Sabtu, 14 April 2012

ISU KENEGARAAN : Mencari wakil rakyat ‘berjiwa rakyat’


Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my


TANYALAH kepada sesiapa saja dan kaum apa sekali pun, kebanyakannya kenal Tan Sri Lee Lam Thye, walaupun beliau bukan wakil rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang itu adalah contoh bekas Yang Berhormat yang begitu popular bukan saja di kalangan pengundi di kawasannya dulu hingga sekarang, tetapi kepada ramai rakyat. Selepas meninggalkan DAP, Lam Thye hingga ke hari ini terus bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan bukan politik (NPO). Beliau dilihat di mana saja dan muncul di media kerana mudah didekati.

Berkesempatan berbual dengannya baru-baru ini, beliau masih bercakap soal rakyat. Beliau bercakap soal kebajikan rakyat, isu gejala dadah, moral dan disiplin remaja, pembelaan terhadap golongan miskin bandar dan topik lain bukan politik yang dilihatnya memerlukan perhatian serius. Jika ada pun disentuh soal politik, Lam Thye hanya ingin tahu bila pilihan raya akan diadakan?

Memang ada pihak mahukan beliau aktif semula dalam politik, malah menawarkan beliau menjadi calon, tapi baginya, segala-galanya sudah berlalu. Walaupun bukan lagi wakil rakyat, rutin hariannya tetap sibuk seperti mana ketika menjadi wakil rakyat dulu.

Dulu, ada kalanya seawal jam 4 pagi beliau sudah keluar rumah jika ada orang memanggil apabila berlaku banjir, kebakaran, kecurian atau kemalangan. Hari ini, tugasnya tidaklah seteruk dulu tetapi jika diberitahu, beliau tetap ada bersama.

Beliau terus menerus menerima undangan untuk hadir ke majlis yang dianjurkan sama ada oleh NGO, kelab, badan sukarela, persatuan penduduk, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan sebagainya. Jika tidak ada temu janji atau majlis yang ditentukan lebih awal, Lam Thye tetap akan hadir walaupun acara yang kecil membabitkan beberapa orang saja.

Tandatangan beliau masih diminta ramai orang untuk pelbagai tujuan. Walaupun memberitahu mereka yang tandatangannya tidak lagi bernilai, masih ramai mahukan tandatangannya. Mereka yakin tandatangan Lam Thye boleh membantu meringankan urusan mereka.

Malah, orang Islam yang ingin bantuan untuk urusan menunaikan haji pun meminta tandatangan beliau. Bagi kebanyakan rakyat, mesti ada sebab mereka selesa berhubung dengan Lam Thye. Jawapan mereka mudah – Lam Thye ialah pemimpin berjiwa rakyat.

Jika Lam Thye bertanding dalam pilihan raya atas kerusi apa sekali pun, peluang beliau menang adalah sangat besar. Untuk menjadi pemimpin berjiwa rakyat seseorang perlu mengenal pasti dan mendalami masalah rakyat serta sentiasa bersama mereka masa senang atau susah.

Walau sekecil mana pun masalah rakyat, perlu cuba dibantu. Bila berbual dengan rakyat, isu perbualan mestilah mengenai rakyat dan bertanya masalah mereka. Jika umat Islam, berjemaah bersama mereka dari satu masjid hingga ke surau yang lain. Dengan bukan Islam, hubungan dengan mereka boleh dilakukan dengan pelbagai cara sesuai untuk mewujudkan kemesraan.

Untuk menjadi pemimpin berjiwa rakyat tidak perlu wang yang banyak. Mereka perlu sentiasa memberi senyum dan menegur rakyat bila berjumpa. Senyuman tidak perlukan wang dan menegur orang, tidak memerlukan modal. Pemimpin berjiwa rakyat tidak pernah menarik muka masam bila bertemu rakyat dan bila membantu mereka, dilakukan dengan ikhlas.

Rakyat pun tahu, tidak semua masalah boleh diselesaikan oleh wakil rakyat tetapi mereka mestilah membantu sedaya mungkin dan membuktikan kesungguhan berbuat demikian. Sudah tentulah, mereka perlu berada bersama rakyat ketika senang dan susah, hadir kenduri-kendara atau kematian.

Inilah antara ramuan paling berkesan yang perlu ada pada setiap pemimpin khasnya wakil rakyat, terutama mereka yang bermastautin bersama rakyat di kawasan masing-masing. Bagi mereka yang mempunyai tugas lebih besar pada peringkat Pusat, tanggungjawab mereka kepada rakyat adalah berbeza.

Jika seseorang pemimpin diiktiraf sebagai pemimpin berjiwa rakyat, disokong pula dengan parti yang mereka wakili mengambil berat soal rakyat, tidak ada sebab mereka boleh tewas dalam pilihan raya. Tidak kira siapa calon yang bertanding sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Melanau, Dayak dan sebagainya serta apa juga bentuk komposisi pengundi di kawasan berkenaan, mereka yang berjiwa rakyat tidak perlu bimbang kerana rakyat akan memilih mereka atas dasar mereka adalah pemimpin berjiwa rakyat.

Adalah mustahil seseorang wakil rakyat yang sepanjang masa berada dengan rakyat waktu senang dan susah ditolak rakyat begitu saja.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Hubungan dua hala KL, London perlu terus dipertingkat


PERSAHABATAN Malaysia dan Britain yang agak terabai selama hampir 20 tahun kini diperbaharui semula dan meneroka era baru sempena lawatan Perdana Menteri Britain, David Cameron minggu ini. Malaysia dan Britain mempunyai jalinan perhubungan yang lama, malah sejak sebelum merdeka lagi. Justeru, tiada sebab kenapa hubungan akrab itu tidak dapat diteruskan demi kepentingan kedua-dua negara.

Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Britain tahun lalu, diikuti lawatan balas rakan sejawatannya, Khamis lalu sudah tentunya dapat menjurus ke arah membetulkan hubungan baik yang agak terganggu sedikit sebelum ini. Umum mengetahui bahawa kedua-dua negara mempunyai hubungan rapat ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher pada 1980-an dan awal 1990-an sehinggakan model dasar penswastaan yang diperkenalkan pada zaman Thatcher diguna pakai di negara ini. Dasar itu ternyata dapat mengurangkan perbelanjaan awam dan menjadikan sektor perkhidmatan utiliti lebih cekap dan berkesan.

Selain itu, Britain juga antara destinasi pengajian tinggi pilihan bagi kebanyakan pelajar Malaysia, sama ada yang ditaja kerajaan mahupun yang belajar secara persendirian. Seperti ditegaskan Perdana Menteri, kini ada kira-kira 54,000 pelajar Malaysia yang menyatakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dan mereka kini mempunyai pilihan untuk melakukan demikian di universiti serta kolej cawangan Britain di negara ini.

Dari segi hubungan ekonomi, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk meningkatkan lagi perdagangan dua hala dan menggandakannya kepada lapan bilion pound (RM39 bilion) menjelang 2016. Pada tahun lalu, Britain adalah rakan dagangan keempat terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan kira-kira RM9 bilion. Oleh kerana kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan bahawa tempoh yang dianggap sebagai terabai itu sudah berlalu, usaha kini perlu ditumpukan untuk memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, termasuk dalam isu keselamatan antarabangsa dan serantau.

Britain juga bersepakat untuk menentang keganasan dan gerakan ekstremisme global demi keamanan sejagat serta menolak tanggapan segelintir pihak yang mengaitkan Islam dengan keganasan. Kita berharap dengan termeterainya keyakinan baru dalam hubungan dua hala ini, Malaysia dan Britain akan dapat bekerjasama dalam banyak lagi bidang kepentingan bersama, termasuk latihan anggota keselamatan dan mengawal jenayah merentasi sempadan. Semoga dengan perkembangan terbaru ini, hubungan dua hala antara Malaysia dengan Britain akan terus terpelihara dan tidak terabai lagi pada masa akan datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Dugaan perkasa ketahanan diri


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my


Lima nilai utama corak keperibadian, akhlak Muslim

KALI ini saya ingin memulakan perkongsian dengan memetik firman Allah SWT bermaksud: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman. Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa.

"Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang yang beriman (dengan orang kafir) supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang yang zalim.” (Surah Ali-Imran, ayat 139-140).

Ayat ini berkait rapat dengan tip menghadapi tekanan, cabaran dan mengubahnya menjadi kejayaan yang dibahaskan dalam ruangan ini minggu lalu.

Keseluruhan ayat ini walaupun berkaitan Perang Uhud, namun peringatan Allah itu bermanfaat dalam membina ketahanan diri serta kekuatan dalam aspek kehidupan.

Imam Syed Qutb dalam tafsirnya fi zilal al-Quran mengatakan, hikmah cabaran, dugaan dan tekanan yang dilalui dengan ketahanan diri merangsang kekuatan dalaman yang terpendam. Ia mampu membuka rahsia hati tidak diketahui orang beriman kecuali melaluinya.

Ini menunjukkan dalam kesusahan itu ada ketahanan diri. Lima nilai utama yang boleh dihayati serta perlu dijadikan pedoman daripada ayat itu ialah supaya kita menguatkan ketahanan diri dengan tidak berputus asa, bersedih hati (sehingga melemahkan diri), menjaga anugerah darjat kemuliaan diri, menerima peredaran suka dan duka dengan tabah dan tidak berlaku zalim sesama manusia.

Kelima-limanya adalah tip berhadapan cabaran atau ancaman sekali gus memperkasakan ketahanan dalaman diri. Dalam kepesatan dunia berkembang serta berubah pantas, usaha memperkasakan ketahanan diri satu keperluan.

Daya ketahanan diri adalah keupayaan dan ketabahan bertindak dengan baik dan betul dalam kepelbagaian situasi atau keadaan mencabar. Sifat dan kekuatan ini tidak datang tiba-tiba dan tidak mudah dimiliki tanpa kesedaran, keinginan dan iltizam.

Seperti juga ketahanan fizikal, ketahanan spiritual berbeza mengikut watak dan karakter tersendiri. Namun karakter itu boleh dipengaruhi faktor antaranya penerapan sistem nilai, sistem sosiobudaya berteraskan iman, akhlak dan ilmu pengetahuan sejak kecil lagi. Semakin baik dan tinggi diterapkan dalam kehidupan semakin tinggilah daya tahan diri seseorang.

Menurut Profesor Dr Yusof Al-Qardhawi, jika senaman boleh menguatkan tubuh badan, ibadat boleh menguatkan roh dan ilmu pengetahuan menguatkan akal fikiran. Pembinaan ketahanan diri berasaskan ilmu, akhlak, iman dan amal ditekankan Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah sebagai kunci pembinaan tamadun bangsa.

Dalam Islam, pembinaan ketahanan diri melalui nilai iman dilatih menerusi ibadat seperti berpuasa pada Ramadan. Ia memperkasakan ketahanan diri dengan menahan lapar dan dahaga serta perkara membatalkan puasa semata-mata keimanan kepada Allah SWT.

Manakala pembinaan melalui nilai akhlak dilatih seperti bersabar apabila berhadapan cabaran pergaulan dan menghadapi kematian.

Sabda Rasulullah SAW: “Seorang Muslim apabila bergaul dengan manusia dan bersabar dengan keburukan (cabaran) mereka adalah lebih baik daripada Muslim yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar dengan keburukan (cabaran) mereka.” (Hadis riwayat Imam At-Tarmidzi)

Model ketahanan diri Rasulullah SAW dan sahabat wajar menjadi perangsang dan contoh teladan dalam meraih kejayaan antaranya, disebut Baginda SAW:
“Sesungguhnya aku mengalami kesusahan dan penderitaan selama berdakwah di jalan Allah yang tidak dialami siapapun selain aku. Aku juga mengalami ketakutan selama berdakwah di jalan Allah yang tidak dialami oleh siapapun selain aku.

Pernah (ada masanya di mana) selama sebulan penuh secara terus menerus aku dan Bilal tidak memperoleh makanan bernyawa kecuali (hanya sedikit) yang di kepit di bawah ketiak Bilal.” (Hadis riwayat Ahmad)

Gambaran ketahanan diri sahabat seperti Abdur Rahman bin Auf yang diberi pelbagai bantuan oleh puak Ansar, ketahanan Bilal bin Rabah diseksa tuannya Umaiyyah bin Khalaf, ketahanan diri Saidina Abu Bakr al-Siddiq berdepan golongan enggan membayar zakat, ketahanan diri Saidatina Khadijah binti Khuwailid berdepan keadaan Rasulullah SAW yang pertama kali mendapat wahyu.

Dalam dunia pekerjaan, jika memperkasakan ketahanan diri, ia bukan saja menjadikan kita sabar dan tabah tetapi dapat merealisasikan kerja secara berkualiti, menepati pelbagai dasar, peraturan dan panduan dalam perkhidmatan.

Ketahanan diri juga dapat menghindarkan daripada terjebak dalam penipuan. Pendek kata, ketahanan diri akan menentukan kualiti insan, menyumbang kepada tinggi atau rendahnya komitmen terhadap tugasan mencabar diberikan.

Sekali gus mampu mengawal keadaan dan memikirkan pelbagai alternatif dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Justeru, ingat kejayaan, ingatlah rahsianya ialah ketahanan diri.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 13 April 2012

ISU EKONOMI : Pertumbuhan ekonomi global semakin hambar


Perdagangan negara EU meleset, pasaran niaga China pudar

PERTUMBUHAN perdagangan global yang sudah pun lemah daripada yang diunjurkan tahun lalu, akan bertambah perlahan lagi tahun ini berikutan masalah kemelesetan negara Kesatuan Eropah (EU), sementara kadar pertumbuhan ekonomi yang dinamik di China pula semakin pudar, demikian mengikut Pertumbuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Badan perdagangan dunia itu berkata, kejutan ekonomi seperti krisis hutang zon euro menyebabkan pertumbuhan perdagangan dunia semakin perlahan tahun ini, iaitu kepada 3.7 peratus berbanding 5.0 peratus tahun lalu.

Pelbagai masalah yang berlaku sepanjang tahun lalu telah menjejaskan pertumbuhan perdagangan lebih daripada yang dijangkakan, demikian kata ahli ekonomi pada September tahun lalu perdagangan global akan berkembang 5.8 peratus bagi seluruh 2011.

Selain krisis zon euro, WTO turut menyatakan kesan gempa bumi Jepun dan tsunami serta banjir teruk di Thailand sebagai antara penyebab utama.

Tahun lalu, pertubuhan yang berpangkalan di Geneva itu mengunjurkan perdagangan global tumbuh pada kadar 6.5 peratus bagi 2011 selepas kembali mencatatkan peningkatan kukuh 13.8 peratus pada 2010 selepas krisis kewangan sebelumnya.

WTO menjangkakan perdagangan dunia akan kembali pulih sedikit menjelang 2013 dan seterusnya mencatatkan pertambahan pertumbuhan kepada kadar 5.6 peratus.
“Kini lebih tiga tahun sudah berlalu sejak kejatuhan perdagangan global pada 2008/2009, tetapi ekonomi dunia dan perdagangan kekal rapuh.

“Kadar perlahan itu dijangka berlanjutan pada 2012 dan semua ini menunjukkan bahawa risikonya kekal tinggi. Kita masih lagi belum keluar sepenuhnya daripada krisis kemelesetan,” kata Ketua Pengarah WTO, Pascal Lamy.

Unjuran terkini WTO itu memperlihatkan pertumbuhan dalam pengeluaran global tahun ini hanya berada pada kadar 2.1 peratus (turun daripada 2.4 peratus pada 2011) tetapi terdapat beberapa faktor risiko, seperti kemerosotan yang lebih teruk daripada yang dijangkakan di Eropah serta harga minyak yang semakin meningkat, bakal memberi kesan teruk kepada perdagangan global.

“Data pengeluaran baru-baru ini mencadangkan bahawa EU mungkin sudah pun berada dalam kemelesetan dan perkembangan ekonomi yang dinamik China juga turut akan perlahan tahun ini,” kata WTO. – AFP

ISU KESIHATAN : Akta Farmasi atasi lebihan ubat


Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my


Kementerian Kesihatan kerjasama dengan SKMM pantau produk tiruan

KUALA LUMPUR: Akta Farmasi yang sedang digubal dan menggabungkan lima akta sedia ada memberi kuasa kepada Kementerian Kesihatan menangani masalah lambakan ubat dan produk kosmetik tidak berdaftar dan tiruan, termasuk produk dijual secara online.
Akta itu juga memperuntukkan hukuman lebih keras, iaitu penjara minimum setahun dan denda minimum RM200,000, berbanding akta sedia ada yang memperuntukkan hukuman denda RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu menjual ubat dan kosmetik tiruan dan tidak berdaftar.

Menerusi akta itu kementerian akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau penjualan ubat tiruan dan produk kosmetik tidak berdaftar yang mengandungi racun berjadual dikawal penggunaannya seperti steroid, sildenafil (ubat kuat lelaki), tadalafil, verdanafil dan sibutramine secara online.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata Rang Undang-Undang Farmasi sudah dihantar ke pejabat Peguam Negara dan bacaan pertama di Parlimen dijangka akhir tahun ini.

Katanya, penggubalan akta lebih tegas itu bertujuan menangani masalah lambakan ubat tiruan dan produk kosmetik tidak berdaftar dengan lebih menyeluruh.

“Kementerian tidak benar racun berjadual dijual secara online. Kementerian akan bekerjasama dengan SKMM untuk siasatan dan serbuan serta sekat laman web terbabit,” katanya kepada Berita Harian.

Racun berjadual seperti sibutramine kebiasaannya terkandung dalam produk melangsing badan dan sildenafil dikawal penggunaannya kerana boleh membawa mudarat kepada pengguna jika diambil tanpa pengawasan doktor.

Penggunaan racun berjadual juga boleh menyebabkan penyakit kronik, termasuk gila jika individu memakan campuran bahan berkenaan tanpa nasihat doktor.

Semua ubat dan produk kosmetik perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan untuk dijual dan digunakan pengguna, yang mana ubat racun akan ditandakan huruf A pada hujung nombor pendaftaran (contoh: MAL1999244A) dan hanya boleh diperoleh di klinik atau farmasi, ubat bukan racun (OTC) ditanda X (contoh: MAL199955080X).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Mahasiswa Perlu Realisasikan Tiga Cabaran Utama


Oleh SITI HAJAR ABD AZIZ

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telahpun diumumkan buat sekian kalinya, maka ramailah lepasan SPM yang memasang impian untuk menjadi sebahagian daripada warga kampus dengan harapan mereka boleh membina kerjaya yang cemerlang dan berbakti kepada ibu bapa di kemudian hari.

Di universiti pula, yang sudah bergelar mahasiswa berlumba-lumba untuk menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah pameran, diskusi dan khidmat masyarakat.

Ada yang melakukannya atas dasar ingin mendapat markah yang baik dan ada juga yang benar-benar mahu berjasa kepada universiti dan komuniti setempat.

Inisiatif warga universiti untuk menyemarakkan aktiviti di dalam dan di luar universiti masing-masing sememangnya harus dipuji, namun idea aktiviti kemahasiswaan ini hanya semata-mata untuk mendapat segulung diploma atau ijazah perlu ditangkis, paling tidak, dikikis.

Mahasiswa rata-rata sedar bahawa mereka dipandang tinggi di dalam masyarakat, sesuai dengan identiti dan status mereka sebagai para pencari ilmu dan golongan cerdik-pandai.

Kita juga berharap mereka sedar, gelaran itu bukanlah gaya atau tiket untuk menunjuk lagak, tetapi peranan mahasiswa yang dianggarkan berjumlah 1.2 juta orang ini sangat besar.


Jika di dalam sesebuah negara demokrasi, kuasa yang dikenal pasti oleh cendekiawan ialah empat kuasa (four estate) iaitu kerajaan (pemerintah), parlimen (pembuat undang-undang), badan kehakiman dan media, maka mahasiswa hampir layak dinobatkan sebagai kuasa yang kelima (fifth estate) berdasarkan kekuatan mereka dan perubahan yang mampu mereka laksanakan sekiranya mereka bergabung tenaga.

Memang benar, kalau sebut sahaja kempen, mudah sekali kita membayangkan betapa bosannya aktiviti tersebut dan kemungkinan besar ia sukar mendapat penyertaan ramai.

Namun tidak dinafikan kempen-kempen kesedaran, majlis ilmu dan diskusi intelektual yang sering berlangsung di dalam universiti perlu juga diketengahkan ke khalayak ramai supaya keberkesanannya lebih meluas lagi.

Kempen “Bumi Hijau” contohnya, yang sering diangkat sebagai tema penganjuran yang popular dalam kalangan mahasiswa hari ini, perlu juga dilaksanakan secara menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, organisasi bukan kerajaan dan penduduk setempat.

Pelaksanaan secara integrasi dan besar-besaran boleh menukar kempen kesedaran alam sekitar seperti dari satu perkara yang bermusim kepada satu cara hidup yang dituntut semua dan untuk kebaikan sejagat.

Satu lagi kempen yang semakin dilupai ialah kempen derma darah. Kempen kesihatan seperti ini tidak seharusnya dipelopori oleh mereka yang terbabit secara langsung seperti hospital atau pelajar perubatan sahaja, tetapi ia harus didokong oleh mahasiswa dari pelbagai bidang kerana kesihatan adalah sebuah matlamat bersama, iaitu untuk membantu tabung darah hospital setempat yang memang memerlukan sumbangan orang ramai setiap masa.

Mahasiswa perlu terus maju dalam melaksanakan program-program berkepentingan sosial seperti ini tanpa perlu rasa jemu, seperti kempen membanteras penagihan dadah dan pembuangan bayi, kempen budi bahasa, kempen kebersihan dan kempen kebudayaan.

Kementerian Pengajian Tinggi sememangnya menyokong usaha melibatkan golongan mahasiswa secara aktif dengan masyarakat di dalam program-program interaksi yang memupuk sikap penyayang dan persahabatan.

Menurut Menterinya Datuk Mohamed Khaled Nordin, mahasiswa memikul tiga peranan besar di bawah tema “Mahasiswa: Gerak untuk Malaysia”.

Cabaran Pertama ialah mahasiswa sebagai penyedar dan penyebar kesedaran Nasional.

Cabaran Kedua, untuk membangunkan keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan melalui program dan aktiviti yang menjadi tumpuan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Manakala Cabaran Ketiga ialah bagaimana mahasiswa boleh menjadi penyelesai kepada isu dan cabaran semasa dan masa hadapan.

Cabaran-cabaran ini perlu disahut dengan cara mengaplikasikan pengajaran di dalam bilik dengan segera melalui aktiviti-aktiviti keilmuan, keusahawanan, kemasyarakatan dan penyelidikan tanpa perlu menunggu tamatnya tempoh pengajian masing-masing.

Hanya dengan cara inilah keperibadian dan keterampilan mereka dapat ditingkatkan sesuai dengan status mereka sebagai seorang mahasiswa.

PENULIS IALAH PENSYARAH FAKULTI KOMUNIKASI DAN PENGAJIAN MEDIA UiTM MELAKA

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Menghargai 77 tahun A. Samad Said


Oleh AZNAN BAKAR
aznan.bakar@utusan.com.my


SELASA lalu bersamaan 9 April, genap 77 tahun umur Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Dua hari sebelum tarikh tersebut, bertempat di kedai buku Kinokuniya, KLCC telah berlangsung majlis pelancaran tiga buah buku yang membabitkan penulis tersohor negara itu.

Dua daripadanya, A. Samad Said: Memberi Hati Nurani dan Pak Samad: Di Mata Kami bukan karya beliau.

Ia merupakan catatan daripada teman-teman dan mereka yang pernah mengenali dan dikenalinya sama ada secara jauh atau dekat.

"Saya tidak tahu apa isi buku ini." Itu kata A. Samad atau mesra dipanggil Pak Samad ketika diminta reaksi mengenai pelancaran buku pada majlis Menjelang 77 Tahun A. Samad Said itu.

Hanya kesyukuran dan terima kasih dilahirkan sebagai menghargai kata-kata manis, pujian, penghargaan dan kritikan terhadapnya dalam dua buku tersebut.

Hanya Rindu Ibu - koleksi 101 puisi kanak-kanak - merupakan karya beliau. Buku yang sebelum ini diterbitkan oleh Wira Bukit Sdn. Bhd., diterbitkan semula oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bersama dengan Wira Bukit.

Koleksi puisi khusus untuk kanak-kanak itu membawa mesej penuh teladan dengan bait-bait puitis mudah diungkap dan dituturkan oleh kanak-kanak.

A. Samad Said: Memberi Hati Nurani boleh dianggap sebagai buku biografi pertama mengenai Sasterawan Negara yang penuh kontroversi itu.

Siapa tidak kenal Pak Samad dengan mogok seninya. Kini, dia kerap turun ke jalanan bagi meluahkan rasa tidak puas hati dengan sistem yang ada.

Buku yang disusun oleh Dr. Rosnah Baharudin memaparkan perjalanan hidup Pak Samad yang penuh dengan warna-warni. Kisah hidupnya sebagai wartawan, sasterawan dan juga ilmuwan. Buku itu sedikit sebanyak menampilkan pandangan dan pemikiran beliau terhadap aspek sosial, ekonomi dan politik.

Semua elemen itu dinyatakan sama ada secara tersurat atau tersirat dalam karya-karyanya.

Pak Samad: Di Mata Kami pula merupakan catatan 30 penulis dalam bentuk tulisan dan puisi mengenai Pak Samad.

Semua tulisan tersebut adalah mengenai dirinya sama ada dari dekat mahupun jauh termasuk perjuangan dalam perhimpunan anti-PPSMI bersama Allahyarham Datuk Hassan Ahmad seperti yang dinukilkan oleh Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Husin.

Penyumbang lain dalam buku yang disunting oleh Rahimidin Zahari itu (sekadar menyebut beberapa nama) ialah A. Wahab Hamzah, Abdul Ghafar Ibrahim, Marsli N.O., Sani Sudin, Victor A. Pogadaev, Puzi Hadi, Mior Hashim Manap. U-Wei Saari, Ladin Nuawi dan Pyanhabib.

Seperti kata Pengarah Urusan ITBM, Mohd. Khair Ngadiron, Pak Samad: Di Mata Kami ditulis berdasarkan pengalaman 30 penulis terbabit semasa berurusan secara peribadi dengan Sasterawan Negara itu.

Mohd. Khair ketika berucap pada majlis itu juga berkata, ketiga-tiga buku itu adalah simbolik penghargaan kepada jasa dan sumbangan Pak Samad yang tidak pernah jemu memperjuangkan sastera Melayu.

"Kisah tokoh sastera ini merupakan khazanah yang perlu dipelihara," katanya.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan ketika merasmikan majlis dan melancarkan ketiga-tiga buku tersebut berkata, segala apa yang dilalui oleh Pak Samad adalah untuk merintis jalan bagi generasi akan datang.

Pak Samad adalah lambang perjuangan bagi menegakkan kesusasteraan dan bahasa Melayu.

Seperti catatan Pyanhabib pada muka surat 169 Pak Samad: Di Mata kami: "Pak Samad tidak minta hak orang. Dia minta hak dia. Dia mahu hidup hasil daripada karya-karyanya. Apabila Pak Samad mogok seni, secara langsung dia menyedarkan golongan establish bahawa penulis mampu hidup dengan berkarya. Dan Pak Samad telah buktikan".

Sumber : http : //www.utusan.com.my/