Sabtu, 11 Ogos 2012

ISU BAHASA : UNESCO lancar dua projek pelihara bahasa asal Kelabit dan Bidayuh



SIBU - Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melancarkan dua projek untuk memelihara bahasa Kelabit dan Bidayuh di negeri ini daripada pupus di bawah program 'Bahasa-Bahasa Terancam'.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata kedua-dua bahasa itu dipilih kerana ianya ditutur oleh komuniti asli minoriti di negeri itu.

"Tidak ramai orang Bidayuh dan Kelabit hari ini bercakap bahasa mereka dalam bentuknya yang asal.

"Ini dapat dilihat apabila berlakunya perkahwinan campuran di mana anggota keluarga lebih gemar bercakap dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris di rumah," kata Fatimah kepada pemberita di sini malam tadi.

Sebelum itu beliau merasmikan pembukaan Persidangan Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak di sebuah hotel di sini.
  
Fatimah berkata golongan minoriti yang lain di negeri ini juga turut menghadapi kepupusan bahasa mereka sekiranya usaha tidak dibuat bagi memelihara dan mengembangkan bahasa pertuturan mereka.

Beliau berkata bagi masyarakat Kalabit, salah satu sebab utama ia terjadi kerana ramai di kalangan mereka sudah berhijrah ke pekan atau kawasan bandar.

"Berdasarkan suasana sedemikian, mereka lebih cenderung bercakap hanya peratusan kecil sahaja daripada bahasa asal mereka," katanya.

Berikutan perkembangan ini, kerajaan gembira bahawa Taska Bahasa Warisan di bawah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Kampung Bunuk, Kuching, sedang mengambil langkah bersungguh-sungguh mendapatkan guru terlatih mengajar kanak-kanak pra sekolah menulis dan bercakap bahasa tersebut.

Dalam pada itu UNESCO menerusi laman sesawangnya menyatakan kira-kira separuh daripada 6,000 bahasa pertuturan harian akan hilang menjelang akhir abad sekarang sekiranya usaha tidak dijalankan bagi melindunginya.  --  Bernama

ISU AGAMA : Lailatulqadar anugerah tahunan teristimewa


Oleh : MOHD. ALI MUHAMAD DON

RAMADAN kini telah pun memasuki fasa yang terakhir. Di sana-sini kelihatan ramai yang sibuk membuat persiapan menjelang Hari Lebaran terutama sebelum pulang ke kampung halaman sempena cuti panjang Hari Raya Aidilfitri. Aliran trafik di sekitar pusat beli-belah dan bazar hari raya juga sesak teruk lebih-lebih lagi pada hujung minggu dengan bilangan pengunjung yang luar biasa. Suasana Aidilfitri semakin dihangatkan lagi dengan nyanyian lagu raya yang berkumandang siang malam di corong-corong radio.

Namun begitu masyarakat Islam diseru tidak terlalu ghairah menanti ketibaan hari raya kerana masih ada ganjaran besar dan tidak ternilai disediakan buat Muslimin di penghujung Ramadan. Malah inilah masanya untuk semua berjuang habis-habisan bagi memperoleh ganjaran beribadah yang lebih baik daripada 1,000 bulan dan hanya terdapat pada malam kemuliaan Lailatulqadar. Peluang yang datang setahun sekali ini perlu direbut dengan bersungguh-sungguh kerana kalaupun seseorang ditakdirkan hidup sehingga usia menjangkau 83 tahun, belum tentu sepanjang tempoh tersebut berjaya dipenuhi semuanya dengan beribadah.

Justeru, Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan banyak berjaga malam dan mengikat kainnya pada 10 malam yang akhir Ramadan bagi menjejaki Lailatulqadar. Baginda turut mengejutkan ahli keluarganya supaya bersama-sama beribadah pada malam tersebut. Aisyah ra. berkata; Rasulullah SAW apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, baginda menghidupkan malam, mengejutkan keluarganya, bersungguh-sungguh dan uzlah daripada isteri-isterinya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sungguhpun begitu ia tidak semudah yang disangka malah hanya segelintir yang ikhlas, benar akidahnya dan berada pada landasan syariat yang benar berpeluang menemui Lailatulqadar. Lebih daripada itu Lailatulqadar kekal menjadi rahsia mutlak Allah SWT supaya umat Islam berusaha mengabdikan diri kepadanya sepanjang masa.

Malah pengorbanan kurang tidur, banyak beriktikaf di masjid, qiamullail dan melakukan amal-amal kebajikan lain pasti akan dibalas dengan kurniaan yang setimpal.

Selain itu, pada malam Lailatulqadar Allah SWT akan mengampunkan dosa sesiapa yang bertaubat dan memohon keampunannya. Allah SWT juga berkenan menerima segala doa yang dihadapkan kepadanya. Para malaikat Allah SWT yang diketuai oleh Malaikat Jibril AS juga turun ke bumi mencurahkan rahmat Allah SWT sambil mendoakan kesejahteraan dan keampunan buat pencari Lailatulqadar. Kesemua daripada nikmat yang begitu hebat ini pasti tidak akan datang bergolek begitu sahaja. Ia perlu disertai dengan usaha bersungguh-sungguh sambil memohon supaya terpilih menikmatinya.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: Barang siapa menghidupkan malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan rahmat Allah Taala nescaya akan diampunkan dosanya yang terdahulu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada malam itu juga terdapat tanda kebesaran Allah Taala seperti terbuka hijab pandangan mata lalu seseorang berpeluang melihat keajaiban langit. Ia sekali gus menunjukkan kekuasaan dan keagungan-Nya sebagai Tuhan Pencipta sekalian alam. Pada malam itu juga para malaikat turun memenuhi bumi ini. Dan Malaikat turun bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam itu. Menurut al-Imam al-Hafis Ibn Kathir pada malam Lailatulqadar juga akan ditetapkan rezeki dan ajal manusia tanpa sebarang pindaan lagi.

Firman Allah SWT yang bermaksud (Kami menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).(Surah al-Dukhan: 4) Tidak keterlaluan jika dikatakan malam tersebut adalah malam penentu kebahagiaan hidup di dunia mahupun di hari akhirat.

Bagi memudahkan pencarian malam tersebut ada beberapa panduan yang boleh diikuti. Imam al-Syafie misalnya menyatakan ia berlaku pada malam yang ke-21 ataupun malam ke-23 Ramadan. Manakala Imam al-Ghazali menentukannya berdasarkan tarikh awal Ramadan yang mana pada tahun ini jatuhnya pada hari Sabtu maka dijangka lailatulqadar berlaku pada malam ke-23 Ramadan. Baginda Nabi Muhammad SAW pula menyarankan supaya ia dicari pada malam 10 yang akhir dan dikuatkan lagi dengan malam-malam yang ganjil.

Ada pula dalam kalangan para ulama' mengatakan bahawa malam tersebut berlaku pada 27 Ramadan. Menurut Abu Ka'ab katanya, Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatulqadar terjadi pada bulan Ramadan manakala Lailatulqadar pula berlaku pada malam ke-27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbang kamu tidak lagi berusaha mencarinya. Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatulqadar.

Lalu apakah amalan yang perlu dilakukan pada malam itu. Secara umumnya tiada ibadah khusus yang ditetapkan. Amalan masyarakat setempat yang menghidupkan malam dengan mengerjakan solat sunat tahajud, solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat dilihat molek untuk dipraktikkan. Malam tersebut juga boleh diisi dengan bertadarus al-Quran dan berdoa sambil memohon keampunan daripada segala dosa silam.

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aishah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW akan doa yang perlu dibaca jika bertemu Lailatulqadar. Baginda Nabi SAW bersabda Berdoalah dengan doa yang bermaksud "Wahai Tuhan ku sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan suka memberi pengampunan maka ampunkanlah kami wahai Tuhan yang Maha Pemurah. (Riwayat Ahmad)

Adapun tanda-tandanya sebagaimana yang turut disebutkan dalam Tafsir Ibn Kathir adalah; suasana pada malam itu cerah seperti disinari cahaya bulan, suhunya pula sederhana tidak terlalu panas mahupun sejuk. Pada keesokan harinya matahari terbit umpama bulan, kemerah-merahan tanpa sinaran cahaya yang memeritkan.

Apa pun yang lebih penting adalah bagaimana para Mukminin sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sepanjang Ramadan. Ini kerana tanda-tanda tersebut boleh jadi tidak nyata ataupun hanya dilihat oleh kalangan Nabi dan Rasul ataupun golongan wali Allah yang terpilih. Malah di situlah letaknya hikmah di sebalik kerahsiaan malam Lailatulqadar yang merupakan anugerah agung buat Mukmin sejati.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 10 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Kembalikan kasih sayang keluarga


Oleh : MOHAMAD ABDULLAH

LAPORAN akhbar baru-baru ini tentang beberapa berita yang mengaitkan kejadian jenayah yang melibatkan keluarga terdekat agak mengganggu fikiran kita. Dalam satu kejadian di Kuching, Sarawak seorang anak dilaporkan memukul ayahnya yang berusia 77 tahun hingga mati.

Pada halaman yang sama, di Johor Bahru, Johor seorang anak dikatakan menyamar sebagai ah long untuk mengugut bapanya sebanyak RM3,000. Ini hanyalah sebahagian daripada kejadian yang berlaku kebelakangan ini yang tidak harus dipandang kecil.

Sedikit masa lalu kita pernah dikejutkan dengan berita ibu bapa yang menyaman anak yang mengabaikan mereka setelah diagihkan harta dan mereka menang kes mahkamah tersebut. Anaknya seorang pensyarah dilaporkan dijatuhi hukuman kerana kesalahan tersebut.

Menjelang Aidilfitri nanti akan banyaklah lagi laporan kesedihan ibu bapa yang menanti kepulangan anaknya atau mereka  yang disisihkan lalu hidup dalam kesunyian dan kesepian sama ada di rumah orang tua-tua atau pun bersendirian di rumah usang bertemankan air mata dan kenangan melihat kepulangan anak cucu jiran tetangga dengan linangan air mata yang barangkali amat payah difahami oleh sesetengah anak-anak muda yang dibesarkan melalui generasi high technology dan makin kurang high touch-nya, menggunakan istilah penulis Megatrends, John Naisbitt.

Kes-kes jenayah yang berlaku begitu menakutkan, apatah melibatkan warga emas dan sanak saudara yang amat rapat di luar jangkauan pemikiran. Ke manakah hilangnya belaian kasih sayang yang ada sehingga kita gagal merasai perasaan mereka sebagai saudara, suami isteri apatah lagi ibu bapa yang melahir dan membesarkan kita.

Ini belum lagi melihat kepada nasib orang tua uzur yang kerap diabaikan oleh anak-anak semata-mata kerana jurang pemisah yang besar untuk memahaminya. Seorang tua, bukan sekadar memerlukan wang ringgit tetapi jauh daripada  itu adalah kasih sayang dan perhatian.

Seorang anak muda pernah bercerita kepada penulis bagaimana datuknya yang tua dan dianggap menyusahkan keluarga dengan sikap cerewet dan memberontak tiba-tiba tersenyum apabila dia memandi, membedak dan menyisir rambutnya. Selepas beberapa hari, datuknya menghembuskan nafas terakhir sebagai kesudahan daripada episod bebanan anak-anak yang tidak pernah cuba memahami perasaan kesunyian yang dilalui oleh bapa mereka.

Seorang ibu atau bapa sering melihat anak-anak dalam bayangan masa lalunya, mengharapkan anak itu tidak pernah besar dan dapat dimanjakan seperti mana usia kecil dan remajanya kerana apabila dewasa dan berkeluarga sendiri, ibu bapa akan mula terasing dan kesunyian, walau pun dia terpaksa menerima hakikat itulah fitrah kehidupan yang harus ditempuhi.

Sudah sampai masanya kita lebih prihatin terhadap hal ini. Jangan hanya mengharapkan kerajaan dan pihak berkuasa yang menyelesaikannya. Sebaliknya berusahalah untuk lebih mendekati dan meningkatkan kasih sayang dalam keluarga.

Anggota keluarga juga perlu lebih prihatin terhadap nasib dan keadaan mental dan fizikal mereka yang ada di sekeliling. Jika terdapat petanda-petanda adanya kemungkinan seperti ini berlaku, berusahalah mencegahnya dari awal.

Dalam menghadapi tekanan kerjaya, masalah ekonomi dan apa jua yang terjadi, fikirlah dengan tenang dan lakukan muhasabah dengan ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kekerasan dan jenayah bukan cara yang terbaik apatah lagi melibatkan orang kita sayang. Setiap masalah tentu ada penyelesaiannya jika kita jujur dan benar-benar ingin menyelesaikannya.

Jika perlu mereka yang berhadapan dengan tekanan dan masalah peribadi boleh merujuk dirujuk kepada kaunselor yang bertauliah, mereka yang lebih disegani atau pihak-pihak yang boleh membantu. Perasaan malu dan bimbang dicemuh harus diatasi demi menyelamatkan nyawa dan berlakunya keadaan yang tidak seharusnya.

Satu sistem sokongan yang kuat dalam masyarakat perlu diwujudkan. Masyarakat dan jiran tetangga perlu memainkan peranan dalam menangani isu ini dan meningkatkan sikap siap siaga terhadap insiden tidak diingini ini. Tidak ada salahnya mempunyai sedikit perasaan curiga apabila berlaku hal-hal atau tingkah laku yang di luar kebiasaan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menjaga tepi kain orang barangkali tidak wajar, namun dalam situasi tertentu yang bukan umpat keji, ia perlu diamalkan demi membantu dari mengelakkan tragedi buruk berlaku. Namun begitu, pada akhirnya, kasih sayang sejati yang ditanam dalam kalangan kaum keluarga dan tentunya pegangan agama, akan menjadi benteng yang sangat berguna untuk mengatasinya. Agama menyediakan garis panduan yang jelas dan sangat menekankan kepada sikap berkasih sayang.

Tatkala umat Islam mengerjakan ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT sepanjang Ramadan dan syawal yang akan datang, adalah wajar kita kembali kepada nilai-nilai kasih sayang ini, membuat muhasabah dan melakukan penambahbaikan dengan mengukuhkan persaudaraan dalam keluarga.

Sebesar mana pun masalah yang ada dan sehebat mana pun perselisihan yang terjadi, kita perlu kembali kepada agama dan saling memaafkan tanpa perlu terus menuding jari. Air dicincang tidak akan putus. Hancur hati ibu bapa yang diabaikan apatah lagi melihat berlakunya perselisihan sesama keluarga yang bakal meruntuhkan satu institusi utama dalam agama.

Kenanglah masa kecil dalam dakapan dan pelukan ibu dan ayah. Ingati kembali detik-detik manis dibelai dan dihantar belajar di sekolah malah ke kolej dan universiti. Bayangkan detik-detik manis suami isteri, derai tawa satu keluarga dan jernihnya air mata ibu dan ayah yang menanti kepulangan kita, yang menunggu dakapan putera-puterinya yang barangkali itulah terakhir kalinya.

Kejayaan hidup, kesibukan kerjaya dan berhadapan dengan masalah tidak harus menjadikan kita cuai dan lalai terhadap tanggungjawab kepada keluarga apatah lagi ibu bapa kita. Merekalah syurga kita. Mereka mungkin tidak sehebat anak-anaknya, nilainya mungkin agak berbeza, pemikirannya juga tidak sama, namun hakikatnya merekalah permulaan kita dan keluargalah segalanya.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 16,17 Ogos Cuti Berganti Persekolahan Sempena Aidilfitri



KUALA LUMPUR : Jemaah Menteri bersetuju supaya 16 dan 17 Ogos ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 19 Ogos.

Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas, kata Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini.

"Dengan ini, semua pihak mempunyai tempoh masa mencukupi bagi merancang perjalanan pulang dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan jalan raya," katanya.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah untuk memohon cuti berganti melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan.

Bagi tujuan penyelarasan, kementerian itu mencadangkan supaya cuti berganti persekolahan 16 Ogos diganti pada Sabtu, 8 September manakala cuti berganti 17 Ogos diganti pada Sabtu, 22 September.

"Pihak sekolah hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya pada hari Sabtu berkenaan sebagai hari ganti persekolahan mengikut jadual waktu hari yang terlibat dengan hari cuti berganti tersebut," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Khamis, 9 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Had laju jalan persekutuan, negeri dikurang 10km sejam



KUALA LUMPUR - Had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10km sejam (km/j) dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika perjalanan 'balik kampung' untuk menyambut Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pengurangan kadar had laju itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu bermula 12 Ogos sehingga 26 Ogos.

Katanya sehubungan itu had laju bagi jalan persekutuan diturunkan kepada 80km/j daripada 90km/j dan jalan negeri ialah 70km/j daripada 80km/j.

"Langkah ini diambil bagi memberi kesedaran pada orang ramai mengenai keselamatan jalan raya yang mana kelajuan tinggi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan angka kemalangan saban tahun.

"Justeru kerajaan berharap bahawa tindakan dan intervensi ini akan membawa impak positif dalam usaha mengurangkan kemalangan, kadar kecederaan parah serta kematian akibat kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Leslie Leon, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusup, Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Wong Shaw Voon dan Timbalan Ketua Pasukan Bukit Aman ACP Mohd Fuad Abd Latif.

Kong berkata semua kenderaan barangan yang membawa muatan berat bukan bekalan keperluan harian juga dilarang menggunakan lebuh raya di seluruh negara pada 17 dan 18 Ogos serta 25 dan 26 Ogos.

Katanya, larangan tersebut dikeluarkan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung masing-masing sebelum dan selepas Aidilfitri.

Sementara itu, beliau berkata Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih di dalam peringkat percubaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya selewatnya hujung tahun ini.

Katanya, pada masa ini, sistem tersebut telah dibangunkan di 10 lokasi 'blackspot' di seluruh negara dan sedang diuji keberkesanannya sebelum ianya dilaksanakan secara berperingkar.

"Kesemua kamera akan dipasang secara berperingkat dan buat masa ini kita lakukan percubaan terhadap sistem tersebut bagi memastikan pelaksanaannya nanti berjalan lancar dan berfungsi dengan betul".

Beliau berkata sebagai langkah peringatan kepada pemandu, papan tanda pemberitahuan 'Zon Operasi Kamera' yang mencukupi akan dipasang dalam lingkungan dua kilometer daripada lokasi kamera.

Sistem itu yang akan dilaksanakan di 825 kawasan berisiko kemalangan dan kawasan lampu isyarat pada mulanya dijangka dilaksana sepenuhnya di seluruh negara bermula 12 Ogos ini.

Dalam pada itu, Kong berkata bagi memastikan keadaan bas dan pemandu dalam keadaan baik, JPJ akan membuat pemeriksaan di 32 buah terminal utama di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada brek dan tayar bas.

"Demi memastikan pemandu bas ekspres bebas dari pengaruh dadah, pasukan narkotik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turut bersama membuat pemeriksaan di terminal-terminal bas utama di seluruh negara.

"Selain itu, JPJ juga akan mempunyai pasukan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres untuk memerhatikan tingkah laku pemandu bas," katanya.-Bernama

ISU PENGAJIAN TINGGI : Keputusan kemasukan ke IPTA lepasan STPM, Matrikulasi, Asasi esok


KUALA LUMPUR : Keputusan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam bagi program lepasan Sijil Tinggi Persekolahan, matrikulasi dan asasi untuk calon yang tidak ditawarkan dalam pemilihan awal, boleh diketahui esok mulai 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa berkata calon boleh mendapatkan maklumat itu melalui hotline 03-8870 6767, helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau laman web http://upu.mohe.gov.my. http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my dan http://jpt.ums.edu.my. Semakan juga boleh dibuat melalui SMS dengan menaip UPU RESULT (no kad pengenalan) dan hantar ke 15888, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata calon yang terpilih merupakan calon yang tidak mendapat tawaran ke IPTA dalam pemilihan awal kerana tidak bersetuju ditawarkan program pengajian luar pilihan, dan melibatkan mereka yang mendapat PNGK 2.8 ke atas.

"Proses pemilihan dilaksanakan mengikut pilihan calon atau rayuan, atau pilihan bidang calon, atau mengikut program pengajian yang mempunyai kekosongan dan bersesuaian dengan bidang pilihan calon," katanya.

Beliau berkata keputusan tawaran ini adalah muktamad dan calon tidak dibenar mengemukakan rayuan terhadap tawaran itu.

Calon yang berjaya akan mendaftar pada 1 dan 2 September, dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi di talian 03-8870 6767 atau 03-8870 6777, katanya. - BERNAMA

ISU BAHASA : Alahai Bahasa Melayu


Oleh WAN ZUKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

Salah satu papan iklan syarikat multinasional yang menggunakan bahasa Melayu dan tulisan jawi pada satu lokasi di bandar raya Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU  8 Ogos - Anehnya, di negeri dan negara yang bahasa Melayu merupakan bahasa rasminya kita masih lagi terpaksa berkempen sesama sendiri dalam usaha mendaulatkan atau meletakkan ia di tempat sewajarnya.

Malah diadakan program Bulan Bahasa saban tahun di seluruh negara dengan pelbagai kegiatan menyemai kecintaan dan memperluaskan penggunaannya di samping ikrar dan tekad pihak berkuasa mempertahankannya.

Kerap kedengaran diadakan seminar atau apa sahaja pertemuan khusus untuk membincangkan masa depannya, justeru lahir pelbagai resolusi, usul bernada rayuan, desakan dan laungan agar kedengaran dan diberi perhatian.

Anehnya, kita berhabis masa dan wang untuk tujuan itu yang akhirnya bagaikan pesta bermusim kononnya mempertahankan sesuatu yang sebenarnya menjadi milik sendiri dan tidak perlu dipersoalkan sesiapa.

Jika bahasa dikatakan sebagai jiwa bangsa, alangkah kacau dan celarunya jiwa bangsa kita apabila semakin ramai yang merasakan sukar menggunakan atau berbahasa ibunda dalam perhubungan harian terutama dengan bangsa lain.

Maka, di negara ini, makin ramai rakyatnya yang gagal bercakap dalam bahasa itu dengan baik mengetepikannya dalam urusan perniagaan dan perkhidmatan sekali gus makin melenyapkan jati diri mereka malah jati diri bangsa.

Seorang pencinta bahasa, Sulong Taib berpendapat, di negeri dan negara yang diterajui oleh bangsa sendiri soal bahasa sebenarnya tidak perlu didesak dan dipandu arah oleh sesiapa dalam memperjuangkannya.

"Tetapi apa sebenarnya yang telah kita lakukan, di luar sedar sebenarnya kita meruntuhkannya. Betapa mudah kita ke tepikan bahasa sendiri seperti kesediaan menggunakan bahasa Inggeris untuk lokasi-lokasi atau produk atas nama pelancongan.

"Melucukan, seolah-olah tiada ayat yang sesuai dalam bahasa Melayu maka wujudlah nama-nama Kuala Terengganu Waterfront, Payang Walk, T-Shoppe dan lain-lain. Lihat juga di papan tanda perniagaan dan perumahan di merata negeri.

"Apakah pelancong tidak akan datang dan orang tidak membeli jika ditulis atau dinamakan dalam bahasa Melayu. Apakah mereka ingin melihat nama dan bukannya segala tarikan yang sepatutnya disajikan," katanya yang merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Cendering, dekat sini.

Inilah yang turut mengecewakan Gagasan Pendidikan Melayu Kebangsaan (Gagasan) negeri Terengganu dan bersama Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), mereka mengadakan sidang meja bulat baru-baru ini.

Ia suatu usaha kecil mereka agar sekurang-kurangnya suara mereka didengari pihak berkuasa bandar raya di negeri Warisan Pesisir Air ini kerana bahasa itu warisan yang tidak harus dikesampingkan.

Mereka ingin menyatakan rasa kesal dan bimbang dengan gejala pengabaian dan pencabulan bahasa Melayu termasuk di kalangan pihak berkuasa dan orang Melayu sendiri di mana sahaja kini.

Sidang meja bulat mengenai masa depan bahasa itu dipengerusikan Munsyi Dewan, Nawi Ismail dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri yang kemudiannya menerima resolusi untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa.

Penyertaannya amat menggalakkan dengan 40 peserta yang diundang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), institusi-institusi pengajian tinggi serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan.

Sebanyak 17 resolusi digariskan termasuk penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai lapangan perlu mencerminkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan warisan bukannya sebagai bahasa pinggiran dan diperlekehkan dengan pelbagai alasan.

Mereka antara lain berharap kebijakan dan kemahuan pemerintah wajar diperteguhkan untuk menguatkuasakan dan melaksanakan semua dasar yang berkaitan dengan bahasa itu dalam semua urusan terutama dalam soal pengiklanan, bahan penyebaran dan paparan umum.

Mereka juga mendesak pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab dalam penamaan sesuatu tempat atau meluluskan papan iklan melantik panel merujuk kesalahan bahasa atau merujuk kepada agensi bertanggungjawab seperti DBP sebelum meluluskannya.

Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, mungkin kerana bahasa itu tidak memberi sebarang pulangan dari segi pengaruh politik dan ekonomi maka ia tidak memerlukan langkah segera.

"Ada ahli politik dan pemimpin yang menegaskan tidak bangga dengan bangsa dan warisannya semata-mata untuk lunak didengar oleh bangsa lain dan dapat menarik sokongan mereka," ujarnya.

Katanya, bagi golongan itu bahasa Melayu tidak perlu diperjuangkan dan mereka sedia mengetepikannya kerana apa yang lebih utama adalah peluang mendapatkan kedudukan dan kuasa.

"Ada pula yang merasakan penggunaan bahasa Inggeris lebih gah dan memberi kesan lebih besar terutama dalam perniagaan apatah lagi jika ia dikaitkan dengan budaya ilmu dan pelancongan," katanya.

Menurut beliau, segala usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan kerja pejuang atau mereka yang mencintai bahasa itu semata-mata tetapi harus dihayati para pemimpin segenap lapisan masyarakat.

Beliau memetik kenyataan Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan yang menyebut: "Kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi umumnya ternyata begitu prihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya.

"Adalah perlu diakui ada penjawat awam, sarjana dan kalangan sektor lain yang memahami erti dan sumbangan bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara, tetapi pada masa sama dapat disaksikan betapa besarnya golongan yang tidak peduli akan nasib bahasa Melayu di bumi sendiri,'' katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/