Khamis, 2 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : Hayati 55 Tahun Merdeka


Oleh : Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong

PERTAMA sekali mari kita panjatkan rasa syukur kepada Ilahi, dengan rahmat-Nya Malaysia hari ini telah mencapai 55 tahun kemerdekaan. Bertapa bertuahnya kita sebagai warganegara yang menikmati keamanan ini hasil daripada perjuangan generasi terdahulu. Namun, berapa ramaikah yang benar-benar menghayati erti kemerdekaan? 


Jika kita bertanya kepada masyarakat umum, pelajar, mahupun mahasiswa, pasti mereka menjelaskan bahawa kemerdekaan adalah bebas daripada penjajahan kuasa asing. Pada tulisan kali ini penulis ingin mengajak sidang pembaca untuk menghayati erti kemerdekaan daripada sudut yang lebih luas, bukan sahaja mengenal  erti kemerdekaan dari sudut fizikal iaitu bebas daripada kuasa asing. Yang ingin kita lihat adalah erti kemerdekaan dari sudut yang lebih besar iaitu merangkumi kemerdekaan dari sudut mentaliti, sahsiah, dan juga sosial kemasyarakatan.

Adakah kita benar-benar merdeka? Satu persoalan yang bersifat subjektif yang mana jawapannya pelbagai. Ya kita sebenarnya benar-benar merdeka. Buktinya, Malaysia mampu membangun dengan begitu pesat sejak 1957. Kita mampu mencipta nama di pentas dunia, kita mampu mencipta nama dalam apa-apa bidang, ekonomi, politik, mahupun teknologi. Namun, kemajuan yang kita kecapi hari ini bukan berstatus mutlak, kerana, walaupun kita bebas merdeka dalam bentuk fizikal, namun sebenarnya minda kita masih lagi terjajah.

Mengapa penulis berhujah sedemikian? Contoh kecil yang boleh penulis ketengahkan pada kali ini adalah penggunaan bahasa Inggeris yang  kian berleluasa dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Niat penulis bukanlah ingin menyentuh mana-mana pihak tetapi lebih kepada mencetus kesedaran kita dalam soal penggunaan bahasa dalam perspektif kemerdekaan. Adakah kita masih dijajah ataupun bebas?

Ramai yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu  mampu meneroka ilmu pengetahuan dengan lebih luas, walaupun  kita sedar bahawa bahasa itu sebagai warisan bangsa.

Kita cukup bangga apabila anak kita  fasih berbahasa Inggeris, namun kita tidak rasa sedikit pun bimbang  jika  anak kita tidak mampu berbahasa Melayu dengan betul. Hal ini disebabkan minda kita masih lagi terjajah  lantas menganggap  bahasa Inggerislah segala-galanya dalam  kehidupan kita hari ini.

Tanggapan buruk ini perlu kita ubati dengan segera, kerana  Ibnu Khaldun (1332-1406), sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah membuat pemerhatian tentang peristiwa ini.

Beliau membuat catatan dalam Muqaddimah, Bab 2, Bahagian 22, bahawa bangsa yang pernah ditakluki oleh sebuah kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh itu, mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluki mereka.

Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka adalah bangsa yang agung. Akibatnya mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor yang biasa sahaja. Oleh sebab itu, kita tidak hairan apabila ada dalam kalangan kita yang terus mengagumi kuasa Inggeris. Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah terjajah oleh Inggeris.

Bagi mereka, bahasa Inggeris dapat digunakan untuk menjayakan segala-galanya. Kejayaan bahasa Melayu melahirkan ribuan doktor, jurutera, ahli kimia, ahli farmasi dan lain-lain, dan mereka yang berjaya ini pula mampu mengikuti pengajian sarjana dan kedoktoran di Korea, Jepun, Rusia, Mesir atau Sweden, tidak membuktikan apa-apa kepada mereka. Mereka tetap terjajah dalam minda yang mengagungkan bahasa Inggeris (Abdullah Hassan 2009: Bahasa Melayu di persimpangan: antara jati diri dengan rumpun globalisasi).

Oleh yang demikian, setelah kita mencapai 55 tahun kemerdekaan yang akan genap 31 Ogos nanti, marilah kita renung kembali, fikirkan sejenak adakah kita pada hari ini masih lagi terjajah  ataupun bebas seperti diuar-uarkan.

Merdeka  atau  kemerdekaan itu besar ertinya, justeru,  hayati erti kemerdekaan itu sewajarnya. Semoga kita menjadi bangsa berdaulat, makmur, dan sepakat. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55.

Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Menangani gejala sosial masa ini


Oleh : TAKRIL TASUKI

Orang Melayu dilihat mengungguli gejala sosial masa ini. Sebagai umat Islam, wajar mengambil iktibar daripada teguran dan ingatan daripada Sultan Selangor baru-baru ini. Baginda amat bimbang dengan penularan pelbagai masalah sosial kini yang perlu ditangani dengan segera dan berhemah.

Masalah orang Melayu kini bertambah kronik dengan ancaman pelbagai masalah termasuk isu perpecahan, cukup selesa, alpa dan pemikiran bercelaru yang melemahkan perpaduan sejagat, sehinggakan orang bukan Islam semakin berani melemparkan kritikan dan penghinaan terhadap agama Islam.

Orang Melayu perlu sedar, kekuatan mereka hanya bergantung kepada perpaduan. Kita tiada lagi kekuatan ekonomi, pendidikan malah moral. Kuasa politik yang dimiliki pula semakin tercabar. Orang Melayu sekarang umpama pepatah ‘jika pohon kelapa tumbang, kura-kura pun teringin memanjatnya’.

Pohon kelapa itu diibaratkan masyarakat Melayu dan ia baru condong. Tetapi pelbagai haiwan yang sebelum ini tidak berupaya memanjat pokok, kini begitu gagah tegak berdiri menanti tumbangnya pohon  itu.

Orang Melayu turut dilemahkan dengan gejala sosial kalangan remaja yang boleh menggelapkan masa depan generasi muda. Peranan ibu bapa tetap menduduki tempat utama bagi membantu mengurangkan masalah tersebut. Ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap tingkah laku, pergerakan, pergaulan anak di dalam dan luar rumah.

Pengaruh Internet kepada remaja umpama terselit racun yang berbisa. Mereka bebas melayari laman web yang berbentuk hiburan semata-mata dan meminggirkan masa belajar. Kesannya mereka ketinggalan dari segi akademik. Anak bukan Melayu terus cemerlang dalam akademik, tetapi anak Melayu makin jauh tertinggal di belakang.

Justeru, pihak berkuasa khususnya Kementerian Penerangan perlu menapis dan menyekat pengaruh negatif terutamanya bahan pornografi melalui Internet, sebagimana di negara maju seperti China, Britain dan Singapura.

Tarikan kafe siber kepada golongan remaja juga amat kuat. Kewujudan kafe siber yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan wajar diberi perhatian. Di mana-mana tempat kita pergi terdapat kafe siber yang di dalamnya dipenuhi golongan remaja. Kita bukan menolak kewujudan teknologi maklumat di era globalisasi ini, tetapi kewujudannya wajar dikawal dan dipantau agar ia tidak disalah guna seperti budaya melepak dan gengsterisme.

Gejala sosial kalangan masyarakat begitu sukar dibendung kerana kurangnya pengetahuan mengenai gaya hidup yang positif. Bukan hanya kalangan remaja atau muda-mudi sahaja, malah sesetengah golongan tua atau warga emas tidak terkecuali. Kehidupan beragama yang mengamalkan kesederhanaan dalam segenap aspek dipinggirkan, sedangkan kegilaan terhadap hiburan amatlah melampaui batas yang dibenarkan oleh syarak.

Artis menjadi idola mereka, sedangkan alim ulama dipandang sebelah mata. Justeru, ustaz yang berdamping dengan masyarakat dan mengajar di surau atau masjid wajar mengupas dan memberi peringatan berkenaan bahaya gejala sosial masa kini yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan masyarakat.

Golongan ustaz juga perlu melihat sendiri apa yang ada dalam Internet, agar boleh dijadikan pengajaran bagi memberi peringatan kepada masyarakat.

Teh tarik sangat sinonim dengan restoran mamak. Kita lihat di mana-mana sahaja kedai mamak penuh dengan pengunjung remaja, muda-mudi atau golongan tua untuk menikmati keenakan teh tarik di samping melepak sehingga larut malam dan ada kalanya sampai pagi.

Restoran mamak bukan sahaja dibuka 24 jam tetapi menyediakan skrin besar untuk menyaksikan perlawanan bola dan sebagainya. Restoran mamak yang seolah-olah ‘rumah kedua’ bagi mereka boleh mendatangkan kesan negatif dan gejala sosial makin berleluasa.

Justeru, restoran mamak 24 jam harus dipantau dan pihak berkuasa wajar membenarkan restoran mamak membuka perniagaannya hanya  sehingga 12 malam.

Kita wajar mencontohi negara-negara Barat yang memantau dan mengawal serta tidak membenarkan perniagaan beroperasi 24 jam. Menangani masalah gejala sosial memerlukan kerjasama dan kesedaran daripada seluruh masyarakat. Slogan ‘keluargaku, syurgaku’ dan ‘semakin hari semakin sayang’ patut dihayati oleh seisi komuniti kita, supaya melahirkan masyarat madani dan sakinah.

Penulis ialah Timbalan Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor


Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Penjajahan minda, budaya sama bahaya


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Sarwa tauhid nilai semula kemerdekaan

Kedatangan Islam ke rantau Asia Tenggara bukan sekadar menjadi anutan kepada penduduknya tetapi memberikan satu makna baru terhadap kehidupan secara menyeluruh. Kehadiran Islam bukan seperti agama lain sebelumnya, iaitu Hindu dan Buddha. Ia memberi pengaruh yang mendalam terutama dalam membentuk pandangan sarwa.

Negara kita sudah lama merdeka tetapi jiwa kita terus terjajah. Terjajah dengan seribu satu macam perkara yang akhirnya membuatkan kita terkesima dengan kemajuan orang lain. Kekallah kita sebagai masyarakat pengguna bukan masyarakat mencipta”

Pandangan sarwa juga dikenali sebagai worldview, tasawur kehidupan, weltanschaung dan juga rukyah al-wujud fi al-Islam. Ia secara asasnya menjawab persoalan mengenai perihal kewujudan alam dan seisinya, tugas dan kedudukan manusia serta tujuan akhir semua kewujudan itu serta hubungan dan kedudukan Allah sebagai pencipta kepada semua kewujudan. Bauan tauhid amat kuat dapat dihidu dalam pandangan sarwa.

Pandangan sarwa berteraskan tauhid inilah yang bertanggungjawab pada permulaannya membebaskan orang Eropah daripada kegelapan tahyul dan kekeliruan faham mengenai proses alamiah. Menerima wujudnya peraturan alam yang juga dikenali sebagai hukum sains hari ini menjadikan manusia lebih teratur apabila berhubung dengan alam sekeliling.

Perkara sama juga berlaku di rantau ini apabila kehadiran Islam sudah membebaskan orang Melayu daripada perkara yang tidak logik lagi tidak munasabah. Antaranya ialah hubungan rakyat dan raja yang mempunyai takrifan baru.

Hubungan rakyat dan raja

Manusia diiktiraf mempunyai hak yang sama di sisi Allah. Tiada perbezaan darjat jika berdasarkan warna kulit, harta, kedudukan dan keturunan melainkan takwa yang menjadi pembezanya. Begitulah juga dengan hubungan rakyat dan raja. Raja adalah pelaksana amanah kepemimpinan yang dikurniakan oleh Allah dan diakui rakyat. Ia berbeza daripada  zaman pra Islam yang mengangkat raja sebagai dewa dengan kesaktian yang pelbagai dan rakyat mempunyai darjat yang jauh lebih rendah dan hina berbanding raja.

Selain itu, pandangan sarwa ini menjadikan Melayu lebih sensitif terhadap maruah dan kehormatan diri, menyanjung tinggi prinsip keadilan dan hak kemanusiaan.

Menurut Dr Siddiq Fadzil, pembentukan citra dan etos bangsa yang berteraskan tauhid terbantut akibat kedatangan penjajah. Penjajahan menyebabkan usaha pembinaan bangsa terpaksa dialihkan kepada aspek pertahanan bagi mengekalkan penguasaan geografi yang berkait langsung dengan keuntungan ekonomi.

Usaha penjajah untuk menyerang keutuhan budaya bangsa dapat dikesan, terutama pada kelompok elit dan bangsawan. Terhasillah satu kelompok orang Melayu yang bercirikan ‘anglophile’ atau manusia dua kerat, iaitu sekerat Melayu dan sekerat Inggeris. Usaha itu nampaknya tidak begitu berjaya tatkala itu untuk mempengaruhi masyarakat awam.

Namun kita dapati usaha itu tidak terhenti bersama pengisytiharan kemerdekaan negara. Ia diteruskan sehinggalah ke hari ini. Maka kita terus kekal di bawah belenggu penjajahan budaya dan pemikiran. Istilah penjajahan jenis ini dipopularkan oleh Malik Bennabi.

Memaknai semula kemerdekaan

Negara kita sudah lama merdeka tetapi jiwa kita terus terjajah. Terjajah dengan seribu satu macam perkara yang akhirnya membuatkan kita terkesima dengan kemajuan orang lain. Kekallah kita sebagai masyarakat pengguna bukan masyarakat mencipta. Kita hanya mampu membeli pelbagai jenis hasil teknologi tetapi kita terus gagal menghasilkan sumbangan yang bermakna kepada kehidupan manusia sejagat.

Kita amat mudah terpesona dengan trend terbaru gaya terkini. Tidak kira sama ada ia meliputi fesyen pakaian, muzik mahupun gajet. Kita hanya tergolong sebagai pengguna dan peminat setia. Jika ada usaha pengubahsuaian pun, ia masih dalam konsep yang jelas terikat dengan ‘orang lain’.

Marilah kita bersama memaknai semula kemerdekaan negara kita. Kita boleh mulakan dengan bagaimana kita bermula suatu ketika dulu. Kita bermula sebagai bangsa yang tidak mempunyai sebarang peradaban dengan fahaman animisme lalu diangkat darjat sebagai satu bangsa yang dihormati dan dipercayai sehingga mampu mengepalai sebuah pusat perdagangan maritim terbesar di rantau sebelah sini.

Kita tidak dapat menafikan bahawa darjat kita diangkat oleh Islam yang datang bersama misi pembebasan dan pencerahan (tahririy tanwiriy). Penghayatan semula pandangan sarwa tauhid (tauhidic worldview) perlu dilaksanakan. Ia adalah prasyarat wajib bagi sebuah kemerdekaan yang bermakna dan langkah pertama pemberdayaan bangsa.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Semarakkan bulan merdeka


 Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

OGOS merupakan bulan yang penting dalam kalendar negara. Sambutan Hari Kemerdekaan disambut dalam bulan ini dan berkesinambungan ke September di mana kita memperingati Hari Malaysia pada 16 September.

Ia adalah detik apabila sekali lagi rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan keturunan memikirkan sejenak betapa pentingnya ‘Merdeka’ dan pengertiannya kepada semua rakyat Malaysia.

Kedatangan 31 Ogos tahun ini menandakan kita akan menyambut kelahiran negara untuk kali ke-55. Dalam meraikan perayaan bulan merdeka, rakyat Malaysia dapat menyemarakkan semula semangat patriotik mereka yang amat penting dalam pembinaan perpaduan untuk sebuah negara yang berbilang kaum seperti negara kita.

Menyemai kebanggaan kepada bendera Jalur Gemilang penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara. Menganjurkan kempen ‘Cintakan Bendera Kita’ di sekolah-sekolah, dalam kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya.

Bagi generasi muda, Hari Kebangsaan membawa ingatan  akan kegigihan dan perjuangan menentang penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang dicapai selama ini. Bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan sebelum ini menunjukkan walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.

Bagi mereka hari kemerdekaan hanya merupakan cuti am di mana mereka berpeluang bersantai. Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih menghargai erti sebenar hari kemerdekaan.

Tatkala rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa tidak lama lagi akan menyambut satu lagi ulang tahun kemerdekaan kita, izinkan saya menekankan sekali lagi tentang asas yang membawa kita bersama iaitu prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Rukun Negara digubal pada 1970 dan menetapkan untuk mencapai satu bentuk konsensus minimum dengan mengambil kira aspirasi nasional di kalangan pelbagai masyarakat di Malaysia tanpa mengira kedudukan geografi atau latar belakang etnik mereka.

Rukun Negara adalah panduan kita untuk pembinaan negara dan perlu dihormati oleh semua. Ia adalah satu wawasan bersama untuk perpaduan nasional. Prinsip-prinsip itu perlu sentiasa dipertahankan dan diamalkan supaya kita tidak mengambil mudah kestabilan, keamanan dan keharmonian yang kita kecapi setakat ini.

Ramai yang mengambil mudah isu perpaduan. Ia bukanlah satu perkembangan yang sihat dalam sebuah negara berbilang bangsa, pelbagai agama dan pelbagai budaya seperti Malaysia, usaha berterusan mesti dibuat oleh semua rakyat untuk mengukuhkan perpaduan.

Penulis ialah Ahli Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 1 Ogos 2012

ISU KESIHATAN : Awas kesan buruk merokok sebaik berbuka


Al Ain : Berbuka puasa dengan menghisap rokok boleh membawa maut, kata seorang pakar yang menggesa orang Islam membuang tabiat merokok ketika Ramadan.

Perbuatan merokok boleh memberi bahaya kepada seseorang yang berpuasa kerana anggota badan mereka cuba untuk pulih selepas tidak minum atau makan dalam tempoh yang lama, katanya. Pakar itu juga menekankan, perokok dikira bernasib baik sekiranya mereka tidak mempunyai masalah jantung berpunca daripada tabiat berkenaan.

Merokok adalah perkara buruk yang dilakukan seseorang terhadap badan mereka terutama selepas berbuka puasa di bulan Ramadan, kata seorang pakar perubatan dalaman di Pusat Perubatan dan Klinik Emirates di Al Ain, Dr Riaz Ahmad Minhas.

Disebabkan berpuasa, badan amat memerlukan air, glukos dan oksigen. Sebaliknya, merokok boleh menyekat saluran darah dan menghalang aliran oksigen yang diperlukan. Merokok pada waktu kritikal juga boleh menyebabkan darah menjadi beku.

Ini boleh menyebabkan pembuluh darah tersekat sekali gus meningkatkan tekanan darah, spasms (kesesakan arteri) mengganggu degupan jantung dan meningkatkan kolesterol.

Ia boleh menyebabkan perokok maut. Sebab itu, perokok perlu berhati-hati dalam perkara ini, kata Dr Minhas.

Sumber : Agensi

ISU SOSIAL : Buat pinjaman bank, syarikat kewangan, ah long untuk beraya?


Seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bertindak menurunkan poster dan iklan ah long bagi memastikan orang ramai tidak terjebak dengan skim pinjaman haram itu di sekitar bandar Seremban, Negeri Sembilan awal bulan ini.

Oleh : Fauziah Arof

MEMANDU di jalan raya yang sesak sambil melayan radio dalam perjalanan ke pejabat dalam bulan Ramadan ini, saya mendengar bermacam-macam iklan promosi menyambut Hari Raya Aidilfitri, daripada kain, langsir, produk minuman, makanan, jubin lantai dan entah apa lagi semuanya dikaitkan dengan perayaan itu.

Dan yang paling menarik perhatian adalah iklan daripada sebuah institusi kewangan yang menawarkan pinjaman wang sempena Hari Raya. Wah, semua pihak mahu mengambil kesempatan sempena Hari Raya untuk melariskan produk-produk termasuk perkhidmatan.

Semuanya mahu menggalakkan orang kita berbelanja besar dan sakan untuk menyambut Syawal ini.

Dan jika anda lihat di laman sosial terutamanya Facebook dan iklan-iklan di Internet, ramai juga yang menjadi agen kepada mana-mana syarikat kewangan berlesen mengajak rakan-rakan mengambil pinjaman yang ditawarkan sempena hari raya, ada yang mencapai sehingga RM50,000!

Memang hebat penangan iklan-iklan tersebut, jika tidak fikir panjang, ramai yang pasti terjerat untuk meminjam walaupun sebenarnya tidak ada keperluan langsung atau terdesak pun.

Perlukah kita sampai ke tahap meminjam wang pada bank atau syarikat kewangan berlesen untuk menyambut Hari Raya? Itu belum lagi masuk khidmat ceti-ceti haram atau ah long.

Dengan kakitangan awam mendapat bonus setengah bulan, pesara pun dapat bonus, peneroka Felda juga, tentu ini dapat melegakan sedikit sebanyak persediaan golongan ini untuk menyambut hari lebaran itu.

Kepada kakitangan swasta, tidak mendapat bonus tidak semestinya perlu meminjam sana sini. Memanglah perit kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk menyediakan segala persiapan Hari Raya terutamanya dalam memenuhi keperluan dan permintaan anak-anak dengan pendapatan yang tidak banyak.

Tetapi sekiranya anda memilih untuk membuat pinjaman bank atau syarikat kewangan, ia pasti akan menambah beban tanggungan anda selepas ini. Nanti, raya sudah habis sebulan, hutang sehingga raya tahun depan pun belum tentu habis.

Kita mesti ingat beberapa bulan lagi, pejam celik, pejam celik, musim persekolahan sesi tahun depan pula akan bermula. Perbelanjaan ini lebih penting dan besar kepada yang mempunyai ramai anak. Pada masa itu, masihkah kita mahu meminjam lagi?

Sebaik-baiknya, perbelanjaan diatur mengikut kemampuan diri sendiri dan keluarga. Perlukah kita berhabis-habisan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sedangkan agama kita turut menuntut kita bersederhana dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri dan keluarga kelak.

Sekiranya kita berbelanja secara berhemah, tidak mengikut rasa, ukur baju di tubuh sendiri dan berbelanja atas perkara-perkara yang perlu, sudah pasti isu-isu melibatkan kewangan setiap tiba Hari Raya dapat diatasi.

Dan kita juga dapat menjalani ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan ini dengan hati dan fikiran yang tenang, fokus, tanpa diserabutkan dengan masalah-masalah kewangan.

Kita perlu mensyukuri dengan kemakmuran yang diberikan Tuhan di negara ini, di bulan Ramadan, kita dapat berpuasa, membuat amal ibadah dengan aman, serba serbi ada, sedangkan umat Islam di negara lain seperti Somalia dan umat Islam Rohingya di Myanmar bukan sahaja tiada makanan untuk bersahur, berbuka pun begitu juga. Inikan pula hendak membuat persiapan seperti kita untuk menyambut raya.

Dan ada juga suami isteri yang tidak bertegur sapa, bertengkar di bulan yang mulia ini kerana hal-hal perbelanjaan untuk berhari raya!

Yang peliknya, pada Hari Rayalah semua benda hendak ditukar baru. Seolah-olah kalau tidak ditukar, tidak boleh beraya. Dan berlaku juga amalan pembaziran, sehingga ada kuih raya yang dibeli masih ada apabila menyambut Hari Raya Aidiladha nanti. Ada yang membeli baju berpasang-pasang, sudahnya berlapuk disimpan di dalam almari dan dipakai setahun sekali sahaja.

Dalam pada itu, kita juga meminta pihak yang berkaitan agar membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap peniaga-peniaga yang mungkin mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan sesuka hati.

Dengan pemberian bonus kepada kakitangan awam, pesara, peneroka Felda dan kecenderungan orang kita berbelanja sakan untuk menyambut Aidilfitri ini, kita bimbang ramai peniaga yang gatal menaikkan harga barangan. Selain isu harga, kualiti barangan juga perlu ditengok sama.

Dalam berbelanja kitalah sebenarnya menentukan apa yang perlu, apa yang tidak, bukannya promosi atau iklan-iklan produk. Jika mampu berbelanja lebih, tidak mengapa, jika tidak, kesannya mungkin mengganggu kesejahteraan dan kualiti hidup kita dan keluarga dalam tempoh yang agak panjang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Ijazah palsu berlaku seluruh dunia


Oleh : Akhbar Satar
 
Hukuman tegas patut jadi pengajaran

Tidak lama dulu, Laura Callahan, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Penerangan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama, meletakkan jawatan selepas beliau disiasat dan didapati membeli Ijazah, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) daripada online. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak melakukan semakan latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas. Mengikut kajian di Amerika Syarikat, pada tahun lalu saja, kes pemalsuan ijazah membabitkan AS$1 bilion (RM3 bilion) setahun.

Amerika Syarikat juga mengeluarkan sebanyak 50,000 PhD palsu ke seluruh dunia setiap tahun. Kebanyakan daripada laman web ini beroperasi di Alabama, Mississippi dan Wyoming memandangkan undang-undang di negeri berkenaan masih longgar dalam menangani isu itu.

Amerika adalah negara pelopor dalam penipuan dan pemalsuan sijil kelulusan seperti ini. Ia merebak ke negara lain seperti India, Singapura, Russia, Pakistan, Indonesia dan Filipina.

Di Malaysia, ia hanya mula dikesan dengan penipuan untuk mendapat kelulusan daripada Universiti Sains Malaysia (USM). Situasi ini perlu dibendung agar ia tidak merebak dan kelak diambil alih oleh pendatang Afrika yang terkenal dalam jenayah penipuan. 

India mempunyai banyak pusat pengajian tinggi, termasuk 350 yang tidak diiktiraf kerajaan manakala di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor yang memperoleh kelulusan PhD dengan cara membeli kelulusan palsu. Pembabitan ‘Profesor Segera’ ini merosakkan imej dan mutu pembelajaran di Pakistan, terutama dalam bidang perubatan.

Beberapa bulan lalu, di Singapura, penipuan sijil dikaitkan dengan sebuah institusi terkemuka dan kelulusan bidang yang popular masa kini ialah pengurusan bisnes dan pelancongan. Sijil palsu ini dijual dengan RM30,000 sekeping, termasuk transkrip mengandungi keputusan yang baik.

Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000 sekeping. Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu University Havard, sebuah universiti terbaik di dunia dengan harga RM120,000. Filipina juga tidak ketinggalan, mereka hanya mengenakan bayaran sekali gus RM30 hingga RM200 bagi sebarang sijil atau ijazah dalam masa dua jam.

Kira-kira sebulan lalu, Kementerian Pelajaran Tinggi Arab Saudi membongkar kegiatan 110 agensi yang menjual ijazah palsu daripada universiti asing sejak beberapa tahun lalu. Dalam beberapa minggu lalu, Polis Indonesia menumpaskan satu sindiket pengeluaran sijil palsu yang dijual dengan harga RM2,000 sekeping.

Apa yang menyedihkan ada sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu daripada pusat pengajian tinggi dengan hanya perlu membayar RM240. Tawaran ini menjadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa saja bidang yang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi di dalam ijazah palsu terbabit.

Beberapa hari lalu, selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu bernilai lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara, turut mendedahkan pembelinya terdiri daripada ahli politik dan individu bergelar Tan Sri.

Syarikat menawarkan sijil palsu dengan harga RM6,500 bagi ijazah, RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (doktor falsafah) dalam pelbagai jurusan yang kononnya diiktiraf oleh lima universiti luar negara, antaranya University of Rockhampton, Harvey International University, Cannington Brook University dan Charles Molnar University.

Adalah wajar sesiapa yang menipu menggunakan sijil palsu boleh dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali. Impak hukuman ini bukan saja boleh menjatuhkan maruah seseorang bahkan juga memusnahkan masa depan mereka.

Ramai orang yang sakit jiwa, pemalas dan suka menipu cuba mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah dalam tujuh hari, sedangkan pelajar yang belajar di universiti terpaksa belajar antara tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma, ijazah, sarjana atau PhD.

Satu pusat menyimpan data mengenai seseorang graduan mesti ditubuhkan untuk mengelakkan kes pemalsuan ijazah, mengadakan ciri keselamatan atau semua sijil dicetak oleh Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti yang tinggi.

Seseorang yang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi adalah tidak berintegriti dan patut berasa jijik jika memiliki ijazah palsu.

Penulis ialah Pakar Kriminologi, Institut Jenayah & Kriminologi  Universiti HELP


Sumber : http : //www.bharian.com.my/