Jumaat, 13 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : DNPN dapat sambutan luar biasa



Oleh ZULKIFLI JALIL dan ASSIM HASSAN

DIALOG Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang diadakan sejak 29 April lalu di 15 lokasi di seluruh negara menerusi pertemuan dengan rakyat yang mengutarakan pelbagai isu pendidikan disifatkan suatu program luar biasa dalam sejarah pendidikan negara.

Melabelkan dialog berkenaan sebagai sesuatu yang 'fantastik', Pengerusi Panel Dialog itu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin berkata, pada program tersebut, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum tanpa mengira ideologi diberi ruang untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam hati serta berpeluang mengesyorkan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan.

Malah, beliau berkata, 11 lagi ahli panel menyanjungi usaha Kementerian Pelajaran menggerakkan dialog tersebut untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat.

''Merata-rata saya pergi (ke negeri-negeri berkenaan), mereka (orang ramai) datang bersemangat tanda respons mereka pada kerajaan.

"Kalau kita lihat dalam satu-satu dewan itu, bukan 70 orang yang datang tetapi rata-rata di setiap lokasi melebihi 700 orang.

''Di Pulau Pinang sebagai contoh, kita terpaksa bahagikan pula kepada dua seksyen... malah pemimpin UMNO, DAP dan PKR duduk semeja dalam dialog tersebut, di Tawau sesak manakala di Kelantan lebih 1,020 yang hadir.

''Ini menunjukkan isu-isu pendidikan dirasakan semua orang dan merentasi segala perbezaan politik dan ideologi," katanya dalam satu wawancara khas di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, di sini baru-baru ini.

DNPN merupakan satu inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Kajian Semula Pendidikan. Ia adalah wadah bagi perkongsian idea dan lontaran pandangan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada kementerian itu dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.

Objektif dialog itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan serta membina kesedaran bersama akan perancangan kementerian dalam membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.

Tambah Wan Mohd. Zahid, dialog tersebut menggunakan konsep townhall di mana orang ramai dijemput hadir secara walk-in di lokasi yang strategik bagi membolehkan mereka bebas untuk memberikan pandangan, kritikan dan cadangan yang akan dijadikan imput bagi Pelan Pembangunan Pendidikan untuk jangka masa 15 tahun akan datang.

Jelasnya, beliau sendiri dan beberapa lagi panel akan berada pada setiap townhall itu bagi mendengar luahan dan aspirasi rakyat, luahan serta pandangan ini akan menjadi asas kepada Pelan Pembangunan Pendidikan itu.

Selain menggunakan kaedah townhall, pihaknya turut mengadakan pertemuan meja bulat dengan kumpulan tertentu seperti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan kesatuan guru, media, kumpulan komuniti, pesara, wakil politik dan lain-lain lagi.

Katanya, bagi perjumpaan meja bulat itu, pihaknya hanya mengehadkan kepada 15 hingga 20 individu bagi sesuatu persidangan bagi memberi peluang kepada mereka bercakap lebih lama.

''Setakat ini kita telah mengadakan 19 persidangan meja bulat bagi dialog tersebut dan rata-rata respons yang diberikan sangat memberansangkan.

''Walaupun berlainan ideologi dan fahaman politik, kumpulan-kumpulan ini mengamalkan sikap profesional dalam menyuarakan pendapat bagi kebaikan masa depan sistem pendidikan negara.

''Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pendidikan mampu menyatukan pelbagai pihak dan mendapati rakyat negara ini sepakat bahawa pendidikan berkualiti adalah penting bagi memastikan negara dapat bersaing di peringkat global,'' ujarnya.

Setakat ini, lebih 10,808 orang daripada segenap lapisan masyarakat telah hadir bagi menyertai dialog berkenaan.

Jelas Wan Mohd. Zahid, pihaknya dengan tangan terbuka sentiasa menerima input daripada masyarakat sama ada secara lisan ataupun bertulis, menghantar memorandum dan sebagainya.

Menurutnya, penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter turut mendapat respons positif daripada masyarakat berhubung kajian semula pendidikan itu.

''Kita telah meneliti 118 isu dalam memorandum yang diterima daripada pelbagai pihak dan kita juga mengambil kira input daripada laman sosial kami di Facebook - myedureview2012 dan Twitter - @edureview2012,'' katanya.

Wan Mohd. Zahid menambah, dalam dialog tersebut, pihaknya memberi peluang sepenuhnya kepada orang ramai untuk menyatakan pendapat, kritikan dan cadangan bagi diguna pakai dalam kajian semula pendidikan negara ini.

Katanya, pihaknya telah menganalisis sembilan perkara yang dikenalpasti merupakan keutamaan dalam transformasi pendidikan negara.

Antaranya adalah guru, aspirasi, kokurikulum, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia dan sebagainya.

''Kita mengambil pendekatan tidak mahu campur tangan dalam proses dialog itu. Bila kita bagi penerangan kita sebut, kita minta dia nyatakan pandangan mereka kepada sembilan perkara keutamaan yang telah dikenal pasti.

''Namun, mereka juga boleh mengutarakan keutamaan lain daripada sembilan keutamaan itu.

''Penglibatan kita sangat minimum, kita lebih memberi peluang kepada mereka menyatakan pendapat, pandangan mereka. Kalau dia tanya "bersetuju tak", kita tidak akan memberi jawapan kerana itu pandangan mereka. Kita sebenarnya mahu dengar pandangan dia,'' ujarnya.

Walaupun program jelajah DNPN tiba di lokasi terakhir Johor Bahru Sabtu ini, orang ramai masih boleh menyatakan kritikan, komen, cadangan dan forum secara online melalui laman web Kajian Semula Pendidikan di www.edureview.my.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Audit bahasa Melayu cabaran baru DBP


Oleh : Imlan Adabi

Masalah boleh diselesaikan jika kerajaan berazam tingkatkan citra Malaysia

Syabas Dr Awang Sariyan kerana mengotakan janji yang dibuatnya Februari lalu untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu di jabatan kerajaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaklumkan proses audit bahasa kebangsaan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelang akhir tahun ini, dengan menempatkan kakitangan bagi memeriksa dokumen rasmi jabatan terbabit.

Laporan audit terbabit akan dikeluarkan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil dalam usaha meningkatkan tahap penggunaan bahasa kebangsaan di agensi yang dikesan masih belum menepati piawaian ditetapkan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menegaskan usaha memartabatkan bahasa Melayu akan dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai Disember, dengan mengaudit semua tindakan dan aktiviti untuk melihat sejauh mana badan kerajaan itu mengguna pakai bahasa Melayu.

Untuk tujuan ini, beliau berkata, pelbagai pekeliling dikeluarkan oleh JPA termasuk yang terbaru Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 mengenai panduan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Kita harap isu bahasa boleh diselesaikan jika kerajaan berazam untuk meningkatkan citra Malaysia. Sebelum ini isu bahasa bermasalah kerana pimpinan politik tidak tegas. Kita harap ia tidak berulang walaupun pelbagai kempen pernah dilaksanakan. Lebih malang apabila kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sebelum ini tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Audit bahasa tindakan terbaik

Keadaan ini berpunca sikap pegawai atasan dan penjawat awam yang tidak memahami atau terlepas pandang Dasar Bahasa Kebangsaan yang turut disokong Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Setakat ini ada beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mencapai tahap 80 hingga 90 peratus penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi.

Memang diakui mengauditkan penggunaan bahasa Melayu tindakan terbaik tetapi mampukah DBP berdepan kerenah birokrasi? Mampukah DBP menegur pemimpin yang bertutur dan menulis dalam bahasa penjajah?

Sehingga kini DBP tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

DBP hanya sekadar bersuara, memberi nasihat dan memantau tanpa kuasa penguatkuasaan, justeru lahirlah nama taman perumahan berbaur bahasa asing.

Ketika pembinaan Putrajaya pun, DBP tidak dirujuk untuk menggunakan perkataan ‘presint’ yang langsung tiada kaitan unsur tempatan.

Penulis yakin DBP tidak dirujuk ketika syarikat kereta nasional ditubuh pada 1985. Justeru, lahirlah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd yang menggunakan ejaan ‘otomobil’ bukan automobil.

Isu pengabaian bahasa Melayu pernah dipersendakan apabila tema Hari Kebangsaan pada 1996 yang bermakna ‘lesu’, ‘longlai’ atau ‘tidak bermaya’. Ungkapan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ menjadi sebutan ramai, walaupun perkataan ‘kecapaian’ membawa makna negatif.

Isu kecapaian

Begitu juga slogan sambutan Maal Hijrah pada tahun sama yang berbunyi ‘Budaya Murni Teras Kecapaian’ yang langsung tidak menepati konsep hijrah itu sendiri. Bayangkan ungkapan yang salah itu diulang berkali-kali dalam kalangan masyarakat ketika sambutan diadakan. Kasihan murid dan pelajar kerana keliru memahami ‘kecapaian’.

Hari ini setengah bilion penutur bahasa Melayu bertebaran dari Asia Pasifik hingga ke Afrika Selatan. Tanpa sedar pengguna bahasa Melayu merata di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, Teluk Siam, Selat Sunda hingga ke Afrika dengan pelbagai pengubahsuaian dan penerapan nilai setempat.

Bagaimanapun kita masih pasrah dengan kesilapan melampau. Apakah masalah sikap atau pihak tertinggi yang kurang tegas dalam isu bahasa, seperti juga longlai dalam isu novel Interlok angkara hasutan pihak lain? Ada ketika politik mengatasi isu bahasa dan sastera.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Bila ilmu ditawan dunia komersial



Oleh : Noor Azam

Pelbagai isu pendidikan belum selesai

Awal Mei lalu ada berita bertajuk besar: ‘Menguasai bahasa Inggeris adalah satu keutamaan’. Tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin: “Usaha memastikan rakyat Malaysia boleh menguasai bahasa Inggeris tetap jadi keutamaan kerajaan.” Pengumuman ini meletakkan cabaran berat kepada pegawai profesional di Kementerian Pelajaran, guru besar dan guru Bahasa Inggeris. Sejak dulu-dulu lagi sekolah kita tidak pernah cukup peralatan dan guru. Bahasa Inggeris jadi mata pelajaran sampingan. Penguasaannya tidak pernah jadi sebagai satu ‘keutamaan’.

Kemahiran berbahasa, apa lagi bahasa asing, bergantung kepada sejauh manakah ia digunakan setiap hari. Mulai sekarang sekolah perlu memastikan supaya pelajar sebanyak mungkin berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Setiap hujung penggal persekolahan perlu ada pertandingan bahas dan pidato dalam bahasa Inggeris. Pastikan selepas Tingkatan Lima anak kita mahir berbahasa Inggeris.

Di samping itu, sekolah kita berhadapan dengan cabaran lain lagi. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan (5 Julai), mata pelajaran baru, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Menurut Dr Mohd Puad: “Kita tidak boleh lagi menunggu lebih lama kerana menurut kajian, ramai remaja di negara ini masih tidak mengetahui fungsi dan kepentingan pergaulan secara sihat antara lelaki dan wanita.”

Kata Mohd Puad lagi: “Pengajaran subjek terbabit yang dicadangkan bermula pada peringkat sekolah rendah atau menengah rendah juga membolehkan remaja memperoleh maklumat berhubung kesihatan reproduktif dengan lebih tepat.”

Pelajaran ini juga katanya, berupaya mengurangkan masalah kepincangan sosial dalam kalangan anak muda sekarang. Silibus yang sesuai dimasukkan dalam pelajaran ini boleh menyedarkan anak muda mengenai bahaya kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Ketika zaman penulis bersekolah dan menjadi remaja, tanpa ada mata pelajaran khusus berkaitan hubungan lelaki wanita, sudah cukup tahu akan bahaya berzina. Tahu hukumnya dan akibat buruknya kepada diri dan keluarga. Sekarang ketika zaman semuanya boleh dibaca dan dilihat di mana-mana, sekolah terpaksa pula mengadakan pelajaran ‘Kesihatan Reproduktif’ (namanya pun aneh!).

Masalah ‘kepincangan sosial’ dan hubungan seks dalam kalangan remaja, bukanlah kerana mereka tidak tahu bahayanya, tetapi kerana mereka tak terdaya melawan ombak rangsangan seks di sekeliling mereka. Yang memberikan contoh tidak baik itu, terutama sekali golongan yang lebih tua daripada mereka, berlaku di depan mata dalam pelbagai media, tanpa sekatan dan batasan. Ibu bapa yang prihatin jadi serba salah dan kehilangan arah.

Budaya komersial yang melampau, terutama dalam mengeksploitasi dan memperdagangkan tubuh wanita sudah meracuni otak dan merangsang nafsu kaum remaja. Kepincangan sosial lebih serius berlaku dalam kalangan orang dewasa. Internet dan alat komunikasi baru yang sangat canggih, sudah pula berkembang menjadi sumber penyakit sosial yang tak mampu dikawal lagi.

Justeru, apapun ilmu dan didikan di sekolah, sukarlah mencapai tujuannya kerana masyarakat dan negara tidak lagi punya kekuatan untuk mengawal tingkah laku manusia dan dunia komersial. Sebaliknya dunia komersial pula yang menguasai pemerintah negara.

Pada 28 Jun lalu dilancarkan pula program Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang akan dilaksanakan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). Menurut Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (bekas Ketua Pengarah Pelajaran) tuisyen percuma ini ‘akan memberi faedah kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat tuisyen terbaik.’

Seramai 350 ‘guru cemerlang’ yang membabitkan 107 sekolah rendah dan menengah akan memulakan projek perintis di Selangor. Kumpulan yang terpilih mengikuti tuisyen ini ialah calon ujian UPSR, PMR dan SPM.

YGMB ialah yayasan yang ditubuhkan oleh bekas pegawai tinggi pendidikan. Apabila mereka pula menganjurkan tuisyen, membuktikan pengajaran di sekolah tidak dapat menjamin kelulusan ujian yang baik, walaupun sudah ada sekolah dan guru yang ditarafkan ‘cemerlang’. Akhirnya kecemerlangan sekolah bergantung kepada tuisyen di luar sekolah. Justeru, guru dan sekolah yang benar-benar cemerlang tidak akan ada lagi!

RM2 juta sudah diperuntukkan bagi program perintis ini. Apabila diperluaskan ke seluruh negara biayanya pastilah ratusan juta dan membabitkan ribuan guru cemerlang! Timbullah banyak persepsi negatif!

Apakah program dan perbelanjaan ini wajar? Mengapa pengajaran di sekolah tidak cukup untuk menyediakan pelajar menghadapi ujian? Apakah program ini akan menjadi  sebahagian daripada sistem pendidikan kita? Yang boleh menjawab hanya guru dan pegawai profesional di Kementerian Pelajaran dan YGMB. 

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kes Curi Motosikal Di Parkir & Pusat Beli Belah Paling Tinggi Direkodkan


PETALING JAYA : Kes curi motosikal antara kes tertinggi direkodkan bagi kejadian jenayah di parkir dan sekitar pusat beli-belah iaitu sebanyak 115 kes dilaporkan pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ia diikuti cabul sebanyak 44 kes, samun tanpa senjata api (10) dan ragut sebanyak lapan kes.

"Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula, sebanyak 54 kes curi motosikal dicatatkan, 17 kes cabul, enam kes samun tanpa senjata api dan ragut empat kes," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, Jumaat.

Sesi dialog itu disertai lebih 300 ahli PPK yang membincangkan mengenai isu keselamatan di pusat beli-belah dan kaedah yang boleh diambil dalam mengurangkan jenayah.

Khalid berkata pengusaha pusat beli-belah harus diberi pendedahan mengenai kepentingan serta meningkatkan tahap keselamatan di kawasan tersebut sebagai usaha memerangi kejadian jenayah di sekitar pusat beli-belah khususnya di parkir. Katanya sesi perjumpaan secara berkala diharap dapat dijalankan bersama pihak pengurusan pusat beli-belah dalam menyalurkan sebarang perkembangan terkini berkenaan keselamatan di pusat beli-belah. Khalid berkata pengusaha pusat beli-belah digesa mencontohi inisiatif yang diambil pusat beli-belah Sunway Pyramid dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di kawasan letak kereta.

"Dengan memasang sebanyak 200 alat 'panic button' serta lebih 400 kamera litar tertutup (CCTV) di parkir serta menyediakan pengawal keselamatan yang lebih ramai dan melakukan rondaan menggunakan motosikal dan basikal sekaligus mampu memberikan keyakinan kepada orang ramai.

Hasil dialog itu juga, Khalid berkata pengusaha pusat beli-belah menyambut baik cadangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini untuk menempatkan anggota sukarelawan seperti Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di pusat beli-belah.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis akan mengenal pasti kawasan baru tumpuan jenayah termasuk pusat beli-belah.

"Selain 50 tempat hotspot yang telah kita kenal pasti, kita juga akan mengenal pasti kawasan tumpuan jenayah yang baru di mana ia akan turut diperluaskan di pusat beli-belah," katanya selepas Majlis Taklimat Khas Pemantapan Aktiviti Memerangi Jenayah bersama Ketua-ketua Polis negeri dan daerah di Pasukan Gerakan Am, Bridged Tengah, Cheras. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Polis Bantu 1,473 Bekas Tahanan Dapatkan Kerja


Oleh :  STEVEN DANIEL

KUALA LUMPUR : Polis memantau pergerakan 1,473 individu seluruh negara yang dibebaskan di bawah Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri sejak beberapa bulan lalu dan sedia membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan bagi mengelakkan mereka kembali terlibat dengan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata bekas tahanan agak sukar mendapatkan pekerjaan kerana pihak majikan  sangsi akan penerimaan masyarakat terhadap mereka, justeru beliau berharap perkara tersebut tidak akan menjadi punca mereka kembali kepada tabiat buruk mereka sebelum ini.

"Kami berharap bekas tahanan ini mendapat peluang kedua dalam hidup dan mereka akan merebut peluang itu serta berusaha menjadi warganegara yang bertanggungjawab dalam komuniti mereka.

"Saya juga berharap masyarakat dan bakal majikan akan memberikan mereka satu peluang bukan menilai mereka sebagai golongan yang bermasalah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan taklimat kepada ketua-ketua polis negeri dan pegawai kanan di Bukit Aman pada Jumaat.

Ketika taklimat tersebut, Ismail telah mengarahkan semua ketua polis daerah mesti berhubung dengan bekas tahanan yang telah kembali ke kampung mereka untuk mengetahui sama ada mereka menganggur atau tidak.

Sekiranya bekas tahanan ini masih menganggur mereka perlu memberikan butiran peribadi mereka kepada Jabatan Tenaga Kerja dalam usaha membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Ismail berkata tindakan memantau pergerakan bekas tahanan diambil bukan untuk mengganggu sebaliknya membantu mereka.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut mengumumkan bahawa semua anggota polis perlu berlatih ‘Confidence Building Action’ ketika menguruskan kes yang melibatkan mereka yang menjadi mangsa jenayah bagi membantu mengurangkan trauma yang dihadapi.

"Di bawah rancangan ini, setiap mangsa yang telah membuat laporan polis akan dihubungi oleh pegawai penyiasat yang ditugaskan memantau kes tersebut sekurang-kuranya sekali setiap hari bagi mengemas kini perkembangan terbaru dalam kes tersebut.

"Pada masa akan datang sebuah pasukan khas akan dihantar untuk melawat mangsa sekali gus dapat mengelakkan risiko kejadian jenayah yang sama berulang semula di kawasan mereka. Ia juga dapat membantu mangsa pulih daripada pengalaman pahit yang dihadapi mereka," katanya.

Berhubung kes sepasang suami isteri  mengambil tindakan nekad untuk tinggal dalam kereta mereka selama seminggu berhampiran dengan Hospital Ampang Jaya selepas pangsapuri mereka di Pandan Perdana dipecah masuk dan anak perempuan mereka ditetak dengan parang oleh penyerang, Ismail berkata beliau telah mengarahkan ketua polis daerah berbuhung dengan pasangan tersebut.

"Ketua polis daerah secara peribadi akan bercakap dengan pasangan tersebut dan jika tempat tinggal mereka memang menjadi tempat jenayah kita akan meningkatkan rondaan dan tahap keselamatan di sana," katanya sambil menambah bahawa beliau berharap tindakan tersebut dapat memberi keyakinan kepada keluarga berkenaan supaya kembali semula ke rumah mereka.

 Sumber : http : //www.mstar.com.my/ 

ISU SOSIAL : Bahana Dendam


DENDAM dan pembalasan sesama manusia mungkin merupakan antara kisah yang selalu kita dengar.

Dalam peperangan, manusia terus berdendam dan saling membunuh pihak yang bertentangan.

Banyak kisah pergaduhan sesama manusia yang kita dengar, sebahagian besar daripadanya berpunca daripada rentetan kisah dendam yang berpanjangan.

Kajian-kajian psikologi yang dijalankan sejauh ini menunjukkan dendam biasanya akan berakhir dengan pelbagai tingkah laku negatif, termasuklah bunuh, vandalisme, kelangsangan dan jenayah. Ini berlaku terutamanya kepada pihak lain yang menjadi punca kemarahan.

Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, ada juga orang yang berdendam melakukan sesuatu yang merosakkan diri sendiri, misalnya melukakan diri sendiri atau mengambil tindakan yang lebih menakutkan, misalnya membunuh diri.

Seorang lelaki warga Pakistan baru-baru ini membunuh diri bersama dua anaknya dengan terjun dari sebuah kondominium. Besar kemungkinan ia disebabkan dendam yang disebabkan oleh masalah rumah tangga yang dialaminya.

Mangsa mungkin tidak berupaya melakukan tindak balas kepada sasarannya, tetapi mengambil tindakan pasif dengan merosakkan diri sendiri dan anak-anaknya.

Mengapa orang yang berdendam selalunya akan melakukan sesuatu yang adakalanya di luar kawalan?

Kajian-kajian psikologi menunjukkan pelbagai sebab mengapa manusia yang berdendam ini melakukan tindakan yang tidak terjangkau akal.

Antara sebab yang selalu disebut termasuklah untuk menjaga air muka, memberi pengajaran kepada mangsa, membina penghormatan dan mengembalikan harga diri.

Dalam banyak keadaan, semua ini dilakukan bagi memastikan kononnya keadilan sepadan akan dapat dicapai (getting even).

Oleh sebab itulah, dalam banyak kes dendam, kebanyakan serangan akan dilakukan terhadap seseorang atau objek yang menyebabkan punca dendam itu berlaku.

Ini bagi memastikan bahawa punca atau objek akan mendapat pengajaran yang bersesuaian dengan apa yang telah dilakukan.

Pembalasan juga mungkin tidak semestinya terhadap mereka yang melakukan sesuatu yang dianggap menyakitkan. Ia boleh jadi terhadap pihak lain yang dianggap mempunyai persamaan dengan individu atau mereka yang menjadi punca kepada dendam.

Dalam banyak kes, serangan pengganas misalnya telah menjadikan orang awam sebagai sasaran. Orang awam itu dianggap mewakili atau ada hubungan dengan mereka yang menjadi punca kepada dendam, walaupun hakikatnya orang awam tadi mungkin tidak mengetahui tentang sebab permusuhan.

Penilaian subjektif

Sungguhpun begitu, harus diingat bahawa manusia biasanya hanya menggunakan penilaian subjektif bagi melunaskan dendam mereka.

Ada tindakan yang adakalanya dilihat sebagai kecil sahaja, tetapi bagi sesetengah orang, ia dilihat sebagai hal yang besar.

Tindakan mengacah atau mengejek misalnya, kadang-kadang berakhir dengan tragedi pembunuhan. Ini kerana tindakan mengacah atau mengejek itu mungkin dilihat sebagai sesuatu yang menjejaskan kehormatan sesetengah individu.

Semua ini menunjukkan bahawa dendam adalah reaksi emosi yang berlainan antara seseorang individu dengan individu yang lain. Sebab itulah, dalam perhubungan dan interaksi kita dalam masyarakat, kita sepatutnya mampu membezakan sikap dan karakter seseorang individu agar tidak mencetuskan permusuhan.

Walaupun umumnya, dendam dan pembalasan ini melibatkan sesama manusia, bagaimanapun, adakalanya ia juga boleh melibatkan objek yang bukan manusia.

Memburu keadilan

Dalam kes di Sarawak baru-baru ini, seorang lelaki telah melakukan tindakan nekad dengan memburu buaya yang telah mengorbankan nyawa isterinya.

Dia terus memburu bagi memastikan bahawa keadilan akan dapat dicapai dan hukuman yang sepadan diterima oleh buaya yang menyerang isterinya.

Adakah dendam manusia terhadap objek yang bukan manusia merupakan tindakan yang pelik?

Secara psikologi, ia bukanlah perkara yang pelik kerana haiwan tadi dianggap sebagai 'objek' yang patut diberikan pengajaran.

Di Bangladesh, banyak harimau telah dibunuh kerana harimau ini dikatakan sebagai musuh yang telah mengorbankan banyak nyawa. Ini menyebabkan harimau dijadikan sebagai sasaran dendam manusia.

Bagaimanapun, ada sesuatu yang patut diberikan perhatian. Sebagai manusia, sia-sia untuk kita mempunyai sifat dendam terhadap haiwan.

Haiwan tidak menyerang atau melakukan tindakan seperti manusia. Mereka bertindak dengan menggunakan naluri dan bukan kerana dendam atau perasaan buruk seperti manusia.

Kajian-kajian menunjukkan bahawa dalam banyak kes, haiwan menyerang mangsanya kerana disebabkan keadaan lapar atau terancam. Ada pula kerana disebabkan oleh sifat biologikal haiwan itu sendiri.

Harimau atau singa misalnya, akan menyerang mangsanya kerana mereka dilahirkan dengan sifat untuk menyerang.

Haiwan seperti buaya pula biasanya akan menyerang mangsa yang dianggap telah menjangkau lingkungan kuasa 'taklukan' mereka.

Sebab itulah, sekalipun manusia terus memberikan pengajaran kepada haiwan, ia akan terus menyerang dan menjadikan manusia sebagai mangsanya.

Haiwan tidak mempunyai proses penilaian seperti manusia dalam tindakan-tindakan yang dilakukan. Ia menyerang manusia bukan kerana perasaan tertentu, tetapi kerana itulah naluri yang telah diciptakan untuknya.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU BAHASA : DBP disaran kendali ujian kecekapan BM


MUAR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran supaya mewujudkan sebuah badan bagi mengendalikan ujian tahap kecekapan Bahasa Melayu serta mengeluarkan sijil perakuan kepada pelajar dari negara luar yang berminat mempelajari bahasa itu.

Pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Datuk Dr Shahruddin Mat Salleh berkata, selain dapat mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, ia juga boleh membantu agensi kerajaan yang membuka pejabat di luar negeri mendapatkan khidmat tenaga luar yang fasih berbahasa Melayu.

"Badan itu dengan bantuan pakar-pakar Bahasa Melayu boleh merangka satu kertas peperiksaan yang perlu dilalui oleh mana-mana calon rakyat asing.

"Mereka yang lulus dan mendapat sijil pengiktirafan boleh diambil bekerja misalnya di pejabat-pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa atau kaunter-kaunter hadapan pusat jualan tiket perkhidmatan penerbangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan lain-lain lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Shahruddin yang baru kembali dari lawatan untuk meninjau pengajaran Bahasa Malayu di Tokyo University Of Foreign Student, berpendapat jika saranan itu diterima, Bahasa Melayu yang mula menarik minat pelajar luar negeri akan berkembang lebih pesat.

Lagi pun menurutnya, sudah sewajarnya badan seumpama itu diwujudkan memandangkan terdapat lebih 300 juta penduduk dunia yang bertutur dalam Bahasa Melayu.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa pula akan merasakan penguasaan bahasa tersebut menjadi lebih penting terutama untuk menembusi pasaran di negara yang rakyatnya bertutur dalam Bahasa Melayu.

Mengenai perkembangan Bahasa Melayu di Tokyo University Of Foreign Student, beliau berkata pengajian Bahasa Melayu di universiti itu amat membanggakan.

"Mereka boleh bertutur dalam Bahasa Melayu tahap tinggi dengan baik dan kebolehan mereka ini telah membantu mengakrabkan hubungan dengan pelajar Melayu yang menuntut di Jepun yang juga boleh bertutur dalam bahasa Jepun.

"Ketika bergaul, mereka begitu mesra dan bercakap dalam Bahasa Melayu yang kadang kala diselang-seli dengan bahasa Jepun," katanya. - Bernama