Ahad, 18 Mac 2012

ISU GLOBAL : Derita kanak-kanak Palestin


Oleh Hafizahril Hamid

PADA 9 Mac lepas yang jatuh hari Jumaat, penghulu segala hari, sekali lagi peristiwa berdarah berlaku di bumi Palestin. Tidak ada musuh sekejam Israel yang berterusan menyerang, membunuh dan memusnahkan bukan sahaja harta benda malah meremukkan hati dan perasaan warga Palestin yang cukup menderita selama ini.

Luka dan penderitaan yang telah lama ditanggung mereka langsung tidak diendahkan tentera Yahudi. Malah semua itu dianggap sebagai satu 'kewajipan' yang perlu dilakukan kerana bagi mereka darah penduduk Palestin adalah halal untuk dibunuh.

Serangan kali ini dilancarkan oleh rejim Zionis yang mendakwa pejuang Palestin di Gaza melancarkan kira-kira 200 roket ke arah selatan Israel sejak pertempuran meletus berikutan tindakan Israel membunuh seorang pemimpin pejuang Palestin yang dituduh berkomplot untuk menyerang Israel dari wilayah Mesir.

Sehingga ke hari ini dianggarkan lebih 35 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan udara tentera Israel terhadap penduduk di wilayah Genting Gaza.

Lebih menyedihkan walaupun perjanjian gencatan senjata antara pejuang Palestin dengan tentera Israel telah dipersetujui namun ia tidak memberi apa-apa makna kepada rejim Zionis itu.

Gencatan senjata yang dicapai menerusi perantaraan Mesir itu diumumkan oleh seorang pegawai keselamatan kanan Mesir di Kaherah pada Selasa lepas.

Walaupun kumpulan pejuang Palestin yang terlibat, Jihad Islam dan Jawatankuasa Perjuangan Popular (PRC), dua kumpulan yang paling aktif terlibat dalam pertempuran komited terhadap gencatan senjata itu, tetapi pandangan mereka langsung tidak dipedulikan oleh pihak Israel.

Bagaimanapun pergerakan Hamas yang memerintah Genting Gaza tidak terlibat dalam pertempuran dan kelihatannya mereka mahu mengelakkan konflik lebih besar dengan Israel.

Penderitaan Peristiwa malang di Palestin ini sememangnya dilakukan rejim Zionis tanpa mengira batas usia dan jantina.

Lebih malang lagi kanak-kanak dan golongan remaja yang baru mengenal dunia turut sama dihambat tentera Israel malah ada yang disumbat ke penjara hanya atas alasan remeh.

Patutkah mereka ini yang mewarisi perjuangan keluarga dengan hanya melontar batu dianggap terlalu bahaya sehingga perlu dimusnahkan dengan senjata berat Israel?

Tidakkah pihak terkutuk ini boleh mengukur keupayaan insan kerdil ini dengan kemampuan mereka yang jauh lebih moden lengkap pesawat canggih dan senjata terkini?

Pastinya ukuran itu sudah cukup jelas untuk membezakan keupayaan sebenar namun hanya kerana pihak Zionis ini begitu beria mengatakan bahawa mereka ialah insan dan kaum terpilih, nyawa rakyat Palestin seolah-olah langsung tiada nilai bagi mereka.

Setiap manusia yang mempunyai hati dan perasaan serta fikiran waras, sudah pasti tidak dapat menerima rakyat Palestin diperlakukan sebegini kejam.

Kisah mengenai penderitaan kanak-kanak di Palestin ini telah didedahkan oleh sebuah pertubuhan kebajikan membela kanak-kanak, Save the Children baru-baru ini.

Disyaki Pertubuhan tersebut mendedahkan majoriti tentera Israel sejak tahun 2000 menahan lebih 8,000 kanak-kanak Palestin di Tebing Barat. Ada antara mereka ini didakwa di mahkamah tentera seawal usia 12 tahun hanya atas tuduhan disyaki melontar batu.

Cukup menyedihkan apabila pertubuhan tersebut mendedahkan penderitaan kanak-kanak Palestin ini yang ditahan di penjara Israel setiap tahun mengalami mimpi buruk, terkencing malam dan berterusan berada dalam trauma walaupun selepas mereka dibebaskan.

Sehingga kini, 98 peratus daripada kanak-kanak yang ditahan itu mengadu dikasari secara fizikal atau lisan oleh askar Israel.

Mereka terpaksa melalui pengalaman perit yang meninggalkan kesan berpanjangan, kata penasihat program Save the Children, Eyad al-Araj.

Ujar Eyad, lebih 90 peratus daripada kanak-kanak itu mengalami gangguan jiwa dan sukar melupakan kekejaman yang dilakukan tentera Israel terhadap mereka.

Laporan ini dikeluarkan selepas pertubuhan itu membuat tinjauan terhadap warga Palestin yang berumur bawah 18 tahun dan pernah ditahan oleh tentera Israel.

Tinjauan itu adalah berdasarkan soal jawab yang dilakukan ke atas 292 kanak-kanak yang pernah ditahan dan kemudian dibebaskan oleh rejim Zionis itu.

Pada tahun lepas, 2,302 kanak-kanak ditahan, manakala pada tahun sebelumnya pula seramai 3,470 orang.

Buat masa ini terdapat 170 tahanan bawah umur masih berada di penjara Israel, berdasarkan data yang dikutip oleh pertubuhan hak asasi manusia Palestin, Defence for Children International (DCI).

Menurut laporan itu, penahanan ini telah membawa kesan yang sangat merosakkan terhadap kanak-kanak berkenaan, keluarga mereka dan masyarakat.

Ketua program perlindungan kanak-kanak Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Saudamini Siegrist turut membidas amalan Israel menggunakan mahkamah tentera untuk membicarakan tahanan Palestin bawah umur.

Bercanggah

Ujar Siegrist, tidak berlaku di tempat lain, kanak-kanak dibicarakan di mahkamah dan tribunal tentera kerana amalan ini sangat jelas bercanggah dengan perlindungan hak-hak kanak-kanak.

Pengalaman menakutkan ini dikongsi seorang remaja, Ahmad Dsouqi yang menceritakan bagaimana dia ditangkap di rumahnya di kem pelarian Jalazon dekat Ramallah dalam satu serbuan lewat malam pada tahun lepas. Ahmad hanya berusia 16 tahun ketika itu.

Katanya, dia dipukul semasa disoal siasat bagi tempoh yang lama, tidak dibenarkan keluar dari bilik tahanan dan akhirnya dipaksa mengaku membaling batu ke arah askar Israel.

Soalnya siapakah yang sanggup tampil membela nasib kanak-kanak ini di saat pemimpin dunia menutup sebelah mata atas kezaliman yang dilakukan rejim Zionis?

Lebih malang lagi, kala kanak-kanak Palestin ini menderita seksaan dan trauma pasca ditahan tentera Israel, bukan nasib mereka yang hendak dibela sebaliknya rejim Zionis yang dilengkapi senjata canggih pula yang beria hendak dilindungi keselamatan mereka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Umat Islam wajib memerangi LGBT


Oleh : Maulana Arrif

PERNAH ditulis di halaman ini pada 31 Julai 2011 mengenai perkahwinan sejenis di Amerika Syarikat (AS). ‘‘Enam ratus lima puluh sembilan pasangan dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan sejenis di New York pada 24 Julai 2011, mencatatkan rekod jumlah perkahwinan gay dan lesbian yang terbanyak dalam sehari.”

New York adalah negeri keenam di Amerika Syarikat (AS) yang ‘menghalalkan’ perkahwinan sejenis. Ini bermakna 44 negeri sahaja lagi di negara pengeskport ideologi demokrasi, kebebasan dan hak asasi itu yang belum mengiktiraf seks dan perkahwinan sejenis. Lambat-laun negeri-negeri lain juga akan mengikut jejak langkah New York. Logiknya hanya masa yang menunda pelaksanaan kebebasan yang amat bertentangan dengan syariat agama Islam ini.

Berita ini mungkin dibaca dengan senyum sinis oleh umat Islam di Malaysia. Pada akal kita, tidak mungkin budaya kuning yang Allah kutuk di dalam Quran itu akan menular ke Malaysia suatu hari nanti. Persoalannya adakah semua umat Islam benar-benar menjiwai dan beriman dengan al-Quran?

Senyumlah atau ketawalah. Syaitan-syaitan juga sedang ketawa. Banyak perkara yang dulu kita ketawakan sudah menjadi budaya tiruan di Malaysia.

Hanya beberapa bulan kemudian, kecoh pula di Malaysia apabila polis mengharamkan sebarang perhimpunan atas nama Seksualiti Merdeka, satu gerakan yang sedang berusaha untuk mendapat kebebasan yang sama bagi pengikut-pengikut ‘kaum Nabi Luth’ di Malaysia. Pergerakan itu telah merancang untuk mengadakan program khas pada 2 hingga 13 November 2011.

Seksualiti Merdeka menuntut kebebasan seks bukan sahaja bagi sesama lelaki dan sesama perempuan. Mereka juga menuntut kebebasan bagi seks semua jenis (termasuk pondan) yang dinamakan LGBT, akronim bagi Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender. Nauzubillah!.

Menurut laman sesawang khas yang diwujudkan khusus bagi program itu, Seksualiti Merdeka adalah gabungan kerjasama individu dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam Malaysia, SUARAM, Empower, PT Foundation, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amnesty International.

Program itu gagal kerana polis bertegas. Tetapi percayalah bahawa mereka akan cuba lagi pada tahun ini dan pada setiap tahun mendatang. Jika suara mereka semakin kuat, percayalah akan ada parti-parti politik yang tumpang sekaki untuk memancing undi.

Di AS juga gerakan LGBT ini dulunya ditentang kuat oleh masyarakat umum. Akhirnya jumlah pengamal LGBT bertambah besar dan mereka mengadakan demonstrasi di jalan raya untuk menunjukkan kekuatan angka bilangan mereka.

Melihatkan jumlah pengamal LGBT yang ramai, kumpulan-kumpulan politik pun terdorong membaca perkembangan dari sudut politik. Betapa gerakan LGBT boleh menjana undi yang mungkin dapat menentukan kemenangan mana-mana pihak dalam pilihan raya. Lalu enam negeri di Amerika Syarikat telah membenarkan perkahwinan sejenis.

Berwaspadalah kita di Malaysia kerana wabak yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Allah ini juga mulai merebak ke sini. Seksualiti Merdeka turut disokong secara terbuka oleh beberapa nama yang dikenali ramai. Ada tokoh politik yang secara terbuka menganggap undang-undang mengenai seks di luar tabie sebagai lapuk.

Cuma bahana LGBT ini masih di peringkat awal di negara kita. Namun pendedahan Mingguan Malaysia minggu lalu mengenai bilangan lelaki gay bertambah, wajar menambah kebimbangan mereka yang bimbang. Laporan-laporan susulan juga membayangkan kemungkinan budaya songsang ini mendapat sokongan daripada pihak-pihak luar yang mahu meruntuhkan kestabilan Malaysia.

Juga tidak mustahil jika pejuang-pejuang LGBT mendapat bantuan kewangan bagi menguruskan program-program Seksualiti Merdeka seterusnya. Pertukaran rejim (regime change) lebih mudah dilakukan jika serangan digerakkan melalui segenap saluran dan medan termasuk ke atas keutuhan agama Islam di Malaysia.

Jika benar laporan bahawa bilangan gay di Malaysia makin bertambah, pasti ada kalangan desperado politik yang sedang memikirkan bagaimana mahu menggembleng sokongan mereka untuk memenangi pilihan raya. Kini pengamal LGBT masih minoriti, tetapi dalam demokrasi ternyata kadangkala majoriti terpaksa tunduk kepada minoriti yang bersatu-padu.

Kita tidak boleh memandang ringan ancaman LGBT. Jika hanya kumpulan akhbar Utusan yang melalak dengan sokongan beberapa kerat NGO Islam, ancaman mereka akan bertambah kuat pada masa akan datang. Dan jika kekuatan iman dan pegangan agama dalam kalangan umat Islam semakin longgar, apa yang sedang berlaku di AS lambat-laun akan berlaku juga di Malaysia.

Amalan seks songsang bukanlah suatu noda baru. Al-Quran mencatatkan ia telah berlaku di zaman Nabi Luth yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim. Di Malaysia juga mungkin telah lama berlaku, tetapi secara sangat tersembunyi dan terpencil dalam kalangan segelintir manusia songsang.

Amat dikhuatiri apabila golongan ini sudah berani tampil secara terbuka menyatakan kesongsangan mereka dan menuntut diberikan kebebasan dan hak, sama dengan lain-lain hak sejagat. Inilah salah satu dimensi songsang demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia yang kelihatan disebarkan sebagai ‘agama baru’ untuk menggantikan agama-agama dulu termasuk Islam.

Sudah tentulah penyebaran ‘agama baru’ ini mendapat sokongan dan bantuan yang kuat daripada syaitan-syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak-anak Adam. Mereka ini adalah syaitan-syaitan manusia dan syaitan-syaitan yang tidak kelihatan.

Umat Islam tidak boleh memandang ringan ancaman LGBT kerana ia bertentangan dengan fitrah yang Allah kurniakan kepada manusia. Ini adalah fitrah yang ditanam oleh nafsu dan syaitan. Jika semua pihak sama ada kalangan agama, politik, pendidik dan ibubapa tidak peka, percayalah bahawa generasi mendatang akan dengan senang hati memeluk ‘agama baru’ yang songsang.

Boleh dikatakan kebanyakan orang ialah ibu bapa. Sebagai ibu bapa, janganlah berfikir bahawa ia akan berlaku hanya ke atas anak orang lain, bukannya anak-anak kita. Mentaliti begini hanya akan menolong penularan LGBT.

Islam adalah agama rasmi atau agama Persekutuan negara kita. Hanya Islam yang Allah redai sebagai agama yang menjamin kehidupan yang lebih baik dan kekal di akhirat kelak. Majoriti rakyat Malaysia ialah kita umat Islam. Jangan biarkan anai-anai LGBT meruntuhkan keutuhan Islam di Malaysia. Umat Islam wajib memerangi LGBT dengan apa jua cara sekalipun. Jika tidak, LGBT akan berkembang dan Allah akan menghukum kita.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PEMBANTU RUMAH ASING : Kalau semua nak berkira


Oleh Marhani Kamaruddin

TAK logik! Tak masuk akal! Rata-rata itulah reaksi rakyat Malaysia berhubung pengumuman syarat baru pengambilan amah Indonesia Khamis lalu.

Gaji minimum RM700, satu amah satu kerja khusus dan tambahan RM27 sehari jika bekerja hari rehat!

Memang pelik bin ajaib mendengarkan syarat-syarat yang diumumkan itu.

Soal gaji minimum RM700 tidaklah mengejutkan sangat sebab memang pernah disebutkan sebelum ini, tetapi bab satu amah hanya buat satu kerja yang membuatkan ramai rakyat Malaysia berang.

Jika mengikut pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia itu, terdapat empat kerja khusus iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Kalau hendak diikutkan skop bidang tugas amah, keempat-empat kerja itulah yang memang menjadi tanggungjawab mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah atau orang gaji.

Kalau kerjanya hanya memasak, dia bukan amah tetapi tukang masak. Kalau hanya mengasuh bayi, pun bukan amah tetapi pengasuh atau nama glamor di barat ialah nanny.

Kalau hanya mengemas dipanggil tukang cuci manakala kalau hanya menjaga orang tua, kerja itu selalunya dilakukan misi atau jururawat khas. Lazimnya mereka ini tak lebih sekadar peneman sebab kebanyakan masa hanya dihabiskan menghadap televisyen menonton sinetron.

Tukang cuci, tukang masak dan pengasuh ini kecuali mungkin peneman orang tua, biasanya tidak tinggal sekali dengan majikan kerana mereka bukan amah.

Di Malaysia, sudah ada khidmat tukang cuci warga Indonesia yang datang ke rumah dengan bayaran sekitar RM50 sehari. Maklumlah rumah bukan perlu dicuci setiap hari. Setakat hendak mengemas, mengemop lantai dan menyapu sampah tidaklah mengambil masa terlalu lama. Jadi tukang cuci atau kemas rumah ini selalunya tidak datang setiap hari, paling tidak pun tiga kali seminggu. Ruang lingkup tugas mereka pula biasanya termasuk membasuh dan menggosok baju.

Begitu juga dengan memasak, apa sangatlah yang hendak dimasak sepanjang hari di rumah kecuali majikan itu menjalankan perniagaan makanan. Itupun mereka sepatutnya mengambil pembantu kedai bukannya pembantu rumah.

Kerja mengasuh bayi pula, jarang sekali tugas itu dilepaskan 100 peratus kepada pembantu rumah sebaliknya hanya ketika majikan pergi bekerja. Sebab itu untuk membayar RM700 kepada seorang amah hanya untuk mengasuh bayi memang sukar diterima. Apatah lagi upah pengasuh di Malaysia rata-ratanya sekitar RM250 sebulan.

Sekali lagi yang pasti, pengasuh tidak tinggal sekali dengan majikan kerana mereka bukan amah.

Jadi apabila ketetapan satu amah dengan hanya satu kerja khusus tetapi perlu dibayar gaji minimum RM700 belum dikira tambahan RM27 hari cuti diumumkan – tidak hairanlah ramai yang naik angin.

Toleransi

Penulis percaya tidak ada seorang majikan pun yang gembira dengan syarat baru itu.

Walaupun Menteri Sumber Manusia yang bertanggungjawab dalam rundingan penetapan syarat baru itu menafikan Malaysia pernah bersetuju dengan ketetapan tersebut malah menegaskan; “Ia sesuatu yang tak berasas” – sukar untuk menelan penafian itu apatah lagi pengumuman keluar dari mulut bukan calang-calang pegawai tetapi berpangkat tinggi dalam Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia. Tentulah kata-katanya sudah dianggap dasar oleh rakyat Indonesia.

Persoalannya macam mana beliau boleh sewenang-wenangnya mengumumkan ketetapan rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama antara dua kerajaan jika ianya tidak benar? Adakah seperti yang sudah-sudah, kenyataan dibuat sekadar untuk meraih sokongan politik, untuk mendapat pujian kerana menjadi pembela nasib perempuan negara itu yang bekerja sebagai amah di rantau orang?

Peliknya, seorang sahabat di Jakarta memberitahu berita tentang ketetapan terbaru tersebut tidak mendapat tempat pun di muka utama akhbar-akhbar republik itu. Malah isu satu amah satu kerja tidak disentuh langsung. Apa yang diberi tumpuan hanyalah soal gaji minimum RM700.

Apakah media negara itu benar-benar tidak peduli dengan isu ini? Mustahil kerana merekalah yang sebelum ini beria-ia memperbesarkannya.

Walau apa pun permainan media seberang dalam isu amah ini, apa yang pasti, pengumuman tentang ketetapan baru oleh pegawai tinggi buruh Indonesia itu menyerlahkan sikap sebenar sesetengah pihak termasuk pemimpin negara itu.

Ada yang sanggup menangguk di air keruh dengan membuat kenyataan mengelirukan, tanpa mengambil kira kesannya terhadap hubungan baik dua hala, semata-mata untuk meraih sokongan. Toleransi dan semangat setiakawan sebagai negara tetangga yang sepatutnya saling memakmurkan diketepikan,

Kenyataan tentang ketetapan baru itu sama ada berasas atau tidak, sudah meledakkan impaknya.

Sebagaimana pihak Indonesia dilihat berkira dalam skop kerja amah negara itu, pihak majikan di sini pun nampaknya sudah menimbang untuk bertindak serupa. Ada yang mengungkit hendak mengenakan caj bilik, makan minum, bil air dan elektrik menonton sinetron selain tiket balik kampung yang selama ini ditanggung dengan sukarela oleh mereka.

Memandangkan selepas ini, amah Indonesia yang kerjanya mengemas, mengasuh bayi atau menjaga orang tua tidak dibenarkan lagi masuk dapur memasak, tentu payah hidup mereka jika majikan mula berkira dengan mencatu makan minum mereka.

Malang sekali platform yang diwujudkan oleh kedua-dua kerajaan untuk merundingkan ketetapan yang sepatutnya disepakati bersama menjadi medan untuk menekan sebelah pihak sahaja.

Kita akui ada segelintir majikan yang melayan pembantu rumah mereka umpama hamba. Namun lebih ramai yang menerima mereka seperti keluarga dan tidak pernah berkira soal duit yang keluar untuk makan minum amah, tambah nilai telefon prabayar, barangan penjagaan diri, baju raya dan sebagainya.

Jika benar ketetapan baru yang diumumkan itu hendak dilaksanakan, ia hanya mewujudkan suasana tidak harmoni antara majikan dan amah Indonesia.

Jalan terbaik menangani suasana tidak harmoni ini tentulah dengan tidak mengambil amah dari negara itu.

Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) sudah pun berkira-kira hendak beralih arah mengambil lebih ramai pembantu rumah dari negara sumber lain seperti selatan Thailand, Filipina dan Kemboja.

Di pihak kerajaan Malaysia, sebenarnya beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan pergantungan kepada amah ini. Mungkin sudah tiba masanya kerajaan sendiri mengambil inisiatif melatih rakyat kita, golongan ibu tunggal dan anak gadis dari kampung, empat bidang kemahiran khusus itu. Memandangkan rata-rata liat tinggal di rumah orang, tempatkan mereka di asrama.

Untuk menyelesaikan masalah pengasuh pula, mungkin kerajaan perlu mewajibkan nurseri atau pusat asuhan kanak-kanak dibuka di setiap premis pejabat kerajaan mahupun swasta. Setahu penulis, kerajaan telah menawarkan insentif pelepasan cukai kepada majikan yang menyahut seruan itu tetapi sambutannya kurang memberangsangkan.

Pinggan tak retak nasi tak dingin. Kalau pihak Indonesia menunjukkan sikap hendak tak hendak dengan menetapkan pelbagai syarat amah yang tidak munasabah, rasanya tidak perlulah kita terhegeh-hegeh membentang hamparan merah menyambut kedatangan mereka ke sini.

Sebagai majikan, kita juga mempunyai hak dan yang pasti, pilihan ada di tangan kita!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PEMBANTU RUMAH ASING : Mengurus amah Indonesia, seriuslah sikit!


Oleh : Zulkifli Hamzah

RAMAI membantah penetapan gaji minimum RM700 untuk amah dari Indonesia, apatah lagi dengan konsep kerja satu amah satu tugas. Sebagai bakal majikan yang sudah terlalu lama menunggu khabar gembira, ketetapan itu dianggap sebagai tidak masuk akal, tidak munasabah dan tidak boleh diterima.

Tetapi apakah kita di pihak yang mempunyai kuasa mendesak atau sekurang-kurangnya dalam kedudukan yang boleh membuat tawar menawar? Dalam apa juga keadaan Malaysia sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan.

Mahu menggaji amah dari Filipina, lagilah jauh daripada kemampuan. Yang ada pilihan dari Myanmar, India, Sri Lanka mahupun China. Ada yang telah mencuba tetapi nampaknya mereka tidak serasi dengan cara hidup keluarga di negara ini.

Sebelum ini kita juga ada mengambil amah dari Kemboja. Tetapi tiba-tiba negara itu membekukan penghantaran atas alasan yang selalu kita dengar - amah mereka didera.

Jadi, amah Indonesia masih menjadi pilihan yang terbaik. Walau apa pun yang kita rungutkan, kita masih boleh berkomunikasi dengan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ini. Kelebihan ini tidak ada kepada amah dari Myanmar, India, Kemboja, Sri Lanka mahupun China.

Komunikasi dengan mereka macam itik dengan ayam yang akhirnya susah payah dan pengorbanan menggaji amah yang sepatutnya boleh mengurangkan beban, timbul pula beban lain.

Sementara itu, amah Indonesia juga mempunyai pilihan untuk bekerja di negara lain yang permintaannya amat tinggi. Memang benar Malaysia menjadi pilihan tetapi tawaran gajinya kurang menarik. Contohnya di negara Asia Barat mereka menerima RM700, Hong Kong (RM1,400) dan Singapura (RM1,000).

Indonesia sangat memahami kedudukan terdesak Malaysia ini sehingga mereka mampu mengawal keadaan dan menguasai setiap rundingan mengenai pembantu rumah. Kelebihan lain ialah Indonesia tahu dan bertegas dengan apa yang mereka mahukan.

Mereka yang tetapkan satu amah satu tugas - tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah. Mereka juga yang tetapkan gaji minimum RM700 walaupun sebelum ini bersetuju dengan kadar antara RM600 dan RM800.

Sementara kita, tidak pernah terdengar pula cadangan dari Malaysia. Yang ada cadangan daripada Indonesia. Dan kita sekadar mampu memberi jawapan balas supaya cadangan mereka dapat dikaji atau dipertimbangkan semula.

Mungkin sebab itu ramai terkejut termasuk Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam. Satu amah satu tugas tiba-tiba muncul dan dikatakan dipersetujui oleh kedua-dua negara melalui rundingan dalam Pasukan Petugas Bersama (JTF) Khamis lalu di Jakarta.

Sekali lagi, kita tidak mendengar reaksi daripada wakil Malaysia dalam mesyuarat itu. Hanya Subramaniam yang menafikan Malaysia ada membuat persetujuan.

Memang kita boleh berasa kecewa dan beralih ke negara lain. Rasanya, bagi kebanyakan bakal majikan di Malaysia penantian selama sembilan bulan tempoh pembekuan amah Indonesia sejak Jun tahun lalu tidak berbaloi.

Jadi, tiba masanya untuk kita mencermin diri sendiri. Benarkah kita mampu menggaji pembantu rumah? Layakkah kita untuk menggaji pembantu? Jika tidak mampu atau tidak layak, carilah alternatif lain.

Jika dalam tempoh sembilan bulan ini kita mampu mencari jalan untuk tidak menggaji amah Indonesia, kenapa tidak untuk tempoh seterusnya? Jika ia benar-benar satu keperluan contohnya untuk menjaga orang tua, berkorban dan bersudah-payahlah sedikit untuk menyediakan RM700 sebulan dengan melepaskan perbelanjaan lain.

Gaji RM700 adalah tinggi, tetapi bukan kadar yang tidak munasabah terutama jika dibandingkan dengan upah yang mereka terima di negara-negara lain. Kita sepatutnya berbangga kerana selama ini amah gred C dan D yang datang dan bekerja di Malaysia.

Kini dengan gaji minimum RM700, Malaysia bakal menjadi negara tumpuan amah berkualiti. Kita juga tidak lagi akan diletakkan sebagai negara lekeh kerana menjadi negara lambakan TKI yang hanya mampu memberi gaji rendah kepada mereka.

Dengan gaji sebanyak itu, majikan boleh menuntut hanya pembantu rumah terbaik dan terlatih sahaja bekerja dengan mereka. Dengan ini diharapkan kes-kes penderaan atau pemerasan tenaga dapat dikurangkan.

Bukan lagi rahsia, ramai amah Indonesia sebelum ini dipaksa melakukan kerja-kerja lain termasuk di kedai atau di rumah saudara mara. Cara layanan majikan seperti inilah yang menyebabkan syarat seperti itu dikenakan oleh pemerintah Indonesia bagi melindungi tenaga kerja mereka.

Begitupun, isu satu amah satu tugas perlu dirundingkan semula oleh Malaysia. Sebagai pekerja yang tinggal dan makan minum di rumah majikan, sangat sukar untuk memisahkan mereka dengan tugas-tugas tertentu sahaja.

Mungkin tugas penjaga bayi atau orang tua boleh digabungkan dengan kerja memasak. Begitu juga mengemas rumah boleh digabungkan dengan tukang masak atau menjaga bayi. Ataupun lebih baik dibatalkan sahaja syarat yang tidak munasabah itu.

Rasanya tidak sukar untuk Indonesia memenuhi permintaan Malaysia ini. Benar, Indonesia boleh terus bertegas untuk membekukan penghantaran amah ke Malaysia, tetapi siapakah nanti yang akan rugi?

Yang lebih rugi dan menderita ialah tenaga kerja mereka yang sepatutnya produktif memberi sumbangan kepada pendapatan dan kesejahteraan negara. Di negara sendiri tiada pekerjaan, mengharapkan bekerja di negara asing tetapi tidak kesampaian.

Isu terbaru ini yang sudah lama tertangguh juga menunjukkan urusan amah bukan perkara mudah untuk diselesaikan. Siapa juga wakil Malaysia yang terlibat dalam JTF harus bijak selain tegas merundingkan setiap butiran perkara.

Silap perhitungan boleh membawa kepada kemarahan rakyat selain sudah tentu menjadi isu yang mengeruhkan hubungan dua negara. Dan setelah sekian lama menjadi kerikil dalam sepatu, kini kita terperangkap lagi dalam polemik berkaitan isu amah ini. Sampai bilakah ia dapat diselesaikan?

Atau sebenarnya ada pihak di Indonesia dan Malaysia yang sengaja tidak serius untuk menangani hal ini walhal ia telah banyak kali dibincangkan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara.

Sumber : http : //ww.utusan.com.my/

Sabtu, 17 Mac 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Malaysia perlu sedia perancangan lebih teliti


MALAYSIA bercadang mendapatkan tenaga elektrik daripada loji nuklear dan dua reaktor pertama dijadual beroperasi pada 2021.

Namun, kejadian pencemaran radioaktif di Fukushima, Jepun dan isu penyimpanan sisa nadir bumi dari kilang Lynas di Kuantan mengubah pandangan masyarakat negara ini.

Jika pihak berkaitan berjaya menangani isu Lynas, tugas memperkenal loji kuasa nuklear di Malaysia menjadi lebih mudah.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Dr Muhamad Lebai Juri, berkata selepas tragedi nuklear Fukushima Dai-ichi, penerimaan masyarakat terhadap teknologi itu berubah kepada isu keselamatan bahan radioaktif.

“Isu Lynas juga berkaitan dengan pengurusan sisa buangan kerana orang ramai belum dapat diyakinkan dengan teknologi penyimpanan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbincangan bertajuk Penggunaan Tenaga Nuklear: Adakah Malaysia Bersedia Dari Segi Keselamatan sempena Seminar Tenaga Nuklear anjuran Majlis Profesor Negara.


Nuklear Malaysia ditubuhkan pada 1972 untuk memulakan proses penjanaan kuasa nuklear sebagai sumber tenaga elektrik tetapi diabaikan selepas negara menemui minyak dan gas. Agensi itu kemudian bertukar sebagai institusi penyelidikan yang menggunakan aplikasi radiasi.

Muhamad Lebai berkata, jika fungsi Nuklear Malaysia diubah daripada institusi penyelidikan kepada organisasi sokongan teknikal (TSO), agensi itu perlu berfungsi untuk meneroka nadir bumi seperti torium dan urainium.

Nuklear Malaysia juga perlu membabitkan kepakarannya dalam kejuruteraan bahan api nuklear, teknologi reaktor dan pengurusan sisa radioaktif serta bahan api terpakai.

Beliau berkata, program tenaga nuklear adalah satu industri yang besar kerana selain TSO untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan, industri itu memerlukan industri kecil dan sederhana untuk mengeluarkan serta memproses semua komponen yang diperlukan dalam rantaian reaktor nuklear.

“Ini bukan saja memerlukan kewangan yang besar tetapi juga memerlukan ramai graduan dalam bidang kejuruteraan nuklear dan fizik nuklear.

“Kita tidak boleh bergantung pada universiti luar negara untuk melatih tenaga pakar ini tetapi institusi tempatan mesti memulakan program berkaitan.

“Adakah kita bersedia?” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Nota Hujung :

i. Di Jepun, terdapat 55 buah loji tenaga nuklear yang bertanggungjawab menyalurkan tenaga 49,467 megawatts (MW) kepada keperluan domestiknya. Kejayaan Jepun dan China telah mempengaruhi negara-negara di rantau berkenaan memiliki sumber nuklear seperti Korea Utara (enam loji), Korea Selatan (18 loji), Taiwan (lapan loji) dan China (40 loji).

ii. Sehingga ke hari ini, Malaysia bergantung pada bahan bakar fosil serta tenaga hidro untuk menjana elektrik. Namun, dengan harga minyak yang semakin meningkat serta bekalan minyak dan gas asli yang terhad, kerajaan Malaysia terpaksa mencari alternatif lain bagi memenuhi permintaan tenaganya.

iii. Buat masa ini, penggunaan elektrik di Malaysia ialah 14,000 megawatt sementara kapasiti maksimum negara ialah 23,000 megawatt.

iv. Kebiasaannnya jangka hayat loji tenaga nuklear ialah antara 50 tahun hingga 70 tahun.

BAHASAKU


Sedih hati tidak terperi
Bahasaku terus dibincang saban hari
Dibuang oleh bangsa sendiri
Dipandang hina dianggap duri

Dendam mereka terus membara
Bahasa Melayu dihapus segera
Bahasa asing diangkat gembira
Pemangkin ekonomi itulah diwara-wara

Orang luar minat memerhati
Bahasa Melayu dikaji teliti
Indahnya bahasa memikat hati
Mudah dipelajari bahasa jati

Pertandingan pidato mereka serta
Wahana bahasa Melayu mereka berkata
Fasih sungguh terkesima kita
Kesungguhan mereka jelas di mata

Tetapi pelik kita di sini
Bahasa rancu diguna kini
Alasan mudah asal difahami
Kesilapan bahasa tidak didalami

Terus berusaha pejuang bahasa
Bahasa Melayu ke arah mahawangsa
Dituturkan manusia peringkat antarabangsa
Baharulah puas menabur jasa

Selagi hayat berselimut badan
Semangat dan kemampuan harus sepadan
Perjuangan memartabatkan bahasa bukanlah edan
Tetapi kerja mulia tanpa sempadan

Jikalau kita yang berkesedaran
Biarkan bahasa sendiri bertaburan
Dihinjak disepak sifat yang baran
Gembira petualang itulah disaran

Peneraju negara ada peranan
Jadikan bahasa rakyat berkenan
Kaedah pelbagai jadikan saranan
Rakyat setia meneruskan perjalanan

Mujahid bahasa letih tiada
Semangat jihad kejap di dada
Bahasa dimartabat itulah agenda
Selagi dihina perjuangan berganda

Suara kita harus sekata
Bersatu dipimpin para pendeta
DBP mengaum semua celik mata
Pimpinan mantap kata dikota

Marilah kita gemblengkan tenaga
Memantapkan bahasa seisi keluarga
Ke dalam masyarakat diuar-uar juga
Agar mereka turut bersiaga

Jikalau bangsa ingin disanjung
Bahasa sendiri harus dijunjung
Bahasa asing simpan di anjung
Agar bangsa kekal hingga penghujung

Insan kerdil sekadar berbicara
Bahasa sendiri diangkat dikira
Agar didengari pimpinan berpengaruh suara
Pertahan bahasa dihindari dera

Bahasa bersantun dibibir pemimpin
Rakyat di bawah rasa terpimpin
Seni bahasa selembut zapin
Bukan sekadar dijadikan lampin

Andainya hilang bahasaku ini
Punah bangsa diisi guni
Ke samudera dihunjam dengan berani
Tinggal gemulah bahasa berseni

Benteng ampuh kitalah galang
Jiwa kebal sukar dihalang
Petualang datang akan dipalang
Bahasa keramat kan tetap gemilang

Hasil fikir,

Abdul Talib Hamid
Telok Panglima Garang
11 Mac 2012
Ahad, 10.59 malam

Sumber :http://kembarabahasa.blogspot.com/

ISU SOSIAL : Gapai kekayaan dengan hati tenang


ABU NUMAIR NAWAWI SUBANDI

Tentu masing-masing punya keinginan untuk menjadi kaya dan hidup serba mencukupi. Siapa tidak mahu kaya bukan? Ramai beranggapan sekiranya hidup mewah harta melimpah-ruah, sudah tentu hati akan senang kerana apa diingini akan tercapai. Itulah kebanyakan andaian yang digembar-gemburkan.

Hakikatnya, tidak sedikit orang yang hartanya banyak, gajinya lumayan, rumahnya besar, kerjayanya gah, keretanya tak cukup satu, tapi waktunya tiada yang lapang. Dia tak punya masa untuk berehat dan menjalankan tanggungjawab agamanya.

Dia terpaksa bekerja dan terus bekerja agar hartanya terjaga dan terus bertambah. Sampai satu waktu apabila hartanya sudah bertambah dan menimbun, dia lelah memikirkan bagaimana harus menjaganya agar tidak diusik orang. Namun hatinya masih tidak juga puas dan angan-angannya tidak pernah habis.

Orang seperti ini hatinya akan sengsara. Dia bekerja siang dan malam mengumpul harta yang tidak tahu entah berapa banyak lagi akan mampu memuaskannya.

Sudah ada rumah besar, dia mahu tambah besar lagi. Sudah ada kereta mewah, dia mahu kereta lain yang lebih mewah lagi. Hatinya sering berasa kekurangan dan jiwanya selalu membentak.

Sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah mengatakan, “Kalau seandainya anak Adam diberi sebukit emas, nescaya dia akan mengharapkan lebih banyak bukit emas lainnya, sehingga tidaklah yang memenuhi mulutnya melainkan tanah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dengan keadaan seperti ini, tidak tepat jika kita katakan kekayaan itu adalah dengan melimpahnya harta bersama segala macam kemewahan.

Sebaliknya amat tepatlah apa yang diungkap oleh junjungan mulia kita Muhammad SAW dalam sabdanya, “Bukanlah kekayaan itu diukur dengan limpahan kemewahan dunia. Tetapi kekayaan itu adalah kayanya hati.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya apa yang dinamakan kaya adalah kayanya hati, dan faqir adalah faqirnya hati (yang tidak pernah berasa cukup).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda, “Redhalah dengan apa yang ALLAH berikan kepadamu nescaya engkau menjadi orang yang paling kaya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Sebenarnya kekayaan tidak akan dirasai dengan limpahan harta. Sebaliknya kekayaan akan terkecap apabila hati sentiasa berasa cukup, puas, syukur, lapang, tenang, dan senang terhadap segala kurniaan ALLAH.

Lalu dengan harta itu menjadikan dirinya mampu melaksanakan agamanya. Seorang mukmin yang kaya adalah yang sentiasa berasa cukup dengan harta yang dimilikinya lalu dia menggunakan harta tersebut untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhannya.

Apabila memiliki kenderaan, dengan kenderaan tersebut dia menuju masjid di setiap waktunya. Apabila dikurniakan harta, dia menjaganya, menghargainya, memanfaatkannya, melaksanakan kewajipannya, dan membelanjakannya dengan jalan yang halal. Apabila dia memiliki makanan dia memakannya sebagai bekal tenaga untuk beramal dan menjalankan kewajipannya.

Apabila memiliki wang dia belanjakan wang tersebut untuk keperluan diri, keluarga dan agamanya. Dia tidak keterlaluan dengannya dan tidak pula membazir dengan apa yang tidak diperlukannya. Dia bijak membahagikan harta antara keperluan, amalnya, menuntut ilmu, dan melaksanakan agamanya. Jika diberi kelebihan dia mampu bersedekah, berzakat, dan membantu golongan memerlukan.

Sebagaimana kata Rasulullah SAW, “Sesungguhnya harta itu ibarat tanaman hijau yang manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar lalu meletakkannya dengan cara yang benar, maka harta tersebut adalah sebaik-baik penolong baginya. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara tidak benar, maka dia seperti orang yang makan tetapi tidak pernah berasa kenyang.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kalau dikenangkan baik-baik, betapa ramai manusia di luar sana yang kaya-raya, hartanya melimpah ruah, tetapi tidak mampu membeli masa untuk agama dan keluarganya. Ada pula yang semakin banyak harta dimiliki semakin banyak pula dia berseronok dan membeli yang haram. Akhirnya kerana harta yang melimpah dia pun meremehkannya lalu berbuat perkara sia-sia.

Para ulama mengungkap keadaan manusia seperti ini sebagai orang yang faqir lagi miskin hatinya. Imam Abu al-‘Abbas al-Qurthubi mengatakan, “Orang yang disifatkan dengan kaya hati adalah orang yang selalu qona’ah (berasa serba cukup dan redha) dengan rezeki yang dikurniakan ALLAH.

Dia tidak tamak untuk menambahnya tanpa ada keperluan. Dia tidak memaksa-maksa dalam mencarinya dan tidak pula meminta-minta untuk mendapatkannya. Sebaliknya dia selalu bersikap redha dengan kurniaan ALLAH yang Maha Adil padanya. Oleh sebab itu dia pun seakan-akan orang yang berada.

Sedangkan orang yang miskin hatinya adalah apa yang berlawanan dengan sifat orang pertama tadi. Orang seperti ini tidak pernah berasa qona’ah terhadap apa yang diberi. Sebaliknya dia terus bekerja keras demi menambah hartanya dengan apa cara sekalipun (walaupun dengan cara yang haram). Jika dia tidak mendapat apa yang dikejar, dia berasa cukup sedih dan sesal

Seakan-akan dialah orang yang sangat faqir kerana dia tidak pernah berasa puas dengan apa dimilikinya. Inilah sebenarnya orang yang tidak pernah kaya.

Asasnya, kekayaan hati lahir daripada sikap yang sentiasa redha dan menerima setiap ketentuan ALLAH TAALA. Dia tahu bahawa setiap apa yang ALLAH kurniakan itulah yang terbaik dan lebih kekal. Sikap inilah yang mendidiknya agar tidak tamak.” (Fathul Bari, 11/272)

Jadi, hakikat kaya yang sejati bukanlah diukur dengan banyaknya harta, kerana ramai orang yang memiliki harta yang melimpah tetapi dia tidak berasa puas dan tenang dengan apa yang dikurniakan padanya. Sebaliknya dia berterusan bekerja keras menambah-banyakkan harta siang dan malam.

Hatinya sentiasa gusar dan fikirannya penuh angan-angan. Akibat sikap yang rakus, dia menjadi seakan-akan orang yang faqir. Walhal dia bukanlah orang yang tidak berharta.
Oleh itu, hakikat kekayaan yang sebenarnya adalah yang kaya hatinya, iaitu orang yang sentiasa berasa cukup dengan menerima setiap apa yang dikurniakan padanya dengan hasil usaha yang berpada.

Dia tidak rakus dan memaksa-maksa dirinya. Sehingga segala kudrat dan waktu dihabiskan mencari harta.

Tidak tercela menjadi kaya

Dari apa yang penulis ungkapkan di sini bukanlah bermaksud tidak boleh menjadi kaya dengan harta. Tetapi sebagai peringatan agar harta dicari dengan kadar yang bersesuaian di antara keperluan dan kewajiban. Nabi SAW bersabda:

“Tidak mengapa dengan kekayaan bagi orang yang bertaqwa, dan kesihatan bagi orang-orang yang bertaqwa itu lebih baik daripada kekayaan. Manakala kebahagiaan hati itu sebahagian daripada nikmat.” (Hadis Riwayat Ahmad. Dinilai sahih oleh al-Albani). Juga dalam hadisnya yang lain, “Sebaik-baik harta yang baik adalah milik orang yang soleh.” (Hadis Riwayat Ahmad. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Oleh itu, menjadi kaya bukanlah sikap yang tercela. Tetapi yang tercela adalah bila mana kita tidak pernah berasa cukup, syukur dan puas dengan apa yang dikurniakan oleh ALAH SWT, iaitu orang yang tidak ada kekayaan di hatinya. Sedangkan Rasulullah SAW mengatakan orang yang memiliki sifat qona’ah iaitu orang-orang yang sentiasa berasa kecukupan, syukur dan redha, mereka termasuk golongan yang sangat beruntung.

Kata Rasulullah SAW, “Sungguh beruntunglah sesiapa yang masuk Islam lalu dia diberikan rezeki mencukupi dan ALLAH menjadikannya bersifat qona’ah dengan pemberian tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim).

‘Abdullah bin Mas’oud mengatakan, Nabi SAW biasa berdoa dengan doa, “Ya ALLAH, aku meminta kepada-Mu petunjuk, sifat taqwa, menjauhi hal-hal terlarang, dan hati yang berasa cukup lagi tidak meminta-minta.” (Hadis Riwayat Muslim)

Akhir kata, sesiapa mampu meraih harta yang dengannya dia berasa qona’ah dan syukur, nescaya dia akan menggapai kekayaan dengan hati yang tenang. Walaupun tidaklah melimpah-ruah dengan segala bagai kemewahan, tetapi hasil sifat syukur dan qona’ah, pasti hidup menjadi serba cukup dan menenangkan. Wallahualam.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/