Selasa, 14 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : Keputusan SPM ulangan Khamis ini


KUALA LUMPUR - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 akan dikeluarkan Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara. - Bernama

ISU SOSAL : Beraya bersama 'keluarga besar'


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

TAHUN 2012 unik sekali lagi bagi Malaysia yang meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama sambutan Hari Kemerdekaan serentak. Kedua-duanya amat signifikan bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan, kepercayaan dan amalan.

Faktor alam dan populasi yang diwarnai dengan kepelbagaian membolehkan Malaysia terus subur dengan bermacam-macam perayaan dan sambutan kenegaraan. Ia mencerminkan kemampuan Malaysia untuk terus utuh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam dan luar negara.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri amat menarik di kawasan luar bandar yang melihat kawasan bandar sunyi sepi kecuali mereka yang tidak dapat pulang beraya di kampung akan memenuhinya, apatah lagi wujud fenomena kebanjiran warga asing ketika musim perayaan.

Pada malam pengumuman tarikh  Hari Raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, akan ada kunjungan dari rumah ke rumah dengan marhaban raya. Pada pagi raya, ramai berpusu-pusu ke masjid mengikuti khutbah raya yang lazimnya menandakan kesyukuran penyempurnaan bulan Ramadan dan permulaan bulan Syawal. Takbir kedengaran di merata tempat, laungan puji-pujian kesyukuran kepada yang Esa.

Di kampung saya, Tanjong Malim, Perak, satu ketika dahulu sambutan sebarang perayaan amat meriah. Ia dinanti bukan sekadar untuk turut sama dalam aktiviti berkunjung dari rumah ke rumah tetapi lebih daripada itu, nilai persahabatan dan silaturahim dalam kalangan anggota jiran amat tinggi. Nilai sosialisasi yang tebal ketika itu adalah usaha bersama mengacau dodol yang dilakukan berjam-jam oleh sesama jiran sebagaimana membuat kuih-muih lain. Yang kecil mahupun dewasa sentiasa menanti waktu dan tikanya kerana keseronokan dapat bersama.

Begitu juga dengan ketupat, lemang dan rendangnya. Semangat gotong-royong memberi gambaran betapa eratnya hubungan antara jiran yang turut meningkatkan tahap moraliti dalam kalangan masyarakat setempat. Ia bukan sekadar nilai kejiranan tetapi lebih daripada itu, wujud 'keluarga besar' termasuk anak-anak dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik yang bersama meraikannya; 'perkongsian' sebagai teras keutamaan dalam hubungan kemanusiaan 'keluarga besar' ini.

Yang memasang lampu malam tujuh likur juga ialah anak-anak ini; yang mencari buluh membuat lemang pun anak-anak ini. Yang bermain dalam hujan, di padang bola, takraw dan badminton juga anak-anak ini. Bermain galah panjang, guli, sorok-sorok, dan jongkang-jongket tidak terkecuali. Berlaga ikan dan mencari ikan sepat tidak ketinggalan sementara menunggu waktu berbuka pun anak-anak ini. Tiada istilah penat sewaktu bulan Ramadan kerana masing-masing seronok dengan apa yang dilalui dan faham ia diberkati.

Kemeriahan beraya dalam kalangan remaja muda ketara apabila bernyanyi lagu raya sehingga senja suram; malam hiba; berbasikal ke merata tempat bukan mencari 'duit raya' tetapi kenikmatan bersama. Keseronokan dirasai semua walaupun ada perbezaan tetapi ia pemangkin untuk penjelasan ada ketikanya boleh menjadi 'satu'.

Jiwa yang jujur dan ikhlas memagari insan sebegini rupa kerana pedoman datangnya daripada orang tua. Nilai hormat yang tinggi bukan sahaja pada Opah dan Atuk tetapi kesemua warga emas adalah milik bersama. Jika mereka sakit, keseluruhan jiran merasainya kerana ikatan 'ziarah' dan 'melawat' tanpa pelawaan ataupun kunjungan berasaskan kepada jemputan atas nama 'keluarga besar'. Pada waktu beraya, bersalam dengan mereka merupakan satu 'keberkatan'.

Hari ini, pengisian ke atas kemerdekaan membolehkan kita terus beraya dengan aman dan muhibah. Kemerdekaan menandakan betapa kita bersyukur berbanding dengan negara-negara lain, kita masih mampu gah di peta dunia pesat membangun dengan kesinambungan kepimpinan yang mempertahankan kestabilan dan perkembangan yang seiring dengan anjakan global.

Kita tidak terkebelakang tetapi maju ke hadapan. Modal insan ramai yang dilihat berpotensi dan mempunyai ilmu, keupayaan dan kemahiran yang setanding dengan bangsa lain di dunia ini. Kesemua ini berjaya kerana adanya keyakinan dan kepercayaan kepada semangat 'Malaysia'.

Meskipun begitu, tidak dinafikan ada segelintir yang tidak memiliki aspirasi warga 'Malaysia'; warga yang terlalu taksub dengan fahaman tertentu sehingga membelakangkan nilai 'keluarga besar' Malaysia. Yang dikhuatiri adalah tingkah laku yang boleh memudaratkan kedaulatan negara dengan perilaku tidak menghormati simbol kebanggaan negara termasuk lagu Negaraku, bunga raya dan jata negara. Tidak lupa kepada Rukunegara. Begitu juga dengan institusi raja-raja Melayu.

Musibah kadang-kadang datangnya dari kita dan bukan orang lain sampaikan isu sokongan ke atas pejuang wira di sukan Olimpik pun boleh dipolitikkan oleh sesetengah orang yang jiwanya ketara sifar.

Budaya saling perlu memerlukan di antara satu sama lain, memahami dan hormat merupakan nilai besar yang wujud sekian lamanya tetapi adakah nilai ini bersedia dikorbankan kerana peningkatan celik huruf dalam kalangan masyarakat Malaysia sehingga bersedia warisan bangsa lupus sebagaimana yang ketara dalam ungkapan sesetengah pihak untuk meraikan Hari Raya mahupun kemerdekaan.

Kedua-duanya bukan sekadar perayaan dan sambutan; kedua-duanya juga lambang besar nilai kemasyarakatan dan pengukuhan roh sosial yang penting untuk menyuburkan rasa 'kepunyaan' dan 'kekitaan' dalam kalangan warga Malaysia.

Pertahanan negara datang dari rakyat yang bersyukur kepada nikmat dan limpahan rezeki dalam menggapai kecemerlangan diri. Ia tidak boleh dikorbankan hanya kerana sejarah mahu diubah ataupun tidak mahu mengambil inisiatif untuk memahami pencapaian yang membawa Malaysia kepada kedudukannya.

Walaupun fenomena baru menunjukkan wujudnya sentimen bersifat 'cool' untuk memberontak dan mahu didengar; nilai 'perkongsian' tidak boleh terjejas dan dibiarkan pupus kerana kesannya cukup besar kepada ketamadunan bangsa dan negara.

Konsep 'ziarah' perlu dirungkai semula di alam yang mempertontonkan bagaimana ucapan dan pertemuan menjadi-jadi di alam maya dan bukan di alam sebenar. Kampung adalah tanah tumpahnya darah dan bermulanya susur-galur yang mesti diwarisi dan dikongsi generasi ke generasi.

Pengisian kemerdekaan membolehkan kita masih boleh beraya dengan penuh kesyukuran dan menerapkan unsur 'kejujuran' dan 'rendah diri' serta 'budi'; memahami dan mahu memahami; memastikan dijauhkan dari dicabuli oleh golongan yang cuma mementingkan keselesaan sendiri.

Ia boleh diraikan dalam pelbagai cara dengan penyertaan pelbagai kumpulan anggota masyarakat. Keunikan adalah kepada 'kepelbagaian' dan ia bukan sebagai 'penghalang' malahan satu 'keistimewaan' yang mesti diwarisi turun-temurun walaupun berubah zaman.

Sama ertinya untuk kemerdekaan; atas kemampuan meraikannya kerana wujud kestabilan dan keselesaan untuk hidup rukun dan bersama. Ada kelemahan dan penambahbaikan dilakukan sentiasa tetapi ia bukan satu indikator untuk menjadi sempadan kepada pencapaian negara yang melihat Malaysia muncul di mercu dan alam baru kerana rakyat dan pemimpinnya.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri di bulan kemerdekaan kepada semua warga Malaysia. Nostalgia lama pasti menjelma apabila pulang beraya di kampung; sama-sama kita sambut kedua-duanya dengan acuan tempatan kita sendiri dan secara berterusan menyemarakkan nilai 'keluarga besar' Malaysia yang menjadi simbol kesepaduan kita dalam komuniti rencam ini.

Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 13 Ogos 2012

ISU BAHASA : BI bukan pengukur kemuliaan pekerjaan


Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Bahasa Melayu harus dimartabatkan

Iklan dalam bahasa Inggeris yang semakin meluas di negara ini boleh memberikan gambaran serta persepsi salah terhadap hubungan pekerjaan dengan bahasa berkenaan. Ia cuba memberi gambaran serta persepsi bahawa bahasa Inggeris diperlukan dalam semua sektor pekerjaan. Kalau anda tidak menguasainya, anda akan tertinggal, atau anda akan menganggur. Tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa lain sebagai sumber ilmu dan ruang pekerjaan, masyarakat kita tidak seharusnya terlalu ditakut-takutkan dengan bahasa berkenaan. Anak kita mempelajarinya secara formal selama 11 tahun iaitu enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Keupayaan penguasaan bahasa Inggeris mereka akan mencorakkan masa depan masing-masing. Keupayaan mereka seharusnya tidak diragui jika pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah memperlihatkan keberkesanannya.

Kelas pekerjaan

Yang tidak ingin kita lihat ialah wujudnya kelas pekerjaan berdasarkan perbezaan bahasa. Kita tidak akan selesa jika ada yang beranggapan pekerjaan dalam lingkungan berbahasa Inggeris sebagai berada dalam kelas pertama sementara yang lain berada dalam kelas kedua dan sebagainya. Kemuliaan pekerjaan tidak diukur semata-mata dengan bahasa atau pendapatan yang diperoleh.

Tidak semua pelaburan yang dibawa masuk ke Malaysia memerlukan pekerja yang menguasai bahasa Inggeris sebagai prasyarat. Sebagai contoh, cuba kita lihat realiti pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia kebelakangan ini, sebagai mana laporan Jabatan Perangkaan:

“Stok FDI di Malaysia meningkat daripada RM129.1 bilion pada 2001 kepada RM312.5 bilion pada 2010, pertumbuhan ketara sebanyak 142.1 peratus. Sementara tahun ke tahun, stok FDI meningkat sebanyak RM42.3 bilion atau 15.7 peratus. Komponen modal ekuiti & perolehan dilabur semula membentuk bahagian terbesar berjumlah RM293.7 bilion atau 94.0 peratus. Sektor pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai penerima stok FDI tertinggi sebanyak 46.8 peratus, diikuti oleh sektor kewangan & insurans 23.1 peratus dan sektor perdagangan borong & runcit 8.2 peratus. Tiga sumber utama FDI adalah dari Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).”

Singapura dan Amerika Syarikat (AS) dianggap sebagai pengguna bahasa Inggeris tetapi tidak Jepun. Itu tidak menggambarkan kepentingan bahasa Inggeris di sektor swasta secara menyeluruh kerana hanya 5 hingga 10 peratus eksekutifnya yang perlu menguasai bahasa Inggeris terutama dalam beberapa syarikat Singapura dan AS yang beroperasi di Malaysia. Sebahagian eksekutif di syarikat Jepun memang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan atasan Jepun mereka tetapi ada juga eksekutif (Melayu dan bukan Melayu yang terdidik di Jepun) berkomunikasi langsung dalam bahasa Jepun dengan pegawai atasan Jepun mereka.

Dapatan Jabatan Perangkaan itu juga menunjukkan sektor pembuatan menguasai 46.8 peratus stok FDI di mana bahasa Inggeris diperlukan secara minimum atau tidak perlu sama sekali. Hanya di sektor kewangan dan insurans yang menduduki tempat kedua (23.1 peratus), bahasa Inggeris mungkin diperlukan, terutama oleh eksekutifnya tetapi hubungan dengan klien Melayu, Cina dan India tidak semestinya dalam bahasa Inggeris. Di sektor perdagangan borong dan runcit (8.2 peratus), bahasa Inggeris bukan bahasa utamanya. Dapatan berkenaan boleh digunakan untuk mematahkan mitos keperluan bahasa Inggeris di sektor swasta khususnya yang berkaitan dengan FDI.

Tahun lalu Perdana Menteri mengumumkan wujudnya 10,000 peluang pekerjaan baru, dalam kerangka pelan transformasi ekonomi, bernilai RM1.4 bilion. Adakah 10,000 kerja baru di sektor swasta amat memerlukan penguasaan bahasa Inggeris? Dan jika diperlukan, bukankah pengalaman pelajar Malaysia mempelajari bahasa Inggeris selama 11 tahun sudah mencukupi untuk menceburi sektor swasta itu?

Pada masa sama kita mesti menanjakkan keupayaan bahasa Melayu dalam sektor ekonomi dan perdagangan. Kita mesti membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa ilmu pengetahuan moden, dan sistem pendidikan kebangsaan kita terus penting untuk era ini dan zaman akan datang.

Citra bahasa Melayu

Sehubungan itu, citra bahasa Melayu dalam lapangan pekerjaan seharusnya lebih penting daripada bahasa Inggeris atau sekurang-kurangnya setaraf dengan bahasa Inggeris.

Untuk mencapai citra berkenaan bukan saja diperlukan keberanian politik, malah perjuangan bersama kalangan profesional, usahawan dan cendekiawan Melayu. Ketika kerajaan dan sektor awam tidak mungkin menyerap jumlah tenaga kerja yang lebih besar, rakyat kini beralih kepada majikan di sektor swasta. Di sektor swasta ini persepsi kononnya bahasa Inggeris lebih utama daripada bahasa Melayu haruslah dikikis dan diketepikan.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Hanya kesedaran mampu elak nyawa melayang di jalan raya


Oleh : Manja Ismail

Setiap pengguna kena tanam azam jadikan Aidilfitri tahun ini paling selamat

Kurang seminggu lagi kita akan menyambut Aidilfitri dan seperti biasa, pihak berkuasa melancarkan operasi khas selama dua minggu, dengan matlamat utama untuk mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya yang angkanya sentiasa meningkat ketika musim perayaan. Daripada Ops Pacak, Ops Statik, Ops Sikap sehinggalah Op Selamat yang bermula semalam, semuanya adalah usaha pihak berkuasa untuk memastikan pengguna kenderaan selamat ketika menggunakan jalan raya.

Walaupun operasi sedemikian terbukti berkesan dalam membendung lebih banyak kemalangan dan korban sepanjang musim perayaan, perangkaan menunjukkan ia belum dapat menurunkan kadar nahas dan korban pada tahap yang diinginkan, kalaupun tidak mencapai matlamat kemalangan atau korban sifar. Begitupun, korban nahas jalan raya mungkin lebih tinggi jika pihak berkuasa tidak mengadakan operasi seumpama itu.

Barangkali hanya di Malaysia, pihak berkuasa terutama polis terpaksa mengerahkan ribuan anggotanya bertugas di sepanjang lebuh raya dan jalan di seluruh negara sepanjang musim perayaan, semata-mata untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kemalangan. Ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan jika kedudukan Malaysia dalam senarai negara mempunyai kadar korban paling tinggi akibat nahas jalan raya diambil kira.

Kajian Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris menunjukkan ketika 30 negara mencatatkan penurunan korban nahas jalan raya pada 2000 hingga 2009, hanya Malaysia bersama Argentina dan Kemboja mencatat peningkatan. Malaysia di kedudukan paling atas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk. Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia adalah 6.3 kali lebih tinggi berbanding United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda.

Satu laporan sebelum ini pula menyebut, nahas jalan raya menyebabkan Malaysia kehilangan RM9 bilion pada 2010 dari segi kehilangan nyawa dan cedera. Sebanyak 6,640 kemalangan jalan raya atau 18.2 kematian sehari pada 2010. Dalam kata lain, seorang rakyat Malaysia terbunuh pada setiap 1 jam 20 minit, sepanjang tahun itu. Persoalannya siapa yang harus dipersalahkan – kerajaan, polis, jalan raya, kenderaan atau pemandu?

Jawapannya tentulah sikap pemandu. Analisis beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati kebanyakan pemandu hanya mematuhi peraturan apabila melihat polis dan bukan kerana amalan memandu berhemah atau mereka benar-benar menghormati undang-undang. Sikap tidak mematuhi peraturan jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain inilah dikatakan menjadi punca utama meningkatnya kemalangan.

Mungkin kerana 25 Ops Sikap sebelum ini didapati belum memberikan kesan ketara sama ada dari segi penurunan kadar kemalangan atau mendisiplinkan pengguna jalan raya, polis menamakan operasi pada musim perayaan kali ini sebagai Op Selamat. Tentulah tidak adil jika polis menumpukan perhatian kepada operasi di jalan raya yang kesannya tidak banyak berbeza, sehingga mengabaikan keselamatan harta benda dan orang lain yang tidak menggunakan jalan raya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika melancarkannya Jumaat lalu, berkata operasi bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ itu turut menumpukan kepada keselamatan rumah dan harta benda ditinggal pemilik ketika balik kampung. Bagaimanapun, operasi selama 15 hari itu tetap mengekalkan ciri-ciri Ops Sikap dengan menambah baik beberapa aspek.

Sehebat mana pun usaha pihak berkuasa mengurangkan kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan ini, ia tidak mungkin memberi kesan diharapkan tanpa kerjasama pengguna jalan raya itu sendiri. Setiap pengguna jalan raya seharusnya berazam menjadikan musim balik kampung sempena Aidilfitri tahun ini paling selamat, sesuai dengan tema operasi kali ini. Hanya dengan kesedaran pentingnya mematuhi undang-undang dan pemanduan berhemah mampu mengelak lebuh dan jalan raya di negara ini daripada menjadi pusara tidak bertanda.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Transformasi ( Suatu persepsi).


Oleh : TAN SRI SYED HAMID ALBAR,

PERSEPSI adalah satu proses yang mana penerimaan naluri kita diterjemah dan digabungkan menjadi satu pandangan yang menyeluruh terhadap persekitaran kita. Walaupun semestinya berdasarkan kepada infomasi yang tidak lengkap dan tidak sahih, persepsi sering disamakan dengan realiti dan mewakili perangai kita.

Hari ini kita lihat politik di serata dunia menjadi lebih bercelaru. Kita berdepan dengan persoalan tentang kebebasan serta pertembungan antara hak individu dan kepentingan masyarakat dalam konteks demokrasi dan hak asasi. Dalam order baru dunia, kuasa besar Barat berjaya membentuk hegemoni, politik dan ekonomi, tanpa adanya dunia multipolar.

Serentak dengan itu, situasi ekonomi dunia terus tidak menentu; dan mengikut ramalan Bank Dunia, ekonomi dunia akan terus bergerak perlahan. Pengerusi Federal Reserve Amerika Syarikat pula meramalkan ekonomi negara itu tidak akan bertambah baik, malahan akan terus meruncing.

Berlatar belakang kedudukan ekonomi dunia yang tidak memberangsangkan, bidang politik juga menyaksikan perubahan kerajaan sama ada melalui proses pilihan raya bebas atau melalui pemberontakan seperti mana yang telah tercetus khususnya di Asia Barat. 'Sumpitan' daripada kuasa dalaman kerajaan, kuasa luar akhirnya mengakibatkan kerajaan berkenaan digulingkan dengan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa di kalangan mereka yang terlibat dan tidak terlibat.

Maka nyata bahawa persepsi ekonomi-politik hari ini sememangnya bercelaru. Soalnya adakah persepsi ini terancang agar akhirnya keadaan bercelaru ini menjemput campur tangan asing secara terang-terangan melalui ketetapan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB sebagai pengendorsnya untuk menghalalkan campur tangan dan perubahan.

Jelas sekali campur tangan ke atas negara-negara Islam adalah amat ketara berbanding yang diberikan perhatian kepada negara-negara lain yang berkonflik contohnya di Amerika Latin. Namun apa yang dipanggil penyelesaian itu tidak menjamin keamanan dan keselamatan. Kuasa-kuasa besar Barat terus menggunakan kekuatan ketenteraan dan PBB dibawa bersama bagi mencorakkan order baru dunia di atas asas persepsi bahawa campur tangan kemanusiaan dan mahu mendemokratikkan negara-negara tersebut adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun perubahan yang mereka bawa tidak semestinya menjadi jawapan ataupun jalan penyelesaian kepada konflik dalaman sesebuah negara, ia tidak pula menjadi persoalan.

Justeru masalah keselamatan, keamanan, ekonomi dan politik terus menekan dan membawa penderitaan kepada rakyat di negara-negara yang kononnya telah diselamatkan. Tapi apa yang jelas ia berjaya melahirkan negara-negara yang pro Barat dengan agenda demokrasi dan kebebasan. Persoalannya, sama ada hegemoni dan sistem ekonomi kapitalis yang dieksport Barat dapat menangani segala kemelut termasuk ekonomi dan politik di Eropah belum lagi terserlah.

Apa yang nyata ialah tersebarnya satu persepsi bahawa perlunya transformasi melalui sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi di negara-negara yang tidak mengenalnya sebelum ini. Tetapi realitinya masih lagi sangsi. Pendekatan sebegitu dianggap sebagai penjajahan cara baru yang bertukar hanya bentuknya. Tambahan lagi, banyak pendapat yang mengatakan sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi bukanlah satu penyelesaian muktamad untuk semua keadaan yang dihadapi oleh dunia.

Tidak dapat dinafikan yang umat manusia berada di atas satu pentas yang telah didekatkan serta saling kebergantungan akibat dari kemajuan teknologi maklumat dan internet. Dalam tamadun sains dan teknologi ini jelas sekali kuasa terkuat yang muncul hari ini adalah pihak media. Mereka berupaya bercanang, mereka-reka, dan membina persepsi yang tidak berlandaskan realiti semasa. Pengaruh media menjadi dominan dan berjaya serta berkesan membentuk persepsi dalam semua persoalan.

Persepsi boleh membentuk pemikiran, pegangan dan keputusan sama ada semasa berdepan dengan krisis ataupun di luar krisis. Masyarakat setempat dan antarabangsa tidak dapat lari daripada hakikat ini. Media alternatif telah menyentuh dan menentukan hala tuju dalam pelbagai bidang termasuk politik domestik dan antarabangsa. Justeru, kebebasan demokratik seharusnya diteraskan kepada wasatiyyah atau kesederhanaan bagi mencapai keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab di antara hak individu dan masyarakat. Komunikasi dan penyampaian maklumat yang bergerak begitu pantas dengan insiden dan kejadian semasa memerlukan kerajaan berada di hadapan.

Pada hari ini, Malaysia sedang melalui proses transformasi yang amat hebat dalam sejarah politik dan ekonomi negara. Ia dilaksanakan untuk menaikkan taraf hidup, melahirkan peluang perkerjaan dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi serta terhubung di antara satu wilayah dengan wilayah yang lain atau dari satu tempat ke tempat yang lain. Pemimpin dan mereka yang berada di persekitaran pemimpin perlu dapat menguasai setiap nadi dan pergerakan dasar, sama ada tersurat ataupun tersirat.

Mereka harus mengerti dan memahami niat dan tujuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), ProgramTransformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan ( GTP) yang luhur dan murni itu dapat dirasai dan dikecapi oleh rakyat. Dalam konteks ini amalan dan implementasi akan diyakini oleh golongan yang hendak dimanfaatkan. Jika program-program dapat dilaksanakan dengan telus dan sempurna maka akan terbitlah keyakinan terhadap pemimpin dan kerajaan dan kredibiliti pemerintah akan dapat ditingkatkan.

Bila dapat diajukan dasar, sasarannya dan maklumat dengan telus dan tepat maka susah untuk dimanipulasikan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan untuk memenuhi agenda mereka bagi melahirkan persepsi negatif terhadap kerajaan. Persepsi negatif hanya boleh dikalahkan dengan kebenaran. Tetapi jika kebenaran tersembunyi, akhirnya pembohongan yang diulang-ulangkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab akan diterima sebagai kebenaran.

Justeru, kejayaan dan kegagalan kerajaan pada dewasa ini bergantung banyak kepada bagaimana pemimpin dan jentera dianggap cekap dan autoratif dalam menengahkan kebenaran sebagai realiti. Sekali gus pihak yang lain tidak dapat membentuk persepsi negatif terhadap setiap dasar atau tindakan kerajaan.

Kerajaan tidak boleh hanya respons setelah sesuatu terjadi dan persepsi negatif telah diatur bentuk oleh 'Dr. Spin' pihak lawan. Apabila itu berlaku mereka akan mewarnakan kebenaran melalui persepsi mereka. Begitu juga kerajaan tidak boleh membiar atau mengizinkan manipulasi fakta oleh pihak lain dan kemudiannya kelam-kabut menyediakan jawapan.

Dasar pemerintah sebenarnya hendaklah diterjemah dan diimplimentasi agar dapat dilihat sendiri manfaatnya oleh rakyat dan bukan sesuatu yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Dalam hal ini kerajaan tidak boleh bersikap defensif dan apologetik. Sudah banyak sentuhan yang dihulurkan melalui program dan tindakan sama ada untuk jangka masa pendek ataupun panjang.

Media arus perdana dan alternatif harus digunakan untuk melaporkan pencapaian sebenar program dan tindakan tersebut, bukan hanya setakat untuk melaungkan persepsi transformasi. Pemimpin pula perlu perihatin membicara menggunakan bahasa dan memahami kecenderungan setiap peringkat masyarakat . Jika tidak, jurang realiti dan persepsi akan dibentuk oleh orang lain dan akan merugikan pemerintah.

Sekiranya ingin berjaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, kerajaan perlu menangani pertarungan persepsi ini dengan cara yang bijak dan berkesan. Persepsi yang pemimpin kerajaan atau politik tidak bersih atau sombong atau hidup mewah atau susah untuk ditemui perlu dapat diatasi melalui pendekatan yang sungguh mesra rakyat dan terbuka dengan cara bertawaduk seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri.

Pada masa yang sama dari sekarang hingga PRU-13, insya-Allah masyarakat tidak didedahkan dengan cerita-cerita skandal, salah laku sama ada bersifat jenayah ataupun tidak, yang membangkitkan kemarahan dan keraguan rakyat atau menyinggung sensitiviti mereka sehingga boleh menjejaskan sokongan dan minat kepada kerajaan dalam PRU-13.

Seharusnyalah parti pemerintah dapat mengatasi pihak pembangkang dengan memaparkan keupayaan, keikhlasan dan ketelusan kerajaan. Sebenarnya pemerintahlah penterjemah dan pelaksana kepada pembinaan satu negara bangsa berteraskan 1Malaysia untuk semua rakyat mengecapi kemajuan dan kesejahteraan.

Penulis ialah Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)

Sumber : http : //www.utusan.com/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Cuti untuk transformasi minda


Oleh Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my

APABILA mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diberi keistimewaan cuti panjang selama empat bulan bermula tahun lalu, ramai pihak mempertikaikan keputusan itu.

Pelbagai alasan kontra diberikan biarpun pihak Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai pelbagai hujah konkrit yang positif.

Alasan masyarakat, dikhuatiri tempoh panjang itu membawa implikasi lebih buruk kepada mahasiswa sedangkan cuti semester pendek sebelum ini pun diwarnai dengan pelbagai masalah.

Apakah benar cuti panjang ini mampu memberi implikasi kepada mahasiswa?

Atau adakah ia bermanfaat melegakan seketika bebanan belajar atau ia hanya sekadar tempoh membuang masa?

Pensyarah kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Dr Muhammad Aziz Shah Mohamed Arip, berkata tempoh bukan persoalannya tetapi pengisian sepanjang tempoh itu lebih utama.

Beliau berkata, masa yang terluang biarpun sedikit jika diisi dengan perkara manfaat boleh mendatangkan kebaikan, begitu sebaliknya.

“Persoalannya bukan tempoh tapi apa yang dilakukan pada waktu itu sama ada boleh mendatangkan manfaat atau sebaliknya.

“Masa hanyalah penyebab kerana tanggungjawab belajar tidak akan terhenti sehingga mahasiswa melunaskan pengajian.

“Justeru ia bukan isu besar sebaliknya perlu dilihat daripada skop berbeza dengan kepentingan berbeza mengikut situasi,” katanya.

Penyelarasan kalendar akademik institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara dilakukan secara berperingkat bermula sesi akademik 2011/2012 dan dijangka beralih sepenuhnya pada sesi akademik 2013/2014.

Penyelarasan itu akan menyaksikan tarikh pendaftaran pelajar baharu dianjakkan dua minggu ke hadapan pada setiap sesi akademik yang akhirnya akan bermula pada bulan September berbanding Jun sebelum ini.

Penyelarasan kalendar akademik ini terletak di bawa Fasa Kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara atau ‘Fasa Pengukuhan’ dan akan berakhir pada 31 Disember 2015.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada segelintir masyarakat berpendapat tempoh cuti terlalu lama boleh melupakan mahasiswa kepada pelajaran.

“Itu betul namun hanya sekadar tanggapan malah ia turut juga bersifat terlalu subjektif.

“Tidak perlu tunggu hingga waktu cuti panjang, jika mahasiswa tidak mahu belajar, mereka tidak akan berbuat demikian.

“Itu hanya penyebab kerana semuanya terpulang pada kemahuan diri. Orang lain hanya boleh membuat spekulasi,” katanya berpendapat cuti berkenaan jika digunakan dengan betul boleh melahirkan individu lebih bertanggungjawab.

“Contohnya, bersifat proaktif dan produktif untuk menjana pendapatan sampingan.

Usaha ini boleh menjadi platform mahasiswa mengaplikasikan ilmu keusahawanan dipelajari.

“Ataupun sedikit sebanyak boleh menampung bebanan kewangan apabila kembali ke kampus.

“Sebenarnya banyak boleh dilakukan jika mahasiswa pandai memanfaatkannya, jadi tidaklah mereka ‘berkeliaran’ tanpa arah tujuan,” katanya.

Cuti juga, katanya bukan bermakna mahasiswa boleh bebas atau melupakan terus tanggungjawab malah boleh dijadikan landasan untuk mentransformasi minda dan diri.

“Gunakan waktu itu untuk mengikuti pelbagai persidangan, seminar, kursus atau sebarang bengkel bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.

“Sekurang-kurangnya apabila kembali ke kampus, mahasiswa mendapat semangat atau kekuatan baru untuk menempuh cabaran menara gading,” katanya.

Beliau juga bersetuju, mahasiswa yang memanfaatkan cutinya dengan baik boleh memberi kelebihan kepada diri sendiri termasuk dari segi kematangan berfikir, keberanian dan meningkatkan penguasaan komunikasi.

Menurutnya, perolehan pengalaman dengan masyarakat luar kampus juga boleh diiktiraf sebagai cabang ilmu malah sangat istimewa kerana tidak diperoleh melalui pembacaan.

“Bagi mahasiswa yang tahu menghabiskan tempoh cutinya dengan pengisian pelbagai aspek, transformasi diri dapat dilihat sebaik saja semester baru dibuka.

“Bukankah ini satu bonus yang boleh dicari sewaktu cuti panjang? Jadi jangan beri alasan cuti panjang hanya membuang masa kerana diri sendiri merangka setiap perancangan,” katanya.

Malangnya, katanya kebanyakan mahasiswa tidak pandai memanfaatkan masa itu sebaliknya terus terleka dengan aktiviti membuang masa.

“Mereka menggunakan alasan waktu inilah tempoh ‘membalas dendam’ segala masa yang sudah digunakan semasa belajar.

“Alasan itu tidak matang. Nasihat saya, gunakan masa dengan baik selain menjaga imej universiti supaya tidak dicela masyarakat,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU AGAMA : Ke mana hala tuju selepas Ramadan?


Oleh : Norkumala Binti Awang

MEMASUKI fasa terakhir dalam bulan Ramadan, bererti semakin hampir umat Islam akan menamatkan kem latihan Ramadan. Namun, apakah pesta ibadah dan kemeriahan yang dirasakan dalam bulan ini akan berakhir di kala 1 Syawal menjelma?

Biarpun, Ramadan masih belum melabuhkan tirainya, wajarlah bagi kita untuk memeriksa kembali perjalanan Ramadan yang dilalui pada tahun ini agar masa yang masih berbaki ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Inilah saatnya kita memecutkan momentum ibadah yang dilaksanakan, agar matlamat sebenar daripada tarbiyah Ramadan ini dapat dicapai dengan sempurna.

Ayuh, kita muhasabah diri bersama. Ketakwaan sebagai manifestasi akhir latihan dalam bulan Ramadan. Apakah Ramadan ini berhasil untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita selepas ini? Apakah mampu, momentum ibadah dalam bulan mulia ini diteruskan untuk bulan-bulan akan datang? Atau ia akan berakhir begitu sahaja setelah bergemanya takbir Hari Raya sebagai tanda kemenangan?

Berpuasa bukan sekadar memelihara perkara yang dilarang secara fizikal serta menjaga adab-adab berpuasa tetapi juga menuntut kita berjuang memelihara daripada aspek rohani. Jadi, kedua-dua aspek ini perlu digabung jalin untuk menjadikan Ramadan ini sebagai satu madrasah dalam mendidik hati kita untuk bulan-bulan seterusnya. Sewajarnya, kita tidak mahu beranggapan bahawa Ramadan ini sebagai bulan untuk mengikat nafsu hanya buat sementara waktu.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW pernah memperingatkan umatnya tentang kepincangan puasa yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa selain lapar, dan berapa banyak orang yang solat di tengah malam tidak mendapatkan apa-apa, selain berjaga malam sahaja" (Hadis riwayat Nasa‘ie)

Sudahkah kita berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan pengisian yang terbaik? Mengekang nafsu, memperjuangkan semangat yang berkobar-kobar dalam mengerjakan solat fardu, tarawih serta solat-solat sunat lain? Atau , adakah ia hanya sekadar ikut-ikutan yang mahu memeriahkan Ramadan. Bersemangat pada awalnya tetapi tumbang menjelang akhirnya. Tanpa kita menginsafi dan menyedari daripada lubuk hati sendiri tentang kepentingan dan keutamaan ibadah dalam bulan Ramadan bagi mereka yang mahu merebutnya.

Ramadan semakin berakhir. Masjid dan surau semakin sepi. Barang kali kita berputus asa kerana gagal melihat sesuatu yang bernilai di hadapan. Kita tidak nampak hasil yang diperolehi daripada pecutan ibadah yang dilakukan dek kerana nilaian manusia itu kerap kali berdasarkan penilaian mata kasar bukannya mata hati.

Seandainya ketika Ramadan, ibadah ditambah nilai dengan mengerjakan ibadah sunat, bertadarus al-Quran, bersedekah, menjauhi tingkahlaku yang tidak bermanfaat seperti mengumpat dan berbohong serta aktiviti berfaedah lain, maka apakah setelah berakhirnya Ramadan, ia terus giat diamalkan atau sebaliknya? Justeru, laluan Ramadan yang masih tinggal ini, seharusnya menjadi kayu pengukur kepada amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan dan akan lakukan selepas ini.

Wajarlah kisah yang terakam dalam hidup Imam Malik bin Anas yang menangis ketika hendak berbuka puasa menjadi pedoman. Ketika ditanya oleh muridnya, beliau berkata: “Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana terkenangkan Rasulullah SAW. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit."

Bagaimana pula dengan puasa kita pada hari ini? Tidak cukup dengan beraneka jenis makanan, dijamu dengan bufet Ramadan di restoran dan hotel mewah, ditambah lagi dengan juadah di bazar Ramadan yang sememangnya menyuntik nafsu yang sedang kelaparan. Kita sebenarnya mewah dengan makanan tapi kita miskin untuk menjiwai nilai ibadah.

Tidak menjadikan makan sebagai ibadah tetapi diletakkan sebagai tumpuan dan habuan sepanjang hari berpuasa. Setelah kekenyangan berbuka puasa, sudah tidak mampu mengerjakan ibadah tarawih apatah lagi memanfaatkan 10 malam terakhir ini untuk beribadah.

Akhirnya, ia berlalu begitu saja akibat daripada nafsu yang tidak dapat dikekang. Sungguh, terlalu jauh untuk membandingkan puasa kita dengan ulama terdahulu apatah lagi insan teragung Rasulullah SAW. Namun, ia boleh dijadikan pengukur untuk memperbaiki puasa kita agar nanti ia memberi kesan yang baik bukan setakat untuk nilai kesihatan tetapi juga nilai rohani kita selepas melalui Ramadan ini.

Namun, ada juga sesetengah golongan yang masih bersederhana di bulan Ramadan dalam menikmati makanan seperti mana yang dituntut dalam Islam. Adakah amalan tersebut mampu diteruskan selepas Ramadan ditambah lagi dengan kehadiran Syawal yang dianggap sebagai puncak pesta makanan? Seringkali ramai yang tewas begitu sahaja walaupun mendapat pentarbiyahan semasa di bulan Ramadan.

Akhirnya, mereka makan secara berlebihan kerana membalas dendam setelah sebulan berpuasa. Natijahnya, hadis Nabi SAW yang bemaksud “berpuasalah, nescaya kamu menjadi sihat" hanya tinggal harapan disebabkan oleh sikap umat Islam itu sendiri yang tidak mengikuti lunas-lunas yang digariskan dalam Islam. Puasa tidak lagi mampu menyihatkan malah memudaratkan.

Puasa tidak lagi relevan untuk mengurangkan masalah obesiti malah merumitkan. Setelah berpuasa sebulan, badan telah dapat menerima keadaan tersebut. Metabolisme menjadi rendah. Oleh itu, berat badan mudah meningkat apabila diberikan makanan secara mengejut selepas berakhirnya Ramadan. Justeru, amalan berpuasa enam di bulan Syawal adalah anjuran yang terbaik agar badan dapat menerima keadaan tersebut secara perlahan-lahan. Maka, seharusnya berwaspadalah kita dalam pengambilan makanan semasa di bulan Syawal kerana ia mampu meningkatkan berat badan secara mendadak.

Oleh itu, Ramadan yang masih berbaki ini, seharusnya dijadikan medan muhasabah tentang amalan pemakanan kita. Adakah selama tempoh Ramadan ini telah mampu membuatkan kita benar-benar menghargai nilai kesihatan atau sebaliknya? Adakah mampu untuk kita kekalkan pemakanan secara bersederhana demi menjaga tuntutan kesihatan dan bertenaga untuk beribadat kepada Allah dalam mencari keberkatan Lailatulqadar?

Di bulan Ramadan, kita berpuasa selama sebulan, wajarlah kita melatih diri untuk berpuasa sunat di bulan-bulan seterusnya. Kita cuba untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran pada bulan ini, maka perlu diusahakan pada hari-hari mendatang untuk membaca dan memahami kandungan setiap lembaran al-Quran. Jika kita rajin mendirikan solat tarawih, solat tahajud dan lain-lain pada bulan ini, seharusnya pada malam-malam seterusnya kita mampu meringankan diri untuk mengerjakan qiyamullail.

Di bulan ini kita memperbanyakkan sedekah, Insya-Allah di bulan-bulan lain juga kita dapat menghulurkan sebahagian rezeki yang kita miliki. Dengan kata lain, perindahkan amalan di bulan Ramadan sebagai titik permulaan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Apakah Ramadan yang kita lalui ini bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan kita atau sebaliknya. Semuanya tidak mampu memberikan jawapan pasti kerana kita hanya ada masa sekarang untuk membuat tindakan dan perhitungan. Dan masa sekarang itulah yang hanya beberapa hari sahaja lagi, apakah masih ada ruang untuk kita berlengah-lengah? Maka, insafilah diri, rebutlah peluang ini kerana kita tidak mampu mengandaikan masih adakah lagi masa untuk kita mengecapi Ramadan pada tahun hadapan.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/