Khamis, 12 Julai 2012

ISU SOSIAL : Indeks Jenayah Turun 10.1 Peratus Tahun Ini


KUALA LUMPUR : Indeks jenayah negara turun 10.1 peratus antara Januari dan Mei, mencatatkan 63,221 kes berbanding 70,343 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Pengurangan Jenayah, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Eugene Teh Yee berkata walaupun sasaran untuk mengurangkan indeks jenayah lima peratus tahun ini, statistik menunjukkan ia turun lebih dari dua kali ganda.

Indeks jenayah meliputi harta dan jenayah kekerasan.

Bagaimanapun jenayah jalanan yang merekodkan 43 peratus penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lepas, adalah dua peratus kurang daripada sasaran kerajaan iaitu 45 peratus penurunan, katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Jenayah ragut, rompakan dan rompakan berkumpulan tanpa senjata api dikelaskan di bawah kategori jenayah jalanan. Katanya indeks jenayah pada tahun lepas juga menurun 11.1 peratus, berbanding tahun sebelumnya, iaitu pada 2010 ia merekodkan 177,520 kes berbanding 157,891 kes pada tahun lepas.

"Jenayah jalanan juga menyaksikan penurunan jelas dengan 38,030 kes dilaporkan pada 2009, menurun 39.7 peratus iaitu 22,929 tahun lepas," katanya.

Teh berkata penurunan kadar jenayah di negara ini adalah hasil inisiatif yang diambil di bawah NKRA bagi mengurangkan jenayah yang antara lain, menyaksikan peningkatan kehadiran polis di kawasan-kawasan panas yang dikenal pasti di bawah program Omnipresence dengan 27,000 anggota polis dikerah di seluruh negara tahun lepas, bersama Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ini juga susulan program kerjasama dengan persatuan penduduk, kejiranan berkawal dan Skim Rondaan Sukarela dalam Kawasan Rukun Tetangga di mana 30,000 anggota telah berdaftar dengan polis, sukarela untuk membantu rondaan malam, katanya.

Beliau berkata siri program peningkatan barisan hadapan telah dilaksanakan dengan pihak polis, seperti penempatan mesin penarafan di kaunter siasatan untuk menilai pegawai penyiasat, mempunyai video latihan dalaman dan pelancaran perkhidmatan triaj untuk mangsa sensitif dan jenayah sensitif.

"Matlamat kita adalah untuk mencapai Polis Kelas Dunia menjelang 2020 bagi Malaysia memandangkan kita berharap untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada masa itu...kita berusaha untuk menyediakan Keselamatan Bertaraf Dunia dan infrastruktur keselamatan, keupayaan, dan amalan kepolisan," katanya. -BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Tumpu usaha lengkapkan kemampuan berfikir generasi masa depan



PUTRAJAYA - Bidang pendidikan negara perlu memberi perhatian kepada usaha membangunkan modal intelektual dalam negara, yang secara khususnya merujuk kepada usaha melengkapkan generasi masa depan dengan kemampuan berfikir di peringkat tertinggi iaitu tajam, mendalam, kreatif dan inovatif.
  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini penting kerana negara berhasrat melahirkan anak-anak bangsa bukan hanya untuk menikmati kemajuan hari ini semata-mata, tetapi untuk masa depan negara yang lebih gemilang.
  
Beliau berkata pada masa hadapan generasi ini terpaksa mengisi pekerjaan yang mungkin masih belum wujud pada hari ini, dan cabaran yang dihadapi negara dalam soal ini ialah usaha mencari jalan bagaimana cara untuk menyediakan mereka dalam menghadapinya.
  
"Bagaimana nak sediakan mereka untuk pekerjaan yang belum wujud; jawapannya tak boleh sebab kita tidak tahu jenis pekerjaan yang belum wujud, cuma kita boleh sediakan mereka dari segi kemampuan berfikir... higher order of thinking skill ini," katanya semasa berucap di Majlis Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.
  
"Ini supaya mereka boleh fikir bukan sahaja dengan tajam dan mendalam, tapi juga cukup kreatif dan inovatif, supaya mereka ada keanjalan untuk melakukan adaptasi dalam apa jua situasi bakal wujud nanti," tambahnya.

Perdana Menteri berkata di sinilah guru cemerlang yang merupakan ikon komuniti pendidikan memainkan peranan kerana mereka tahu mengenai cara untuk menguruskan proses pembelajaran dan pengajaran, bagi menyuntik motivasi di kalangan pelajar di samping mencetuskan idea baru di bidang pendidikan.
  
Beliau seterusnya berkata modal insan perlu dibangunkan dalam negara kerana ia adalah petunjuk utama yang akan digunakan oleh pelabur asing dalam menentukan keputusannya sama ada untuk menanam modal dalam negara atau sebaliknya.  
  
Guru Cemerlang merujuk kepada guru yang diiktiraf mempunyai pengetahuan, kemahiran serta kepakaran yang tinggi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran; dan kenaikan pangkat buat Guru Cemerlang diperkenalkan mulai 1993 untuk memberikan peluang kenaikan pangkat lebih baik bagi mereka tanpa memerlukan mereka meninggalkan tugas mengajar.
  
Najib berkata jumlah guru cemerlang dalam negara ketika ini mencecah 13,000 orang, dengan 36 sudah berpangkat JUSA C.
  
Perhimpunan 1,500 orang guru cemerlang hari ini merupakan agenda nasional yang dirancang Biro Tatanegara (BTN) dengan kerjasama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) serta Majlis Guru Cemerlang Malaysia (MGCM) bagi menyatukan gagasan pemikiran guru cemerlang agar seiring dengan agenda transformasi pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan. - Bernama

ISU EKONOMI : Rekod Bayaran Kad Kredit Rakyat Malaysia Antara Yang Terburuk Di Asia Pasifik


Oleh REGINA LEE

PETALING JAYA : Satu tinjauan global menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mencatat rekod pembayaran kad kredit paling buruk di rantau Asia Pasifik.

Menurut kaji selidik itu, kurang daripada separuh daripada responden tempatan yang ditemubual dalam talian mengatakan mereka membayar balik hutang kad kredit mereka sepenuhnya pada setiap bulan.

Oleh itu, Malaysia mencatat satu kadar pembayaran balik yang terendah di kalangan pasaran negara  membangun yang dijalankan tinjauan.

Kira-kira 15 peratus membayar balik lebih daripada jumlah minimum yang perlu dibayar manakala 18 peratus rakyat Malaysia membayar hanya jumlah minimum yang diperlukan.

Menerusi tinjauan juga, dua daripada lima warga Malaysia didakwa menggunakan kad kredit untuk membeli-belah, tempat makan dan hiburan.

Sebaliknya, kadar pembayaran balik yang tertinggi adalah di Taiwan, di mana 89 peratus daripada responden membayar bil kad kredit mereka sepenuhnya diikuti oleh Jepun (87%) dan Korea Selatan (85%).

Negara jiran, Singapura dan Indonesia juga menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan masing-masing mencatatkan 80 peratus dan 59 peratus, manakala hanya Vietnam mennunjukkan angka lebih buruk daripada Malaysia pada kadar 27 peratus.

Penyelidikan Global Nielsen terhadap Sikap Pelaburan juga menunjukkan rakyat Malaysia secara umumnya menjadi salah satu daripada 10 penyimpan teratas di dunia, tetapi 45 peratus daripada responden dalam talian juga mempunyai pelbagai pinjaman dan insurans.

Sementara itu, dua daripada lima pengguna Malaysia melabur wang mereka melalui pelbagai saluran.

"Pelaburan mereka, 67 peratus adalah dana bersama/unit amanah, 49 peratus memilih saham, 27 peratus melabur dalam emas, perak dan logam berharga lain, 1/4 dalam produk pelaburan berstruktur, 15 peratus dalam mata wang asing, 10 peratus dalam bon dan 8 peratus dalam derivatif," menurut Nielsen dalam siaran akhbar semalam.

Kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa kurang daripada 19 peratus daripada responden bergantung kepada perancang atau penasihat kewangan apabila membuat keputusan mengenai perkara-perkara kewangan peribadi atau kekayaan.

Sebaliknya, 43 peratus daripada responden membuat pilihan mereka sendiri tanpa mendapatkan nasihat sesiapa manakala 21 peartus mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan, saudara-mara dan rakan sekerja.

Hanya satu dalam setiap 10 orang bergantung pada tip  pelaburan daripada pengulas, pakar atau jurucakap yang disiarkan melalui televisyen, radio atau internet, dan enam peratus membuat keputusan pelaburan yang mengikut gerak hati semata-mata.

"Mengetahui sikap pengguna ke arah pengurusan kekayaan pada masa yang sama mewujudkan peluang-peluang yang berkaitan untuk melibatkan diri dengan pengguna dan menguruskan keperluan mereka masih satu tugas yang mencabar untuk perancang kewangan dan institusi pelaburan, terutamanya apabila empat dalam 10 pengguna tidak mempercayai orang lain apabila membuat keputusan kewangan," kata Nielsen .

Kaji selidik Sikap Pelaburan Global Nielsen telah dijalankan dari 10-27 Februari tahun ini dan tinjauan dibuat terhadap lebih daripada 28,000 pengguna dalam talian di 56 buah negara di seluruh Asia Pasifik, Eropah, Amerika Latin, Amerika Utara, Timur Tengah dan Afrika.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Status Kemasukan Ke UTM Boleh Disemak Mulai Esok


JOHOR BAHARU : Calon lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang memohon untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) boleh menyemak status permohonan mereka mulai 12 tengah hari esok.

Bahagian Pengurusan Akademik, Pejabat Pendaftar UTM dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini berkata calon boleh menyemak status permohonan dan mencetak surat tawaran itu di laman web rasmi iaitu UTM www.jpt.utm.my.

Calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan penerimaan tawaran dalam tempoh tujuh hari selepas surat tawaran rasmi dikeluarkan dan pengesahan boleh dibuat melalui laman web yang sama.

Menurut kenyataan tersebut, tarikh pendaftaran pelajar baru ke Program Sarjana Muda UTM ialah pada 2 September di Kampus UTM, Johor Baharu dan Kampus UTM Kuala Lumpur.

Manakala bagi calon yang tidak berjaya pula mereka boleh membuat rayuan melalui Aplikasi e-Rayuan dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi dikeluarkan melalui laman web http://upu.mohe.gov.my. Katanya jika tiada sebarang tawaran yang diterima daripada UTM sehingga 30 September ini, rayuan tersebut dianggap tidak berjaya.Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi Unit Kemasukan dan Rekod, Pejabat Pendaftar, UTM melalui e-mel azhara//upu.mohe.gov.my, http://jpt.uum.edu.my, http://jpt.unimas.edu.my dan http://jpt.ums.edu.my.

Status permohonan juga boleh diketahui melalui sistem pesanan ringkas dengan menaip UPU RESULT (No. Kad Pengenalan) dan hantarkan ke 15888.

Untuk sesi kemasukan ekademik 2012/2013 kali ini, UTM turut menawarkan dua kursus pengajian baru iaitu Sarjana Kejuruteraan (Nuklear) dan Sarjana Muda Sains Seni Bina.-BERNAMA

Rabu, 11 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : Ilmu sebagai suluh dan pedoman


Oleh : Prof  Dr Sidek Baba

Ilmu dalam tradisi Islam adalah suluh dan cahaya. Ia memberikan kita petunjuk dan pedoman. Tanpanya manusia kegelapan dan kejahilan. Ilmu dalam tradisi Islam tidak sekadar yang terbangun daripada sumber akliah atau fikir. Ilmu adalah interaksi akliah dan nakliah yang berpedomankan faktor zikir.

Al-Quran adalah sebesar-besar sumber ilmu daripada ALLAH. Ilmu hasil pemikiran manusia tidak segala-gala. Ia terbatas daripada kemampuan akliah insan, dibantu keupayaan pemerhatian, uji kaji dan cerapan inderawi yang sifatnya membatasi. Memahami ilmu ghaibiyyat adalah sesuatu yang amat utama.

Apabila ilmu nakliah memandu kekuatan akliah, ia memberikan dimensi fikir-zikir yang membawa makna kepada diri insan. Proses menerima makna mengenai hakikat ilmu dan hikmah dan hanya terjadi sekiranya wujud integrasi terhadap yang nyata dengan yang ghaib.

Sifatnya rohaniah dan rabbaniah. Air sebagai gabungan elemen oksigen dan hidrogen adalah elemen saintifik yang sifatnya akliah. Apabila air, dalam al-Quran, dihubungkan sebagai sumber kehidupan ia terkait dengan maksud rahmat ALLAH kepada makhluk-Nya di muka bumi. Air tidak sekadar sesuatu yang diciptakan tetapi terkandung hikmah di sebalik ciptaannya.

Sebab itu al-Quran dalam Surah Az Zumar ayat 8 menyebutkan bahawa tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Ayat ini memberi asas yang sangat kuat betapa ilmu dan orang yang berilmu memiliki kekuatan untuk tahu dan faham dan menerima makna akan sesuatu.

Hal yang terjadi kepada manusia adalah ilmu itu hanya dalam batas fakta dan data yang zahiri dan sifatnya mekanistik. Sedangkan ilmu pada hakikatnya adalah suluh dan petunjuk (hudan) mencerahkan pemahaman insan mengenai yang nyata dan di sebalik yang nyata.

Orang yang memiliki ilmu integratif tidak sekadar melakukan uji kaji, pemerhatian, tabulasi fakta dan data dan mengambil pendekatan empiris sebagai landasan rasional dan logik tetapi membangun jiwa tadabbur iaitu meneliti dan memahami sesuatu fenomena alam dan kejadian dan kaitannya dengan Pencipta.

Sebab itu ilmu sekular dan liberal yang sifatnya mekanistik memberi fokus kepada faktor duniawi semata dan asas agama tidak dijadikan landasan mencari makna akan sesuatu. Dalam tradisi Islam, akal dibenarkan subur dan berkembang tetapi pedoman dan petunjuknya daripada al-Quran.

Terdapat banyak firman ALLAH umpamanya memberi petunjuk terhadap pemikiran saintifik. Bagi orang Eropah yang pernah menghadapi konflik rasionaliti dan saintifik dengan pendukung teologi Kristian bagi Islam ia bukan masalah. Orang Barat hari ini akibat konflik tersebut menolak asas agama sebagai sumber ilmu.

Mereka menghubungkan ilmu dan sumber agama sebagai dogma (khayali) termasuk Islam. Sistem ilmu Barat ini berkembang dan sistem pendidikan negara orang Islam. Faham sekular dan liberal berkembang tanpa ia ditindikkan dengan asas agama dan etika. Lalu ilmu yang berkembang menjadi lepas bebas dari dukungan nilai.

Ilmu sifatnya terhubung dengan nilai (value-laden) bukannya bebas nilai (value free). Manusia memerlukan nilai sebagai ukur tara terhadap sesuatu perkara dan perbuatan. Menyatakan sesuatu itu baik atau buruk, makruf dan mungkar, halal dan haram umpamanya perlukan petunjuk nilai.

Adil mengikut sumber al-Quran bermaksud “meletakkan sesuatu pada tempatnya” bukan mengambil sikap berkecuali kerana ia boleh membawa kepada zalim. Contohnya, memilih pemimpin mesti kalangan orang berwibawa, memiliki ilmu yang sepadu, integritinya tinggi, akhlaknya menjadi sumber teladan, peribadinya menganjurkan kebaikan untuk semua manusia bukannya dendam kesumat dan taksub yang tinggi hingga membawa kepada kejumudan berfikir.

Orang berilmu dan memiliki pedoman hidup sifatnya tidak takabbur. Dia tidak menyatakan dirinya adalah segala-gala dalam bidang keilmuan. Kepakaran dan keahlian yang dimilikinya adalah mata rantai bagi suatu tamadun. Selalunya orang berilmu mempunyai jiwa rukuk dan sujud. Jiwa taqarrubnya (kehampiran) dengan ALLAH sentiasa menjadikan tawathuk kerana teladan ini adalah mesra manusia.

Bukan untuk disanjung secara berlebih-lebihan sehingga hilang imej keilmuannya dan tawaduknya. Ilmu yang ada padanya hakikatnya daripada ALLAH. Apabila ia dijadikan suluh dan pedoman kepada manusia dalam bentuk ilmu dan pengajaran sifatnya mendidik.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Pembestarian bahasa Melayu terus terabai



Oleh : Profesor  Dr. Teo Kok Seong

Bahasa Melayu ialah bahasa negara yang berfungsi sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Ini termaktub pada Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1967, dan Undang-undang Pendidikan Kebangsaan dari tergubalnya Akta Pelajaran 1957 sehingga ke Akta Pendidikan 1996.

Sebagai bahasa kebangsaan, dan lebih-lebih lagi dalam peranannya sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu ialah bahasa wahana wajib untuk ranah rasmi di negara ini.

Untuk ini, bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi “apa-apa jua maksud kerajaan, sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan Negeri, dan termasuk apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.

Hal ini yang tercatat pada Perkara 152 Fasal 6 Perlembagaan Negara dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 Seksyen 1, yang merupakan pengertian dan kehendak penggunaan dalam ranah rasmi, sebenarnya adalah terlalu sempit dan minimum sekali.

Pengertian dan kehendak ini selalu difahami dan sering juga dieksploitasi oleh masyarakat Malaysia sebagai hanya bersangkutan dengan urusan dengan kerajaan, yakni sesuatu perkara yang harus diselesaikan dengan pihak pemerintah.

Ia juga dianggap sebagai perkara yang dikelolakan oleh pihak kerajaan, iaitu sebarang kegiatan dan acara yang diaturkan oleh pihak pemerintah.

Selain itu, ia ikut disifatkan sebagai upacara, majlis dan acara yang dikendalikan oleh pihak kerajaan untuk rakyat dan sebaliknya.

Sebenarnya, ranah rasmi itu luas sekali dan merangkumi antaranya bidang perundangan dan kehakiman, pentadbiran kerajaan dan semua agensinya, pengajian tinggi dan buku ilmiah, pelajaran sekolah rendah serta menengah dan buku teks.

Selain semua ini, ia ikut merangkumi media massa cetak dan elektronik, kegiatan ekonomi dan perdagangan, pembangunan sains dan teknologi, profesion dan pekerjaan, serta upacara, majlis dan acara rasmi, baik yang dianjurkan oleh pihak awam mahupun swasta.

Ranah rasmi adalah medan pengaruh yang amat berwibawa lagi berprestij, yang menguasai kehidupan seluruh warga sesebuah negara itu, dan bahasa, termasuk ragam yang digunakan untuk ranah rasmi ini, sebenarnya adalah bahasa dan ragam yang disanjungi dalam negara berkenaan, oleh semua lapisan dan sektor masyarakat.

Dalam konteks di Malaysia, ragam bahasa yang dimaksudkan ialah ragam baku bahasa Melayu. Ragam ini hendaklah digunakan dalam keadaan bestari, iaitu baik dan betul, dan sepenuhnya, yakni dari awal hingga ke akhir, sama ada sewaktu bertutur mahupun menulis, khususnya dalam penggunaan rasmi.

Pematuhan dua syarat linguistik ini, iaitu penggunaan bestari dan sepenuhnya adalah perlu sekali sebagai salah satu langkah penting untuk mengimbuh wibawa kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Selain kewibawaan ini, dua syarat ini juga boleh mempertingkat kedominanan bahasa Melayu dari pelbagai aspek. Antaranya termasuklah perundangan, ideologi dan tindakan.

Bagaimanapun, dua syarat linguistik ini tidak selalu dipatuhi. Yang sering terjadi adalah tiga perkara berikut :

Pertama, penggunaan bentuk bahasa yang melanggar peraturan nahu baku bahasa Melayu.

Kedua, bahasa Melayu yang menggunakan bentuk bahasa Inggeris yang bukan pun kata serapan dalam bahasa Melayu.

Ketiga, penggunaan bahasa Inggeris, sama ada secara sebahagian atau sepenuhnya untuk menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa wahana wajib.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Akta Keharmonian Nasional Ganti Akta Hasutan 1948


KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Rabu mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamim kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.

"Dengan adanya akta baru ini, kita akan lebih bersedia untuk menguruskan tahap kesilapan negara. Ia juga akan membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama," katanya pada majlis makan malam Jabatan Peguam Negara bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail.

Najib berkata, tanpa keseimbangan yang ideal, ia mungkin merencatkan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, menumpulkan daya kreativiti serta sifat inovatif atau membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremisme.

Katanya, keseimbangan itu perlu dicapai dalam persekitaran masyarakat yang lebih terbuka dengan akses kepada maklumat yang boleh menyebabkan limpahan maklumat, taraf pendidikan dan sosio ekonomi yang semakin tinggi serta tahap harapan yang semakin meningkat.

"Peruntukan yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama," katanya.

Beliau berkata, rang undang-undang baharu itu akan bersifat lebih spesifik dan membolehkan kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan peruntukan akta itu tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan seperti mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja.

Ia juga meliputi perbuatan untuk menimbulkan permusuhan antara kaum danmempersoal apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang dilindungi dalam Perlembagaan.

"Sebelum menggubal rang undang-undang Keharmonian Nasional ini kerajaan ingin menjemput pandangan dan pendapat rakyat Malaysia sama ada individu mahupun pertubuhan mengenai perkara yang perlu ditangani dalam merangka perundangan ini.

"Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk mendapat sudut pandangan emua 'stakeholder' (pihak berkepentingan)," katanya.

Najib berkata, kerajaan sedar ada pihak menganggap Akta Hasutan sebagai alat untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan, namun menegaskan anggapan itu tidak berasas sama sekali.

"Lantaran itu, peruntukan baharu ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan. Sebarang perbuatan menghina mahkamah akan dikendalikan sendiri oleh pihak kehakiman melalui peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, Najib juga berkata, kerajaan mengambil keputusan menguatkuasakan serta-merta semua akta baharu dan pindaan terhadap akta-akta sedia ada yang yang diumumkan dalam Pelan Transformasi Politik termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Universiti dan Kolej Universiti.

"Melalui pemansuhan dan penggubalan rang undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea.

"Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Jabatan Peguam Negara boleh diibaratkan sebagai kompas yang memberi petunjuk bagi memastikan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sentiasa dijunjung.

"Saya amat berbangga kerana warga Jabatan Peguam Negara tidak pernah leka dengan sanjungan dan pujian serta tidak melatah setiap kali diasak dengan tohmahan dan fitnah," katanya. - BERNAMA