Isnin, 5 September 2011

ISU KENEGARAAN : Seratus nama pejuang merdeka

MENCARI seratus nama yang memperjuang kemerdekaan perlu dimulai sekarang. Selepas 54 tahun usia kemerdekaan, sekurang-kurang seratus nama mereka yang berjuang untuk merdeka perlu ditampilkan kepada rakyat.

Sebelum ini Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dilihat sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi sama ada Dato’ Onn atau Tunku, mereka tidak boleh berjuang sendiri tanpa gerakan daripada segenap sudut. Kerana itu sebelum sampai era Dato’ Onn dan Tunku, gerakan memperjuangkan kemerdekaan telah bermula. Golongan ulama, sasterawan dan wartawan sudah berkerja untuk merdeka sejak lebih awal lagi.

Kalau kita mempunyai senarai seratus nama tokoh pejuang kemerdekaan, kita tentu boleh melihat akar dan sejarah kemerdekaan secara lebih menyeluruh dan adil. Dalam perjuangan kemerdekaan, sumbangan golongan berhaluan kiri misalnya tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini kerana makna kiri ketika itu adalah gerakan penentang kepada penjajahan termasuk penjajah British.

Tokoh seperti Pak Sako, A. Samad Ismail, Said Zahari, Ahmad Boestamam, Syed Sheikh Al Hadi, Burhanuddin Helmi serta banyak tokoh ulama barangkali boleh disenaraikan dalam seratus nama pejuang merdeka. Kecenderungan mengangkat tokoh tertentu seolah-olah kita tidak sedar telah memadam sejarah. Sejarah tetap sejarah.

Ini membuatkan orang bertanya, apa halnya dengan pejuang yang lain? Adakah mereka tidak menyumbang sesuatu dalam perjuangan kemerdekaan sama ada secara langsung atau tidak langsung? Kita lebih melihat acara pengisytiharan kemerdekaan daripada orang yang menggerakkan kemerdekaan di peringkat rakyat. Tiga tokoh wartawan, Pak Sako, A. Samad Ismail dan Said Zahari hampir tidak pernah disebut pada acara mengenang kemerdekaan. Adakah mereka ini langsung tidak berjasa?

Sebenarnya usaha menyenaraikan seratus nama ini adalah langkah supaya tidak wujud kecenderungan memadam sejarah. Ini kerana kita seolah-olah diasuh melupakan perjuangan golongan kiri kerana fahaman politik di luar arus zaman penjajah. Generasi selepas ini perlu tahu sumbangan pejuang kemerdekaan selain Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman. Sekurang-kurangnya kalau kita mempunyai seratus nama, kita akan melihat secara menyeluruh proses perubahan dari aspek sosial dan politik menuju kemerdekaan.

Tetapi kita hanya perlu mencari seratus nama, tidak kira siapa mereka termasuklah Tunku Abdul Rahman. Dalam kata lain, setiap penglibatan mereka menyumbang kepada satu gerakan perjuangan kemerdekaan.

Senarai ini bukanlah bertujuan menafikan sumbangan pihak atau tokoh tertentu tetapi mengingatkan nama-nama yang barang kali asing kerana kealpaan kita. Sejarah kemerdekaan jangan jadi seperti sejarah perfileman Melayu yang banyak nama terpadam kerana memberi laluan kepada P. Ramlee. Dunia perfileman Melayu telah memadamkan banyak tokoh besar dan ini tidak boleh turut berlaku dalam perjuangan kemerdekaan kerana generasi baru mempunyai banyak laluan untuk mengkaji sejarah. Biarlah dunia filem sahaja yang memadamkan nama Hussein Haniff dan Jamil Sulong untuk mengangkat P. Ramlee.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 3 September 2011

ISU BAHASA : Hilangnya pejuang bahasa Melayu

KEPADA pejuang bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan nasional, tidak usahlah menganggap kepulangan pejuang bahasa Melayu, Datuk Hassan Ahmad satu "kehilangan" kepada bangsa dan negara. Mereka tidak kehilangan apa-apa.

Dalam perjuangan memartabatkan bahasa Inggeris, kepulangan seorang yang bernama “Hassan Ahmad” pada 31 Ogos lalu pada usia 75 tahun bukan kehilangan.

Mereka yang berasa kehilangan adalah rakan seperjuangan dan pencinta bahasa Melayu. Ini kerana kepulangan Hassan adalah gugurnya tokoh yang berjuang meletakkan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan. Hassan lantang mengutarakan pandangan, penuh tanggungjawab tanpa bimbang kedudukan terjejas. Hassan sanggup turun ke jalan raya memprotes Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), satu-satunya pendekatan mengubah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, seterusnya meminggir bahasa Melayu secara terhormat dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Ada sesetengah pihak menganggap pejuang bahasa Melayu menolak bahasa Inggeris kerana mereka tidak mahir bahasa Inggeris. Ini salah sama sekali kerana banyak pejuang bahasa Melayu mahir bahasa Inggeris. Hassan juga mahir berbahasa Inggeris. Tetapi mahir berbahasa Inggeris bukan bermakna mahu menggantikan kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Buktinya Hassan bukan seorang yang menentang bahasa Inggeris, cuma yang ditentang ialah merendahkan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Hassan mendapat pencapaian peribadi tertinggi sebagai Duta Malaysia ke UNESCO pada 1988. Tetapi baginya , kejayaan sebenarnya ialah apabila berjaya meletakkan kedudukan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan. Bagaimanapun hingga hari terakhirnya bahasa Melayu terus dipinggirkan termasuk kalangan pemimpin Melayu sendiri.

"Dasar Bahasa Kebangsaan kita semakin melemah. Ini memusnahkan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sedangkan selama 30 tahun bahasa Melayu sudah terbukti mampu melahirkan banyak ahli sains dan perubatan serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang," demikian tegas kepada saya dalam satu wawancara pada tahun 2009 mengenai bahasa Melayu.

Jawatan

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1976 hingga 1988 ini seorang yang sangat mencintai bahasa Melayu. Buktinya Hassan sanggup meletak jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah Pontian pada 1962 untuk menjadi Pegawai Penyelidik di DBP pada 1963. Kalau memilih kedudukan dalam masyarakat, Allahyarham tentunya tidak meninggalkan jawatan itu untuk menjawat jawatan yang lebih rendah dan tidak popular.

Walaupun Hassan pulang terlalu awal dalam keadaan bahasa Melayu yang merempat di negara sendiri, setidak-tidaknya meninggalkan satu jalur perjuangan kebahasaan dan kesusasteraan kepada generasi selepasnya. Hassan tidak pernah jemu dengan perjuangan bahasa Melayu yang selalu menemui jalan buntu, malah terus bersemangat menyampaikan pidato, menulis dan memberi kenyataan kepada media tentang bahasa Melayu.

Menduduki kerusi panas Ketua Pengarah DBP memberi peluang kepada Hassan mentadbir institusi yang ditugaskan membina dan mengembangkan bahasa dan sastera. DBP diperhebat sebagai penerbit karya-karya kesusasteraan dan bahasa Melayu yang terbesar di negara ini. Kesungguhan dan pengalaman yang luas dalam lapangan penyelidikan menjadi pemangkin pentadbir yang cukup disegani. Malah telah memberikan perhatian yang serius terhadap perancangan bahasa dan sastera. Dari segi bahasa, DBP bawah pimpinannya berjaya memperkemas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden dan saintifik. Serentak dengan tugas tersebut, DBP juga telah menumpukan lebih perhatiannya kepada masalah kesusasteraan, malah memperluas kegiatannya dan menjadi penerbit buku kesusasteraan Melayu yang terbesar di negara ini.

Hassan dilahirkan pada 8 Disember 1936 di Muar, Johor adalah anak sulung daripada lapan adik beradik dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943) dan Sekolah Melayu Muar (1945-1948). Kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Muar hingga lulus peperiksaan Sijil Persekolahan pada tahun 1955. Memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran (1957). Mulai tahun 1959, Hassan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera.

Hassan adalah antara 13 mahasiswa yang menentang cara pengajaran dan sistem pengajian Melayu di universiti ketika itu. Malah pernah berucap bagi pihak kumpulan 13 menyeru supaya diwujudkan suatu sistem pengajian terbuka. Turut terlibat sama dalam peristiwa itu ialah Allahyarham Ali Haji Ahmad dan Kassim Ahmad. Ternyata perjuangan Hassan terhadap bahasa dan kesusasteraan semarak sejak zaman remaja lagi.

Antarabangsa

Sebagai Ketua Pengarah DBP, Hassan kesempatan melawat ke luar negara atau menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa di Amerika Syarikat, Eropah, Rusia, India, Jepun, Korea, Filipina, Thailand, dan Indonesia. Pada tahun 1982, Hassan diundang oleh National Book Trust of India mempengerusikan salah satu sesi dalam Seminar on Book For All at Low Cost di New Delhi. Kemudian sewaktu Persidangan Editor Asia di Singapura pada 1982 Hassan diundang membentangkan kertas kerja mengenai masalah dan teknik terjemahan serta adaptasi. Ternyata tumpuan utamanya bukan sahaja terhadap lapangan perancangan bahasa dan sastera malah malah dalam bidang terjemahan. Setakat ini tiga buah buku tentang organisasi dan pengurusan telah diterjemahkan, masing-masing berjudul Eksekutif yang Berkesan (1984), Aspek Kemanusiaan dalam Perusahaan (1984), dan Sukarnya Membuat Pilihan (1986).

Di samping itu menghasilkan dua buku, Syair (1964) dan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan-Pertubuhan Khasnya (1966) yang kedua-duanya diterbitkan oleh DBP.

Setelah bersara dari DBP pada tahun 1988, Hassan dilantik sebagai Duta Malaysia ke UNESCO. Memandangkan pengalamannya yang luas dalam bidang penerbitan buku, sekembalinya ke Malaysia, Hassan dilantik sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan hingga akhir hayatnya.

Hassan pernah melahirkan kebimbangan kepada saya tatkala kami berjumpa tahun lalu mengenai sikap sesetengah orang Melayu terhadap bahasa Melayu. Pesannya saya ingat sampai hari ini, "Orang Melayu mesti sedar kalau mereka membiarkan bahasa Melayu musnah, perjuangan mereka juga berakhir sebab bahasa bukannya sistem linguistik sahaja tetapi alat membentuk pemikiran dan budaya bangsa. Kalau orang Melayu sudah tidak pandai lagi berfikir dalam bahasa Melayu, mereka akan jadi bangsa kacukan dalam berfikir."

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 2 September 2011

ISU BAHASA : Perginya seorang tokoh bahasa

PENGERUSI Yayasan Karyawan dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr. Hassan Ahmad yang meninggal dunia kelmarin adalah tokoh berpengalaman luas dalam pelbagai aspek penerbitan buku, penyelidikan, pengurusan, serta perancangan bahasa dan sastera.

Ini bermakna negara kehilangan seorang tokoh bahasa yang disegani dalam membina dan mengembangkan bahasa dan sastera selepas dilantik sebagai ketua pentadbir institusi itu.

Berkat kesungguhan dan kegigihannya, serta pengalaman luas dalam lapangan penyelidikan, Allahyarham muncul sebagai pentadbir yang cukup berkemampuan dalam pengembangan dan perancangan bahasa serta sastera.

Allahyarham Hassan, 74, yang meninggal dunia selepas mengadu sakit perut pada pukul 2 petang ini di kediamannya di Petaling Jaya di sini, meninggalkan balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, serta dua anak perempuan Aida dan Hasmirawati.

Hassan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pontian, Johor pada 1962, namun meninggalkan bidang itu dan menyertai DBP sebagai Pegawai Penyelidik pada 1963.

Sepanjang 13 tahun di DBP, beliau naik setakuk demi setakuk iaitu dari pengawai penyelidik kepada ketua bahagian penyelidikan, pemangku pengarah, pengarah dan akhirnya ketua pengarah.

Sepanjang tempoh itu, Allahyarham berjaya memperkemas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden dan saintifik serta berupaya menerbitkan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Beliau bukan sahaja menumpukan terhadap lapangan perancangan bahasa dan sastera, penerbitan dan kemajuan serta pengurusan dan pemasaran buku, malah juga dalam bidang terjemahan.

Anak sulung daripada lapan beradik yang dilahirkan dalam keluarga bekas pegawai polis itu menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943) dan Sekolah Melayu Muar (1945-1948).

Selepas itu, anak kelahiran Muar, Johor tersebut melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Muar sehingga lulus peperiksaan Sijil Persekolahan pada 1955.

Beliau kemudian diterima belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran (1957) sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1959.

Selepas menamatkan pengajiannya di universiti, beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah Pontian pada 1962. — BERNAMA

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Ops Sikap masih belum berjaya didik pemandu kita berhemah di jalan raya

OPS Sikap yang ke-24 seperti dijangka, tidak mampu mengurangkan jumlah kematian di jalan raya ketika sambutan perayaan berganda Aidilfitri dan Hari Kebangsaan ini. Setakat Rabu, 166 pengguna jalan raya dilaporkan terkorban. Pihak polis sudah mengerahkan anggota tambahan untuk mengawal lalu lintas serta menghindar pemandu daripada melanggar peraturan jalan raya. Namun jika ditambah dua kali ganda jumlah anggota polis itu, jumlah korban jalan raya mungkin tetap menunjukkan peningkatan. Polis juga mengubah pendekatan yang diambil iaitu daripada semata-mata memberi tumpuan kepada penguatkuasaan kepada memberi kata nasihat. Bagaimanapun, berdasarkan lonjakan 26 peratus jumlah korban setakat seminggu Ops Sikap dilaksanakan, pendekatan baru itu terbukti belum membuahkan sebarang hasil. Adalah jelas tidak banyak lagi yang boleh dilakukan polis. Saban tahun beribu-ribu anggota keselamatan mengorbankan cuti raya mereka bersama-sama keluarga, semata-mata untuk memastikan kebanyakan daripada kita selamat pulang ke kampung halaman. Pihak media turut memainkan peranan memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar memandu berhati-hati untuk mengelak sebarang kecelakaan menimpa diri mereka dan keluarga. Bagaimanapun usaha terbabit nampaknya tidak memberi sebarang kesan kepada sesetengah pengguna jalan raya.

Mengikut perangkaan polis, daripada jumlah kematian sepanjang Ops Sikap 2011, 60 peratus daripada yang terkorban itu ialah penunggang motosikal. Berdasarkan perangkaan berkenaan agak mudah untuk kita membuat kesimpulan bahawa kelompok pengguna jalan raya inilah yang harus dipersalahkan di atas peningkatan jumlah korban. Namun, hakikatnya kemalangan membabitkan motosikal turut disebabkan oleh pemandu kenderaan lyang tidak menghiraukan keselamatan pengguna lain.

Antara kesalahan yang banyak ditegur polis ialah kecenderungan sesetengah pemandu untuk meletak kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebarang alasan kecemasan. Sikap seperti ini sudah tentu membahayakan penunggang motosikal yang menggunakan lorong berkenaan bagi mengelak kenderaan yang lebih laju di lorong biasa. Mungkin ada baiknya dipertimbangkan saranan ini agar syarat mendapatkan lesen memandu diperketatkan lagi dengan turut memberi penekanan kepada kemahiran memandu dengan selamat. Kita perlu memahami bahawa pemilikan lesen memandu hanya bermaksud kita dibenarkan memandu dan bukan bererti kita sudah mahir memandu. Dengan peningkatan kes kemalangan maut di jalan raya, ini bermakna kebanyakan kita bukanlah pemandu yang mahir.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 24 Ogos 2011

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Ops Sikap masih relevan untuk kurangkan kemalangan maut

Oleh Wan Faizal Ismayatim

WALAUPUN pada mulanya timbul ura-ura Ops Sikap ke-24 yang bermula Selasa lalu hingga 6 September ini akan ditukar kepada nama baru dengan pelbagai pendekatan berbeza selepas 10 tahun dilancarkan, ia tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengekalkan Ops Sikap yang masuk siri ke-24 sempena Aidilfitri kali ini dengan pendekatan yang tidak banyak bezanya sejak kali pertama dilancarkan pada 8 Disember 2001 oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai bagi menggantikan Ops Statik.


Ada pihak menganggap Ops Sikap tidak lagi menggerunkan pengguna jalan raya dan kaedah pelaksanaannya perlu diberi nafas baru, namun apa yang penting sebenarnya bukan pada nama kerana tukarlah kepada apa-apa nama atau apa juga pendekatan sekalipun, kemalangan maut tetap berlaku setiap kali musim perayaan jika mentaliti dan sikap pemandu tidak berubah.

Ops Sikap ke-24 selama 15 hari bermula 23 Ogos hingga 6 September ini menyaksikan lebih 10,000 anggota polis bertugas di seluruh negara dengan matlamat memastikan perjalanan selesa dan selamat buat pengguna jalan raya pulang ke kampung halaman menerusi sasaran pengurangan lima peratus kemalangan maut berbanding sebelumnya.

Walaupun ia lebih bertujuan mendidik serta memberi ingatan kepada pengguna jalan raya agar lebih berhemah ketika memandu, PDRM awal-awal lagi memberi amaran tidak akan berkompromi sesiapa saja yang melakukan kesalahan hingga membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Sempena Ops Sikap kali ini, PDRM akan menggunakan kamera perangkap laju berteknologi tinggi terbarunya yang dipasang di kebanyakan laluan utama dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan maut di seluruh negara.

Pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan akan dirakam oleh kamera berkenaan yang dikendalikan seorang anggota sebelum notis saman bersama bukti bergambar kesalahan yang dilakukan itu dihantar ke alamat pemandu secepat mungkin.

Menerusi Ops Sikap kali ini, PDRM sekali lagi menggunakan pendekatan yang memastikan orang ramai merasai kehadiran anggota polis (omnipresence) di sepanjang laluan pulang ke kampung melalui konsep Ronda dan Statik di 40 lokasi lebuh raya serta 160 lokasi jalan Persekutuan seluruh negara.

Konsep itu menggunakan kanopi di R&R sebagai tempat pertemuan petugas polis trafik dan agensi lain selain dijadikan pusat sumber maklumat asas bagi pengguna jalan raya yang menghadapi masalah sepanjang perjalanan. Malah, ia juga menjadi pusat ‘tindakan pantas bantuan’ sekiranya berlaku kecemasan.

Bagi memudahkan orang ramai membuat laporan kesesakan atau kemalangan serta mendapatkan maklumat trafik dan bantuan, PDRM dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) menyediakan talian bebas tol 1800 88 1412 yang boleh dihubungi 24 jam.

Sesuatu kelainan pada ciri Ops Sikap kali ini, PDRM turut melancarkan Kempen Rumah Selamat yang menekankan keselamatan harta benda atau rumah yang ditinggalkan selama beberapa hari bagi tujuan balik kampung.

Bagi memudahkan orang ramai, PDRM menyediakan Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh dimuat turun menerusi laman facebook rasmi PDRM sebelum maklumat itu dihantar ke IPD tempat tinggal pemilik rumah bagi membolehkan polis membuat rondaan dan ‘memerhatikan’ rumah mereka sepanjang musim perayaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 23 Ogos 2011

ISU BAHASA : PLM mahu PPSMI dihentikan serta-merta

MERUJUK kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam akhbar semalam mengenai pilihan bahasa oleh sekolah untuk mengajar sains dan matematik, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) berharap kerajaan dan Kementerian Pelajaran bertegas menolak sebarang usaha menghidupkan semula PPSMI dengan menggunakan dua bahasa iaitu sekolah tertentu diizin menggunakan bahasa Inggeris manakala sekolah lain menggunakan bahasa Melayu.

PLM tetap mahu PPSMI dihentikan. Segala usaha membina tamadun ilmu berbahasa Melayu seperti penulisan dan penerbitan ilmu sains dan teknologi terencat dengan serta-merta akibat PPSMI. Masa yang panjang perlu diambil untuk membangun tamadun atau menebus kembali masa enam tahun yang hilang ketika pelaksanaan PPSMI tetapi untuk meruntuhkan tamadun berkenaan cukup dengan hanya membuat satu keputusan.


Kesannya mungkin tidak nampak segera di depan mata bagi kebanyakan kita. Namun fenomena antara dua darjat seperti terpapar dalam filem P Ramlee akan wujud dan seterusnya dalam jangka pendek dapat dijangka bahasa Melayu akan terus terpinggir buat selama-lamanya kerana kecenderungan rakyat yang lebih terpesona dengan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Akhirnya sekolah ‘bersains dan matematik’ dalam bahasa Inggeris akan menjadi kelas pertama dan rebutan berbanding sekolah ‘bersains dan matematik’ dalam bahasa Melayu yang akan terus dipinggir. Ibarat diberi betis hendakkan paha, ibu bapa dan anak akan berkejar-kejar ke sekolah sana dan akhirnya permintaan akan bertambah dan tinggallah sekumpulan kecil sekolah berbahasa Melayu.

Ketika sains, matematik dan teknologi diajar dalam bahasa Melayu di sekolah hingga di universiti sejak 1972 hingga 2002 tiada sebarang masalah kronik sehingga menggendalakan kemajuan negara ini.

Malah puluhan ribu jurutera, doktor serta profesional lain daripada pelbagai bangsa di Malaysia dilahirkan oleh universiti tempatan dan juga mereka yang lulus dari luar negara sedangkan mereka berpendidikan dalam bahasa Melayu.

PLM berharap hasil murni selama ini yang selaras dengan acuan dan jati diri negara ini tidak dihancurkan buat kali kedua yang kesannya dalam jangka panjang akan lebih parah dari segi membangun modal insan yang mempunyai roh dan jiwa Malaysia yang sejati.


KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden,
Persatuan Linguistik Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 18 Ogos 2011

ISU BAHASA : Mengapa sukar kuasai bahasa Inggeris.

Ubah kepada komunikasi intensif

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

SEJAK dulu, isu bahasa Inggeris tidak pernah surut mencipta kontroversi menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat selain mewujudkan polemik tidak berkesudahan.

Biarpun banyak cara dilakukan bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa antarabangsa ini, kejayaannya masih samar dan gagal memuaskan hati pihak tertentu hingga menjadikannya sentiasa panas.

Sejarahnya bermula apabila bahasa ini terpaksa ‘ditamatkan’ bagi memberi laluan kepada bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Selepas itu timbul konflik apabila ia digunakan sebagai bahasa penghantar dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik dengan harapan mampu mempertingkatkan lagi penguasaannya dalam kalangan pelajar.

Bagaimanapun, ia tetap mencetuskan pelbagai insiden pro dan kontra hingga akhirnya memaksa kerajaan mengembalikan semula penggunaan ke bahasa Melayu.

Terbaru, bahasa ini dipersalahkan pula dalam insiden kegagalan pelajar menguasainya dengan baik biarpun mempelajarinya di institusi pendidikan.

Persoalannya, sampai bila masyarakat terpaksa menerima pelbagai ‘cerita’ kurang menarik mengenai bahasa Inggeris?

Apakah tiada jalan penyelesaian efektif untuk menanganinya?

Mantan pensyarah pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Tajol Ariffin Nordin, berkata isu itu tetap sensasi sampai bila-bila jika kekeliruan yang melanda masyarakat tidak ditangani.

Beliau berkata, kekeliruan itu bukan hanya wujud pada pengenalan atau perubahan dasar semata-mata, malah mencakupi pelbagai aspek remeh atau tidak diselesaikan hingga menjadikannya satu polemik besar.

“Hakikatnya ia bukanlah isu besar yang tiada jalan penyelesaian cuma sering diprovokasi pihak tertentu. Dan, setiap kali ia timbul pasti menjadi panas.

“Dengan kata lain, masyarakat tetap keliru dan mempersoalkan apa jua aspek jika disogokkan dengan isu bahasa Inggeris kerana pemikiran mereka masih lagi dibayangi dasar pendidikan lama,” katanya.

Dasar pendidikan kebangsaan kini berpaksikan kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar juga menjadikan pihak tertentu beranggapan pelajar gagal berbahasa Inggeris.

Melalui dasar pendidikan kebangsaan ini, katanya, bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, justeru kebergantungan terhadap bahasa Inggeris tidak kukuh.

“Masalahnya, ramai beranggapan bahasa Inggeris ‘wajib’ dan sangat istimewa hingga perlu diberi penekanan secara menyeluruh sedangkan ia bukan bahasa utama. Sistem pendidikan kebangsaan kita adalah bahasa Melayu.

“Jadi sudah tentu bahasa itu diberi keutamaan kerana ia bahasa rasmi.

“Hakikatnya, sudah termaktub bahasa Melayu adalah bahasa penghantar utama, justeru lebih penting jika pelajar dapat menguasainya dengan lebih baik berbanding bahasa Inggeris meskipun ia bertaraf antarabangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini berkata, Kementerian Pelajaran sedang menilai semula kurikulum pengajaran bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan meskipun selepas 13 tahun belajar di peringkat rendah dan menengah.

Langkah itu perlu kerana kementerian meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Ditanya adakah benar tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar masih di takuk lama, beliau berkata perbandingan tidak boleh dilakukan secara rawak.

“Dibandingkan kemampuan pelajar luar bandar dengan bandar, ada bezanya, begitu juga mahasiswa yang mengambil Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dengan yang lain. Kemampuan mereka tidak sama.

“Pasti ada kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum membuat rumusan muktamad,” katanya mengakui komen yang tidak membina juga boleh melunturkan semangat guru bahasa Inggeris untuk terus berkhidmat lebih dedikasi.

Katanya, alasan kegagalan itu ibarat mencerminkan kelemahan guru bahasa Inggeris sewaktu menjalankan tugas. Ini mencalar kredibiliti, integriti serta profesionalisme golongan itu.

“Masyarakat juga akan mempersoalkan adakah guru berkenaan melaksanakan tugasan dengan baik atau apakah mereka memiliki kriteria sesuai.

“Ini akan menimbulkan polemik atau konflik lain sedangkan isunya tetap sama iaitu kegagalan menguasai bahasa Inggeris,” katanya.

Mengulas kegagalan segelintir pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik, beliau berkata puncanya bahasa itu subjek manakala latihan tidak dilakukan secara intensif.

Untuk fasih, katanya, pelajar bukan saja perlu rajin malah memerlukan satu mekanisme atau latihan intensif yang agresif serta berterusan.

Katanya, subjek bahasa Inggeris diajar dalam tempoh singkat justeru sukar untuk dikuasai oleh pelajar yang tidak menggunakan bahasa itu sebagai bahasa percakapan.

“Untuk mengatasinya, tukar konsep pengajaran kepada komunikasi intensif kerana boleh membantu. Corak pembelajaran sekarang lebih menumpukan kepada latihan penulisan semata-mata menjadikan mereka boleh menulis tapi gagal berkomunikasi.

“Yang menjadi masalah ialah pelajar tidak boleh bercakap dengan baik, justeru ubah corak pembelajaran kepada komunikasi intensif. Saya percaya ia mampu membantu kerana majikan juga hanya mementingkan aspek ini terutama ketika temu duga,” katanya.

Beliau juga mengakui sistem pendidikan kebangsaan tidak gagal dengan kejayaan melahirkan ramai bijak pandai yang cemerlang mengemudi dunia kerjaya.

“Jika ada pihak menyatakan ia puncanya, saya tidak bersetuju kerana kejayaannya sudah ada. Hanya kerana isu bahasa Inggeris, kita tidak boleh memuktamadkan sebagai tidak berjaya.

“Realitinya, masalah bahasa Inggeris bukan saja berlaku di negara kita malah seluruh dunia. Menyalahkan sistem pendidikan sedia ada bukan jalan penyelesaian.

“Yang penting, mesej ingin disampaikan berjaya, itu lebih baik daripada melakukan perubahan drastik atau menyalahkan pihak tertentu akibat kegagalan yang boleh diperbaiki,” katanya.

INFO:

Penyata Razak 1956 adalah cadangan yang dibuat satu jawatankuasa oleh kerajaan Malaysia bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Malaysia. Jawatankuasa pelajaran ini ditubuhkan pada September 1955 dan dipengerusikan Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak Hussein.

Cadangan yang dikemukakan Penyata Razak ini diluluskan kerajaan persekutuan Tanah Melayu dan antara perkara penting yang dicadangkan adalah mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) serta menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi SRK. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/