Isnin, 27 Februari 2012

ISU BAHASA : DBP teruskan usaha mantapkan bahasa Melayu


DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) akan meneruskan usaha memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, rasmi dan pengantar ilmu yang utama selaras dengan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK).

Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan berkata, DBK penting bagi menjamin keseimbangan pembangunan di negara ini agar turut memberi penekanan pada aspek modal insan yang sama penting dengan pembangunan fizikal seperti jambatan, jalan raya dan bangunan.

“DBP akan cuba memenuhi cita-cita negara dalam menyeimbangkan pembangunan fizikal dengan pembangunan dalaman terutama daripada segi bahasa, ilmu dan sastera yang dapat menghaluskan budi pekerti serta pemikiran masyarakat,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan DBP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shahrudin.

Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan menerusi Sasaran Kerja Utama (SKU) yang dirancang DBP bagi tempoh 2011 sehingga 2015.

Antara program yang dirancang DBP ialah Muzakarah Bahasa dan Persuratan pada 17 dan 18 Mac ini yang akan menghimpunkan kelompok pemegang kepentingan dalam soal bahasa, sastera dan ilmu termasuk budayawan, media, ahli bahasa serta pakar sains mahupun teknologi.

“Dengan menjemput kelompok pemegang kepentingan ini, kami berharap kami tidak bergerak sendiri dalam hal ini, tetapi bergerak bersama-sama seluruh sektor masyarakat negara ini,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa bukan pemisah


DARI kiri SM Zakir, Robert Yeo Cheng Chuan dan Seree Thatsanaslipa

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


Penerima Anugerah SEA Write 2011 luah cinta dan keamanan

CINTA dan keamanan bagaikan tidak dapat dipisahkan daripada puisi sehingga menjadi tema dan pesan yang paling akrab kepada penyair yang sama sekali berlawanan dengan realiti yang menggigit.

Dalam keghairahan mengungkapkan cinta dan keamanan, sesekali penyair tidak terlepas daripada mengimbau nostalgia khususnya fragmen hidup yang meninggalkan kesan sama ada dalam bentuk manusia atau kota.

Bagaimanapun, ada kalanya tampil penyair untuk mengingatkan teman kepenyairan terhadap ketidaksempurnaan yang wajar diterima oleh mereka termasuk dalam mimpi dan impian.

Justeru tidak hairanlah suara yang mengungkapkan hal itu yang terlepas bebas pada Baca Puisi oleh Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011 di Muzium Istana Suan Pakkad, Bangkok, baru-baru ini.

Penyair yang juga kolumnis politik di akhbar Thailand, Seree Thatsanasilpa, membacakan puisinya, Mengembalikan Cinta ke Taman Dunia, yang menggagaskan impiannya terhadap dunia yang subur dengan cinta, tetapi kontang daripada derita.

Ini kerana krisis, konflik dan perang bagi Seree terlalu banyak mengejutkan dunia sehingga menjungkirbalikkan alam dan mengekang cinta, sekali gus menyekat laluan ke hati manusia.

Tidak hairanlah Seree memanfaatkan pentas yang menghimpunkan penyair yang mewakili rantau Asia Tenggara untuk membawa pesan menyemai cinta, menumbuhkan suara hati dan melenyapkan kebencian.

Tiada lagi air mata akan tumpah
tiada lagi kematian akan diratapi
perang tiada lagi tempat dalam sejarah
mereka telah membunuh terlalu ramai manusia.

Semaikan cinta. Biarkan ia mekar.
Meliputi bumi dengan bunga-bunganya.
Kembalikan kepercayaan dan kebenaran;
biarkan bumi yang dulunya pernah ada, menenangkan kita.

Pesan Seree itu senada dengan keinginan Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Malaysia, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir yang mendeklamasikan puisinya, Sepotong Cinta di Dunia Angin.

Ini kerana perjalanan yang merentas sempadan di tanah besar Asia Tenggara itu mengilhamkan beliau untuk membawa cinta yang bersifat sejagat itu bersama-samanya.

Sepotong cintaku tiba-tiba
menjadi bulan, bintang dan angkasa
dunia angin
kuhanyutkan sepotong cinta
untuk menjadi cahaya
di jalan berdebu di lembah baldu
dalam darah, tulang, daging dan kulitku.

Meskipun Seree membacakannya dalam bahasa Thai, manakala SM Zakir mendeklamasikan dalam bahasa Melayu, tema sejagat itu seolah-olah difahami Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Laos, Bounthanong Xomxayphol yang memilih puisinya, Kemanusiaan Memberikanku Nafas.

Aku masih hidup
untuk membangunkan
fikiran baru manusia
dan aku masih hidup
kerana kemanusiaan
memberikanku nafas.

Ketika suara cinta dan keamanan itu menguasai pentas, Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Singapura, Robert Yeo Cheng Chuan, pula memilih untuk mengimbau nostalgianya di kota Bangkok puluhan tahun silam apabila membacakan puisinya, Rain in Bangkok: October.

Aku masih terselamat, meskipun
aku dalam kota yang salah
telah kupelajari untuk meneka
di mana permukaan pernah wujud
tapi tak kusiapkan diri
dan tidak berkasut
aku terpaksa menyingsing kaki celana
menanggalkan sepatuku, sebelum
melompat ke tangga yang kering.

Bagaimanapun di sebalik suara yang meluahkan impian idealis untuk dunia yang realistik, Penerima Anugerah SEA Write 2010 dari Thailand, Zakariya Amataya, bagaikan mengingatkan mereka terhadap ketidaksempurnaan mimpinya dalam The Buttons of My Childhood Jacket.

Dalam mimpiku, kiranya ada jambatan
pastilah ia terbina separuh
dalam mimpiku, kiranya ada tangga
pastilah ia menuju ke bawah.

Dalam mimpiku, kiranya tumbuh sepohon kayu
pastilah ia tidak berdaun
kiranya terbangun teratak dalam mimpiku
pastilah ia tidak berbumbung.

Acara itu turut dimeriahkan dengan bacaan puisi dan karya oleh Penerima Anugerah SEA Write 2011, Mohd Zefri Ariff Mohd Zain Ariff dari Brunei Darussalam; D Zawawi Imron (Indonesia); Romulo P Baquiran (Filipina); Jadej Kamjorndet (Thailand) dan Nguyen Chi Trung (Vietnam) selain Penerima Anugerah SEA Write 2001, Chokchai Bundit.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Anugerah SEA Write yang juga Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra; Pengasas Baca Prosa dan Puisi Tahunan SEA Write, Prof Madya Dr Trisilpa Boonkhachorn; Presiden PEN Antarabangsa Thailand, Prof Madya Dr Soranat Tailanga dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sallehuddin Abang Shokeran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU EKONOMI : Kejayaan model ‘Malaysia’


Khairuddin Mohd Zain

DATA dan statistik mengenai pelaburan asing yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) boleh dianalisis melalui perspektif yang pelbagai. Ia boleh dinilai dan dianalisis dengan minda sempit kenegerian, pandangan terbatas kepartian dan ideologi ataupun melihatnya dalam konteks yang lebih besar iaitu – kerangka Malaysia.

Menggunakan apa sahaja asas analisis sekalipun, ia tidak boleh menafikan Malaysia secara keseluruhannya berada di atas landasan ekonomi yang sangat meyakinkan. Inilah sebenarnya mesej ‘asas’ kepada data dan statistik yang diumumkan MITI.

Ketika ekonomi dunia pada keseluruhannya masih berada dalam keadaan tidak menentu, pencapaian keseluruhan Malaysia dalam menarik minat pelaburan asing ini sebenarnya sangat memberi kesan langsung kepada ekonomi negara secara keseluruhannya. Tidak perlu kita menilai sesuatu melalui perspektif ‘perang politik’ yang tidak menguntungkan rakyat secara keseluruhannya.

Apa yang lebih penting, Malaysia sebagai sebuah negara, berjaya menampilkan aspirasi ekonomi yang tinggi dan berminda hadapan. Jangan nafikan, bahawa strategi ekonomi Malaysia secara keseluruhannya lebih menjadi tarikan berbanding dengan faham ekonomi yang lebih tercarik-carik mengikut kononnya ‘strategi politik’ negeri secara berasingan. Kecualilah, memang kita mahu sampaikan kepada rakyat bahawa ‘model kita’ adalah lebih baik dan sama sekali tidak bergantung harap kepada wajah Malaysia secara keseluruhannya.

Penulis percaya bahawa ramai rakyat yang berasa sangat senang hati apabila Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan medianya bertarikh 22 Februari 2012, berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan dan Industri Malaysia dan MIDA yang banyak membantu InvestPenang dalam mengenal pasti pelaburan berkualiti yang boleh dihalakan ke negeri itu.

Sudah pasti, apa yang bermain dalam pemikiran pegawai tertinggi MITI, MIDA dan kerajaan seluruhnya; bukan soal siapa atau parti apa yang berada di Pulau Pinang. Kebiasaannya, asas membuat keputusan kepada pelabur-pelabur antarabangsa adalah ‘kerangka negara’ secara keseluruhannya dan bukannya asas kenegerian semata-mata.

Ini belum lagi mengambil kira ‘iklim ekonomi’ nasional, tawaran insentif ekonomi jangka sederhana dan panjang, kewujudan sumber tenaga manusia bersesuaian dan banyak angkubah lain yang perlu diambil kira.

Oleh demikian, mengambil perhitungan simplistik bahawa ini semua berlaku kerana polisi dan dasar yang baru dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini bukanlah nilaian yang menyeluruh.

Kita ambil sahaja contoh bagaimana Kedah Darul Aman yang mencatatkan jumlah pelaburan industri pembuatan agak baik. Apakah ini semua timbul dengan semberono dan begitu sahaja? Sudah pasti, semua ini hanya mampu berlaku apabila kesinambungan pembangunan lama dapat dirasai dan dinikmati oleh kerajaan negeri sedia ada.

Nilaian yang adil akan memberikan ‘merit politik’ yang wajar kepada kerajaan terdahulu yang mengusahakan kawasan perindustrian yang merata di Kedah. Kawasan Perindustrian Kulim Hi-Tech Park, Kawasan Perindustrian Bandar Darul Aman dan Kawasan Perindustrian MIEL Sungai Petani sudah pun dibangunkan jauh lebih awal daripada pertukaran kepimpinan yang hanya berlaku pada 2008.

Elok dan amat wajar juga sekiranya kerajaan Pas di Kedah memberikan kenyataan hampir serupa seperti Pulau Pinang, menghargai pelan pembangunan industri di Kedah yang terbina lama oleh kerajaan BN selama ini.

Tidak usah menafikan bahawa mereka pada hakikatnya bernasib baik untuk menerima sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan wibawa. Selain daripada infra, banyak strategi ekonomi yang ada hari ini hanyalah kesinambungan kepada apa yang sudah berjalan lama.

Wujud ketika dan situasi, ahli politik mana sekalipun perlu mengurangkan ‘permainan dan kenyataan politik’ dan lebih menumpukan kepada impak dan kesan ekonomi secara keseluruhannya kepada rakyat. Jika minda ini dapat didahulukan, kita akan menerima angka, data dan statistik dengan lebih neutral dan tidak tertumpu kepada beberapa isu yang dirasakan memberikan kemenangan politik sementara. Merit wajar diberi di mana ia patut dan wajar diberikan.

Apa pun jua, apa yang penting kepada rakyat secara umumnya bukanlah data dan statistik semata-mata. Rakyat perlu disedarkan bahawa pelaburan ini juga membawa banyak keuntungan lain. Peluang pekerjaan, akses kepada peluang ekonomi yang lebih meluas dan keutuhan ekonomi negara secara total.

Sebagai contoh, sepanjang 2007-2011 sahaja, berdasarkan jumlah projek yang dilaksanakan, hampir 340,000 peluang pekerjaan diwujudkan di seluruh negara. Sebahagian besar daripada angka ini menjurus kepada tenaga kerja berkemahiran, teknikal dan pengurusan.

Sudah tentu, peluang pekerjaan ini memberikan lebih banyak peluang kepada tenaga muda Malaysia menikmati ‘makna’ pertumbuhan ekonomi negara yang sebenar.

Adalah menjadi harapan masyarakat, agar peluang pelaburan yang merata di seluruh negara turut membawa ruang dan akses ekonomi bersemangat sama kepada rakyat. Tidak perlu kita bersikap terlalu ‘kenegerian’ dalam menilai angka ini. Apa yang lebih penting, lebih ramai anak muda Malaysia mampu diserapkan dalam dunia pekerjaan, langsung menjadi aset penting kepada pembangunan negara.

Bayangkan, bagaimana kumpulan besar anak muda di Eropah merintih kerana tidak mempunyai peluang kerja – warga Malaysia menikmati peluang yang sangat luas dan terbuka. Pada tempoh yang sama (2007-2011), Greece misalnya, berdepan dengan isu pengangguran yang hampir mencecah 20.9 peratus setakat penghujung 2011. Ini belum lagi kita menganalisis beberapa negara lain yang sedang berdepan dengan krisis ekonomi yang sangat mencengkam dan kritikal.

Rakyat juga perlu tahu, daripada lima pelaburan terbesar dalam pelaburan industri pembuatan, dua daripadanya adalah pelaburan domestik yang didokong oleh dua syarikat Malaysia sendiri. Malaysia Marine & Heavy Engineering Sdn Bhd (RM2.4b) dan Petronas Gas (RM1.3b).

Bangga rasanya melihat syarikat tempatan mampu berada sebaris dengan pelabur luar seperti Panasonic, Intel dan Samsung. Ini juga seharusnya memberikan kita rasa senang hati kerana kalangan syarikat Malaysia juga boleh diurus dengan baik dan cemerlang, sekali gus mencipta ‘nilai pelaburan’ dalaman yang membantu pembangunan ekonomi domestik.

Dalam waktu sama, jangan kita terlalu cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai. Perlu juga kita menilai sebarang kelemahan yang mungkin ada sehingga kita terpaksa menangguhkan beberapa pelaburan sektor pembuatan kerana masalah sumber tenaga dan sebagainya. Jika tidak, pastilah Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan jauh lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang.

Masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan kepada syarikat-syarikat utama dunia. Pakej dan kerangka ekonomi Malaysia sudahpun berada di landasan yang terbaik, termasuk dengan kesungguhan pelaksanaan program transformasi ekonomi yang sedang dibawa oleh kerajaan pada ketika ini.

Jangan sesekali kita memperkecilkan banyak negara yang semakin meningkat ‘magnet pelaburannya’. Negara seperti Vietnam, Myanmar dan Filipina pastinya mengintai peluang besar untuk menarik jumlah pelaburan yang lebih besar. Berdasarkan trend dunia seperti yang dilaporkan oleh United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), pelaburan asing masih berada dalam keadaan tidak menentu.

Apa yang dikemukakan oleh MITI secara jelas menunjukkan Malaysia masih berada di bawah radar dan carta zon pelaburan prolifik di peringkat dunia dan antarabangsa.

PENULIS ialah pemerhati sosio ekonomi


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 26 Februari 2012

ISU BAHASA : Nilai tinggi hikayat Melayu


Oleh ZAHIRUDDIN ZABIDI
(zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my)

MEMBACA hikayat lama atau klasik Melayu bukan suatu pilihan yang ada dalam senarai bacaan anak muda malah mungkin sesiapa sahaja dewasa ini. Kalau bukan kerana ada fakulti dan jabatan yang khusus di universiti-universiti menawarkan kursus-kursus yang berkaitan, rasanya sudah lama hikayat menjadi bahan bakar bagi memanaskan air di dapur kayu.

Menurut Kamus Dewan edisi IV, hikayat bermaksud cerita lama atau sejarah, riwayat. Antara yang tersohor dan lama (klasik) adalah seperti Hikayat Merong Mahawangsa, yang berjaya difilemkan oleh KRU Production, Hikayat Hang Tuah pula difilemkan oleh P. Ramlee puluhan tahun dahulu dan Hikayat Puteri Gunung Ledang yang difilemkan oleh Teong Hin Saw. Selain daripada itu masih banyak lagi hikayat Melayu sebagaimana yang diketahui wujud ataupun sudah ghaib pada hari ini.

Dalam masa yang sama, entah berapa banyak hikayat yang sudah diangkut oleh Inggeris dan Belanda sebagaimana yang diceritakan oleh Abdullah Munshi dalam Hikayat Abdullah, betapa Inggeris begitu berminat membaca, mengkaji dan memiliki kitab-kitab hikayat tulisan tangan daripada orang Melayu malah sanggup membayar berapa sahaja harganya.

Orang Melayu yang pada masa itu mempunyai hikayat sama ada yang dihadiahkan orang atau diperturunkan oleh nenek moyang mereka kerana tertarik dengan habuan harta yang sekelumit sanggup menjual langsung segala hikayat simpanan mereka. Bukan sahaja kitab hikayat, kitab-kitab muktabar pengajian Islam dalam pelbagai disiplin juga diangkut sama; kitab tauhid, kitab fiqah, kitab tasawuf tulisan para ulama Melayu tidak terlepas.

Abdullah Munshi meskipun adalah penulis Inggeris iaitu kepada Stanford Raffles yang dinyatakan sangat suka kepada manuskrip hikayat dan bahasa Melayu itu sendiri mengkritik sikap orang Melayu dengan menyatakan betapa orang Melayu tidak sedar apabila mereka menjual khazanah mereka.

Ternyata ia benar. Entah berapa banyak yang sudah berjaya diangkut sehingga pada hari ini andai ada sarjana tanah air mahu mengkaji mengenai manuskrip-manuskrip ini terpaksa pula terbang ke Belanda atau London kerana di sana tersimpan khazanah tulen tulisan para ulama dan cendekiawan Melayu silam.

Itu tidak dikira manuskrip yang tidak berjaya sampai kerana kapal yang mengangkutnya tenggelam akibat kecelakaan di tengah samudera. Andainya roh para ulama dan cendekiawan Melayu Islam itu boleh hadir dalam mimpi anak cucunya pada hari ini, agaknya apa yang mereka akan sampaikan?

Entah kerana cerdiknya para penjajah, Inggeris dan Belanda atau bodohnya orang Melayu pada zaman itu. Kos bagi seorang sarjana mengambil ijazah sarjana atau ijazah doktor falsafah dalam bidang kajian yang merujuk kepada manuskrip klasik ini memaksa mereka terbang ke sana selama bertahun-tahun ditanggung kerajaan.

Kadang-kadang terfikirkah kita, apakah sejauh itu penjajah berfikir? Iaitu pada suatu hari kelak, tanah jajahan mereka akan merdeka juga namun bagi memastikan kita tetap terjajah, selain daripada meninggalkan warisan pemikiran dan budaya, mereka juga mengangkut sumber ketamadunan, pemikiran dan budaya tempatan pulang. Pada hari ini, jutaan wang digunakan bagi menanggung kajian atas manuskrip berbahasa Melayu bertulisan Jawi milik nenek moyang kita sendiri di negeri mereka.

Hikayat-hikayat ini pada asalnya hanya diperturunkan dari generasi ke generasi menggunakan kaedah penceritaan lisan. Ini kerana masih belum ada kaedah menulis di Tanah Melayu sehinggalah ia menerima pengaruh-pengaruh daripada ketamadunan yang lebih awal seperti India dan China.

Sementelah sebelum kedatangan Islam, orang asal Tanah Melayu adalah penganut animisme yang kemudian menerima Hindu-Buddha sebagai agama umum khususnya dalam kerajaan Melayu terawal di Kuala Kedah yang terlebih dahulu dikenali sebagai Langkasuka.

Ada beberapa usaha contohnya oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengumpul dan menjaga manuskrip asal hikayat yang kini sudah menjadi khazanah bangsa dan agama. Malah PNM menempatkan tingkat khas bagi menatang manuskrip-manuskrip klasik yang masih berbaki itu dengan sebaiknya.

Di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), ada usaha oleh seorang sejarahwan Sabri Zain yang berjaya mengumpul ratusan naskhah hikayat-hikayat dan manuskrip nadir ini ke dalam bentuk PDF dalam sebuah perpustakaan maya.

Ia malah dapat diakses dengan percuma dan boleh dimuat turun dengan bebas oleh sesiapa sahaja menerusi laman sesawang http://www.sabrizain.org/malaya/library/.

Bukan sahaja manuskrip asal hikayat dalam tulisan Jawi yang disimpan di sana, tulisan-tulisan kemudian oleh sarjana Inggeris dalam memperihalkan mengenai Tanah Melayu dan hikayatnya serta tulisan mereka yang berbentuk jurnal dan memoir juga ada terdapat di sana.

Kita juga wajar berterima kasih kepada Dewan Pustaka dan Bahasa (DBP) dengan usaha sama Yayasan Karyawan Malaysia, sudah menerbitkan kitab-kitab Karya Agung Melayu dalam tulisan Rumi dengan mengekalkan langgam bahasa klasiknya. Ia adalah usaha murni yang wajar dipuji dan diberikan perhatian, meskipun menelan berapa sahaja kosnya ia tetap berbaloi apabila kita memahami betapa ia penting kepada kita kelak.

Hakikatnya apabila menyebut mengenai hikayat maka konotasi khas yang membumbui fikiran orang Melayu masa kini adalah, hikayat adalah sebuah cerita dongeng yang palsu. Kita katakan ya, memang ia bercampur dongeng kebanyakannya, justeru jangan baca untuk mempercayainya.

Timbul pula persoalan, justeru mengapa bersusah payah dan berhabis dana bagi menjaga dan memanjang hayatnya? Apakah kepentingan cerita-cerita bersifat khayalan belaka itu, lebih baik diberi dana kepada penyelidikan bersifat sains dan teknologi, lebih penting dan membijaksanakan bangsa.

Dengarkan nasihat Abdullah Munshi ini. Kata beliau, "Ketika itu aku suka membaca hikayat-hikayat kerana banyak faedah kuperoleh daripadanya. Di situlah aku menemui rahsia-rahsia bahasa Melayu. Kalau aku dengar ada orang menyimpan hikayat yang belum aku baca, sedaya mungkin aku akan meminjamnya ataupun menyewanya. Setelah habis kubaca, barulah aku pulangkan."

"Dari situlah aku mendapat kefahaman mengenai tempat hentian dan kuat perlahan dan sebagainya dalam bacaan. Pesanku kepada sekalian sahabat yang membaca kisahku ini, jika hendak pandai dalam bahasa Melayu, rajinlah membaca segala hikayat dalam bahasa Melayu. Di dalamnya tersembunyi perkara-perkara yang mulia yang tidak kita ketahui faedahnya sekarang. Kemudian hari kelak ia akan berguna apabila kita hendak mengarang, ataupun hendak menggunakannya."

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Debat secara beradab, beretika elak dipengaruhi emosi


Oleh Amran Zakaria

ISU UNTUK berdebat dan cabar-mencabar semakin menjadi-jadi, terutama dalam usaha meraih populariti kumpulan mahupun peribadi. Cabaran untuk berdebat ini biasanya timbul apabila berdepan dengan pertembungan idea dan pendekatan dalam menangani sesuatu perkara. Dalam bahasa Arab disebut sebagai ikhtilaf.

Pada asasnya istilah ini merujuk kepada perbezaan pendapat terhadap sesuatu perkara. Dalam erti kata lain setiap orang mengambil yang berbeza sama ada dalam perkataan mahupun pendapat. Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama. Oleh itu, setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf, sementara khilaf ialah pertentangan atau berlawanan.

Harus diakui manusia memang berbeza pandangan, pendirian dan bebas membuat penafsiran terhadap sesuatu yang dirasakan benar baginya tetapi ketika yang sama, manusia diberi akal dan iman untuk mempertimbangkan ilmu secara beradab. Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125).

Risalah al-Mustarsyidin menggariskan 10 adab untuk berdebat iaitu tidak berada dalam keadaan marah, tidak cuba mencari masalah, tidak membanggakan diri, jangan menghukum, jangan ketawa, jangan menjadikan dakwaan sebagai dalil, apabila anda mendatangkan dalil, tujuan daripadanya adalah mencari kebenaran, apabila anda menggunakan akal, gunakanlah ia sebagai untuk menerangkan sesuatu, hendaklah anda menjadikan kebenaran berharga untuk umat Islam dan usah mencari kemenangan sebagai tujuan utama (dalam berdebat) dan yang akhir sekali janganlah anda berpaling kepada orang lain sewaktu pihak kedua sedang bercakap dengan anda.

Ertinya, penjagaan akhlak dan kesopanan amat dititikberatkan seandainya berlaku perdebatan. Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Petunjuk sebaik-baik pemimpin, akhlak yang baik sebaik-baik teman, akal sebaik-baik sahabat dan adab sebaik-baik peninggalan (Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).

Sesungguhnya akhlak dan adab ini akan menjaga diri kita daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kehancuran. Lebih-lebih lagi jika kita sangat inginkan perbahasan ilmu yang mempunyai khilaf padanya. Dengan mempelajari adab maka tenanglah hati menghadapinya.

Debat kalau berlaku mestilah secara beretika dan halus budi bahasanya. Setiap patah kata dalam ungkapannya dapat menjadi contoh mereka yang mencintai kebenaran. Tetapi sayang, sebahagian daripada pendebat sekarang menyimpang jauh daripada panduan kerana debat mereka untuk mencari pengaruh dan kemenangan, sedangkan debat yang dicadangkan ialah untuk mencari jalan yang lurus. Oleh itu, berhujah untuk memburukkan lawan, pelbagai kata kasar dan nista dihambur keluar akan memburukkan keadaan Dibimbangi keburukan demi keburukan orang didedah dan diaibkan melalui kata-kata.

Ramai yang suka bertikam lidah apabila berlaku perselisihan pendapat. Kadangkala timbul keadaan menyerang, menentang dan saling mencela antara mereka. Rasulullah SAW bersabda: “Aku ialah pemimpin di sebuah tempat di syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar.” (Riwayat Abu Daud).

Cucunda Rasulullah SAW, Saidina Hussain berkata, seseorang yang menceritakan keburukan orang lain di hadapanmu, jadi dia akan menceritakan keburukanmu (juga) pada orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa mampu menjaga apa yang ada antara dua janggut dan apa yang ada di antara dua kaki, maka aku jamin dia masuk syurga. (Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad)

Apabila seseorang memahami dan mengerti bahawa setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya akan dihisab dan dibalas maka dia akan tahu untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.

Termasuk dalam adab menjauhi perdebatan ialah berwaspada seandainya sesuatu perbincangan yang dimulakan dengan adab Islam akan berubah menjadi satu perdebatan yang dibina atas dasar keangkuhan. Oleh itu hendaklah sentiasa prihatin kepada tanda-tanda yang bakal mengubah satu perbincangan kepada perdebatan, seperti sikap berlemah lembut mula berubah kepada perkataan yang kesat, bahasa yang kasar, nada yang tinggi dan gerak badan yang mengancam, manakala format perbincangan berubah daripada ilmiah kepada emosi.

Cara penuturan seseorang memudahkan kita mengenali watak ahli pendebat. Bahasa yang terhambur keluar melalui lidah yang tidak bertulang amat membahayakan kerana tajamnya melebihi sembilu. Justeru, jangan biarkan lidah itu lebih cepat daripada akal dalam menuturkan kata-kata. Apalagi apabila akal gagal mengawal tutur katanya menyebabkan apa yang terkeluar itu menjadi zarah amarah dan nafsu semata-mata.

Rasulullah SAW pernah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah memelihara engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri.” (Hadis riwayat al-Tirmizi).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 25 Februari 2012

ISU EKONOMI : Perbaiki kemiskinan di Malaysia


Prof. Diraja Ungku A. Aziz

SUATU perkara paling ketara dalam perancangan pembangunan Malaysia ialah ketiadaan perbincangan yang realistik untuk memperbaiki masalah kemiskinan melampau (extreme poverty) bagi setiap warganegara yang hidup di bawah paras kemiskinan sebagaimana yang digariskan oleh Kerajaan.

Tanpa terjunam di dalam perangkap perbahasan remeh-temeh mengenai paras kemiskinan, adalah jelas bahawa sejak setengah abad lalu ketidakseimbangan dalam pembahagian pendapatan atau kekayaan semakin meluas. Dengan lain perkataan, golongan kaya bertambah kaya manakala yang miskin bertambah miskin. Mengikut bahasa statistik, ketidakseimbangan ini semakin berpintal (skewed).

Majoriti golongan miskin melampau adalah kaum Bumiputera. Mereka termasuk yang tinggal di desa dan di kota dan kini semakin meningkat bilangannya. Mereka yang ditakrif sebagai Orang Asli dan penduduk asal Sarawak dan Sabah (natives) juga tergolong dalam kumpulan ini.

Di samping itu sejumlah besar kaum India, terutamanya mereka yang tersingkir dari kawasan bekas ladang getah juga merupakan golongan miskin melampau.

Bagi kaum Cina pula, terdapat sejumlah warga tua yang tercicir daripada jaringan keselamatan tradisional. Golongan terbiar warga tua ini yang pada kebiasaanya dijaga oleh pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan mengikut dialek masing-masing.

Di sini saya tidak akan menyentuh tentang golongan pengemis dan anak-anak yatim.

Golongan miskin melampau dianggarkan berjumlah lebih daripada satu juta individu atau 300,000 hingga 400,000 keluarga.

Sekiranya keadaan ini terus diabaikan ia akan menjejaskan kestabilan politik, terutamanya dalam rancangan pembangunan. Saya belum nampak sebarang rancangan berkesan atau kenyataan-kenyataan khusus yang dibuat untuk menangani masalah kemiskinan melampau.

Rakyat Malaysia harus sedar bahawa terdapat jurang perbezaan antara niat dan perilaku. Perbezaan ini dipengaruhi oleh sikap kita terhadap peredaran waktu. Menurut pesanan Keynes, in the long run we are all dead! (dalam jangka panjang, kita semua akan menemui ajal!) Justeru, berapa lama lagi kita harus menunggu?

Kononnya ada pelbagai teori berbeza yang direka untuk mengurangkan, membasmi atau menangani apa yang disebut sebagai ‘kemiskinan tegar’ atau hardcore poverty. Usaha yang tidak praktikal ini sebenarnya bermula dengan niat murni, sungguhpun tidak ada satu pun yang meninggalkan hasil berkesan dan berkekalan.

Istilah hardcore membawa maksud kesukaran yang berpunca dari akar umbi. Kata sifat hard bermaksud sukar diatasi. Para perancang putar belit politik Malaysia mahu kita percaya bahawa jika core atau punca akar umbi itu boleh dihapuskan, maka keseluruhan masalah itu akan lenyap dalam sekelip mata.

Sebenarnya ini bukanlah isu semantik. Ia telah mempengaruhi ramai pencipta akronim, kata singkatan dan slogan. Kita perlu ingat kata mutiara Marshall McLuhan: The medium is the message yang bermaksud perantaraan ialah mesejnya.


Kumpulan Miskin Melampau

Saya mencadangkan satu penyelesaian holistik yang berkekalan terhadap masalah yang berbangkit ekoran pengabaian ini. Bagi mengelakkan salah faham, saya akan menggunakan istilah baharu iaitu Kumpulan Miskin Melampau (KMM) atau Extreme Poverty Group.

Di sini, untuk memudahkan perbincangan saya cadangkan satu penyampaian dalam bentuk kewangan supaya ia mudah difaham oleh pembaca biasa.

Dengan mengambil kira semua isi rumah warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini pada 1 Januari 2012 saya cadangkan setiap keluarga lima orang ahli (contohnya, suami, isteri dan tiga anak) hidup di bawah paras kemiskinan jika pendapatan kasar mereka kurang daripada RM800 sebulan.

Tanpa mengambil kira tentang perbezaan keperluan keluarga di kota atau desa dan perbandingan jangka hayat kanak-kanak di bawah umur lima tahun, data ini membayangkan bahawa jika anda tergolong dalam kumpulan miskin melampau, anda mungkin lebih pendek umur atau lebih cepat sampai ajal berbanding orang lain.

Aspek paling penting keadaan ini ialah kekurangan pertumbuhan jasad dan otak, atau keadaan “terbantut”, (stunted) mengikut istilah Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia. Ini bermakna walaupun keluarga KMM mungkin melahirkan lebih ramai anak, bilangan yang mencapai usia remaja atau pertengahan umur semakin berkurangan sebagaimana yang tercatat pada carta jangka hayat semasa.

Sebenarnya golongan KMM ini perlukan bekalan keperluan asas seperti makanan yang selamat, pakaian dan tempat berteduh.

Mereka tidak perlukan bantuan atau sumbangan bermusim seperti pada waktu pilihan raya, perayaan atau pada bila-bila waktu pemimpin tertentu itu berasa perlukan sokongan besar-besaran penduduk tempatan.

Acara tanggungjawab sosial korporat yang dianjurkan dari semasa ke semasa untuk melepaskan batuk di tepi tangga juga tidak memadai untuk membantu mereka.

Cadangan baru demi memperbaiki kumpulan kemiskinan melampau

Usaha memperbaiki kemiskinan bermula hanya apabila warganegara paling miskin mampu memberi makan dan pakaian kepada keluarganya mengikut ukuran penjagaan asas (basic standards of care).

Satu rangka prasarana perkhidmatan diperlukan. Cadangan saya mengandungi empat bahagian: sebuah Agensi Kerajaan untuk Menangani Kemiskinan Melampau (AMKM) atau Agency for the Mitigation of Extreme Poverty, Ketua keluarga (Kk), Mentor dan Peruncit berdaftar (Pb).

Pada peringkat awal di bawah rancangan ini kerajaan akan menubuhkan sebuah agensi - AMKM - yang ditugaskan secara khusus untuk menangani kemiskinan melampau di Malaysia. Peranan utamanya adalah untuk menetapkan dan mengurus ganjaran bulanan (stipend) yang layak diterima oleh Kk dan memastikan ganjaran ini digunakan dengan betul.

Jumlah ganjaran adalah sama bagi semua keluarga, tanpa mengira bilangan ahli keluarga atau kedudukan mereka. Ia akan disalurkan melalui MyKad yang diperbaharui dalam bentuk debit pratambah nilai yang hanya boleh digunakan di kedai Pb.

Ganjaran ini bertujuan membantu KMM mendapatkan keperluan asas mereka untuk setiap bulan. Jumlahnya perlu dibincangkan lebih lanjut.

Saya amat menitikberatkan penubuhan satu sistem yang telus, bertanggungjawab dan berkesan bagi menyalurkan ganjaran secara langsung kepada mereka yang paling memerlukannya. Adalah penting cadangan ini mampu mendidik KMM secara holistik.

AMKM diketuai oleh seorang Ketua Pengarah yang akan menyusun dasar dan peraturan supaya Agensi ini dapat melaksanakan tugas dengan cekap. Ketua Pengarah akan dibantu oleh barisan Mentor dan Penyelia Mentor Kanan yang tugasnya akan saya huraikan seterusnya.

AMKM tertakluk di bawah peraturan dan amalan perkhidmatan awam akan mengenal pasti kelompok isi rumah KMM yang akan diselia oleh seorang Mentor di bawah Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan (Designated Service Area).

Pada peringkat awal, seorang Mentor ditugaskan menyelia lima orang Kk sehari. Sekali gus ia berkhidmat untuk 80 orang Kk dalam tempoh sebulan bekerja. Setelah mendapat pengalaman, Mentor itu mampu menyelia bilangan Kk yang lebih besar lagi.

Ciri-ciri Mykad hendaklah dipertingkatkan bagi meliputi kad debit khas untuk KMM. Mykad berciri baru ini akan hanya dikeluarkan kepada mereka yang layak ditakrif sebagai KMM sahaja.

Keseluruhan operasi ini perlu kerap diperiksa oleh Jabatan Audit Negara. Pihak media serta Ahli Parlimen juga perlu terlibat sama dalam pengawasan ini.

Sebagai bahagian kedua cadangan ini, Kk akan diberikan MyKad berciri baru dan telefon bimbit terhad bagi membolehkan mereka berhubung dengan Mentor. Dengan alat ini Kk boleh pergi ke mana-mana kedai Pb di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan dan mendapatkan bekalan barangan pengguna mengikut jumlah ganjaran bulanan yang dibenarkan.

Pb tidak dibenar menukarkan baki ganjaran dalam bentuk tunai dengan Kk. Jika ada baki yang tidak dibelanjakan, ia akan dipulangkan kembali kepada Agensi pada akhir bulan.

MyKad berciri baru dan telefon bimbit terhad itu hendaklah disimpan dalam sarung plastik yang boleh digantung pada leher Kk.

Mentor memainkan peranan penting dalam bahagian ketiga cadangan ini. Dia adalah pembimbing, guru dan penasihat kepada setiap Kk dan keluarga KMM. Mentor boleh bertindak sebagai penghubung di antara Kk dan semua pihak lain termasuk agensi, Pb dan lain-lain Kk di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan.

Tugas utama Mentor adalah mendidik KMM supaya mereka lebih proaktif dalam menggalakkan ketelusan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka selaku penerima bantuan kebajikan. Mentor juga akan mendidik keluarga itu semasa berkunjung ke rumah tersebut dan mengajar mereka tentang kecekapan membeli, cara untuk membuat pembelian yang tepat dan bagaimana untuk memaksimumkan penggunaan ganjaran.

Setiap Mentor hendaklah tinggal di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan yang mereka selia dan kegiatan serta kuasa mereka adalah terbatas pada kawasan itu. Adalah lebih baik jika mereka mempunyai latar belakang kebudayaan yang sama dengan keluarga di bawah seliaan mereka. Mereka juga hendaklah mempunyai kenderaan sendiri seperti motosikal atau basikal.

Di satu sudut lain pula, Mentor juga dikehendaki menyiasat jika wujud amalan monopoli oleh pembekal atau penipuan oleh Pb. Semua aktiviti dan pemerhatian mereka dicatatkan dalam laporan bulanan kepada AMKM.

Mentor juga hendaklah melaporkan kepada AMKM jika terdapat perubahan dalam profil kewangan KMM. Contohnya, jika pendapatan kasar keluarga KMM itu melebihi garis kemiskinan ini bermakna mereka tidak layak mendapat ganjaran bulanan itu.

Sebaliknya jika keluarga Kk itu menghadapi sesuatu masalah seperti ditimpa penyakit teruk yang memerlukan rawatan perubatan yang mahal, Mentor hendaklah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapat bantuan.

Mentor hendaklah berumur sekurang-kurangnya 25 tahun dan memiliki kelayakan minimum SPM, mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan cekap mengurus wang, mengira dan mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik.

Mereka hendaklah memiliki sikap positif, jujur, prihatin dan berdaya usaha.

Pada umumnya, pesara-pesara perkhidmatan awam merupakan calon yang sesuai memandangkan mereka mempunyai pengalaman berurusan dengan orang awam. Peluang juga hendaklah dibuka kepada siswazah menganggur yang ada pengalaman. Mereka hendaklah peka terhadap perbezaan gender, etnik dan bahasa.

Jelas sekali Mentor merupakan penghubung paling penting dalam rangkaian sistem ini. Justeru pengambilan dan latihan mereka hendaklah dirancang dan diurus dengan teliti. Latihan yang diberi hendaklah sentiasa berkesinambungan. Mentor hendaklah memahami sepenuhnya tanggungjawab mereka sebelum bersedia mendidik KMM.

Tugas Mentor boleh diperkukuh jika mereka dibekalkan dengan komputer riba yang lengkap dengan broadband supaya mereka boleh memperoleh maklumat semasa melalui Internet. Ini sangat penting bagi kawasan desa. Untuk mengetahui perkembangan semasa, Mentor hendaklah kerap mengadakan rundingan yang diketuai oleh Penyelia Mentor Kanan di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan.

Untuk pelantikan perkhidmatan awam, tempoh perkhidmatan Mentor hendaklah digariskan dengan jelas. Gaji pokok mereka mungkin bermula daripada RM1,500 sebulan dengan elaun sara hidup dan lain-lain faedah biasa untuk kakitangan.

Mentor yang didapati melakukan penipuan boleh didakwa atas kesalahan jenayah dan salah guna kuasa boleh menyebabkan dibuang kerja.

Peranan Peruncit berdaftar

Dalam bahagian keempat cadangan ini, Pb dilantik oleh AMKM daripada kalangan peruncit sedia ada. Mereka dibekalkan dengan alat pengimbas kad pintar untuk mengimbas ibu jari dan MyKad Kk.

Jumlah pembelian yang dibuat oleh Kk dalam setiap urusniaga akan dicatat pada resit seperti amalan biasa. Salinan resit akan diberikan kepada Kk. Semua urusniaga disalurkan secara elektronik kepada AMKM untuk pembayaran balik kepada Pb.

Pb dikehendaki menyimpan stok barangan yang biasa dibeli oleh Kk di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan. Beberapa barangan keperluan asas sememangnya termasuk dalam senarai barang kawalan harga. Mentor juga perlu berwaspada memastikan tiada sebarang kegiatan monopsoni dan penipuan atau penganiayaan oleh Pb.

Di kawasan pedalaman yang terpencil, AMKM boleh melantik Peruncit Bergerak yang berniaga dengan menaiki van atau bot. Secara tidak langsung ganjaran KMM itu akan mewujudkan satu pasaran yang belum pernah wujud sebelumnya. Bila pasaran baru muncul, para usahawan akan mengekori seterusnya tidak kira sejauh mana terpencilnya kawasan itu.

Pb tidak dibenar mengeluarkan wang tunai kepada Kk sebagai pertukaran debit pada MyKad. Semua urusniaga akan dicatatkan oleh Agensi untuk penilaian, ketelusan dan perancangan masa depan.

Memodenkan KMM

Sungguhpun tujuan utama cadangan ini adalah untuk mengatasi kesan kemiskinan melampau, matlamat jangka panjang sebenarnya ialah untuk memodenkan KMM dengan membantu golongan itu melompat keluar daripada belenggu buta huruf dan menjadi pengguna bijak. Bila kerap berurusan dengan Mentor dan Pb, KMM mula belajar berfikir dengan lebih berkesan untuk mendapatkan maklumat yang mereka perlukan. KMM juga akan lebih peka terhadap kepentingan menyimpan rekod. Sifat bertanggungjawab ialah manfaat sebenar cadangan ini.

Anggaran kos cadangan

Anggaran untuk kos melaksanakan cadangan ini memerlukan kajian teliti terhadap data yang tersimpan dalam beberapa bank data tetapi mungkin tidak pernah dikaji.

Masalah ini menjadi lebih rumit memandangkan paras pendapatan yang menentukan seseorang warganegara Malaysia hidup di bawah paras kemiskinan masih belum ditetapkan secara rasmi.

Kos sampingan untuk melaksanakan seluruh cadangan ini memerlukan peruntukan tahunan dan jumlah kakitangan AMKM yang ditetapkan mengikut sempadan Kawasan Perkhidmatan ditetapkan.

Pada peringkat permulaan kita hendaklah mempunyai anggaran kos yang berkesan untuk melaksanakan cadangan ini secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada kumpulan masyarakat yang paling miskin.

Cadangan ini hendaklah didahului dengan kajian perintis (pilot surveys) di beberapa kawasan perwakilan. Nisbah bilangan Kk yang diselia oleh setiap Mentor merupakan penentu penting untuk memastikan keberkesanan seluruh cadangan.

Secara keseluruhan, cadangan ini mengandungi empat unsur: pertama, kita perlu memastikan kefahaman dan penerimaan konsep asasi ini. Seterusnya kita hendaklah memastikan ia mencakupi semua KMM. Ketiga, cadangan ini hendaklah dilaksanakan dengan berkekalan. Akhir sekali, kita perlu menerima hakikat bahawa kejayaan sepenuhnya akan hanya boleh dicapai dengan berkesan, secara berperingkat-peringkat dalam tempoh beberapa tahun.

Pembaca perlu terima kenyataan bahawa penyampaian rangka cadangan ini berlakarkan suasana yang benar, tidak berat sebelah dan berasaskan uji kaji atau timbangan empirisis. Penyampaian itu harus tertumpu atau terfokus kepada matlamat asasinya.

Hasil kajiannya hendaklah dilapor kepada satu pasukan khusus yang berkekalan. Yang demikian, cadangan ini wajib dibaca sebagai satu saranan yang berdiri di atas empat pangsi.

Saya perlu tekankan bahawa cadangan ini bukan satu muslihat untuk memperkenalkan negara kebajikan (welfare state) atau seumpamanya. Ia semata-mata untuk memperbaiki masalah kemiskinan dalam satu sektor penting di negara Malaysia.

Akhir sekali, pihak di peringkat tertinggi kerajaan hendaklah mencari keseimbangan berperikemanusiaan di antara jumlah kos pelaksanaan cadangan ini dan kos sebahagian daripada projek prasarana atau alat bekalan tertentu yang mungkin boleh dianggap keutamaannya tidak begitu mustahak.

Secara ringkasnya, cadangan memperbaiki taraf KMM mempunyai tujuh manfaat:

1. Ia mencakupi semua warganegara yang mempunyai MyKad-KMM khusus.

2. Faedah kewangan dan lain-lain kemudahan akan dibahagikan sama rata dan secara langsung.

3. Cadangan ini akan mengubah tanggapan seluruh keluarga, mengurangkan sikap tidak ambil peduli atau apathy dan mencetuskan minda positif, proaktif di antara KMM.

4. Ia memberi fokus terhadap manfaat pemakanan dan kesihatan di kalangan kanak-kanak KMM yang sangat memerlukannya.

5. Tidak ada percanggahan di antara penyebab bantuan bukan kewangan dengan amalan perniagaan di Malaysia.

6. Ia membuka jalan bagi pembangunan ekonomi dan masyarakat yang tidak bergantung sangat kepada pihak lain.

7. Ia mampu memenuhi matlamat yang terabai sekian lama, iaitu membantu Bumiputera khususnya dan KMM secara amnya, supaya mereka boleh hidup berdikari.

Usaha merungkai masalah yang paling rumit boleh mencetuskan sinar baru terhadap penyebab kemiskinan yang wujud di negara kita.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Profil Facebook bantu majikan pilih pekerja


Jumlah gambar, rakan lambangkan potensi kakitangan

LONDON: Gambar serta profil seseorang dalam laman rangkaian web sosial Facebook mungkin dapat membantu bakal majikan untuk menetapkan sama ada orang berkenaan boleh menjadi pekerja yang baik.

Satu kajian terbaru menyatakan, majikan boleh mengetahui sejauh mana bagus seseorang itu untuk sesuatu pekerjaan berdasarkan kepada profil mereka di Facebook, lapor akhbar Daily Mail.

Dalam kajian berkenaan, penyelidik mengambil kira gambar, hobi dan bilangan rakan seseorang itu sebelum menjawab soalan mengenai ‘sejauh mana seseorang itu boleh diharapkan.’

Ini kerana, mereka mendapati wujud kaitan yang kukuh antara kejayaan seseorang dalam pekerjaan dengan beberapa elemen peribadi orang berkenaan yang didedahkan dalam laman Facebook.

Antaranya, termasuk bilangan rakan yang ramai, minat yang meluas dalam bidang tertentu selain gambar yang menunjukkan mereka kerap mengembara jauh, yang menunjukkan sejauh mana seseorang itu ‘sanggup mengambil langkah’.

Penyelidik juga mendapati bahawa gambar berparti secara keseluruhannya dilihat sebagai positif yang menunjukkan seseorang itu mudah bersosial.

Kaji selidik berkenaan dijalankan di Universiti Northeastern Illinois, Universiti Evansville serta di Universiti Auburn.

Penaja kajian turut meminta seorang profesor dan dua pelajar untuk melihat dan meneliti profil 56 pelajar lain.

Mereka meneliti setiap profil terbabit selama 10 minit dengan mengambil kira maklumat peribadi seperti gambar, komen, rakan dan minat.

Berdasarkan akhbar Wall Street Journal, mereka kemudian menjawab soalan mengenai personaliti seseorang itu, seperti ‘Adakah orang ini boleh diharapkan’ dan ‘Bagaimana kestabilan emosi orang ini?’

Enam bulan selepas itu, keputusan dibandingkan dengan penilaian majikan mengenai pemantauan pelajar berkenaan.

Penyelidik mendapati wujud hubungan kukuh antara prestasi kerja dengan markah yang diperoleh pelajar itu khususnya dari segi sikap berhati-hati, kebolehan dan ambil tahu.

Kajian berkenaan dilakukan ketika ada laporan mengatakan kemungkinan majikan meminta pemohon kerja mendedahkan kata kunci laman web Facebook masing-masing. – Agensi