Khamis, 19 Januari 2012

ISU SOSIAL : Institut Wasatiyyah tolak ekstremisme


DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).


Lebih setahun lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak mempromosikan pendekatan kesederhanaan bagi mengatasi masalah kemanusiaan dan ketegangan politik dunia. Maka dua hari lalu (17 Januari 2012) dengan rasminya tertubuhnya Institut Wasatiyyah sebagai wahana membina strategi dan merealisasikan pendekatan sederhana dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.

Promosi itu kemudiannya dipersetujui oleh masyarakat antarabangsa sehingga tertubuhnya Global Movement of Moderates atau Pergerakan Kesederhanaan Global di mana Malaysia diberikan kepercayaan untuk memulakannya secara lebih meluas.

Keyakinan masyarakat antarabangsa itu adalah disebabkan Malaysia merupakan negara Islam yang paling stabil dari segi politik manakala kedudukan ekonominya juga menjadi model tentang keanjalan sistem sehingga mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Apabila memahami dengan jelas maksud pendekatan wasatiyyah yang dikemukakan oleh Najib ketika menjelaskannya dalam Persidangan Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada akhir tahun 2010, idea itu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Bagaikan mendapat sokongan moral di peringkat antarabangsa, maka Malaysia telah mempelopori penganjuran sebuah persidangan peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur yang mana pada majlis perasmiannya, dengan rasminya tertubuhkan Institut Wasatiyyah yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri manakala sebuah Kerusi Wasatiyyah diwujudkan di Universiti Malaya, sebuah universiti tertua di Malaysia.

Penubuhan Institut Wasatiyyah juga membuktikan bahawa Malaysia adalah serius untuk mendidik rakyatnya bagaimana mencintai cara hidup yang sederhana dan seimbang. Perspektif itu adalah suatu pendekatan terbaik dan telah dibuktikan mampu membawa kesan yang besar dan berpanjangan sebagaimana dipraktikkan Nabi Muhammad SAW sejak menerima perintah Allah SWT untuk menyampaikan risalah-Nya, sebagaimana terkandung dalam al-Quran.

Pendekatan sederhana dan seimbang yang dipelopori oleh Nabi Muhammad SAW telah menjadikan pola kehidupan masyarakat Madinah sebagai contoh terbaik sebagai masyarakat madani.

Hingga kini, masih belum ada contoh kehidupan bermasyarakat yang benar-benar adil dan boleh hidup dengan aman, kerana prinsip-prinsip pemerintahan baginda tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sebarang kemelut meskipun ada desakan-desakan untuk melaksanakannya.

Malah hasil daripada sikap kesederhanaan inilah telah membuka hati ramai penduduk Arab di seluruh Semenanjung Arab memeluk Islam dan membentuk satu ummah.

Hal yang sama turut berlaku di Malaysia. Apabila pendekatan sederhana dilakukan semasa berunding untuk mendapat kemerdekaan dan pemuafakatan antara kaum pada tahun 1955 menyebabkan segelintir pejuang kemerdekaan yang berhaluan kiri mengambil jalan penuh revolusioner.

Sejarah itu tetap menjadi iktibar yang begitu mendalam di sanubari rakyat Malaysia dan menyedari hakikat itulah juga telah memberi ilham Perdana Menteri untuk menghidupkan dengan berkesan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan. Dalam Islam sendiri sudah terbukti, dengan pendekatan dakwah yang berhemah dan sentiasa menggalakkan persefahaman jumlah penganutnya bertambah dengan begitu pesat.

Bahkan dalam situasi semaraknya kebencian terhadap Islam selepas peristiwa robohnya Pusat Dagangan Antarabangsa pada bulan September 2001, jumlah penganut Islam sudah berkembang menjadi kedudukan yang kedua terbanyak selepas Kristian. Populasi penduduk Islam sedunia sudah menjangkau 1.8 bilion dan dalam jangka waktu kurang lima puluh tahun, jumlah penganut Islam dijangka akan berada di kedudukan teratas.

Jika diimbas kembali sejarah politik, sikap ekstremisme sebenarnya sudah bermula sejak permulaan lahirnya semangat kebangsaan, tetapi ia tidak sampai kepada peringkat membunuh dan terbunuh. Tragedi menyerang secara kekerasan itu sebenarnya dimulakan oleh sekelompok pemimpin yang menyanjungi prinsip perjuangan revolusi, kerana dengan cara itulah akan mempercepatkan proses kemerdekaan sesebuah negara.

Pendekatan yang diambil oleh orang Melayu lebih berkesan kerana menghormati prinsip perundingan dan pemuafakatan. Prinsip sedemikianlah menjadikan Malaysia sebuah negara yang merdeka tanpa perlu mengorbankan rakyatnya, kecualilah dalam usaha menentang sekumpulan mereka yang tidak bersetuju dengan kaedah tersebut.

Kelompok itu kemudiannya melancarkan perang dan gerakan bersenjata sehinggalah meninggalkan trauma yang mendalam hingga sekarang walaupun secara mutlaknya darurat telah ditamatkan pada tahun 1960 di Semenanjung dan pada tahun 1971, di Sabah dan Sarawak.

Setelah gerakan bersenjata dilumpuhkan, sebahagian kecil penggerak komunis meneruskan serangan dan melancarkan tahun pemberontakan pada tahun 1975, dengan harapan akan beroleh kejayaan besar apabila lebih ramai anggota pasukan keselamatan berjaya dibunuh. Rupa-rupanya pendekatan tersebut terus mengalami kegagalan dan semakin dibenci oleh masyarakat umum.

Selain penubuhan Institut Wasatiyyah (di JPM) dan penubuhan Kerusi Wasatiyah (di UM), Penubuhan Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global pula dijangka mampu meningkatkan peranan GMM sebagai pusat penyatuan kepada semua usaha dan pendekatan menentang keganasan dan ekstremis sama ada yang digerakkan oleh agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Najib, "Selain menjadi inisiatif eksklusif yang digerakkan oleh Malaysia, GMM juga akan menyokong inisiatif lain yang digerakkan oleh badan antarabangsa ke arah mempromosikan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan termasuk dialog dan kerjasama sama seperti United Nations Alliance of Civilisations (UNOAC)."

Gerakan kesederhanaan atau wasatiyyah bukanlah menampilkan sikap yang lemah atau mengalah, tetapi ia adalah langkah berani yang penuh kebijaksanaan. Seperti digambarkan oleh seorang pemikir tingkah laku manusia yang semakin diyakini oleh masyarakat antarabangsa, Steven Covey, era masa kini ialah era yang bakal dibentuk oleh kebijaksanaan.

Sesuatu tindakan yang boleh disifatkan bijaksana, dalam pendekatan falsafah Melayu ialah menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus manakala tepung tidak terburai.

Tindakan menggunakan pendekatan sederhana dan seimbang bukan bermakna pengecut ataupun terlalu berlembut. Ia adalah sebuah pendekatan yang dalam konteks psikologi pengurusan atau perundingan ialah strategi "menang-menang" dan dalam keadaan itulah ia dinamakan sebagai "situasi bijaksana."

Kebijaksanaan itulah yang amat diharapkan lahir daripada jiwa manusia yang sanggup mendahulukan rakyat dan melonjakkan prestasi, dan bukannya daripada mereka yang hanya tahu bercakap, mengkritik, mencaci dan merendah-rendahkan keupayaan orang lain bagi menutup kelemahannya.

Sikap melampau memang sentiasa berada dalam kerugian, kerana yang dikejar itu adalah bayang-bayangnya sendiri yang hanya muncul sekadar visual dan bukannya berbingkai serta boleh dipegang. Ia adalah sebuah kengerian yang bakal mencetuskan lebih banyak tragedi.

Lahirnya Intitut Wasatiyyah di Malaysia bermakna kerajaan benar-benar mahu mempraktikkan prinsip kesederhanaan dan mengetepikan keseluruhan nilai kekerasan serta sikap melampau. Ia akan dibudayakan sebagai satu corak kehidupan yang beradab dan bersusila, menghormati nilai dan hak setiap orang secara yang lebih wajar dan bermakna.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Tangani rasuah perlukan kesungguhan


TRANSPARENCY International (IT) Malaysia mengeluarkan laporan mengenai Indeks Persepsi Rasuah (IPR) bagi 2011 baru-baru ini. IT-M adalah sebuah badan bebas bukan kerajaan, yang komited menentang rasuah sama ada dalam sektor perkhidmatan awam, sektor swasta, dan juga institusi sivil melalui advokasi, kajian serta pendidikan.

Badan ini berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan sudah mencapai standard antarabangsa. Laporan menunjukkan skor IPR bagi negara ini jatuh daripada 4.4 kepada 4.3 pada 2011 yang meletakkan Malaysia di tangga ke-60 daripada 178 negara yang dipantau berbanding tangga ke-56 dua tahun berturut-turut sebelumnya.

Laporan itu juga menunjukkan kepada kita bahawa gejala rasuah di negara ini tidak menunjukkan sebarang penurunan walau pelbagai usaha pencegahan dan membendung rasuah sudah dilakukan, malah, dapatan ini mencerminkan kelemahan tadbir urus yang sedang membarah dalam pentadbiran negara.

Cabaran besar ke arah mencapai tadbir urus yang baik ialah membanteras rasuah daripada menjadi lingkaran ‘kejam’ yang tidak berkesudahan.

Untuk mencapai tadbir urus yang baik, antara perkara pertama yang perlu diselesaikan ialah soal ketelusan dalam pentadbiran seperti ditulis Saladin al-Jurf (1999) dalam makalahnya Good Governance and Transparency: Their Impact on Development.

Menurutnya, mana-mana kerajaan tidak boleh terbabit dalam tadbir urus yang baik seperti pengurusan negara yang bagus tanpa menggalak dan mempromosikan ketelusan. Justeru, kepemimpinan politik negara terutama Tun Hussien Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi begitu giat membanteras rasuah sebagai matlamat perjuangan dalam memimpin dan mentadbir Negara. Tidak ketinggalan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga menyuntik semangat Wawasan 2020 dalam Pelan Transformasi Kerajaan yang bertujuan memperkasa tadbir urus yang baik.

Ironinya, persepsi umum kian merosot kerana statistik rasuah negara saban tahun meningkat. Rakyat mula mempertikai keberkesanan program untuk membasmi gejala tidak sihat ini daripada terus membarah. Usaha untuk membentuk dan menghidupsuburkan tadbir urus yang baik akan terencat jikalau gejala rasuah ini tidak ditangani bersungguh-sungguh oleh semua pihak sama ada kerajaan ataupun swasta, pemimpin mahupun rakyat jelata.

Gejala rasuah meninggalkan impak yang besar sehinggakan sesebuah tamadun, empayar dan bangsa boleh runtuh dalam sekelip mata. Sebagai memetik sebahagian ucapan Najib pada Seminar Muafakat Memerangi Rasuah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1997, beliau mengatakan: “ Empayar Rom, Empayar Uthmaniah, Dinasti Ming, yang tidak terurus pentadbirannya menyebabkan tentera dan kakitangan awamnya terpaksa mengamalkan rasuah sehingga akhirnya hancur.

Demikian juga dengan kisah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka akibat berlakunya amalan rasuah di kalangan raja dan pembesarnya. Pemimpin nasionalis China Kai Shek di China, Richard Nixon di Amerika, Marcos di Filipina dan akhirnya Presiden Mobuto di Zaire tumbang kerana gejala yang sama.” Sejak itu, Najib menggalas amanah yang amat berat bagi memastikan keberlangsungan negara bebas rasuah. Ia memerlukan sepenuh kesungguhan dalam membanteras gejala ini sebelum Malaysia mengalami nasib sama seperti pemimpin dalam ucapan beliau.

Semua masyarakat beragama dan bermoral menolak rasuah sebagai satu jenayah moral yang keji. Kesan rasuah bukan saja membabitkan segelintir individu pengamal rasuah, tetapi melangkaui lebih daripada itu. Ia membabitkan segenap aspek negara dari segi keadilan sosialnya, kestabilan politiknya, kemakmuran ekonominya, juga nilai dan etika rakyatnya.

FARIDAH MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Kolej Uniti, Port Dickson.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Impak Demonstrasi Mahasiswa


Usah bertindak di luar batasan

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


USIA masih mentah dan tiada pengalaman hidup, namun segelintir mahasiswa sanggup menggadai masa depan dan pengajian belum tamat semata-mata terlalu taksub mengikut kata hati.

Mengetepikan akal waras dan matang untuk membuat pertimbangan, mereka lantang bersuara menyatakan hasrat melakukan perubahan biarpun hakikatnya ia tidak semudah memetik jari.

Lebih berani, mereka cuba bermain api dengan membuat tuntutan tidak masuk akal sehingga memberi persepsi negatif, apakah golongan itu mudah diperguna atau dipengaruhi orang lain?

Apakah perjuangan dan perubahan dikehendaki itu lebih penting daripada melunaskan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar?

Apakah selama ini institusi terlalu tegas dan langsung tidak berkompromi hingga golongan terbabit perlu melanggar undang-undang?

Atau adakah mereka hanya mengikut membuta tuli dan sanggup bertindak agresif kerana berasakan diri cukup hebat bergelar mahasiswa?

Presiden Kolej Poly-tech Mara, Datuk Yusoff Harun, berkata mahasiswa perlu menjadi golongan yang boleh dibanggakan dengan kecemerlangan dan kematangannya bukan yang mudah diperkotak-katik sesuka hati pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

Menurutnya, amat malang dan memalukan apabila mereka bertindak melampau dan di luar batasan kerana bukan saja boleh digambarkan sebagai golongan cetek akal malah senang dimanipulasi.

“Mahasiswa adalah golongan terpilih dan perlu mempunyai prinsip yang tidak boleh digugat orang lain hanya dengan isu remeh.

“Mereka ada karisma tersendiri dan masyarakat juga memberi sanjungan dan pengiktirafan. Malangnya, itu tidak berlaku pada segelintir mahasiswa yang berasakan diri hebat dan tidak boleh dicabar.

“Hakikatnya, mereka masih teraba-raba mencari masa depan. Atas maksud tertentu, mereka berjuang dengan alasan mahu membuat perubahan sedangkan perjuangan perlu berpaksikan pada tujuan asal dan jangan dicampur-aduk dengan perkara lain,” katanya.

Akhir-akhir ini negara terkejut dengan aksi demonstrasi liar segelintir mahasiswa yang ‘memberontak’ inginkan hak kebebasan biarpun permintaan itu tidak munasabah.

Mereka mengandaikan diri tertindas dan menjadi mangsa birokrasi selain mengutarakan kemahuan diberi lebih kebebasan akademik.

Persoalannya, kebebasan akademik bagaimanakah yang diingini hingga sanggup berdemonstrasi, mengganggu ketenteraman awam dan mencemarkan nama golongan intelektual.

Sekali gus memberi persepsi tidak baik dengan tanggapan mereka golongan ekstremis yang mahu menggugat keamanan negara selain begitu mudah melatah biarpun hanya dijolok dengan isu remeh.

Mengulas tindakan itu, beliau menggambarkannya sebagai satu ‘drama’ yang harus ditamatkan segera kerana bakal merugikan masa depan mahasiswa.

“Sejak dulu, mahasiswa memegang gelaran ‘mereka yang dihormati’, mengapa mesti mencalarkan identiti itu dengan perjuangan belum pasti? Buka minda dan berfikir dengan matang setiap masalah ada penyelesaiannya.

“Setiap perbuatan perlu selari dengan taraf pendidikan, daya intelektual, penerimaan masyarakat dan sebagainya. Tindakan melulu bukan saja merugikan malah menyebabkan masalah baru timbul hingga membabitkan isu lain.

“Janganlah kerana terlalu mengikut kata hati, segalanya tergadai dan menjadi sia-sia. Perjuangan menuntut ilmu itu lebih penting dengan imej mahasiswa berbanding tindakan radikal,” katanya mengakui antara punca golongan itu bertindak agresif kerana kurang mendapat fakta jelas mengenai sesuatu perkara atau diprovokasi pihak lain.

“Secara amnya, mahasiswa biasa dan tiada kepentingan tidak akan bertindak sedemikian. Mungkin mereka yang mudah ‘melatah’ ini ada faktor di sebaliknya hingga berani melanggar undang-undang.

“Pihak pengurusan institusi perlu memberi penjelasan jelas, mudah dan telus kepada mereka supaya dapat gambaran jelas.

“Dalam usia muda, mereka gemar bertindak mengikut emosi berbanding rasional akal,” katanya.

Agresif mahasiswa, akuinya juga adalah sifat semula jadi terutama jika permintaan mereka ditolak atau diperlekehkan namun bukan semua mahu menggadaikan masa depan hanya kerana mengikut emosi.

“Hanya segelintir saja yang beremosi dan mahu menunjukkan diri mereka hebat sedangkan sebahagian besarnya masih berfikir waras.

“Bayangkan, jika mempunyai senarai ‘rekod’ yang tidak elok, apakah masyarakat, industri atau majikan mahu menerima mereka?

“Justeru sebelum bertindak, berfikir panjang, jangan mudah terpengaruh atau mengikut darah muda kerana belum tentu perjuangan itu berhasil,” katanya.

Ditanya adakah kebangkitan itu juga disebabkan peristiwa yang melanda beberapa negara di dunia, beliau berkata, mahasiswa di negara ini tidak boleh disamakan dengan negara luar.

“Perjuangan di sana lebih tertumpu pada kehendak perubahan drastik atas faktor tertentu namun di negara ini keadaannya berbeza.

“Jika berpandangan jauh, mereka akan mengelak diri terbabit aktiviti ini kerana ia merugikan. Paling penting, selesaikan pengajian dulu sebelum membabitkan diri dalam aktiviti bersifat peribadi.

“Keseronokan atau kehebatan sementara tidak boleh menjamin kesenangan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, mereka hanya berdiri atas identiti mahasiswa dan tidak diperalatkan seperti didakwa.

“Kami berjuang untuk membela nasib mahasiswa dan mengubah kesukaran yang sering dihadapi akibat birokrasi, bukan alat parti yang berdiri atas kapasiti diri sendiri.

“Adakah salah jika kami ingin menyuarakan pendapat dan memperjuangkan nasib rakan lain yang tertindas?

“Tindakan seperti itu terpaksa diambil kerana kami sudah muak dengan apa yang dijanjikan namun tidak dilaksanakan dengan telus,” katanya.

Mengenai pandangan masyarakat mengatakan mereka mudah diperalat, beliau menafikannya kerana mahasiswa mempunyai privasi sendiri untuk membuat pilihan.

“Mereka mengiktiraf kami sebagai golongan terpelajar, jadi mengapa mesti mempertikaikan tindakan itu?

“Mengapa dipandang serong hanya kerana mahu memberi teguran dan memperbetulkan keadaan salah?,” katanya

Katanya, sebagai mahasiswa, mereka tahu tanggungjawab utama ialah belajar tapi pada masa sama menjadi pengimbang tara kepada semua pihak selain ejen perubahan kepada masyarakat.

“Kami tidak kesal memperjuangkan tuntutan ini kerana idealisme kami hanyalah untuk membantu mahasiswa bukan menjadi tunggangan orang lain seperti tanggapan masyarakat. Betulkan persepsi salah itu,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU BAHASA : Sukarkah bertutur bahasa Melayu?


OLEH : TAN SRI LEE LAM THYE

BEBERAPA pihak telah membangkit mengenai betapa pentingnya kita memartabatkan semula bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris.

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan yang diadakan tahun lepas mahu bahasa Melayu dimartabatkan dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bercadang melaksanakan proses alih suara bagi rakaman suara individu yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi temu bual berbahasa Melayu sebagai usaha mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang penyiaran.

Melalui Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun, semua warga Malaysia diingatkan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan selain daripada usaha membolehkan kita menguasai bahasa Melayu dengan tepat.

Pada pendapat saya mutu penggunaan tatabahasa Melayu dalam pelbagai program yang disiarkan oleh stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta masih berada di tahap rendah.

Usaha perlu dilaksanakan dan membabitkan semua stesen penyiaran bagi mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Suatu perkara yang memerlukan tindakan ialah mengenai pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti dalam dialog filem dan perbualan seharian yang mencerminkan fenomena bahasa rojak.

Saya dan ramai yang lain khuatir dengan aliran pertuturan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang mencerminkan ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu dan penggunaannya dengan betul.

Sukarkah untuk bertutur bahasa kebangsaan dengan betul?

Fenomena bahasa rojak yang kian menjadi-jadi. Bertutur dalam bahasa kebangsaan tetapi dicampuradukan dengan bahasa Inggeris sudah menjadi lumrah dan kebiasaan.

Daripada pertuturan harian sehinggalah kepada program-program televisyen, radio dan iklan kita semakin terdedah kepada bahasa rojak.

Malah sebahagian anggota pentadbiran kerajaan kita juga cenderung menggunakan bahasa rojak termasuk dalam ucapan di majlis dan sidang akhbar yang kemudian disiarkan menerusi televisyen.

Sudah menjadi satu tabiat bagi mereka bercakap bahasa kebangsaan diselitkan bahasa Inggeris. Memang tidak salah - untuk membuktikan kita mempunyai kemahiran bercakap dalam pelbagai bahasa.

Soalannya ialah kalau mahu bertutur bahasa Inggeris gunakanlah sepenuhnya bahasa itu.

Begitu juga semasa bertutur bahasa kebangsaan, gunakan sepenuhnya dan tidak perlu dicampuradukan. Bahasa Melayu adalah bahasa indah dan tidak patut dijadikan mudah tercemar.

Sungguhpun saya bukan pakar linguistik, saya berpendapat masa telah tiba bagi semua pihak untuk memperbetulkan fenomena bahasa rojak ini dan jangan jadikannya suatu budaya atau amalan harian di negara kita.

Mesej yang saya ingin sampaikan ialah kita tidak dapat memartabatkan bahasa Melayu kalau kita cenderung mencampuradukkan percakapan dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau kita tidak dapat memperkukuhkan bahasa Inggeris dengan mencampuradukkan percakapan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.

Penulis ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Kejujuran penggerak PPSMI dipersoal


Agenda peribadi atau kepentingan pendidikan jadi pendorong

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


SEBARANG perdebatan mengenai usaha mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mesti bertitik tolak daripada landasan sebagai bahasa ilmu dan bukannya soal titik bengit lain.

Ini kerana perdebatan PPSMI perlu berpusat pada landasan apakah bahasa Melayu boleh dianggap sebagai bahasa ilmu dan sejauh mana kebenaran bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.
Penegasan itu dilontarkan pada Dialog Orang Muda (DOM) - PPSMI: Kita Tewas? di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Setiausaha Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir, berkata bahasa Inggeris hanya digunakan sebagai bahasa ilmu sepenuhnya di tanah besar Inggeris apabila kerajaannya yang berpusat di London melaksanakan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah dan universiti sepenuhnya pada 1830.

“Prof Dr Shaharir Mohamad Zain dalam kajian terhadap pungutan istilah bahasa Inggeris menunjukkan mereka meminjam 70 peratus daripada bahasa Greek, Latin dan Arab.

“Dalam tempoh 182 tahun itu, bangsa Inggeris hanya mendapat 30 peratus istilah dalam bahasanya sebagai istilah sains,” katanya pada forum yang dipengerusikan Tutor Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Arif Atan.

Justeru bagi Dr Mohammad Alinor adalah tidak adil untuk menolak kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dilaksanakan sepenuhnya dalam sistem pendidikan Malaysia pada 1983 dan ditamatkan pada 2003, sedangkan bangsa Inggeris mengambil jangka waktu hampir dua abad.

“Malah, kebudayaan Inggeris sendiri kini tersepit apabila Wales dan Scotland menuntut perluasan kuasa politik mereka termasuk bahasanya, manakala dalam konteks ekonomi di Eropah pula, ia dikuasai Jerman dan Perancis.

“Inggeris bertungkus-lumus untuk mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu itu pun dibantu oleh Amerika Syarikat yang memiliki 400 juta rakyat,” katanya pada dialog anjuran Biro Penulis Muda PENA dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Perkara yang lebih kurang sama turut menimpa Amerika Syarikat apabila ia ditekan oleh bahasa dari Amerika Selatan sehingga konsep baru timbul, iaitu Etnomatematik yang membabitkan matematik dan budaya etnik.

“Ini bermakna sekiranya ia lebih sesuai diajar dalam bahasa Sepanyol, maka kita perlu melantik guru yang mengajarkannya dalam bahasa itu.

“Percaturan ini timbul semata-mata untuk memberi ilmu kepada pelajar dan soalnya apakah percaturan kita dalam isu pengajaran dan pembelajaran dalam apa juga bahasa dengan tujuan yang sama,” katanya yang juga penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Mengenai pendapat semua jurnal sains dan matematik banyak didapati dalam bahasa Inggeris, beliau menolaknya dengan sinis bahawa ia disebabkan jurnal yang dibeli adalah dalam bahasa Inggeris.

“Saya pernah dilantik sebagai penyelidik pelawat di Trieste, Itali, selama tiga minggu dan mendapati universiti itu mempunyai bahan dalam pelbagai bahasa termasuk laporan teknik dari Jabatan Matematik dan Fizik di Universiti Vietnam dalam bahasa Vietnam,” katanya.

Setiausaha Pusat Pengembangan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG), Ng Yap Hwa, berkata pihaknya berpendapat semua bangsa berhak membangunkan bahasa ibunda sendiri tanpa mengira status bahasanya.

“Pendirian kami ialah pembelajaran bahasa Inggeris mesti dalam subjek bahasa itu sendiri, bukan subjek yang lain dan pelaksanaannya mesti ditinjau daripada segi pendidikan dan bukannya politik semata-mata.

“Pihak kami juga meneliti hujah yang diberikan oleh kumpulan penyokong PPSMI dan mendapati hujah mereka tidak meyakinkan kecuali tanggapan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ibunda mereka,” katanya.

Meskipun LLG menghormati hak itu, Lian Geok berkata, pihaknya tidak setuju PPSMI dilaksanakan di mana juga sekolah kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.

“Kalau kita boleh ubah bahasa pengantar dalam subjek Sains dan Matematik, bagaimana pula dengan subjek lain yang tidak mustahil akan ditukar ke bahasa lain, sekali gus menyebabkan kekeliruan besar dalam sistem pendidikan kita.

“Kumpulan elit yang berminat untuk belajar dalam bahasa Inggeris, mereka boleh pergi ke sekolah swasta untuk mendapatkannya,” katanya.

Felo Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM), Imran Mustafa, berkata Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) menganggap hujah bahasa tempatan tidak mampu menjadi bahasa ilmu sebagai mitos.

“UNESCO pernah menerbitkan kertas kajian pada 2004 yang sebenarnya menolak hampir semua hujah yang diberikan kumpulan pro PPSMI dan merangkumkan ke dalam satu seksyen, iaitu Mitos Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Asing, iaitu mitos bahasa tempatan tidak boleh menyampaikan konsep moden.

“Seksyen itu menegaskan semua bahasa mempunyai kemampuan yang sama untuk menyampaikan pemikiran manusia dan membangunkan istilah serta struktur baru yang diperlukan.

“Leopold Senghor pernah membuktikannya dengan menterjemah Teori Relativiti oleh Einstein ke bahasa Wolof, iaitu bahasa lingua franca Senegal,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 18 Januari 2012

ISU AGAMA : Asas tauhid mesti diterap kukuh dalam pendidikan anak


Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Semai sifat mulia dari awal menerusi nasihat yang lembut

SABAN hari pelbagai masalah sosial dipaparkan dalam media cetak mahupun elektronik. Kes buang bayi yang tidak nampak kesudahannya, sumbang mahram, saudara kandung memperkosa ahli keluarga, hilang kewarasan akal hingga ada membunuh dan menyembelih anak sendiri.

Ini menggambarkan betapa masyarakat hari ini sedang mengalami penyakit jiwa yang agak parah.

Pelbagai kaedah penyelesaian dicadangkan bagi membendung kejadian ini daripada terus berleluasa termasuk memperkemaskan sistem pendidikan.

Pemantapan itu termasuk menekankan kepentingan pengajaran berunsur akidah, tasauf dan akhlak terutama dari sudut mempelajari teknik berkesan yang terbukti telah berjaya. Salah satu contoh ialah kaedah digunakan Lukman al-Hakim dalam memberi pengajaran serta pendidikan kepada anaknya.

Lukman atau nama penuhnya Lukman bin Ba’ura’, dari keturunan Azar, iaitu bapa kepada Nabi Ibrahim, dikenali sebagai seorang bijaksana yang diberikan hikmah oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Lukman bukanlah seorang nabi, tetapi dia adalah seorang hamba yang banyak bertafakur, kuat keyakinan, mengasihi dan dikasihi Allah SWT, dikurniakan-Nya kebijaksanaan.”

Kebijaksanaan Lukman ditunjukkan melalui pendidikan diterapkan dalam diri anaknya. Beliau mengguna kaedah sangat lembut melalui nasihat dan perbicaraan secara halus kepada anaknya.

Perkara asas ditekankan Lukman al-Hakim adalah penegasan kepada konsep tauhid melalui larangan melakukan syirik kepada Allah SWT yang bertepatan dengan konsep ‘awal agama ialah mengenal Allah’.

Ini juga berkait rapat dengan amalan azan dan iqamah yang dilaungkan ke telinga bayi sejurus selepas kelahirannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Mulakan kepada anak kamu dengan kalimah La ila ha illallah.”

Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya: “Didiklah anakmu dengan tiga perkara iaitu mencintai nabinya, mencintai ahli bait (keluarganya) dan bacaan al-Quran kerana ahli al-Quran itu mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya bersama nabi.”

Asas Tauhid ini boleh diterapkan ke dalam diri anak melalui bisikan dan penerangan jelas terhadap perkara yang berlaku di persekitaran antaranya kejadian hujan yang boleh menumbuhkan tumbuhan, pertukaran malam dan siang, kejadian bulan dan bintang serta proses kejadian manusia.

Lukman al-Hakim juga menerangkan kepada anaknya konsep ihsan yang disebutkan Rasulullah SAW sebagai ‘engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, walaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat engkau.”

Ayat disebutkan Lukman kepada anaknya menjelaskan bahawa setiap perlakuan hamba dalam pengetahuan dan kekuasaan-Nya juga walaupun sehalus biji sawi tetap dalam ilmu-Nya.

Justeru, anak perlu dididik berbuat kebajikan dan diterangkan kepadanya balasan baik kepada perbuatan baik, serta perbuatan buruk bagi setiap kesalahan dan dosa.

Konsep ihsan jika diaplikasi dalam kehidupan anak sejak kecil pasti akan dapat membentuk sikap jujur, berkata benar dan tidak khianat.

Dalam ayat selanjutnya, Lukman al-Hakim memfokuskan kepada beberapa adab mulia dalam kehidupan sebagai seorang anak iaitu berbuat baik dan menghargai jasa kedua-dua ibu bapa.

Seterusnya beberapa adab dan akhlak mulia diajar Lukman kepada anaknya antaranya suruhan melaksanakan solat, mengajak kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran, bersabar menerima ujian, larangan berlagak dan berjalan seperti orang sombong.

Suruhan melaksanakan solat adalah tanggungjawab besar ibu bapa terhadap anak. Rasulullah SAW menegaskan hal ini berdasarkan sabda yang bermaksud: “Suruhlah anakmu melaksanakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, pukullah jika mereka enggan melaksanakannya jika mereka sudah berusia sepuluh tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur (jika berlainan jantina).”

Begitu juga adab lain yang ditekankan Lukman kepada anaknya itu menggambarkan betapa perlakuan baik ini perlu dimulakan pada peringkat awal kanak-kanak. Bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’.

Untuk berjaya mendidik, ikutlah cara mereka yang telah berjaya. Lukman al-Hakim telah menunjukkan jalannya, terpulang bagaimana untuk melaksanakannya dalam kehidupan. Jika semua memahami dan mengambil pendekatan ini, ia dapat menyelesaikan penyakit sosial masyarakat.

Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jelebu, Negeri Sembilan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 17 Januari 2012

ISU SOSIAL : Kesederhanaan penawar ekstremisme


Saya amat berbesar hati dapat menyertai anda semua hari ini dalam persidangan pertama Gerakan Kesederhanaan Global - Saya difahamkan ramai di antara peserta meredah ribuan batu untuk datang ke sini, dan saya mahu mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan komitmen anda terhadap perjuangan kita ini.

Kami mempunyai pepatah di Malaysia, tak kenal maka tak cinta - dan menjadi harapan saya beberapa hari berikutnya akan membuka peluang untuk kita lebih mengenali dan menyayangi satu sama lain, serta menetapkan pemahaman dan empati bersama dalam berdepan dengan ekstremisme dalam apa jua bentuk.

Di Malaysia, kesederhanaan telah lama menjadi jalan pilihan kami. Ia satu bukti kepada bagaimana kami memperolehi kemerdekaan daripada British pada 1957; bagaimana kami memulihkan hubungan dengan Indonesia pada 1965; dan bagaimana kami membantu membina ASEAN pada 1967, pulih daripada tragedi Mei 1969, perhubungan dengan China pada 1972, dan membentuk komuniti ekonomi dan keselamatan ASEAN pada 1993 dan 2009. Setiap satu daripadanya merupakan detik penting bagi negara kami, dan semuanya dicapai melalui debat dan perbincangan sewajarnya.

Tetapi, lebih dan melangkaui pencapaian Malaysia sendiri, kesederhanaan adalah fitrah atau intipati kejayaan utama kemanusiaan; batu asas kukuh di mana semua peradaban dunia telah dibina - tanpanya, kita mungkin sudah lama tewas kepada kenikmatan dan keseronokan epicurean! Namun, kesederhanaan berdiri tegak bukan sahaja mempertahankan keazaman, disiplin dan mengawal diri malah untuk penerimaan, kebebasan, toleransi, belas kasihan, keadilan dan keamanan.

Memilih kesederhanaan bukan bermakna lemah, mengalah atau menginstitusikan prestasi rendah. Dan ia bukan tentang melakukan dengan separuh hati sesuatu yang memerlukan dedikasi penuh. Jauh daripada menjadi ideologi kelemahan jati diri, seperti yang sesetengah pihak mahu kita percaya, kesederhanaan sebenarnya memperkasakan diri kita untuk mara ke hadapan dan meninggalkan kesan kebaikan - menjaga keperluan, kekecewaan dan kebimbangan orang lain dan juga diri sendiri pada masa yang sama.

Seperti kata-kata Robert F. Kennedy, "sejarah manusia dibentuk daripada pelbagai perbuatan berani dan kepercayaan yang tidak terkira banyaknya. Setiap kali seseorang berdiri mempertahankan satu impian, atau bertindak demi kebaikan sekumpulan manusia lain, atau bertindak balas terhadap ketidakadilan, dia memberikan sedikit riak harapan, dan titik pertemuan daripada berjuta pusat tenaga dan keberanian, riak harapan itu akan membentuk satu gelombang yang boleh merobohkan dinding tentangan dan penindasan."

Itu adalah gelombang yang kita mahu bina di sini hari ini - dan jangan kita tersilap, kita bersatu kini di satu persimpangan sejarah dunia yang bermasalah. Wajah baru peperangan, krisis kewangan global dan bencana semula jadi pada satu skala yang tidak pernah dilihat selama ini, kini memberi cabaran yang belum pernah kita hadapi sebelum ini. Tetapi kita tetap perlu menghadapinya, dan jalan yang kita pilih untuk berdepan dengan perubahan-perubahan ini akan menentukan arah tuju masa depan semua peradaban kita.

Skala dan kepantasan peristiwa yang berlaku merentasi Timur Tengah dan Afrika Utara pada 2011 kadang kala hampir sukar diterima, tetapi selepas kekeliruan dan huru-hara beralih kepada kedamaian, seluruh dunia bersatu dengan harapan negara-negara itu dan rakyatnya dapat membentuk kesederhanaan demokratik dan keamanan yang akan memberi mereka kebebasan bersuara, daripada menjadi mangsa tiada toleransi dan ekstremisme yang mengisi kekosongan yang wujud.

Nigeria pula baru-baru ini menjadi saksi pertembungan maut antara komuniti Muslim dan Kristian. Tetapi, kerajaan Nigeria telah menegaskan tiada tolak ansur terhadap sikap sedemikian dan mereka yang cuba menggunakan kepercayaan agama untuk tujuan keganasan akan menerima akibatnya. Perbalahan sebenar bukanlah antara orang Islam dan bukan Islam, mahupun antara negara maju dan negara membangun, tetapi antara golongan sederhana dan ekstremis.

Maka, setiap seorang daripada kita perlu membuat satu pilihan; antara permusuhan dan syak wasangka atau berusaha secara berterusan untuk memahami pandangan dunia antara satu sama lain. Tentu sekali kita tidak seharusnya menganggap lautan dan teluk yang memisahkan kita juga memberikan imuniti daripada konflik pihak lain. Ketegangan di Afrika atau kata-kata kasar dikeluarkan di benua Amerika boleh membawa kesan bukan sahaja terhadap mereka yang menetap di sana malahan terhadap kita semua. Dalam dunia lebuh raya maklumat kini, konflik sedemikian merebak dengan pantas dan tiada siapa memegang monopoli terhadap kebenaran.

Walaupun mungkin seronok mendapat nama atas gerakan ini, saranan seperti yang saya buat untuk satu Pergerakan Kesederhanaan Global bukannya sesuatu yang baru. Kesederhanaan adalah satu nilai berzaman, dan sesuatu yang menjadi asas perjuangan agama-agama utama dunia. Dalam Islam, Nabi Muhammad bersabda bahawa, "kesederhanaan adalah sebaik-baik tindakan"; dalam agama Kristian, kitab Injil menyatakan "biarkan kesederhanaan kamu diketahui atas semua manusia"; dan dalam agama Yahudi, kitab Taurat mengajar kesederhanaan dalam semua perkara adalah satu 'cara hidup' dalam nilai adat Yahudi sebenar.

Bagaimanapun, jike kesederhanaan telah lama bertapak dalam agama-agama dunia, maka yang sebaliknya juga adalah benar: ekstremisme tidak pernah diterima ke dalam masjid, gereja, saumaah dan kuil kita. Mengekalkan rasa benci melalui sifat semula jadinya adalah satu perjalanan sunyi, berterbangan di muka prinsip moral yang disanjung tinggi - dan kebencian yang ditambat ini, bersama keengganan mengiktiraf pandangan dan nilai-nilai pihak lain yang menjadikan ekstremisme satu ancaman kuat.

Namun begitu, berkali-kali kebenaran tetap mencapai kejayaan. Sejarah dicipta bukan oleh mereka mendukung ekstremisme tetapi oleh mereka yang kekal kepada kesederhanaan tanpa menggadaikan kepercayaan diri. Kita semua kenal dengan kekuatan gigih keazaman dan kepimpinan Mahatma Gandhi, Nelson Mandela dan Aung San Suu Kyi tetapi anda tidak perlu menjadi pemimpin dunia untuk menjadi sumber inspirasi. Golongan sederhana membawa perubahan di mana sahaja mereka berdiri - dan sudah tiba masanya golongan sederhana pelbagai peringkat berdiri tegak dan menyatakan dengan satu suara padu bergema, 'tidak', kepada ekstremis.

Satu perkara amat jelas: kita tidak boleh menghapuskan fahaman ekstremis dunia dengan menggunakan kekerasan. Keganasan melahirkan keganasan - maka lebih baik kita memelihara toleransi dan pemahaman, bukannya dengan menutup suara kebencian tetapi dengan meninggikan lagi suara pertimbangan. Pujukan, perundingan dan kerjasama: ini semua mesti menjadi senjata kita berdepan dengan permusuhan dan niat jahat.

Barisan jurucakap dan delegasi di sini hari ini adalah pelbagai dalam semua bentuk, merangkumi pakar dan pemimpin pemikir dari semua benua dan peringkat hidup. Saya fikir ini membawa satu makna: bahawa ekstremisme padu satu peringkat telah memberi kesan kepada setiap negara, setiap kerjaya dan setiap manusia. Tiada sesiapa pun yang terkecuali, tiada tempat tidak dapat dicapai dan tiada had terhadap apa sekalipun - atas sebab ringkas, ekstremis dengan pandangan total dunia mereka, enggan mengecuali atau meninggalkan mana-mana institusi, sama ada sekular atau suci.

Ekstremis kita ketahui didorong oleh golongan ortodoks - sekumpulan idea muluk bercirikan keringkasan bodoh, gambaran salah dan penipuan nyata. Daripada meraikan kesucian kehidupan seperti yang dituntut semua agama, golongan ekstremis menekankan kemegahan hayat selepas mati. Daripada mencari dan menerima perbezaan mereka menyokong kejahilan, menolak toleransi dan kenali diri. Dan daripada menerima perubahan, mereka takut kepadanya dan sesiapa sahaja yang mendokong perubahan itu, membelakangkan diri kepada kemajuan dan mencari perlindungan dalam dunia ideal yang kekal sama sahaja.

Intipati dan mungkin juga tarikan ekstremisme adalah sifatnya yang ringkas - maka ia bergantung kepada pergerakan dan perhimpunan seperti ini untuk menyiasat kebenaran hakiki ini dengan kepekaan, kebijaksanaan dan penuh bersemangat.

Perbincangan tentang ekstremisme dan perbuatan ekstremis membangkitkan imej ngeri pembunuhan, huru-hara dan penderitaan manusia tetapi ekstremisme juga bukan selalunya ganas - dan saya percaya kita menanggung sendiri risiko menyebut tentangnya. Mengambil contoh satu daripada peristiwa yang kononnya tidak ganas tetapi amat ekstrem dalam sejarah baru-baru ini: krisis kewangan global.

Berbanding imej kejam yang mengejutkan yang dipaparkan seluruh dunia ketika kejadian 9/11 - gambaran kemusnahan pada skala epik yang meninggalkan parut pada satu generasi dan membakar nurani dunia - gambar yang diambil di hadapan Lehman Brothers pada satu pagi bulan September beberapa tahun kemudian, biasa sahaja, mungkin pernah dilihat sebelum itu. Seorang wanita muda, cemas dan bimbang, mengangkat barang miliknya di dalam sebuah kotak, keluar dari ibu pejabat firma tersebut. Seorang eksekutif yang malu pula berjalan pantas, masuk ke dalam kereta mewahnya dan memecut laju.

Tiada yang terlalu pelik atau tidak dijangka - namun begitu, tanpa sebutir peluru pun ditembak, sifat ekstrem dan berlebihan Wall Street dalam masa beberapa hari sahaja mengheret dunia yang kita kenali ke hujung tanduk.

Maju ke depan empat tahun kemudian dan nyata sekali tiada penghujungnya. Zon Eropah masih dalam krisis. Berjuta-juta orang hilang pekerjaan, rumah dan jaminan hidup. Dan ditambah kepada kos kemanusiaan, sekitar AS$14 trilion telah dibelanjakan setakat ini untuk pelan menyelamat - sepuluh kali ganda kos kedua-dua peperangan di Afghanistan dan Iraq.

Jika saranan saya untuk kesederhanaan bersifat idealis, ia juga amat realistik. Ramai ilmuwan Islam yang hebat mengambil berat bagaimana Islam sebagai satu pandangan dunia tentang agama, budaya, politik, etika dan ekonomi boleh membantu menyelesaikan antara cabaran paling besar kita hadapi hari ini, dan ini juga adalah antara persoalan yang menarik minat saya - bagaimana kesederhanaan boleh menyelesaikan, bukan sahaja masalah ekstremisme yang ganas malahan mengemudi kita melangkaui krisis ekonomi global ini?

Thomas Jefferson pernah berkata bahawa "jiwa perdagangan yang pentingkan diri tidak mengenal negara, dan tiada rasa belas terhadap prinsip selain daripada keuntungan." Ia satu sentimen yang diperingati berulang kali sejak beberapa tahun dan bulan lalu apabila kejatuhan Lehman.

Pope, satu tokoh yang tidak kurang hebatnya juga telah menyalahkan krisis ekonomi global atas "kurangnya asas etika yang kukuh untuk aktiviti ekonomi." Ketua Rabai Britain, Jonathan Sacks menulis keperluan untuk majikan, pemilik bank dan pemegang saham supaya "mempunyai panduan diri walaupun jika tiada siapa yang memerhati, oleh satu rasa, apakah yang betul dan bertanggungjawab." Dan untuk umat Islam seperti saya, struktur dan dasar kewangan Islam telah lama meletakkan manfaat umum mengatasi keuntungan individu.

Jadi, bagaimana kita membentuk sebuah ekonomi global sederhana yang berkesan demi kepentingan sekumpulan besar daripada sebilangan kecil? Bagaimana kita boleh memikirkan satu sistem yang menyampaikan keadilan untuk 'kumpulan 99 peratus' dan bukan hanya golongan atasan? Secara ringkasnya, kita tidak boleh lagi membenarkan pergerakan pasaran bersifat bebas-nilai atau neutral-nilai. Pasaran, seperti yang kita tahu, merupakan satu-satunya jalan kepada kemakmuran dan pembangunan yang stabil dan mapan - tetapi kita mesti meninggalkan hasil yang tidak adil dan tidak rata yang boleh berlaku jika tidak diperiksa, dan dengan jenis amalan ekonomi yang cuai yang sebelum ini menarik rebah sistem kewangan global kita.

Overleverage melampau. Pertukaran kemungkiran kredit yang sukar dibayangkan. Pinjaman subprima. Seperti raksasa ciptaan seorang saintis gila, amalan kewangan baru yang tidak difahami dengan sewajarnya ini telah bermaharajalela dari Wall Street dan meninggalkan berjuta kehidupan yang musnah di belakangnya.

Bagaimana pula dengan lelaki dan wanita, yang memiliki bank dan pedagang, yang meneruskan kerja dengan pengabaian dan tidak memikirkan selain daripada pengayaan diri sendiri? Barisan gambar muka pesalah laku akan kelihatan berbeza berbanding 'galeri penyangak' ekstremis yang kita telah biasa lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini - berbaju kemas, kerja pejabat dan bergaya berbanding kulit gelap, berjanggut dan dilatih bertempur.

Ini jauh berbeza dengan apa yang diberitahu kepada kita tentang ekstremisme - tetapi ia juga membangkitkan beberapa persoalan penting: apakah rupa ekstremis? Bagaimana kita boleh mengenali mereka? Jawapannya, tentulah ekstremis seperti juga ekstremisme hadir dalam pelbagai bentuk - dan kita hanya boleh mengenali mereka melalui perbuatannya.

Saya percaya dunia perlu beringat, terlalu kerap kebelakangan ini kita melihat ekstremisme dan Islam dibincangkan dalam nada yang sama. Selepas 9/11 contohnya, Asia Tenggara mula dikenali sebagai 'baris hadapan kedua' cuma kerana ia mempunyai jumlah umat Islam terbesar di dunia. Namun begitu, keganasan tidak pernah bertapak dengan kuat di sini seperti mana di bahagian lain dunia.

Dan apabila satu kejahatan besar melewati Norway tahun lalu, mereka yang kononnya pakar membanjiri ruang siaran untuk menyelitkan serangan itu mempunyai ciri-ciri utama ekstremis Islam. Tidak lama kemudian kita mendapati kebenaran yang pahit itu amat berbeza, namun ahli politik, wartawan dan pengulas di seluruh dunia kekal komited kepada idea bahawa keganasan dan Islam adalah dua bahagian pada satu syiling yang sama.

Selepas Timothy McVeigh membawa pembunuhan beramai-ramai kepada jalan-jalan bandar Oklahoma, tiada siapa menggambarkan semua warga Kristian bertanggungjawab. Untuk berbuat begitu akan dilihat sebagai tidak munasabah, tetapi itulah situasi yang dihadapi 1.3 bilion umat Islam hari ini.

Bagaimana semua ini berlaku? Bagaimana tindakan ekstremisme oleh sebilangan kecil umat Islam telah dilihat sebagai gambaran sebenar keseluruhan umat Islam - dan untuk membayangi ekstremisme yang dilakukan di seluruh dunia setiap hari oleh individu pelbagai kepercayaan atau yang tiada kepercayaan? Pandangan jahat seumpama itu tidak boleh dibiarkan berleluasa - dan tidak cukup, seperti yang ramai telah lakukan, sekadar menyatakan penyelesaian ekstremisme adalah dengan lebih ramai umat Islam bersuara. Kita perlu mendengar daripada golongan sederhana semua agama di semua negara dan semua peringkat masyarakat - dan apabila kita mendengar, hadiah keamanan akan muncul untuk semua.

Malaysia telah lama sinonim dengan pemodenan, toleransi, inklusiviti dan juga penerimaan, bukannya ekstremisme. Dalam negara yang majoritinya beragama Islam serta mempunyai komuniti besar Hindu, Buddha, Kristian, Tao dan Sikh, kami amat mengenali 'martabat perbezaan'. Kami mempunyai banyak kumpulan etnik, banyak agama tetapi kami berterusan cuba mengekalkan keharmonian dan negara yang benar-benar bersatu berdasarkan nilai-nilai kesederhanaan dan semangat 1Malaysia.

Kami tahu kami terbaik dan paling kuat apabila kami mendakap perbezaan yang wujud daripada sekadar menerima kehadirannya - dan dengan semangat itulah kami bersama hadir ke perjumpaan pertama Pergerakan Kesederhanaan Global. Tetapi, sebuah pergerakan global sebenar tidak boleh ditekan dari atas - maka kita perlu sedarkan di semua negara dan komuniti akan kemenangan kebenaran terhadap kejahilan, kepalsuan dan ketakutan.

Untuk memajukan perjuangan bersama kita, saya gembira mengumumkan hari ini pembentukan Institut Wasatiyyah di Malaysia, beroperasi sebagai sebahagian daripada Pejabat Perdana Menteri untuk melanjutkan usaha pemodenan dan keseimbangan dalam semua aspeknya - hormat kepada demokrasi, kedaulatan undang-undang, pendidikan, martabat manusia dan keadilan sosial. Melalui kata-kata ilmuwan agung Al-Iman Ibnul Qayyim, wasatiyyah - kesederhanaan atau 'keseimbangan' - "tidak terlalu berlembut atau terlalu ekstrem umpama sebuah oasis di antara dua gunung", dan untuk menggalakkan lebih ramai ilmuan seumpamanya kelak, kami juga akan membentuk Kerusi Wasatiyyah akademik di bawah Universiti Malaya dengan pemegangnya akan diumumkan apabila tiba masanya.

Untuk mempelopori usaha ini di peringkat antarabangsa, saya juga berbesar hati mengumumkan pelancaran satu Pergerakan Global baru Yayasan Kesederhanaan sebagai pusat untuk langkah pertama bagi penggabungan dan penyebaran maklumat serta bahan kempen kepada mereka yang mahu menyertai perjuangan menentang ekstremisme, sama ada kerajaan atau badan bukan kerajaan. Tentu sekali ia amat penting untuk GMM menjadi pelengkap inisiatif-inisiatif lain untuk dialog global dan kerjasama seperti Perikatan Peradaban Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, daripada menjadi inisiatif eksklusif oleh Malaysia.

Ia bukan satu kempen untuk mereka yang lemah semangat tetapi kita tidak boleh membiarkan detik ini dikuasai ekstremis, dengan siapa bersorak paling kuat mendapat untung terbesar. Melalui kata-kata pejuang keamanan, Mahatma Gandhi, 'mata untuk mata membuatkan seluruh dunia buta' - maka, bergantung kepada semua golongan sederhana di mana sahaja untuk berdiri tegak dan megah, untuk melenyapkan tarikan ekstrem dan menidakkan mereka yang di pinggiran daripada bertapak di titik tengah, memastikan kekecewaan yang dirasai di mana jua diambil kira dan suara, di mana sahaja berbunyi, didengar.

Tentu sekali saya berharap persidangan pertama ini akan memberikan peluang kepada kita semua untuk memikirkan, berdebat dan melihat kepada beberapa cabaran praktikal akan datang - persoalan seperti: Apa yang diperlukan untuk sekumpulan nilai-nilai dan idea menjadi satu gerakan global sebenar? Bagaimana boleh disuntikkan kesederhanaan dalam keputusan polisi luar dan langkah ekonomi domestik kita? Dan, apa yang kita boleh pelajari daripada satu sama lain dalam mempromosikan pemahaman, toleransi dan keamanan?

Mungkin saya naif untuk mengharapkan satu dunia tanpa keganasan, tiada toleransi dan semua kebencian serta penderitaan yang dilakukan antara manusia - tetapi harga kegagalan jika kita berimpian terlalu kecil adalah terlalu tinggi untuk dibayar. Maka, marilah kita beranikan diri berimpian besar, mari kita beranikan diri membayangkan apa yang sebelum ini difikirkan mustahil, dan ya, mari kita beranikan diri menjawab seruan untuk bertindak. Penindasan dan kezaliman hanya boleh menang jika lelaki dan wanita hanya berdiri dan lihat, enggan menukar retorik kepada tindakan serta pandangan kepada perbuatan.

Maka, marilah kita di sini, hari ini, bersama, menetapkan diri untuk berubah dan memulakan tugas membina satu perikatan baru golongan sederhana di zaman ini, dan izinkan saya mengucapkan terima kasih sekali lagi atas kehadiran anda dengan harapan semua berjalan lancar dalam perbincangan sepanjang beberapa hari akan datang. Tidak pernah ada perbincangan yang lebih penting sebelum ini, dan ia sesuatu yang kita perlu kita jalankan dengan kesederhanaan, kecekalan dan keberanian.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/