Selasa, 7 Ogos 2012

ISU GLOBAL : Dunia menghalalkan pertumpahan darah umat Islam?


Oleh Noraini Razak

ISRAEL, kuasa tanpa ‘negara’ menghalang penganjuran Mesyuarat Luar Biasa Peringkat Menteri Jawatankuasa Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang dijadualkan di Ramallah, Palestin.

Mesyuarat sepatutnya berlangsung dari 5 hingga 6 Ogos lalu. Alasan Israel ada kalangan negara anggota pergerakan itu tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan ‘kuasa’ besar itu dan Malaysia salah sebuah negara yang dimaksudkan.

Justeru mesyuarat luar biasa peringkat menteri NAM tidak boleh dilangsungkan.

Dalam hal ini seperti mana juga hal-hal lain, sifat bongkak, angkuh dan gila kuasa rejim Zionis amat terserlah. Kuasa besar itu mahu meneruskan cengkaman ke atas Palestin sehinggakan persidangan yang sepatutnya berlangsung di Ramallah iaitu bumi Palestin mendapat tentangan.

Apa hak Israel? Memang benar ada kalangan negara anggota NAM seperti Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan kuasa besar itu. Tetapi apa perlunya dan apa kaitannya hubungan diplomatik dengan Israel jika mesyuarat luar biasa NAM mahu dilangsungkan di bumi Palestin?

Di mana rasional kata dua Israel itu atau sememangnya Israel telah memaktubkan keseluruhan Palestin adalah haknya sehingga terserlah keberanian menghalang mesyuarat khusus bagi membincangkan perihal negara yang tinggal sekangkang kera itu.

Mesyuarat luar biasa peringkat menteri jawatankuasa NAM adalah mengenai Palestin. Sebab itu ia diadakan di bumi yang hampir 90 peratus daripada tanahnya telah dirampas oleh Israel. Ia juga telah diputuskan ketika menteri-menteri luar bermesyuarat di Sharm El-Sheikh pada Mei lalu. Tidak ada pula Israel berbunyi ketika itu, biar pun satu dunia mengetahui pemilihan Ramallah sebagai pusat pertemuan seterusnya.

Hakikatnya, menteri-menteri luar yang menjadi ketua delegasi tidak menjejakkan kaki ke tanah Israel kerana kuasa besar itu tidak mempunyai tanah. Mereka memilih Ramallah yang merupakan wilayah Palestin, waima jika NAM bermesyuarat luar biasa di Israel sekali pun, tanah itu adalah darah dan air mata rakyat Palestin.

Israel sememangnya tidak memiliki apa-apa melainkan kekejaman menindas penduduk Palestin yang kini menjadi pelarian di negara sendiri. Kekejaman dan kezaliman itu menjadikan Israel kuasa besar sekarang ini sehingga mempunyai kekuatan untuk mencatur politik di negara-negara Islam. Israel digeruni sehinggakan tidak ada satu negara mahu pun pertubuhan mampu merungkaikan penderitaan rakyat Palestin apatah lagi mahu melunasi nyawa-nyawa yang telah terkorban.

Sekadar menghulurkan bantuan yang sarat dengan sekatan, curahan simpati selain mesyuarat tidak berkeputusan oleh NAM, Pertubuhan Persidangan Islam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan lain-lain, dunia tidak mampu berbuat lebih daripada itu.

Selebihnya, dunia hanya mampu menjadi pemerhati kekejaman demi kekejaman dan semakin tipisnya harapan Palestin untuk memiliki semula haknya yang sejak puluhan tahun dirampas Israel.

Penderitaan rakyat Palestin hakikatnya telah menjadi sejarah. Menunggu mentari muncul tanpa sisa-sisa abu nuklear di bumi itu bermakna akan ada satu catatan sejarah baru dalam perjuangan penduduk Palestin. Sehingga hari ini apa yang disaksikan dunia adalah ulangan sejarah kekejaman dan penindasan Israel tanpa ada belas ihsan jauh sekali mahu tunduk menjenguk sekelumit keperluan penduduk di situ.

Kelukaan penduduk Islam di Palestin sudah terlalu parah. Malah dunia Islam baik di mana-mana menangisi satu persatu tragedi yang mengorbankan nyawa demi nyawa tanpa ada ihsan baik di bulan Ramadan mahu pun sebaliknya.

Sementelah konflik di negara-negara Islam di Asia Barat sendiri tidak pernah berkesudahan, manakala di ASEAN seperti Myanmar umat Islam terus ‘dijajah’ malah diratah nyawa mereka tanpa ada batasan.

Siapa dalang di sebalik peristiwa berdarah ini? Adakah segala-galanya tercetus sendiri tanpa ada sebab atau provokasi? Atau darah umat Islam memang dihalalkan di mana saja oleh satu kuasa besar yang tidak akan tenteram selagi mereka tidak mendapat pengiktirafan dengan menjadikan Palestin bumi mereka secara muktamad. Akan adakah detik itu, atau akan adakah yang mampu mengubah sejarah? Tentunya ada.

Somber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Majikan ‘buru’ individu mahir bidang pemasaran


Individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang jualan dan pemasaran serta pembangunan perniagaan adalah yang paling mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan, demikian mengikut kaji selidik dijalankan enjin carian pekerjaan Jobstreet.

Ini diikuti mereka yang mempunyai kepakaran dalam komputer dan teknologi maklumat (perisian), perakaunan serta pentadbiran.

Dua bidang kepakaran baharu yang memasuki senarai 10 bidang kemahiran utama yang mendapat permintaan tinggi majikan ialah kemahiran teknikal dalam sokongan meja bantuan serta kejuruteraan sivil dan pembinaan.

Bidang kemahiran lain yang diperhatikan majikan termasuk perkeranian atau pentadbiran awam, perkhidmatan pelanggan, penyelenggaraan serta jualan dan pemasaran (teknikal).

Kaji selidik Indeks Tinjauan Pekerjaan itu disertai 239 pelanggan JobStreet.com, pengurus dan pengurus kanan dalam pelbagai industri dalam negara bulan lalu.

Sementara itu, Laporan Tinjauan Pekerjaan JobStreet.com itu mendapati 33 peratus responden terdiri daripada pencari kerja merasakan tinjauan pekerjaan pada suku ketiga ini secara umumnya adalah lebih sukar berbanding suku sebelumnya, manakala 36 peratus lagi merasakan tinjauannya adalah serupa.

Meskipun 31 peratus lagi merasakan tinjauan pekerjaan akan menjadi lebih baik untuk 12 bulan akan datang, ia merekodkan penurunan 13 peratus berbanding suku sebelumnya.

Keyakinan pencari kerja turun

Malah, laporan Indeks Keyakinan Pekerja Jobstreet.com (JECI) mendapati berlaku penurunan keyakinan pencari kerja untuk mendapat pekerjaan daripada 50 mata pada Jun kepada hanya 41 mata pada Julai yang mencerminkan isyarat pasaran pekerjaan lebih lemah.

Industri utama seperti pengeluaran, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perdagangan, peruncitan dan pemborongan serta kewangan dijangka berdepan pertumbuhan pekerjaan paling rendah dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Majoriti industri juga menjangkakan mereka akan mengambil kurang daripada lima pekerja dalam tempoh tiga ke enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, industri pembinaan menjangkakan pertumbuhan kukuh dalam prospek pekerjaan untuk 12 bulan lagi.

Namun di sebalik keputusan kaji selidik itu, Jobstreet.com masih menyaksikan jumlah besar pekerjaan yang diiklankan dalam laman webnya.

“Terdapat kira-kira 20,000 pekerjaan diiklankan di JobStreet.com setiap hari,” kata Pengurus Negara Jobstreet.com, Chook Yuh Yng dalam kenyataan mengumumkan hasil kaji selidik itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Khidmat terbaik juga satu sedekah


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Penghayatan semangat Ramadan dalam segala bidang kukuh sahsiah diri


Apabila bekerja pada Ramadan, fikiran dan hati kita sewajarnya diisi dengan semangat dan keinginan untuk menggandakan usaha sama ada secara kuantiti mahupun kualiti sesuai gandaan ganjaran, kemuliaan serta keistimewaan Allah SWT anugerahkan di bulan penuh kerahmatan ini. Atau sebaik-baiknya kita berusaha menampung serta menggantikan sebarang bentuk kekurangan kerja semalam demi merebut dan bersyukur dengan segala limpahan yang Allah SWT janjikan pada bulan ini.

Diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan (pada Ramadan) secara sukarela satu perkara daripada perkara kebaikan (sunat), maka dia seperti orang yang menunaikan kefarduan pada masa yang lain. Sesiapa menunaikan (pada Ramadan) suatu kefarduan, maka dia seperti orang yang menunaikan 70 kewajipan pada masa yang lain.”

Bulan Kualiti

Justeru, saya tertarik apabila ada organisasi mengadakan Bulan Kualiti pada Ramadan. Program diatur boleh mengingatkan dan mencabar kesungguhan diri bagaimana kita boleh menjana kualiti serta meningkatkan prestasi lebih baik berbanding bulan lain.

Ramadan sering dirujuk bulan memperbanyakkan beribadat dan bersedekah, sedangkan selain daripada itu tidak pula dianggap sebagai ibadat. Menghulur selain daripada wang ringgit dan harta pula, tidak difahami sebagai suatu sedekah.

Kefahaman ini jika dibiarkan boleh mencacatkan suasana dan hasil kerja pada bulan ini. Atas semangat ini juga kita menyemarakkan kegigihan bekerja dengan sukarela dan senang hati sambil memujuk diri bersabar menghadapi segala kesulitan dalam keadaan berpuasa sebagai suatu latih tubi.

Pengertian sedekah lebih luas

Justeru, menyegerakan urusan bagi sesuatu permohonan, mempercepatkan pembayaran, menjawab panggilan telefon serta melayan pelanggan semasa waktu rehat juga antara contoh ibadat dan sedekah di tempat kerja.

Menurut Islam, setiap kebaikan itu nilainya adalah ibadat dan apabila Allah SWT memerintahkan kita menafkahkan sebahagian harta ke jalan-Nya, tujuannya adalah sebagai tanggungjawab sosial dan untuk mengelak keburukan pada diri pemilik.

Kefahaman dan semangat inilah maka Prof Dr Yusof al-Qaradawi melebarkan maksud sedekah dalam bukunya Dawru al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad Islamiy.

Sumbang buah fikiran

Salah satu caranya ialah bersedia menyumbang tenaga dan buah fikiran di tempat kerja tanpa dipaksa, menunggu arahan atau mengharapkan pujian. Inilah antara maksud mendalam yang terkandung dalam konsep sedekah meliputi segala kemampuan dimiliki.

Segala keupayaan dan kemampuan inilah menjadi modal dan ‘harta’ bersedekah. Firman Allah SWT: “Orang yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 274)

Konsep kerja

Jika konsep sedekah diterjemahkan dalam bekerja, beberapa parameter atau bentuk bersedekah ialah melakukan sesuatu kerja dengan inisiatif sendiri tanpa arahan tertakluk kepada bidang kuasa dan peraturan.

Menyiapkan kerja lebih awal atau dalam tempoh dikehendaki tanpa perlu diberikan peringatan berulang, bersedia memperuntukkan lebih masa untuk kerja, melayani pelanggan atau melayan panggilan telefon walaupun di luar waktu pejabat.

Usaha ini walaupun kemungkinan sukar untuk dipertimbangkan pada bulan lain tetapi pada Ramadan yang mana Allah SWT menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda, menjadikan kita lebih ringan tulang.

Usaha ini menjadikan Ramadan madrasah untuk melahirkan insan lebih baik bukan sekadar pada ibadat khususnya seperti solat, zikir dan tadarus malahan juga pada kerjaya.

Kefahaman yang betul mengenai ibadat dan sedekah kerja ini bukan sekadar bermanfaat untuk organisasi tetapi juga setiap kita supaya semangat Ramadan diserapkan dalam segenap keadaan, sekali gus membentuk kekuatan sahsiah.

Menurut pandangan Pendeta Zaaba, antara kelemahan masyarakat ialah apabila lemahnya sahsiah yang antaranya terlalu bergantung kepada orang lain, kurang hemah dan lemah cita-cita.

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 3 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Kerjasama banteras jualan mercun

KOMANDER Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan, Rusli Karim (empat dari kiri) bersama anggota memeriksa mercun bernilai RM180,000 yang berjaya dirampas UPP di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.


Oleh : NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

BARU minggu kedua Ramadan, berita tentang kecederaan berkaitan mercun semakin banyak dilaporkan media cetak dan elektronik.

Walaupun menyayat hati terutama jika menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak, namun rakyat Malaysia seolah-olah sudah lali dengan berita sebegini dan tidak lagi merasakan kemalangan sedemikian sesuatu yang mengejutkan.

Tambahan pula, sebilangan remaja bermasalah kini sudah mula bermain mercun dengan membaling kepada orang, kenderaan mahupun rumah sebagai satu bahan jenaka.

Mercun ada fungsinya dalam upacara kaum dan kepercayaan tertentu tetapi langsung tiada tempat dalam budaya Melayu mahupun agama Islam.

Walaupun ada budaya bermain meriam buluh di kampung-kampung sejak beberapa dekad lalu, tetapi ia bukan sebahagian daripada amalan umat Islam pada bulan Ramadan dan Syawal.

Umum dan media sendiri sudah muak menceritakan tragedi yang berulang setiap kali ketibaan Ramadan dan Syawal ini, tetapi sebenarnya ramai yang tidak sedar punca masalah adalah sikap anggota masyarakat itu sendiri.

Rata-rata masyarakat menyalahkan kanak-kanak atau mereka yang cedera kerana bermain mercun, ibu bapa mahupun pihak berkuasa yang dianggap tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Semua orang mengetahui bermain mercun adalah satu aktiviti yang sia-sia dan lebih membazir daripada merokok. Lebih teruk, ia mampu mencederakan dan membunuh dengan lebih dahsyat daripada asap tembakau.

Namun, jika bertanya kepada diri sendiri, berapa ramaikah di antara rakyat negara ini yang pernah menghalang mahupun melaporkan aktiviti penyeludupan dan penjualan mercun haram kepada pihak berkuasa atau sekurang-kurangnya kepada Rukun Tetangga?

Realitinya, penjualan mercun amat mudah dilihat di pasar malam, bazar Ramadan, gerai mahupun premis kedai terutama pada musim perayaan. Dalam menangani masalah itu pula, masyarakat seolah-olah lepas tangan dengan mengharapkan pihak berkuasa datang menyiasat sendiri serta menangkap penjenayah terbabit.

Dengan itu, tidaklah pelik apabila ramai di kalangan generasi muda kudung anggota, buta, pekak dan melecur teruk. Jika tidak maut sekalipun, mereka akan menjadi pewaris negara yang cacat kekal selama-lamanya.

Terbaru, kes seorang pemuda dan anak jirannya di Kedah sudah berada dalam statistik mangsa mercun. Mangsa dilaporkan membeli mercun di bazar Ramadan berhampiran rumahnya.

Yang bermain mercun itu mungkin akan kehilangan deria penglihatan tetapi ramai terlepas pandang, terutama anggota masyarakat setempat di negara ini tentang aktiviti jualan mercun yang dibiar berleluasa.

Sikap kejiranan kini yang lebih suka mengata dan mengutuk jika terkena kepada orang lain memburukkan lagi keadaan. Hanya apabila terkena pada keluarga sendiri barulah mereka tersentak.

Jika ditanya, klise biasa adalah penguat kuasa tidak buat kerja, kerajaan gagal kawal penyeludup dan peniaga mercun, mahupun 'Perdana Menteri' perlu selesaikan masalah ini.

Sedangkan terdapat beribu-ribu mata yang sekadar memandang kegiatan menjual mercun haram itu setiap hari. Agak menyedihkan apabila tiada yang melaporkannya dan sekadar menjeling dengan tanggapan 'biarlah...asal tidak menyusahkan aku'.

Ramai yang mungkin terlupa tragedi letupan kilang dan gudang mercun sebelum ini, di dalam dan luar negara. Seperti tragedi pada Ogos 2010 di Terengganu yang sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan semua pihak apabila seorang kanak-kanak berumur enam tahun maut dengan tragis akibat letupan mercun yang disimpan bapanya sendiri.

Dengan jumlah mercun yang begitu besar, mustahil tiada langsung tetangga, saudara mahupun penduduk sekitar mengetahui atau sekurang-kurangnya mengesyaki sesuatu tidak kena sedang berlaku.

Sama juga di mana-mana sekalipun, jika orang ramai masih tidak endah dan mengabaikan tanggungjawab bersama dalam menghalang aktiviti haram ini, usahlah terkejut jika suatu hari nanti, mercun akan meragut nyawa keluarga atau kenalan anda.

Hakikatnya, penguat kuasa tidak boleh berada di semua tempat sepanjang masa, justeru penduduk setempat yang mengetahui aktiviti haram yang dijalankan itu wajarlah melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Pencuri masa peroleh rezeki tidak halal


Oleh : Anur Inani Ismail
 
Mencuri masa termasuk dalam kategori mencuri kerana menggunakan sebahagian masa diperuntukkan untuk sesuatu kerja yang diamanahkan dengan melakukan perkara lain.

Si pencuri masa pula biasanya dikaitkan dengan sikap suka ‘bertangguh’ kerana disebabkan bertangguh, banyak perkara perlu disiapkan akan tergendala. Akibatnya, masa yang lain pula diperlukan untuk melakukan kerja sepatutnya telah diselesaikan tidak lama dulu.

Selain itu, konteks ‘mencuri masa’ bukan saja terhad kepada sikap suka bertangguh, malah ia juga merujuk kepada pekerja yang membuat perkara tidak berkaitan dengan pekerjaannya semasa waktu bekerja.

Contohnya, pekerja yang sengaja melambat-lambatkan kerja; sibuk melayari laman sesawang yang tiada kaitan dengan kerja; masuk lewat daripada waktu sepatutnya dan pulang sebelum tiba waktu ditetapkan.

Dengan adanya sikap sebegini, tidak mungkin kita akan mendapat rezeki diberkati Allah SWT. Keberkatan adalah satu nikmat ketenangan dan kecukupan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman, bersyukur dan sentiasa mencari rezeki halal untuk kehidupan serta keluarganya.

Dalam hal ini, mencuri juga boleh dilihat sebagai aspek mendapat rezeki secara tidak halal. Rezeki tidak halal yang diperoleh itu apabila dibuat membeli barang keperluan dan makanan akan menjadi haram.

Apabila seseorang memakan hasil haram, maka gelaplah hatinya, susah untuk menerima ilmu dan jauh diri daripada Allah SWT. Kesannya pula bukan terasa kepada diri sendiri saja, malah isteri atau suami dan anak turut merasai perkara sama jika amanah diberikan tidak dijalankan sebaiknya.

Amanah adalah satu tanggungjawab berat daripada Allah SWT. Jika Allah SWT telah takdirkan kita dengan sesuatu pekerjaan, ini bermakna Allah SWT mengilhamkan kepada majikan untuk memberikan kepercayaan itu dan mengharapkan kita menggalas amanah diberikan sebaiknya.

Oleh itu, elakkan daripada tergolong dalam kalangan pencuri masa. Contohilah sikap Umar Ibn Aziz yang memadamkan lampu dan sanggup bergelap apabila ada ahli keluarganya datang sewaktu dia berada di ruangan pejabat untuk melakukan urusan kerja kerajaan.

Betapa amanahnya beliau dalam menggunakan harta negara bukan untuk kepentingan sendiri. Inilah yang perlu dicontohi. Berusaha sehabis daya untuk mendapatkan keberkatan dan seterusnya keredaan Allah SWT atas apa saja pekerjaan dilakukan.

Oleh itu, jadilah si pencuri masa yang diberkati. Maksudnya di sini bukan pencurian yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT, tetapi sebaliknya. Curilah masa yang ada untuk melakukan sesuatu perkara dengan lebih berkesan.

Contohnya, apabila ada masa terluang atau semua kerja diamanahkan telah selesai, curilah masa yang masih berbaki untuk melakukan perkara yang  memberi manfaat kepada organisasi tempat kita berkhidmat.

Penulis ialah Pegawai penyelidik Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Kurang sokongan punca Annan letak jawatan


GENEVA - Bekas wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan menjelaskan peletakan jawatannya kelmarin sebagai duta antarabangsa Syria disebabkan pelan damai yang dibuat pada April lalu, tidak mendapat sokongan kuasa-kuasa besar.

Beliau turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan tentera Syria melakukan provokasi dengan menggunakan jet pejuang terhadap pemberontak bersenjata di ibu negara Aleppo.

Beliau juga mengecam kalangan kuasa-kuasa besar yang menuduhnya gagal memberhentikan pertumpahan darah dan ketegangan yang hampir berlarutan sehingga 17 bulan.

“Saya tidak menerima sokongan yang diperlukan dan sebagai duta, saya perlukan keadilan daripada semua pihak dalam mencorakkan keamanan terutama daripada Majlis Keselamatan dan masyarakat antarabangsa,“ katanya sejurus peletakan jawatannya diumumkan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon di ibu pejabat PBB di New York, kelmarin.

Menurutnya, tindakan berterusan menuding jari terhadap Majlis Keselamatan membantutkan usahanya untuk melaksanakan pelan damai yang sepatutnya bermula dengan gencatan senjata pada 12 April lalu.

Justeru, beliau turut meramalkan, bahawa lambat laun Presiden Bashar al-Assad akan melepaskan jawatan dan penggantinya bakal berhadapan konflik yang lebih dahsyat.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU EKONOMI : Mengurang beban sektor kesihatan



Oleh Nurul Anuar Kari

KINI satu dunia sudah tahu Malaysia adalah pemain utama penjagaan kesihatan global. Dua penyenaraian awam IHH Healthcare Bhd, yang muncul julung-julung kali di bursa saham Malaysia dan Singapura minggu lalu memberikan petunjuk kukuh bahawa Malaysia bersungguh-sungguh terhadap industri perkhidmatan ini.

Menurut bekas Ketua Pengarah Kesihatan Prof. Tan Sri Dr. Ismail Merican, kita sepatutnya berbangga apabila Khazanah Nasional Bhd. telah menerokai satu cabaran yang besar dalam menyediakan khidmat penjagaan kesihatan, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia malah masyarakat di rantau ini.

IHH adalah cabang penjagaan kesihatan Khazanah. Asetnya termasuk Hospital group Acibadem AS di Turki, Parkway Holdings di Singapura, Apollo Hospital Enterprise Ltd di India dan Pantai Hospital dan International Medical University (IMU) di Malaysia.

IHH mengurus 83 hospital di negara-negara tersebut yang menjadikannya pengendali hospital kedua terbesar di dunia selepas Hospital Corporation of America (HCA) yang mengendalikan 163 hospital.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata beliau secara khususnya menyambut baik penyenaraian IHH kerana berharap usaha itu akan menyedarkan Kementerian Kesihatan untuk mempercepatkan proses memperkenalkan pembaharuan penjagaan kesihatan.

Pembentukan IHH akan meningkatkan lagi prospek pelancongan perubatan dan ia baik untuk ekonomi negara. Ini kerana ramai pesakit asing datang ke Malaysia kerana mereka mengetahui negara ini menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang berkualiti, selamat dan pada harga mampu.

Penjagaan kesihatan adalah satu industri yang besar namun hidangan perkhidmatan yang selesa dan terbaik dikatakan dapat dinikmati oleh kumpulan rakyat terpilih sahaja kerana ia disediakan oleh sektor swasta.

Sebaliknya, ramai yang kaya dan berkemampuan turut mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Sudah tentu situasi ini menambah sedikit bebanan hospital awam.

Kini, mereka yang sebelum ini tidak begitu yakin perkhidmatan hospital swasta mempunyai pilihan. Dengan adanya pemain yang mempunyai kepakaran klinikal seperti IHH, rakyat berkemampuan mempunyai pilihan dan boleh mengunjungi hospital berkenaan. Usaha ini kemungkinan akan mengurangkan bebanan kerja hospital kerajaan.

Dr. Ismail, yang kini Pro-Canselor dan Pengerusi MAHSA University College berpendapat satu opsyen yang besar akan diwujudkan sebagai pilihan pesakit untuk mendapatkan rawatan apabila pemain besar memasuki pasaran ini.

Apabila rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mendapat khidmat kesihatan, sudah tentu mereka akan memilih pemain yang sesuai dengan kemampuan dan keperluan masing-masing dari segi penjagaan yang baik, selamat dan berkualiti.

IHH mempunyai rangkaian global, oleh itu ia boleh menjadi penanda aras kepada perkhidmatan di hospital kerajaan bagi menawarkan perkhidmatan yang bertaraf global juga.

Sesetengah doktor pakar kita bertaraf dunia. Sebab itu ada pesakit dari Indonesia atau India datang ke negara ini untuk mendapatkan khidmat kepakaran mereka.

Mahu atau tidak akan wujud persaingan antara petugas dan doktor di hospital awam dengan swasta. Sudah tentu persaingan itu akan menaikkan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan ini. Kelebihannya ialah ia akan menyediakan keterujaan yang sama bagi meningkatkan khidmat di sektor awam.

Malaysia hanya membelanjakan 4.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan. Itu tidak mencukupi. Itu adalah apa yang akan dibelanjakan oleh negara berpendapatan rendah.

Bagi negara berpendapatan pertengahan seperti Malaysia, kita perlu berbelanja sekurang-kirangnya 6.4 peratus daripada KDNK.

Harga penjagaan kesihatan pula sentiasa meningkat, terutama kesan pengenalan teknologi baharu. Kos penjagaan kesihatan akan ditentukan oleh kuasa pasaran dan akhirnya, bukan sahaja rakyat Malaysia tidak mampu mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan berkualiti, malah kerajaan juga tidak akan berupaya menyediakannya.

Oleh itu IHH diharap memainkan peranan bagi membantu meringankan beban Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menyediakan pendidikan perubatan melalui IMU yang berada di bawahnya.

Perancangan rapi Khazanah meletakkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di mata dunia selaras dengan MBE untuk memacu swasta sebagai teraju ekonomi negara berpendapatan tinggi. Melalui pendekatan yang dipelopori Khazanah ini juga Pelan Transformasi Ekonomi dapat direalisasikan.

Kerajaan tidak perlu lagi terlalu banyak campur tangan dalam perniagaan. Kerajaan sudah boleh berundur beransur-ansur daripada terbabit dalam perniagaan dan sektor swasta mengambil peranan sebenarnya dalam perniagaan dan pembangunan ekonomi.

Sebagaimana kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala, untuk membentuk sebuah negara membangun berpendapatan tinggi strateginya adalah mendorong kerajaan mengurangkan peranannya dalam banyak perkara dan menyerahkan peranan itu kepada sektor swasta.

Kerajaan Pusat memang serius mahu mengurangkan pembabitannya dalam perniagaan. Namun begitu harus ditekankan ketiadaan langsung pembabitan kerajaan dalam perniagaan adalah tidak wajar. Kita perlukan kerajaan dalam beberapa keadaan.

Misalnya apabila modal pertumbuhan besar, teknologi baru yang canggih dan pemangkinnya diperlukan, tidak mungkin ia dapat digerakkan tanpa pembabitan awal bersama dengan kerajaan. Namun apabila tiba masanya, kerajaan perlu menarik diri.

Penyenaraian atau pelupusan syarikat milik kerajaan dan kementerian dapat mengurangkan bilangan syarikat kerajaan yang bersaing dengan sektor swasta untuk mendapatkan kontrak.

Ini bagi mengelak penyingkiran atau penyisihan sektor swasta. Sementara itu, kita tidak patut memberi keutamaan kepada syarikat milik kerajaan untuk penganugerahan kontrak.

Manfaat utama daripada keseluruhan proses ini ialah kerajaan akan memperoleh hasil daripada projek pembangunannya dan sektor swasta pula dapat menerajui semua projek perniagaan ini dengan lebih baik daripada kerajaan sendiri. Dengan ini, kita boleh menjangka pendapatan yang lebih banyak daripada hasil cukai pada masa akan datang.

Pengurangan peranan kerajaan dalam perniagaan adalah ciri penting dalam matlamat menjadikan negara kita sebuah negara berpendapatan tinggi. Teras kepada perubahan ini ialah matlamat menjadikan Malaysia sebuah ekonomi yang lebih berorientasikan pasaran kerana itulah satu-satunya cara memastikan kita berdaya saing relatif kepada seluruh dunia .

Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr. Amir Baharuddin pula berpendapat langkah penyenaraian itu memang tepat dari sudut mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam sektor kesihatan.

"Asas mengurangkan beban awam adalah mengalihkan kepada kumpulan yang lebih meluas. Bila lebih ramai yang menyokong, maka semakin berkuranglah beban itu.

"Dengan penyertaan ramai itu juga, akan meningkatkan keupayaan kewangan dan kepakaran yang mampu dibawa masuk ke dalam sektor terbabit," katanya.

Tambahnya, agak sukar mengharapkan bajet daripada kerajaan sahaja untuk membangunkan sektor kesihatan kerana kewangan negara terikat dengan bermacam perkara lain.

Namun, beliau berharap kerajaan akan memantau sudut pengurusan walaupun bahagian perniagaan telah diuruskan sektor swasta.

"Kerajaan tetap perlu pantau kerana kita mahu sektor kesihatan negara semakin cekap, menurunkan kos kepada pesakit serta mengurangkan beban kewangan awam," ujarnya.

Tegasnya, sinergi antara pengurusan kerajaan dan perniagaan swasta itu yang dikehendaki daripada penyenaraian IHH tersebut agar kedua-dua belah pihak mendapat manfaatnya.

Jelas beliau lagi, kerajaan juga bukan sahaja mengurangkan beban kos malahan dapat berkongsi pengalaman sektor swasta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

"Perniagaan perubatan sentiasa berkembang tetapi jika kita tidak berkembang, maka kesihatan rakyat yang akan 'menguncup' apabila perkhidmatan menjadi tidak elok.

"Modal hasil penyenaraian boleh digunakan untuk membangunkan sektor kesihatan sementara dana kerajaan yang dijimatkan dapat dialih kepada perkara lain seperti kajian untuk penyakit yang dihidapi ramai rakyat Malaysia," tegasnya.

Amir juga percaya peningkatan kemampuan kewangan dan kepakaran di hospital swasta di bawah IHH, khususnya di negara ini, akan mengurangkan beban di hospital kerajaan.

"Bila yang berkemampuan beralih ke hospital swasta yang kini boleh menawarkan harga lebih berpatutan untuk perkhidmatan mereka, rakyat yang kurang mampu pula lebih mudah mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan.

"Dengan adanya sinergi awam dan swasta ini, semua pihak akan mendapat manfaatnya terutama sekali rakyat yang dapat menikmati perkhidmatan kesihatan lebih baik," jelasnya.

Sumber : http : //www.bharian ,com,my/