Rabu, 1 Ogos 2012

ISU KESIHATAN : Awas kesan buruk merokok sebaik berbuka


Al Ain : Berbuka puasa dengan menghisap rokok boleh membawa maut, kata seorang pakar yang menggesa orang Islam membuang tabiat merokok ketika Ramadan.

Perbuatan merokok boleh memberi bahaya kepada seseorang yang berpuasa kerana anggota badan mereka cuba untuk pulih selepas tidak minum atau makan dalam tempoh yang lama, katanya. Pakar itu juga menekankan, perokok dikira bernasib baik sekiranya mereka tidak mempunyai masalah jantung berpunca daripada tabiat berkenaan.

Merokok adalah perkara buruk yang dilakukan seseorang terhadap badan mereka terutama selepas berbuka puasa di bulan Ramadan, kata seorang pakar perubatan dalaman di Pusat Perubatan dan Klinik Emirates di Al Ain, Dr Riaz Ahmad Minhas.

Disebabkan berpuasa, badan amat memerlukan air, glukos dan oksigen. Sebaliknya, merokok boleh menyekat saluran darah dan menghalang aliran oksigen yang diperlukan. Merokok pada waktu kritikal juga boleh menyebabkan darah menjadi beku.

Ini boleh menyebabkan pembuluh darah tersekat sekali gus meningkatkan tekanan darah, spasms (kesesakan arteri) mengganggu degupan jantung dan meningkatkan kolesterol.

Ia boleh menyebabkan perokok maut. Sebab itu, perokok perlu berhati-hati dalam perkara ini, kata Dr Minhas.

Sumber : Agensi

ISU SOSIAL : Buat pinjaman bank, syarikat kewangan, ah long untuk beraya?


Seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bertindak menurunkan poster dan iklan ah long bagi memastikan orang ramai tidak terjebak dengan skim pinjaman haram itu di sekitar bandar Seremban, Negeri Sembilan awal bulan ini.

Oleh : Fauziah Arof

MEMANDU di jalan raya yang sesak sambil melayan radio dalam perjalanan ke pejabat dalam bulan Ramadan ini, saya mendengar bermacam-macam iklan promosi menyambut Hari Raya Aidilfitri, daripada kain, langsir, produk minuman, makanan, jubin lantai dan entah apa lagi semuanya dikaitkan dengan perayaan itu.

Dan yang paling menarik perhatian adalah iklan daripada sebuah institusi kewangan yang menawarkan pinjaman wang sempena Hari Raya. Wah, semua pihak mahu mengambil kesempatan sempena Hari Raya untuk melariskan produk-produk termasuk perkhidmatan.

Semuanya mahu menggalakkan orang kita berbelanja besar dan sakan untuk menyambut Syawal ini.

Dan jika anda lihat di laman sosial terutamanya Facebook dan iklan-iklan di Internet, ramai juga yang menjadi agen kepada mana-mana syarikat kewangan berlesen mengajak rakan-rakan mengambil pinjaman yang ditawarkan sempena hari raya, ada yang mencapai sehingga RM50,000!

Memang hebat penangan iklan-iklan tersebut, jika tidak fikir panjang, ramai yang pasti terjerat untuk meminjam walaupun sebenarnya tidak ada keperluan langsung atau terdesak pun.

Perlukah kita sampai ke tahap meminjam wang pada bank atau syarikat kewangan berlesen untuk menyambut Hari Raya? Itu belum lagi masuk khidmat ceti-ceti haram atau ah long.

Dengan kakitangan awam mendapat bonus setengah bulan, pesara pun dapat bonus, peneroka Felda juga, tentu ini dapat melegakan sedikit sebanyak persediaan golongan ini untuk menyambut hari lebaran itu.

Kepada kakitangan swasta, tidak mendapat bonus tidak semestinya perlu meminjam sana sini. Memanglah perit kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk menyediakan segala persiapan Hari Raya terutamanya dalam memenuhi keperluan dan permintaan anak-anak dengan pendapatan yang tidak banyak.

Tetapi sekiranya anda memilih untuk membuat pinjaman bank atau syarikat kewangan, ia pasti akan menambah beban tanggungan anda selepas ini. Nanti, raya sudah habis sebulan, hutang sehingga raya tahun depan pun belum tentu habis.

Kita mesti ingat beberapa bulan lagi, pejam celik, pejam celik, musim persekolahan sesi tahun depan pula akan bermula. Perbelanjaan ini lebih penting dan besar kepada yang mempunyai ramai anak. Pada masa itu, masihkah kita mahu meminjam lagi?

Sebaik-baiknya, perbelanjaan diatur mengikut kemampuan diri sendiri dan keluarga. Perlukah kita berhabis-habisan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sedangkan agama kita turut menuntut kita bersederhana dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri dan keluarga kelak.

Sekiranya kita berbelanja secara berhemah, tidak mengikut rasa, ukur baju di tubuh sendiri dan berbelanja atas perkara-perkara yang perlu, sudah pasti isu-isu melibatkan kewangan setiap tiba Hari Raya dapat diatasi.

Dan kita juga dapat menjalani ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan ini dengan hati dan fikiran yang tenang, fokus, tanpa diserabutkan dengan masalah-masalah kewangan.

Kita perlu mensyukuri dengan kemakmuran yang diberikan Tuhan di negara ini, di bulan Ramadan, kita dapat berpuasa, membuat amal ibadah dengan aman, serba serbi ada, sedangkan umat Islam di negara lain seperti Somalia dan umat Islam Rohingya di Myanmar bukan sahaja tiada makanan untuk bersahur, berbuka pun begitu juga. Inikan pula hendak membuat persiapan seperti kita untuk menyambut raya.

Dan ada juga suami isteri yang tidak bertegur sapa, bertengkar di bulan yang mulia ini kerana hal-hal perbelanjaan untuk berhari raya!

Yang peliknya, pada Hari Rayalah semua benda hendak ditukar baru. Seolah-olah kalau tidak ditukar, tidak boleh beraya. Dan berlaku juga amalan pembaziran, sehingga ada kuih raya yang dibeli masih ada apabila menyambut Hari Raya Aidiladha nanti. Ada yang membeli baju berpasang-pasang, sudahnya berlapuk disimpan di dalam almari dan dipakai setahun sekali sahaja.

Dalam pada itu, kita juga meminta pihak yang berkaitan agar membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap peniaga-peniaga yang mungkin mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan sesuka hati.

Dengan pemberian bonus kepada kakitangan awam, pesara, peneroka Felda dan kecenderungan orang kita berbelanja sakan untuk menyambut Aidilfitri ini, kita bimbang ramai peniaga yang gatal menaikkan harga barangan. Selain isu harga, kualiti barangan juga perlu ditengok sama.

Dalam berbelanja kitalah sebenarnya menentukan apa yang perlu, apa yang tidak, bukannya promosi atau iklan-iklan produk. Jika mampu berbelanja lebih, tidak mengapa, jika tidak, kesannya mungkin mengganggu kesejahteraan dan kualiti hidup kita dan keluarga dalam tempoh yang agak panjang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Ijazah palsu berlaku seluruh dunia


Oleh : Akhbar Satar
 
Hukuman tegas patut jadi pengajaran

Tidak lama dulu, Laura Callahan, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Penerangan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama, meletakkan jawatan selepas beliau disiasat dan didapati membeli Ijazah, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) daripada online. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak melakukan semakan latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas. Mengikut kajian di Amerika Syarikat, pada tahun lalu saja, kes pemalsuan ijazah membabitkan AS$1 bilion (RM3 bilion) setahun.

Amerika Syarikat juga mengeluarkan sebanyak 50,000 PhD palsu ke seluruh dunia setiap tahun. Kebanyakan daripada laman web ini beroperasi di Alabama, Mississippi dan Wyoming memandangkan undang-undang di negeri berkenaan masih longgar dalam menangani isu itu.

Amerika adalah negara pelopor dalam penipuan dan pemalsuan sijil kelulusan seperti ini. Ia merebak ke negara lain seperti India, Singapura, Russia, Pakistan, Indonesia dan Filipina.

Di Malaysia, ia hanya mula dikesan dengan penipuan untuk mendapat kelulusan daripada Universiti Sains Malaysia (USM). Situasi ini perlu dibendung agar ia tidak merebak dan kelak diambil alih oleh pendatang Afrika yang terkenal dalam jenayah penipuan. 

India mempunyai banyak pusat pengajian tinggi, termasuk 350 yang tidak diiktiraf kerajaan manakala di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor yang memperoleh kelulusan PhD dengan cara membeli kelulusan palsu. Pembabitan ‘Profesor Segera’ ini merosakkan imej dan mutu pembelajaran di Pakistan, terutama dalam bidang perubatan.

Beberapa bulan lalu, di Singapura, penipuan sijil dikaitkan dengan sebuah institusi terkemuka dan kelulusan bidang yang popular masa kini ialah pengurusan bisnes dan pelancongan. Sijil palsu ini dijual dengan RM30,000 sekeping, termasuk transkrip mengandungi keputusan yang baik.

Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000 sekeping. Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu University Havard, sebuah universiti terbaik di dunia dengan harga RM120,000. Filipina juga tidak ketinggalan, mereka hanya mengenakan bayaran sekali gus RM30 hingga RM200 bagi sebarang sijil atau ijazah dalam masa dua jam.

Kira-kira sebulan lalu, Kementerian Pelajaran Tinggi Arab Saudi membongkar kegiatan 110 agensi yang menjual ijazah palsu daripada universiti asing sejak beberapa tahun lalu. Dalam beberapa minggu lalu, Polis Indonesia menumpaskan satu sindiket pengeluaran sijil palsu yang dijual dengan harga RM2,000 sekeping.

Apa yang menyedihkan ada sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu daripada pusat pengajian tinggi dengan hanya perlu membayar RM240. Tawaran ini menjadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa saja bidang yang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi di dalam ijazah palsu terbabit.

Beberapa hari lalu, selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu bernilai lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara, turut mendedahkan pembelinya terdiri daripada ahli politik dan individu bergelar Tan Sri.

Syarikat menawarkan sijil palsu dengan harga RM6,500 bagi ijazah, RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (doktor falsafah) dalam pelbagai jurusan yang kononnya diiktiraf oleh lima universiti luar negara, antaranya University of Rockhampton, Harvey International University, Cannington Brook University dan Charles Molnar University.

Adalah wajar sesiapa yang menipu menggunakan sijil palsu boleh dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali. Impak hukuman ini bukan saja boleh menjatuhkan maruah seseorang bahkan juga memusnahkan masa depan mereka.

Ramai orang yang sakit jiwa, pemalas dan suka menipu cuba mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah dalam tujuh hari, sedangkan pelajar yang belajar di universiti terpaksa belajar antara tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma, ijazah, sarjana atau PhD.

Satu pusat menyimpan data mengenai seseorang graduan mesti ditubuhkan untuk mengelakkan kes pemalsuan ijazah, mengadakan ciri keselamatan atau semua sijil dicetak oleh Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti yang tinggi.

Seseorang yang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi adalah tidak berintegriti dan patut berasa jijik jika memiliki ijazah palsu.

Penulis ialah Pakar Kriminologi, Institut Jenayah & Kriminologi  Universiti HELP


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tingkatkan martabat tingkatan enam


Oleh : KHAIRUL ANUAR SAIMUN

SISTEM pendidikan negara sedang melalui proses penambahbaikan seiring dengan Program Transformasi Kerajaan. Saya melihat ia merupakan satu pendekatan positif untuk dijadikan motivasi kepada kalangan murid dan pelajar yang sedang melalui alam persekolahan, lebih-lebih lagi bagi kalangan pelajar tingkatan enam bawah dan atas (Pra-U bawah dan atas).

Banyak pihak mula membangkitkan mengenai isu kalangan pelajar Pra-U ini yang mula hilang minat untuk meneruskan pengajian mereka kerana beranggapan status mereka tiada bezanya dengan pelajar-pelajar arus perdana, tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Mereka merasakan bahawa mereka hanya seperti pelajar sekolah biasa sedangkan mereka melalui kaedah pembelajaran secara semester dan setaraf dengan pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi yang lain. Selain itu, taraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bakal mereka miliki patut setaraf dengan diploma yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi.

Bagi memastikan keberkesanan sistem pendidikan Pra-U ini agar lebih produktif dan berkualiti, pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil pendekatan proaktif dengan menyediakan sistem pengurusan yang berasingan dengan sistem pengurusan persekolahan arus perdana.

Ini dibuat melalui pewujudan jawatan khas penolong kanan dan guru-guru khas yang berpengalaman untuk mengajar tingkatan enam. Langkah ini diyakini mampu menghasilkan natijah yang baik untuk masa depan pelajar-pelajar Pra-U.

Sehubungan itu, bagi menarik minat kalangan pelajar-pelajar Pra-U ini untuk meneruskan pengajian mereka, adalah lebih baik jika mereka ini dilayan sebagaimana pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi, walaupun pada dasarnya mereka belajar di sekolah biasa.

Berilah peluang kepada kalangan pelajar Pra-U ini untuk menghadiri kelas harian mereka tanpa memakai pakaian seragam sekolah bagi membezakan mereka bukanlah pelajar sekolah arus perdana.

Berilah kelonggaran kepada pelajar ini untuk memakai pakaian yang kemas seperti memakai seluar slack, berkemeja biasa atau baju T berkolar serta berkasut hitam. Yang penting mereka diwajibkan berpakaian kemas sewaktu menghadiri kuliah di kelas.

Jumlah pelajar juga harus ditetapkan dalam kalangan 30 orang dalam satu-satu kelas bagi memastikan tumpuan guru dan murid lebih sempurna demi menghasilkan pelajar yang berkualiti dan terbaik.

Sehubungan itu, pihak Kementerian Pelajaran perlu memastikan jumlah guru yang mencukupi sementara pihak pengurusan sekolah tidak menugaskan guru-guru yang mengajar kelas-kelas Pra-U untuk turut mengajar pelajar-pelajar arus perdana.

Saya sangat yakin, jika langkah drastik ini dapat dilaksanakan secara beransur-ansur, ia mampu menarik semula minat kalangan pelajar Pra-U untuk meneruskan pengajian mereka.

Pada waktu yang sama mampu menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar arus perdana untuk meneruskan pengajian mereka dalam pengajian Pra-U atau tingkatan enam bawah dan atas.

Klang, Selangor

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Bencana menunggu pengguna lebuh raya

Kemalangan maut melibatkan bas sekolah dan sebuah treler di Kilometer 382.1, Lebuh raya Utara-Selatan dekat Behrang yang mengakibatkan empat orang maut dan 36 lagi cedera pada November tahun lalu.


Oleh : DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

MEMANDU di lebuh raya terutama arah timur, barat, utara atau selatan tidak lagi mengundang keselesaan. Tanpa mengira waktu, baik di awal pagi, rembang tengah hari atau waktu dinihari sudah tidak lagi terasa ketenteramannya.

Malah setiap kali terpaksa memandu melalui lebuh raya ini para pengguna sentiasa diancam kebimbangan bakal berhadapan dengan kemalangan. Umpama memasuki medan peperangan, yang mana risiko kecederaan dan kematian sentiasa terbayang dalam minda.

Ini dikukuhkan dengan bukti yang saban waktu kita baca, kita lihat paparannya di media bagaimana ngerinya kemalangan yang bukan sahaja meragut satu nyawa pada satu ketika tetapi memakan korban hingga puluhan nyawa. Ia bukan sahaja sekadar kematian yang ditangisi oleh keluarga mangsa tetapi sebenarnya mendatangkan kerugian besar kepada negara dari impak ekonomi, pelaburan dan tenaga kerja. Malah rata-rata yang terkorban adalah dalam lingkungan umur yang produktif.

Pelbagai kempen serta penguatkuasaan sudah dilaksanakan namun statistik kemalangan jalan raya di negara kita tidak pernah menurun. Malah menunjukkan peningkatan dan menelan korban yang semakin ramai.

Tentu ada yang tidak kena. Mustahil penyakit tidak mempunyai ubat dan penawarnya atau masalah tidak menemui penyelesaian dan menjadi usai begitu sahaja. Sedangkan masalah global boleh kita maju ke hadapan menjadi juara takkanlah pula masalah di jalan raya kita sudah buntu menggaru kepala?

Malangnya, kita semua sudah seperti hilang punca dan cara dan menyerahkan semua pada pihak berkuasa. Pihak berkuasa mana pula agaknya yang patut menjadi juara? Ini pun menjadi satu lawak jenaka apabila berlaku upacara tuding menuding dan saling melepaskan tengkuk masing-masing.

Cuba kita perhatikan di lebuh raya yang mempunyai tiga lorong. Bagaimana sikap buruk pemandu kita yang memandu perlahan di lorong paling kanan. Ini mengundang rasa marah kepada pemandu di belakang yang tidak dapat memotong. Alasan mereka, had laju cuma 110 kilometer sejam jadi kiranya sudah memandu pada had laju berkenaan orang di belakang sudah melanggar undang-undang, jadi persetankan mereka. Benarkah begitu cara pemanduan di lebuh raya?

Kemudian kita lihat kenderaan berat dan komersial. Baik lori, bas, teksi, van, treler bukan sahaja memandu melebihi had laju malah saling berlumba. Bukan setakat lorong yang diperuntukkan kepada mereka yakni lorong pertama dan kedua tetapi sudah bermaharajalela di lorong paling kanan yang sememangnya 'diharamkan' untuk mereka. Tetapi dengan selamba mereka memandu di lorong itu bukan setakat waktu memotong tetapi kadangkala berjam lamanya berada di lorong berkenaan.

Tidakkah mereka diberi kursus wajib sebelum mendapat lesen PSV mengenai tatacara memandu di lebuh raya? Sudahlah begitu, dengan barangan yang dibawa terdedah seperti sampah sarap, pasir, malah daging babi yang menjengkelkan memang menggambarkan seolah-olah tidak ada undang-undang dan peraturan yang perlu mereka patuhi.

Menjadi kepantangan kepada golongan pemandu kenderaan komersial ini jika diberi lampu atau dihon supaya ke tepi, alamat bala bakal menanti sama ada ditunjuk isyarat lucah dihimpit malah dibaling dengan botol minuman juga seringkali berlaku.

Tidak cukup dengan itu, kini penunggang motosikal juga sudah berani menunggang secara cilok ke tepi dan ke tengah tanpa menghiraukan keselamatan diri seolah-olah mereka berada di jalan persekutuan dan menganggap cara pemanduan begitu dibenarkan di atas lebuh raya.

Lebih merisaukan apabila lebuh raya seperti Lebuh Raya Koridor Guthrie yang sudah menyediakan lorong khusus untuk motosikal juga tidak berupaya menghalang laluan lebuh raya dirampas oleh penunggang motosikal.

Alasannya, lorong motosikal lebih terpencil, jauh dan sunyi sehingga memungkinkan berlaku kejadian jenayah. Tetapi yang menjadikan lorong motosikal itu sunyi adalah disebabkan mereka sendiri tidak menggunakannya.

Sudah tentu banyak tanda tanya kini berlegar di minda kita bagaimana ini boleh berlaku dan bagaimana pula boleh terjadi sedemikian atau apa pula caranya untuk diselesaikan? Sebenarnya banyak yang boleh dilakukan selain operasi menjelang perayaan atau saman ekor dan saman acilut macam orang main polis sentry di pedalaman dahulu kala. Sambil menyorok ambil gambar sudah tentu seronok menghantar saman yang mana keberkesanannya memang diragukan.

Malah menimbulkan kemarahan rakyat seperti mana menganiaya pemandu dan sengaja pula ditahan jerat di kawasan-kawasan yang tidak munasabah seperti had laju turun bukit adalah 80 km sejam lantas di hujung sana sudah menunggu mangsa yang jika menekan brek ketika menurun bukit akan mengundang bencana belakang dihentam oleh pemandu di belakang.

Sudah sampai masanya, anggota penguat kuasa ini diberikan modul khusus penguatkuasaan yang lebih komprehensif bagi menangani isu-isu di atas.

Kehebatan dan kesamsengan pemandu kenderaan berat dan komersial di negara kita memang sudah menjadi buah mulut kepada pelancong asing yang datang hingga timbul komentar sebahagian daripada mereka bahawa rakyat negara ini memang amat tinggi budi bahasa mereka kecuali bila berada di jalan raya. Atau lebih menyakitkan telinga apabila mereka memberikan komen bahawa ekonomi negara sudah menghampiri negara pertama tetapi minda masih ditakuk lama.

Jadi kepada siapa ingin kita marah? Pada pemerintah, pada penguat kuasa, pemandu jentera atau pada diri kita sendiri? Kerana itu, berbalik semula kepada perkara asas yakni semuanya perlu dilaksanakan secara penuh komited serta berterusan bukan setakat bermusim atau ikut sedap.

Seperti kempen memasang lampu di kenderaan berat yang menyala apabila dipandu melebihi had, atau memasang GPS dan kotak hitam yang boleh merekod aktiviti pemandu kenderaan seperti had laju, jarak perjalanan, dan juga laluan yang digunakan sebenarnya tidak akan berkesan jika sekadar melepas batuk di tangga semata-mata.

Kita tidak pernah melihat sebarang papan tanda memaparkan bagaimana cara menggunakan lebuh raya selain amaran-amaran seperti kenderaan berat ikut lorong kiri. Kadangkala ditulis kenderaan berat dilarang memotong. Malangnya, tidak ada satu pun yang menunjukkan bagaimana cara betul menggunakan lebuh raya dua lorong, tiga lorong dan seterusnya.

Malah tidak ada juga ditunjukkan larangan kepada kenderaan komersial yang tidak boleh menggunakan lorong paling kanan sehingga ramai yang tidak menyedari ia menjadi satu kesalahan.

Oleh itu, adalah baik sekiranya dilaksanakan kempen khusus terutama oleh pihak pengendali lebuh raya sendiri sebagai tanggungjawab sosial mereka dengan menggunakan pelbagai medium terkini supaya ilmu pemanduan sedia ada boleh dipertingkatkan.

Pada masa sama, Plus Ronda turut diberi kuasa membantu penguat kuasa untuk mengenakan tindakan, memberi tunjuk ajar atau menghambat keluar penjenayah lebuh raya ini ke jalan biasa sekiranya masih berdegil dengan sikap biadab mereka ini.

Ia seperti mana yang diperolehi oleh Penguatkuasa Dewan Bandaraya yang diberikan kuasa menyaman pesalah trafik ketika ini. Polis, JPJ, SPAD, MKJR dan sebagainya perlu melaksanakan usaha sama secara bersepadu dengan modul khusus secara berterusan.

Ia memang terbukti mampu dilaksanakan sebagaimana kejayaan Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan Strategi Gelombang Biru mereka yang menggabungkan pelbagai agensi dalam gerak kerja membanteras jenayah, mengekang dan membetulkan perspektif umum terhadap indeks jenayah di negara ini.

Penulis ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 31 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kerajaan Taja 600 Pelajar Ikuti Pengajian Perubatan, Pergigian & Farmasi Di IPTS


PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju menaja 600 pelajar aliran sains meneruskan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya mereka merupakan pelajar yang gagal mendapat tempat untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2012/2013.

Mohamed Khaled berkata kesemuanya adalah pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dan memilih tiga bidang pengajian itu sebagai pilihan utama di IPTA, tetapi gagal mendapat tempat.

Katanya mereka terdiri daripada 310 pelajar Melayu, 260 pelajar Cina, 21 pelajar India dan sembilan pelajar lain-lain kaum.

"Sukacita dimaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju menawarkan mereka tempat dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di IPTS yang terpilih dengan dibiayai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Mereka perlu menyatakan persetujuan atas tawaran yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga kementerian itu di sini, malam Selasa.

Katanya, kesemua 600 para pelajar itu akan dihubungi oleh JPA sebelum 15 Ogos ini.

Bagaimanapun, katanya, tawaran baru itu tidak terpakai kepada mereka yang memperoleh PNGK 4.0 dan telah mendapat tawaran pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di IPTA pilihan mereka.

Selain itu, mereka yang mendapat tawaran di IPTA seperti dipohon berdasarkan pilihan pertama juga tidak layak menerima tawaran ini.

Daripada 2,690 pelajar aliran Sains yang memperoleh PNGK 4.0, 2,090 pelajar berjaya mendapat tempat di IPTA bagi sesi akademik 2012/2013.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kementerian itu ingin mengetahui pandangan dan keperluan 130 penuntut Malaysia di Syria bagi mengambil keputusan berhubung pengajian mereka.

"Kita akan buka talian untuk mereka menghubungi kementerian dan memberitahu keperluan mereka. Kita akan melihat sama ada ia selari dengan program-program yang ditawarkan di sini (IPT) atau tidak," katanya.

Kerajaan mengambil keputusan memindahkan penuntut Malaysia dari Syria pulang ke tanah air memandangkan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu. - BERNAMA

ISU GLOBAL : ASEAN harus proaktif selesaikan isu Rohingya


OLEH : DR. KAMARULNIZAM ABDULLAH

NAMPAKNYA nasib umat Islam Rohingya di Myanmar tidak terbela. Kumpulan etnik ini telah mengalami pembersihan etnik secara bersistematik oleh kerana dasar pemerintahan Yangoon yang enggan mengiktiraf kumpulan tersebut sebagai sebahagian daripada rakyat Myanmar.

Seorang teman yang baru pulang dari Myanmar untuk misi kemanusiaan membawa cerita yang menyayat hati. Menurut beliau nasib kumpulan Islam etnik Rohingya akan menjadi lebih teruk jika dibandingkan dengan pembunuhan beramai-ramai di Bosnia sedekad yang lalu.

Kumpulan etnik Rohingya sedang dihapuskan secara bersistematik oleh pemerintahan junta tentera dan kumpulan-kumpulan etnik lain yang mahu menghalau mereka keluar dari bumi Myanmar.

Yang terbaru ialah apabila beberapa puak lain di Rakhine, negeri di wilayah barat Myanmar, melancarkan serangan terhadap puak etnik Rohingya dengan membakar beberapa orang secara hidup-hidup. Kanak-kanak dan orang tua menderita kebuluran kerana kekurangan makanan terutamanya di bulan puasa ini.

Pihak tentera pula memukul, mengugut dan membunuh kumpulan etnik ini tanpa sebab. Ada juga laporan mengatakan bahawa wanita dan perempuan muda dirogol oleh tentera dan kumpulan etnik lain.

Di bulan Ramadan yang mulia ini sesuatu harus dilakukan untuk membela nasih puak Islam Rohingya ini. Pencabulan hak asasi yang melampau sudah tidak dapat diterima. Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), puak Rohingya merupakan kumpulan etnik yang paling tertindas di dunia.

Malangnya masyarakat antarabangsa dan dunia Islam seperti sukar untuk melakukan sesuatu bagi membela nasib mereka. Ini mungkin kerana tidak banyak berita mengenai konflik dan kes penindasan etnik Rohingya yang dilaporkan kepada media antarabangsa sehinggakan sukar untuk memastikan nasib yang melanda kumpulan etnik tersebut.

Sumber utama adalah dari mereka yang baru pulang dari kawasan konflik tersebut ataupun melalui kumpulan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan misi kemanusiaan.

Apa yang lebih menyedihkan perubahan dan transformasi politik yang melanda Myanmar setakat ini tidak diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik untuk puak Rohingya.

Malahan pemimpin pembangkang utama dan ikon hak asasi manusia Myanmar, Aung San Suu Kyi dilaporkan mengelak untuk membicarakan pembunuhan sistematik terhadap puak Islam Rohingya. Beliau gagal untuk mengkritik kerajaan Thein Sein yang dilaporkan akan menghantar lebih 800,000 puak etnik ke kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh.

Kuasa-kuasa besar barat dan negara jiran pula lebih menumpukan kepada peluang-peluang pelaburan di Myanmar setelah perubahan politik yang melanda. Bagi Barack Obama, apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk mengatasi pengaruh China yang telah berakar umbi sewaktu Myanmar dipulaukan oleh masyarakat antarabangsa sebelum ini.

India sebagai kuasa besar terdekat juga gagal untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap isu hak asasi manusia puak Rohingya kerana mahu memelihara hubungan yang terjalin terutamanya apabila Delhi mahu mengambil kesempatan dari keterbukaan ekonomi Myanmar.

Pergerakan negara-negara Islam (OIC) tidak mempunyai taring membangkitkan hal ini. Tiada satu resolusi atau sidang khas untuk membincangkan nasib puak Rohingya. Setakat ini hanya Iran sahaja di kalangan negara Islam yang menyuarakan pendiriannya.

Di Malaysia, nasib puak Rohingya memang telah lama menarik perhatian masyarakat Islam di Malaysia. Dianggarkan lebih kurang 15,000 orang Rohingya tinggal di Malaysia yang mana kebanyakan dari mereka berstatuskan pelarian di bawah kawalan Suruhanjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR).

Mereka hidup dalam penuh kedaifan dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap akibat dari status pelarian tersebut. Sebagai pelarian mereka tidak dibenarkan berkerja dan anak-anak tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen sah. Malahan, mereka ini sering "diganggu" oleh pihak penguat kuasa keselamatan kerana status yang diragui.

Peranan Malaysia walaupun demikian, agak terhad di dalam membantu etnik Rohingya. Ini mungkin kerana sebagai negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), tangan Kuala Lumpur diikat dengan prinsip tiada campur tangan di dalam hal ehwal dalaman negara anggota.

Tetapi kerajaan sebenarnya boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dan konstruktif dengan mengiktiraf pelarian Rohingya dan membenarkan mereka memulakan kehidupan di negara ini.

Seharusnya mereka diberi kebenaran sementara untuk bekerja dan dibantu seperti mana yang telah dilakukan terhadap pelarian Bosnia dahulu. Kerajaan tidak seharusnya membiarkan kumpulan NGO tempatan untuk memainkan peranan mereka bersendirian.

Pada saya, isu puak Rohingya tidak boleh disuarakan secara dua hala terutamanya yang membabitkan negara-negara jiran Myanmar kecuali jika ia dilakukan oleh kuasa-kuasa besar seperti AS, China mahu pun India. Negara-negara kuasa besar ini berupaya memberi tekanan politik dan ekonomi terhadap junta tentera Myanmar.

Mereka boleh melakukan perkara ini jika satu resolusi dibentangkan di Majlis Keselamatan PBB. Malangnya mereka ini tidak berminat melakukannya kerana bagi mereka apa yang penting ialah bagaimana hendak mengeksploitasi kekayaan Myanmar.

Oleh itu, cara lain ialah penyelesaian isu puak Rohingya ini dilakukan secara diplomasi pelbagai hala serantau (regional multilateral diplomatic approach) kerana kesensitifan isu itu sendiri. PBB mungkin sukar untuk menyelesaikannya walaupun pernah diseret oleh junta tentera untuk melakukan sesuatu.

Kerajaan Myanmar telah mencadangkan kepada PBB untuk mengambil alih tanggungjawab penyelesaian masalah puak Rohingya. Pendirian tersebut sudah tentu ditolak mentah-mentah oleh PBB kerana puak Rohingya dilihat adalah masalah sosiopolitik Myanmar.

Hanya ASEAN sahajalah setakat ini yang boleh melakukan sesuatu untuk mengembalikan hak puak Rohingya di Myanmar. Pembunuhan beramai ramai dan penafian hak asasi puak Rohingya telah mula mencalarkan imej ASEAN di mata masyarakat antarabangsa.

Oleh itu ASEAN harus lebih proaktif di dalam mencari penyelesaian konflik tersebut. Jika kita lihat perkembangan konflik antarabangsa sejak akhir-akhir ini, pergerakan atau pertubuhan serantau semakin memainkan peranan yang lebih efektif di dalam menyelesaikan konflik dan perbalahan di rantau mereka.

Tetapi persoalannya adakah ASEAN akan terus melakukan Pendekatan Membina (Constructive Engagement) terhadap Myanmar seperti sebelum ini ataupun lebih berani merangka pendekatan Campur Tangan Berlandaskan Kemanusiaan (Humanitarian Intervention).

Konsep Campur Tangan Kemanusiaan di sini tidak semestinya mengikuti pendekatan yang digunakan oleh Eropah terhadap Bosnia tetapi boleh dilakukan dengan "Cara ASEAN' yang tersendiri. Campur Tangan Kemanusian bukan bermaksud penghantaran tentera negara ASEAN ke kawasan yang bergolak kerana ASEAN tidak mempunyai mandat ke arah itu.

Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan harus menghantar misi mencari fakta di kawasan yang bergolak di Arakan bagi mencari kebenaran tentang apa yang telah berlaku. Setakat ini ASEAN seolah-olah membiarkan Myanmar untuk melakukan apa saja terhadap puak Rohingya. Adakah ASEAN mahu melihat satu lagi the killing field seperti mana yang dilakukan oleh rejim Pol Pot di Kemboja satu waktu dahulu?

Seharusnya tragedi Kemboja tidak boleh berulang di rantau ini kerana ia amat memalukan. Apa yang ditakuti nanti ialah masyarakat antarabangsa akan membawa isu puak Rohingya ke peringkat global dan seterusnya menjadi satu agenda utama kumpulan hak asasi manusia. Apabila ini berlaku, masyarakat antarabangsa akan mempertikaikan peranan ASEAN untuk menyelesaikan konflik secara konstruktif yang sebenarnya berlaku "di belakang rumah mereka sendiri".

Penulis  ialah Profesor Pengajian Keselamatan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan, dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/