Rabu, 11 April 2012

ISU PENDIDIKAN : RM2.12 bilion biaya pengajian


Oleh Johari Ibrahim dan Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my

Kos bagi pelajar cemerlang SPM ikuti program dalam, luar negara

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM2.12 bilion untuk membiayai kos pengajian lanjutan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti program persediaan, Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN), tahun ini.

Ini termasuk bantuan kewangan (Bursary) secara automatik daripada Kementerian Pelajaran kepada 1,609 pelajar cemerlang SPM yang mendapat keputusan 9A+ ke atas.

Daripada jumlah itu 1,020 pelajar mendapat keputusan 9A+; 10A+ (492); 11A+ (90) dan 12A+ (7) yang akan mengikuti pengajian peringkat persediaan (prauniversiti) sebelum ditawar ke PILN atau PIDN.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemberian Bursary itu bagi mengiktiraf pelajar cemerlang SPM 2011 tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang.

“Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan cemerlang, tetapi tidak berjaya mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan cemerlang.

“Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai kekangan daripada segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, peruntukan termasuk penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kementerian itu untuk lima kategori iaitu Program Biasiswa Nasional (PBN), Bursary, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman, PILN dan PIDN pada 2014, iaitu selepas program persediaan.

Katanya, kerajaan menetapkan 50 pelajar paling cemerlang dalam SPM 2011 atau ‘crème de la crème’ mengikut senarai Kementerian Pelajaran akan memasuki senarai PBN untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan merit akademik.

“Calon terpilih akan ditawarkan biasiswa bermula peringkat persediaan hingga Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti disenaraikan JPA,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bagi program persediaan dalam negara ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di semua sekolah bantuan kerajaan; Matrikulasi iaitu program prauniversiti anjuran Kementerian Pelajaran bagi kursus persediaan jurusan Sains dan Perakaunan untuk melayakkan pelajar melanjutkan pengajian Ijazah Pertama pelbagai bidang di IPT dalam negara serta memohon IPT luar negara yang menerima kemasukan lepasan Matrikulasi.

Selain itu, program persediaan termasuk Asasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang lebih menjurus kepada pengajian di IPT tertentu dalam negara dan International Baccalaurate (IB) membabitkan program dua tahun atau A Level (12 hingga 24 bulan) yang juga program persediaan universal diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke IPT dalam dan luar negara untuk program Ijazah Pertama.

“Bagi kemasukan ke IPT awam dalam negara, kelayakan IB dan A Level hanya terhad kepada bidang selain bidang kompetitif (perubatan, pergigian dan farmasi).

“Bagi semua program prauniversiti tersenarai, pemberian Bursary tertakluk kepada pelajar sudah ditawarkan atau ditempatkan di pusat persediaan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Semakan dan pengemaskinian profil pelajar program Busary boleh dilakukan mulai 16 April dan pelajar lepasan Bursary akan ditawarkan penajaan PILN atau PIDN mulai 2014 di bawah anjuran JPA jika mereka memenuhi syarat.

Muhyiddin berkata, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman pula membabitkan penajaan JPA kepada 300 pelajar dalam bidang kejuruteraan ke negara terbabit.

Katanya, program penajaan ke negara itu amat diperlukan Malaysia bagi menyediakan modal insan mempunyai daya cipta, kreativiti dan daya saing tinggi, selain pemindahan pengetahuan dan teknologi tinggi.

“Pelajar yang ingin mengikuti program ini perlu memohon dalam talian melalui laman web JPA dan kriteria berdasarkan empat kategori dengan mengambil kira faktor kokurikulum, latar belakang sosio ekonomi keluarga dan temu duga.

“Disebabkan syarat kelayakan masuk ke IPT di negara itu menekankan kemahiran bahasa masing-masing selain pencapaian akademik, pelajar perlu mengikuti persediaan menekankan ciri khas diperlukan berbanding kelayakan biasa seperti IB dan A Level,” katanya.

Sementara itu, katanya, penajaan PILN di bawah JPA pada 2014 juga terbuka kepada pelajar cemerlang lepasan persediaan, antaranya STPM, A Level atau IB, yang tidak ditaja di bawah Bursary dengan syarat mendapat tempat di universiti terkemuka dunia diiktiraf kerajaan.

Penajaan JPA bagi PIDN pula membabitkan 10,300 pelajar lepasan mana-mana program persediaan bagi mengikuti Ijazah Pertama dalam program diiktiraf kerajaan sama ada di IPTA atau IPTS tempatan mengikut kriteria yang telah ditetapkan kerajaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Ikrar Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong


KUALA LUMPUR: Berikut adalah ikrar Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri, Istana Negara, hari ini.

"BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM, BETA ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBAHANAHU WATA'ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG. DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA, SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNANYA SETIAP MASA, AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA"

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perisytiharan bahawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Najib melafazkan: "BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM BAHAWA INILAH DIMASYHURKAN KEPADA SEKALIAN ORANG SERTA PENDUDUK NEGARA MALAYSIA IAITU DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA TELAH MEMILIH ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH, DAN PADA HARI, WAKTU DAN SAAT YANG GILANG GEMILANG INI, MAKA SERI PADUKA BAGINDA DITABALKAN NAIK TAKHTA KERAJAAN MENJADI TURUS NEGARA BAGI MALAYSIA DENGAN BERGELAR SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG." - BERNAMA

ISU EKONOMI : MCKIP pemangkin pembangunan negara


OLEH AZIM ABDUL RAZAK

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China, Wen Jiabao telah menghasilkan satu lagi langkah ke hadapan bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Pada 1 April lalu, kedua-dua Perdana Menteri secara bersama melancarkan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP), satu projek usahasama kerajaan Malaysia-China di kawasan pantai wilayah Guangxi.

Taman QIP merupakan kawasan strategik memandangkan ia terletak dekat dengan Pelabuhan Bebas Qinzhou bertindak sebagai akses paling mudah bagi barat daya China khususnya Kunming, bandar raya terbesar di wilayah Yunnan.

Taman QIP dibina di atas kawasan seluas 55 kilometer persegi selama 15 tahun, akan memainkan peranan sebagai pintu masuk kepada produk dan syarikat Malaysia menebusi pasaran domestik China yang luas.

Berikutan kejayaan melancarkan Taman Perindustrian Qinzhou, Najib mengumumkan penubuhan sebuah taman perindustrian sekutu di Malaysia iaitu Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) yang bertapak di Gebeng, Kuantan.

"Saya ingin melihat pembangunan sama seperti itu di Malaysia," kata Najib semasa melancarkan projek QIP itu bersama rakan sejawatannya Wen Jiabao di tapak projek itu di Qinzhou, kira-kira 150km dari Nanning, China.

Memetik pepatah Cina berbunyi "Satu generasi menanam pokok, generasi lain mendapat teduh", Perdana Menteri berkata beliau percaya pembukaan QIP China-Malaysia "menandakan permulaan era baru dalam kerjasama ekonomi antara negara kita yang mana generasi seterusnya bakal mendapat hasilnya."

Perdana Menteri juga berpuas hati dengan kemajuan pesat QIP selepas idea itu mula diilhamkan semasa lawatan Perdana Menteri China ke Kuala Lumpur, April tahun lepas.

"Realisasi pesat projek ini dalam hanya masa setahun - kelajuan luar biasa dengan impian ini menjadi realiti - merupakan bukti kepada semangat dan bertenaga serta komitmen bagi kedua-dua pihak dan hubungan ekonomi yang lebih luas dan mendalam antara kedua-dua negara kita," katanya.

Oleh itu, projek MCKIP di Gebeng, hasil inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G to G) dilaksanakan segera. MCKIP berada di dalam kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau East Coast Economic Region (ECER) dan akan membangunkan kawasan seluas 1,500 ekar atau 607 hektar.

Kuantan dipilih bagi projek ini kerana ia memiliki pelabuhan yang menghadap Laut China Selatan yang menghubungkan terus ke pelabuhan laut dalam Qinzhou. Perjalanan laut di antara Kuantan dan Qinzhou mengambil masa kira-kira tiga hari , manakala perjalanan udara tiga jam.

MCKIP diyakini akan menjadi pemangkin ekonomi kepada ECER, terutama Zon Ekonomi Khas ECER. Projek itu bukan sahaja akan menyediakan peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia dan China malah kepada syarikat-syarikat negara anggota ASEAN lain.

Ketua Pegawai Eksekutif East Coast Economic Region Development Council (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata kepada StarBiz, sektor swasta akan memainkan peranan bermakna dalam MCKIP, sementara ECERDC dan kerajaan negeri Pahang menyediakan sokongan infrastruktur.

"Pelabur akan mendapat insentif yang telah kita sediakan. Ini termasuk pengecualian cukai sehingga 10 tahun, dan kami bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memberi pelabur harga tanah yang kompetitif. Idea ini untuk memberi pelabur kos efektif dalam menjalankan bisnes pada peringkat awal," kata Jebasingam.

Idea MCKIP menguntungkan penduduk sekitar dan rakyat Malaysia apabila lebih banyak peluang pekerjaan yang dapat menjana pendapatan lebih tinggi melalui kehadiran kilang-kilang dan industri perkhidmatan sokongan yang lain.

Beberapa infrastruktur akan dinaik taraf umpamanya Pelabuhan Kuantan untuk menerima kemasukan kapal-kapal lebih besar.

Menurut Jebasingam, tahun ini menjadi titik perubahan kepada komponen ECER apabila Taman Halal Gambang dan Kluster Industri Minyak Sawit akan siap. Ini sebagai tambahan kepada Taman Automotif Pekan, dan hab petrokimia dan kimia di Kawasan Industri Gebeng.

Seperti mana Taman Perindustrian Qinzhou, MCKIP juga boleh menjadi satu projek ikon, akan menyaksikan kerjasama yang semakin meningkat antara sektor awam dan swasta kedua-dua negara.

Kalau di Qinzhou projek itu akan diterajui oleh sebuah syarikat konsortium dari Malaysia dengan diketuai oleh Kumpulan Rimbunan Hijau dan Kumpulan SP Setia Bhd manakala China diwakili oleh Guangxi Beibu Gilf International Port Group dan Qinzhou Jingu Investment Company, di Kuantan pula diharap ada peluang untuk syarikat bumiputera diberi ruang dan peluang untuk beroperasi..

MCKIP akan lebih fokus kepada kerjasama dan sinergi kalangan ahli perniagaan Malaysia-China. Oleh itu penting bagi komuniti bisnes tempatan mengambil kelebihan di Gebeng.

Industri sasaran di MCKIP ialah plastik dan peralatan logam, komponen automotif, pengeluaran besi tahan karat, fibre cement board, pemprosesan makanan, carbon fibre, electrik & elektronik (E&E), tekonologi maklumat dan komunikasi, produk pengguna dan tenaga diperbaharui.

Kesan pertumbuhan dicetuskan daripada MCKIP akan membantu mewujudkan aktiviti-aktiviti ekonomi lain. Ia mendorongkan lebih banyak pembeli dan penjual barangan dan perkhidmatan di samping membantu projek Greater Kuantan. Kerana lebih banyak peluang ekonomi dan lebih ramai sumber tenaga teknikal dan berdaya saing di MCKIP maka meningkatkan potensi pekerja mahir tinggal di Kuantan.

Secara langsung atau tak langsung, kesan MCKIP akan mewujudkan lebih peluang berkembangnya kedai runcit, restoran, sekolah dan kemudahan awam disediakan.

MCKIP diyakini dapat menyediakan peluang perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menjalin kerjasama lebih rapat dengan syarikat besar dari Malaysia atau China. Hubungan ini boleh diterjemah dalam rundingan bisnes dan perdagangan produk, pelanggan baru dan pewujudan lebih banyak peluang kerja.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 10 April 2012

ISU BAHASA : MBMMBI pilihan terbaik


Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my


Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sama-sama diberi keutamaan

KERAJAAN diminta bertegas dalam pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang bukan saja meletakkan bahasa Melayu pada kedudukannya mengikut Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris.

Sokongan parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama MCA dan GERAKAN sangat diperlukan bagi menentukan kejayaan MBMMBI bersama-sama dokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sekiranya mahu bahasa Melayu dimartabatkan.

Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata ketika ini MBMMBI menghadapi tiga halangan utama untuk dilaksanakan, meskipun hakikatnya perancangan dan dana program terbabit sudah diatur serta disediakan.

“Halangan itu daripada NGO, orang perseorangan dan parti politik yang cuba mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta menafikan MBMMBI sebelum sempat ia dilaksanakan.

Ia diburukkan lagi dengan kewujudan penutur bahasa Melayu yang yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini,” katanya pada Forum Bahasa Melayu: Keberkesanan Pendekatan MBMMBI Dalam Konteks Pendidikan di Sekolah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.

Prof Teo berkata, penutur bahasa Melayu perlu menyokong dasar MBMMBI kerana mereka memberi pengaruh besar terhadap sokongan masyarakat terhadap dasar berkenaan.

“Apabila orang Melayu sendiri menolak dan berasa tidak yakin terhadap bahasa Melayu sebagai alat untuk kemajuan negara, maka ia turut menghilangkan kepercayaan bangsa lain. Bahasa Melayu mampu berfungsi sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan kerana sudah memiliki pangkalan data yang lengkap bagi semua bidang termasuk sains dan teknologi,” katanya.

Pensyarah Fakulti Pengajian Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, menyifatkan tindakan menuntut diwujudkan pilihan untuk mempelajari Matematik dan Sains menggunakan bahasa Inggeris tidak bertepatan dengan matlamat menyatukan masyarakat menerusi Bahasa Kebangsaan.

“Pengwujudan pilihan bahasa Melayu atau Inggeris bagi mengajar subjek terbabit akan menjadikan kita ketinggalan dalam aspek penyatuan dalam kalangan masyarakat berbanding banyak negara lain di dunia yang menggunakan satu bahasa di sekolah.

“Kita akan ketinggalan dalam aspek berkenaan berbanding negara lain di Asia Tenggara, malahan Amerika Syarikat yang mempunyai kepelbagaian kebudayaan yang jauh lebih kompleks dari negara ini juga menggunakan hanya satu bahasa sebagai bahasa pendidikan mereka,” katanya.

Beliau berkata, dasar MBMMBI sesuai untuk dilaksanakan pada situasi semasa kerana walaupun usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu akan terus dilakukan, namun ia juga meletakkan bahasa Inggeris pada kedudukan yang betul.

“Sesetengah pihak menganggap kita hanya boleh maju jika menggunakan bahasa Inggeris kerana tidak melihat banyak negara lain yang bangkit dengan menggunakan bahasa sendiri. Bahasa Inggeris pada masa sama akan terus dimantapkan terutama dalam kalangan pelajar sebagai alat untuk menimba ilmu,” katanya.

Ketua Satu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, ketegasan adalah kunci utama bagi memastikan MBMMBI dapat dilaksanakan dengan berkesan dan diterima baik seluruh lapisan masyarakat terutama pelajar di sekolah.

“Dasar MBMMBI perlu dilaksanakan dengan tegas dan tuntutan yang dilaksanakan segelintir pihak yang kurang peka terhadap kepentingan Bahasa Kebangsaan tidak sepatutnya diutamakan,” katanya.

Beliau berkata, GAPENA sentiasa menyokong usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, apalagi sudah terbukti dasar PPSMI sebelum ini lebih banyak membawa kesan buruk.

“Walaupun tanpa dasar MBMMBI, bahasa Melayu masih perlu digunakan sebagai bahasa pengantar bagi mengajar di sekolah berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Menurut akta ini, semua pengajaran di sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi (IPT) perlu diajar dalam bahasa Melayu,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Dekatkan sastera kepada masyarakat


Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my


LANGKAH perlu diambil bagi membawa kesusasteraan lebih dekat kepada semua lapisan masyarakat menjadi tajuk utama perbincangan Forum Memasyarakatkan Sastera di Institut Pendidikan Guru, Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, Melaka, baru-baru ini.

Panel forum terbabit antaranya mengupas penggunaan pelbagai saluran penyampaian kesusasteraan yang boleh meningkatkan minat masyarakat dengan berkesan dan pentingnya sasterawan menghasilkan karya yang diterima baik masyarakat.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2000, Prof Madya Dr Lim Swee Tin berkata, penggabungan saluran penyampaian karya sastera perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya agar dapat dicapai lebih ramai individu dalam masyarakat.

“Penggabungan ini contohnya dapat dilakukan dengan menghasilkan filem atau drama pentas daripada karya novel yang baik. Contohnya Hujan Sudah Teduh yang diadaptasi dari novel ke telefilem atas cadangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diulang tayang beberapa kali atas permintaan penonton.

“Filem Ombak Rindu, Laskar Pelangi dan Adik Manja yang diadaptasi daripada novel juga antara contoh penggabungan saluran yang memberi kesan besar kepada masyarakat untuk mendekati karya sastera,” katanya.

Beliau yakin bahawa masyarakat perlu digalakkan menyertai perbincangan awam mengenai sesebuah karya sastera agar mereka dapat bertukar fikiran, manakala polemik dunia sastera dapat menyumbang kepada perkembangannya, di samping mendekatkan lagi masyarakat kepada karya yang baik.

“Sebagai contoh saya pernah menghadiri diskusi novel Siti Nurbaya di Indonesia dengan ahli panel dalam kalangan profesional yang bukan dari bidang sastera. Mereka membincangkan novel yang diterbitkan pada 1922 itu dalam konteks semasa dan terbukti ia masih relevan. Perkara itu boleh disifatkan sebagai sumbangan kesusasteraan pada masyarakat,” katanya.

Penerima Anugerah SEA Write 2010, Zaen Kasturi, pula memberi penekanan kepada sasterawan supaya menghasilkan karya yang dekat dengan masyarakat kerana pendekatan terbabit meningkatkan kemungkinan ia mendapat sambutan daripada pembaca kerana ia mewakili pengalaman mereka.

“Apabila kita bercerita mengenai diri kita, perkara yang dekat dengan kita dan apa yang boleh dilihat di sekeliling kita, ia akan menarik perhatian pembaca, sekali gus membawa kesusasteraan kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, beliau turut berpendapat pengajaran bidang seni dan kesusasteraan di institusi pengajian tinggi (IPT) juga boleh memberi galakan kepada memasyarakatkan sastera.

“Jika diperhatikan di Eropah, banyak graduan mereka yang mempelajari subjek ‘liberal art’ walaupun mereka mempelajari bidang yang tiada kaitan dengan kesusasteraan,” katanya tanpa menafikan memasyarakatkan sastera mungkin tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat kerana ia membabitkan proses yang memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

Mengupas peranan penulis wanita, Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, Raja Rajeswari Seetha Raman berkata, mereka biasanya akan mengangkat isu yang lebih dekat dengan mereka kerana kecenderungan kelompok terbabit menghasilkan karya berdasarkan pengalaman dan pemerhatian.

“Jika penulis lelaki ingin menceritakan masalah wanita hamil yang diangkat sebagai watak utama dalam novel, mereka akan mendapatkan pandangan daripada wanita lain. Namun penulis wanita boleh menulis mengenai perkara ini berdasarkan pengalaman sendiri,” katanya yang beranggapan pembaca memilih karya tidak berdasarkan jantina penulis.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 1,609 LULUSAN CEMERLANG SPM 2011 DAPAT DERMASISWA


KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memutuskan untuk menawarkan Bursary (dermasiswa) automatik kepada 1,609 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang memperoleh sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas.

Statistik pencapaian 1,609 pelajar itu adalah 9A+ (1,020 orang), 10A+ (492 orang), 11A+ (90 orang) dan 12 A+ seramai tujuh orang.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan akhbar sebentar tadi berkata, Bursary adalah bantuan kewangan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan (pra-universiti) sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.

Beliau berkata, pada tahun ini, bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar lepasan SPM pada 2011, semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas akan ditawarkan Bursary secara automatik oleh Kementerian Pelajaran tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latarbelakang.

“Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi tidak berjaya untuk mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan yang amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan yang cemerlang.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga mempunyai kekangan dari segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat.

“Bagaimamanapun, pada tahun ini, kerajaan mengambil keputusan untuk menawarkan Bursary kepada semua 1,609 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga meluluskan penajaan di bawah Program Biasiswa Nasional (PBN) kepada 50 orang pelajar paling cemerlang lepasan SPM 2011 di kalangan yang terbaik mengikut senarai Kementerian Pelajaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan kepada merit akademik.

Katanya, calon-calon yang terpilih akan ditawarkan biasiswa dari peringkat persediaan sehingga ke peringkat Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti disenaraikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagi kesemua program prauniversiti yang sudah tersenarai, pemberian Bursary tertakluk kepada pelajar sudah ditawarkan/ditempatkan di pusat persediaan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sila layari laman web Kementerian Pelajaran di www.moe.gov.my untuk membuat semakan dan pengemaskinian profil pelajar program Busary mulai 16 April, 2012.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Menjunjung Kasih Yang Dipertuan Agong ke-14


Esok, 11 April, 2012 Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah,yang menaiki takhta menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Terengganu, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ini adalah satu-satunya peristiwa kenegaraan tertinggi bagi Malaysia.

Peristiwa ini menepati kehendak Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memperuntukkan: "Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan..."

Frasa Kepala Utama Negara di bawah Perkara 32(1) itu tanpa sebarang keraguan atau kesamaran meletakkan Raja bagi Persekutuan Malaysia sebagai peneraju utama bagi negara ini.

Peruntukan ini yang telah sedia sedemikian semenjak berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, susulan kepada syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Lord Reid selaku pembentuk kerangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada masa yang sama, Perkara 32(2) pula memperuntukkan bahawa "Permaisuri Yang di-Pertuan Agong yang digelar Raja Permaisuri Agong adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong."

Sementara Perlembagaan Persekutuan menentukan format dan bentuk lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang terkandung di Jadual Keempat, Permaisuri Agong tidak dikehendaki melafaz apa-apa bentuk sumpah jawatan sekalipun Baginda diberi penarafan dan kedudukan tertinggi selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (SPBYDA).

Tuanku Abdul Halim adalah satu-satunya Sultan yang berpeluang ditabalkan sebagai SPBYDA bagi kali kedua. Baginda menduduki takhta SPBYDA kelima bagi tempoh 1970 hingga 1975, tempoh yang ditransisikan masing-masing oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra dan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein. Tuanku Abdul Halim adalah kemanakan kepada Tunku.

Dalam konteks sejarah, Tuanku Abdul Halim juga menempa sejarah. Perdana Menteri dalam tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini ialah Tun Abdul Razak. Kini anakandanya, Datuk Seri Najib pula sebagai Perdana Menteri.


Baginda adalah SPBYDA pertama yang mula bersemayam di Istana Negara Baru.

Pada majlis gilang-gemilang 11 April, SPBYDA yang ke-14 akan menjalani semua acara tradisional diraja pada sebelah pagi hingga malam apabila santapan pertabalan diraja berlangsung.

LUNAS SEJARAH

Sebagai lunas perbandingan sejarah, jawatan Kepala Utama Negara seperti yang terdapat pada Perkara 32(1) pada mulanya dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid sebagai Yang di-Pertuan Besar - sesuatu yang mencerminkan cadangan Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pertama Malaysia susulan pengamatan beliau setelah meneliti sistem Raja bergiliran di Negeri Sembilan.

Sebagaimana dimaklum, di Negeri Sembilan para Undang Yang Empat sebagai "Rulers" atau Pembesar-pembesar Memerintah tempatan memilih seorang Raja bagi negeri itu mengikut peraturan adat di Negeri Sembilan.

Apabila semua pihak yang mewakili Raja-Raja Melayu, Umno dan Perikatan serta pandangan pelbagai pihak, panggilan Yang di-Pertuan Besar diganti dengan Yang di-Pertuan Agong atas alasan supaya tidak timbul sebarang kekeliruan dengan Raja yang memerintah di negeri beradat itu.

Daripada sudut sejarah juga jelas bahawa jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah lahiran Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan kemudiannya disambung oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia (1963).

SPBYDA adalah berasaskan konsep Raja Berperlembagaan atau "Constitutional Monarchy" yakni Raja yang sentiasa kena mematuhi nasihat Jemaah Menteri atau salah seorang yang mewakilinya (biasanya Perdana Menteri) seperti yang dikehendaki Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Daripada sudut kuasa legislatif, SPBYDA adalah satu daripada tiga komponen yang mewujudkan Parlimen (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan SPBYDA). Parlimen di Malaysia tidak lengkap tanpa SPBYDA sebagai salah satu komponennya.

Justeru, Seri Paduka wajib menandatangani semua Rang Undang-Undang yang diluluskan kedua-dua Dewan.

SPBYDA perlu dianggap sebagai mercu perlambangan Ketua Negara yang paling tinggi lagi utama. SPBYDA sebagai Kepala Utama Negara merupakan mercu kedaulatan Malaysia.

Semua rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang agama, kebudayaan atau kepercayaan sedia terpanggil untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan terhadap SPBYDA. Benar, Seri Paduka adalah Raja berketurunan Melayu yang beragama Islam tetapi daripada sudut kenegaraan, SPBYDA adalah Raja bagi Malaysia dan rakyatnya.

Larasan yang paling mudah ialah Ratu Elizabeth di United Kingdom yang melambangkan pihak diraja bagi semua rakyat Britain yang sebahagian besar kini mewakili pelbagai kaum dan etnik.

Cuma Ratu Elizabeth tidak digilirkan kedudukan diraja baginda lantaran pemerintahan beraja secara Anglo-Saxon menjangkau 400 tahun lampau manakala Diraja Scotland dan England bersatu pada tahun 1603.

Selepas 11 April nanti, gambar rasmi SPBYDA Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan SPB Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan dipaparkan di semua pejabat rasmi Kerajaan di setiap negeri. Begitu juga halnya di semua 104 kedutaan Malaysia di seberang laut.


RAJA BERPERLEMBAGAAN

Konsep dan amalan Raja Berperlembagaan di Malaysia diterima dan disahkan oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Reid sebagai paling sesuai bagi negara ini.

Ini adalah kerana sebelum mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayulah yang memegang tampuk kekuasaan dan kedaulatan bagi setiap negeri.

Walaupun dalam proses pergolakan bersejarah, negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah berakhir dengan ketiadaan Raja, pemerintahan beraja terus-menerus beroleh pengiktirafan, khasnya di bawah pentadbiran kolonial British.

Selepas 1963 semua negeri yang tiada Raja (Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan) secara automatik menerima SPBYDA sebagai Raja Berperlembagaan walaupun tiada perisytiharan dibuat bagi maksud itu.

SPBYDA merupakan Raja yang memerintah mengikut nasihat cabang Eksekutif.

Seri Paduka sebenarnya mempunyai senarai tanggungjawab dan fungsi yang panjang lagi rumit bagi ketiga-tiga cabang Kerajaan - Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

Seri Paduka melantik Perdana Menteri, para Menteri dan Timbalan Menteri, Peguam Negara, para hakim mahkamah semua peringkat (kecuali mahkamah majistret) dan mentauliahkan para duta Malaysia untuk bertugas di kedutaan seberang laut.

SPBYDA menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia di samping bertindak sebagai pihak yang boleh mengampunkan atau menangguhkan hukuman bagi semua kesalahan yang dijatuhi mahkamah tentera dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Semasa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) masih berkuatkuasa, Seri Paduka boleh bertindak atas hal berkaitan rayuan daripada Lembaga Penasihat ISA.

Seri Paduka berkuasa, atas nasihat, mengisytiharkan sesuatu keadaan darurat menurut kehendak Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

MAJLIS RAJA-RAJA (MRR)

Majlis Raja-Raja (MRR) yang merupakan badan tertinggi diraja dan yang memilih SPBYDA dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 38. Walaupun hal-hal dasar kenegaraan juga boleh diagendakan untuk MRR, kebanyakan hal yang dipertimbangkannya adalah berkisar pada perkara-perkara kedirajaan, pengampunan, menangguhkan dan meringankan hukuman, adat-istiadat Melayu dan hal-hal yang berkaitan agama Islam.

Biasanya MRR juga memberi perhatian kepada pelantikan-pelantikan tertentu seperti para hakim dan peraturan-peraturan yang diperbuat di bawah Perkara 32 mengenai perkhidmatan awam. Pendeknya SPBYDA terlibat dalam banyak hal dan urusan berkaitan jawatan SPBYDA sebagai Kepala Utama Negara.

PROGRAM

Program-program khas dari 11 April hingga 21 April tentunya mendapat perhatian rakyat. Walaupun daripada segi amalan dan susunannya tidak banyak berbeza daripada amalan perayaan yang dijalankan pada masa lampau lantaran perlu menjejak turutan tradisi, penegasan Jawatankuasa Induk Pertabalan SPBYDA tertumpu kepada tema "Raja dan Rakyat Berpisah Tiada".

Istiadat pertabalan yang bakal dihadiri semua kerabat diraja dan Yang Dipertua Negeri pada 11 April akan diadakan mulai pukul 9 pagi.

Ringkasnya, tema ini menegaskan perihal "tiada rakyat tiada Raja" dan hubungan antara kedua-dua entiti itu harus dipelihara dengan cermat lagi berkesan dalam ertikata kepentingan rakyat tidak diabaikan.

Sementara itu institusi Raja Berperlembagaan sentiasa dipelihara dan dihormati.

Pada 12 April (Khamis) diadakan bacaan Yassin di Masjid Negara dan disusuli dengan khutbah khas pada Jumaat 13 April.

Dijadualkan juga acara-acara keagamaan lain yang memberi ucap selamat untuk SPBYDA melalui sesi agama kaum masing-masing.

Satu pertandingan golf akan diadakan pada 14 April (Sabtu) di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, mulai pukul 7.40 pagi.

Pameran Raja Kita pada 15 April (Ahad) mulai pukul 11 pagi di Istana Negara Lama dijangka menarik minat rakyat. Pameran ini memuatkan pelbagai aspek pemerintahan beraja dan institusi SPBYDA semenjak merdeka 1957 hinggalah ke hari ini.

Sempena pertabalan ini, kira-kira 50,000 buku kecil "Raja Kita" akan diedarkan khasnya bagi pelajar sekolah serta generasi muda untuk mengenal dan memperhalusi ilmu pengetahuan darihal institusi diraja khasnya SPBYDA.

SPB Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan meraikan sekumpulan kanak-kanak di Dewan Serbaguna Istana Negara Baru pada 21 April mulai pukul 9 pagi.

Pelbagai acara keceriaan kanak-kanak akan berlangsung sekali gus menggagaskan kepentingan kanak-kanak yang dilayani dengan penuh mesra.

Program raksasa "Persembahan Raja dan Rakyat Berpisah Tiada" sebelah malam 21 April di Dataran Merdeka adalah kemuncak perayaan pertabalan.

Pada malam itu diketengahkan pelbagai persembahan budaya pelbagai kaum, hiburan muzik serta nyanyian dan acara-acara selingan yang setimpal dengan malam kemuncak kepada perayaan Raja Kita.

KEUNIKAN

Apa yang akan dilangsungkan bagi tempoh 11 hingga 21 April tentunya akan menonjolkan satu keunikan bagi masyarakat yang berpaksikan Komuniti 1Malaysia: kita satu dalam kepelbagaian.

Kita bersatu dalam menentukan matlamat kenegaraan dan kita berani berbeza pendapat untuk melahirkan yang terbaik untuk Malaysia. Dalam usaha inilah institusi diraja - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi paksi keutuhannya.

Seri Paduka bukan sahaja lambang kenegaraan, keutuhan dan kesatuan tetapi juga simbolisme yang penuh daulat. Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.

Rakyat dan Raja Berpisah Tiada.

Penulis ialah Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan merangkap Pengerusi Pertabalan SPBYDA ke-14

Sumber : Bernama