Jumaat, 10 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Kembalikan kasih sayang keluarga


Oleh : MOHAMAD ABDULLAH

LAPORAN akhbar baru-baru ini tentang beberapa berita yang mengaitkan kejadian jenayah yang melibatkan keluarga terdekat agak mengganggu fikiran kita. Dalam satu kejadian di Kuching, Sarawak seorang anak dilaporkan memukul ayahnya yang berusia 77 tahun hingga mati.

Pada halaman yang sama, di Johor Bahru, Johor seorang anak dikatakan menyamar sebagai ah long untuk mengugut bapanya sebanyak RM3,000. Ini hanyalah sebahagian daripada kejadian yang berlaku kebelakangan ini yang tidak harus dipandang kecil.

Sedikit masa lalu kita pernah dikejutkan dengan berita ibu bapa yang menyaman anak yang mengabaikan mereka setelah diagihkan harta dan mereka menang kes mahkamah tersebut. Anaknya seorang pensyarah dilaporkan dijatuhi hukuman kerana kesalahan tersebut.

Menjelang Aidilfitri nanti akan banyaklah lagi laporan kesedihan ibu bapa yang menanti kepulangan anaknya atau mereka  yang disisihkan lalu hidup dalam kesunyian dan kesepian sama ada di rumah orang tua-tua atau pun bersendirian di rumah usang bertemankan air mata dan kenangan melihat kepulangan anak cucu jiran tetangga dengan linangan air mata yang barangkali amat payah difahami oleh sesetengah anak-anak muda yang dibesarkan melalui generasi high technology dan makin kurang high touch-nya, menggunakan istilah penulis Megatrends, John Naisbitt.

Kes-kes jenayah yang berlaku begitu menakutkan, apatah melibatkan warga emas dan sanak saudara yang amat rapat di luar jangkauan pemikiran. Ke manakah hilangnya belaian kasih sayang yang ada sehingga kita gagal merasai perasaan mereka sebagai saudara, suami isteri apatah lagi ibu bapa yang melahir dan membesarkan kita.

Ini belum lagi melihat kepada nasib orang tua uzur yang kerap diabaikan oleh anak-anak semata-mata kerana jurang pemisah yang besar untuk memahaminya. Seorang tua, bukan sekadar memerlukan wang ringgit tetapi jauh daripada  itu adalah kasih sayang dan perhatian.

Seorang anak muda pernah bercerita kepada penulis bagaimana datuknya yang tua dan dianggap menyusahkan keluarga dengan sikap cerewet dan memberontak tiba-tiba tersenyum apabila dia memandi, membedak dan menyisir rambutnya. Selepas beberapa hari, datuknya menghembuskan nafas terakhir sebagai kesudahan daripada episod bebanan anak-anak yang tidak pernah cuba memahami perasaan kesunyian yang dilalui oleh bapa mereka.

Seorang ibu atau bapa sering melihat anak-anak dalam bayangan masa lalunya, mengharapkan anak itu tidak pernah besar dan dapat dimanjakan seperti mana usia kecil dan remajanya kerana apabila dewasa dan berkeluarga sendiri, ibu bapa akan mula terasing dan kesunyian, walau pun dia terpaksa menerima hakikat itulah fitrah kehidupan yang harus ditempuhi.

Sudah sampai masanya kita lebih prihatin terhadap hal ini. Jangan hanya mengharapkan kerajaan dan pihak berkuasa yang menyelesaikannya. Sebaliknya berusahalah untuk lebih mendekati dan meningkatkan kasih sayang dalam keluarga.

Anggota keluarga juga perlu lebih prihatin terhadap nasib dan keadaan mental dan fizikal mereka yang ada di sekeliling. Jika terdapat petanda-petanda adanya kemungkinan seperti ini berlaku, berusahalah mencegahnya dari awal.

Dalam menghadapi tekanan kerjaya, masalah ekonomi dan apa jua yang terjadi, fikirlah dengan tenang dan lakukan muhasabah dengan ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kekerasan dan jenayah bukan cara yang terbaik apatah lagi melibatkan orang kita sayang. Setiap masalah tentu ada penyelesaiannya jika kita jujur dan benar-benar ingin menyelesaikannya.

Jika perlu mereka yang berhadapan dengan tekanan dan masalah peribadi boleh merujuk dirujuk kepada kaunselor yang bertauliah, mereka yang lebih disegani atau pihak-pihak yang boleh membantu. Perasaan malu dan bimbang dicemuh harus diatasi demi menyelamatkan nyawa dan berlakunya keadaan yang tidak seharusnya.

Satu sistem sokongan yang kuat dalam masyarakat perlu diwujudkan. Masyarakat dan jiran tetangga perlu memainkan peranan dalam menangani isu ini dan meningkatkan sikap siap siaga terhadap insiden tidak diingini ini. Tidak ada salahnya mempunyai sedikit perasaan curiga apabila berlaku hal-hal atau tingkah laku yang di luar kebiasaan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menjaga tepi kain orang barangkali tidak wajar, namun dalam situasi tertentu yang bukan umpat keji, ia perlu diamalkan demi membantu dari mengelakkan tragedi buruk berlaku. Namun begitu, pada akhirnya, kasih sayang sejati yang ditanam dalam kalangan kaum keluarga dan tentunya pegangan agama, akan menjadi benteng yang sangat berguna untuk mengatasinya. Agama menyediakan garis panduan yang jelas dan sangat menekankan kepada sikap berkasih sayang.

Tatkala umat Islam mengerjakan ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT sepanjang Ramadan dan syawal yang akan datang, adalah wajar kita kembali kepada nilai-nilai kasih sayang ini, membuat muhasabah dan melakukan penambahbaikan dengan mengukuhkan persaudaraan dalam keluarga.

Sebesar mana pun masalah yang ada dan sehebat mana pun perselisihan yang terjadi, kita perlu kembali kepada agama dan saling memaafkan tanpa perlu terus menuding jari. Air dicincang tidak akan putus. Hancur hati ibu bapa yang diabaikan apatah lagi melihat berlakunya perselisihan sesama keluarga yang bakal meruntuhkan satu institusi utama dalam agama.

Kenanglah masa kecil dalam dakapan dan pelukan ibu dan ayah. Ingati kembali detik-detik manis dibelai dan dihantar belajar di sekolah malah ke kolej dan universiti. Bayangkan detik-detik manis suami isteri, derai tawa satu keluarga dan jernihnya air mata ibu dan ayah yang menanti kepulangan kita, yang menunggu dakapan putera-puterinya yang barangkali itulah terakhir kalinya.

Kejayaan hidup, kesibukan kerjaya dan berhadapan dengan masalah tidak harus menjadikan kita cuai dan lalai terhadap tanggungjawab kepada keluarga apatah lagi ibu bapa kita. Merekalah syurga kita. Mereka mungkin tidak sehebat anak-anaknya, nilainya mungkin agak berbeza, pemikirannya juga tidak sama, namun hakikatnya merekalah permulaan kita dan keluargalah segalanya.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 16,17 Ogos Cuti Berganti Persekolahan Sempena Aidilfitri



KUALA LUMPUR : Jemaah Menteri bersetuju supaya 16 dan 17 Ogos ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 19 Ogos.

Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas, kata Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini.

"Dengan ini, semua pihak mempunyai tempoh masa mencukupi bagi merancang perjalanan pulang dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan jalan raya," katanya.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah untuk memohon cuti berganti melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan.

Bagi tujuan penyelarasan, kementerian itu mencadangkan supaya cuti berganti persekolahan 16 Ogos diganti pada Sabtu, 8 September manakala cuti berganti 17 Ogos diganti pada Sabtu, 22 September.

"Pihak sekolah hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya pada hari Sabtu berkenaan sebagai hari ganti persekolahan mengikut jadual waktu hari yang terlibat dengan hari cuti berganti tersebut," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Khamis, 9 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Had laju jalan persekutuan, negeri dikurang 10km sejam



KUALA LUMPUR - Had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10km sejam (km/j) dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika perjalanan 'balik kampung' untuk menyambut Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pengurangan kadar had laju itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu bermula 12 Ogos sehingga 26 Ogos.

Katanya sehubungan itu had laju bagi jalan persekutuan diturunkan kepada 80km/j daripada 90km/j dan jalan negeri ialah 70km/j daripada 80km/j.

"Langkah ini diambil bagi memberi kesedaran pada orang ramai mengenai keselamatan jalan raya yang mana kelajuan tinggi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan angka kemalangan saban tahun.

"Justeru kerajaan berharap bahawa tindakan dan intervensi ini akan membawa impak positif dalam usaha mengurangkan kemalangan, kadar kecederaan parah serta kematian akibat kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Leslie Leon, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusup, Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Wong Shaw Voon dan Timbalan Ketua Pasukan Bukit Aman ACP Mohd Fuad Abd Latif.

Kong berkata semua kenderaan barangan yang membawa muatan berat bukan bekalan keperluan harian juga dilarang menggunakan lebuh raya di seluruh negara pada 17 dan 18 Ogos serta 25 dan 26 Ogos.

Katanya, larangan tersebut dikeluarkan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung masing-masing sebelum dan selepas Aidilfitri.

Sementara itu, beliau berkata Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih di dalam peringkat percubaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya selewatnya hujung tahun ini.

Katanya, pada masa ini, sistem tersebut telah dibangunkan di 10 lokasi 'blackspot' di seluruh negara dan sedang diuji keberkesanannya sebelum ianya dilaksanakan secara berperingkar.

"Kesemua kamera akan dipasang secara berperingkat dan buat masa ini kita lakukan percubaan terhadap sistem tersebut bagi memastikan pelaksanaannya nanti berjalan lancar dan berfungsi dengan betul".

Beliau berkata sebagai langkah peringatan kepada pemandu, papan tanda pemberitahuan 'Zon Operasi Kamera' yang mencukupi akan dipasang dalam lingkungan dua kilometer daripada lokasi kamera.

Sistem itu yang akan dilaksanakan di 825 kawasan berisiko kemalangan dan kawasan lampu isyarat pada mulanya dijangka dilaksana sepenuhnya di seluruh negara bermula 12 Ogos ini.

Dalam pada itu, Kong berkata bagi memastikan keadaan bas dan pemandu dalam keadaan baik, JPJ akan membuat pemeriksaan di 32 buah terminal utama di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada brek dan tayar bas.

"Demi memastikan pemandu bas ekspres bebas dari pengaruh dadah, pasukan narkotik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turut bersama membuat pemeriksaan di terminal-terminal bas utama di seluruh negara.

"Selain itu, JPJ juga akan mempunyai pasukan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres untuk memerhatikan tingkah laku pemandu bas," katanya.-Bernama

ISU PENGAJIAN TINGGI : Keputusan kemasukan ke IPTA lepasan STPM, Matrikulasi, Asasi esok


KUALA LUMPUR : Keputusan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam bagi program lepasan Sijil Tinggi Persekolahan, matrikulasi dan asasi untuk calon yang tidak ditawarkan dalam pemilihan awal, boleh diketahui esok mulai 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa berkata calon boleh mendapatkan maklumat itu melalui hotline 03-8870 6767, helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau laman web http://upu.mohe.gov.my. http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my dan http://jpt.ums.edu.my. Semakan juga boleh dibuat melalui SMS dengan menaip UPU RESULT (no kad pengenalan) dan hantar ke 15888, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata calon yang terpilih merupakan calon yang tidak mendapat tawaran ke IPTA dalam pemilihan awal kerana tidak bersetuju ditawarkan program pengajian luar pilihan, dan melibatkan mereka yang mendapat PNGK 2.8 ke atas.

"Proses pemilihan dilaksanakan mengikut pilihan calon atau rayuan, atau pilihan bidang calon, atau mengikut program pengajian yang mempunyai kekosongan dan bersesuaian dengan bidang pilihan calon," katanya.

Beliau berkata keputusan tawaran ini adalah muktamad dan calon tidak dibenar mengemukakan rayuan terhadap tawaran itu.

Calon yang berjaya akan mendaftar pada 1 dan 2 September, dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi di talian 03-8870 6767 atau 03-8870 6777, katanya. - BERNAMA

ISU BAHASA : Alahai Bahasa Melayu


Oleh WAN ZUKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

Salah satu papan iklan syarikat multinasional yang menggunakan bahasa Melayu dan tulisan jawi pada satu lokasi di bandar raya Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU  8 Ogos - Anehnya, di negeri dan negara yang bahasa Melayu merupakan bahasa rasminya kita masih lagi terpaksa berkempen sesama sendiri dalam usaha mendaulatkan atau meletakkan ia di tempat sewajarnya.

Malah diadakan program Bulan Bahasa saban tahun di seluruh negara dengan pelbagai kegiatan menyemai kecintaan dan memperluaskan penggunaannya di samping ikrar dan tekad pihak berkuasa mempertahankannya.

Kerap kedengaran diadakan seminar atau apa sahaja pertemuan khusus untuk membincangkan masa depannya, justeru lahir pelbagai resolusi, usul bernada rayuan, desakan dan laungan agar kedengaran dan diberi perhatian.

Anehnya, kita berhabis masa dan wang untuk tujuan itu yang akhirnya bagaikan pesta bermusim kononnya mempertahankan sesuatu yang sebenarnya menjadi milik sendiri dan tidak perlu dipersoalkan sesiapa.

Jika bahasa dikatakan sebagai jiwa bangsa, alangkah kacau dan celarunya jiwa bangsa kita apabila semakin ramai yang merasakan sukar menggunakan atau berbahasa ibunda dalam perhubungan harian terutama dengan bangsa lain.

Maka, di negara ini, makin ramai rakyatnya yang gagal bercakap dalam bahasa itu dengan baik mengetepikannya dalam urusan perniagaan dan perkhidmatan sekali gus makin melenyapkan jati diri mereka malah jati diri bangsa.

Seorang pencinta bahasa, Sulong Taib berpendapat, di negeri dan negara yang diterajui oleh bangsa sendiri soal bahasa sebenarnya tidak perlu didesak dan dipandu arah oleh sesiapa dalam memperjuangkannya.

"Tetapi apa sebenarnya yang telah kita lakukan, di luar sedar sebenarnya kita meruntuhkannya. Betapa mudah kita ke tepikan bahasa sendiri seperti kesediaan menggunakan bahasa Inggeris untuk lokasi-lokasi atau produk atas nama pelancongan.

"Melucukan, seolah-olah tiada ayat yang sesuai dalam bahasa Melayu maka wujudlah nama-nama Kuala Terengganu Waterfront, Payang Walk, T-Shoppe dan lain-lain. Lihat juga di papan tanda perniagaan dan perumahan di merata negeri.

"Apakah pelancong tidak akan datang dan orang tidak membeli jika ditulis atau dinamakan dalam bahasa Melayu. Apakah mereka ingin melihat nama dan bukannya segala tarikan yang sepatutnya disajikan," katanya yang merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Cendering, dekat sini.

Inilah yang turut mengecewakan Gagasan Pendidikan Melayu Kebangsaan (Gagasan) negeri Terengganu dan bersama Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), mereka mengadakan sidang meja bulat baru-baru ini.

Ia suatu usaha kecil mereka agar sekurang-kurangnya suara mereka didengari pihak berkuasa bandar raya di negeri Warisan Pesisir Air ini kerana bahasa itu warisan yang tidak harus dikesampingkan.

Mereka ingin menyatakan rasa kesal dan bimbang dengan gejala pengabaian dan pencabulan bahasa Melayu termasuk di kalangan pihak berkuasa dan orang Melayu sendiri di mana sahaja kini.

Sidang meja bulat mengenai masa depan bahasa itu dipengerusikan Munsyi Dewan, Nawi Ismail dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri yang kemudiannya menerima resolusi untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa.

Penyertaannya amat menggalakkan dengan 40 peserta yang diundang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), institusi-institusi pengajian tinggi serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan.

Sebanyak 17 resolusi digariskan termasuk penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai lapangan perlu mencerminkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan warisan bukannya sebagai bahasa pinggiran dan diperlekehkan dengan pelbagai alasan.

Mereka antara lain berharap kebijakan dan kemahuan pemerintah wajar diperteguhkan untuk menguatkuasakan dan melaksanakan semua dasar yang berkaitan dengan bahasa itu dalam semua urusan terutama dalam soal pengiklanan, bahan penyebaran dan paparan umum.

Mereka juga mendesak pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab dalam penamaan sesuatu tempat atau meluluskan papan iklan melantik panel merujuk kesalahan bahasa atau merujuk kepada agensi bertanggungjawab seperti DBP sebelum meluluskannya.

Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, mungkin kerana bahasa itu tidak memberi sebarang pulangan dari segi pengaruh politik dan ekonomi maka ia tidak memerlukan langkah segera.

"Ada ahli politik dan pemimpin yang menegaskan tidak bangga dengan bangsa dan warisannya semata-mata untuk lunak didengar oleh bangsa lain dan dapat menarik sokongan mereka," ujarnya.

Katanya, bagi golongan itu bahasa Melayu tidak perlu diperjuangkan dan mereka sedia mengetepikannya kerana apa yang lebih utama adalah peluang mendapatkan kedudukan dan kuasa.

"Ada pula yang merasakan penggunaan bahasa Inggeris lebih gah dan memberi kesan lebih besar terutama dalam perniagaan apatah lagi jika ia dikaitkan dengan budaya ilmu dan pelancongan," katanya.

Menurut beliau, segala usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan kerja pejuang atau mereka yang mencintai bahasa itu semata-mata tetapi harus dihayati para pemimpin segenap lapisan masyarakat.

Beliau memetik kenyataan Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan yang menyebut: "Kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi umumnya ternyata begitu prihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya.

"Adalah perlu diakui ada penjawat awam, sarjana dan kalangan sektor lain yang memahami erti dan sumbangan bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara, tetapi pada masa sama dapat disaksikan betapa besarnya golongan yang tidak peduli akan nasib bahasa Melayu di bumi sendiri,'' katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : NAM wadah perjuangan baru Palestin


Oleh : Azmi Hassan

TINDAKAN Tel Aviv menegah empat Menteri Luar daripada memasuki Ramallah, Tebing Barat Palestin untuk menghadiri mesyuarat khas anjuran Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) sememangnya sudah diduga dan tidak mengejutkan kerana perjumpaan tersebut mempunyai matlamat menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Mesyuarat Luar Biasa Peringkat Menteri Jawatankuasa NAM mengenai Palestin yang sepatutnya berlangsung Ahad lepas terpaksa dibatalkan kerana Menteri Luar dari Malaysia, Bangladesh, Indonesia dan Cuba gagal mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Israel untuk ke Ramallah.

Walaupun Tebing Barat ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) tetapi hal ehwal keselamatan termasuk urusan keluar masuk dikawal oleh rejim Israel. Terdapat dua cara sah untuk ke Tebing Barat iaitu sama ada melalui Jordan atau Israel. NAM telah memilih laluan Jordan menerusi penerbangan helikopter dengan harapan untuk mengelak masalah diplomatik jika menggunakan laluan dari Israel.

Memang benar dalil yang digunakan oleh Tel Aviv untuk tidak memberi kebenaran kerana empat negara tersebut tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tetapi hakikatnya laluan yang digunakan hanya melalui ruang udara kawalan Israel dan bukannya memerlukan penyinggahan di Israel.

Walau apa pun alasan yang digunakan adalah begitu jelas Tel Aviv sedaya upaya mahu menggagalkan hasrat NAM kerana perjumpaan tersebut julung-julung kalinya diadakan di Ramallah oleh sebuah organisasi yang besar untuk memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

Perjumpaan Ramallah tersebut sepatutnya mengumpulkan 13 Menteri Luar yang mewakili Jawatankuasa NAM mengenai Palestin yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Cuba, Algeria, Mesir, Jordan, Afrika Selatan, Zimbabwe, Zambia, Senegal, Colombia dan India.

Pada akhir perjumpaan tersebut ahli jawatankuasa dijangka akan memperakukan penyataan bersama yang dinamakan Deklarasi Solidariti Palestin untuk memperkuatkan sokongan NAM terhadap perjuangan Palestin.

Walaupun kekuatan deklarasi tersebut hanya terletak pada faktor simbolik kerana dikeluarkan di Ramallah, tetapi jangkaan kesannya kepada persepsi masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman rejim Israel adalah begitu signifikan.

Tel Aviv begitu gusar kerana deklarasi tersebut juga akan menzahirkan sokongan NAM terhadap hasrat Palestin untuk mempertingkatkan status pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada status negara bukan anggota. Presiden Mahmoud Abbas dijangka memperakukan hasrat tersebut ketika Perhimpunan Agung PBB yang dijadualkan berlangsung pada 27 September akan datang.

Pengalaman pahit Israel ketika Palestin diterima sebagai ahli dalam Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun lepas telah mengajar Tel Aviv untuk mengatur strategi awal menghalang hasrat Palestin di PBB.

Pentingnya Palestin sebagai ahli PBB negara bukan anggota kerana ia akan memberi laluan mendapat khidmat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengheret perlakuan jenayah rejim Israel terhadap rakyat Palestin ke muka pengadilan antarabangsa.

Usaha mempertingkatkan status PBB Palestin telah dilakukan pada tahun lepas melalui Majlis Keselamatan PBB tetapi berhadapan kebuntuan kerana tentangan daripada Amerika Syarikat (AS). Tetapi usaha terbaru ini dianggap istimewa kerana ia mendapat sokongan NAM.

Walaupun NAM pada hari ini dianggap sebagai tidak releven dan kurang berpengaruh, tetapi apabila dikaitkan dengan kemelut Palestin, gabungan kedua-dua faktor tersebut adalah begitu hebat sekali. Selain dianggotai oleh 120 negara tetapi apa yang paling menarik adalah komposisi negara ahli.

Memang benar sebahagian besar NAM diwakili oleh negara dari benua Afrika (53), Asia (39), Amerika Latin (26) dan hanya Belarus dan Azerbaijan yang mewakili Eropah tetapi secara keseluruhannya keahlian tersebut mewakili dua pertiga keanggotaan PBB.

Ketika Yasser Arafat mengisytiharkan kemerdekaan Palestin secara unilateral pada tahun 1988 di Algeria, sebanyak 130 negara menyokong hasrat Palestin. Jika diungkit kembali ketika pengundian keahlian Palestin dalam UNESCO pada tahun lepas yang menyaksikan 107 negara menyokong dan hanya 14 menentang dan ditambah dengan sokongan NAM pada ketika ini, senario inilah yang paling digeruni oleh Israel.

Malaysia sebagai anggota NAM telah memainkan peranan yang begitu positif dengan menganggotai Jawatankuasa NAM Palestin. Struktur NAM yang tidak mempunyai sekretariat bergantung penuh kepada inisiatif pengerusi yang pada ketika ini dipegang oleh Mesir yang begitu cenderung terhadap perjuangan dan nasib rakyat Palestin.

Tetapi bermula 26 Ogos ini, Teheran akan mengambil alih jawatan Pengerusi NAM selama tiga tahun. Malaysia dan ahli NAM yang lain perlu berhati-hati supaya isu Palestin ini tidak tenggelam oleh perkara yang dianggap lebih panas.

Apa yang paling digusari adalah Israel akan mempergunakan isu jawatan pengerusi yang disandang oleh Teheran untuk mengaitkan NAM dengan pembangunan nuklear Iran. Atau pun Teheran akan memperalatkan jawatan pengerusi untuk memperjuangkan hak membangunkan program nuklear mereka.

Walau apa pun senarionya sama ada dimulakan oleh Israel atau Iran, jika pembangunan nuklear menjadi kaitan utama NAM, maka sudah pasti isu Palestin akan ketinggalan dalam agenda NAM.

Petunjuk awal hala tuju NAM akan diketahui hujung bulan ini apabila Teheran akan mempengerusikan Sidang Kemuncak NAM kali ke-16. Perjumpaan Ramallah adalah sebagai persediaan awal sebelum sidang kemuncak untuk perbincangan agenda Palestin dan Mahmoud Abbas telah menyatakan persetujuan untuk hadir.

Penting juga bagi semua ketua negara NAM hadir dan tidak sekadar hanya menghantar wakil sebagai simbol sokongan kepada Palestin walaupun sidang kemuncak tersebut akan dipengerusikan oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad yang pada ketika ini dianggap sebagai pemimpin diktaktor sama taraf dengan pemimpin Syria dan Korea Utara.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 8 Ogos 2012

ISU GLOBAL : Berjayakah konsep mesra rakyat Komuniti ASEAN?


Oleh : Mohd Azizuddin Mohd Sani
 
Menjelang 2015, semua negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) akan menongkah arah baru dengan kewujudan apa yang disebut sebagai Komuniti ASEAN. Cabaran transformasi kepada agenda lama ASEAN sedang berlaku. Fokus perdebatan ASEAN banyak berlingkar kepada prinsip tidak campur tangan dan Cara ASEAN. Perdebatan juga mencakupi isu berkaitan pembentukan Komuniti ASEAN dan Piagam ASEAN dan prinsip hak asasi manusia yang ingin dimasukkan dalam piagam itu.

Prinsip tidak campur tangan dan Cara ASEAN terlalu menekankan kepada pemuafakatan dan diplomasi secara senyap untuk menyelesaikan masalah negara ahli berbanding peraturan institusi dan kritikan langsung secara terbuka. Rejim ASEAN menolak untuk berdepan dengan negara anggota, terutama yang melakukan pencabulan hak asasi manusia. Cara ASEAN meletakkan keutamaan kepada kedaulatan negara dan pemuafakatan negara ahli berbanding kehendak warga tertindas di dalam negara terbabit. Walaupun kurang ketelusan dan kebertanggungjawaban, ia lebih efektif. Kepada pendukung agenda Cara ASEAN ini, mereka cuba mempertahankannya dan menjadikan kejayaan demokrasi di Myanmar sebagai contoh kejayaan dasar ini. Pengkritik kepada pandangan ini mungkin tidak bersetuju. Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan, pernah mencadangkan kepada negara anggota pada 1998 ketika menjadi Menteri Luar Thailand untuk ASEAN mengubah polisi kepada apa yang disebut campur tangan secara fleksibel, iaitu bagi rejim ASEAN untuk campur tangan secara konstruktif bagi menghalang dan menyelesaikan isu domestik yang mempunyai implikasi serantau. Pandangan ini dibantah banyak negara, termasuk Malaysia yang tidak mahu negara jiran mencampuri urusan atau masalah dalaman negara anggota.

Perubahan pendekatan

Bagaimanapun, sejak dilantik sebagai Setiausaha Agung ASEAN pada 1 Januari 2008, Dr Surin terus menjalankan dasar transformasi ASEAN supaya ia kekal relevan dan absah dalam menyelesaikan permasalahan domestik yang mempunyai kesan kepada politik dan keselamatan serantau seperti isu pelarian perang, keganasan, perdagangan manusia, dan alam sekitar. Walaupun gagal mengubah polisi tiada campur tangan dan Cara ASEAN, Dr Surin berjaya menggerakkan pembentukan Komuniti ASEAN yang dijadualkan pada 2015.

Polisi Komuniti ASEAN menyaksikan perubahan pendekatan ASEAN daripada lebih mesra negara kepada lebih mesra rakyat. Komuniti ASEAN yang dibentuk berdasarkan Deklarasi Perjanjian ASEAN Kedua (Perjanjian Bali Kedua) dan Deklarasi Cebu menggesa semua negara ASEAN berinteraksi, stabil, berpengetahuan dan mesra di dalam hubungan sesama negara bagi merancakkan persaingan ekonomi dan menarik pelabur.

Tiga cabang Komuniti ASEAN

Menerusi Komuniti ASEAN, tiga cabang utama dibentuk iaitu Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi, dan Komuniti Sosio-Budaya. ASEAN membentuk satu moto untuk menggambarkan agenda baru pertubuhan ini, iaitu Satu Wawasan, Satu Identiti, Satu Komuniti.

Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN masih menekankan kewujudan norma dan nilai bersama bagi memastikan jaminan kesinambungan kestabilan politik dan hubungan antarabangsa. Nilai keadilan, demokrasi dan pemerintahan terbaik diterapkan.

Komuniti Ekonomi ASEAN pula akan menarik negara ahli untuk sama-sama meningkatkan pembangunan modal insan, teknologi maklumat dan komunikasi, pengurangan kemiskinan, pelaburan luar dan meningkatkan kualiti hidup. Fokus adalah jelas kepada isu pembangunan ekonomi.

Komunikasi  Sosio-Budaya  ASEAN pula memperlihatkan suatu bentuk transformasi. Pertama, prinsip hak asasi manusia dimasukkan ke dalam Piagam ASEAN yang membolehkan penubuhan satu badan hak asasi manusia ASEAN.

Kedua, ASEAN menggalakkan pembabitan masyarakat sivil khususnya dalam mewujudkan badan hak asasi manusia itu. Pembabitan masyarakat sivil akan mengabsahkan ASEAN menerusi penerapan norma dan prinsip demokrasi bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya.

Ramai mengkritik pencapaian matlamat Komuniti ASEAN ini dan mempersoalkan sama ada transformasi yang diimpikan mampu dilaksanakan. Walaupun Komuniti ASEAN tidak dapat mengetepikan kehendak mempertahankan prinsip tidak campur tangan secara langsung dan model Cara ASEAN, pembaharuan ke arah mengutamakan kehendak rakyat berbanding kehendak pemerintah mampu mengubah pemikiran dan hubungan antara negara anggota ASEAN.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/