Jumaat, 29 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Dua Prinsip Utama Jamin Pendidikan Adil


PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam memastikan pendidikan adil kepada semua peringkat golongan masyarakat, dua prinsip utama diperjuangkan kerajaan iaitu meritokrasi kecemerlangan dan keadilan sosial.

Beliau berkata adunan dua prinsip itu penting bagi memastikan kejayaan pergerakan sosial mobiliti di negara ini terus dinikmati semua pihak.

"Oleh itu kalau sistem kita tidak dapat memberi peluang yang adil kepada golongan tersebut maka akan berlaku kepincangan dalam masyarakat," katanya semasa berucap pada majlis sesi sembang Perdana Menteri bersama Profesor dan Profesor Madya Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di sini Khamis.

Program itu dihadiri ahli majlis Persatuan Akademik Malaysia yang mewakili 30,000 golongan itu di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata justeru, salah satu kebanggaan kerajaan selama ini ialah mobiliti sosial yang agak ketara dan cepat sekali berlaku iaitu hanya dalam tempoh satu generasi sahaja.

"Mungkin juga ada di kalangan pensyarah dalam majlis itu yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, pekebun kecil dan kakitangan awam rendah tetapi kini menjawat jawatan tinggi jauh lebih baik," katanya.

Najib berkata keadaan itu adalah disebabkan peluang mobiliti sosial yang ada, peluang pendidikan serta pinjaman dan biasiswa  membolehkan rakyat melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

"Apa yang saya harapkan proses itu akan berterusan dan saya bangga sekali mendengar anak kampung, anak daripada keluarga miskin termasuk miskin di bandar berjaya kerana sistem pendidikan yang diperjuangkan selama ini," katanya.

Perdana Menteri berkata pelbagai kemudahan disediakan dalam bidang pendidikan termasuk subsidi yang cukup tinggi sehingga mencapai 90 peratus.

"(Harga) Barangan lain semua sudah naik...teh tarik, roti canai naik tetapi yuran pendidikan tinggi tak pernah dinaikkan kerajaan sampai sekarang walaupun kos semakin bertambah," katanya.

Selain biasiswa, katanya kerajaan sediakan pinjaman menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan jasa tabung itu amat besar sekali dalam membantu semua peringkat masyarakat mendapat akses pendidikan tinggi.

"Malangnya sejak kebelakangan PTPTN jadi kontroversi pula sedangkan jasa tabung pendidikan itu tidak dapat dinafikan.

"Secara rasionalnya mana ada pendidikan percuma di dunia, semua perlu dibayar, jadi kepada yang telah meminjam (PTPTN) adalah menjadi satu kewajipan untuk membayar," katanya.

Perdana Menteri berkata untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang kedua-dua prinsip itu mesti digabungkan dan semua dasar yang dijalankan kerajaan mengambil kira keadilan sosial.

"Ia juga dirangka dengan penuh penelitian, mempunyai prinsip serta asas perancangan dan bukan secara semberono sahaja kerana kerajaan tidak mahu sekadar menaburkan janji tanpa menjana kekayaan," katanya.- BERNAMA

Khamis, 28 Jun 2012

ISU SUKAN : Itali ke final Euro 2012, ketepi Jerman 2-1



NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

Itali mengetepikan Jerman 2-1 untuk mara ke final bertemu dengan juara bertahan Sepanyol.

Dalam pertemuan yang mendebarkan, Itali mendahului Jerman 2-0 sebelum lawannya itu menjaringkan gol tunggal pada minit-minit terakhir pertemuan, menerusi tendangan penalti.

Dengan kemenangan ini, Itali akan bertemu juara bertahan, Sepanyol dalam aksi final setelah menewaskan Portugal awal pagi semalam.

Sebaliknya, Jerman selaku pilihan kedua kejohanan bukan sahaja gagal untuk mara buat kali kedua berturut-turut, malah terpaksa akur apabila terus gagal menamatkan badi kekalahan ke atas Itali.

Kekalahan ini jelas mengecewakan rata-rata penyokong yang ingin menyaksikan pasukan itu mara ke final menentang Sepanyol untuk mengulangi sejarah empat tahun lepas.

Pada babak awal perlawanan, Itali yang menguasai perlawanan banyak melakukan serangan ke atas Jerman. Bagaimanapun berjaya dikekang oleh pertahanan pasukan itu.

Namun, semangat juang Itali nyata membuahkan hasil apabila Mario Balotelli berjaya menjaringkan gol awal untuk berada selesa di depan.

Perlawanan semakin rancak apabila kedua-dua pasukan terus melakukan asakan untuk mencipta gol.

Mario Balotelli sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila menghasilkan gol kedua untuk terus melebarkan kedudukan di depan.

Bersambung babak kedua, Jerman yang tersentak dengan dua jaringan Itali, mula mencari rentak dan melakukan serangan balas, namun semuanya menemui jalan buntu apabila terus gagal menghasilkan sebarang gol.

Namun, Jerman berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-91 menerusi sepakan penalti oleh Mesut Ozil.

Bagaimanapun, jaringan itu tidak berjaya menyekat kemaraan Itali untuk menempah tiket ke final.

Berdasarkan rekod pertemuan mereka sebelum ini, Jerman belum pernah mengalahkan Itali dalam perlawanan kompetitif di mana tewas tiga kali dan seri tiga kali dalam kancah Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah.

Statistik permainan:

- Kedudukan gol: Jerman (1) - Itali (2)

- Penguasaan bola Jerman (53%); Itali (47%)

- Sasaran ke gawang: 17(Jerman); 11 (Itali)

- Sepakan penjuru: 14 (Jerman); (0) Itali


Barisan pemain Jerman :

1  Manuel Neuer
20 Jerome Boateng
14 Holger Badstuber
5  Mats Hummels
16 Philipp Lams
7  Bastian Schweinsteiger
6  Sami Khedira
21 Marco Reus
8  Mesut Ozil
10 Luka Podolski
23 Mario Gomez

Barisan pemain Itali :

1  Gianluigi Buffon
7  Ignazio Abate
15 Andrea Barzagli
19 Leornando Bonucci
6  Federico Balzaretti
16 Daniele De Rossi
21 Andrea Pirlo
8  Claudio Marchisio
18 Riccardo Montolivo
9  Mario Balotelli
10 Antonio Cassano


Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Rakyat Perlu Pertahan Status BM


Oleh : AMIRUDDIN MOHSIN

KUALA LUMPUR : Rakyat di negara ini bertanggungjawab untuk mempertahankan status Bahasa Melayu,  kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan akan diteruskan di bawah dasar Martabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya.

Beliau berkata, dasar tersebut akan meningkatkan penguasaan dalam kedua-dua bahasa.

"Budaya Malaysia yang moden mesti berdasarkan pendidikan dan pembangunan kesusasteraan kebangsaan dan bahasa," katanya selepas merasmikan Seminar Bahasa, Kususasteraan dan Kebudayaan Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Khamis.

Menurut beliau, peradaban bangsa tidak diukur dengan kejayaan material semata-matatetapi karakter budi bahasa turut diambil kira.

"Penggunaan BM dalam sistem pendidikan akan membantu mengukuh perpaduan, identiti kebangsaan dan karakter. Kita mahu melihat sebuah negara maju yang menghargai BM sebagai jiwa bangsa," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Pengurusan Masa Berkesan Teras Kecemerlangan



UNTUK cemerlang dalam pelajaran, bukan saja memerlukan ketekunan mengulang kaji malah pengurusan masa yang betul.

Pengurusan masa yang baik adalah antara langkah awal boleh dipraktikkan bagi mendidik pelajar menjadi lebih berdisiplin, fokus dan bijak merencana masa depan.

Berikut antara panduan pengurusan masa terbaik  yang boleh dikongsi bersama.

1. Buat perencanaan

Buatlah perencanaan jadual waktu kerja atau mengulang kaji seharian supaya tidak akan kelam kabut sekali gus merugikan masa sedia ada.

2. Pusatkan perhatian

Jangan terlalu kecoh melakukan pelbagai hal sekali gus kerana jumlah waktu yang digunakan untuk sesuatu projek tidak penting sebaliknya tahu menyediakan jumlah waktu yang tidak terganggu.

3. Ambillah waktu rehat

Mengulang kaji atau bekerja dalam tempoh lama tanpa rehat bukan penggunaan waktu yang efektif. Tenaga makin menurun, kebosanan makin mempengaruhi serta ketegangan fizikal dan mental makin terkumpul.

4. Jauhkan suasana berkecamuk

Sesetengah orang selalu membiarkan meja tulisnya dipenuhi kertas yang berselerak kerana berasa dengan cara itu persoalan penting akan naik sendiri ke atas timbunan kertas.

Keadaan berkecamuk seperti ini mengganggu tumpuan, meningkatkan ketegangan dan menjejaskan  prestasi.

5. Jangan ingin menjadi serba sempurna

Memaksa diri untuk menjadi serba sempurna bukan langkah baik kerana ia bukan saja akan menimbulkan ketegangan minda malah menjadikan diri semakin tertekan. Terimalah segala kekurangan dan kelebihan diri seadanya.

6. Jangan takut mengatakan tidak

Belajarlah menolak dengan menggunakan kebijaksanaan tapi tegas terhadap setiap permintaan yang tidak membantu pencapaian sasaran.

7. Jangan menangguhkan kerja

Penangguhan kerja memungkinkan segala perancangan gagal dilaksanakan tepat pada waktunya hingga menyebabkan anda semakin tertekan.

Sumber  :  Kelab Remaja Isma Terengganu / Harian Metro

ISU PENGAJIAN TINGGI : Gender bukan penanda aras



Oleh Ruhaiza Rusmin
Masalah awal sesuai diri

KADANG kala pilihan dibuat pelajar untuk melanjutkan pengajian jauh melencong dari tanggapan awal menyebabkan kegusaran ibu bapa.

Sementelah lagi, pilihan itu menjurus kepada pengajian lebih didominasi pelajar berlawanan gender yang lebih sesuai mengikutinya.

Pilihan pengajian berlawanan arus normal itu juga seperti isyarat mereka hanya memperjudikan masa depan memegang gelaran mahasiswa minoriti.

Persoalannya, benarkah gender menjadi isu utama perlu dipertimbangkan sebelum meneruskan langkah seterusnya? Atau adakah ia tidak memberi apa-apa kesan?

Fellow Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Sharifah Meriam Syed Akil berkata, gender bukan penanda aras kemampuan mahasiswa dalam pengajian diikuti.

Sebaliknya, kelompok itu dikategorikan istimewa kerana mempunyai visi tersendiri merencanakan masa depan dengan mengetepikan isu gender bagi mengikuti program didominasi mahasiswa majoriti.

“Isu gender dalam program tertentu bukan perkara baru sebaliknya sudah lama. Bagaimanapun saya percaya ia bukan lagi isu kerana dunia pendidikan sudah berubah.

“Konsep dunia pendidikan moden memberi dan membuka seluas-luasnya peluang kepada sesiapa saja mengikuti pengajian bersesuaian minat, cita-cita dan perancangan.

“Malah, kelompok ini mengagumkan kerana ada keberanian memilih program menentang arus gender mereka. Berada dalam kelompok minoriti bukan masalah besar,” katanya.

Masyarakat era lama pasti menggeleng kepala jika ada di kalangan mahasiswa lelaki mengambil kursus bersifat feminin seperti chef atau kesetiausahaan manakala perempuan memilih pengajian kejuruteraan, automotif dan juruterbang.

Ia seperti menghilangkan jati diri serta menjatuhkan taraf biarpun pengajian diikuti menawarkan prospek kerjaya lebih luas.

Bagaimanapun, perubahan masa menyebabkan isu gender dianggap sebagai alasan terakhir dalam pemilihan kursus kini.

Apatah lagi sistem pendidikan negara memberi peluang sama rata kepada sesiapa saja.

Akuinya, mahasiswa negara ini bertuah kerana gender bukan isu utama berbanding negara luar.

“Ini menjadikan mereka tiada peluang meneroka aspek yang didominasi gender tertentu.

“Pembabitan mahasiswa tidak lagi menjadi buah mulut orang seperti dulu. Ini satu transformasi pendidikan yang sangat nyata terutama menyediakan aliran pekerja boleh menerokai pelbagai cabang kerjaya,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui mahasiswa minoriti perlu mempunyai kekuatan diri maksimum bagi membuktikan kebolehan masing-masing.

Menurutnya, ini bertujuan mengelak mereka mudah diperlekehkan atau patah semangat di peringkat awal pengajian.

“Mahasiswa minoriti tidak dapat lari daripada tekanan, kebolehan sering dipertikaikan malah perlu kuat mempertahan emosi sepanjang pengajian.

“Dalam kursus didominasi lelaki misalnya, kudrat perempuan pasti terbatas secara fizikal biarpun bukan sepenuhnya. Tapi mereka tetap boleh setanding dalam aspek lain seperti akademik.

“Begitu juga sebaliknya, masing-masing ada keistimewaan dan kelemahan namun bila digabungkan dalam senario tertentu, ia akan mencetuskan hasil menakjubkan,” katanya.

Kursus seperti chef membuktikan lelaki boleh mendominasi peluang pekerjaan yang dulunya dilakukan wanita di dapur.

“Sekarang chef terbaik di dunia adalah lelaki. Ironinya, konsep pendidikan bukan hanya tertumpu pada keutamaan gender tapi semangat untuk berjaya,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui mahasiswa lelaki mengambil masa menyesuaikan diri untuk mengikuti pengajian berbanding perempuan.

Menurutnya, psikologi lelaki yang lebih praktikal menjadikan mereka sukar menyesuaikan diri dalam kelompok berlainan gender pada peringkat awal.

“Berdasarkan pengalaman, mahasiswa lelaki biarpun tidak bermasalah mengikuti program namun ada kesulitan menyesuaikan diri dalam aspek pergaulan.

“Berbanding perempuan, mereka mampu menyesuaikan diri dalam tempoh singkat. Bagaimanapun, situasi itu bukan mempengaruhi kemampuan masing-masing malah pada satu tahap, kemampuan mereka akan seiring.

“Lebih utama ialah belajar kemudian cipta kejayaan. Itu lebih utama,” katanya.

Beliau turut menafikan gaya maskulin atau feminin pelajar akan tercalar apabila mengikuti jurusan berlainan gender.

“Saya tidak bersetuju apabila masyarakat mengatakan ia penyebab mahasiswa berubah perwatakan. Semua bergantung pada pembawaan dan prinsip diri masing-masing.

“Mereka tidak kelihatan canggung sebaliknya dapat belajar dengan baik. Pada saya, ia bukan satu masalah.

“Yang penting bagaimana kita mahu memberi dorongan kepada mereka untuk terus belajar dan menamatkan pengajian. Tidak perlu persoalkan perkara remeh-temeh,” tegasnya.

Sumber :  http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Perjalanan insan, proses kefahaman


Oleh : Prof  Dr Sidek Baba

FAHAM atau tafahum dalam bahasa Arab memberi konotasi yang amat penting dalam proses mengetahui. Ini adalah asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tahu tetapi tidak faham ibarat orang buta dengan gajah. Tahu dan ibarat orang celik yang melihat dan tahu akan sesuatu.

Proses faham adalah proses pembelajaran. Teori pembelajaran menyatakan jika proses faham tidak terjadi terhadap insan, pembelajaran belum berlaku. Ia terjadi apabila seseorang yang ingin tahu sesuatu, dapat memahami faktor zahiri dan faktor batininya.

Gunung-ganang yang terpacak di muka bumi dilihat secara geografikal sifatnya dan juga dari jendela al-Quran. Ini dikaitkan dengan awtad iaitu pasak bumi bagi keseimbangan terhadap bumi. Fahaman keseimbangan ini berkaitan manusia yang memberi bimbingan terhadap insan lain.

Fahaman insan mengenai cemerlang dihubungkan dengan kejayaan yang sifatnya kongnitif atau akal fikir; dan kaitannya dengan cemerlang dalam akhlak dan pekerti. Faham juga dikaitkan dengan konsep maju - wujudnya lambang fizikal melalui hasil teknologi dan kualiti diri insan. Sifat insan seperti amanah, adil, ikhlas, tulus dan telus disandarkan kepada ALLAH SWT.

Dari situ, lahir sifat ihsan yang tinggi terhadap insan, seterusnya membimbingnya menjadi hampir dengan ALLAH (taqarrub iLallah). Kedekatan diri dengan ALLAH menyebabkan rasa ketuhanan yang tinggi (God-conciousness) terjadi. Kedudukan ini menjadi asas penting untuk menerima petunjuk ALLAH dalam pencarian  untuk tahu dan faham.

Selalunya insan membina konsep faham hingga membentuk suatu fahaman (ideologi) berasaskan rujukan fikir tanpa zikir. Rasional dan logik akan menjadi sandaran hasil pemerhatian, kajian zahiri dan juga persepsi.

Fahaman dalam tradisi Islam mengembalikan manusia kepada fitrah diri. Diri ini tidaklah segala-gala melainkan hanya milik ALLAH. Jika kefahaman hanya bergantung kepada akal, maka pancaindera dan pengalaman masih berada dalam lapisan ilmu dan pengetahuan yang terbatas.

Sebaliknya memahami akan sesuatu mengambil timbangan akliah dan naqliah (wahyu) ia menjadikan kefahaman lebih bermakna kerana insan berbicara mengenai sumber kejadian dan mengkaji hikmah terhadap sumber kejadian.

Contohnya, air itu secara saintifiknya tidak hanya difahami gabungan elemen hidrogen dan oksigen di dalamnya. Tetapi sifat air yang melembutkan tanah, menyuburkan pokok, membersihkan kotoran dan menjadi sumber hidupnya manusia dan haiwan. Al-Quran memberikan asas air itu adalah sumber kehidupan. Sekiranya air didekati secara saintifik ia memberi insan mengenai maksud apa itu air.

Menghubungkan air sebagai mengapa, berkaitan sumber ciptaan ALLAH yang memberi kemaslahatan manusia dan kehidupan yang lain. Ini disebabkan kedekatan insan dengan Khaliq.

Begitu juga jasad insan adalah ciptaan ALLAH. Dengan kekuatan roh yang sifatnya ghaib memberi sumber kehidupan kepada insan. Diberikan akal mampu berfikir dan hati mampu merasa. Dan diberikan daya menyebabkan amal terjadi. Tanpa roh segala-galanya tidak memiliki upaya dan insan menjadi mati dan kaku.

Faham sesuatu dan binaan fahaman itu berasaskan kekuatan akliah dan disandarkan kepada petunjuk ALLAH terhadap manusia, yang membina kefahaman secara lebih menyeluruh. Apa yang tercipta dalam alam dan kehidupan ini memiliki talian yang rapat dengan Pencipta. Daripada-Nya insan boleh berfikir. Pemikiran insan berkembang dan diperluaskan lagi bahawa sesuatu terjadi dengan kudrat-Nya dan bermanfaat akan sesuatu dengan hikmah-Nya.

Insan menjadi lebih tahu dan faham apabila faktor yang nyata dan ghaib dikaitkan. Daripadanya, akan lahir tasawur atau pandangan semesta yang sifatnya dalam kesatuan. Ia tidak terpecah hanya dengan pandangan yang sifatnya duniawi (sekular) tetapi berkembang dalam batas Rabbani yang membawa kepada maksud hakiki akan sesuatu kejadian.

Dijadikan insan untuk memanfaatkan segala sumber yang ada di muka bumi. ALLAH menjadikan setiap sumber yang tercipta sebagai amanah untuk menyejahterakan insan dan alam ini. Status insan sebagai hamba cuba melakukan yang terbaik berhubung ibadah supaya asas patuh, taat, akur dan tunduk wujud pada dirinya.

Sebagai khalifah melakukan yang terbaik adalah suatu taklif atau tanggungjawab yang murni supaya antara hamba dan khalifah terhubung kedudukan dan peranan. Dengan memahami hakikat kewujudannya di dunia, insan menjadi insaf akan jalan kembalinya menemui ALLAH dengan jiwa soleh dan solehah yang tinggi. Inilah puncak kefahaman terhadap kehadiran insan di dunia dan kembalinya bertemu ALLAH nanti.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SUKAN : Sepanyol ke final Euro 2012



NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

SEPANYOL menghampiri untuk melakar hatrik apabila mencatat kemenangan bergaya menerusi sepakan penalti ke atas Portugal dalam aksi  penuh mendebarkan di Stadium Donestk, awal pagi tadi.

Perlawanan yang berlangsung selama 120 minit berikutan seri tanpa jaringan berlanjutan sehingga ke sepakan penalti, membuatkan juara bertahan, Sepanyol menang 4-2 mengatasi Portugal.

Dengan kemenangan itu, Sepanyol mengesahkan tiket ke final dan akan bertemu sama ada Jerman atau Itali di perlawanan akhir.

Pada masa yang sama, kekalahan ini turut meranapkan impian Portugal yang ingin mengulangi sejarah melayakkan diri ke final, sebagaimana disaksikan pada 2004.

Pada babak awal perlawanan, Portugal dilihat melakukan asakan awal ke atas Sepanyol untuk menjaringkan gol. Namun ia tidak berhasil apabila dikekang pertahanan La Roja.

Sebaliknya, Sepanyol yang cemas asyik diasak, mula menemui rentak di  tengah babak perlawanan apabila mula bermain agresif  dengan menampilkan serangan balas berbahaya ke arah gawang Portugal.

Namun turut tiada gol berjaya dijaringkan.

Meskipun kedua-dua pasukan saling mengasak kubu masing-masing, namun gol masih gagal dilakukan untuk mereka mencatat kemenangan.

Dengan kemenangan ini juga, Sepanyol semakin menghampiri untuk mempertahankan kejuaraan kali kedua berturut-turut.

Penyandang juara, Sepanyol turun dengan misi untuk mencipta hatrik iaitu juara Euro 2008 dan juara Piala Dunia 2010 manakala Portugal pula mahu meneruskan peningkatan prestasi selepas permulaan hambar pada awal saingan di samping  memasang impian untuk mengulangi sejarah pada tahun 2004.

Statistik permainan:

- Kedudukan gol: (0) Sepanyol - (0) Portugal

- Penguasaan bola: 41% (Portugal) - 59% (Sepanyol)

- Sasaran ke gawang: (12) Portugal; (13) Sepanyol

- Sepakan penjuru: (6) Portugal; (7) Sepanyol

Barisan pemain Portugal :

12 Rui Patricio
21 Joao Pereira
2  Bruno Alves
3  Pepe
5  Fabio Coentrao
16 Raul Meireles
4  Miguel Veloso
8  Joao Mountinho
17 Nani
9  Hugo Almeida
7  Cristiano Ronaldo

Barisan pemain Sepanyol :

1  Iker Casillas
17 Alvaro Arbeloa
15 Sergio Ramos
3  Gerard Pique
18 Jordi Alba
8  Xavi Hernandez
16 Sergio Busquets
14 Xabi Alonso
21 David Silva
10 Cesc Fabregas
6  Andres Iniesta

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/