menanganinya. Siapakah kita jika dibandingkan dengan pakar-pakar bahasa?

Hormatilah budaya merujuk pakar. Sama juga dengan isu novel Interlok. Majoriti pakar bahasa dan sasterawan mengatakan bahawa isi kandungan novel tersebut sebenarnya tiada masalah langsung. Kenapa kita seperti cacing kepanasan kalau bukan kerana ada udang di sebalik batu?

Namun, setelah dipinda pun, masih ramai yang tidak berpuas hati. Kenapa? Jawapannya mudah, kumpulan ultra kiasu ini ada agenda lain. Komuniti besar kepala ini merasakan diri mereka telah kuat melalui keputusan pilihan raya umum 2008. Kerjanya tidak ada lain, ugut, desak dan tuntut. Saya yakin mereka tidak akan berani angkat kepala sedikit pun jika umat Islam bersatu atau keputusan pilihan raya 2008 tidak ‘menyebelahi’ mereka.

Kalau tidak percaya, bacalah laman-laman web ultra kiasu. Bacalah komen-komen negatif mereka. Saya syorkan Kementerian Dalam Negeri mengambil inisiatif menterjemahkan akhbar, majalah dan buku-buku karangan pengarang bukan Melayu terpilih, kita lihat berapa banyak pujian dilontarkan kepada bangsa Melayu, negara Malaysia dan 1Malaysia. Kita lihat siapakah yang paling banyak menabur racun. Sekurang-kurang novel Interlok berani berterus terang menceritakan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum di negara ini, daripada lempar batu sembunyi tangan.

Sebenarnya, kita amat memerlukan ramai rakyat Malaysia seperti ini. Bukannya, mereka yang akan mencari seribu satu alasan untuk mematahkan apa jua idea baik yang dikemukakan. Hari ini, mereka menggunakan gagasan 1Malaysia sebagai hujah utama jika tidak berpuas hati. Misalnya, terbaru, pertubuhan Kristian terus mencabar Kementerian Dalam Negeri, berkaitan isu-isu sensitif seperti alkitab dalam bahasa Melayu, kalimah Allah dan sebagainya.

Kenapa perkara ini perlu diperbesarkan sedangkan populasi mereka hanya di sekitar di bawah 10 peratus? Jawapannya juga mudah, mereka ada agenda lain. Kita yang terlalu bersangka baik dan terlalu menjaga hati mereka untuk mendapatkan undi. Sedangkan belum tentu mereka mengundi kita. Tidak cukupkah lagi kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita?

Gagasan 1Malaysia bukan bermakna memadamkan semua unsur Melayu dan Islam sehingga menjadikan ia sama rata dan sama rasa. Bayangkan jika tidak diperkenalkan gagasan 1Malaysia, apakah kita yakin mereka tidak akan mencari apa jua hujah untuk mematahkan hujah-hujah kita. Kadangkala terfikir juga saya apakah gagasan ini satu kesilapan kerana ramai sangat orang yang memperalatkannya?

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Di mana letaknya kedudukan bahasa Melayu?


Oleh ROHAMI SHAFIE

MESKIPUN isu bahasa Melayu sudah lama diperkatakan, namun setakat ini tiada perubahan drastik yang boleh dilihat bagi memartabatkan bahasa rasmi Malaysia di buminya sendiri.

Bahasa Melayu layu di tanah air sendiri. Layu umpama menanti rebah ke bumi. Pengalaman penulis ketika berada di Kuala Lumpur baru-baru ini, menggambarkan bahawa Bahasa Melayu dipinggirkan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Ketika penulis tercari-cari jalan menuju ke sebuah kilang di Petaling Jaya, penulis berhenti sejenak untuk bertanya laluan ke kilang tersebut di salah sebuah kilang automatif.

Penulis menemui tiga orang pekerja rakyat Malaysia di kilang tersebut dan bertanyakan soalan dalam bahasa Melayu. Setiap kali penulis bertanya dalam bahasa Melayu, dibalas oleh mereka dalam bahasa Inggeris.

Sebanyak tiga kali penulis bertanya kepada mereka sehinggakan penulis beranggapan betapa rendahnya martabat bahasa Melayu di hati pekerja-pekerja kilang tersebut. Walhal, mereka sememangnya memahami soalan penulis. Jika tidak mana mungkin mereka mampu menjawab dengan baik apa yang ditanya oleh penulis.

Itu kejadian pertama. Kejadian kedua berlaku kepada bekas-bekas pelajar penulis. Ramai antara mereka bercita-cita untuk bekerja di syarikat multinasional antarabangsa. Ada antara mereka dipanggil temu duga.

Sungguh memeranjatkan, terdapat syarikat minyak antarabangsa yang mengenakan syarat mahir berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja. Sudahlah hanya segelintir orang Melayu dipanggil temu duga berbanding bukan Melayu, syarat berbahasa Mandarin pula disebut ketika ditemu duga.

Kalau begitu, lebih baik tidak dipanggil temu duga langsung. Buang masa sahaja! Adakah memanggil orang Melayu untuk ditemu duga hanya untuk memenuhi syarat kononnya tiada berlaku diskriminasi kaum? Syarat sebegini wajib dihapuskan.

Pernahkah kita mendengar syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia mengenakan syarat bahasa Jepun untuk mengambil pekerja Malaysia bekerja dengan mereka?

Mohon pihak berkuasa dan barisan kabinet buatlah sesuatu agar lebih ramai orang Melayu dan bumiputera bekerja di syarikat-syarikat multinasional tanpa adanya syarat mahir berbahasa Mandarin.

Kalau tidak, orang Melayu dan bumiputera hanya bekerja di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bagi penulis perkara ini amat memalukan.

Kita cuba lihat di negara-negara lain seperti Perancis dan Jepun, hatta jiran kita Indonesia dan Thailand, rata-rata keseluruhan rakyat mereka menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan peribadi dan rasmi.

Penulis ingin memberi dua contoh bagaimana rakyat mereka berbangga dengan bahasa mereka sendiri. Cuba kita bercakap dalam bahasa Inggeris ketika mula-mula menjejaki bumi Perancis.

Percayalah, mereka tidak akan layan kita. Mereka akan layan sehinggalah kita bercakap dalam bahasa Melayu atau bahasa selain bahasa Inggeris, barulah mereka mula bercakap dalam bahasa Ingeris. Sebenarnya mereka mengharapkan kita bercakap dalam Bahasa Perancis.

Itu kes pertama, kes kedua berlaku sendiri pada rakan penulis ketika belajar di United Kingdom. Wajah rakan penulis ini ada iras-iras orang Jepun, maka, selalu sahaja berlaku kejadian orang Jepun memarahi beliau.

Puncanya kerana menyangkakan beliau merupakan orang Jepun, maka soalan-soalan yang diajukan kepada beliau dalam bahasa Jepun. Apabila setiap kali beliau menjawab dalam bahasa Inggeris dengan menyatakan bahawa beliau tidak memahami bahasa Jepun, orang Jepun ini memarahinya dalam bahasa Inggeris bahawa beliau sudah lupa daratan kerana tidak mahu bercakap dalam bahasa Jepun!

Perancis dan Jepun adalah dua bangsa yang jauh maju ke hadapan berbanding Malaysia tetapi di hati mereka hanyalah bahasa kebangsaan mereka. Kita pula masih tercari-cari rentak untuk bergelar negara maju, tetapi sudah mula lupa diri.

Apakah akan terjadi pada tahun 2020 nanti? Adakah ketika itu bahasa Melayu hanya sesuai menjadi tatapan generasi 2020 sebagai salah satu lipatan sejarah di Muzium Negara?

Malaysia tidak akan menjadi negara maju dan mapan jika rakyatnya sendiri tidak mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan yang ada. Bahasa Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib dipertahankan. Paling penting bahasa Melayu wajib dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia menggunakannya tanpa rasa segan dan silu.

Mengambil iktibar seorang profesor rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu, bekerja di luar negara berpuluh-puluh tahun lamanya tetapi masih berbicara dalam bahasa Melayu dengan fasihnya apabila berada di sini.

Kita yang menetap di Malaysia janganlah sesekali merendahkan bahasa kebangsaan kita sendiri. Tiada gunanya bahasa Melayu dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan tetapi pengisiannya tidak langsung menggambarkan ia sebagai bahasa teras rakyat Malaysia.

Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Sebagai permulaan, penulis mencadangkan agar bahasa Melayu diamalkan dan dimartabatkan dalam segala program transformasi kerajaan (Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi) dan selepas itu diperluaskan dalam segala urusan kehidupan rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 18 Jun 2011

ISU BAHASA : Artis, malulah dengan bahasa rojak

BAHASA menunjukkan bangsa. Selalu sangat kita mendengar perumpamaan ini, tetapi sejauh manakah kita menghayatinya?

Lebih daripada itu, sejauh manakah kita berusaha untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dan tepat dalam setiap penulisan dan tutur bicara?

Kelihatannya kecelaruan dalam berbahasa hari ini semakin membimbangkan. Apatah lagi baru-baru ini timbul kes segelintir pelajar sekolah menjawab peperiksaan dengan bahasa SMS, yang ringkas dan mempunyai kesalahan ejaan yang melampau.

Bayangkan, hal itu berlaku di dewan peperiksaan dan kertas jawapan itu akan menentukan hala tuju masa depan pelajar terbabit. Begitu pun boleh dibuat main-main lagi, apatah lagi kalau berbicara di laman sosial.

Hal ini juga terjadi dengan begitu leluasa dalam industri hiburan tempatan. Setelah disogokkan dengan drama dan filem yang begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan bahasa rojak, saya semakin sedih dengan penampilan artis-artis kita apabila melihat ke laman sosial mereka sendiri.

Laman sosial selain mempromosikan aktiviti peribadi, kini menjadi medan untuk memperlihatkan sikap kurang prihatin orang seni kita mengenai cara berbahasa dengan baik. Sangat carca marba.

Tak percaya? Selaklah laman sosial artis muda dan karyawan seni. Berapa keratkah yang memilih untuk menggunakan bahasa yang betul?

Kita tidak meminta mereka menggunakan bahasa bombastik atau puitis tahap puisi agung sasterawan negara, sebaliknya sekadar mengeja dengan betul dan tepat tanpa banyak kesalahan tatabahasa. Itu pun susah sangat ke?

Dan hal ini terjadi bukan kepada artis sahaja, sebaliknya berdasarkan pemerhatian saya, lebih 90 peratus daripada pengguna laman sosial tidak berbahasa dengan betul.

Kita seolah-olah mewariskan kecelaruan bahasa kepada anak-anak yang hari ini lebih senang mengeja ‘blh’ untuk boleh, ‘sy’ untuk saya, ‘mcnta’ untuk mencintai, 10q (disebut ten q) untuk ‘thank you’. Dan pelbagai pilihan perkataan tidak normal lain yang dijadikan sebagai pilihan.

Hairannya kalau dalam Bahasa Inggeris, tahu pula mereka menggunakan pilihan kata-kata dengan tepat. Mereka malu tidak keruan apabila menulis atau bercakap dalam Bahasa Inggeris yang ‘cacat’. Sebaliknya dalam bahasa ibunda sendiri boleh buat-buat lupa, sangat menyedihkan.

Kita marah atau boleh tiba-tiba naik angin kalau bangsa lain bercakap sesuatu yang jelek tentang bangsa atau bahasa kita. Kita ketawakan Siva atau Ah Cong kalau mereka bertutur dalam bahasa pelat dan tidak lancar bercakap Melayu.

Tetapi dalam masa yang sama, kita seolah-olah terlupa bahawa orang kita sendiri lebih ramai yang ‘menghina’ bahasa sendiri.

Dan apabila membicarakan hal artis, ia lagilah tidak sepatutnya boleh berlaku. Ini kerana bagi saya, artis adalah golongan yang sepatutnya mempunyai hati yang ‘lebih besar’ untuk memperjuangkan kesenian dan kebudayaan bangsanya.

Sementelah sifat seni itu sendiri yang turut berkait rapat dengan bangsa dan budaya, seharusnya kita mengharapkan karyawan seni adalah orang yang berada pada barisan depan memperjuangkan hal berkaitan bahasa dan bangsanya sendiri.

Peranan artis sebenarnya bukan mudah. Kita akur, tidak semua artis mahu menjadi idola masyarakat, tetapi sekurang-kurangnya jadikan kehadiran kita ke dunia seni dilihat melalui cara yang baik.

Tanpa perlu menggalas senjata ke medan perang, tanpa bertarung di medan politik, kita juga boleh memberi sumbangan kepada nusa dan bangsa.

Kepada teman-teman artis yang barangkali terbaca coretan saya minggu ini, ayuh kita mulakan sesuatu yang baru, hari ini juga.

Berusahalah sedaya mungkin untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Kalian mempunyai ribuan peminat yang sentiasa mengekori dan memerhati, sekurang-kurangnya ajarlah mereka, ajaklah mereka ke arah yang baik ini.

Jadikan laman sosial kalian sebagai medan untuk berkempen ke arah penggunaan bahasa Melayu yang betul, bukan medan untuk ‘porak-peranda’ kan bahasa ibunda.

Kalau bukan kita yang berusaha, siapa lagi? Masih ada masa untuk kita berubah.

Kasihanilah guru-guru Bahasa Melayu kita dahulu yang ‘berbuih mulut’ mengajar tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Tentunya hari ini ada antara mereka yang menangis sedih apabila melihat kita terus mencampakkan segala ajaran yang telah mereka berikan pada suatu ketika sewaktu kita masih di bangku sekolah. Kasihanilah guru-guru kita itu.

Ayuh, berubahlah!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 17 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : Menakluk Emosi

Guru perlu ada ilmu psikologi

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Norzali
rencana@hmetro.com.my

RESAH masyarakat terhadap masalah disiplin pelajar cukup berasas apatah lagi pelbagai insiden luar jangkaan mampu disumbangkan mereka meskipun umur hanya setahun jagung.

Peningkatan kadar jenayah atau disiplin ini bukan saja membimbangkan institusi persekolahan malah masyarakat turut keliru serta tercari-cari apakah mekanisme terbaik boleh diguna pakai bagi menanganinya.

Meskipun lambakan kempen dilaksanakan menerusi sesi ceramah dan pameran, ia masih belum ampuh untuk melembutkan hati pelajar.

Akibatnya, masyarakat tertanya-tanya apakah pendekatan selama ini salah atau pelajar semakin naik lemak hingga sukar dinasihati lagi.

Masih adakah lagi jalan penyelesaiannya?

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata cara didikan pelajar masa kini tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa disuntik elemen tertentu yang boleh ‘mematahkan’ sikap degil pelajar.

Beliau berkata, kemampuan pelajar hari ini sukar dijangka hingga ada ketikanya mampu mencapai tahap tertinggi dengan keberanian luar biasa.

“Melihat rentak sebilangan pelajar hari ini, memang menakutkan kerana mereka sangat ekstrem hingga mampu melahirkan keberanian tanpa batasan.

“Memang wajar masyarakat melahirkan kebimbangan namun jalan penyelesaian masih ada, jangan mudah berputus asa,” katanya.

Bukan hairan lagi apabila masyarakat menganggap pelajar hari ini terutama peringkat menengah, penyumbang masalah disiplin.Biarpun hanya segelintir, mereka yang melanggar disiplin bagaikan memberi persepsi buruk kepada pelajar lain.

Yang bermasalah pula terus ‘bermaharajalela’ hingga menyebabkan masyarakat semakin muak untuk membantu sebaliknya membiarkan guru dan sekolah mengatasinya.

Beliau berkata, meskipun disiplin pelajar menjadi antara isu hangat, tidak bermakna setiap pihak hanya mampu berdiam diri atau melepaskannya kepada golongan minoriti.

Pelajar, katanya, adalah kelompok yang memerlukan bimbingan berterusan selain pendekatan sesuai untuk menyedarkan tindakan dilakukan adalah salah.

“Kebanyakan hanya pandai menuding jari atau melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain tanpa mahu duduk semeja mencari jalan penyelesaian.

“Pada masa sama, menganggap pelajar bermasalah sudah tiada masa depan dan terus memberi tekanan hingga menyebabkan nasib pelajar semakin terumbang-ambing.

“Mencari penyelesaian dengan bertunjangkan konflik akan memburukkan lagi keadaan dan pelajar melihat pertelingkahan itu sebagai medium melepaskan diri” katanya.

“Ada kalanya, masyarakat suka menyalahkan guru dan sekolah kerana tidak bertindak namun kesalahan itu tidak wajar diletakkan pada bahu golongan terbabit semata-mata.

“Masyarakat perlu akur, senario pendidikan sekarang terlalu banyak ‘pantang larang’ hingga menyukarkan segala tugasan yang ingin dibuat.“Namun, itu bukan alasan mereka tidak mengambil tindakan cuma caranya saja tidak bersesuaian dengan jiwa pelajar,” katanya mengakui guru hari ini perlu belajar cara terbaik untuk menakluk tentangan pelajar.

“Jika menggunakan pendekatan lama, sudah tidak sesuai kerana zaman ini pelajar lebih bijak mencipta alasan. Untuk itu, guru perlu ada ilmu psikologi yang hebat bagi menakluki emosi mereka.

“Kebiasaannya, tindakan atau hukuman diselarikan dengan pendekatan berbentuk fizikal seperti rotan dan denda namun terlupa menyentuh emosi sedangkan ia aspek paling mudah untuk menjinakkan pelajar.

“Pendekatan salah bukan saja tidak menyelesaikan masalah malah mengundang lebih banyak konflik kedua pihak hingga mampu mewujudkan jurang selain perasaan tidak puas hati,” katanya.

Beliau berkata, guru perlu menunjukkan kasih sayang dan perhatian dengan ikhlas tanpa niat menghukum atau sindiran supaya pelajar rasa lebih selesa untuk meluahkan perasaan.

Menurutnya, ada guru hanya tahu mengajar namun tidak mendidik menyebabkan hasrat menjadikan pelajar hari ini sebagai generasi berilmu, berdisiplin dan berperibadi mulia sukar.

“Ini bukan tuduhan namun ada kalanya guru tidak pandai berdiplomasi dan hanya mengajar berpandukan nota semata-mata sedangkan matlamat sebenar adalah memberi pendidikan.

“Antara mengajar dan mendidik memang jauh perbezaannya. Bayangkan jika guru pun boleh terasa dan melenting jika ditegur, apatah lagi pelajar yang masih muda dan teraba-raba mencari arah.

“Sebab itu penting guru bermuhasabah dan mencari pendekatan sesuai sebelum mengenakan hukuman supaya pelajar memahami apa dilakukan itu bukan disebabkan benci namun peringatan menjadikan mereka lebih baik,” katanya.

Ditanya adakah cara itu seolah-olah membuatkan pelajar seperti besar kepala dan semakin manja, beliau menafikannya kerana pelajar pasti faham yang dilakukan itu sekadar hukuman membetulkan kesilapan.

“Malangnya, ramai guru terlupa hingga menyebabkan pelajar melihat hukuman itu seolah-olah misi ‘balas dendam’ dan melepaskan perasan benci hingga menjadikan mereka terus memberontak.

“Berdasarkan pengalaman dan kajian, saya percaya jika guru pandai menggunakan budi bicara, pelajar boleh menerima dan mampu diubah. Cuma tidak boleh mengharapkan keajaiban berlaku sekelip mata sebaliknya perlu berterusan dan disertai doa,” katanya.

Faktor penyumbang masalah disiplin pelajar:

  • Kurangnya perhatian dan kasih sayang ibu bapa pada era globalisasi kerana lebih mengutamakan kerjaya hingga lupa tanggungjawab mendidik anak.

  • Kemunculan media massa serta sumber bacaan tanpa batasan hingga menyebabkan pelajar ingin meniru dan mencuba.

  • Pengaruh rakan sebaya kerana menganggap rakan sebagai rakan sebenar lantaran ibu bapa sukar meluangkan masa untuk mendengar atau berdampingan dengan anak.

  • Kegagalan pihak sekolah untuk bertindak pantas dan telus kerana ada sebilangan cuba merahsiakan masalah disiplin yang berlaku.

  • Ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai atau menarik hingga pelajar lebih gemar menghabiskan masa di tempat tidak berfaedah.
  • Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

    ISU AGAMA : Budaya salam kukuh organisasi

    Oleh Sharifah Hayaati

    bhnews@bharian.com.my

    Mampu pererat silaturahim dengan pelanggan

    Ucapan salam diucapkan sebelum percakapan seperti dinyatakan Rasulullah SAW, salam sebelum kalam (percakapan) mendapat pahala bagi yang mengucapkannya dan menjadi hak kepadanya menerima jawapan balas daripada orang menerima ucapan salam daripadanya.

    Ulama bersetuju hukum menjawab salam adalah wajib berbanding hukum memberi salam yang sunat. Ini bererti setiap orang mengucapkannya dengan maksud doa kepada yang lain pasti mendapat hak untuk didoakan melalui jawapan salam itu.

    Bahkan kita dianjurkan menjawab salam dengan lebih baik daripada apa yang diterima. Firman Allah bermaksud: “Apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu.” (Surah al-Nisa’, ayat 86)

    Justeru, membudayakan salam memberi nilai tambah kepada diri serta sahabat. Seseorang yang mengucapkannya tidak rugi kerana salam bukan sekadar ucapan selamat, pembuka dan penutup bicara malah ia ucapan penghuni syurga yang saling berdoa memohon Allah menganugerahkan kesejahteraan, kerahmatan dan keberkatan.

    Imam Abu Hurairah diriwayatkan mengucapkan salam kepada ibunya sebelum keluar rumah. Ia dilakukan untuk mendapat jawapan salam atau doa daripada ibunya supaya apa yang akan dilakukan sama ada berjihad, berniaga dan beribadat akan mendapat kesejahteraan, kerahmatan serta keberkatan Ilahi.

    Kita biasanya memberi salam sebelum memasuki rumah dan amat jarang sekali semasa meninggalkannya. Adalah baik kita mencontohi Abu Hurairah dengan memberi salam kepada ahli keluarga sebelum keluar rumah.

    Apabila membudayakan salam khasnya dalam organisasi, beberapa etika perlu difahami. Pertama, sebaik-baiknya ia dimulakan pemimpin atasan kepada stafnya sebagai teladan. Menjadi sunnah Rasulullah SAW mendahulukan memberi salam termasuklah kepada kanak-kanak.

    Malah, Rasulullah SAW menganjurkan supaya yang berkenderaan memberi salam kepada pejalan kaki, berjalan kaki kepada yang duduk, kumpulan sedikit memberi salam kepada yang ramai dan muda kepada yang tua.

    Kedua, hendaklah memberi salam sesama Islam tanpa mengira sama ada mengenalinya atau tidak. Daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As, berkata: “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Islam bagaimana yang terbaik? Jawab Baginda: Anda memberi makan dan salam kepada seseorang yang dikenali atau tidak dikenali.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Ketiga, mengucapkannya dengan ikhlas mendapat keredaan Allah dan mengamalkan sunnah Nabi SAW. Imam al-Ghazali dalam Ihya’nya berkata, lidah orang beriman itu di belakang hatinya, iaitu apa disebut lidah difahami hatinya. Sedangkan lidah orang munafik itu di hadapan hatinya. Apabila lidah menyebut, tidak difahami hatinya. Ertinya hati dan lidah tidak seiringan. Justeru, sampaikan salam dengan suci hati supaya meninggalkan kesan mendalam dalam perhubungan.

    Dalam konteks pengurusan di tempat kerja, ucapan salam boleh dibudayakan ketika berurusan dengan pelanggan, ketika memulakan mesyuarat, ucapan dan taklimat, ketika bertemu, menjawab telefon dan mengetuk pintu pejabat.

    Impak positif akan diperoleh oleh warga organisasi daripada budaya salam ini selain amalan pembuka bicara serta saling mendoakan, ia mengeratkan silaturahim.

    Hubungan baik warga organisasi antara penentu keselesaan bekerja. Melalui ucapan salam, hati bersedia berbicara dan mampu mengikis penyakit hati seperti benci, prasangka dan hasad di samping memancarkan keselesaan rasa selain mendapat pahala.

    Sangat menarik jika ucapan salam ini dihalusi supaya menjadi mudah dibudayakan dalam kehidupan termasuk dalam organisasi. Oleh itu, jadikan lidah sebagai modal perkhidmatan dan pengukuh silaturahim supaya keuntungan dunia dan akhirat dapat diraih melalui keunikan anugerah salam.

    Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    ISU BAHASA : Mengimarahkan Sasterawan Negara

    Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)

    Oleh Mohamed Nasser Mohamed

    BARU-BARU ini, kerajaan mengumumkan Anugerah Sastera Negara yang dianugerahkan kepada Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau nama penanya Kemala. Sasterawan Negara ke sebelas ini telah diangkat dan diiktiraf sebagai penerima anugerah berprestij dalam bidang kesusasteraan.

    Pengiktirafan seumpama ini sebenarnya lebih signifikan jika kerajaan dapat memanfaatkan ketokohan beliau untuk generasi muda. Tidak kiralah dalam apa jua bentuk program yang berkaitan dengan kesusasteraan tanah air.

    Sejak Anugerah Sastera Negara yang pertama pada tahun 1981, seramai sebelas orang sasterawan telah diangkat dan diiktiraf sebagai Sasterawan Negara dimulai dengan Keris Mas. Kemudian disusuli oleh Shahnon Ahmad, Usman Awang, A. Samad Said, Arenawati, Muhammad Haji Salleh, Noordin Hassan, Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan dan Anwar Ridhuan.

    Ilham Anugerah Sastera Negara sebenarnya timbul daripada gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn yang menginginkan sebuah hadiah sastera yang berprestij demi mengangkat martabat sastera di negara kita.

    Pada awal penganugerahannya, wang tunai sebanyak RM30,000 menjadi sebahagian daripada hadiah selain pelbagai kemudahan menjalani kehidupan dan berkarya. Sejak tahun 2003, nilai hadiah ini telah ditambah menjadi RM60,000 di samping kemudahan menerbitkan karya sehingga mencecah RM500,000.

    Anugerah Sastera Negara dipilih oleh Urusetia Panel Anugerah Sastera Negara yang ditunjangi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

    Walaupun Anugerah Sastera Negara telah dianugerahkan kepada sebelas orang sasterawan, namun aspek pengimarahan mereka masih tidak memberangsangkan.

    Pendedahan Sasterawan Negara kepada rakyat di negara ini khususnya kalangan generasi muda, pelajar sekolah, mahasiswa universiti masih tidak mencapai matlamat penganugerahan Sasterawan Negara.

    Lebih malang lagi para Sasterawan Negara kurang dikenali di negara luar kerana tiada usaha yang berterusan dan teratur bagi memperkenalkan mereka dan karya kepada khalayak antarabangsa.

    Sasterawan Negara sepatutnya dianggap sebagai aset negara. Mereka seharusnya dimanfaatkan dengan pelbagai program sebagai satu usaha pengimarahan. Usaha membawa Sasterawan Negara ke sekolah sama ada ke pelajar sekolah menengah mahupun sekolah rendah juga sangat kurang dilakukan.

    Cuma dua tahun yang lepas pihak swasta (anak syarikat Kumpulan Utusan) melalui program Utusan Sukma: Sepagi Bersastera yang membawa Sasterawan Negara A. Samad Said menjelajah pelosok daerah di Negeri Sembilan. Usaha seumpama ini sewajarnya dijadikan contoh yang baik.

    Usaha ini mampu memberikan inspirasi dan motivasi kepada warga sekolah untuk berkarya, seterusnya menerapkan nilai-nilai pengkaryaan setaraf Sasterawan Negara.

    Berkala

    Program penulisan secara berkala dengan kaedah bengkel yang bersesuaian dengan khalayak misalnya, boleh dimulakan dengan bimbingan kepada para guru yang mengajar subjek sastera di samping guru yang terlibat di dalam pengajaran Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS), sebagai satu usaha memperkasa pengajaran dan pembelajaran Sastera di sekolah.

    Dalam pada itu, guru dan pelajar juga didedahkan kepada bimbingan Sasterawan Negara, bagi menghasilkan karya yang mampu mengangkat martabat sastera negara sebagai satu usaha berterusan.

    Pengimarahan Sasterawan Negara tidak hanya setakat membawa dan mendedahkan Sasterawan Negara kepada warga sekolah dan masyarakat Malaysia, malah karya-karya Sasterawan Negara seharusnya mengisi rak-rak di Pusat Sumber Sekolah dan Perpustakaan Desa, Perpustakaan Awam dan Negeri, malah seharusnya dibincangkan secara lebih kerap.

    Agensi-agensi Kerajaan khususnya yang terlibat secara langsung terhadap pengangkatan dan pengiktirafan Sasterawan Negara seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pelajaran Malaysia, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sepatutnya memainkan peranan yang lebih berkesan dan proaktif terhadap usaha pengimarahan ini.

    Tidak dihormati

    Seperti yang diungkapkan oleh Raja Ahmad Aminullah dalam Siasah (18-24 Mei) yang lalu: "Kalau seorang Sasterawan Negara sendiri tidak dihormati oleh orang yang dianggap berilmu atau berintelektual, siapa lagi yang dapat kita harapkan. Bagaimanakah kita akan mengatasi kelesuan dan kejumudan budaya kita. Apakah kita berghairah dalam soal-soal seperti Akademi Fantasia dan politik seperti pilihan raya sahaja, sementara hal-hal yang berkaitan ilmu dipandang sepi".

    Usaha pihak swasta juga harus digembleng secara terancang, misalnya dengan dana yang diperolehi daripada Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seperti Khazanah Nasional, para Sasterawan Negara boleh dihantar ke luar negara bagi memperkenalkan karya Sasterawan Negara ke khalayak antarabangsa. Seminar sastera bertaraf antarabangsa boleh menjadi medan mempromosi Malaysia, Sasterawan Negara dan karya-karya mereka di persada antarabangsa.

    Jika agensi-agensi sedia ada semacam tidak berminat untuk mengimarahkan para Sasterawan Negara, atas apa jua alasan, seharusnya usaha ini dimandatkan kepada institusi mahupun organisasi lain yang lebih berminat ke arah usaha pengimarahan para Sasterawan Negara ini. Sejumlah dana boleh diuntukkan secara konsisten bagi menjamin usaha pengimarahan ini akan berterusan dan tidak terhenti di tengah jalan.

    Usaha-usaha lain bagi mengimarahkan para Sasterawan Negara, misalnya boleh dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti promosi dan pendedahan secara hiliran, misalnya memperkenal setem kenangan para Sasterawan Negara, hal ini akan dapat secara tidak langsung menyuntik keghairahan untuk rakyat negara mengenali, memiliki, dan menghayati karya-karya para Sasterawan Negara.

    Sikap masyarakat kita yang tidak begitu mengambil tahu atau mengambil berat mengenai kewujudan para seniman dan pengkarya khususnya di dalam bidang sastera bukanlah suatu perkara yang luar biasa. Pihak Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta mahupun agensi kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh juga menamakan nama-nama taman, jalan, perpustakaan (sekadar contoh) dengan nama-nama para Sasterawan Negara sebagai satu cabang pengimarahan bawah sedar.

    Harapan bahawa penganugerahan Sasterawan Negara tidak seperti projek-projek mega yang akhirnya sekadar menjadi 'gajah putih' serta tidak mempunyai sebarang signifikan kepada perkembangan dunia sastera tanah air malah tidak juga mampu menjadi katalis menyemarakkan dan menyuburkan institusi Sasterawan Negara yang akhirnya semacam momokan dan tidak dipedulikan.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/