Sabtu, 21 Julai 2012

ISU GLOBAL : Arahan keluar dari Syria


Mohd Azrone Sarabatin, S Anand Kumar dan Syed Azwan Syed Ali
bhnews@bharian.com.my

Kuala Lumpur : Kerajaan mengarahkan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik ditutup serta-merta dan semua rakyat yang berada di Syria dibawa pulang segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan mengeluarkan arahan itu berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara berkenaan. “Ketika berbuka puasa tadi (malam tadi), Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menghubungi saya memohon izin membawa pulang rakyat dan pelajar kita di sana.

“Keadaan semakin meruncing disebabkan pertembungan dua puak dan ia boleh memberi kesan kepada pelajar kita.

“Jadi, saya izinkan dan mengarahkan kedutaan kita juga ditutup bagi tujuan keselamatan,” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Pulau Serai dekat Pekan, malam tadi. Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika ini ada 138 rakyat Malaysia, iaitu 128 penuntut dan 10 ekspatriat di negara bergolak itu, manakala berpuluh-puluh yang lain sudah keluar sejak beberapa minggu lalu.

Semua rakyat Malaysia itu akan dikeluarkan menerusi jalan udara bermula esok menggunakan pesawat syarikat penerbangan yang masih beroperasi dari Damsyik. Difahamkan, mereka akan dipindahkan ke Dubai, Abu Dhabi dan Doha sebelum dibawa pulang.

Dalam kenyataan media, Anifah berkata, pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

“Mengambil kira perkembangan di Syria yang semakin melarat, kerajaan mengambil keputusan memulakan proses pindah pelajar Malaysia dengan segera,” katanya.

Proses pemindahan akan diselaraskan Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.

Anifah mengesahkan 138 rakyat Malaysia di Syria sudah berdaftar dengan pejabat Kedutaan Besar di Damsyik dan semua berada dalam keadaan selamat.

Panggil duta pulang

Katanya, kerajaan juga membuat keputusan memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Syria dan empat pegawai kedutaan buat sementara waktu bagi menjamin keselamatan mereka.

“Bagaimanapun, proses pemindahan duta dan pegawai kedutaan hanya akan dilakukan selepas pemindahan pelajar dan rakyat kita yang lain selesai,” katanya.

Anifah turut menggesa rakyat Malaysia lain yang masih berada di Syria supaya pulang ke tanah air atau meninggalkan negara itu dengan kadar segera selain menasihatkan mereka yang berhasrat melawat Syria menangguhkannya sehingga situasi kembali pulih.

Sementara itu, Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, semua urusan dokumentasi berkaitan dilakukan pegawai agensi terbabit sejak seminggu lalu bagi membolehkan proses pemindahan dilakukan dengan serta-merta.

Wisma Putra juga membuka bilik operasi dan orang awam boleh menghubunginya untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini. Bilik Operasi Wisma Putra boleh dihubungi menerusi 03-88874570.

INFO :


Pergolakan bermula sejak Mac 2011, menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Tentera Pembebasan Syria (FSA) – kumpulan pemberontak.

Lebih 20,000 orang terbunuh setakat ini.

22 juta jumlah penduduk Syria,

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Generasi muda perlu sedar pentingnya Jalur Gemilang berkibar megah



KUALA LUMPUR - Pada Oktober 2007 angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha mencipta sejarah apabila membawa Jalur Gemilang ke tempat yang tidak pernah dimimpikan sebelum itu, iaitu angkasa lepas.
  
Detik ketika semua rakyat Malaysia menyaksikan Dr Sheikh Muszaphar Shukor menggengam erat Jalur Gemilang semasa berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) membuahkan perasaan bangga dan megah menjadi rakyat Malaysia.
  
Perasaan itu cukup membuktikan bahawa Jalur Gemilang sebenarnya bukan hanya sehelai bendera yang dikibarkan pada sambutan kemerdekaan 31 Ogos atau Hari Malaysia 16 September saban tahun, bendera berjalur 14 itu merupakan simbol kedaulatan negara dan lambang kemegahan setiap rakyat Malaysia.
  
Namun generasi muda Malaysia sekarang lebih gemar melekatkan pelekat Jalur Gemilang pada kenderaan mereka, sebagai paparan skrin telefon bimbit, komputer atau laptop; dan juga paparan di laman Facebook, Twitter atau blog mereka.
  
Adakah cara itu dapat memupuk semangat cintakan negara dan kemegahan negara di kalangan generasi muda atau adakah cara lebih tradisional iaitu mengibar Jalur Gemilang lebih berkesan dalam merealisasikan hasrat itu?.
 
Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed Rapiee mempunyai jawapan pasti mengenai persoalan itu dengan menegaskan cara tradisional mengibar Jalur Gemilang merupakan cara yang lebih baik.  
  
"Tampal pelekat, letak di telefon bimbit atau Facebook semua cuma satu kaedah lain menunjukkan semangat cintakan negara, tetapi kaedah ini sama sekali tidak boleh menggantikan kaedah utama iaitu mengibar bendera.  
  
"Bila bendera berkibar di tangan, 'rohnya' lain, semangat Jalur Gemilang terus meresap dalam jiwa dan hati. Masa perang dulu selagi bendera berkibar negara takkan jatuh, ini kita kena ajar generasi muda sekarang," katanya kepada Bernama.
  
Beliau menyelar sikap generasi sekarang yang memberi alasan 'lebih gemar simpan semangat patriotik dalam hati' dan menunggu Jalur Gemilang percuma diberi kerajaan untuk mengibarkan bendera lambang kemegahan negara itu.
  
"Takkan bendera kecil RM2 tak boleh beli, apa sangat nilai RM2 itu jika dibandingkan dengan jasa negara yang 'menggendong' kita. Ini belum lagi diminta korbankan darah dan nyawa demi mempertahan negara, kita perlu berkorban untuk negara walaupun kecil atau besar kita kena sanggup," katanya.
  
Pada 17 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Program Kibar Jalur Gemilang di Brickfields yang turut dilancarkan serentak seluruh negara menandakan bermulanya sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini.
  
Berucap pada majlis itu, Najib mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan kepada dunia rasa cinta terhadap negara dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berjaya dalam erti kata sebenarnya.
  
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata tidak salah bagi generasi muda menunjukkan rasa sayang terhadap Jalur Gemilang dengan cara mereka sendiri tetapi jangan sampai cara utama iaitu mengibarkan bendera itu dilupakan.
  
"Masuk Facebook contohnya dapat hebahkan dan sebarkan semangat cintakan negara dan jalur Gemilang pada rakan-rakan lain, ia sesuatu yang baik tetapi bila di luar kita perlu tunjukkan rasa megah dan sayang kita jadi kita mesti kibarkan (Jalur Gemilang).
  
"Ini melambangkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia, kibar melalui profil dalam Facebook semua bukan jati diri namanya. Bagi saya ini adalah satu manifestasi kita tunjuk kita cinta patriotik negara," katanya.

Azman Amin menemplak sikap sesetengah pihak yang tidak mahu mengibarkan Jalur Gemilang kerana menggangap mengibar Jalur Gemilang menyokong kerajaan masa kini.
  
"Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan Malaysia, ia tiada kaitan dengan parti politik di negara ini. Jalur Gemilang adalah milik negara dan rakyat Malaysia, jadi kibar Jalur Gemilang bererti mendukung negara bukan politik," katanya.
  
Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata adalah penting untuk mendidik generasi muda mencintai Jalur Gemilang kerana masa negara terletak di tangan mereka.
  
"Adalah penting kita menyemai semangat, kasih sayang dan bangga dalam diri mereka terhadap Jalur Gemilang. Kita perlu memastikan generasi muda kita menghormati dan menyayangi Jalur Gemilang dan adalah penting bagi kita membina generasi masa depan yang disemai semangat patriotik dan kebanggaan negara," katanya.
  
Lee berkata sebenarnya Jalur Gemilang perlu dikibar setiap hari di bangunan kerajaan dan persendirian dan bukan hanya pada Hari Kebangsaan sahaja.
  
Beliau juga menekankan walaupun mengibarkan Jalur Gemilang satu kemestian, banyak cara lain lagi bagi rakyat negara ini untuk menunjukkan semangat patriotik mereka sebagai contoh apabila bercakap mengenai 1Malaysia, dalam mempertahan negara, menahan diri daripada melakukan jenayah dan menyumbang bagi menjadikan komuniti kita bebas daripada jenayah.
  
"Rakyat Malaysia boleh mempamerkan semangat patriotik mereka melalui perkataan, pemikiran dan tindakan demi kepentingan negara dan dalam membina negara bangsa. Menjadi patriotik juga bermakna memberi pandangan dan pendapat dalam bidang-bidang yang boleh membawa kebaikan kepada negara," katanya. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : Jangan salah langkah urus pendidikan


Oleh : Noor Azam
 
‘Hanya bangsa sendiri tahu keperluan kita’.

Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai rancangan ‘merombak secara besar-besaran Dasar Pendidikan Negara’ dan saranan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) supaya sekolah diberikan kuasa autonomi, mendorong saya menulis lagi mengenai isu pendidikan. Kedua-dua cadangan ini amat penting dan pasti akan banyak sekali mengubah sistem pendidikan kita yang sudah berjalan sejak Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960).

Persoalan yang timbul, apakah kesan kepada masa depan anak kita. Mereka akan jadi insan jenis apa dan apakah kesannya kepada cita-cita pembentukan satu bangsa Malaysia?

Di samping transformasi politik, pendidikanlah yang akan menentukan wajah, semangat dan sikap generasi akan datang. Inilah cabaran paling utama terhadap Dasar dan Sistem Pendidikan Negara kita.

Untuk menangani tuntutan parti politik, pertubuhan kaum dan juga perubahan sosial-politik-ekonomi, sistem pendidikan kita sudah mengalami banyak sekali perubahan yang positif dan juga negatif. Ada antara perubahan itu bertentangan dengan semangat dan matlamat yang termaktub dalam Penyata Razak dan tergelincir daripada landasan. Inilah sebabnya kita sudah gagal memenuhi hajat Tun Abdul Razak Hussein hendak meletakkan anak kita di bawah satu bumbung sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa Melayu. Gagasan Sekolah Wawasan pun tak tercapai.

Menurut laporan akhbar: “Dasar Pendidikan Negara bakal dirombak semula mulai tahun depan bagi mewujudkan sistem lebih berkualiti serta mampu melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi seiring dengan usaha ke arah menuju negara berpendapatan tinggi.”

Nyatalah matlamat Dasar dan Sistem Pendidikan kita yang baharu, adalah untuk melahirkan rakyat yang dapat menyumbang kepada ‘perkembangan ekonomi’ supaya matlamat akhir ‘negara berpendapatan tinggi’ dapat dicapai.

Tidak ada matlamat untuk melahirkan warga negara yang menjunjung tinggi Perlembagaan dan Rukun Negara. Tiada juga matlamat untuk mewujudkan kestabilan sosial-politik dan ekonomi dan perpaduan nasional. Ini bermakna pendidikan kewarganegaraan tidak mendapat tempat dalam dasar dan sistem yang baharu nanti. Kita tidak seharusnya terpengaruh kepada mentaliti komersial sehingga melihat insan sebagai ‘modal’ semata. Istilah dan konsep ‘modal’ adalah istilah komersial – bukan istilah pendidikan.

Ramai yang berpendapat, kita perlu menimbang semula cadangan ‘pelan pembangunan dan pelan strategik pendidikan’ yang akan ‘mengambil kira pandangan UNESCO, Bank Dunia, hasil kajian panel bebas dan panel antarabangsa yang dilantik’.

Baguskah pendapat Bank Dunia, panel bebas dan panel antarabangsa dibawa masuk untuk merumuskan dasar dan sistem pendidikan kita? Siapakah anggota panel bebas dan panel antarabangsa itu? Di manakah mereka berdiri?

Selepas 55 tahun merdeka dan dengan kemajuan yang disanjung oleh dunia, kita tentulah tidak kekurangan ahli dalam pelbagai bidang untuk menyusun suatu dasar dan sistem pendidikan yang wajar untuk kita sendiri. Hanya bangsa kita sendiri yang betul-betul tahu akan masalah dan keperluan kita dan dapat menghayati aspirasi Perlembagaan dan Rukun Negara kita. Jika bangsa kita tidak mampu bagaimana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh diberikan status autonomi.

Guru sering merungut kerana tugas mereka bertambah-tambah, di samping tuntutan mengajar yang semakin rumit. Bayangkan apa yang akan terjadi apabila sekolah diberi kuasa dan tugas menguruskan kewangan dan bangunan. Apa pula yang dimaksudkan dengan tugas ‘memilih kemasukan pelajar’? Ditambah pula dengan tugas ‘mengurus sendiri disiplin dan kebajikan pelajar’. Inilah autonomi cadangan KGMMB.

Sekolah kita akan jadi seperti sebuah syarikat yang di dalamnya ada macam-macam pegawai dan fungsi. Akan jadi ‘sekolah swasta’ yang dibiayai oleh kerajaan. Mudah-mudahan kita tidak tersalah langkah.

Kita mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meneruskan usaha ayahandanya mengangkat taraf hidup rakyat miskin tidak bertanah dan membawa FELDA ke persada dunia antarabangsa akan meneruskan semangat dan cita-cita ayahandanya yang tersurat dan tersirat dalam Penyata Razak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Keluar Masuk Dalam Hidup


KEHIDUPAN manusia tidak sepi daripada keluar dan masuk.

Permulaan umat manusia bermula dengan Nabi Adam as dikeluarkan dari syurga dan dimasukkan ke alam dunia.

Kejadian kita sendiri adalah hasil keluar dan masuk. Setelah benih lelaki dimasukkan ke rahim perempuan, berlaku proses kejadian dan setelah cukup hari bulan, janin keluar dari rahim masuk ke alam dunia.

Saban hari kita tidak lepas daripada keluar masuk - keluar rumah, masuk pejabat (atau sekolah), keluar pejabat, balik dan masuk rumah. Yang rajin ibadah, keluar masuk masjid.

Di kalangan pekerja, apabila cukup bulan duit masuk kocek... tetapi tak kekal lama - sekejap duit dah keluar semula. Kekadang keluarnya lebih cepat dan lebih banyak daripada masuk.

Tetapi bagi yang ada kelebihan dan merancang masa depan, mereka akan masukkan wang ke dalam simpanan dan cukup waktu, akan dikeluarkan apabila ada keperluan.

Ada juga keluar masuk yang tidak diingini - seperti keluar masuk penjara. Hanya pesalah degil yang tidak kenal serik mengalami ini.

Satu lagi keluar masuk yang tidak diingini dan boleh menimpa ramai orang ialah keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit.

Semoga diri, keluarga dan anak keturunan dijauhkan daripada keluar masuk sedemikian.

Pak Su ketengahkan soal keluar masuk ini kerana apabila azan maghrib berkumandang malam tadi, ia bermakna kita telah keluar daripada bulan Syaaban dan kini kita masuk pula ke dalam bulan suci Ramadan.

Datangnya Ramadan memberi banyak senyuman.

Bagi yang suka ibadah, inilah bulan meraih sebanyak mungkin pahala. Di Makkah misalnya, kemasukan Ramadan mengubah keadaan - siang jadi malam dan malam bagai siang.

Masuknya Ramadan juga membuat peniaga tetap dan peniaga musiman senyum kerana melihat potensi banyak duit masuk.

Menjelang raya pula, kaum bapa mungkin garu kepala kerana banyak duit dijangka keluar bagi pelbagai keperluan.

Dan apabila tiba Hari Raya kelak, kanak-kanak paling gembira kerana selain keseronokan berhari raya, banyak duit masuk - habuan Hari Raya.

Pada kesempatan ini, Pak Su nak kongsi sedikit tentang nasihat seorang imam dalam satu kuliah subuh baru-baru ini, sempena Ramadan. Ia ada kaitan dengan keluar masuk.

Satu daripada yang beliau tekankan ialah menjaga puasa, menjadikan puasa kali ini 'luar biasa'. Antara yang perlu diberi perhatian ialah perkara masuk dan keluar.

Misalnya, pastikan tidak ada benda haram atau yang merugikan masuk ke mulut dan menjejas amalan puasa - baik makanan dan minuman. Awasi juga supaya bisikan atau perkara sia-sia tidak masuk ke telinga, fikiran dan hati.

Ketika berbuka, jangan masukkan terlalu banyak makanan hingga kekenyangan dan memberatkan badan melakukan ibadah.

Di samping itu, hati-hati juga supaya jangan salah makan. Jika tidak, dibimbangi kita kena pula keluar masuk tandas.

Pada masa yang sama, perhatikan apa yang keluar daripada mulut kita. Jangan sampai kita keluarkan perkataan berupa umpatan, herdik, mengeji, menghina, memandang rendah, takabur atau perkataan (dan perbuatan) yang boleh menimbulkan rasa marah dan sakit hati.

Sepanjang Ramadan khususnya, sebaiknya perbanyakkan keluar masuk masjid.

Dalam bulan penuh barakah ini, kita juga digalakkan supaya mengeluarkan banyak wang dan masukkan ke tabung derma - banyak bersedekah. Ganjaran yang dijanjikan berlipat ganda.

Jangan pula salah sasaran seperti terkeluar lebih banyak belanja dan keluar masuk bazar hingga terbazir, terutama di hujung-hujung Ramadan.

Pak imam juga ingatkan supaya kita keluar mencari golongan yang memerlukan, sama-sama keluarkan sumbangan membantu mereka.

Keluarkan juga sikap malas daripada diri dengan melakukan solat tarawih dan solat tengah malam.

Nasihat lain yang pak imam berikan ialah melakukan persiapan awal mencari malam penuh berkah - lailatulqadar.

Dan semoga apabila sampai di penghujungnya kelak, kita keluar daripada Ramadan dengan benar-benar mencapai matlamat puasa iaitu menjadi orang yang lebih bertakwa dan menyambut Aidilfitri secara bersama dengan lebih bermakna.

Jangan sampai, setelah keluar Ramadan dan masuk Syawal, kita wal hasil balik asal - puasa tidak mengubah kita.

Banyak lagi perkara yang ada kaitan dengan keluar dan masuk.

Dalam Al-Quran terdapat banyak himpunan doa yang diajarkan kepada kita. Satu daripadanya ialah mengenai keluar masuk.

Allah menyuruh kita berdoa: "Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar, dan keluarkan (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku daripada sisi Engkau kekuasaan yang menolong." (Rujuk surah Al-Israa: 80).

Sesungguhnya hidup ini adalah satu perjalanan yang banyak keluar masuk.

Kita keluar dari alam roh masuk ke alam rahim ibu; kemudian keluar dari alam rahim dan masuk ke alam dunia.

Semasa di dunia, sebahagian besar kita masuk ke beberapa alam - alam kanak-kanak dan persekolahan; alam remaja dan percintaan yang penuh pancaroba; alam dewasa, pekerjaan dan rumah tangga dan alam warga tua.

Perjalanan selanjutnya ialah keluar dari alam dunia dan dimasukkan ke tanah, masuk ke alam barzakh dan kelak kita akan keluar pula dari alam barzah ke alam akhirat.

Selepas dihisab, kita difahamkan bahawa ada Muslim yang terus dimasukkan ke syurga tetapi ada yang dimasukkan ke neraka menjalani hukuman sebelum dikeluarkan dan dimasukkan ke syurga.

Kita berdoa semoga kita semua (akhirnya) akan dimasukkan ke syurga dan tidak keluar-keluar lagi, insya-Allah, amin.

Selamat melaksanakan ibadah puasa.

Pak Su

Jumaat, 20 Julai 2012

ISU SOSIAL : Tingkat kualiti pada Ramadan


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Rasulullah, sahabat harungi peperangan Badar ketika puasa

Alhamdulillah, bersyukur dan bertuah serta bergembiralah kita kerana hari ini kita berpeluang bertemu dengan Ramadan yang sarat dengan kemuliaan, keberkatan dan kerahmatan serta dijanjikan Allah SWT pelbagai limpahan ganjaran serta pengampunan dosa. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadan dengan beriman dan mengharapkan rahmat Allah SWT, nescaya diampunkan baginya dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jika pada kebiasaannya kita bersarapan, boleh menjamah jamuan selepas mesyuarat, tetapi dalam bulan ini semua kebiasaan itu tidak dapat dikecapi.

Perubahan ini sedikit sebanyak boleh mengubah semangat, kesegaran dan jadual kerja seharian jika kita tidak mempersiapkan diri sehingga ada mengaitkan pekerja sebagai kurang produktif di bulan ini.

Perubahan masa

Bahkan, perubahan pada semua kebiasaan ini, jika tidak difahami, dihayati serta dilalui sepenuhnya dengan kesedaran, pengetahuan serta kesabaran boleh menjadikan amalan berpuasa hanya suatu adat dan kerja seharian pula menjadi berat.

Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada kelaparan, kerana itu adalah teman berbaring yang paling buruk dan aku berlindung kepada-Mu daripada khianat, kerana itu adalah pendamping yang sangat buruk.” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasaie dan Ibn Majah)

Justeru, Allah SWT mengubah kebiasaan hamba-Nya dan memerintahkan kita menahan diri daripada makan dan minum serta perkara membatalkan puasa selama sebulan untuk menguji ketaatan dan kesabaran semata-mata kerana memenuhi perintah Allah SWT.

Sabda Rasulullah, Ramadan adalah bulan kesabaran. Sabdanya lagi Allah SWT berfirman: “Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya kecuali amalan puasa, maka ia adalah untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya).” (Hadis riwayat Muslim)

Bentuk insan taat diri

Selain memberikan pelbagai hikmah Ramadan dan orang yang berpuasa  bertujuan membentuk diri menjadi insan yang taat dan bertakwa walaupun dengan mengubah kebiasaan dan mengurangkan keperluan.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216 bermaksud, “boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”.

Mengimbas sejarah Rasulullah dan sahabat serta salafussalih berpuasa dapat merangsang semangat dan kesabaran kita.

Harungi peperangan

Bagaimana Rasulullah SAW dan sahabat boleh mengharungi peperangan Badar dalam bulan ini? Semua ini kerana, ia dilakukan kerana Allah dan untuk merebut limpah kurniaan- Nya.

Justeru, marilah kita renungi dengan mendalam dan contohi seberapa mampu supaya Ramadan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.

Pepatah Arab menyebut, “tirulah kemuliaan kerana sesungguhnya ia boleh membawa kejayaan walaupun jika tidak dapat melakukan yang benar-benar serupa”.

Justeru, bagi mengelakkan puasa adat dan kerja menjadi berat, perlulah kita mempunyai kesedaran dan pengetahuan asas yang baik pada awal Ramadan ini.

Pertama, dengan mengetahui kelebihan dan hikmah berpuasa. Antaranya bahawa setiap amalan kebajikan dalam bulan ini digandakan dengan berlipat kali ganda pahalanya, diberikan dengan malam lailatul qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan, dimakbulkan doa, diampunkan dosa dan disediakan syurga yang dinamakan ar-Rayyan.

Peluang keemasan

Kedua, dengan mensyukuri kelebihan dan kemudahan dalam bekerja berbanding kerjaya individu lain yang lebih susah dan berat.

Dalam sebuah hadis sahih disebutkan, “Dalam hal dunia, hendaklah kamu melihat kepada orang yang di bawah”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Ramadan perlu menjadi peluang keemasan untuk direbut dengan melipatgandakan amal dan kerja supaya lebih baik serta berkualiti daripada kebiasaan.

Penulis ialah Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Graduan pendidikan kena bersaing cari kerja


Mona Ahmad
mona@bharian.com.
 
Tidak lama dulu, ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berlumba-lumba melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan kerana itulah satu-satunya prospek yang menjanjikan pekerjaan sebaik keluar universiti atau maktab.

Malah, beberapa rakan yang menganggur sekitar pertengahan 1990-an, selepas menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti, turut menyambung pengajian mereka dalam bidang pendidikan, dengan alasan tidak perlu menunggu lama untuk bekerja. Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku lambakan graduan lepasan pendidikan dan fenomena ini berlaku disebabkan ketiadaan unjuran pengambilan guru oleh Kementerian Pelajaran.

Perkara ini diakui Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendedahkan penawaran tempat pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini menunjukkan pengurangan berbanding tahun lalu.

Bagi sesi akademik 2012/2013, pengambilan untuk program ISMP hanya membabitkan 2,304 calon di sembilan IPTA berbanding 3,002 orang pada sesi sebelumnya di 11 IPTA.

“Disebabkan tiada unjuran pengambilan, kemasukan pelajar ke Program Pendidikan adalah bersifat pasaran terbuka dan ini tiada jaminan pekerjaan.

“Selepas menamatkan pengajian, mereka perlu bersaing seperti graduan dalam program lain untuk mendapatkan pekerjaan.

“Dalam hal ini, kementerian mengarahkan IPT yang menawarkan program ini supaya memastikan pelajar mereka dilengkapi dengan nilai dan kemahiran insaniah yang tinggi dan bersedia memohon pekerjaan lain selepas menamatkan pengajian,” katanya sempena majlis ‘Impianku ke Menara Gading’.

Tahun ini, daripada 63,467 calon lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi yang mengemukakan permohonan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama, seramai 38,549 (73.5 peratus) calon layak ditawarkan di 20 IPTA.

Mohamed Khaled berkata, seperti tahun sebelum ini calon perempuan mendominasi kemasukan pelajar ke IPTA dengan jumlah 25,372 orang iaitu 65.8 peratus berbanding calon lelaki yang hanya seramai 13,177 orang atau 34.2 peratus.

“Ini bermakna, usaha berterusan menimbulkan minat dan menggalakkan pelajar lelaki untuk menyambung pengajian ke universiti khususnya perlulah dilakukan supaya proses pembangunan modal insan dalam negara dapat dilaksanakan secara saksama tanpa menyisihkan penyertaan mana-mana jantina,” katanya.

Selain itu, dari aspek perbandingan aliran calon yang berjaya pula, seramai 21,959 (57 peratus) ditawarkan dalam aliran sains dan 16,590 (43 peratus) daripada aliran sastera.

Angka ini sebenarnya selari dengan hasrat KPT melaksanakan dasar penawaran tempat sebanyak 60 peratus dalam bidang sains dan 40 peratus bagi bidang sastera.

“Langkah ini bertujuan menarik minat pelajar terhadap sains sekali gus memperkukuhkan kekuatan modal insan dalam bidang itu,” katanya.

Kementerian menyediakan Biasiswa MyBrainSc berjumlah kira-kira RM9.5 juta tahun ini bagi meningkatkan bilangan penyelidik, saintis dan kejuruteraan yang bakal menjadi tenaga pengajar di negara ini dalam bidang sains tulen seperti fizik, kimia, biologi dan matematik.

Daripada 1,060 permohonan awal, 258 calon berjaya lulus temu duga dan daripada jumlah itu, 42 calon mendapat tawaran pengajian universiti di pelbagai peringkat dalam dan luar negara.

“Pelaksanaan proses pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah sistematik dan telus. Ia memberi peluang kepada segenap lapisan tanpa mengambil kira latar belakang calon. Pemilihan dilaksanakan berdasarkan pencapaian akademik dan pilihan program pengajian calon, hanya yang layak diberikan tawaran,” katanya.

Selain itu, kementerian turut membuka ruang kepada golongan seperti Orang Asli dan Orang Kelainan Upaya (OKU) supaya mereka terus mendapat hak berpendidikan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : 150,000 peluang kursus sains kesihatan menjelang 2020


KUALA LUMPUR - Bilangan penuntut dalam bidang sains kesihatan di institusi pengajian tinggi tempatan akan ditingkatkan daripada 55,000 orang sekarang kepada 150,000 orang menjelang tahun 2020, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Beliau berkata ia berikutan terdapat permintaan yang tinggi untuk tenaga profesional dalam bidang itu khususnya di rantau Asia Tenggara.
  
Muhyiddin berkata rantau Asia Tenggara dijangka mengalami kekurangan 1.2 juta profesional dalam bidang penjagaan kesihatan dan jumlah itu dijangka terus meningkat kepada 1.8 juta menjelang 2020.
  
"Dengan ini lebih banyak peluang pekerjaan khusus untuk para graduan dalam bidang ini bakal tersedia pada masa akan datang," katanya semasa berucap merasmikan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms) di sini, hari ini.
  
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau yakin dan percaya Malaysia mampu untuk mengambil peranan utama dalam memenuhi permintaan tenaga kerja profesional bidang sains kesihatan.
   
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Picoms Ahmad Zakuan Khairuddin.

Muhyiddin berkata buat masa ini sebanyak tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 62 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menawarkan pengajian sains kesihatan.

   
Beliau berkata bidang sains kesihatan dijangka berkembang dengan lebih pesat seiring kedudukannya sebagai satu daripada bidang kluster utama di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

"Pelaburan kerajaan dalam bidang itu adalah sebanyak RM1.4 bilion dengan nilai pendapatan kasar RM2.8 bilion," katanya.
 
Muhyiddin berkata tanggungjawab menyediakan pendidikan yang berkualiti bukan hanya perlu digalas oleh kerajaan, tetapi juga oleh pihak swasta kerana pendidikan berkualiti adalah prasyarat untuk menjadi negara maju.

Beliau berkata hanya dengan pendidikan yang berkualiti sumber manusia berkualiti dapat dilahirkan untuk memacu kemajuan negara dengan lebih pesat dan mampu bersaing di persada antarabangsa.
   
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata laporan awal mengenai kajian semula sistem pendidikan kebangsaan akan disiapkan bulan depan dan kandungannya akan diumum untuk mendapatkan maklum balas orang ramai sebelum satu rangka tindakan akhir disediakan oleh Kementerian Pelajaran.
   
"Kementerian telah selesai melaksanakan siri Dialog Pendidikan Nasional di seluruh negara untuk mendapatkan pandangan masyarakat mengenai perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara," katanya.
   
Sementara itu Muhyiddin menyokong penuh permintaan pengerusi Picoms supaya kolej berkenaan dinaik taraf kepada kolej universiti pada tahun hadapan kerana ia telah memenuhi kriteria yang ditetapkan.
 
"Malah, Picoms sudah pun ada rangkaian strategik dengan beberapa pihak di luar negara misalnya Universiti of East London, Universiti Al-Azhar dan Mansourah, ini menunjukkan Picoms telah pun melampaui batasan negara dalam mengadakan smart partnership," katanya. - Bernama.