Isnin, 11 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : 14,224 Calon Daftar Untuk Duduki SPM Ulangan 2012


KUALA LUMPUR : Seramai 14,224 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 yang akan diadakan pada Selasa dan Rabu ini.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia, daripada jumlah itu, 7,389 calon telah mendaftar untuk mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu (kod kertas 1103) dan 3,909 lagi mendaftar untuk mata pelajaran Matematik (kod kertas 1449).

"Bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki kedua-dua mata pelajaran ialah seramai 2,926 orang. Sebanyak 239 pusat peperiksaan akan dibuka untuk peperiksaan ini di seluruh negara," kata kenyataan itu.

Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa, arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Keberkatan wang pendapatan



Oleh ROHAMI SHAFIE 

TUNTUTAN dunia sekarang mengubah manusia lebih bersikap materialistik. Mengejar wang ringgit demi untuk menjalani kehidupan selesa yang sudah tentulah lebih ke arah keselesaan berbentuk materialistik jua. Maka, sesuatu yang tidak mengejutkan apabila adanya kajian yang menunjukkan golongan pekerja kita lebih mementingkan gaji berbanding mengutamakan kepuasan bekerja.

Justeru, tidak menghairankan, sering kali kita mendengar pekerja yang sanggup bekerja sampingan demi wang ringgit berbanding melakukan kerja hakiki dengan sepenuh hati. Mereka sanggup berebut-rebut sesama sendiri sebarang kerja sampingan berbanding kerja hakiki mereka yang sememangnya dibayar secara bulanan.

Bagi mereka, apalah gunanya bekerja lebih bagi tugas hakiki sedangkan gaji sama sahaja dibayar. Lebih elok bekerja lebih untuk perkara-perkara lain yang bukannya tugas hakiki mereka. Kononnya, dengan cara ini mereka bijak menggunakan peluang sedia ada dengan memerah keringat untuk tugasan berbayar, walhal tugasan tersebut bukanlah hakiki.

Ini antara contoh pemikiran materialistik di kalangan pekerja kita. Maka, tinggallah kerja-kerja hakiki tersebut untuk golongan yang tidak mahu berebut kerja berbayar demi mencapai kepuasan bekerja. Malangnya, golongan ini tidak ramai, yang ramai golongan yang menolak kerja-kerja sedemikian rupa.

Apabila dikaitkan dengan materialistik, kita tidak boleh lari daripada bercakap mengenai pentingkan diri sendiri. Justeru, kita boleh lihat betapa banyaknya syarikat di negara-negara barat yang muflis sejak sekian lama dek kerana antara faktor utamanya membudayakan cara kerja yang materialistik dan mementingkan diri sendiri.

Sebab itulah Islam mengajar agar kita bekerja dengan ikhlas dan tidak mengharapkan wang ringgit semata-mata. Yang penting gaji yang diperoleh diberkati oleh Allah SWT meskipun memperoleh pendapatan yang rendah.

Keberkatan pendapatan boleh diperluaskan kepada keuntungan syarikat mahupun pendapatan negara. Tidak akan bertahan lama bagi sesuatu perniagaan yang menjalankan peniagaan dengan cara yang salah umpamanya menipu, menyeleweng dan mengamalkan rasuah.

Mana mungkin sesebuah syarikat mampu mencatatkan keuntungan secara mapan jika sekiranya operasi hariannya penuh dengan tipu muslihat dan cara yang salah bagi memperoleh keuntungan.

Yang peliknya, meskipun diajar oleh Islam agar menjalankan perniagaan secara betul dan tidak menindas sesiapa sahaja terutamanya pelanggan, masih ramai peniaga meneruskan perniagaan dengan cara yang tidak betul.

Mereka sewenang-wenangnya menipu pelanggan dengan menaikkan harga, mereka juga tidak ambil peduli kebajikan para pekerja dan tidak kurang juga ada majikan yang sanggup menjalankan perniagaan haram secara berselindung di sebalik perniagaan halal.

Matlamat mereka untuk memperoleh keuntungan berlipat kali ganda mesti dicapai dengan cara apa sekalipun. Jika beginilah yang dilakukan, mana mungkin keuntungan tersebut memperoleh keberkatan Allah SWT. Mungkin syarikat-syarikat tersebut mampu untuk mencatatkan keuntungan dalam jangka masa pendek tetapi percayalah satu hari nanti perniagaan tersebut tidak mampu bertahan lama.

Tidak kurang juga, konsep keberkatan pendapatan amat penting bagi sesebuah kerajaan. Wang cukai mahupun wang zakat ataupun hasil bukan cukai yang diperoleh daripada rakyat perlu digunakan sebaik mungkin. Sebaik mungkin bermaksud ia digunakan untuk kebaikan rakyat dan negara tanpa adanya sebarang penipuan, penyelewengan dan pembaziran. Wang cukai dan zakat serta hasil bukan cukai yang dikumpul oleh kerajaan perlu dikembalikan kepada rakyat dan negara.

Umpamanya, apabila kerajaan bercadang untuk memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua jika memperoleh tambahan kutipan cukal daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), keputusan ini patut disokong oleh semua pihak.

Tidak salah dalam pusingan kedua ini bagi mereka yang layak dibayar dua kali ganda jumlahnya berbanding pusingan pertama iaitu sebanyak RM1,000 jika sekiranya adanya lebihan wang kerajaan. Pembayaran boleh dibuat sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Di samping itu, bantuan tersebut merupakan strategi serampang dua mata bagi merangsang ekonomi negara ketika kesan krisis hutang Eropah dijangka akan dirasai oleh negara kita pada suku ketiga tahun ini.

Bagi yang membayar cukai, tidak perlulah mengeluh. Ini sebagai tanda sokongan mereka untuk membantu golongan yang memerlukan. Sekali lagi, tidak perlulah terlalu pentingkan diri sendiri dan berasakan kejayaan mengumpul kekayaan tersebut hanya atas usaha diri sendiri kononnya tidak menerima sebarang bantuan daripada orang lain.

Percayalah, tiada seorang pun golongan kaya-raya di muka bumi ini yang boleh mendabik dada bahawa kekayaan yang dikumpul oleh mereka atas usaha diri sendiri tanpa bantuan orang lain. Sikap sombong sebeginilah yang menyebabkan pendapatan yang diperoleh masih tidak mencukupi meskipun cukup besar bagi orang lain. Dengan kata lain tiada keberkatan atas harta kekayaan yang dikumpul.

Justeru, Islam mengajar umatnya bersyukur atas pendapatan yang diperoleh dan kembalikan sebahagiannya untuk orang lain yang memerlukan. Buang sikap bakhil tidak bertempat kerana ia boleh memudaratkan diri sendiri. Dengan kitaran sebegini akan membuahkan kemajuan ekonomi negara yang bukan sahaja mapan tetapi yang paling utama diberkati oleh Allah SWT.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe) Kolej Perniagaan (COB) UUM


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU EKONOMI : Maqasid al Syariah sebagai dasar perniagaan


Oleh : Mastura Binti Mohd Zain

SETIAP penciptaan Allah ada hikmah dan tujuannya dan adalah mustahil bagi Allah menjadikan sesuatu perkara tanpa arah tuju dan matlamatnya. Manusia harus meyakini bahawa penciptaan tersebut untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia.

Manusia diperintahkan untuk bertafakur melihat hikmah di sebalik sebarang penciptaan Allah. Allah SWT telah membantu manusia untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan menurunkan syariatnya yang dikenali sebagai maqasid syariah.

Maqasid syariah adalah tujuan yang dikehendaki Allah SWT dalam setiap hukum atau sebahagian besar daripadanya. Al-Quran dengan terang menjelaskan kepentingan ia dijaga. Sesungguhnya apabila Allah SWT mensyariatkan hukum, sebenarnya adalah bertujuan memelihara kemaslahatan manusia dengan membuka ruang-ruang manfaat kepada mereka dan mengangkat kemudaratan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu (Al Baqarah: 185). Objektif atau matlamat di sebalik penetapan syariah dapat dilihat menerusi dua sumber utama kepada umat Islam iaitu al-Quran dan hadis.

Firman Allah SWT yang menjelaskan motif kebangkitan Nabi Muhammad SAW: Dan tidak Kami utuskanmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam (al-Anbiya’: 107). Perkataan ‘rahmat’ itu bermaksud kebaikan, kemaslahatan dan keharmonian.

Justeru jika kita memerhatikan alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga dengan hukum-hakam syariah. Maqasid syariah juga dapat dijejaki menerusi ayat-ayat al-Quran. Maqasid syariah secara umumnya terbahagi kepada tiga bahagian.

Pertama, dharuriyyat. Ia adalah perkara-perkara yang termasuk dalam keperluan asasi yang mesti dipenuhi oleh setiap individu. Ia adalah kemaslahatan yang perlu dipenuhi untuk mendirikan kemaslahatan agama dan dunia. Jika tiada maslahah ini, kemaslahatan dunia tidak akan bergerak dengan lancar dan akan hilang nikmat dan keselamatan di akhirat kelak.

Terdapat lima perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu memelihara agama (aqidah), memelihara diri/jiwa, memelihara keturunan, memelihara akal dan memelihara harta.

Kedua, hajiyyat iaitu kemaslahatan yang bersifat keperluan dan hajat manusia. Ia untuk menghilangkan kesulitan dan kesempitan yang boleh membawa kepada kesusahan hidup. Jika kemaslahatan ini tidak dapat dipenuhi ia boleh menyebabkan kesulitan dan kesusahan hidup.

Contohnya, Rasulullah SAW melarang dari menjual sesuatu yang tidak jelas (gharar) seperti ikan di lautan dan burung di udara. Ini bertujuan menjamin kepentingan pembeli bagi mendapatkan haknya setelah membayar kepada penjual.

Bahagian yang ketiga adalah tahsiniyyat iaitu kemasalahatan dari aspek adat dan kesempurnaan akhlak. Jika hilang kemaslahatan tersebut, maka ia akan menyebabkan kehidupan menjadi buruk pada pandangan akal.

Islam melihat aspek harta sebagai salah satu aspek dalam satu sistem kepercayaan yang menyeluruh. Harta adalah milik Allah SWT. Manusia sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi telah diberi tugas untuk menguruskan harta tersebut dengan sebaik mungkin. Cara mendapatkan harta dan cara menguruskan harta mestilah bersesuaian dengan arahan pemilik harta yang asal iaitu Allah SWT.

Menjalankan perniagaan dengan penuh etika merupakan kewajipan yang perlu dipikul oleh setiap manusia yang beriman. Matlamat utamanya ialah untuk mendapat keredaan Allah SWT. Konsep pelaksanaan syarak di dalam Islam ialah membatasi perbuatan agar ia tidak terjerumus kepada perkara yang dilarang.

Agama Islam sesungguhnya tidak melarang umatnya daripada memiliki harta kekayaan bahkan di dalam Islam harta kekayaan yang dimiliki tidak dianggap sebagai penghalang kepada seseorang itu untuk mendapat hidayat daripada Allah SWT serta memasuki syurga.

Sebagai bukti, dalam kalangan sepuluh orang sahabat yang diberikan jaminan oleh Rasulullah SAW akan memasuki syurga, salah seorang daripadanya ialah Abdul Rahman bin Auf yang merupakan seorang hartawan dan dermawan di kota Madinah. Ternyata kekayaan yang dimiliki oleh beliau tidak menghalang beliau daripada memasuki syurga.

Beliau mendapat jaminan memasuki syurga kerana beliau memperolehi harta daripada sumber dan cara halal. Harta tersebut juga digunakan untuk jalan kebaikan serta tidak sedikit pun melalaikan daripada mengingati Allah SWT. Pernah diriwayatkan beliau pada suatu ketika ingin mendermakan seluruh keuntungan daripada perniagaannya bagi menebus kelewatannya ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Peniaga yang amanah tidak akan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya ataupun mengambil kesempatan tertentu untuk menaikkan harga. Sekiranya inilah yang digunakan sebagai salah satu strategi perniagaan, seseorang itu hanya mendapat keuntungan di dalam bentuk zahir sedangkan untuk mendapat keberkatan Ilahi, ia amat jauh sekali.

Matlamat akhir perniagaan di dalam Islam bukanlah keuntungan semata-mata tetapi apa yang mustahak adalah mendapat keredaan Allah SWT sedangkan kekayaan hanya menjadi wasilah sahaja. Tegasnya, Islam sentiasa melihat Allah SWT sebagai pencipta dan pemilik segala sesuatu sedangkan manusia hanyalah sebagai khalifah Allah SWT dan penerima amanah.

Sistem muamalat Islam memberikan kesejahteraan dan keadilan kepada semua pihak yang terlibat dalam perniagaan. Sehubungan itu, sistem muamalat Islam telah menggariskan banyak peraturan dan undang-undang supaya keadilan dan kemakmuran dapat dikecapi oleh semua pihak dalam masyarakat.

Pemilikan harta hendaklah diusahakan melalui cara dan pendekatan yang diharuskan. Misalnya, syariah Islam telah mengharuskan jual beli dan mengharamkan riba. Dalam usaha pemilikan harta selain daripada riba, syariah Islam juga mengharamkan perjudian, rasuah dan pengurangan atau penipuan dalam timbangan.

Syariah Islam turut menetapkan cara dan kaedah tersendiri bagi membelanjakan harta seperti wajibkan zakat kepada harta-harta tertentu dan amat menggalakkan sedekah dan pemberian hadiah dalam keadaan tertentu.

Sistem muamalat Islam dengan tasawwur keimanan yang jelas, mengawal aktiviti perniagaan yang selaras dengan kelangsungan hidup manusia yang bermaruah, berakhlak dan bertamadun. Segala bentuk perniagaan yang bertentangan dengan maqasid syariah adalah tidak diterima kerana aktiviti-aktiviti perniagaan ini boleh meruntuhkan masyarakat manusia yang bertamadun.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Strategi pendidikan, latihan negara



Oleh : SAIFUDDIN ABDULLAH

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sedang mengadakan dialog dengan semua pihak bagi mengkaji semula sistem pendidikan.

Kajian ini berlangsung ketika kita menghadapi dua cabaran besar. Daripada satu segi adalah masalah sosial yang rumit hingga seakan-akan wujud “generasi terhilang”. Daripada segi yang lain adalah pencapaian negara maju berpendapatan tinggi yang dipacu “generasi terbilang”.

Terdapat persoalan-persoalan seperti, adakah berlaku proses pencerdikan atau pembodohan (dumbing down), “lebih peperiksaan, kurang pendidikan” atau “lebih belajar, kurang pengajaran”? Adakah kita bergerak daripada  keadaan “pekerjaan tanpa kelayakan” kepada “kelayakan tanpa pekerjaan”?

Adakah latihan pekerjaan bertujuan menutup masalah pengangguran?

Justeru, kajian ini tepat.

Tetapi, ia tidak seharusnya dihadkan tentang persekolahan dan pendidikan formal sahaja.

Apa yang diperlukan adalah strategi baru pendidikan dan latihan bersepadu negara.

Ia melibatkan semua bidang (pendidikan dan latihan), semua sistem (formal dan tak-formal), semua agensi (KPM dan lainlain), semua sektor (kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil) dan semua peringkat (dari prasekolah ke IPT/pusat latihan).

Sebenarnya, apa yang diperlukan ialah satu muhasabah besar mengenai ilmu dan kemahiran serta pendidikan dan latihan, yang bersepadu, berdaya saing dan futuristik untuk generasi muda kita.

Muhasabah besar ini perlu dimulakan dengan pandangan alam yang tepat. Dalam hal ini, Prof Syed Naquib  Al Attas menyatakan bahawa matlamat utama pendidikan bukanlah melahirkan pekerja baik, tetapi, melahirkan insan baik. Pekerja baik belum tentu insan baik.

Tetapi, insan baik termasuk pekerja baik.

Pelaku utama melahirkan insan baik ialah pensyarah dan guru. Di sini, buku Wan Mohd Nor Wan Daud, Rihlah Ilmiah, yang mengisahkan perjalanan pengajiannya dari neomodernisme ke Islamisasi ilmu kontemporari adalah rujukan yang penting.

Dari segi pekerja pula, bekas Presiden Universiti Harvard Bok Derek menyoal tentang kemerosotan kualiti graduan universiti Amerika Syarikat.

Beliau lalu mencadangkan supaya kurikulum universiti dijadikan lebih komprehensif.

Manakala bekas Setiausaha Buruh US Robert Reich dalam bukunya The Works of Nation menjelaskan perubahan yang berlaku dalam dunia pekerjaan, iaitu dari klasifikasi pekerjaan lama kepada klasifikasi pekerjaan baru yang menuntut ilmu dan kemahiran baru.

Daripada matlamat itu, terdapat 10 objektif pendidikan dan latihan, iaitu: beriman kepada Tuhan dan berbaik-baik sesama insan; penguasaan ilmu bersepadu dan kemahiran terkini; berkomunikasi dengan efektif; berfikiran kritikal dan kreatif; alasan moral dalam penghujahan; warganegara patriotik dan berpartisipasi; hidup dalam kepelbagaian bahasa, budaya, agama dan kepentingan; beridentiti dalam globalisasi; menikmati makna kehidupan; dan persediaan kerjaya.


Selanjutnya, antara yang diperlukan ialah:

- Kerangka governans pendidikan dan latihan yang melibatkan sektor kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil (khususnya ibu bapa, alumni dan pelajar/pelatih) untuk perancangan, pemantauan dan penilaian berterusan dari peringkat kebangsaan ke institusi pengajian  tinggi (IPT), pusat latihan dan sekolah.

- Penghayatan falsafah pendidikan negara, pendidikan sepanjang hayat dan pembelajaran melalui pengalaman masa lalu bersama-sama dasar-dasar negara yang lain oleh semua pihak.

- Meningkatkan autonomi dan kepemimpinan IPT, pusat latihan dan sekolah.

- Menyelaraskan dan meningkatkan latihan dan kualiti pensyarah, jurulatih dan guru.

- Memperkasa bidang kemahiran.

- Keseimbangan baru dan kebebasan memilih aliran sains, sastera, reka cipta dan keusahawanan.

- Pemberatan baru kurikulum dan kokurikulum kepada nisbah 70:30.

- Meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) melalui kreativiti, reka cipta dan teknologi dalam bilik darjah.

- Mengamalkan penghakupayaan pelajar/pelatih.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Jumaat, 8 Jun 2012

ISU KENEGARAAN : 'Generasi Y' Bakal Tentukan Keputusan PRU-13


Oleh RAZAK AHMAD

PETALING JAYA : Empat daripada 10 pengundi baru didaftarkan adalah di bawah kategori 'Generasi Y' yang akan menentukan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Ekoran itu, Barisan Nasional (BN) mahupun pakatan pembangkang sedang berusaha keras untuk mendekati kalangan pengundi ini.

Daripada seramai 12,912,590 pengundi berdaftar di seluruh negara sehingga kini, 5,175,096 atau 40 peratus pengundi berusia antara 21 hingga 39 tahun.

"Generasi Y' merupakan mereka yang terdiri daripada kumpulan celik teknologi, dilahirkan antara 1980 dan 2000.

Generasi tersebut sering disifatkan sebagai 'berfikiran bebas dan kesetiaan politik mereka tidak tetap' kerana akses yang lebih luas kepada maklumat.

"Kebanyakannya merupakan 'pengundi atas pagar' yang akan membuat keputusan pada saat-saat akhir," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang melakukan kajian terhadap 1,500 pengundi muda baru-baru ini.

"Kedua-dua parti politik perlu mengerah tenaga untuk memikat hati pengundi muda ini."

Pensyarah Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Shaharuddin Badaruddin berkata, pengundi yang berusia 40 tahun ke atas merupakan penyokong tetap atau sebaliknya sama ada BN atau pakatan pembangkang dengan kedu-dua parti memperoleh sokongan hampir sama.

Beliau berkata, generasi muda yang sebahagian besarnya adalah 'pengundi atas pagar' boleh menjejaskan keputusan pilihan raya kedua-dua parti.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar bersetuju bahawa golongan tersebut tidak mengikut apa yang dikatakan orang lain. Jika seseorang melihat dari perspektif ini, maka pengundi muda mungkin menjadi penentu, walaupun tiada sesiapa yakin mengenai perkara ini."

Sejak 2008, BN dan Pakatan Rakyat sentiasa menarik perhatian pengundi 'Generasi Y'.

Bagaimanapun, kedua-dua parti dapat meramalkan dengan tepat kelakukan kumpulan ini semasa mengundi.

"Semua strategi dan polisi sejak 2008 sentiasa disasarkan ke atas pengundi muda."

"Sejak dari itu, kami menyedari bahawa kumpulan terbesar pengundi pada pilihan raya akan datang terdiri daripada pengundi muda," kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, jumlah 'pengundi atas pagar' di kalangan pengundi muda kekal pada kadar tertinggi iaitu 65 peratus.

Undi 'Generasi Y' juga merupakan keutamaan untuk Pakatan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata 40 peratus daripada calon parti adalah berusia dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun sebagai usaha untuk memancing pengundi muda.

"Pengundi muda kebanyakannya non-partisan, jadi kami perlu mendekati dan meyakinkan mereka bahawa kami adalah parti terbaik untuk mewakili mereka," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU EKONOMI : Logo buatan Malaysia tingkat keyakinan pengguna


KUALA LUMPUR : Penggunaan logo buatan Malaysia pada produk tempatan bukan saja mampu meningkatkan keyakinan pengguna malah memberi kelebihan kepada syarikat jika ingin memasuki pasaran antarabangsa.

Dalam senario perdagangan global yang semakin sengit hari ini, pengesahan negara pengeluar menjadi salah satu kriteria utama bagi sesebuah syarikat untuk memasarkan produk mereka di negara lain bagi mengelak lambakan pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata bagi perdagangan serantau ASEAN, pengesahan logo buatan Malaysia dapat memberi insentif pengecualian cukai melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

“Hasil kajian yang diterbitkan American Journal Of Scientific Research pada 2010 berhubung persepsi pengguna negara ini terhadap jenama antarabangsa mendapati hanya 25 peratus rakyat berpendapatan kelas pertengahan dan atasan gemar membeli barangan jenama antarabangsa.

“Manakala 75 peratus lagi masih setia kepada produk buatan Malaysia. Kajian itu juga menunjukkan 55 peratus daripada golongan muda di negara ini sanggup berbelanja untuk produk tempatan berkualiti,” katanya pada Ekspo Beli Barangan Malaysia 2012 di sini, semalam.

Ekspo berkenaan yang diadakan bagi memasarkan produk tempatan dengan penyertaan lebih 100 pempamer dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada tahun lalu penganjuran ekspo terbabit berjaya mencatat rekod jualan sebanyak RM50 juta berbanding RM26 juta pada tahun sebelumnya dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat tahun ini.

Sementara itu, Muhyiddin meminta syarikat tempatan supaya menjaga mutu kualiti produk yang  dihasilkan  selain berusaha untuk memasuki pasaran antarabangsa tanpa bergantung harap terhadap pasaran domestik semata-mata.

“Pertumbuhan di enam negara ASEAN (Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura Thailand dan Vietnam) serta Cina dan India sudah berkembang pada kadar 8.2 peratus tahun lalu dan pertumbuhan ini dijangka akan terus rancak pada tahun ini.

“Justeru, saya menyeru kepada syarikat pengeluar produk tempatan untuk mengambil peluang ini dan mengembangkan pemasaran produk ke pasaran serantau,” katanya.

Muhyiddin berkata, hasil kajian Bank Negara juga mendapati purata gaji sektor swasta meningkat secara purata empat peratus tahun lalu selain peningkatan pendapatan luar bandar secara signifikan, memberi kesan berganda kepada ekonomi negara sekali gus membina daya tahan ekonomi terhadap krisis kewangan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Menyubur budaya perpaduan dalam organisasi


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my

Perbincangan, nasihat penuh adab etika mampu mengurangkan percanggahan pendapat

ANTARA kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada kita ialah kehidupan yang saling memerlukan dan bergantungan antara satu sama lain, termasuk dalam aspek pengembangan buah fikiran, kepakaran, pandangan dan nasihat.

Dalam hal ini, setiap kita pula mempunyai kelebihan minda yang tersendiri. Ia adalah suatu anugerah Allah SWT yang berupa nikmat agar kita boleh saling bertukar-tukar pandangan dan saling memberi dan menerima manfaat sesuai dengan kelebihan dan keupayaan daya fikir minda masing-masing.

Justeru, bukan menajamkan akal dengan daya fikir saja yang penting tetapi juga usaha untuk saling memanfaatkannya dalam kalangan masyarakat dan warga organisasi perlu sentiasa dipupuk dengan harmoni.

Daripada nilai saling bergantungan dan memanfaatkan pandangan yang baik dan bernas inilah akan menyumbang kepada penyatuan fikrah dan melahirkan kekuatan tindakan dalam segenap aspek kehidupan khasnya dalam pengembangan organisasi.

Oleh sebab itulah Allah SWT memerintahkan untuk bermusyawarah dalam berurusan seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan diperintahkan untuk kamu bermesyuarat dalam urusan antara kamu.” Justeru, nilai saling menghormati dan menghargai pandangan perlu dipupuk dalam diri kita dan dalam kalangan setiap penjawat organisasi tanpa mengira kedudukan. Perpaduan yang sebenar lahir daripada penyatuan fikiran dan hati yang dijelmakan dalam pelbagai bentuk perpaduan lahiriah.

Namun, sifat kebergantungan kepada buah fikiran, pendapat dan nasihat sesama individu tidak akan tercapai dengan murni jika tanpa etika dan adab dalam memberi dan menerimanya. Apa yang sebaliknya pula boleh berlaku jika tanpa etika dan adab adalah persengketaan, pertikaman lidah dan permusuhan yang meleraikan ikatan pergantungan, memadamkan hasrat perkongsian pandangan dan dalam jangka masa panjang akan melemahkan daya kreativiti berfikir dalam kalangan anggota kerja yang merugikan kemajuan organisasi.

Etika dan adab dalam melahirkan penyatuan fikrah dalam organisasi itu perlu mengambil kira empat sudut iaitu sudut penyampaian pandangan, isi kandungan atau perkara yang hendak disampaikan, tindak balas pandangan dan implikasi pandangan terhadap individu, organisasi, pelanggan dan negara.

Antara etika dan adab menyalurkan pandangan ialah :


Pertama, hendaklah ia disampaikan dengan niat yang baik, jujur serta dengan pertuturan dan bahasa tubuh yang baik serta menyenangkan. Walaupun kadangkala kita beremosi dalam meluahkan pandangan terutama apabila ingin menegaskan sesuatu yang penting, adab menyalur-kannya perlu dijaga supaya hasrat dan isi perbincangan dapat difahami dengan baik.

Kedua, hendaklah ia bermatlamatkan kesejahteraan ramai berbanding untuk kepentingan diri atau peribadi.

Ketiga, hendaklah pandangan yang disampaikan itu datangnya dari sumber pengetahuan dan maklumat yang sahih.

Keempat, hendaklah ia disampaikan dengan jelas serta mengambil kira tahap, laras pemikiran, suasana persekitaran, masa, tempat dan keadaan mereka yang menerima pandangan. Bijak pandai ada mengatakan, “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar”. Kata-kata ini mengandungi nasihat dan panduan supaya beradab dan berhati-hati dalam meluahkan pandangan.

Kelima, menyampaikan sesuatu yang benar dengan sabar dan tabah serta keberanian walaupun pahit. Hal ini bersesuaian dengan peringatan Rasulullah SAW: “Sampaikanlah kebenaran walaupun pahit.” – (Riwayat al-Bukhari)

Keenam, penerima hendaklah berlapang dada dan berfikiran positif dalam mendengar dan memahami pandangan.

Ketujuh, penerima hendaklah memberi perhatian kepada isi kandungan, hasrat dan matlamat penyampaian berbanding status penyampai seperti kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib: “Lihatlah kepada apa yang diperkatakan seseorang bukannya kepada siapa yang berkata.”

Kelapan, bersedia dan bersungguh-sungguh mengaplikasikan pandangan yang dipersetujui ramai dalam membentuk tindakan dengan terancang dan tersusun rapi supaya manfaatnya dapat diperlebarkan kepada masyarakat dan organisasi.

Kesembilan, bersedia untuk mengubah pandangan dan keputusan yang terhasil daripadanya walaupun setelah ia dipersetujui apabila terdapat keperluan baru yang mendesak, lebih utama, dan memberi manfaat yang menyeluruh dalam jangka masa panjang.


Kesepuluh, saling menghormati dan menghargai buah fikiran dan pandangan individu lain walaupun pandangan kita tidak dipersetujui.

Setiap perbincangan pasti akan memberi pelbagai manfaat yang boleh dikutip untuk kebaikan nilai diri antaranya jaringan kerja baru. Ini akan melahirkan suasana menang-menang dalam perbincangan. Justeru, marilah kita memupuk nilai saling menghargai, menghormati dan memerlukan dalam menerima setiap butir pandangan daripada anggota organisasi kerana ia boleh menjadi input berguna ke arah kesejahteraan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/