Isnin, 15 Ogos 2011

ISU SOSIAL : Memerangi kemalangan jalan raya

DATUK ABDUL RAHIM BAKRI

Timbalan Menteri Pengangkutan

SEMPENA menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri, sekali lagi akan ada usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kesedaran peri pentingnya keselamatan di jalan raya bagi mengelak kemalangan.

Tragedi kemalangan melibatkan pengangkutan awam sering mendapat liputan media dan menimbulkan reaksi orang ramai yang paling banyak. Ini mungkin kerana ia kematian berkelompok.

Namun pada hakikatnya jika dilihat dari segi statistik, kematian melibatkan pengangkutan awam adalah jumlah terendah sekali - berbanding kenderaan pelbagai jenis lain khususnya motosikal.

Pada 2010, misalnya kematian di jalan raya berjumlah 6,872 orang dan daripada jumlah itu, kematian pengangkutan awam melibatkan bas hanya 77 orang iaitu lebih kurang 1.1 peratus (%) berbanding kereta 20.7% (1,421 orang) dan yang paling tertinggi sekali adalah penunggang dan pembonceng motosikal iaitu 4,036 kematian atau lebih kurang 58.7%. Oleh itu penggunaan kenderaan awam boleh menjamin keselamatan yang lebih secara perbandingan.

Setiap hari secara purata 18 orang mati di jalan raya, dan setiap 1 jam 20 minit juga ada seorang mati akibat kemalangan maut. Manakala setiap hari secara purata sekurang-kurangnya 11 orang mati melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Kos sosial bagi kemalangan yang berlaku (melibatkan kos perubatan, kos sebagai orang kurang upaya dan lain-lain) dianggarkan RM9 bilion setiap tahun. Persatuan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) menganggarkan hampir 300,000 orang menjadi anak yatim di negara ini berkait dengan kemalangan jalan raya.

Secara perbandingan Malaysia berada di tempat ke-47 daripada 174 negara menurut sumber Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). China diberitakan mencatat kematian seramai 120,000 orang setahun dan India 98,000 orang.

Apa yang membimbangkan kemalangan di jalan raya berkembang pesat mengikut pertambahan kenderaan. Di negara kita, ketika ini terdapat 20 juta kenderaan berdaftar dan pemandu berlesen ada 12.1 juta. Setiap bulan kereta bertambah 70,000 sehingga 80,000 dan setiap tahun dianggarkan 1 juta kenderaan berdaftar bertambah di jalan raya.

Jalan-jalan yang dibina juga bertambah setiap tahun. Setakat ini terdapat 27 jalan konsesi dan difahamkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 ini akan ada 7 batang lebuh raya lagi akan dibina. Ini tidak termasuk jalan negeri dan persekutuan yang dibina di seluruh negara.

Peningkatan angka-angka ini akan menjadikan jalan-jalan dan lebuh raya kita sebagai landasan maut jika tidak ada pelbagai pencegahan dibuat untuk mengatasi masalah ini.

Atas sebab itu kerajaan melaksanakan pelbagai pendekatan holistik danpencegahan bagi menangani permasalahan ini.

Pendekatan ini tidak akan berjaya selagi tidak ada sokongan dari setiap golongan masyarakat sama ada pemimpin keluarga, pemimpin masyarakat, parti politik, NGO, badan korporat dan kerajaan. Ini adalah sesuai dengan slogan "Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama" dan "Kemalangan tidak mengenal sesiapa".

Kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya hanyalah bertindak sebagai pemudah cara. Mereka boleh mewujudkan pelbagai pendekatan dan strategi tetapi tanpa kesedaran di kalangan rakyat dan sokongan semua golongan tidak mungkin pendekatan itu mencapai kejayaan.

Berdasarkan kajian Malaysian Institute of Road Safety (MIROS) beberapa strategi telah dikenal pasti yang perlu dilaksanakan. Di antaranya ialah strategi 4E's iaitu melibatkan Education (pendidikan) yang menjurus ke arah penambahbaikan sikap pemandu yang menjadi punca utama kemalangan iaitu menurut kajian MIROS berjumlah 67%.

Oleh itu penambahbaikan sikap menjadi lebih berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab akan diberikan penekanan dalam intervensi tersebut.

Strategi pendidikan jangka pendek dan berterusan ialah melalui kempen dan advokasi. Ia perlu dilaksana melalui saluran pelbagai media dan community based programme.

Ia adalah program berterusan dengan bantuan media massa, NGO seperti Road Safety Marshall, Majlis Keselamatan Jalan Raya, Persatuan Permotoran Malaysia (AAM), Malaysian United For Road Safety.

Badan organisasi korporat yang prihatin turut terlibat misalnya melalui badan korporat Shell, Petronas yang melibatkan kempen traffic game bagi pelajar sekolah. Kumpulan Genting turut menyumbangkan berjuta-juta ringgit bagi menaja kegiatan kempen keselamatan jalan raya sepertihelmet programme selain syarikat-syarikat yang memberikan grant secara 'adhoc' seperti PLUS dan beberapa pemegang konsesi lebuh raya.

Melalui kerjasama dan bantuan Kementerian Pelajaran, sekolah digalakkan menubuhkan Kelab Keselamatan Jalan Raya yang bertindak sebagai pemangkin kesedaran khususnya generasi baru. Sebagai langkah jangka panjang, Jabatan Keselamatan Jalan Raya menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan Kurikulum Keselamatan Jalan Raya di setiap sekolah di negara ini. Ia diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (subjek wajib) bagi satu jam setiap minggu.

Aspek kedua yang tidak kurang pentingnya juga ialah kejuruteraan iaitu melibatkan kejuruteraan jalan dan kejuruteraan kenderaan.

Setiap kenderaan yang masuk dan didaftar di negara ini diperlukan untuk mendapatkan Vehicle Type Approval (VTA) iaitu keperluan ujian wajib setiap model kenderaan bari bagi memenuhi Malaysian Standard (MS) dan piawaian keselamatan kenderaan.

Bagi kenderaan pengangkutan awam beberapa protokol dan piawaian antarabangsa tertentu perlu digunapakai seperti piawaian UNECE (United Nations Economic Commission of Europe) khususnya piawaian superstructure bas dan piawaian berkaitan tayar.

Kenderaan pengangkutan awam dan perdagangan diwajibkan melalui pemeriksaan teknikal Puspakom sebelum didaftar dan pemeriksaan berkala diwajibkan untuk menentukanroadworthiness sesebuah kenderaan. Ini termasuklah kenderaan offroad supaya setiap pemilik kenderaan mempunyai tanggungjawab duty of care. Kegagalan melakukannya boleh menjadikan satu kesalahan besar di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

Kejuruteraan dan reka bentuk jalan juga suatu isu yang perlu ditangani. Kementerian Kerja Raya perlu mengadakan audit secara berterusan dan merawat jalan-jalan yang dianggap black spot dan memastikan reka bentuk jalan memenuhi piawaian jalan antarabangsa dan bersifat selamat.

Di seluruh negara setakat ini terdapat 566 kawasan black spot (accident prone area) yang telah dikenal pasti. Kawasan ini akan menjadi tempat di mana Automated Enforcement System (AES) dipasang sebagai langkah membendung pengguna jalan raya memandu laju di lokasi berbahaya ini.

Satu aspek yang penting ialah berkaitan penguatkuasaan. Penyelarasan di antara agensi penguatkuasa seperti PDRM, JPJ, SPAD perlu dipertingkatkan supaya ia menjadi lebih berkesan dan digeruni. Di musim perayaan ini agensi penguat kuasa sekali lagi akan menggembleng tenaga bagi melaksanakan Ops Sikap.

Saman yang dikenakan haruslah mampu dikutip dengan cekap supaya pemandu dapat merasa keperitan dan meningkatkan persepsi ditangkap. Mereka akan mendapat pengajaran sewajarnya daripada kesalahan mereka.

Diharap dengan pelaksanaan AES, kaedah saman akan menjadi lebih cekap, tepat, konsisten dan dengan sendirinya membentuk sikap pemandu lebih berhemah dan bertanggungjawab di jalan raya.

Dalam melaksanakan bermacam kaedah dan pendekatan ini, perkara paling pokok adalah bagaimana mengubah sikap pemandu. Sikaplah yang boleh mengubah pola pemanduan.

Kita berharap pada musim perayaan ini, kita dapat merayakannya dengan kegembiraan, bukan kesedihan apabila angka yang mati di jalan raya meningkat seolah-olah tiada hujungnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Natijah kebebasan atasi prinsip moral

Oleh Shamrahayu A Aziz


Rusuhan di London wajar jadi panduan dalam perjuangkan hak asasi

PERISTIWA rusuhan di London yang mengakibatkan kerugian besar harus kita beri perhatian. Mungkin pembaca sudah dilambakkan dengan penerangan mengenainya. Namun dalam ruangan ini saya mahu berkongsi pemerhatian saya mengenai rusuhan itu untuk kita sama-sama menjadikannya sama ada teladan atau sempadan.

Britain ialah negara yang sering dijadikan penanda aras hak asasi bagi sesetengah pihak di negara kita. Britain dikatakan antara negara yang begitu tinggi nilai hak asasinya. Tetapi peristiwa rusuhan menunjukkan bahawa Britain sebenarnya tidaklah begitu baik pencapaian hak asasinya. Sekiranya hak asasi dilihat dalam konteks yang luas, ia termasuklah dua hak utama, iaitu hak untuk mendapat kehidupan sempurna dan tahap sosial dan ekonomi yang dapat menyokong kehidupan asas. Malangnya perkara ini tidak begitu sempurna di sana.

Di sana ada kemiskinan dan tekanan hidup. Di sana juga ada jurang sosial dan ekonomi yang tinggi. Kedua-dua perkara pokok dalam prinsip hak asasi ini disebut-sebut sebagai punca rusuhan. Ini menunjukkan Britain masih terkial-kial dalam amalan hak asasi. Sekiranya segala keperluan atau hak asasi diambil berat dan dipenuhi, kemungkinan rusuhan tidak berlaku.

Satu perkara lain yang saya perhatikan ialah kebebasan berdemonstrasi yang diberikan kepada generasi muda menzahirkan kesan negatif kepada negara itu. Tindakan pasukan polis yang begitu berlembut pada awalnya mendorong kepada berlakunya kerosakan yang lebih besar. Jika kita bandingkan dengan tindakan kepolisan negara kita ketika demonstrasi, ia menampakkan perbezaan. Tetapi apa yang pasti ialah, kita tidak mahukan demonstrasi jalanan bertukar menjadi demonstrasi vandalisme yang sudah tentu merugikan negara seperti yang berlaku di London – bukan saja kerugian harta dan wang ringgit, tetapi reputasi negara di mata dunia. Ketegasan pihak berkuasa menyelamatkan negara, walaupun ada yang menganggap kita mencalar prinsip hak asasi.

Selain daripada hak asasi, perkara berkaitan moral juga antara perkara pokok di dalam rusuhan ini. Keruntuhan moral generasi muda nampak begitu jelas. Menerusi temu ramah yang dijalankan kita dapati bahawa angkuhnya anak muda mereka. Mereka tidak menyesali apa yang dilakukan, malah berbangga dengan perlakuan jenayah.

Mereka tidak gentar dengan pendakwaan jenayah yang akan dikenakan. Mereka bukan saja gagal menghormati masyarakat sekeliling, tetapi gagal menghormati negara mereka umumnya. Keadaan ini menunjukkan tahap kerosakan moral yang amat serius – mereka nazak dalam sarat masalah kemoralan ini.

Fenomena materialistik yang mementingkan duniawi dan kebendaan dengan meninggalkan nilai agama dan budaya juga antara faktor yang mendorong kepada rusuhan. Ada penulis Britain yang menggambarkan keadaan masyarakat negara itu yang mementingkan diri dan tamakkan harta benda.

Kita lihat kepada realiti masyarakat kita sekarang, tidakkah kita mempunyai persamaan dengan mereka? Sudah tentu pembaca sudah maklum. Kita tidak boleh mendabik dada menganggap negara kita bebas daripada gejala seperti ini. Kita tidak boleh menyatakan kita ‘maksum’ atau terpelihara daripada keadaan ini. Kita mengetahui dengan nyata, masalah sosial kita kian melata dan melarat.

Sekiranya kita berterusan memberi kebebasan dan hak asasi, pada masa sama gagal mendidik dan menjaga moral serta ditambah dengan beberapa perisa politik dan perkauman, tidak mustahil peristiwa seumpama di London boleh berlaku di sini. Saya tidak mendoakan ia berlaku, tetapi kita harus mengambil pengajarannya.

Bagi menjaga negara kita, kita hendaklah sentiasa memantau hak kebebasan. Maksud saya ialah, prinsip kebebasan kita hendak sentiasa dikawal selia oleh prinsip kemoralan, terutama perasaan menghormati masyarakat dan undang-undang. Saya sedar, ia bukanlah perkara mudah untuk kita dilakukan sekiranya kita tidak merujuk kepada perspektif kita. Kita harus membina kesedaran dan jati diri serta bersungguh-sungguh menjaga kesejahteraan dan ketenteraman negara bukan untuk orang lain, tetapi untuk kita.

Selain itu, kita juga harus menanam dan menyuburkan perasaan menghargai dan menghormati perbezaan pendapat. Pembaca juga sedar, kita sudah banyak kali menemui jalan payah. Mungkin pembaca juga tahu yang kita sudah beberapa kali gagal untuk bersetuju kepada perbezaan pendapat. Walau apa pun kepayahan dan kesukaran yang kita lalui sudah berakhir dengan selamat.

Namun ia belum tentu berakhir dengan selamat pada masa hadapan. Inilah yang harus mendorong kita membuat persediaan. Kita seharusnya pandai mengendalikan perbezaan pendapat dengan hati terbuka dan cuba mencari cara terbaik untuk umum, bukan mengambil peluang mencari kemenangan dan meraih sokongan politik.

Tidak salah sekiranya kita meniru yang baik, tetapi kita hendaklah menjauhi apa yang tidak baik menurut perspektif kita. Dalam menentukan apa yang baik dan apa yang buruk mengenai perspektif kita, kita hendaklah sentiasa mempunyai nilai kita yang tersendiri, mengikut acuan kita.


Penulis ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

JALUR GEMILANG


Merahmu bara semangat waja,

Putihmu bersih budi pekerti,

Kuning berdaulat payung negara,

Biru perpaduan kami semua.


Puncak dunia telah kautawan,

Lautan luas telah kauredah,

Membawa semangat jiwa merdeka,

Semarak jaya kami warganya.


Empat belas melintang jalurnya,

Semua negeri dalam Malaysia,

Satu suara satu semangat,

Itu sumpah warga berdaulat.


Jalur Gemilang di bawah naunganmu,

Jalur Gemilang kami semua bersatu,

Perpaduan, ketaatan,

Amalan murni rakyat Malaysia.


Jalur Gemilang megah kami terasa,

Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan,

Merah, putih, biru, kuning,

Jalur semangat kami semua.


Berkibarlah, berkibarlah, berkibarlah,

Jalur Gemilang.


Lagu : Pak Ngah / Lirik : Siso Kopratasa

Ahad, 14 Ogos 2011

DUA ATLET NEGARA DENGAN NASIB BERBEZA

"KEKALAHAN ini memang perit, tetapi saya sudah mencuba sedaya upaya, mungkin nasib tidak menyebelahi saya. Lin Dan memang seorang pemain yang berani mengambil risiko ketika berdepan detik genting apabila dia terus mengasak menyebabkan saya tertekan dan melakukan kesilapan. Walaupun kecewa tetapi kekalahan ini belum mematikan semangat saya untuk cuba memenangi kejuaraan berprestij ini. Jadi, saya akan cuba memenanginya pada penampilan terakhir 2013 nanti,"kata jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei yang berlinangan air mata sejurus tunduk kepada musuh tradisi, Lin Dan pada final Kejohanan Dunia di Arena Wembley, semalam.

“Dengan banyak nama besar di trofi itu, anda juga rasa mahu turut mendapatkan kejuaraan dan saya gembira memenanginya. Saya tahu hari ini (semalam) akan menjadi final yang sukar, dia tahu permainan saya dan kami selalu bermain bersama.Saya perlu kekal konsisten semasa bermain di sini, saya bergerak dengan baik, fokus dan kekal bermain cara saya,” - Nicol David, Jagoan Skuasy Negara sejurus gah menjuarai Terbuka Australia, mengalahkan musuh tradisinya, Jenny Duncalf dalam final di Canberra, semalam.

ISU BAHASA : 'Saya boleh cakap Melayu'

Sesi pembentangan di Bilik Wacana ATMA, oleh pelajar Korea dan Jepun.


Oleh Latifah Arifin
latifah@bharian.com.my


Pelajar Korea, Jepun mantapkan penguasaan demi nilai komersial dan ilmu

MELIHAT kesungguhan pelajar asing cuba berinteraksi menggunakan bahasa Melayu pada sesi pembentangan kertas kerja akhir sebelum menamatkan pengajian dalam Kursus Intensif Ketrampilan Bahasa Melayu (KIKBM), sememangnya mengagumkan.

Ternyata usaha Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memperkenalkan KIKBM bukan saja dapat membantu pelajar asing memenuhi tuntutan syarat wajib lulus dalam pengajian, tetapi juga membawa khazanah Melayu di mata dunia.

Penyelaras KIKBM, Prof Dr Ding Choo Ming berkata, sejak kursus itu diperkenalkan pada 1993, hampir 300 pelajar asing dari pelbagai negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Korea dan Jepun, menjalani program pembelajaran bahasa Melayu di ATMA.

“Di ATMA, kami bukan sekadar mengajar teori, tetapi pelajar turut dibawa mengenal nilai budaya dan sosial di Malaysia dengan kegiatan yang antaranya lawatan ke inap desa, menyediakan rakan sebagai mentor kepada mereka untuk mempelajari bahasa Melayu, selain program dalam kampus.

“Kebanyakan pelajar yang mengikuti kursus ini tidak tahu langsung berbahasa Melayu. Menerusi kursus ini tenaga pengajar memastikan sekurang-kurangnya 3,000 perkataan dalam bahasa Melayu dapat dipelajari bagi memudahkan mereka mendengar radio, membaca akhbar atau novel,” katanya yang ditemui selepas sesi pembentangan di Bilik Wacana ATMA, Bangi, baru-baru ini.

KIKBM merangkumkan lima aspek penting dalam pengajian Bahasa Melayu iaitu kemahiran komunikasi dan interaksi, tatabahasa, bacaan dan kefahaman, pendengaran serta penulisan, selain pelajar diberikan pilihan menjalani kursus intensif secara individu atau berkumpulan.

Menyaksikan pembentangan kertas kerja pelajar dari Korea, Ha Sang Seok dan Kazuki Kirimoto dari Jepun, membuktikan kursus setahun KIKBM sangat berkesan sehingga membolehkan mereka menulis dan membuat pembentangan dalam Bahasa Melayu dengan baik.

Sang Seok yang berusia 45 tahun, menyediakan kertas kerja, Korea dan Pelancongan membawa khalayak menelusuri keindahan negaranya daripada aspek kebudayaan, makanan dan tempat menarik untuk dilawati, dengan bersungguh-sungguh menggunakan bahasa Melayu, meskipun sekali-sekala tersekat.

Berada di Malaysia sejak September tahun lalu dengan tajaan daripada Perbadanan Pelancongan Korea, Sang Seok menyifatkan masa seakan pantas berlalu kerana beliau bakal pulang ke tanah airnya bulan ini.

“Bagi menarik minat orang Malaysia datang melancong ke Korea, kami perlu mahir berbahasa Melayu. Sebelum ini, seorang rakan sekerja saya juga pernah dihantar berkursus di ATMA untuk tujuan sama,” katanya yang lancar berbicara.

Beliau yang pada mulanya menyangka bahasa Melayu sama dengan bahasa Indonesia, sama seperti sebahagian besar rakyat Korea yang lain, kini dapat melihat perbezaan ketara di antara kedua-dua bahasa terbabit.

“Setelah mempelajari bahasa Melayu, saya dapat melihat perbezaan di antara kedua-duanya. Jika dibandingkan bahasa Indonesia lebih jelas sebutannya, terutama membabitkan huruf vokal berbanding bahasa Melayu,” katanya.

Pembelajaran di KIKBM disifatkannya sangat menarik terutama pada sesi berkumpulan dengan setiap pelajar perlu membaca sebuah buku cerita dan kemudian intipati ceritanya dikongsi bersama-sama pelajar lain.

Kirimoto, 21, memilih Sejarah Jepun pada sesi pembentangan mempunyai keyakinan tinggi berinteraksi dalam bahasa Melayu, meskipun agak teragak-agak pada sesi soal jawab ketika mahu menyampaikan maklumat diperlukan.

“Saya tertarik dengan kehidupan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Bangsa Melayu, Cina dan India hidup dalam keadaan rukun. Kami di Jepun tidak melalui pengalaman ini. Banyak peluang pekerjaan yang dapat saya terokai dengan mempelajari Bahasa Melayu,” katanya yang bakal meneruskan semula pengajian di Universiti Setsunan tidak lama lagi.

Pada majlis sama, Timbalan Pengarah ATMA yang juga panel penilai sesi pembentangan itu, Prof Dr Teo Kok Seong, menyuarakan rungutan pelajar berhubung sikap rakyat Malaysia yang kurang berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan rakyat asing.

“Saya banyak menerima rungutan daripada pelajar yang menghadapi masalah mempraktikkan bahasa Melayu di Malaysia kerana rakyat di sini lebih gemar berbahasa Inggeris. Rakyat Malaysia kurang sabar dan berasa leceh untuk berbual dalam bahasa Melayu dengan orang asing,” katanya yang berharap rakyat Malaysia menghakis sikap buruk itu kerana ia akan menjejaskan usaha mengembangkan bahasa Melayu ke persada dunia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 13 Ogos 2011

ISU ANTARABANGSA : Rusuhan yang memudaratkan

RUSUHAN tercetus di London baru-baru ini bukan kerana polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam di Tottenham pada 4 Ogos lalu. Tragedi itu tidak mungkin boleh membuatkan rakyat terutama kulit hitam mengganas hingga ke Liverpool, Manchester dan Birmingham. Terbunuhnya lelaki kulit hitam, Mark Duggan hanya percikan api pada minyak yang tumpah. Jadi, persoalannya kenapa minyak tumpah?

Pada hari berikutnya lebih kurang 200 orang keluarga dan sahabat handai mangsa berarak ke balai polis sebagai protes. Sepatutnya adegan drama pembunuhan ini habis di situ saja. Perarakan itu terlalu kecil untuk menggegarkan Britain. Maka tentu ada faktor lain yang menjadi pemangkin kepada keganasan yang menyebabkan kerugian dianggarkan lebih 200 juta pound.

Maknanya rusuhan itu bukan semata-mata kerana membalas dendam kepada polis. Dendam sahaja tidak cukup untuk mendorong keganasan yang melumpuhkan London. Sebaliknya banyak faktor utama yang menyumbang kepada kemarahan rakyat terutama yang bergelandangan kerana kemiskinan. Rusuhan ini bermula di Tottenham. Ini adalah antara kawasan termiskin dan pengedaran dadah dan pusat jenayah yang banyak dihuni oleh orang kulit hitam. Mengikut perangkaan, hampir 10,000 penganggur mendiami kawasan gelandangan ini. Di bawah bayang bangunan pencakar langit di London, hakikatnya wujud rakyat hidup bergelandangan akibat kemelesetan ekonomi.

Kebetulan yang banyak menganggur dan miskin adalah kulit hitam dan ini berjangkit menjadi isu kaum antara kulit putih dan kulit hitam. Tetapi penyebab utama yang jelas kelihatan adalah kemelesetan ekonomi yang melanda Eropah khususnya Britain. Meningkatnya kadar pengangguran, kecilnya peluang pekerjaan, luasnya jurang miskin kaya dan tindakan kerajaan yang banyak memotong belanjawan perkhidmatan awam adalah kuncinya. Jurang kaya miskin sangat luas, misalnya pada tahun 2010 harta yang dimiliki oleh 1,000 orang terkaya di Britain meningkat 30 peratus iaitu lebih 333.5 bilion pound.

Memang tidak dinafikan rusuhan ini memberi tekanan paling hebat kepada Perdana Menteri David Cameron. Inilah api dalam sekam yang sebelum ini dilindung dari pandangan. Kemiskinan boleh membuat manusia hilang waras. Golongan muda tercicir dan mereka memprotes kepada sistem yang tidak adil kepada rakyat bawahan.

Kurang bersedia

Cameron ternyata kurang bersedia mendepani kebangkitan rakyat. Dia gagal membendung sentimen ini merebak hingga di luar London dan mengambil masa berhari-hari lamanya untuk bertindak tegas. Walaupun media sosial seperti facebook dan Twitter termasuk telefon pintar BlackBerry dikatakan menyebarluas tentang rusuhan ini, faktor utamanya rakyat marah kerana kemelesetan ekonomi.

Cameron daripada parti Konservatif memegang tampuk kuasa selepas mendapat majoriti kecil pada pilihan raya 2010. Konservatif terpaksa bergabung dengan parti Liberal Demokrat yang lebih kecil untuk membentuk kerajaan. Cameron mengambil langkah drastik memotong belanjawan perkhidmatan awam untuk mengurangkan defisit. Langkah ini berjaya bagaimanapun ini mengorbankan banyak peluang pekerjaan dan menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

Ini adalah kali kedua rusuhan yang menggegarkan Britain. Tahun lalu ketika Cameron baru memegang tampuk kuasa, rusuhan pelajar tercetus kerana langkah Cameron memotong banyak peruntukan bagi pengajian lanjutan dan menaikkan yuran tuisyen. Rakyat membantah langkah Cameron menangani masalah kewangan dengan mengorbankan keperluan pendidikan. Rusuhan yang disertai oleh lebih 50,000 orang itu digerakkan oleh Kesatuan Pelajar Kebangsaan (NUS) dan Kesatuan Kolej dan Universiti (UCU). Lebih memalukan perusuh juga menyerang kereta yang membawa Putera Charles dan Carmila semasa melintasi Regent Street di London.

Bagaimanapun Cameron menolak rusuhan kali ini kerana pemotongan yang dilakukan oleh kerajaan. Alasannya sebahagiannya belum dilaksanakan lagi. Sebaliknya Cameron secara mudah menyalahkan penjenayah yang mengambil kesempatan daripada tragedi polis menembak lelaki kulit hitam itu.

Parti Buruh memegang tampuk kuasa selama 13 tahun hingga tahun lalu bawah kepimpinan Tony Blair dan akhir sekali Gordon Brown menganggap langkah kerajaan mengurangkan belanjawan perkhidmatan awam agak melampau. Berikutan rusuhan ini parti Buruh meletakkan tanggungjawab kepada Cameron.

Tidak dapat menolak bahawa pengaruh kejayaan beberapa rusuhan di Mesir, Tunisia, Libya dan Greece baru-baru ini menjadi pendorong rakyat memintas jalan singkat dengan tindakan tersebut. Tetapi yang berlaku negara-negara itu kecuali di Greece adalah untuk menurunkan diktator yang banyak merompak wang rakyat. Rusuhan di Britain bukan kerana politik tetapi ketidakupayaan kerajaan mengurangkan kadar pengangguran.

Akibatnya wibawa Cameron banyak terjejas. Sebelum ini dia dikaitkan dengan skandal penggodaman telefon mangsa serangan 11 September 2001 oleh akhbar News of the World milik Rupert Murdoch. Walaupun akhirnya akhbar yang berusia 165 tahun itu ditutup tetapi kontroversi skandal itu memberi peluang kepada pembangkang menyerang Cameron. Ini kerana Murdoch memang terkenal sebagai penentu kuasa politik dan orang yang paling berkuasa di dunia kerana menguasai media utama. Malah skandal itu juga membongkarkan pakatan untuk menjual syarikat penyiaran terbesar British Sky Broadcasting (BSkyB) kepada News Corps milik Murdoch.

Walaupun rusuhan berjaya mencalarkan kerjaya politik Cameron tetapi tidak memberikan apa-apa hasil kepada rakyat, kecuali mereka boleh mencuri barang berharga di gedung-gedung mewah di London. Rusuhan tidak pernah berhasil kerana ia bertentangan dengan undang-undang. Buktinya di Mesir yang membawa kepada kejatuhan diktator Hosni Mubarak. Tetapi hingga sekarang belum wujud kestabilan politik dan keamanan selepas diktator ditumbangkan. Biarlah ada pihak yang menamakan rusuhan itu sebagai demonstrasi secara aman dan sebagainya, semua itu tidak memberikan hasil yang baik melainkan kemusnahan yang menyusahkan rakyat.

Lihatlah di London, sebanyak 16,000 pegawai polis terpaksa dikerahkan untuk mengekang rusuhan berbanding 2,500 orang pada suasana biasa. Ini juga satu pembaziran yang nilainya terpaksa ditanggung oleh rakyat. Dalam satu undian yang disiarkan oleh akhbar The Sun baru-baru ini mendapati satu daripada tiga orang mahu polis menggunakan peluru hidup terhadap perusuh.

Walau apa sekalipun, London yang sebelum ini dianggap tempat yang aman telah tercemar dengan rusuhan ini. Buktinya seorang pelajar Malaysia cedera parah dipukul oleh perusuh yang merompaknya.

Mungkin ini dilakukan oleh penjenayah tetapi orang hanya ingat tragedi ini berlaku ketika rusuhan golongan gelandangan yang mencari nafas untuk menyambung hidup. Mereka merusuh untuk mengubah hidup.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tanda Tangan : Lambang keperibadian

Oleh Hafizahril Hamid

SEMASA kecil, kita sering membayangkan bagaimana untuk mencipta tanda tangan yang mampu menonjolkan karakter yang bersesuaian dengan personaliti diri.

Ketika itu kita hanya dibenarkan menggunakan cap ibu jari sahaja setiap kali berurusan sama ada di sekolah atau mungkin ketika membuka akaun bank. Maka mulalah berangan mencipta tanda tangan yang seboleh mungkin dilihat unik dan berbeza daripada rakan-rakan lain.

Namun apabila meningkat dewasa, kita mungkin ketawa sendirian apabila terselak kembali surat atau dokumen lama yang pernah menampilkan tanda tangan kita buat kali pertama.

Identiti

Secara ringkasnya tanda tangan seseorang sedikit sebanyak melambangkan identiti dan keperibadian mereka.

Ia mungkin juga tidak memberi sebarang makna memandangkan ada di antara kita yang tidak begitu serius mengenai soal ini dan sudah mencukupi satu tanda tangan ringkas sekadar cukup syarat.

Namun bukan satu keperluan untuk kita mengeluarkan satu tanda tangan yang khusus, sudah cukup sekadar satu tanda atau simbol khas apatah lagi bagi mereka yang buta huruf.

Bagaimanapun semakin meningkat usia seseorang maka tanda tangan ini akan menjadi antara identiti penting dalam menonjolkan imej diri.

Begitu juga semakin tinggi jawatan dan kedudukan seseorang, tanda tangan mereka dilihat lebih kemas dan terampil.

Ini mungkin untuk menunjukkan jawatan yang diduduki memandangkan tanda tangan mereka ini lebih ‘laku’ dan kerap dilakar.

Penting

Kita perlu memahami kenapa tanda tangan penting dalam setiap urusan yang memerlukannya. Pertamanya tanda tangan adalah sebagai satu pengesahan identiti dalam setiap dokumen dan surat yang dikeluarkan dan keduanya ia bersandarkan pada niat dan tujuan dokumen atau surat itu dikeluarkan.

Oleh itu jika tidak disertakan dengan tanda tangan atau simbol pengenalan diri maka adalah tidak sah sesuatu dokumen dan sebarang urusan mengenainya boleh dipertikai.

Daripada sejarah, tidak dapat dikenal pasti bila manusia secara tepat mula menggunakan tanda tangan dalam urusan seharian mereka.

Ukiran

Namun ia sangat berkait rapat dengan perkembangan tulisan itu sendiri. Tamadun Sumeria dan Mesopotamia lampau sekitar 3,500 tahun Sebelum Masihi yang bertanggungjawab mencipta tulisan terawal menggunakan ukiran membawa maksud tertentu pada dinding.

Daripada ini, terciptalah apa yang dipanggil sebagai cap mohor berdasarkan simbol-simbol tertentu yang dianggap sebagai tanda tangan terawal dan ia masih digunakan sehingga kini dalam urusan tertentu.

Penggunaan tanda tangan berbeza mengikut kerajaan ketika itu yang mana skrol menjadi pilihan masyarakat Kristian di Rom manakala cap mohor dari batu jed pula menjadi pilihan maharaja China dan Jepun.

Tanda tangan menggunakan huruf yang terdapat sekarang berasal dari kerajaan Phoenician pada tahun ke sembilan Sebelum Masihi dan kemudian digunapakai oleh kerajaan Yunani dan kemudiannya Rom.

Rasmi

Huruf-huruf ini ditambah baik oleh masyarakat Eropah dan mereka masih menggunakan skrol untuk urusan rasmi. Namun di bahagian bawah skrol ini terdapat bahagian kosong untuk mereka yang berkenaan meletakkan nama bersama cap mohor rasmi.

Maka bermulalah sejarah penggunaan tanda tangan secara tidak langsung. Bezanya jika dahulu kebanyakan mereka hanya meletakkan nama asal di bahagian tersebut dan sejak era moden ia diubah mengikut cara yang dirasakan bersesuaian.

Penggunaan tanda tangan peribadi ini semakin meluas penggunaannya ketika dunia memasuki zaman Renaissance walaupun pihak gereja menentang penggunaannya secara terbuka.

Ini kerana kebanyakan pelukis ketika itu dikawal oleh pihak gereja yang menentang konsep individualisme dengan meletakkan nama di bahagian tertentu lukisan mereka.

Kebebasan

Dengan tindakan berani pelukis -pelukis ini antaranya Leonardo Da Vinci, ia semakin mengukuhkan kedudukan hak kebebasan individu yang bebas berkarya serta diterima ramai.

Ini sekaligus menggalakkan penggunaan tanda tangan peribadi secara meluas dalam kehidupan selain meningkatkan status dan reputasi seseorang di kalangan masyarakat.

Kini bersesuaian dengan kemajuan, manusia semakin berkemampuan bukan sahaja untuk mencipta tanda tangan yang menjelaskan karisma diri malah terdapat beberapa teori yang mampu mendedahkan rahsia tanda tangan seseorang. Berikut adalah antara contoh rahsia tanda tangan berkenaan.

Albert Einstein

Garis melintang huruf ‘t’ pada bahagian hujung atas menunjukkan beliau seorang yang mempunyai pekerti mulia dan bercita-cita tinggi dalam hidup. Einstein mempunyai tulisan dan tanda tangan kecil yang mengaitkannya dengan kerja yang rumit dan terperinci.

Tulisannya padat dan konsisten menunjukkan tenaga yang amat tinggi. Tanda tangan ini juga menunjukkan keazaman yang kuat untuk mencapai kejayaan.

Bill Gates

Garis melintang pada huruf ‘t’ yang memanjang ke kanan dan titik ‘i’ yang jelas menunjukkan dia seorang yang cepat naik darah. Tanda tangannya yang bersudut menunjukkan beliau mempunyai pemikiran tajam.

Tulisannya juga mencondong ke kanan dan menunjukkan beliau seorang yang suka menguasai tetapi tidaklah terlalu jahat cuma dengan cara yang lebih tersusun.

George W. Bush

Tanda tangannya bermula dari dasar, menaik ke atas dan seolah-olah bersambung dengan huruf pertama nama seterusnya (Bush) menunjukkan dia seorang yang menyimpan perasaan marah, geram, dendam dan kekecewaan yang amat tinggi.

Tanda tangannya yang bergaris tebal, menurun ke bawah dan tidak berapa jelas menunjukkan keghairahan menakluk dunia sesuka hati tanpa diplomasi. Ia juga menunjukkan beliau sanggup melakukan keganasan dan kekejaman untuk membalas dendam.

Osama Bin Laden

Garisan tebal atau pekat pada tandatangannya menunjukkan dia seorang yang mempunyai keazaman yang tinggi. Manakala garisan melintang di bahagian atas dan lakaran seperti ketam pada tanda tangannya menunjukkan personalitinya yang keras.

Ia juga menunjukkan seorang yang tidak gemar berkomunikasi tetapi suka merancang atau melakukan sesuatu secara rahsia. Lakaran ketam pula menunjukkan beliau tidak akan berputus asa sebaliknya ‘menggigit’ balik dengan ganas.

Adolf Hitler

Tanda tangan beliau yang condong ke bahagian kanan pula sering kali menggambarkan pemiliknya sebagai sukar mengawal emosi dan cenderung untuk bertindak di luar kawalan.

Tulisan tangannya yang bersudut menunjukkan beliau seorang yang mempunyai pemikiran agresif. Tulisan yang meliuk-liuk ke bahagian kiri menunjukkan seorang yang tidak jujur dan mempunyai pemikiran seperti seorang penjenayah.

Bersesuaian dengan tuntutan zaman, tanda tangan kini menjadi lebih daripada satu keperluan di atas kertas malah ia melambangkan tindakan berlandaskan pengaruh politik dan kuasa.

Apatah lagi jika ia melibatkan tindakan berkumpulan yang mampu mendera mereka yang lemah walaupun ia bermula dengan tindakan kecil, hanya melalui penggunaan sebatang pen di atas kertas.

Akhirnya seperti mana ciptaan manusia yang lain, tanda tangan turut menjadi mangsa eksploitasi segelintir manusia yang terperangkap dengan keegoan dan nafsu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/