Ahad, 27 Mei 2012

ISU SOSIAL : Budaya trendy rakyat Malaysia


Coretan Marhaen

BARU-BARU ini penulis diperkenalkan dengan aplikasi Whatsapp. Seperti Facebook dan BlackBerry Messenger (BBM), ia percuma.

Namun awal-awal lagi mungkin bagi mengelakkan kontroversi seperti yang dialami Facebook ketika ada ura-ura rangkaian sosial ini hendak mengenakan bayaran, sebelum memuat turun aplikasi ini sudah ada peringatan bahawa selepas tempoh setahun, pengguna Whatsapp akan diikenakan caj AS$0.99.

Di saat-saat keghairahan pengguna terhadap Facebook semakin memudar, tidak seperti ketika ia baru-baru diperkenalkan, kehadiran Whatsapp membangkitkan semula keterujaan kepada peminat rangkaian sosial.

Seperkara yang menarik, jika pengguna Facebook perlu mencari rakan, mempelawa menjadi rakan dan menunggu diterima menjadi rakan, pengguna Whatsapp tidak perlu melalui semua proses itu.

Sebaik sahaja memuat turun aplikasi Whatsapp, anda akan disenaraikan sebagai penggunanya.


Kelebihan

Dan secara automatik juga anda dapat mengetahui sama ada kenalan dalam telefon anda juga pengguna Whatsapp.

Kelebihan ini juga membezakannya daripada pengguna BlackBerry (BB) yang seperti Facebook perlu mempelawa kenalan anda menjadi rakan BBM.

Itupun kalau anda mengetahui nombor pin BBM mereka.

Atas kelebihan inilah mungkin ramai yang kini menggunakan Whatsapp.

Yang pastinya, ia tidak terhad kepada satu jenama telefon bimbit.

Tidak seperti BBM yang eksklusif untuk pengguna BB. Pendek kata, pengguna BB pun boleh menggunakan aplikasi ini.

Namun biasalah aplikasi baru, gajet pun kenalah baru dan terkini.

Akhir-akhir ini bagaikan satu trend, sebagaimana juga gelombang K-pop yang melanda, rata-rata peminat gajet telekomunikasi cukup gemar menggunakan telefon bimbit bersaiz besar - tidak lagi saiz genggaman tangan -paling popular Samsung Galaxy Tab atau Note.

Saiznya yang besar sehingga melebihi lebar tapak tangan, tidak lagi dianggap satu kekurangan sebaliknya sesuatu yang trendy.

Memegang Tab atau Note sambil berhubungan dengan contact Whatsapp seolah-olah memberikan imej individu yang berjaya dan bergaya.



Kebimbangan

Oleh sebab saiznya yang lebih besar daripada telefon genggam, ia nampak janggal jika disimpan dalam poket depan kemeja lelaki malah tidak selesa diletakkan dalam poket seluar.

Bagi pengguna perempuan memang tidak ada masalah sebab dengan senang-senang sahaja boleh dimasukkan ke dalam beg tangan.

Bagaimana pula dengan pengguna lelaki? Takkan mereka pun kena ada beg tangan?

Namun itu hanyalah `kebimbangan' penulis.

Bercakap soal trend, rupa-rupanya akhir-akhir ini lelaki pun tanpa rasa janggal memakai beg tangan. Mungkin agar senang menyimpan gajet yang bukan lagi sebesar genggaman seperti iPad, Tab dan Note.

Jika suatu masa dulu, melihat lelaki muda memaka sling bag atau beg sandang pun boleh membuatkan orang cepat melontarkan gelaran terhadap mereka, sekarang rata-rata golongan eksekutif muda menyandangnya.

Tiada lagi mata yang memandang serong.

Masyarakat Malaysia sebenarnya amat bertimbang rasa. Mereka cukup cepat dan mudah menyerap sesuatu amalan baru menjadi budaya.

Mungkin sifat majmuk yang ada pada rakyat negara ini, menjadikan kita mudah bertolak-ansur, tidak rigid malah kadang-kala sambil lewa.

Facebook, BBM, Whatsapp, gajet dan beg sandang mungkin bukan ukuran atau perbandingan tepat untuk menggambarkan sifat trendy masyarakat

Malaysia, apatah lagi ia contoh-contoh kecil yang tidak banyak atau mungkin tidak ada kesan negatifnya.

Apa yang diharapkan, sifat trendy dan mudah menyerap perkara baru itu tidak melangkaui budaya kuning yang boleh mencalar jati diri kita rakyat Malaysia yang berbudaya timur dan hidup berpaksikan agama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Ramai kakitangan awam tidak mampu miliki rumah sendiri


MACHANG - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, terutama di Lembah Klang, tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Setiausaha Kewangan Cuepacs, Jaapar Mansor berkata, fenomena itu akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu, termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

"Kadar faedah pinjaman perumahan 4 peratus yang dikenakan institusi kewangan ke atas penjawat awam pada masa ini wajar diturunkan kepada 1 peratus," katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan hanya mampu menyewa atau memiliki rumah kos rendah bertaraf Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Jaapar yang juga Pengerusi Cuepacs Selangor berkata, saranan supaya kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan itu adalah antara tuntutan yang pernah dikemukakan kongres itu kepada kerajaan sebelum ini.

"Walaupun ia bukan merupakan tuntutan utama Cuepacs, namun ia akan terus diperjuangkan oleh penjawat awam melalui kongres itu," katanya .

Kongres itu juga sedang melancarkan gerakan mengesan penjawat awam yang belum memiliki rumah di seluruh negara untuk dijadikan garis panduan untuk tindakan yang akan diambil demi kebajikan anggotanya.

Sementara itu, beliau berkata Cuepacs mahu kerajaan mempercepatkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Mengkaji Skim Gaji dan Elaun Penjawat Awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri  8 Mac lalu.

Kongres juga akan terus mengadakan gerakan penerangan kepada anggotanya ke seluruh negara mengenai peluang yang dinikmati mereka melalui penambahbaikan Skim Saraan Baru (SSB). – Bernama

ISU SAINS & TEKNOLOGI : Penjenayah siber Amerika paling aktif


Telefon pintar, tablet, perisian Android dan sistem Macintosh sasaran utama penggodam

SAN FRANCISCO : Penjenayah siber sudah memiliki senjata baru yang berkelajuan tinggi untuk tujuan menggodam dan memusnahkan sistem perisian komputer dengan menyasarkan telefon pintar, tablet dan komputer Macintosh, kebanyakannya dilancarkan dari Amerika Syarikat.

Satu ‘laporan ancaman’ yang didedahkan lewat Isnin oleh firma keselamatan komputer McAfee menunjukkan sejumlah kod perosak atau malware menyasarkan mesin Windows dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Malah, usaha merosakkan sistem Windows dalam tempoh berkenaan mencatat cubaan paling tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Selain itu, serangan malware turut meningkat dari segi menyerang peralatan telefon bimbit menggunakan perisian Android disokong Google dan komputer Macintosh yang beroperasi berdasarkan sistem operasi Apple, menurut laporan itu.

“Dalam tiga bulan pertama 2012, kita mengesan kira-kira lapan juta malware baru menunjukkan pencipta malware meneruskan pembangunan berterusan,” kata Timbalan Presiden Kanan, McAfee Labs, Vincent Weafer.

“Kemahiran dan teknik serangan sama digunakan ke atas sistem komputer peribadi atau PC semakin meningkat dan diperluaskan kepada telefon bimbit dan Macintosh,” katanya.

Sejak sekian lama penjenayah siber menumpukan perhatian untuk memasuki PC yang digerakkan sistem Windows kerana ramai orang yang menggunakannya.

Tetapi, ketika peralatan Apple dan Android semakin digemari di seluruh dunia, mereka kini menjadi sasaran baru.

“Ketika lebih banyak kediaman dan perniagaan menggunakan kemudahan itu, serangan akan terus meluas,” kata Weafer.

Selain itu, ketika malware yang merosakkan sistem Macintosh berterusan bertambah, ia masih kecil dibandingkan apa yang menyerang PC, menurut McAfee.

Jumlah ‘spam’ atau mesej tidak diundang pada tempoh sama pula menurun sedikit kepada satu trilion sebulan dengan penurunan ketara berlaku di Brazil, Russia, dan Indonesia dan meningkat di China, Britain, Jerman, Poland dan Sepanyol.

Bilangan rangkaian komputer yang dijangkiti virus dirujuk sebagai ‘botnet’, meningkat hampir lima juta dengan Colombia, Jepun, Poland, Sepanyol dan Amerika Syarikat dilihat mengalami peningkatan paling tinggi.

Penggodam menggunakan helah seperti perangkap e-mel atau pautan secara rahsia untuk menjangkiti mesin dengan malware yang membolehkan mereka mencuri bukan hanya data atau mengesan kekunci setiap kali ditekan tetapi menggunakan mesin yang sudah dijangkiti untuk melancarkan serangan baru.

Amerika adalah sumber utama pelancaran botnet dan serangan siber dalam tempoh suku pertama tahun ini, lapor McAfee.

Lebih mengejutkan, penjenayah siber menjual perisian peralatan malware dan menyewa botnet, menurut pakar keselamatan internet dan penguat kuasa undang-undang. – AFP

ISU PENDIDIKAN : 63 Sekolah Vokasional Dinaik Taraf Sebagai Kolej Tahun Depan


GEORGE TOWN : Kerajaan akan menaik taraf 63 buah Sekolah Menengah Vokasional menjadi Kolej Vokasional tahun depan bagi memastikan bekalan tenaga kerja teknikal di negara ini mencukupi.

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada penekanan dalam bidang teknikal dan vokasional yang dilakukan pihaknya untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi.

"Sebagai permulaan, 4,500 pelajar di 15 Sekolah Menengah Vokasional yang telah dinaik taraf kepada Kolej Vokasional telah memulakan pengajian bagi Diploma Vokasional awal tahun ini dan mereka merupakan perintis program berkenaan.

"Kita jangkakan 15,000 pelajar akan mengikuti lebih 30 program Diploma Vokasional pada tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Voktek peringkat kebangsaan kali ke-15 di sini Ahad.

Karnival yang disertai lebih 1,000 pelajar Sekolah Teknik dan Vokasional seluruh Malaysia itu diadakan selama lima hari sejak Rabu lepas di Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Ahmad Tajudin berkata, kesemua pelajar yang mengikuti pengajian di Kolej Vokasional akan mengikuti pengajian selama empat tahun meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik secara percuma.

Katanya, pelajar yang menamatkan pengajian di kolej itu akan mendapat Diploma Vokasional kerana mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun).

"Ia bagi menjadikan pelajar itu nanti lebih kreatif serta inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang.

"Jadi kita berharap dengan adanya Kolej Vokasional ini nanti mampu melahirkan tenaga mahir dan berkemahiran bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global," katanya. - BERNAMA

Sabtu, 26 Mei 2012

ISU SOSIAL : Haram buku Irshad Manji keputusan terbaik Jakim



Oleh : MADIHAH BAHARUDIN

LAPORAN media semalam menyiarkan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap tulisan Irshad Manji dalam buku 'Allah, Kebebasan dan Cinta' itu, bahawa ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Lewat petang semalam, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan keputusan mengharamkan buku tersebut. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dipetik berkata, keputusan pengharaman dibuat berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap isi kandungannya, yang mengandungi unsur-unsur liberalisme dan boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam khususnya. Selain itu, isi kandungan buku tersebut dikatakan cuba mempengaruhi pembaca untuk menggunakan akal secara bebas dalam menafsirkan hal-hal yang berkaitan dengan agama.

Jadi, melihat kepada isu ini, tindakan Jakim mengharamkan penerbitan dan penjualan buku ini dianggap satu tindakan yang benar.

Ia bertindak untuk menjaga kemaslahatan umat Islam seluruhnya.

Seperti yang kita ketahui bahawa semua umat Islam mempunyai tingkat pemahaman, penghayatan dan pengamalan terhadap agama yang berbeza-beza, jadi, faktor penerimaan terhadap sesuatu yang baru berkenaan agama pasti akan ada yang menerima dan menolak. Mereka yang berupaya menolak pasti yang kukuh pengetahuan agamanya, maka, pasti mereka terselamat seandainya buku ini dibenarkan di negara kita. Namun, sebaliknya apabila mereka yang kurang pemahaman agama, mereka akan menerima sedikit sebanyak kandungan buku itu.

Maka, jelas di sini, larangan penjualannya adalah satu cara untuk menyelamatkan kita semua daripada terikut dengan ajaran ini.

Dalam versi bahasa Inggeris, buku ini disebut sebagai "Allah Liberty and Love - Courage To Reconcile Faith and Freedom" manakala dalam versi Melayu dinamakan sebagai Allah Kebebasan dan Cinta. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), pihak mereka telah merampas sebanyak empat buah buku Irshad Manji, satu versi bahasa Inggeris dan tiga terjemahan ke dalam bahasa Melayu yang diterbitkan syarikat tempatan di negara kita. Mereka juga menerima maklumat bahawa terdapat 500 buku edisi terjemahan yang sudah dicetak.

Perkara yang sering dilakukan kita sebelum membaca mana-mana buku adalah mengkaji latar belakang penulis sendiri. Jadi, hasil kajian terhadap penulis buku ini, Irshad Manji, beliau merupakan seorang wanita kelahiran Uganda pada 1968, dan telah menyatakan secara terbuka bahawa dia adalah seorang lesbian. Beliau sememangnya seorang penulis buku, dengan karyanya yang terkenal sebelum ini adalah The Trouble With Islam Today dan karya terbarunya kini adalah Allah, Liberty and Love.

Dalam karyanya “The Trouble With Islam Today”, tulisannya itu mengelirukan dan tersasar dari hukum syarak. Irshad Manji berkata, “I am a reformist not a moderate”. Walau bagaimanapun beliau menggalakkan semua pihak untuk berani melawan arus dan keluar dari lingkungan Islam yang suci. Hal ini benar-benar satu penyataan yang amat membahayakan. Beliau juga pernah mencadangkan bahawa tidak salah untuk wanita Islam berkahwin dengan bukan Islam, mengamalkan lesbian dan homoseksual. Beliau seolah-olah ingin mempertahankan isu kebebasan seks dan moral dan mengharapkan ia untuk menjadi norma dalam masyarakat Melayu.

Karyanya telah diharamkan pada 30 Julai 2009 di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berikutan kandungannya dalam mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan fahaman mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.

Buku tersebut juga pernah menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia mempunyai idealisme yang sama seperti penulis novel The Satanic Verses, Salman Rushdie. Berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh Jakim, beliau merupakan seorang yang berfahaman liberalisme, pluralisme dan feminism di samping menjadi salah seorang pendukung lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan pengamatan seorang Muslim, ideologi tersebut bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam yang didasarkan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (Islam sebagai Agama Persekutuan), akta dan Enakmen Agama Islam negeri-negeri, undang-undang sivil dan norma masyarakat.

Manakala bagi karyanya yang terbaru Allah Liberty dan Love, ia juga mengandungi perkara-perkara yang menghina Islam serta perjuangannya mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian. Selain itu, padanya juga terdapat unsur-unsur yang boleh memesongkan pemahaman umat Islam terhadap nilai-nilai peradaban semasa serta mencabar aliran pemikiran dalam Islam tanpa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih. Lantaran itu, penerbitan buku ini dikhuatiri boleh mengelirukan pandangan masyarakat tentang kaitan antara agama dan budaya dalam kalangan umat Islam.

Jadi, amat logik tindakan Jakim mengharamkan penerbitan buku tersebut. Semua orang Islam perlulah berwaspada dan berhati-hati dengan pelbagai ideologi yang diguna pakai oleh individu mahupun kumpulan tertentu untuk mempengaruhi mereka.

*Penulis ialah Pelajar Jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : 486 kes pemerdagangan orang disiasat sejak 2008



KUALA LUMPUR 26 Mei - Sejumlah 486 kes pemerdagangan orang dan 672 tangkapan dilakukan oleh agensi penguatkuasaan dari 2008 hingga 24 Mei tahun ini, demikian menurut Majlis Anterpemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).

Daripada jumlah itu, mangsa yang telah diselamatkan dan mendapat Perintah Perlindungan Tetap (PO) terdiri daripada 264 lelaki, 636 wanita dan 124 kanak-kanak.

Menurut kenyataan MAPO hari ini, dalam tempoh tersebut sebanyak 34 kes penyeludupan migran dilaporkan dengan membabitkan 49 tangkapan dan 716 migran diseludup.

Statistik itu telah dibentangkan pada Mesyuarat MAPO yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Alwi Ibrahim, semalam.

Bagi kes pendakwaan dalam tempoh tersebut, sebanyak 422 kes telah dituduh di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 sementara 88 kes berjaya disabitkan dan 70 kes telah diselesaikan.

Sementara itu, lima mangsa pemerdagangan warga India telah diberi kebenaran untuk tinggal dan bekerja di Malaysia baru-baru ini selaras dengan keputusan Bengkel Proses Bali Peringkat Menteri Mengenai Penyeludupan Manusia, Pemerdagangan Orang dan Perlindungan Mangsa Berkaitan Jenayah Transnasional di sini pada Januari lalu. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Gay, lesbian perguna hak asasi langgar fitrah insan



Bersama Ustaz Zaman
bhagama@bharian.com.my

MANUSIA diciptakan Allah SWT dengan fitrah dan hikmah tersendiri mengikut kehendak serta keperluan mereka dalam kehidupan. Ia keperluan yang juga tuntutan fitrah bagi meneruskan kesinambungan zuriat untuk memakmurkan alam semesta ini.

Namun, ada manusia menjadikan kaum sejenis sebagai pasangan sekali gus melanggar fitrah ditetapkan Allah SWT. Ada diciptakan lelaki tetapi berkeinginan menjadi perempuan dan begitu juga sebaliknya.

Ada juga mengenakan pakaian menyerupai lelaki walaupun wanita. Inilah perkara dilarang Baginda SAW dalam hadis daripada Ibnu Abbas bermaksud: “Aku melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Bukhari)


Sebenarnya, putaran kisah kaum Lut dipaparkan dalam al-Quran kembali melanda umat disebabkan mereka semakin jauh daripada petunjuk al-Quran. Kisah kaum Lut diulang beberapa kali dalam al-Quran.

Firman Allah SWT bermaksud: “Kejijikan yang tidak pernah berlaku sebelumnya menimpa kaum Lut di mana kesukaan kaum lelaki terhadap lelaki sendiri telah memuncak sehingga masyarakat pada masa itu menjadi pincang.” (Surah Al-A’raf, ayat 80)

Hari ini ia berleluasa dan dikenali sebagai kumpulan gay dan wanita dikenali sebagai les-bian. Begitulah yang berlaku terhadap kaum Lut yang jelas meninggalkan fitrah ditentukan Allah SWT dengan menjadikan kaum sejenis sebagai tempat melepaskan nafsu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Mengapa kamu mendatangi kaum sendiri (homoseks)? Dan kamu meninggalkan kaum wanita yang diciptakan menjadi isterimu. Sebenarnya kamu melampaui batas.” (Surah As-Syua’ra’, ayat 165-166).

Lelaki dan wanita adalah keperluan. Itulah fitrah yang tidak dapat disangkal lagi. Firman Allah SWT: “Itulah ketentuan Allah bagi menerangkan ayat-Nya kepada manusia supaya mereka bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Ayat ini menunjukkan keperluan jasad digambarkan Allah SWT tetapi malangnya mereka melanggar fitrah dengan bersandarkan ‘hak asasi manusia’ dan kebebasan demi menghalalkan tindakan.

Sejarah kaum Lut berulang dengan penampilan baru dan mendapat sokongan kuat daripada umat Islam sendiri. Tidak kurang juga yang berhujah dengan logik akal semata-mata tanpa merujuk fakta sebenar.

Ada mendakwa Islam tidak pernah mendiskriminasi golongan gay dan lesbian. Mereka juga mendakwa al-Quran menjelaskan setiap manusia adalah ciptaan Tuhan dan ia termasuk golongan gay dan lesbian.

Mereka berpandangan kononnya Islam menolak dan membenci golongan itu sama sekali tidak selari dengan konsep Allah sebagai Tuhan yang Maha Penyayang. Apakah mereka tidak pernah memikirkan segala najis dan kotoran juga adalah ciptaan Allah SWT?

Apakah sejak awal mereka dilahirkan ke dunia sebagai gay dan lesbian? Tentunya tidak kerana mereka diberi pilihan untuk memilih syurga atau neraka yang juga ciptaan Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan Kami tunjukkan kepada mereka dua jalan untuk dipilih iaitu kebaikan dan kejahatan.” (Surah Al-Balad, ayat 10)

Ini menunjukkan kuasa pilihan di tangan manusia sendiri bagi menentukan kedudukan mereka di akhirat. Kita hendaklah mengetahui bahawa perbuatan terbahagi kepada dua iaitu ikhtiyariyyah (pilihan) dan idhtiroriyyah (tiada pilihan).

Gay dan lesbian adalah perbuatan pilihan individu bagi meletakkan mereka di bawah golongan itu. Islam meletakkan peraturan serta hukum untuk diikut dan dilaksanakan.

Islam menjadikan landasan dan hukum untuk memelihara penganutnya supaya tidak melakukan perkara bercanggah kehendak fitrah kerana homoseksual perkara yang menjejaskan kesihatan serta pertimbangan jiwa sihat.

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/