Selasa, 26 Julai 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pengambilan Pelajar Ke IPTA Berasaskan 90% Akademik & 10% Kokurikulum

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan calon-calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Peringkat Ijazah Pertama adalah berasaskan prinsip meritokrasi.

Ia dilakukan dengan mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum untuk menentukan nilai merit seseorang calon.

Dasar ini, kata Khaled, bertujuan bagi meningkatkan peluang yang adil dan daya saing yang sihat kepada para pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.

“Pelaksanaan dasar mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum telah dikuatkuasakan mulai sesi akademik 2006/2007 lagi. Usaha penyebar luasan maklumat mengenai dasar ini melalui taklimat kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah serta pelaksanaan Karnival Pengajian Tinggi Negara(KPTN) di seluruh negara sejak tahun 2005 turut kita lakukan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Selasa.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jelas Khaled prihatin terhadap masa depan pelajar bagi memenuhi cita-cita dan impian hidup untuk berjaya.

“Pemilihan program pengajian yang tepat mengikut cita-cita, minat dan hasrat pelajar, ibu bapa dan masyarakat mestilah seiring dengan pencapaian akademik serta kokurikulum. Oleh yang demikian KPT melaksanakan prinsip meritokrasi yang mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum.

“Pemohon juga perlu memenuhi Syarat Am, Syarat Khas Program dan kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan. Pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan pilihan pelajar serta bilangan tempat yang disediakan mengikut program pengajian di IPTA,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan calon untuk memperoleh tawaran tempat adalah bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA yang dipohon.

Katanya, jika merit mereka tidak begitu tinggi dan memohon lapan (8) pilihan dalam program pengajian kompetitif, kemungkinan besar mereka tidak terpilih untuk tawaran program pengajian yang dipohon itu.

“Begitu juga jika mereka memohon hanya di IPTA yang popular, mereka mungkin akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.

“Namun begitu, prosedur permohonan membenarkan calon menyatakan persetujuan untuk memilih sama ada bersetuju atau tidak untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan program pengajian yang dimohon.

"Jika calon ada menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan semasa mengemukakan permohonan, maka calon akan dipertimbangkan ke program pengajian di IPTA yang masih ada kekosongan selaras dengan bidang pengajian yang dipohon tanpa mengira IPTA pilihan,” jelas beliau.

Justeru itu, tambah Khaled, bagi calon yang memperoleh merit yang tinggi tetapi tidak mendapat tempat, pihak UPU akan menawarkan program pengajian di luar pilihan calon yang mirip dengan pilihan mereka di IPTA yang terdapat kekosongan tempat.

“Bagaimanapun, jika calon memilih tidak bersetuju, pihak KPT tidak akan mempertimbangkan sekiranya masih ada kekosongan pada program pengajian yang lain.

“Berdasarkan rekod permohonan yang diterima oleh UPU bagi Sesi Akademik 2011/2012, sejumlah 4,436 (8.3%) dari 53,216 pemohon dari Lepasan STPM/Setaraf yang layak telah menyatakan ‘TIDAK SETUJU” menerima tawaran di luar lapan (8) pilihan program pengajian yang telah dimohon.

“Sehubungan itu, semua calon ini tidak akan dipertimbangkan tawaran ke program pengajian lain walaupun layak kerana menghormati keputusan pemohon,” katanya lagi.

Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baharu pada awal September 2011.

Semua calon yang mengemukakan rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan kekosongan tempat bagi program pengajian yang ada sahaja.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU KESIHATAN : Fahami Dan Atasi Kemurungan Selepas Bersalin

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

Bahagian dua daripada rencana tiga siri mengenai kemurungan

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Seperti masalah kemurungan biasa, - kemurungan selepas bersalin (PPD) boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan tidak terbatas kepada mereka yang mempunyai sejarah masalah psikiatrik.

Ibu yang mudah bersalin atau mengalami kesukaran kelahiran, ibu dengan kelahiran sulung atau anak berikutnya, ibu bersuami atau ibu tunggal juga tidak terlepas dengan kebarangkalian mengidap PPD.

Penyakit ini tidak mengenal batasan usia, kaum, budaya, tahap pendidikan atau taraf sosial seseorang.

Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menjelaskan bahawa PPD merupakan masalah kesihatan yang normal dalam kalangan ibu baru bersalin di seluruh dunia.

"Ini berlaku kerana perubahan hormon dan bahan kimia dalam otak secara drastik semasa proses kelahiran bayi menyebabkan kebanyakan ibu mengalami perasaan sayu atau 'bayi blues' sejurus selepas melahirkan," katanya.

Meskipun menerima kehadiran orang baru dalam keluarga, kelahirannya boleh menyebabkan ibu mengalami gejala sayu, cemas, stres, sedih, sepi, penat dan mudah menangis.

"Keadaan itu akan hilang secara normal selepas tujuh hingga 10 hari, namun ia juga boleh menjadi semakin teruk hingga menyebabkan ibu mengalami kemurungan yang menjejaskan kesejahteraan ibu dan bayi," jelasnya.

Dr Abdul Kadir berkata tanpa rawatan sewajarnya, kemurungan itu boleh menghantui ibu sehingga berbulan-bulan.

"Hakikatnya ia adalah komplikasi utama kelahiran tetapi sering diketepikan seolah-olah ibu dilarang untuk merasa sayu semasa menyambut kelahiran bayi baru," katanya.

PEMENANG OSKAR

Pemenang Oskar Gywneth Paltrow pernah berkongsi pengalaman beliau menghadapi kemurungan selepas bersalin kepada pemberita tidak lama dulu.

"Saya berasa seperti zombie. Saya tidak tahu perasaan saya. Saya tidak faham emosi saya. Saya berasa asing. Saya rasa saya seorang ibu dan individu yang teruk," katanya menjelaskan perasaan beliau selepas bersalin.

Paltrow bukan satu-satunya artis terkenal yang menghadapi masalah ini, Brooke Shields dan Marie Osmond juga pernah berkongsi pengalaman buruk episod kemurungan PPD masing-masing.

Atas rasa tanggungjawab untuk berkongsi pengalaman dengan ibu-ibu lain, Shields telah menulis sebuah memoir bertajuk "Down Came the Rain-My Journey Through Postpartum Depression".

Di Malaysia, personaliti tv Wardina Safiyyah turut mengambil langkah berani apabila tampil berkongsi pengalaman episod kemurungan beliau. Wardina mengalami PPD yang amat teruk.

"Anda dianggap kena rasuk dengan makhluk halus atau gila meroyan sedangkan penyakit itu yang menyebabkan anda mudah menangis, panas baran, pelik dan bersikap tidak logik," terang beliau.

Episod PPD yang dialaminya selepas bersalinkan anak kedua membuatkan Wardina bertekad untuk mengkaji masalah itu termasuk menyertai kumpulan sokongan dalam talian untuk menimba ilmu mengenai PPD.

Kini, setiap kali ada rakan atau saudara mara yang baru bersalin, beliau akan cuba memberi sokongan moral kepada si ibu dengan harapan mereka tidak mengalami perkara yang pernah dialaminya.

Wardina yakin dengan pengetahuan dan sokongan daripada suami dan keluarga, ibu yang baru bersalin boleh dibantu dan tidak akan mengalami kemurungan buat kali kedua.

IBU PERLU MENJAGA DIRI

Bagi mengatasi masalah PPD, Abdul Kadir menyenaraikan beberapa langkah mudah yang perlu diambil ibu yang bakal melahirkan khususnya menjaga diri sendiri termasuk mengambil perhatian terhadap kesihatan dan keceriaan diri.

"Proses mengandung adalah sesuatu yang amat istimewa dan bayi adalah satu tanggungjawab besar, justeru para ibu harus mengutamakan kepentingan diri sendiri dan mendapatkan sebanyak mungkin sokongan yang diperlukan," jelas Dr Abdul Kadir.

Ujarnya membentuk ikatan dengan bayi seawal mungkin, seperti berbual, mengusap perut dan berzikir semasa mengandung akan membantu.

Beliau juga menasihatkan ibu melakukan adat tradisi selepas bersalin dengan serius terutama pantang memandangkan ia terbukti memberi banyak kebaikan kepada ibu dan bayi.

Paling penting, katanya, ibu yang baru bersalin tidak boleh dibiarkan bersendirian sepanjang tempoh pantang, memandangkan sokongan pasangan dan anggota keluarga memainkan peranan penting dalam keseimbangan emosi ibu.

"Semasa berpantang, ibu perlu menggunakan sepenuhnya khidmat bidan dan jururawat terlatih dengan mendapatkan nasihat, berkongsi masalah atau meluahkan perasaan.

"Paling penting setiap bakal ibu, pasangan dan anggota keluarga perlu tahu bahawa kemurungan selepas bersalin adalah penyakit yang boleh diubati. Justeru wajarlah semua pihak berkaitan belajar mengenai penyakit ini dan segera mengambil tindakan sekiranya terdapat tanda-tanda kemurungan," katanya.

Dr Abdul Kadir menasihatkan para ibu supaya mengikis rasa malu untuk bercakap dengan bidan, jururawat, doktor atau kaunselor sekiranya terasa murung.

"Dengan pendidikan dan sokongan yang betul, mereka yang pernah mengalami episod kemurungan tidak akan mendapatnya buat kali kedua," ujarnya.

-- BERNAMA

ISU SOSIAL : Hiburan berlebihan di sekeliling kita

Oleh Shamrahayu A Aziz

Undang-undang lama dilulus, dikuat kuasa tapi tak menampakkan kesan


SUDAH tentu istilah hiburan begitu sinonim dengan kita. Sebagai manusia biasa saya juga sukakan hiburan. Mungkin pembaca juga begitu. Umumnya hiburan dapat meringankan beban masalah atau tekanan yang dihadapi. Tetapi, seperti kata ramai, kita hendaklah bijak memilih jenis hiburan yang sesuai kerana ruang lingkup hiburan sangatlah besar.

Kita maklum bahawa kesan hiburan yang berlebihan amat negatif, bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga kepada agama, masyarakat dan negara. Bagi umat Islam sudah tentu ramai pembaca yang telah sedia maklum mengenai jenis hiburan yang dibolehkan menurut asas agama. Justeru, budaya berhibur hendaklah sentiasa selari dengan ajaran dan tuntutan agama.

Namun begitu, budaya berhibur secara berlebihan telah banyak berkembang di kalangan kita. Ramai yang sudah terlalai. Bagi tujuan menangani perkara itu kita terpaksa mewujudkan undang-undang tertentu supaya budaya berhibur dibuat di dalam keadaan berhemah dan tidak mendatangkan mudarat.


Menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan perkara berkaitan pelesenan tempat hiburan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Pembaca boleh merujuk kepada jadual kesembilan, senarai kedua, butiran 5(f) Perlembagaan. Ekoran daripada peruntukan Perlembagaan ini kebanyakan negeri, sejak dari awal 90-an, telah memperkenalkan undang-undang berkaitan hiburan bagi tujuan mengawal selia perkara berkaitan hiburan, terutamanya pelesenan. Kebanyakan enakmen di negeri berkenaan dinamakan sebagai Undang-Undang Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan.

Menurut undang-undang ini sebuah Jawatankuasa Pelesenan (di sesetengah negeri istilah Pegawai Pelesen digunakan) di bawah kerajaan negeri akan bertanggungjawab mengenai urusan pelesenan dalam pengendalian hiburan. Jawatankuasa itu mempunyai budi bicara penuh untuk mengeluarkan lesen atau meletakkan apa-apa syarat yang difikirkan patut.

Ini bermakna pihak Jawatankuasa Pelesenan mempunyai kuasa untuk meletakkan apa juga sekatan atau syarat, atas apa juga alasan, sama ada alasan agama atau keselamatan. Sementara itu pihak berkuasa negeri juga boleh mengarahkan Jawatankuasa Pelesenan dalam menjalankan kuasa dan budi bicara mereka.

Pihak jawatankuasa mempunyai budi bicara penuh untuk meminda atau mengubah apa-apa syarat berkaitan pelesenan. Selain daripada itu lesen hiburan bukanlah satu hak dan ia tertakluk kepada budi bicara pegawai pelesen. Lesen yang sudah diluluskan boleh ditarik balik pada bila-bila masa apabila berlakunya perlanggaran syarat atau sekatan.

Selain daripada lesen boleh ditarik balik, pihak yang melanggar syarat atau sekatan lesen juga boleh didakwa. Sementara itu pihak berkuasa negeri boleh memberi kata putus mengenai pelesenan sekiranya pihak yang tidak berpuas hati mengenai penarikan balik lesen membuat rayuan.

Dari segi penguatkuasaannya pula, undang-undang hiburan meletakkan tanggungjawab ke atas pihak polis. Pihak Jawatankuasa Pelesenan juga boleh memberikan kuasa berkaitan penguatkuasaan kepada mana-mana pegawai awam atau pekerja pihak berkuasa tempatan.

Mereka boleh memasuki dan menjalankan penyiasatan di tempat hiburan tanpa waran (tetapi hendaklah menunjukkan surat kuasa sekiranya diminta) bagi tujuan memastikan syarat atau sekatan lesen dipatuhi. Di dalam menjalankan kuasa ini pihak berkuasa boleh memeriksa seluruh tempat di dalam premis hiburan dan menghendaki sebarang dokumen dikemukakan. Ini menjadikan kuasa penguat kuasa begitu luas dan agak mudah secara teorinya.

Walaupun begitu, selepas sekian lama undang-undang itu diluluskan dan dikuatkuasa, kita masih melihat pelbagai hiburan yang berlebihan di sekeliling kita. Ia membimbangkan dan sebenarnya amat menakutkan. Umumnya undang-undang hiburan ini tidak begitu menyerlah keberkesanan dan pelaksanaannya.

Inilah antara punca yang menyebabkan budaya hiburan kita semakin liar dan seterusnya menjadi penyumbang kepada masalah sosial yang lebih serius. Saya tidak nafikan banyak tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa dalam penguatkuasaan, tetapi ia seolah-olah tidak menampakkan kesan.

Untuk penambahbaikan, mungkin kita perlu selidiki kelemahan yang ada di dalam perundangan, termasuk sistem pelesenan, pemantauan dan penguatkuasaan dan seterusnya merancang pelan penguatkuasaan yang lebih strategik. Penguatkuasaan tidak semestinya atas dasar hiburan tertentu bertentangan dengan ajaran agama tertentu seperti agama Islam saja, tetapi secara keseluruhannya hiburan melampau tidak akan mendatangkan kebaikan. Ia hanya mengundang keburukan. Seperti mana yang kita maklum hiburan melampau sentiasa dikaitkan dengan perbuatan tidak baik dan membahayakan, seperti penggunaan arak, memandu di dalam keadaan mabuk, penggunaan dadah, pelacuran, homoseksual dan seumpamanya.

Saya tidak menuding jari kepada pihak penguat kuasa semata-mata. Individu yang sukakan hiburan ini adalah musuh utama. Oleh itu kesedaran individu atau setiap ahli masyarakat amatlah penting. Ini kerana penguatkuasaan tidak akan dapat menyelesaikan semua masalah.



Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 25 Julai 2011

ISU KESIHATAN : Kemurungan Isu Masyarakat Modern Yang Semakin Serius

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

Ini bahagian pertama daripada rencana tiga siri mengenai kemurungan

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Dua bekas presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln dan Theodore Roosevelt pernah mengalaminya pada suatu ketika.

Malah beberapa seniman agung seperti pemuzik Beethoven, penulis Edgar Allen Poe dan Mark Twain serta pelukis Vincent van Gogh turut melalui pengalaman yang sama.

Ini membuktikan kemurungan tidak mendiskriminasi sesiapa.

Dalam satu kajian, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati kemurungan klinikal ialah penyakit keempat dalam ranking penyakit penyebab ketidakupayaan paling teruk dan dijangka akan naik pada kedudukan kedua menjelang 2020.

SIMPTOM KEMURUNGAN

Gejala atau simptom kemurungan berbeza-beza, tetapi secara amnya, mangsa mengalami perasaan negatif untuk jangka masa yang panjang seperti kehilangan minat atau kehendak untuk hidup dan anhedonia atau hilang perasaan nikmat kehidupan.

Tanda lain termasuk perubahan berat badan dan selera makan secara drastik, gangguan tidur, kesunyian, mudah terasa, mudah cemas, kepenatan, dihantui perasaan tidak berguna, sering rasa bersalah, kurang bertenaga, hilang tumpuan dan rendah diri.

Kemurungan juga boleh termanifestasi dalam pelbagai bentuk masalah fizikal seperti sakit belakang, pening, masalah gastrik dan lain-lain sakit kronik.

Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menjelaskan bahawa kemurungan sebenarnya sangat berbeza dengan kesedihan.

"Diagnosis kemurungan ialah mempunyai lima atau lebih gejala berkaitan selama sekurang-kurangnya dua minggu yang cukup teruk hingga mengganggu prestasi kerja dan kehidupan sosial," jelasnya.

Ia boleh menjadi kronik sehinggakan menjurus kepada membunuh diri.

"Apapun, kebanyakan kes kemurungan sebenarnya boleh dirawat dengan ubat atau melalui psikoterapi," kata Abdul Kadir dalam satu temu bual baru-baru ini.

"Tanpa rawatan sewajarnya, gejala yang dialami pesakit boleh mengambil masa sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun," ujar Abdul Kadir.

KECENDERUNGAN BUNUH DIRI

Pakar bersetuju bahawa sekiranya seseorang itu nekad untuk membunuh diri, tiga jenis perasaan telah terbentuk di dalam dirinya, iaitu - tidak lagi tahan untuk menanggung azab, tidak lagi mampu melarikan diri dan tidak upaya lagi menghadapi ketentuan.

Rekod Daftar Statistik Bunuh Diri Malaysia mencatatkan seramai 731 (545 lelaki dan 186 wanita) membunuh diri dalam tempoh tiga tahun antara 2007 hingga 2010.

Daripada angka itu 321 kes melibatkan individu yang berkahwin, 298 bujang, 34 orang balu dan 29 orang yang bercerai.

Statistik itu merupakan sebahagian daripada laporan Kabinet yang dibentangkan di Dewan Negara April lalu.

Kajian WHO mendapati, penyebab utama kematian akibat bunuh diri adalah kemurungan.

WHO turut menganggarkan bahawa di rantau Asia Pasifik, orang yang mati akibat bunuh diri sebenarnya lebih ramai berbanding mati akibat tuberculosis.

Senario bunuh diri dijangka akan meningkat sekiranya masyarakat enggan bersikap terbuka terhadap isu yang berkaitan dengan masalah sosio-ekomoni yang boleh menjurus kepada isu psikiatrik.

WANITA MUDAH ALAMI KEMURUNGAN

Kajian mendedahkan bahawa dalam satu-satu masa, sekitar lima hingga 10 peratus anggota masyarakat berdepan dengan episod kemurungan yang memerlukan bantuan psikiatri atau bantuan psikososial.

Tetapi, wanita mempunyai kadar risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki iaitu sekitar satu nisbah dua kebarangkalian untuk mengalami episod kemurungan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Saintis percaya kekerapan itu berpunca daripada beban mengimbangi pelbagai peranan sebagai suri rumahtangga, tugas profesional, isteri dan ibu.

Berbeza dengan wanita, lelaki sering merawat sendiri kemurungan dengan terjebak dalam kegiatan tidak sihat seperti dadah dan arak sekali gus menyebabkan isu kemurungan sukar dikesan.

Kajian juga menunjukkan bahawa penyakit kemurungan ini lebih mudah menyerang pada tempoh paling produktif seseorang individu, iaitu mereka yang berusia kurang 45 tahun, berbanding mereka yang lebih tua.

MENTAL DAN FIZIKAL SALING BERKAITAN

Dr Abdul Kadir menegaskan bahawa kesihatan mental dan kesihatan fizikal adalah dua perkara berbeza tetapi sama penting dan saling berkaitan.

"Kedua-dua komponen ini mesti seimbang bagi membolehkan seseorang menjalani kehidupan yang lebih sejahtera, memiliki hubungan kekeluargaan yang baik dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.

"Hakikatnya di Malaysia, rakyat yang mengalami kemurungan sebenarnya lebih ramai berbanding angka yang telah dikenalpasti mengalami masalah itu," katanya..

Beliau berkata ramai yang malu tampil mendapatkan bantuan ekoran stigma negatif masyarakat yang masih mempunyai mentaliti dunia ketiga apabila menyentuh isu berkaitan masalah psikiatrik.

Beliau turut menekankan bahawa ramai dalam kalangan pengidap yang didiagnos tidak menerima rawatan sewajarnya ekoran pelbagai halangan, turut sekaligus menghalang mereka kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.

"Hanya melalui pendidikan, lebih ramai akan sedar dengan isu ini dan akan tampil mendapatkan rawatan sewajarnya atau sekurang-kurangnya berbincang dengan pegawai perubatan," ujarnya.

DAPATKAN BANTUAN SEBELUM TERLAMBAT

Justeru, apa yang boleh dilakukan jika anda mendapati ahli keluarga, rakan atau diri anda sendiri mungkin mengalami tekanan atau kerunsingan sehingga mengganggu urusan harian atau produktiviti kerja?

Dr Abdul Kadir menjelaskan bahawa meluahkan perasaan sebenarnya satu perbuatan yang sihat, tetapi sukar dilakukan, ekoran merasa malu dianggap bermasaalah.

Justeru, cara yang mungkin lebih berkesan ialah, meluahkan perasaan melalui saluran yang betul kepada orang yang tidak dikenali iaitu perkhidmatan kaunseling yang kini disediakan di banyak hospital.

Mereka yang tidak sanggup bersemuka dengan kaunselor dicadangkan menghubungi talian bantuan The Befrienders iaitu 03-79568145 yang dibuka sepanjang hari.

Pengerusi The Befrienders, S. Gangadara Vadivel menerangkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyediakan ramai sukarelawan yang bersedia memberikan sokongan emosi kepada yang memerlukan.

"Pemanggil kami seringkali merupakan mereka yang berada dalam keadaan takut, marah, sedih, sunyi atau murung yang perlu meluahkan perasaan tentang pelbagai masalah keluarga, kerja, perhubungan, wang dan sebagainya," jelas Gangadara.

Beliau memberi jaminan bahawa pemanggil akan dilayan dengan penuh rasa hormat dan setiap panggilan adalah sulit.

"Malahan kami tidak akan menyimpan sebarang rekod bagi memastikan rahsia atau masalah pemanggil selamat dengan kami," ujarnya.

-- BERNAMA

Ahad, 24 Julai 2011

ISU KEPENGGUNAAN : Mengurus kenaikan subsidi luar jangka

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

MEMANG jenuh juga mendengar ungkapan subsidi. Dalam mengharungi kenaikan harga barang di pasar-pasar basah dan pasar raya yang tidak menentu kala ini, ada orang pastinya 'panas telinga' mendengar istilah subsidi.

Sesetengah daripada kita menganggap tanggungan subsidi sebagai '100 peratus tanggungjawab kerajaan'. Sebilangan lagi akur dengan kerja keras kerajaan kebelakangan ini dalam merencana dan seterusnya menangani beban itu yang kelihatannya tidak ada kesudahan. Ini termasuk mendepani kos subsidi di luar jangka.

Meskipun subsidi begitu penting dalam membantu rakyat menjalani kehidupan yang selesa, namun rakyat harus mula menyedari bahawa kerajaan tidak mampu untuk menanggung beban subsidi itu selama-lamanya.

Selain itu, pemberian subsidi yang berpanjangan akan menyebabkan rakyat terlalu bergantung harap dengan bentuk bantuan seperti itu sekali gus tidak mahu berganjak untuk mengubah taraf kehidupan sedia ada.

Ditambah lagi dengan harga minyak mentah dunia yang meningkat dengan mendadak di pasaran sejak pertengahan 2004 lagi. Dan pelbagai faktor global menjadikan harga tenaga itu semakin mahal. Ia memberi kesan kepada hampir seluruh negara di dunia dengan terbaru, Belarus terpaksa menaikkan harga minyaknya sebanyak 30 peratus bagi mengekang krisis ekonomi negara republik bekas Soviet itu. Sebelum itu, China, Taiwan dan Filipina telah mengambil tindakan sama.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini menarik perhatian mengenai isu subsidi luar jangka yang didepani kerajaan.

Dalam menguruskan kenaikan subsidi yang tidak dijangka, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk mengawal harga beberapa jenis barangan asas seperti petrol, diesel, gula, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan beras yang memberi kesan langsung terhadap kos barangan akhir yang lain.

Kawalan harga itu, kata beliau, dibuat melalui pemberian subsidi oleh kerajaan di mana perbezaan di antara harga pasaran dan harga kawalan ditampung oleh pemberian subsidi.

"Tidak dinafikan bahawa berlaku kenaikan harga barangan walaupun harga bahan asas (barang kawalan) adalah terkawal tetapi kos barangan turut dipengaruhi oleh kos operasi lain dan faktor ketidakberkesanan dalam pasaran (inefficiency in the market)," kata Ismail.

Antara langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menguruskan kenaikan subsidi luar jangka adalah:-

i. Mewujudkan Jawatankuasa Kabinet Harga dan Bekalan yang dianggotai oleh semua agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam memastikan bekalan berterusan pada harga yang berpatutan;

ii. Menjalankan kempen penurunan harga bersama kedai-kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar;

iii. Mengadakan sesi dialog dan perbincangan dengan persatuan industri makanan dan minuman serta persatuan peniaga bagi menerangkan mengenai kenaikan harga dan meminta supaya industri tidak menaikan harga produk akhir mereka;

iv. Menjalankan kempen kuasa pengguna yang mendidik pengguna mempraktikkan kuasa mereka dalam membuat pilihan barangan yang ditawarkan pada harga yang berpatutan dan memberi nilai untuk wang (value for money).

Menurut Ismail Sabri, senario kenaikan harga barangan keperluan bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi turut dialami oleh rakyat di negara asing serta tidak terlindung daripada kenaikan harga barangan yang ketara.

"Namun kerajaan masih memberikan subsidi kepada rakyat bagi mengelakkan kenaikan harga yang mendadak yang menjejaskan rakyat," katanya.

Hakikatnya, penjimatan melalui rasionalisasi subsidi yang berterusan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan beban tanggungan subsidi kerajaan secara berperingkat-peringkat selaras dengan Model Baru Ekonomi.

Ia bertujuan supaya:

(i) Subsidi dapat disalurkan kepada golongan sasaran;

(ii) Mengurangkan ketirisan barangan bersubsidi yang diakibatkan perbezaan harga yang ketara di negara jiran;

(iii) Mengurangkan kebergantungan rakyat kepada subsidi kerajaan; dan

(iv) Meningkatkan kesedaran rakyat kepada trend semasa harga pasaran bahan petroleum dan gula.

Dalam aspek ini, kata Ismail Sabri, impak kenaikan harga barang dan bahan api dunia terhadap kadar inflasi Malaysia dijangka kekal pada kadar sederhana.

Kadar inflasi bagi Januari hingga Mac 2011 adalah 2.8 peratus (%). Berdasarkan laporan dari Bank Negara Malaysia, purata inflasi pada tahun 2011 dijangka antara 2.5% - 3.5%.

"Pengekalan kadar inflasi yang sederhana di negara kita disumbangkan oleh langkah kawalan harga barangan perlu oleh kerajaan.

"Langkah ini telah dapat memastikan harga barangan perlu adalah lebih rendah berbanding dengan negara-negara jiran di rantau ini. Kawalan harga telah memberikan impak yang minimum atas harga barang- barang perlu dalam negara walaupun harga makanan dan komoditi di pasaran dunia semakin meningkat," katanya.

Menurutnya, kerajaan begitu prihatin untuk memastikan kebajikan dan keperluan rakyat sentiasa terjamin.

"Untuk tujuan itu, kerajaan masih menyediakan peruntukan dalam bentuk subsidi kepada perkara-perkara asas seperti pendidikan, perubatan, pertanian termasuk subsidi bagi tepung gandum, minyak masak, gula dan bahan api.

"Ini bermakna saban tahun kerajaan perlu menyediakan sejumlah wang yang banyak demi memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan yang selesa," kata Ismail Sabri.

Sumber : http : //www.utusan/com.my/

ISU BAHASA : Tentang bahasa dan berbahasa

oleh RAHMAN SHAARI

Pengajaran bahasa melalui istilah mungkin tidak menarik bagi kebanyakan pelajar. Pada awal 1970-an, muncul trend pengajaran bahasa, yang disarankan dan diaplikasi Kementerian Pelajaran. Trend itu penentuan dua jenis pengajaran, tentang bahasa dan berbahasa.

Pengajaran tentang bahasa untuk mengetahui hal tatabahasa seperti frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, frasa sendi, ayat penyata, ayat tunggal, ayat larangan dan banyak lagi. Selain itu, pengajaran gaya bahasa juga ialah pengajaran tentang bahasa.

Pengajaran berbahasa akan menjadikan pelajar mahir berbahasa, berbahasa kemas, hebat dan tidak melakukan kesilapan. Ertinya, mereka akan cekap bertutur atau menulis karangan, atau kedua-duanya sekali.

Sejumlah tokoh membuktikan hal ini. Usman Awang maju dalam bahasa idiomatiknya dan Asraf maju dalam nahu (tatabahasa). Anwar Ridhwan mencapai tahap akademik tinggi, tetapi janganlah kita menyangka kesemua orang yang tiba ke tahap PhD seperti beliau, memiliki kemahiran berbahasa sama, demikian juga dengan Awang Sariyan. Terdapat sejumlah pemegang PhD yang maju dalam bidangnya sendiri, tetapi tidak dapat berbahasa dengan baik. Bahasa yang baik ialah bahasa yang betul (gramatis) dan berkesan (menarik). Penghujahan tentang perkara ini ada politiknya. Perkataan politik dalam konteks ini mempunyai makna khusus, kira-kira sama dengan cerdik.

Ahli bahasa berpolitik dengan mengemukakan konsep licentia poetica. Golongan ini mahir dalam tatabahasa dan ilmu gaya bahasa (stilistika). Baris duka ada di rindu (Sajak Duka oleh A Ghafar Ibrahim) membawa makna duka ada di kerinduan. Kata kerinduan itu mengalami elips atau aus. Konsep inilah yang mengizinkan munculnya baris puisi, dingin menanti dalam sajak Sesudah Hujan karya Anwar Ridhwan, gerak yang jujur dalam sajak Meski Sinar Melintasi Mereka Alangkah Malangnya karya Suhaimi Haji Muhammad dan banyak lagi.

Apa yang hendak saya katakan dalam konteks di atas, tatabahasa dapat dilanggar jika seseorang menyedari prosesnya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Sabtu, 23 Julai 2011

ISU ANTARABANGSA : Menjadi masyarakat global

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@nstp.com.my

GLOBAL adalah suatu terminologi bahasa Inggeris yang sering digunakan untuk menggambarkan taraf dan status. Dalam konteks ini, status global adalah status dunia. Kekerapan penggunaannya menyebabkan global atau globalisasi diterima sebagai istilah baru bahasa Melayu. Ramai pihak yang diberi anugerah peringkat global berasaskan pencapaian masing-masing. Sebuah syarikat yang dapat meletakkan kedudukannya ke taraf global adalah syarikat yang berjaya. Mendengar nama syarikat atau jenama produk keluaran syarikat, semua tahu mengenainya sama ada di Malaysia, Sudan, Maldive, Afrika Selatan, Korea, Burma dan di mana-mana sekali pun.

Produk yang mencapai kedudukan seumpama itu adalah produk yang bertaraf global. Siapa tidak tahu kereta Mercedes, BMW, Honda atau Toyota atau jenama lain seperti Panasonic, Apple, Rolex, Omega, Philips, British Airways, Shell, Exxon, Tesco, Carrefour, Hilton dan banyak lagi. Jika individu, mereka tahu atau pernah mendengar nama Rupert Murdoch, Bill Gates, Tiger Woods dan siapa juga yang menempa nama dalam bidang masing-masing di persada dunia termasuklah pemain bola sepak atau selebriti ternama dunia.


Hari ini, kita mendengar seruan supaya syarikat atau individu di negara ini meningkatkan usaha dan kemampuan mereka ke peringkat global. Jika syarikat, ia perlu memikirkan bagaimana boleh berkembang hingga ke taraf dunia. Jika suatu produk, ia mesti mendapat pengiktirafan dunia. Dunia mengenali Viagra tetapi tidak ramai yang tahu khasiat mengenai tongkat ali. Boleh atau tidak gedung Mydin dilihat di New York atau di Paris.

Jika membabitkan perkhidmatan, ia mestilah diketahui hingga ke seluruh dunia. Ia mestilah kemudahan yang istimewa dan menjadi buah mulut orang di seluruh dunia. Untuk berjaya dan menjadi yang terbaik, setiap individu atau organisasi mesti menempatkan diri mereka ke taraf global. Seorang jaguh sukan perlu menempatkan dirinya sebagai juara yang tidak boleh ditandingi oleh sesiapa pun, sebelum boleh dinobatkan sebagai seseorang yang boleh diiktiraf sebagai bertaraf global.

Jika ahli sains atau ahli teknologi, beliau mestilah terlebih dulu dikenali di negaranya sendiri, kemudian masyarakat di wilayah atau rantau di mana negaranya berada, malah di seluruh dunia.

Kita tidak boleh selama-lamanya menjadi jaguh kampung yang hanya menjadi percakapan penduduk di tempat sendiri tetapi di kampung sebelah, tidak seorang pun mengenalinya. Seorang sarjana atau tokoh akademik perlu menempatkan diri mereka sebagai tokoh yang dikenali bukan saja di universitinya sendiri atau di kalangan masyarakat akademia di negaranya saja, tetapi seluruh dunia mengenalinya. Seorang pemikir yang mencetuskan idea inovatif dan berstatus tinggi adalah pemikir bertaraf global. Golongan seperti ini tidak memikirkan isu dan topik yang sempit, tetapi sentiasa berfikiran luas.

Jika individu atau syarikat, agak mudah menentukan tanda aras kejayaan mereka. Tapi, agak sukar untuk mendapatkan tanda aras sesebuah negara yang memiliki ciri-ciri bertaraf dunia. Tidak semua apa yang ada di Amerika Syarikat itu bertaraf dunia. Ada ciri-ciri di negara berkenaan yang lebih buruk dari negara-negara dunia ketiga atau dunia keempat. Dari segi layanan kerajaan terhadap rakyat, banyak negara di Asia, umpamanya, lebih baik daripada yang dilakukan di Eropah atau negara maju yang lain. Dari segi kemudahan yang disediakan kepada rakyat, Malaysia mungkin antara yang terbaik di dunia walaupun tidak pernah diisytiharkan sebagai bertaraf global. Antara penilaian lain adalah sistem pengangkutan dan lalu-lintas, sistem komunikasi, urusan kaunter, hotel dan sebagainya.

Bagi menentukan ciri-ciri pemikiran global pula, seseorang itu mestilah berfikiran luas. Jika membabitkan perniagaan, mereka akan cuba memikirkan bagaimana mahu menembusi pasaran di mana-mana saja. Hari ini wujud pula pemikiran politik global yang cuba diterapkan khasnya di negara-negara membangun. Pemikiran politik seperti dicetuskan di Barat menerusi sistem yang diterima pakai di negara berkenaan. Masalahnya, cara pemikiran seperti ini cuba diterapkan di negara yang berbeza ideologi, budaya dan cita rasa. Maka berlakulah pertentangan budaya yang nyata. Cara pemikiran politik seperti ini agak agresif dan tidak kompromi. Jika berasakan cara yang disediakan oleh pemerintah tidak sesuai dengan mereka, mereka akan membantah dengan cara ugutan.

Demonstrasi adalah satu bentuk ugutan cara baru. Cara ini menggunakan kumpulan massa untuk memaksa pihak berkuasa mendapat sesuatu. Mereka menggunakan landasan menuntut kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang dicipta di negara maju, untuk mendapatkan cita-cita mereka. Inilah yang berlaku dalam tuntutan tidak demokratik yang berlaku di negara yang mengimport cara negara maju yang kononnya bertaraf dunia. Mereka mahu rakyat di seluruh dunia berfikiran politik global bagi memudah mereka menyalurkan pemikiran Barat. Mereka menjadikan golongan muda sebagai sasaran kerana merekalah yang akan mewarisi gagasan mereka pada masa akan datang.

Implikasi kepada tindak tanduk ini akan menyebabkan negara-negara yang dihinggapi penyakit pemikiran politik global sentiasa kucar-kacir dan tidak tenteram sepanjang masa. Realitinya, walau siapa juga yang mentadbir negara akan mendapat tentangan pihak yang tidak berpuas hati. Umumnya, untuk menjadi masyarakat global, setiap orang perlu faham apakah sebenarnya konsep global. Yang baik, jadi ikutan, yang buruk jadikan teladan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/