Sabtu, 23 Jun 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pelajar Ijazah Kelas Pertama Tidak Perlu Bayar Balik Pinjaman PTPTN


JOHOR BAHARU : Seramai 4,430 pelajar Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang menamatkan pengajian sebelum tahun 2010 tidak perlu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini berikutan keptusan kerajaan yang bersetuju memperluaskan dasar pinjaman boleh ubah kepada pelajar berkenaan.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skim Simpanan Pendidikan Nasional-i (SSPN-i) dan penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN kepada 255 pelajar Parlimen Pasir Gudang, di sini, Sabtu.

Mohamed Khaled berkata pinjaman yang ditukarkan kepada biasiswa untuk pelajar cemerlang itu diputuskan pada 15 Jun lepas selaras dengan tindakan kerajaan melaksanakan semula dasar pinjaman boleh ubah bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf yang tamat pengajian mulai 1 Januari 2010.

"4,430 pelajar itu merupakan mereka yang diluluskan pinjaman pendidikan PTPTN selepas 1 Julai 2005 dan menamatkan pengajian sebelum 1 Januari 2010 melibatkan pembiayaan RM116.2 juta," katanya.

Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang berkata peluasan dasar pinjaman boleh ubah itu dibuat selepas kerajaan berpendapat bahawa pelajar cemerlang wajar diberi pengiktirafan selain menggalakkan pelajar terus berusaha mendapatkan keputusan cemerlang.

Beliau berkata kesemua pelajar berkenaan dikehendaki mengemukakan surat permohonan rasmi kepada PTPTN dengan menyertakan dokumen-dokumen termasuk salinan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama yang telah disahkan.

Mereka hendaklah memberikan salinan transkrip keputusan peperiksaan, akuan pelajar dan salinan sijil perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi pelajar graduan institusi pengajian tinggi swasta.

Katanya, pelajar boleh merujuk prosedur melalui laman web PTPTN di www.ptptn.gov.my dan pihak PTPTN akan membayar balik pinjaman sama ada secara penuh atau sebahagian.

Sementara itu, mengenai SSPN-i, Mohamed Khaled berkata produk tersebut selaras dengan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang disahkan sebagai produk mematuhi prinsip Syariah.

Beliau berkata dengan pengesahan tersebut, kesemua pendeposit terdahulu, sekarang dan yang baru serta mempunyai akaun SSPN yang mematuhi Syariah perlu membuka akaun SSPN-i melalui Maybank atau Bank Islam Malaysia Berhad.

Katanya, pembukaan akaun SSPN-i melalui bank lain hanya dibenarkan untuk mereka yang berhasrat memohon pembiayaan pendidikan PTPTN selepas tahun ini. -BERNAMA

ISU AGAMA : Liberalisme, sekularisme musuh Islam


Oleh ZAINAL RASHID AHMAD


PADA awal abad ke-20 (1905-1980), ahli falsafah Perancis yang terkenal Jean Paul-Sartre mencabar kewujudan Tuhan dengan menyatakan: "Sekalipun Tuhan itu ada, ia masih boleh ditolak, kerana Tuhan menghalang kebebasan kita".

Sartre, pemenang Hadiah Nobel 1964, antara ilmuwan besar Barat yang mempromosi aliran pemikiran existensialisme. Aliran ini kemudiannya meledakkan bahana fikir yang amat besar di seluruh dunia, malah sangat dibangga-banggakan oleh masyarakat sastera sejagat.

Existensialisme sangat berkembang-biak dalam budaya cerdik pandai masyarakat Barat, dan menjadi tunjang kepada kebangkitan sastera di Eropah dengan dikepalai oleh Albert Camus (1913-1960) melalui novel The Outsider (1942). Camus dengan sumbangan seninya yang mempertikaikan Tuhan, turut menerima Anugerah Nobel (1960).

Seratus tahun kemudian, Barat dipenuhi dengan kepelbagaian gerakan "ilmiah" yang saling bersekutu dalam menentang Tuhan dan nilai-nilai agama. Ancamannya di dunia Islam pada awal hingga pertengahan abad ke-20 amat terkekang. Namun kehadiran Salman Rushdie melalui novel The Satanic Verses pada 1988 mula menggoncang keadaan. Akhirnya, pada dekad pertama abad ke 21, gerakan anti agama menyerap masuk ke negara Islam dan mula bersikap anti Islam.

Kehadiran pelobi liberalisme, pluralisme dan penyokong kemerdekaan seks untuk pengamal Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) adalah kombinasi sekutu-sekutu gerakan anti Tuhan/Agama yang mula berdiri dengan berani mendepani masyarakat Malaysia yang selama ini ditunjangi oleh nilai agama sebagai amalan kehidupan. Sekali gus menentang Islam.

Selain negara ini, ancaman gerakan penentang Tuhan ini turut mengancam masyarakat Indonesia yang juga berpegang pada Islam sebagai nilai kehidupan.

Menurut Ketua Program Pendidikan Islam, Universiti Ibnu Khaldun, Bogor Indonesia, Dr. Adian Husaini, pelobi liberalisme mengambil kesempatan di atas meledaknya gerakan keterbukaan dunia terhadap ekonomi, politik dan hak asasi, dengan menyusup masuk ke akar umbi negara bangsa untuk menentang nilai-nilai agama terutama di kalangan masyarakat yang berpegang teguh pada hukum agama sebagai teras kepada nilai kehidupan.

"Pelobi liberalisme mahu setiap agama tunduk kepada perubahan. Idea terpenting dalam liberalisasi ialah the idea of progress yakni idea tentang kemajuan dan tidak ada yang tetap. Bagi pelobi sekularisme dalam mengembangkan pluralisme, tiada lagi syariat dan hukum. Agama hendaklah berubah mengikut peredaran masa," jelasnya.

Justeru katanya, kehadiran Irsyad Manji untuk mencabar amalan Islam dan budaya luhur di Malaysia dan Indonesia, adalah agenda yang jelas untuk mempromosi liberalisasi antara pelbagai agama.

"Mengapa dia mengembangkan liberalisme? Baginya Irshad Manji, sekarang tidak lagi sekatan, contohnya perkahwinan Muslim dan bukan Muslim. Itu boleh demi liberalisasi," kata Adian.

Dr. Adian berkata demikian ketika dijemput menjadi panel Bicara terbitan TV Alhijrah baru-baru ini. Turut hadir sebagai panel, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail. Program Bicara yang bersiaran langsung selama sejam ini, dihoskan Pakar Motivasi, Amin Idris.

Berhubung isu penyebaran dan penularan gerakan sekularisme yang sangat agresif dalam mempromosi budaya menentang Tuhan dan nilai-nilai beragama di kalangan umat Islam, Shahlan berkata, sekularisme ini ialah ibu segala macam pemikiran yang berkembang dengan kaedah perancangan jahat untuk memisahkan kehidupan duniawi dan ukhrawi.

"Mereka menolak nilai-nilai umat Islam yang selama ini berpegang pada iktikad keyakinan wujudnya Hari Kebangkitan. Jika sudah tidak ada lagi iktikad kebangkitan semula, apa ertinya dosa dan pahala, apa erti syurga dan neraka," tegasnya.

Bagi pelobi sekularisme yang berjuang mempromosi liberalisme dan pluralisme pula, beliau menyifatkannya sebagai golongan yang menolak Islam dan Rukun Negara. Bukankah Rukun Negara pertama itu sendiri meletakkan Kepercayaan Kepada Tuhan, jika tidak percaya wujudnya Tuhan, "nanti akan timbul pula isu atheist.

Mereka mahukan segala nilai Islam yang berkaitan dengan keimanan turut ditolak. Tiada lagi panduan nilai agama dan tidak ada lagi kepercayaan kepada ketuhanan apa lagi hal-hal keimanan kepada yang ghaib, juga tidak ada lagi hukum hakam dalam Fiqh," katanya.

Shahlan turut menyeru cendekiawan Islam supaya bersatu dalam soal mendepani dan menentang gerakan anti agama ini. Katanya, pemikir dan aktivis Islam harus duduk bersama, bersepakat dan menyusun strategi yang ampuh bagi menyingkir pengaruh serta penularan idea sekularisme yang berpaksikan pada pluralisme, liberalisme dan mendokong gerakan LGBT yang terang-terangan didokong oleh beberapa pemimpin dan nama-nama tempatan yang sengaja mencabar Islam dan institusi kenegaraan.

"Bahayanya tuntutan golongan Liberalisme ini dalam konteks Malaysia, mereka menolak apa yang telah termaktub dalam perlembagaan kita. Jika dibiarkan mereka akan menuntut supaya anak yang baru lahir dalam keluarga Islam pun tidak secara automatiknya beragama Islam," katanya.

Tegas Shahlan lagi, anasir sekularisme ini turut mendesak supaya mualaf yang memeluk Islam juga bebas kembali ke agama asal mereka. Malah, bagi isu tuntutan untuk bertukar agama, tidak perlu dirujuk di mana-mana mahkamah Syariah, malah sebaliknya, tiap pemohon bebas bertukar agama dengan memohon di mahkamah sivil.

Merujuk kepada suasana di Indonesia masa kini, Dr. Adian melahirkan kebimbangan kerana penyusupan gerakan anti agama ini kini bertapak kukuh dan mempunyai pengaruh di negara umat Islam terbesar dunia itu.

"Akar liberalisme agama sebenarnya berakar dari Yahudi. Munculnya liberal judaism membentuk sektor utama dalam agama Yahudi," tegasnya.

Malah Dr. Adian turut membentangkan fakta, betapa Indonesia sangat terbuka pada pengaruh sekularisme yang bersifat memusuhi agama kerana negara itu antara yang terawal di rantau ini disusupi aliran freemason yang dianggap ibu bagi segala pemberontakan terhadap agama.

"Gerakan liberal Barat yang digelar freemason bermula pada 1717, kemudian masuk ke Amerika pada 1735. Freemason Berjaya melaksanakan Revolusi Amerika pada 1176 dan 12 tahun sebelum kejayaan revolusi itu, mereka sudah bertapak di Indonesia pata 1764," jelasnya.

Disoal mengenai Irshad Manji, Dr. Adian menjelaskan, Irshad Manji berani berterus terang sebagai wanita Muslim yang mengamalkan gaya hidup lesbian, malah mencabar Fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI) berhubung pengharaman lesbian.

"Irshad Manji menolak dan mencabar MUI dan menyifatkan fatwa pengharaman itu sebagai tidak merujuk pada al-Quran. Malah dicelanya ulama sebagai golongan yang belum tentu diterima Tuhan," katanya.

Dengan nada memperingatkan pejuang Islam di Malaysia agar berhati-hati dan bersiap-siaga mendepani jihad menentang golongan anti Islam ini, Dr. Adian mendedahkan, liberalisme ini akhirnya akan menghancurkan agama. Golongan anti agama ini tidak mahu berpegang pada hukum Allah malah mahu mengaturkan hidup berdasarkan nilai-nilai kebebasan dalam tafsiran mereka sendiri.

Mengakhiri debat dalam Bicara, Shahlan turut mengingatkan remaja Islam agar berwaspada dengan gejala hedonism (hiburan tanpa batas), yang turut dilihat sebagai anasir anti agama yang menyusup masuk ke dalam masyarakat melalui keindahan 'seni' yang mereka cipta.

"Hedonisme turut menjadi alat penyusupan ideologi pluralisme dan sekularisme, kerana hedonisme turut mempromosi budaya kebebasan berhibur yang semata-mata untuk memuaskan nafsu," tegasnya.

Shahlan meminta umat Islam menelaah diri, serta kekal konsisten dalam mempertahankan Islam. Umat Islam sudah terlalu terbeban dengan masalah perpecahan dan sengketa sesama umat. Anehnya di saat-saat kita menghulur tangan untuk bersatu padu sesama agama dan bangsa, ada saja suara-suara yang menolak atas berbagai alasan.

Hal ini harus kita fikirkan bersama bahawa siapakah watak-watak yang mahukan kita berterusan berpecah seperti hari ini. Kata Perdana Menteri bahawa pintu perbincangan sentiasa terbuka antara UMNO dengan pihak-pihak lain tetapi apakah jawapan yang telah mereka berikan.

"Agenda idealisme anti-Islam ini harus diperangi. Adalah malang bagi umat Islam sekiranya, gerakan jahat ini berjaya menjajah kita semata-mata kerana Islam itu menjadi lemah kerana perpecahan dan sengketa sesama umatnya," tegasnya.


PENULIS ialah Pengurus Besar Penerbitan Kandungan TV Al Hijrah

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Jawatankuasa Kajian Semula Pendidikan Dijangka Umum Rumusan Dua Bulan Lagi



KOTA BAHARU : Jawatankuasa Kajian Semula Pendidikan dijangka selesai membuat kajian ke arah penambahbaikan mutu pendidikan negara dalam tempoh dua bulan lagi, kata pengerusi panel Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Katanya kajian itu akan mula dilakukan selepas anggota panel yang dilantik menganggotai DNPN itu selesai menjelajah ke seluruh negara bagi mengumpul cadangan daripada orang ramai.

"Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 ini dijangka selesai membuat penjelajahan ke seluruh negara pada 14 Julai ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dialog tersebut peringkat negeri Kelantan di sini, Sabtu.

Lebih 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk guru, bekas guru dan golongan profesional dari seluruh negeri ini menyertai dialog tersebut.

Dr Wan Mohd Zahid berkata seramai 12 anggota panel dilantik oleh Kementerian Pelajaran untuk mengumpul cadangan orang ramai dari setiap negeri yang dijelajahinya. "Setakat ini hanya dua negeri yang masih belum mengadakan program berkenaan iaitu Terengganu dan Johor," katanya.

Katanya melalui dialog itu anggota panel akan mengumpul semua cadangan yang dikemukakan oleh peserta dan ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa penilai di kementerian berkenaan.

"Selepas itu kita ambil masa mungkin Julai atau Ogos depan kita akan mula buat rumusan untuk dikemukakan ke peringkat atasan," katanya.

Pada majlis dialog hari ini, lebih 24 peserta memberi cadangan untuk penambahbaikan mutu pelajaran negara pada masa depan.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya kerajaan mewajibkan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, iaitu selaras dengan langkah kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

Cadangan lain ialah supaya mata pelajaran agama Islam diajar secara lebih serius sehingga melepasi garis mata pelajaran itu bagi melahirkan modal insan bersahsiah tinggi, ini selaras dengan matlamat pembelajaran sepanjang hayat ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.-BERNAMA

Jumaat, 22 Jun 2012

ISU BAHASA : Google pelihara bahasa terancam


SAN FRANCISCO 21 Jun - Google semalam melancarkan Projek Bahasa Terancam untuk menyelamatkan pelbagai bahasa di dunia ini daripada dilupakan.

Syarikat aplikasi enjin carian terbesar itu melancarkan laman web Projek Bahasa Terancam dengan kerjasama ahli akademik dan pakar bahasa.

Ia membolehkan pengguna mencari, berkongsi dan menyimpan maklumat mengenai dialek yang semakin dilupakan.

"Orang ramai boleh berkongsi pengetahuan dan kajian mereka secara langsung melalui laman web ini dan membantu mengemas kini kandungannya.

"Mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah mula menyumbang kandungan daripada bahasa dalam manuskrip kurun ke-18 sehinggalah bahasa moden seperti sampel bahasa video dan audio selain artikel,'' kata pengurus projek itu, Ciara Rivera Rodriguez dan Jason Rissman dalam blog Google.

Laman web endangeredlanguages.com itu direka dengan membenarkan pengguna memuat naik video, audio atau fail teks dan menggalakkan mereka menghafal rakaman dialek yang jarang didengari.

Menurut laman web itu, hanya separuh daripada 7,000 bahasa yang digunakan hari ini dijangka kekal sehingga akhir kurun ini.

"Mendokumenkan bahasa terutama yang hampir pupus merupakan langkah penting dalam memulihara kepelbagaian budaya, menghormati pengetahuan warisan dan memperkasakan golongan muda,'' kata Rissman. - AFP

ISU BAHASA : DBP audit bahasa mulai hujung tahun ini


KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan melaksanakan Program Audit Bahasa pada hujung tahun ini dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, kata Ketua Pengarahnya, Dr Awang Sariyan.

Beliau berkata, program itu merupakan satu mekanisme perintis ke arah mengaplikasi bahasa kebangsaan sebaik mungkin di semua peringkat, bermula dengan jabatan kerajaan.

"Untuk permulaan, program itu akan dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan mengaudit kesemua tindakan mahupun aktiviti di JPA untuk melihat sejauh mana badan kerajaan itu mengguna pakai bahasa Melayu.

"Bagi fasa pertama program itu, DBP akan lebih memberi tumpuan kepada badan kerajaan sebelum fasa kedua dilaksanakan di semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya kepada Bernama pada majlis Malam Bahasa Jiwa Bangsa sempena ulang tahun ke-56 DBP malam tadi.

Awang berkata, tugas DBP adalah untuk memastikan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa negara dan ia harus diguna pakai oleh semua termasuk golongan korporat, ahli akademik dan pemimpin negara.

Beliau juga berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal melancarkan buku 'Pelan Tindakan Bahasa Melayu' pada majlis perasmian ulang tahun DBP pada 13 Julai depan. - Bernama

ISU PERKHIDMATAN AWAM : 3K mengekalkan momentum keyakinan kakitangan


Oleh Sharifah Haayati


Penerapan nilai murni dalam kalangan pekerja  jamin kejayaan sesebuah organisasi

MINGGU lalu saya berkongsi pandangan mengenai kerajinan sebagai asas kejayaan. Rentetan daripada itu, sering kali tanpa kita sedar kerajinan dalam kalangan pekerja tidak diurus dengan baik sehingga kerajinan pekerja tidak benar-benar membuahkan hasil diinginkan.

Dalam membangunkan sumber manusia, aspek nilai sememangnya penting kerana dengan cara itu ia akan menjadi modal insan dan aset tidak ternilai bagi organisasi. Selain kerajinan, nilai lain seperti amanah, ikhlas, jujur, bertanggungjawab dan dedikasi perlu diterapkan.

Setiap nilai yang berjaya diterapkan perlu diurus atau dipelihara majikan dengan baik supaya ia terus berkembang, konsisten dan tidak pula sehingga membawa kemudaratan.

Justeru, membangunkan modal insan di tempat kerja, usaha bukan sekadar membangunkan sahsiah melalui penerapan nilai murni tetapi menguruskannya juga mesti diberi perhatian. Usaha ini dapat mengekalkan momentum kerajinan sekali gus menjadikan pekerja rajin sebagai model.

Memastikan kerajinan pekerja berterusan dan benar-benar membawa kebaikan hendaklah berdasarkan 3K iaitu keperluan, keutamaan dan kualiti kerja yang ditetapkan. Ketiga-tiga dasar ini akan memandu kerajinan supaya apa dilaksanakan menepati matlamat dan tiada kerja lebih utama terabai.

Keperluan kerja boleh ditentukan melalui matlamat, kepentingan jangka pendek dan jangka panjang organisasi yang ingin dicapai serta keperluan bertujuan mengelakkan kemudaratan. Kerajinan tanpa matlamat jelas tidak akan menghasilkan pencapaian dan menjadikan kerja sia-sia kepada organisasi.

Islam menekankan aspek keperluan supaya kerajinan yang ada, diurus dan diletakkan pada tempat yang sesuai dan membuahkan kejayaan antaranya mengikut pandangan Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam fiqh al-Awlawiyyat dan Imam Ibn Abd Al-Salam dalam Qawaid al-Ahkam.

Keutamaan kerja bagi perempuan turut ditekankan dalam Islam supaya umat Islam memahami apa yang perlu didahulukan atau dikemudiankan dalam beramal.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Iman itu mempunyai lebih daripada tujuh puluh  tingkat; yang paling tinggi antaranya ialah La ilaha illa Allah, dan yang paling rendah ialah membuang  halangan yang ada di jalan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Selain menunjukkan bahawa  amalan yang kecil pun termasuk sebahagian daripada iman, hadis ini juga  menunjukkan  tahap  iman berdasarkan keutamaan beramal.

Dari aspek keutamaan ini, pertimbangan kerajinan bekerja boleh dibuat dengan melihat kepada tempoh masa diperuntukkan, sulit atau mudahnya tugasan, kemaslahatan pelanggan dan organisasi, keuntungan atau kerugian.

Sebagai umat Islam, penumpuan kepada aspek keutamaan ini dipelajari melalui pelaksanaan kewajipan ditetapkan berdasarkan hukumnya sama ada wajib, sunat, makruh, harus dan haram. Kesemua kategori hukum menunjukkan keperluan, kepentingan, keutamaan, kualiti suruhan, amalan dan larangan.

Kerajinan juga perlu dipandu ke arah kualiti supaya ia tidak sekadar melaksanakan tugasan dengan cepat tetapi secara cuai dan sambil lewa. Dengan kata lain, hasil kerjanya tidak sempurna, memuaskan dan menepati standard ditetapkan.

Sedangkan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang apabila dia melakukan sesuatu dia melakukannya dengan sebaik-baiknya.” (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi)

Justeru, penekanan dalam bekerja bukan saja kerja keras tetapi kerja secara cekap. Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’, ‘alang-alang berdakwat, biarlah hitam” menunjukkan pentingnya sesuatu kerja itu ditunaikan dengan sempurna.

Amalan Islam amat menitikberatkan kualiti seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila saya memerintahkan sesuatu perkara kepada kalian, maka lakukanlah semampu kalian.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Kerajinan yang membawa kepada kemudaratan diri pula dikategorikan sebagai kerajinan tidak berkualiti kerana Rasulullah mengingatkan: “Jauhilah kalian sikap berlebih-lebihan (dalam melakukan ibadat).” (Hadis riwayat imam al-Nasa’i)

Kerajinan tanpa hasil berkualiti menyebabkan kerja dan nilai diri pekerja itu tidak dihargai organisasi. Ini perlu dielakkan berlaku kerana apabila kerajinan tidak dihargai ia akan membantutkan nilai kerajinan itu sendiri.

Walaupun rajin adalah tabiat, jika tidak dihargai, lama kelamaan  individu yang rajin sekali pun tidak berminat meneruskan usahanya. Justeru, marilah kita memastikan nilai kerajinan yang dibaja diletakkan pada tempatnya serta diurus dengan baik sebagai jaminan kualiti kejayaan organisasi.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Tan Sri Sidek Hassan Meninggalkan Perdana Putra Buat Kali Terakhir



PUTRAJAYA : Ia adalah langkah terakhirnya sebagai seorang penjawat awam tetapi bagi bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, ia juga adalah langkah permulaan kepada satu kehidupan baru.

Sidek, yang kini berusia 61 tahun buat kali terakhirnya bertugas sebagai pegawai kerajaan pada jam 5 petang Jumaat.

Beliau telah berkhidmat tanpa henti dengan perkhidmatan awam selama 38 tahun dengan menyandang jawatan paling tinggi sebagai pegawai kerajaan selama enam tahun.

Tidak ada jawatan yang paling tinggi dalam perkhidmatan awam melainkan jawatan ketua setiausaha negara yang juga bertindak sebagai setiausaha kepada jemaah menteri.

Mohd Sidek yang dilahirkan pada 24 Jun 1951 di Pahang, dilantik sebagai KSN pada 3 September 2006 sehingga bersara wajib pada 23 Jun 2007 setelah mencapai umur 56 tahun.

Bagaimanapun beliau dilantik semula secara kontrak sebagai KSN untuk tempoh dua tahun mulai 24 Jun 2007 dan perkhidmatannya itu kemudian dilanjutkan beberapa kali mengikut tempoh kontrak sehinggalah 23 Jun 2012.

Beliau memulakan perkhidmatannya sebagai penjawat awam pada 1974 dalam perkhidmatan tadbir dan diplomatik, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Walaupun majlis perpisahannya sebagai pegawai kerajaan diadakan secara sederhana sahaja tetapi lebih 500 kakitangan termasuk wakil dari semua 24 buah kementerian hadir untuk berjabat tangan dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

Beliau berkata sepanjang berkhidmat, beliau berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan memperkenal pelbagai pembaharuan dan perubahan bagi mengukuhkan prestasi dan budaya penyampaian awam yang cemerlang.

Sementara itu, di dalam laman web rasmi KSN, Mohd Sidek menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam kerana membantunya melunaskan tanggungjawab selama ini.

"Bagi sesetengah pihak, saya bukan seorang yang mudah untuk bekerja, malah tindakan-tindakan saya kadang-kadang dianggap terlalu tegas dan kasar. Namun niat saya sebenar-benarnya semata-mata untuk melakukan yang betul dan terbaik," katanya.

Ini kerana setiap tindakan dan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada prinsip antaranya integriti, kesegeraan, mengutamakan pelanggan, kolaborasi dan kerjasama, inovasi dan kreativiti, konsultasi dan penglibatan, meningkatkan kemahiran dan menimba ilmu, kata beliau.

Mohd Sidek turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan negara yang telah menaruh kepercayaan kepada beliau untuk menerajui perkhidmatan awam.

“Setakat yang saya terdaya saya telah melakukan yang terbaik dalam berkhidmat kepada negara saya dan juga saya telah melakukan yang terbaik untuk mengubah set minda para kakitangan awam agar memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Dan kini saya percaya, KSN yang baru akan terus menerima sokongan sepertimana yang saya terima daripada semua kakitangan awam," ujarnya.

Datuk Seri Dr Ali Hamsa, yang merupakan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta di Jabatan Perdana Menteri akan mengambil alih jawatan KSN daripada Sidek secara rasminya Isnin depan.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/